Author: Wartawan WartaRakyat

  • Polis kesan pemilik kereta tabur paku atas jalan

    Polis kesan pemilik kereta tabur paku atas jalan

    POLIS sedang mengesan pemilik kereta jenis Nissan Almera bagi membantu siasatan berkaitan kejadian menabur paku di atas jalan yang tular dalam media sosial sejak semalam.

    Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian itu dipercayai berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh-Lumut dekat Pusing.

    “Satu laporan polis diterima oleh pengguna yang mendakwa tayar keretanya bocor selepas melalui lokasi kejadian.

    “Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

    “Sehubungan itu, pemilik kenderaan jenis Nissan Almera dengan nombor pendaftaran AJK 869 sedang dikesan untuk siasatan lanjut,” katanya lapor Utusan Malaysia.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Siti Ramlah Abdullah di talian 016-7676287 bagi membantu siasatan.

    Terdahulu tular video berdurasi 24 saat dalam Facebook yang memaparkan tindakan pemandu sebuah kereta menabur objek dipercayai paku di atas jalan raya.

    Perbuatan tidak bertanggungjawab individu itu mengundang pelbagai reaksi warga maya yang rata-rata mengecam tindakan tersebut dan menggesa hukuman tegas dikenakan terhadap pesalah. 

  • 5 kanak-kanak sempat selamatkan diri dalam kebakaran 4 rumah

    5 kanak-kanak sempat selamatkan diri dalam kebakaran 4 rumah

    LIMA kanak-kanak nyaris maut dalam kebakaran melibatkan deretan empat buah rumah dalam kejadian di Lorong Surau Sayyidah Zainab, Kampung Delek Kanan di Klang pukul 10 pagi tadi.

    Bagaimanapun kesemua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan itu sempat menyelamatkan diri.

    Kebakaran tersebut juga tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.09 pagi.

    Susulan itu katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Sungai Pinang, Sri Andalas dan Pelabuhan Klang dengan kekuatan seramai 24 anggota dikejarkan ke lokasi kebakaran dan tiba pada pukul 10.19 pagi.

    “Kebakaran memusnahkan empat unit rumah sewa melibatkan satu unit bangunan satu tingkat.

    “Kejadian dipercayai melibatkan lima kanak-kanak, bagaimanapun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri.

    “Api berjaya dikawal dari merebak pada jam 10.30 pagi,” katanya menerusi kenyataan pada hari ini.

    Tambah beliau, anggaran kemusnahan rumah itu antara 70 hingga 90 peratus.

    “Setakat ini punca dan anggaran kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • KKM tubuh jawatankuasa khas tangani isu doktor kontrak

    KKM tubuh jawatankuasa khas tangani isu doktor kontrak

    JEMAAH Menteri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang menjadi topik hangat dalam negara ketika ini.

    Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, jawatankuasa itu turut melibatkan gabungan beberapa kementerian dan agensi termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN).

    Katanya, isu berkenaan telah dibincangkan di mesyuarat Kabinet pada 31 Mac 2023 dan bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa itu.

    “Ia gabungan beberapa kementerian dan agensi termasuk KSN bagi menangani isu berkaitan doktor kontrak yang menjadi topik hangat banyak pihak sama ada di media sosial mahupun media arus perdana,” katanya dalam kenyataan.

    Pihaknya menyedari terdapat berita tular menerusi media sosial mengenai jemputan penganjuran mogok dalam kalangan doktor kontrak akan diadakan pada 3 hingga 5 April ini.

    Menurutnya, KKM berpandangan mogok bukanlah suatu jalan penyelesaian terbaik terhadap apa juga permasalahan yang timbul berkaitan dengan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional yang lain.

    “Perkhidmatan kesihatan adalah suatu perkhidmatan kritikal, melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat,” katanya sambil memaklumkan KKM tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai mogok bakal diadakan.

    Sementara itu, Dr. Zaliha berkata, KKM telah mengambil tindakan terhadap permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan.

    “Antaranya adalah mewujudkan perjawatan tetap, memberi penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat secara time-based, peluang kenaikan ke gred khas dan pengwujudan gred UD56 untuk pakar perubatan dan sebagainya.

    “Skim kesihatan yang lain juga diambil peduli dan ditambah baik,” katanya, lapor FMT.

    Sebelum ini, satu kumpulan yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia memaklumkan, kira-kira 8,000 doktor kontrak bercadang menyertai mogok yang akan diadakan bulan ini.

    Kumpulan itu juga mengancam pekerja kesihatan boleh bertindak meletak jawatan secara beramai-ramai.

  • MSN gantung jurulatih laku gangguan seksual terhadap atlet berbasikal negara

    MSN gantung jurulatih laku gangguan seksual terhadap atlet berbasikal negara

    JURULATIH yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang atlet berbasikal wanita negara telah digantung tugas oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

    Perkara itu disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sambil menjelaskan kes tersebut akan menjalani dua siasatan secara serentak iaitu daripada pihak polis dan MSN secara dalaman.

    Beliau yang memandang serius gejala tersebut telah mengarahkan seorang pegawai pelindung ditempatkan di dalam skuad berbasikal untuk memastikan keadaan kembali normal.

    “Saya telah baca laporan polis yang dibuat oleh atlet berbasikal kita dan saya telah menghubungi MSN serta-merta dan kita telah aktifkan pegawai pelindung terutamanya selepas pelancaran kod sukan selamat.

    “Jurulatih tersebut telah digantung sementara siasatan pihak polis, MSN dan juga Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, jadi saya akan memantau perjalanan siasatan ini dan akan pastikan tindakan dilakukan cepat.

    “Saya nak kes ini dijalankan sebagai satu contoh di mana dengan adanya kod sukan selamat apakah SOP kita mengendalikan aduan seperti ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Pengumpulan Dana Pasukan Kebangsaan Footgolf Malaysia ke Piala Dunia Footgolf di Orlando, hari ini.

    Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab semalam mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang pelumba wanita negara, bagi acara berbasikal bukit (MTB).

    Atlet wanita berusia 20-an itu yang membuat laporan polis pada semalam mendakwa, mengalami gangguan seksual daripada jurulatihnya sendiri, semasa menjalani latihan bersama pasukan.

    Abu Samah berkata susulan laporan polis dibuat, pihaknya telah mengambil tindakan serta-merta menggantung jurulatih berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

    Dalam pada itu, Hannah memuji tindakan atlet berkenaan membawa perkara tersebut ke pengetahuan pihak berkuasa dan tidak sekadar berdiam diri serta berasa bersalah untuk memperbetulkan keadaan.

    Beliau juga memberi amaran, sesiapa sahaja yang terlibat dalam kes gangguan seksual sama ada ia merupakan atlet nombor satu negara atau sebagainya tindakan tegas pasti akan diambil.

    “Ini adalah amaran kepada semua di luar sana tak kira sama ada jurulatih atau atlet atau pun sesiapa sahaja, kalau kita dimaklumkan kita akan mengambil tindakan tegas.

    “Saya bangga atlet ini telah membuat laporan polis dan tindakan simpan insiden ini dan ini adalah tindakan yang betul, jadi orang yang pergi mengadu kepada polis jangan rasa bersalah,” katanya lagi, lapor Utusan TV.

  • Menteri perlu bezakan laporan analisis, kata Johan Jaaffar

    Menteri perlu bezakan laporan analisis, kata Johan Jaaffar

    TOKOH Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menzahirkan kekesalan terhadap Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang membidas laporan jangkaan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebagai satu penipuan dan fitnah.

    Menurutnya, Fahmi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana beliau merupakan seorang menteri yang diberi tugas untuk menjadi jurucakap kerajaan.

    Jelasnya, menteri berkenaan juga sepatutnya faham bahawa laporan itu memetik kepada pandangan dan ramalan penganalisis.

    “Ia merupakan amalan biasa dalam laporan pemberitaan bisnes dan urusniaga sama seperti pandangan penganalisis politik juga dipetik bagi tujuan berita semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, media tempatan melaporkan penganalisis menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) sekali lagi akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata peratusan seawal Julai ini.

    Dalam pada itu, Johan menyatakan sebagai sebuah negara demokrasi, semua pandangan baik yang menyokong atau menentang kerajaan seharusnya diberikan tempat.

    Jelas beliau, saluran media bukanlah portal atau risalah rasmi kerajaan.

    “Dengan kenyataan itu, Fahmi telah menanamkan rasa tidak yakin orang ramai terhadap media dan menjejaskan nama baik akhbar tempatan.

    “Sebelum ini beliau menjanjikan bahawa media memiliki kebebasan membuat laporan dalam kerangka undang-undang sedia ada,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Pada masa sama, Johan turut kecewa terhadap menteri berkenaan kerana melenting dengan laporan persepsi dan skor Kerajaan Perpaduan yang dibuat oleh lima media arus perdana.

  • China gesa Malaysia tolak mentaliti Perang Dingin-Anwar

    China gesa Malaysia tolak mentaliti Perang Dingin-Anwar

    PRESIDEN China, Xi Jinping menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menolak mentaliti Perang Dingin.

    Perkara tersebut dinyatakan pemimpin kuasa besar itu dalam pertemuan mereka di Beijing semalam.

    Kenyataan itu dikeluarkan ketika Amerika Syarikat (AS) menekankan keperluan untuk mekanisme era ‘Perang Dingin’ dengan China ketika negara itu dalam usaha menentukan sama ada kedua-duanya mampu mewujudkan semula diplomasi yang membina.

    “Presiden Xi mengajak Malaysia untuk bersama membangunkan tamadun yang kuat dan berketrampilan selain menolak mentaliti Perang Dingin dengan membidak catur mana-mana negara.

    “Kami bersama bersetuju untuk mencorak haluan baru dalam hubungan Malaysia-China serta terus memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara sahabat,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebooknya, lapor Malaysiakini.

    Selain hubungan lebih erat antara kedua-dua negara, Anwar berkata, mereka turut menyentuh isu melibatkan hubungan perdagangan dan ekonomi serta projek pembangunan yang mesti diteruskan.

    Anwar berkata, dalam pertemuan itu, beliau turut menyentuh langkah dan strategi kerajaan China dalam menghadapi dan menyelesaikan isu kemiskinan di China, yang kini dilihat membuahkan hasil apabila hampir 800 juta rakyat negara itu telah dikeluarkan daripada kemiskinan.

    Beliau berkata, Xi pula menyentuh mengenai wawasan Malaysia Madani, yang menurut Presiden China itu selaras dengan hasratnya untuk berkongsi kemakmuran dan pembangunan negara.

    Anwar berkata, beliau turut menjemput Xi untuk melawat Malaysia nanti sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

    Ahli Parlimen Port Dickson itu kini dalam lawatan rasmi tiga hari ke China yang bermula pada 30 Mac.

    Ini merupakan lawatan sulung beliau ke China sejak menjadi perdana menteri dan dijangka membuka lembaran baru dalam memperkukuh hubungan strategik Kuala Lumpur dan Beijing secara lebih menyeluruh.

  • 3 melecur, seorang sesak nafas, rumah panjang 33 pintu terbakar

    3 melecur, seorang sesak nafas, rumah panjang 33 pintu terbakar

    TIGA mangsa melecur manakala seorang lagi terpaksa dikejarkan ke hospital berdekatan selepas mengalami sesak nafas dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah panjang di Betong semalam.

    Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Hendery Ardimanshah menberitahu, insiden berlaku di Rumah Peter Igoh, di Nanga Mujan, Skrang.

    Menurut Hendery, pihak bomba menerima maklumat kejadian pada pukul 3.32 petang dan segera mengaktifkan sebuah jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 11 anggota dari Balai Betong ke lokasi.

    “Setiba di lokasi, pasukan mendapati kebakaran membabitkan rumah panjang 33 pintu yang musnah sama sekali.

    “Turut musnah, tiga buah motosikal yang diparkir berhampiran rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan.

    Selain empat yang cedera, yang kemudian dikejarkan ke Hospital Betong, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Jelas Hendery, pasukannya melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan sumber air terbuka dari sungai berdekatan, menggunakan pam angkut.

    Usaha pasukan, katanya, sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan lapan unit stor yang terletak berdekatan, selain membolehkan kerja-kerja overhaul dilakukan.

    “Punca kejadian dan taksiran kerugian masih dalam siasatan,” katanya lagi, lapor Astro Awani.

    Difahamkan, rumah panjang tersebut didiami 129 penghuni, termasuk 13 kanak-kanak.

  • 11 rakyat Malaysia hanyut ke Filipina selepas bot karam

    11 rakyat Malaysia hanyut ke Filipina selepas bot karam

    SERAMAI 11 penumpang termasuk tiga kanak-kanak berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka karam sebelum hanyut ke perairan Filipina, sejak tiga hari lalu.

    Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memaklumkan, semalam pihaknya menerima maklumat sebuah Kapal Dagang Tomini Dynasty menjumpai 11 warga Malaysia di Perairan Sibutu, Filipina.

    “Berdasarkan maklumat yang diterima, bot yang dinaiki 11 mangsa telah terbalik akibat cuaca buruk.

    “Seterusnya, Kapal Diraja Paus (KD PAUS) diatur gerak untuk melaksanakan pertemuan bersama kapal dagang berkenaan di perairan Tanjung Labian bagi mengambil semua mangsa yang terlibat.

    “Semua mangsa kemudiannya berjaya diambil lalu dibawa ke Pulau Tambisan dan diserahkan kepada Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Jelas kenyataan itu lagi, seorang mangsa yang dikenali sebagai Siti Naun Osman, 25 tahun, sempat memberitahu bagaimana kejadian berkenaan berlaku.

    “Mangsa memaklumkan, dia bersama 10 lagi mangsa (lima wanita, dua lelaki dan tiga kanak-kanak) dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna pada sebelah malam 29 Mac lalu,” katanya.

    Bagaimanapun ujarnya, bot yang dinaiki mereka telah terbalik dipukul ombak yang kuat.

    “Mangsa terpaksa bertahan selama tiga hari dengan hanya duduk di atas bot yang terbalik bagi menyelamatkan diri mereka sebelum ditemui kapal dagang terbabit,” katanya, lapor Astro Awani.

    Justeru itu, pihak MAWILLA 2 TLDM mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa peka dengan cuaca sebelum keluar ke laut bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.

  • Melaka bentuk Kerajaan Perpaduan, kata Rauf

    Melaka bentuk Kerajaan Perpaduan, kata Rauf

    KETUA Menteri Melaka yang baharu, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengesahkan Melaka bakal membentuk Kerajaan Perpaduan, seperti yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

    Beliau turut memberi bayangan, pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan turut melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok Pakatan Harapan (PH).

    “Kerajaan baharu yang akan dibentuk di Melaka merupakan hasil muafakat antara beberapa parti politik.

    “Ingin saya tegaskan, kerajaan baharu negeri Melaka ini adalah sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan stabil.

    “Ia adalah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil muafakat bersama antara parti-parti politik yang mempunyai mandat yang kuat untuk berkhidmat kepada rakyat Melaka.

    “Saya juga akan memastikan barisan Exco yang akan dibentuk adalah lebih inklusif dan mencerminkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook lewat petang semalam.

    Beliau merangka Pelan 100 Hari di bawah kerajaan baharu pimpinannya dalam memastikan lebih banyak pelaburan dan pekerjaan untuk Melaka.

    Katanya, segala perancangan dan pembangunan yang mesra rakyat akan diteruskan demi merancakkan lagi ekonomi negeri, selain menjadikan Melaka sebagai negeri pro perniagaan.

    “Rakyat Melaka dahagakan pembangunan. Mereka mahu melihat kemudahan hospital, kemudahan sekolah, peluang berniaga dan peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik.

    “Melaka juga memerlukan infrastruktur, termasuk bekalan air, jalan raya dan digital, yang lebih baik,” tambahnya, lapor Astro Awani.

    Semalam, Ab. Rauf memaklumkan barisan Exco Melaka akan dilantik dalam tempoh 48 jam.

    Katanya, perkara itu akan dibincangkan bersama Presiden UMNO, Dr. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid sebelum membuat sebarang keputusan.

  • Jangan gopoh keluar kenyataan, pakar beritahu Fahmi selepas kritik akhbar

    Jangan gopoh keluar kenyataan, pakar beritahu Fahmi selepas kritik akhbar

    MENTERI Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil seharusnya tidak gopoh dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan tanpa memahami konteks sesuatu perkara itu terlebih dahulu, kata pakar.

    Penganalisis dan pensyarah komunikasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Aziz Azizam berkata, tindakan Fahmi itu hanya menunjukkan beliau kurang faham tentang keseluruhan cerita dan definisi kenyataan berbentuk hipotetikal yang didasarkan oleh analisa dengan ianya adalah satu bentuk ‘jangkaan’. 

    Menurut Aziz, sikap Fahmi menyelar akhbar berbahasa Melayu itu selain berhasrat untuk berjumpa dengan pengurusan syarikat akhbar tersebut perlu diperbetulkan.

    Katanya, ianya dikhuatiri boleh menimbulkan salah faham masyarakat apatah lagi beliau pula adalah menteri yang menjaga hal ehwal komunikasi dan digital.

    “Jika analisa sebegini dikatakan fitnah, bagaimana pula laporan analisa-analisa lain?

    “Kenapa beliau tidak pula mengatakan fitnah? Umpamanya ramalan cuaca, ianya juga satu bentuk jangkaan kenapa beliau tidak kata ramalan cuaca itu sebagai satu fitnah,” katanya kepada MalaysiaNow. 

    Ini susulan hantaran Facebook Fahmi semalam yang menyifatkan laporan Berita Harian bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka naik pada Julai sebagai satu bentuk fitnah kepada kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM). 

    Bagaimanapun, komen Fahmi itu mencetuskan kritikan pengguna media sosial yang menasihatkan beliau supaya memahami laporan diterbitkan.

    Ramai pengguna media sosial turut menekankan perkataan ‘dijangka’ yang bermakna kenaikan OPR itu tidak semestinya akan berlaku.

    Dalam pada itu, bekas Pengarang Kanan Utusan Malaysia, Zin Mahmud berpandangan sudah menjadi satu hak kepada akhbar Berita Harian untuk menyiarkan laporan tersebut. 

    Bagaimanapun katanya, akhbar itu perlu bertanggungjawab terhadap isi kandungan laporannya. 

    Menurut Zin, laporan itu harus menepati ramalan kewartawanan yang menjadi amalan kebiasaan. 

    Katanya, akhbar tersebut juga tidak wajar mempunyai niat jahat terhadap kerajaan dengan laporan itu. 

    “Berita Harian tetap (harus) bertanggungjawab jika laporan itu boleh menjejaskan ekonomi negara,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Tambah Zin lagi, Fahmi pula ada hak untuk menegur media kerana sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga imej kerajaan dan negara. 

    Fahmi mempunyai hak sebagai menteri untuk memanggil pengarang Berita Harian untuk tujuan tersebut. 

    Pada masa yang sama, pengarang akhbar berkenaan juga berhak untuk tidak pergi berjumpa dengan menteri jika dirasakan perkara itu tidak wajar atau tak berasas. 

    “Adalah hak pengarang untuk mempertahankan laporan akhbarnya,” ujar beliau.

    Ketika ditanya, adakah bentuk pelaporan yang menggunakan pandangan, ramalan dan jangkaan pakar ini wajar disebut sebagai fitnah kerana turut digunakan oleh pelaporan antarabangsa, Zin mengaku ianya sebahagian daripada amalan kewartawanan di seluruh dunia.

    “Ada perkara yang menjadi amalan kewartawanan antarabangsa tetapi tidak sesuai digunakan dalam negara.”