Author: Wartawan WartaRakyat

  • Jailani dakwa aduan pelantikan KM Melaka dipandang sepi

    Jailani dakwa aduan pelantikan KM Melaka dipandang sepi

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis terus mencipta polemik apabila mendakwa aduannya berkaitan pelantikan Ketua Menteri Melaka yang baharu melalui saluran dalaman parti dipandang sepi.

    Justeru, beliau terpaksa menggunakan saluran luar parti bagi menyampaikan aduannya itu kerana pelantikan Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sebagai ketua menteri menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali adalah tindakan mungkir janji manifesto UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Melaka 2021.

    Beliau berkata, pihaknya sudah mengikuti semua saluran dalaman tetapi tidak diendahkan.

    “Sebab utama saya tidak mahu berlaku pertukaran ketua menteri adalah kerana ia janji manifesto Umno/BN ketika PRN.

    “Dan juga peribadi calon yang akan menggantikan Sulaiman haruslah sekiranya berlaku, mestilah orang yang berintegriti, tapi semua aduan ini tidak diendahkan,” katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp, hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin, yang menasihatinya supaya menggunakan saluran parti dalam menyalurkan pandangan berhubung pelantikan Ab Rauf.

    Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dilaporkan berkata, pihaknya menyerahkan kepada Ab. Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri untuk membuat ketetapan berhubung tindakan Muhammad Jailani.

    “Jika ada berbeza pendapat, janganlah menggunakan saluran di luar daripada kerajaan negeri yang ada dan gunalah saluran parti. Itu langkah terbaik,” katanya.

  • Operasi hospital, klinik kesihatan di Kedah beroperasi seperti biasa

    Operasi hospital, klinik kesihatan di Kedah beroperasi seperti biasa

    Oleh RIZQI ZABIDI

    OPERASI hospital dan klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kedah setakat ini masih beroperasi seperti biasa walaupun terdapat dakwaan akan berlaku mogok oleh lebih 8,000 doktor kontrak di seluruh negara bermula hari ini.

    Menurut Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo perjalanan perkhidmatan hospital dan klinik kesihatan di seluruh Kedah setakat pukul 10.30 pagi ini terus berjalan seperti biasa.

    “Setakat pukul 10.30 pagi ini, tiada laporan perhimpunan atau cuti berkelompok berlaku di mana-mana hospital dan klinik kesihatan KKM dalam Kedah.

    “Operasi hospital dan klinik berjalan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar, hari ini.

    Sebelum ini terdapat kumpulan dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia merancang untuk mengadakan mogok selama tiga hari bermula pagi ini, dengan tidak datang bertugas.

    Tindakan mogok itu didakwa akan dilaksanakan berikutan kegagalan kerajaan untuk menyelesaikan beberapa isu tuntutan termasuk penyerapan pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap, kenaikan gaji pokok, kadar ‘on call’ lebih tinggi dan pengurangan automatik dalam tempoh perkhidmatan wajib bagi pegawai perubatan kepada tiga tahun.

    Mogok tersebut dikatakan akan dilangsungkan di 146 hospital awam dan 2,892 klinik kesihatan kerajaan di seluruh tanah air.

  • Enggan tarik balik dakwa kementerian bohong, MP Pendang diarah keluar Dewan

    Enggan tarik balik dakwa kementerian bohong, MP Pendang diarah keluar Dewan

    DATUK Awang Hashim (PN-Pendang) diarah keluar Dewan Rakyat selama satu jam susulan keengganannya menarik balik kenyataan bahawa Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berbohong.

    Awang mendakwa, Nik Nazmi mengeluarkan kenyataan yang tidak betul berhubung pengurangan tanah rizab Melayu (TRM) di Kedah, dengan menyatakan bahawa terdapat bukti keluasannya sebaliknya meningkat, lapor FMT.

    Pada 29 Mac, Nik Nazmi memaklumkan, tanah rizab Melayu di Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkurangan antara 2021 dan 2022.

    Tanah rizab Melayu di Kedah berkurangan daripada 721,888.93 hektar kepada 716, 537.28 hektar, katanya.

    Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, DatuK Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini menafikan dakwaan Nik Nazmi, dengan menyatakan bahawa data sehingga 19 Jan menyaksikan keluasan tanah rizab Melayu di Kedah meningkat 408 hektar.

    Warta Rakyat hari ini melaporkan, Muhammad Sanusi mendedahkan, keluasan TRM di Kedah kini meningkat berbanding jumlah diwartakan pada 1933.

    Pendedahan itu dibuat sebagai maklum balas kepada kenyataan Nik Nazmi di Parlimen baru-baru ini yang mendakwa Kedah merupakan antara tiga negeri yang menunjukkan penurunan TRM antara 2021 hingga 2022.

    Menurut Muhammad Sanusi, keluasan asal TRM di Kedah pada 1933 mengikut warta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) adalah 721,496.949 hektar.

    “Dari 1933 hingga 19 Januari 2023, jumlah keluasan TRM yang dicabut keluar adalah 4,751.369 hektar dan diganti balik seluas 5,160.034 hektar.

    “Ini menjadikan keluasan TRM di Kedah pada Januari 2023 ialah seluas 721,905.613 hektar.

    “Angka ini menunjukkan berlaku peningkatan keluasan TRM kira-kira 408 hektar pada 2023 berbanding keluasan 1933,” katanya melalui satu status dimuat naik di laman Facebook malam tadi.

  • PN buat jelajah perjelas isu cagar KWSP-Takiyuddin

    PN buat jelajah perjelas isu cagar KWSP-Takiyuddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengadakan jelajah dalam masa terdekat berhubung langkah kerajaan membenarkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan caruman sebagai cagaran kepada bank.

    Menurut Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kempen itu akan diadakan bagi menjelaskan kepada rakyat yang langkah itu bercanggah Akta KWSP 1991.

    “Kami akan jelaskan (kepada) rakyat, kerajaan buat satu dasar bercanggah dengan undang-undang.”

    “Akta KWSP tak benarkan. Itu nak jelaskan. Siapa nasihatkan menteri kewangan (Anwar Ibrahim), adakah (beliau) tak dinasihatkan atau mendapat nasihat yang salah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

    Takiyuddin turut tidak berpuas hati apabila usul supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan mengelirukan, ditolak di Dewan Rakyat.

    Kenyataan yang dikatakan mengelirukan itu adalah langkah membenarkan wang caruman digunakan sebagai cagaran kepada bank untuk pembiayaan kewangan tidak bercanggah dengan Akta KWSP.

    “(Kita) bawa usul penting, perdana menteri telah buat kenyataan kelirukan dewan,” katanya, lapor FMT.

    Terdahulu, hampir semua Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan Rakyat sebagai tanda protes selepas usul dikemukakan untuk membincangkan pengeluaran KWSP secara bersasar ditolak.

    Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, usul itu perlu dibahaskan hari ini kerana sidang Dewan Rakyat akan tamat esok, namun Timbalan Speaker Alice Lau Kiong menolak kerana keputusan sudah dibuat Speaker Johari Abdul.

  • Masih ada pegawai minta komisen, dedah Anwar

    Masih ada pegawai minta komisen, dedah Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui menerima laporan ada penjawat awam masih meminta komisen untuk sesuatu projek.

    Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, budaya lama tersebut sukar dibanteras.

    “Kita tak boleh nafikan masih ada budaya…saya pun masih dengar orang minta komisen di pejabat saya, pejabat menteri, pejabat pegawai-pegawai.

    “Ini kerana budaya lama itu mahu dibersihkan mengambil masa, jadi saya minta kerjasama saudara-saudara, jika imej itu baik, dia mudah sekali (untuk dibersihkan),” katanya ketika berucap sempena perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

    Dalam perutusan Tahun Baharu 2023 pada 31 Disember lalu, Anwar menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dengan tindakan segelintir penjawat awam mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

    Beliau dipetik berkata, walaupun ada perubahan ke arah lebih bersih, masih ada sekelompok kecil kakitangan kerajaan cuba mengutip habuan dan ‘hadiah’ besar.

    Mengulas lawatan rasmi empat hari ke China yang berakhir Sabtu lalu, Anwar berkata, beberapa syarikat yang dahulunya memilih negara jiran sebagai hab serantau, kini bersetuju menjadikan Malaysia sebagai hab baharunya.

    Tetapi katanya, syarikat terbabit perlu mengutamakan pengambilan pekerja tempatan berkelayakan dan permohonan pekerja asing hanya akan diluluskan jika terbukti mereka tidak mempunyai tenaga pekerja mencukupi.

    “Dengan syarat syarikat berkenaan perlu membuktikan ada usaha mengambil anak-anak tempatan kerana ia merupakan pelaburan puluhan bilion seperti minyak dan gas, farmaseutikal selain Geely-Proton.”

    Dalam pada itu, Anwar mencadangkan semua jabatan, kementerian dan agensi kerajaan menganjurkan tazkirah ringkas pada waktu rehat tengah hari bagi menghayati serta mengamalkan ayat dalam al-Quran.

    “…saya minta Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) selaraskan, kalau diperlukan penceramah supaya ada manfaat dan kefahaman,” lapor FMT.

  • Pemandu maut, lori terjunam dalam tali air

    Pemandu maut, lori terjunam dalam tali air

    SEORANG lelaki maut apabila lori yang dipandunya terjunam ke dalam tali air berhampiran Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), di Kuantan, hari ini.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.02 pagi.

    “Seramai sembilan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bergegas ke lokasi kejadian.

    “Tiba di lokasi, benar berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori dengan muatan tanah, terjatuh ke dalam tali air berdekatan MCKIP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi, lapor Astro Awani.

    Jelasnya, pasukan bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

  • Diana nafi insiden petik cili alasan minta cerai, dedah cerita sebenar

    Diana nafi insiden petik cili alasan minta cerai, dedah cerita sebenar

    PELAKON Diana Danielle tampil mendedahkan perkara sebenar susulan suaminya, Farid Kamil mendakwa beliau memfailkan penceraian disebabkan insiden petik cili anak keduanya, Aurora.

    Beliau yang menyangkal dakwaan suaminya, menjelaskan membuat permohonan penceraian dua hari sebelum insiden berkenaan.

    Diana menerusi hantaran di Instagram Stories itu menafikan insiden petik cili adalah sebab aktres itu mahu meminta cerai.

    “Siapa kata insiden petik cili adalah sebab saya minta cerai? Saya minta cerai dua hari sebelum kejadian tersebut yang mana menjurus kepada hari petik cili.

    “Dia tahu, bukan tak tahu. Saya beritahu dia saya failkan penceraian. Dia kata silakan malah dia suruh saya percepatkan. Lepas tu sekarang? Buat-buat keliru?

    “Tanggungjawab. Tanggungjawab adalah sebabnya berlaku shiqaq berpanjangan. Insiden petik cili membuatkan Aurora masih lagi takut untuk bertemu dia,” jelasnya hari ini.

    Beliau juga menjelaskan disebabkan Farid mengamuk terpaksa menghubungi pihak polis untuk membawa anak-anaknya keluar dari rumah.

    “Saya tidak takut, Aurora berumur 8 tahun. Dia boleh berfikir. Kalau orang fikir saya yang suruh dia bercakap, sampai bila?

    “Dia juga ada perasaan dan ambil masa berminggu untuk berhenti menangis bila kami sebut nama dia (Farid) dan kejadian itu.

    “Jika anda fikir ia adalah insiden kecil, terpulanglah. itulah anda. Anda tidak boleh menafikan perasaannya.

    “Dia boleh buat perkara ini nampak kecil tapi apa yang saya nampak, amukannya pada hari itu bukannya kecil.

    “Kalau kecil kenapa waktu saya telefon polis untuk ambil kami di rumah, polis ketuk pintu dia tak buka? Mereka ketuk berejam.

    “Menunggu saya untuk ambil anak-anak melalui pintu depan tapi sebaliknya kami terpaksa panjat sebab dia enggan buka pintu itu, kenapa?” ujarnya.

    Dalam satu lagi hantaran, Diana juga seolah-olah meluahkan rasa putus asa untuk menyelamatkan rumah tangga mereka.

    “Menarik apabila sesetengah orang boleh membuat permohonan maaf secara terbuka tetapi tidak secara peribadi.

    “Saya tidak mahu meminta apa-apa lagi, tidak akan minta apa-apa lagi. Sudah,” coretnya, menurut Astro Awani yang memetik laporan portal Gempak.

    Terdahulu, Farid dalam satu temu bual bersama sebuah program mendakwa Aurora masuk ke rumah jiran dan memetik cili daripada pokok tanpa izin.

    Sebagai seorang bapa, Farid menyatakan dia menegur sikap anaknya dan bertindak mendenda Aurora yang membuatkan Diana tidak berpuas hati.

    Disebabkan insiden itu, Aurora didakwa trauma dan tidak bersedia bertemu dengan Farid.

    Pada 20 Mac lalu Farid enggan melafazkan talak terhadap Diana dengan alasan masih sayangkan isterinya.

    Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan hasil perkahwinan itu pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8 tahun.

  • Pendakwaan mohon perbicaraan Najib, Irwan ditangguhkan

    Pendakwaan mohon perbicaraan Najib, Irwan ditangguhkan

    PEGUAM Negara hari ini memohon agar perbicaraan yang dijadualkan membabitkan Datuk Serui Najib Razak dan Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah ditangguhkan ekoran ada ‘perkembangan baru’.

    Permohonan tersebut dikemukakan timbalan pendakwa raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi kepada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

    Sepatutnya hakim Muhammad Jamil Hussin dijadual mendengar perbicaraan penuh bekas perdana menteri merangkap menteri kewangan itu serta bekas ketua setiausaha perbendaharaan.

    Menurut Muhammad Saifuddin ada surat representasi dikemukakan Mohd. Irwan dan ia sedang diteliti Peguam Negara.

    Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata dan K. Kumaraendran (Mohd. Irwan) kemudian memberitahu mahkamah mereka tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.

    Mahkamah terbabit sepatutnya mendengar perbicaraan penuh Najib dan Mohd. Irwan mulai hari ini sehingga 6 April.

    Jamil kemudian mengosongkan perbicaraan yang dijadualkan itu, lapor Malaysiakini.

    Dia juga menetapkan 29 Mei depan untuk sebutan bagi pihak pendakwaan mengemas kini sama ada pertuduhan terhadap Najib dan Irwan akan ditarik balik atau sebaliknya.

    Pada 27 Feb, Kementerian Kewangan – kini diterajui Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa IPIC Abu Dhabi dan unitnya Aabar Investments PJS bersetuju untuk membayar AS$1.8 bilion (RM8.06 bilion) untuk menyelesaikan pertikaian undang-undang yang melibatkan 1MDB.

  • Dewan Rakyat kecoh, semua Ahli Parlimen PN keluar dewan

    Dewan Rakyat kecoh, semua Ahli Parlimen PN keluar dewan

    PEMBUKAAN sesi Dewan Rakyat pagi ini, kecoh selepas hampir semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bertindak keluar dewan.

    Tindakan itu dibuat selepas Dewan Rakyat menolak usul dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) untuk membincangkan mengenai pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

    Wan Ahmad Fayshal berkata, usul berkenaan perlu dibahaskan hari ini kerana persidangan Dewan Rakyat akan tamat esok, lapor BH.

    Bagaimanapun usul berkenaan ditolak Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong kerana keputusan sudah dibuat Yang Dipertua, Datuk Johari Abdul.

  • Warga emas OKU rentung dalam kebakaran

    Warga emas OKU rentung dalam kebakaran

    SEORANG warga emas kurang upaya (OKU) dilaporkan rentung selepas rumahnya di Kampung Tagas, Tuaran terbakar malam tadi.

    Mayat Agus Ebah, 72, ditemui pasukan bomba selepas api dipadamkan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.35 malam memaklumkan seorang mangsa dikhuatiri terperangkap dalam kebakaran rumah.

    Katanya, 14 anggota dan pegawai bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera serta kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Pasukan bomba memadamkan api sehingga berjaya dikawal dan menemui mangsa dalam keadaan rentung pada 11.57 malam,” katanya menurut FMT.

    Beliau berkata, kebakaran terbabit memusnahkan 100% struktur rumah separuh kekal itu.

    Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.