Author: Wartawan WartaRakyat

  • Penyokong sebak Najib gagal dalam rayuan semakan

    Penyokong sebak Najib gagal dalam rayuan semakan

    LEBIH 100 penyokong Datu Seri Najib Razak yang berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman hari ini kecewa apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas perdana menteri itu menyemak semula sabitan dan hukuman penjara yang disabitkan padanya.

    Mereka ‘berkampung’ di Putrajaya seawal pukul 7.30 pagi bagi menunjukkan solidariti kepada Najib.

    Pada masa sama mereka turut melaungkan slogan ‘bebas bossku’ dan ‘keadilan untuk bossku’ ketika bekas ahli Parlimen Pekan berkenaan dibawa kembali ke Penjara Kajang untuk meneruskan hukuman penjara 12 tahun.

    Beberapa penyokong khususnya wanita dilihat sebak atau menangis ketika mengetahui keputusan hakim.

    Bagi mereka Najib yang merupakan insan banyak berjasa kepada rakyat dan negara sudah ‘dizalimi’ oleh kerajaan kerana mendakwanya di mahkamah.

    Terdahulu, empat daripada lima panel hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan Najib terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya.

    Empat hakim membuat keputusan menolak permohonan itu, manakala seorang sebaliknya.

    Penghakiman hari ini selari dengan keputusan dibuat panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu yang mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib.

    Sementara itu, seorang penyokong berkata, keputusan hari ini menunjukkan kerajaan ‘zalim’ terhadap bekas perdana menteri itu.

    Dia hanya mahu dikenali sebagai Hajah Rabihah mendakwa datang dari Sungai Buloh juga bertanya kenapa bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, bekas gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas menteri kewangan, TanSri Nor Mohamed Yakcop dan warga Malaysia dalam buruan polis Jho Low tidak dibicara.

    “Sedangkan Jho Low rakyat Malaysia, tapi kenapa Kuwait pula jatuh hukuman. (Sepatutnya) bawa dia balik ke Malaysia, biar Malaysia yang jatuhkan hukuman…Kenapa Najib yang kena,” soalnya.

    Dia turut mempersoalkan mengapa Peguam Negara masih tidak mendedahkan kepada umum siasatan terhadap hakim Nazlan Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

    “Jadi, kami hadir pada hari ini semata-mata mahukan keadilan dan kebenaran kepada Najib.

    “Pada kami, kami tetap bangga bahawa Najib ini tetap perdana menteri kami dan tiada lain yang terbaik selain perdana menteri daripada Najib,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Pasukan peguam Najib juga sebelum ini mendakwa Nazlan mempunyai konflik kepentingan dalam kes 1MDB.

    Mohd. Nazlan merupakan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan Najib atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang harap pada pada 2020.

  • Kes SRC: Tiada lagi saluran rayuan buat Najib

    Kes SRC: Tiada lagi saluran rayuan buat Najib

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah ‘kehabisan’ semua saluran rayuan dalam kes rasuah SRC International yang dihadapinya ketika ini.

    Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram, keputusan Mahkamah Persekutuan Putrajaya yang menolak semakan terhadap sabitan dan hukumannya membawa kepada penutupan kes berkenaan.

    Beliau menegaskan, keputusan itu juga secara tidak langsung menunjukkan pertuduhan terhadap Najib adalah sah di sisi undang-undang dan bukannya pertuduhan berunsur politik.

    “Pendakwaan ini juga menyatakan tiada sesiapa pun di negara ini berada di atas undang-undang,” lapor Sinar Harian.

    “Pendakwaan ini harus menghantar mesej yang tegas kepada semua bakal pesalah bahawa undang-undang akan mengejar anda,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai prosiding semakan sabitan dan hukuman dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd hari ini.

    Sebelum ini media melaporkan, Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais menyokong untuk menolak rayuan bekas Presiden UMNO itu kerana tidak bermerit.

    Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Rahman Sebli yang mempengerusikan panel mendengar permohonan itu, merupakan satu-satunya hakim yang tidak bersetuju.

    Berdasarkan keputusan tersebut, bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan menjalani baki tempoh penjara 12 tahun di penjara melainkan mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

    Pada 22 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di Putrajaya mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

    Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi satu kes penyalahgunaan kedudukan.

    Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

  • Petisyen Najib kepada UNWGAD sedang diproses – Muhammad Shafee

    Petisyen Najib kepada UNWGAD sedang diproses – Muhammad Shafee

    PEGUAM, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan petisyen Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) sedang diproses pihak berkenaan.

    Justeru beliau berkata, akan ada keperluan untuk Peguam Negara memberi maklum balas kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) kelak.

    “Kami akan mengemukakan dokumen selanjutnya termasuk penghakiman minoriti kepada mereka supaya boleh diteliti ekoran ada dapatan penghakiman baharu.

    “Kami akan menghantar dokumen lanjut mengenai penghakiman minoriti dan majoriti kepada pihak berkenaan, supaya ia diteliti untuk menentukan yang mana lebih kukuh,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas prosiding menyemak sabitan dan hukuman bekas Menteri Kewangan itu di Kuala Lumpur, hari ini.

    Pada 5 Januari lalu, media melaporkan Najib memfailkan petisyen kepada UNWGAD untuk memohon pembebasan atau perbicaraan semula berhubung rayuan kes bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon lima pakar keadilan antarabangsa untuk memutuskan bahawa penolakan rayuannya adalah tidak adil dan melanggar hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.

    Dalam pada itu, mengenai kuasa pengampunan Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Muhammad Shafee menjelaskan, keputusan semakan memberi peluang untuk menilai semula penghakiman minoriti yang mengutuk cara kes dikendalikan.

    “Ada kemungkinan pasukan pembelaan akan mempertimbangkan tindakan seterusnya di mahkamah tetapi saya tidak akan mendedahkan butirannya sekarang.

    “Jadi ini (keputusan) bukan penamat lagi,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini Mahkamah Persekutuan Putrajaya tidak membenarkan Najib untuk menyemak keputusan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

  • Isu KM Melaka:’Berhentilah berbohong, tak takut ke nak jumpa Allah nanti’ – Exco Melaka

    Isu KM Melaka:’Berhentilah berbohong, tak takut ke nak jumpa Allah nanti’ – Exco Melaka

    PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis tidak gentar untuk berkata benar termasuk lantang menyuarakan tentang isu ‘Ketua Menteri pintu belakang’.

    Malah beliau menegaskan tidak bimbang sekiranya digugurkan dalam barisan Exco kerajaan negeri yang akan dibentuk nanti.

    “Bukan sebab jawatan. Kalau sayang jawatan saya akan diam. Rezeki Allah yang menentukan,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Beliau ditanya rasional kenyataannya mengenai isu ‘Ketua Menteri pintu belakang’ seperti dilaporkan portal berita yang dikaitkan berpunca desas-desus dirinya bakal digugurkan sebagai Exco.

    Muhammad Jailani mendakwa, beliau mengetahui punca sebenar Datuk Seri Sulaiman Md. Ali melepaskan jawatan Ketua Menteri adalah kerana ‘paksaan’ dan bukan sebab lain termasuk masalah kesihatan dan bagi melancarkan pentadbiran.

    “Kenyataan saya dikatakan menjejaskan kestabilan kerajaan, tapi adakah peletakan jawatan ini mengukuhkan kerajaan?

    “Tujuan (peletakan jawatan) untuk melunaskan pentadbiran kerajaan adalah paksaan.

    “Sulaiman bukan jenis orang yang melawan. Jika dikatakan alasan sakit, saya juga ada sakit, tapi sakit dihidapi beliau (Sulaiman) tidaklah sampai menghalangnya menjalankan tugas (Ketua Menteri).

    “Berhentilah tipu rakyat. Sulaiman tahu dan saya tahu, mereka yang terbabit mempertahan dan yang menjatuhkan beliau juga tahu,” katanya.

    Muhammad Jailani mendakwa beliau dan barisan Exco juga tidak dibawa berbincang berhubung cadangan menamakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri ke-13.

    “Saya bukan ‘pak turut’, benar kata benar. Benda tak benar saya tak akan sokong demi Allah untuk agama, bangsa dan negara.

    “Nasihat saya pada kepimpinan di peringkat nasional juga di peringkat negeri Melaka…kita orang Melayu, kita orang Islam kita sedang berpuasa.

    “Sudah-sudahlah, berhenti berbohong tak takut ke tak lama lagi nak jumpa Allah,” katanya lagi sambil memaklumkan akan mengadakan sidang media khas petang ini.

    Beliau juga mengesahkan tidak akan menghadiri istiadat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Ketua Menteri Ke-13 di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama di Yer Keroh petang ini.

  • Ab. Rauf sah Ketua Menteri Melaka ke-13

    Ab. Rauf sah Ketua Menteri Melaka ke-13

    PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sah dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13, hari ini.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT), Ayer Keroh hari ini.

    Terdahulu, pengumuman Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Zaidi Johari yang memaklumkan pelantikan itu berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembagaan Negeri Melaka.

  • Sindiket edar dadah antarabangsa tumpas, 183kg syabu bernilai RM6j dirampas

    Sindiket edar dadah antarabangsa tumpas, 183kg syabu bernilai RM6j dirampas

    BAWA bekalan syabu sebanyak 183 kilogram (kg) bernilai lebih RM6 juta dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk diseludup ke negara jiran menggunakan jalan laut.

    Bagaimanapun, rancangan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa itu berjaya dipatahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang dalam operasi bermula kelmarin dan semalam.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam beberapa serbuan di sekitar negeri itu dan Kuala Lumpur, lima lelaki warga asing serta seorang lelaki warga tempatan berusia antara 21 hingga 45 tahun turut berjaya ditahan.

    Katanya, kesemua suspek bekerja sebagai peniaga, buruh binaan serta penganggur dan mereka dipercayai aktif mengedar dadah sejak pertengahan tahun lalu.

    Jelas beliau, suspek pertama iaitu seorang lelaki warga asing di AutoCity, Juru, kira-kira pukul 6 petang, Rabu lalu yang mana polis merampas lima bongkah plastik berwarna hitam mengandungi 178 bungkusan berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 183.6 kilogram yang disimpan di dalam kereta jenis Honda CRV yang dipandunya.

    “Menerusi tangkapan itu, polis berjaya mendapatkan maklumat yang menjurus kepada penahanan suspek-suspek lain di sekitar negeri ini dan Kuala Lumpur.

    “Suspek lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan kira-kira pukul 4 pagi semalam di sebuah rumah di Bukit Bintang yang mana polis merampas wang tunai berjumlah RM500,000 serta menyita beberapa buah kenderaan mewah antaranya Porsche, Mercedes Benz, Toyota Alphard dan sebagainya,” katanya.

    Tambah beliau, hasil ujian air kencing ke atas enam suspek negatif dadah manakala semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

    Jelasnya, kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 5 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Tambah beliau, selain tujuh buah kenderaan bernilai RM1.38 juta, turut disita dalam operasi tersebut sebuah bot fiber bersama dua buah enjin bernilai RM380,000.

    “Bot itu dipercayai digunakan untuk membawa dadah ke negara jiran yang mengambil masa kira-kira tiga jam.

    “Dua nelayan warga asing turut ditahan dalam operasi ini dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah-dadah ini ke negara jiran dan mereka bergerak dari Kuala Juru,” katanya.

  • SRC International: ‘Najib sendiri penyebab gagal rayuannya’ – Mahkamah Persekutuan

    SRC International: ‘Najib sendiri penyebab gagal rayuannya’ – Mahkamah Persekutuan

    MAHKAMAH Persekutuan memutuskan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebenarnya menjadi penyebab prosiding rayuan beliau bagi kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd tidak didengar oleh panel hakim terdahulu.

    Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang membacakan penghakiman majoriti 4-1 itu, telah menolak permohonan bekas perdana menteri untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

    “Tiada penafian hak pemohon (Najib) dan tiada pelanggaran keadilan dalam kes itu,” katanya.

    Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

    Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.

    Dalam penghakimannya, Ong berkata peguam Najib sendiri yang enggan membuat penghujahan lisan sejak permulaan prosiding rayuan tahun lepas, walaupun peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dibenarkan berbuat demikian oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim sebelum ini yang menolak rayuan itu.

    “Pemohon berhujah bahawa haknya telah dicabuli. Bagaimanapun, di sini jelas pemohon adalah punca nasib malangnya sendiri. Kami tidak nampak sebarang sebab untuk menyemak sebarang keputusan panel Mahkamah Persekutuan terdahulu.

    “Setelah mempertimbangkan semua rekod, mahkamah mendapati bahawa semua sabitan awal terhadap pemohon adalah selamat dan hukuman yang dikenakan terhadap pemohon tidak keterlaluan, dan oleh itu, disahkan,” kata Ong.

    Mengenai permohonan semakan berhubung keengganan Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan itu, hakim itu berkata undang-undang mengenai penarikan diri juga telah diselesaikan dengan baik berdasarkan prinsip ujian ‘bahaya berat sebelah’.

    Beliau berkata keputusan Tengku Maimun untuk tidak menarik diri disokong oleh ahli panel yang lain dalam penghakiman berasingan.

    Hakim itu selanjutnya berkata tiada kegagalan korum dalam apa jua perkara kerana hakim boleh mendengar sebarang penarikan diri yang dibuat terhadap mereka.

  • Wan Fayhsal kemuka usul gesa bahas pengeluaran KWSP

    Wan Fayhsal kemuka usul gesa bahas pengeluaran KWSP

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul menggesa Dewan Rakyat membahaskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

    Usul itu dikemukakan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1) dan (2).

    “Usul ini hendaklah disegerakan memandangkan pelbagai lapisan rakyat menyatakan kehendak ini buat suatu tempoh yang mendesak dan bertambahnya jumlah kumpulan rakyat yang tidak dapat menampung belanja kehidupan pada waktu dan ketika ini,” katanya.

    Beliau berkata, usul itu melibatkan kepentingan orang ramai berdasarkan keluhan dalam media sosial.

    Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut merujuk tindakan seorang pemandu teksi Noorazlan Ismail, 49, dalam misi berjalan dari Johor Bahru ke Istana Negara, Kuala Lumpur, sebagai usahanya menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran khas KWSP.

    Sementara itu, di Facebooknya Wan Fayhsal berkata mengikut Peraturan Mesyuarat, speaker perlu menerima usul itu secara bertulis sebelum 10 pagi iaitu 24 jam sebelum ia boleh dibangkitkan dan dibahas.

    “Memandangkan soalan saya berkenaan hal ini tidak dapat dijawab oleh menteri kewangan semalam maka ada keperluan ia disegerakan minggu depan kerana hari persidangan hanya berbaki dua hari lagi sebelum tamat sesi Dewan Rakyat kali ini.

    “Moga Yang di-Pertua menerima usul ini untuk dibahaskan memandangkan ianya adalah perkara yang amat mustahak melibatkan kepentingan awam,” katanya lapor FMT.

  • China-AS: ‘Saya tidak menentang sesiapa’- PM

    China-AS: ‘Saya tidak menentang sesiapa’- PM

    DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada pihak yang harus menentukan pendirian Malaysia untuk ‘berpihak’ kepada mana-mana negara termasuk dalam hubungan dua hala melibatkan ekonomi.

    Sehubungan itu, Perdana Menteri menolak persepsi segelintir pihak bahawa Malaysia bersikap berat sebelah, kerana didakwa ‘pro-China’.

    Jelasnya, Sebagai sebuah negara kecil, Malaysia sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama termasuk dengan Amerika Syarikat (AS).

    “China adalah jiran (rakan dagang) yang penting dan perdagangan utama tetapi AS sebagai sebuah negara yang mesra terhadap kita (Malaysia). Kita adalah sebuah negara yang kecil, tiada siapa patut ‘memerintah’ kita.

    “Sebagai sebuah negara yang merdeka, kita perlu memutuskan apa yang terbaik untuk negara. Kita sedar perdagangan kita dari China, dan gembira menjadi jiran yang baik, mesra serta mendapat manfaat daripada kejayaan mereka.

    “Jika AS mahu menyumbang, ia adil. Tetapi seperti saya katakan, tiada siapa harus ‘memerintah’ kita,” katanya dalam sesi soal jawab selepas menyampaikan ucapan di Tshinghua University, di Beijing hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia bersetuju dengan inisiatif yang dibawa oleh Presiden China, Xi Jinping termasuk meluaskan isu kemanusiaan dan ketamadunan.

    “Saya tidak mengatakan bahawa saya menentang sesiapa pun.

    “Tetapi kita harus melihat ke hadapan dan saya tidak mengatakan China sebagai pesaing atau ancaman kepada kita. Ya, terdapat banyak perkara yang kami bersetuju, dan juga beberapa perkara yang kami tidak bersetuju (tindakan China),” ujarnya lagi, lapor Astro Awani.

    Kedua-dua ekonomi besar dunia itu bertelagah dalam pelbagai isu termasuk perdagangan dan Taiwan.

    Semalam, Perdana Menteri ketika berucap di Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia 2023 (BFA 2023) berkata persaingan teknologi seharusnya menjadi antara agenda utama untuk perbincangan di peringkat tertinggi, setanding dengan wacana mengenai hal-hal keselamatan dan ekonomi am.

    Anwar ketika ini dalam rangka kerja rasmi ke China selama empat hari sehingga esok.

  • Pesara didakwa di mahkamah kerana menipu

    Pesara didakwa di mahkamah kerana menipu

    SORANG pesara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas tuduhan memperdayakan lelaki bagi urusan mendapatkan pekerja asing melalui program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

    Tertuduh, Mohd. Logan Abdullah, 68, membuat pengakuan tersebut dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh, lapor Harian Metro.

    Dia dituduh memperdayakan lelaki berusia 50 tahun dengan menjadi ejen mendaftarkan warga asing di bawah program RTK dan sengaja mendorong lelaki itu untuk membuat bayaran berjumlah RM63,000 bagi urusan tersebut.

    Kesalahan dilakukan pada Mac 2021 sehingga 25 September 2021 di Green Street Homes, Seremban 2, di Seremban dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi, manakala tertuduh diwakili Peguam Jayaprakash Rao.

    Terdahulu, Jayaprakash merayu anak guamnya diberi jaminan minimum mengambil kira tertuduh perlu menanggung isteri serta tiga anak selain mempunyai masalah jantung dan sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes.

    Dalam pada itu, di kamar berbeza di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md. Yusop, tertuduh turut didakwa memperdaya seorang lelaki dalam urusan mendapatkan pinjaman peribadi daripada bank dan berkaitan pinjaman kereta.

    Lelaki itu memasukkan cek berjumlah RM1,400 ke atas nama tertuduh yang mana dia tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

    Kesalahan dilakukan di Green Street Homes 1, Seremban 2, Seremban pada 29 Oktober 2005 dan pendakwaan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal dan tertuduh dibenar ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.