Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pertukaran KM Melaka, KJ dakwa ‘langkah’ Zahid kukuh kedudukan

    Pertukaran KM Melaka, KJ dakwa ‘langkah’ Zahid kukuh kedudukan

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa kemelut pertukaran Ketua Menteri Melaka sebagai ‘langkah’ Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai presiden parti.

    Menurutnya, ini kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ingin memastikan semua menteri besar atau ketua menteri terdiri daripada ‘orangnya’.

    “Sekarang ini ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO majoriti adalah orang dia (Ahmad Zahid) (dan) lepas ini dia hendak pastikan negeri-negeri iaitu pengerusi UMNO negeri dan ketua menteri adalah juga orang dia.

    “Inilah (dengan menukar Ketua Menteri Melaka) masa yang terbaik,” katanya melalui siaran podcast ‘Keluar Sekejap’ episod kesembilan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Pada Jumaat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Dewan Sri Utama Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka di Ayer Keroh.

    Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Rahsia berkenaan dilakukan di hadapan Yang di-Pertua, Tun Mohd. Ali Rustam di dewan berkenaan.

    Sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Jelas Ahmad Zahid, Sulaiman mengambil tindakan untuk melepaskan jawatan itu disebabkan faktor kesihatan.

    Sementara itu, Khairy dalam masa sama turut mengakui agak terkilan dengan cara Sulaiman ‘disingkirkan’.

    Bagaimanapun, beliau mengakui Sulaiman tidak mampu mengatasi pengaruh politik yang dimiliki Ab. Rauf untuk membolehkan beliau kekal menerajui negeri itu.

    Malah katanya, sudah diketahui ramai juga Ab. Rauf hanya menunggu masa untuk merampas kedudukan daripada Sulaiman sebelum ini.

  • Tiada menteri mahu jumpa, Norazlan tuntut KWSP dapat jumpa Muhyiddin

    Tiada menteri mahu jumpa, Norazlan tuntut KWSP dapat jumpa Muhyiddin

    PEMANDU teksi yang berjalan kaki dari Johor ke Istana Negara kerana memperjuangkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini bertemu dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Norazlan Ismail yang baharu tiba di Kuala Lumpur hari ini bagaimanapun tidak dapat berjumpa dengan Menteri dan Ahli Parlimen kerajaan, namun berpeluang bertemu dengan mantan Perdana Menteri Kelapan di lobi Parlimen tengahari tadi.

    Norazlan sebelum itu berjaya melaksanakan misinya menyerahkan memorandum kepada pihak Istana Negara bagi menuntut pengeluaran KWSP secara bersasar.

    Semasa menyerahkan memorandum itu, Norazlan turut disertai Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan delegasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR), Azmie Bugis – AB; Global Human Rights Federation (GHRF) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

    Memorandum tuntutan itu diterima oleh Ketua Komunikasi Korporat Istana Negara, Datuk Muzli Mohd Zin.

    Dalam pada itu di Dewan Rakyat pagi tadi, beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) pagi ini bertindak keluar daripada sidang Dewan Rakyat kerana membantah tindakan Speaker Parlimen menolak usul tergempar bagi membincangkan pengeluaran KWSP bersasar.

    Tindakan itu diambil sejurus Ahli Parlimen PN Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memaklumkan menerima surat daripada Speaker Parlimen, Datuk Johari Abdul yang menolak usul berkenaan dibincangkan.

    Beberapa ahli Parlimen PN, termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; dan ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim, turut bangun mendesak usul berkenaan dibincangkan.

  • ‘Empat beradik tersusun hadap kiblat, wajah seolah baru berwuduk’ – Ibu

    ‘Empat beradik tersusun hadap kiblat, wajah seolah baru berwuduk’ – Ibu

    IBU kepada empat beradik yang maut dalam kebakaran kediaman mereka di Kampung Sabak Awor di Muar Rabu lalu mendedahkan kesemua anaknya ditemui dalam keadaan terbaring kaku menghadap kiblat, bagai berjemaah ketika pergi selama-lamanya.

    Nabila Sedu, 31, berkata, dalam kejadian 7.49 malam itu, kesemua anaknya ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di dalam bilik air kediaman berkenaan.

    Menurutnya, dia dimaklumkan kejadian itu oleh rakan suami selepas selesai membeli barang keperluan berbuka puasa dan barangan lainnya, bahawa kediamannya sedang dijilat api.

    “Saya segera bergegas pulang dan melihat keadaan api ketika itu, saya mengesyaki semua anak-anak telah meninggal dunia.

    “Melihatkan keadaan jenazah mereka tersusun arah kiblat memang tersentuh serta wajah kesemuanya kelihatan sangat tenang dan sejuk mata memandang, seolah-olah baru berwuduk” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Dalam kejadian itu, empat anak Nabila iaitu Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3; meninggal dunia dipercayai akibat terhidu asap ketika berusaha menyelamatkan diri daripada kebakaran dengan bersembunyi dalam bilik mandi kediaman itu.

    Mengimbas juadah berbuka puasa kegemaran anak-anaknya, Nabila berkata, mereka amat gemar menikmati ayam golek.

    “Hasrat itu tercapai apabila saya sempat membelinya di bazar Ramadan beberapa hari sebelum peristiwa itu berlaku.

    “Selama ini, mereka sentiasa menceriakan suasana Ramadan keluarga kami. Saya bersyukur kerana sempat memenuhi keinginan hati mereka.

    “Ia sangat bermakna buat kami kerana tidak menyangka Ramadan ini adalah yang terakhir bersama dengan anak-anak,” katanya dalam nada sebak.

    Katanya, sehari sebelum kejadian itu dia sempat bersenda gurau dengan semua anak-anaknya itu namun tiada sebarang petanda ganjil atau pelik yang ditunjukkan.

    Jenazah empat beradik itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Batu 6 dekat Bakri.

  • Usahawan tani mengaku tidak bersalah beri pinjaman wang tanpa lesen

    Usahawan tani mengaku tidak bersalah beri pinjaman wang tanpa lesen

    SEORANG usahawan tani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan memberi pinjaman wang tanpa lesen bernilai ratusan ribu ringgit kepada seorang individu dua tahun lalu.

    Tertuduh, Hoe Kian Lim, 52, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Norma Ismail selepas kertas pertuduhan dibacakan, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, antara 16 September 2020 hingga 18 April 2021 di Ladang Geddes, Jempol telah menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang lelaki warga emas dengan jumlah RM474,000.

    Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RN250,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi tidak menawarkan sebarang wang jaminan, namun sekiranya mahkamah membenarkan beliau memohon ditetapkan nilai yang tinggi.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya menyatakan ingin menyelesaikan kes itu dengan sempurna, selain meminta jaminan memandangkan mempunyai dua anak yang masih bersekolah.

    Norma kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi atau mangsa dan sekiranya perkara itu berlaku, jaminan akan ditarik balik

    Mahkamah menetapkan 3 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Lelaki ditahan rogol anak tiri 12 tahun

    Lelaki ditahan rogol anak tiri 12 tahun

    PERBUATAN keji seorang lelaki merogol anak tirinya berusia 12 tahun akhirnya terbongkar sebelum dia ditahan polis di Tawau kelmarin.

    Suspek yang merupakan warga asing berusia 32 tahun itu disyaki melakukan perbuatan terkutuk tersebut di sebuah rumah di kawasan kebun kelapa sawit di Merotai.

    Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa tinggal bersama suspek bermula awal bulan ini.

    “Mangsa kemudian telah menghubungi ahli keluarganya bagi membongkar perbuatan keji suspek sebelum tindakan segera diambil.

    “Berdasarkan laporan, mangsa yang tinggal bersama suspek sejak 5 Mac lalu meceritakan kejadian rogol itu kepada kakaknya yang menetap di Lahad Datu, menerusi aplikasi WhatsApp.

    “Berdasarkan maklumat yang diterima, sepasukan polis daripada Balai Polis Bombalai bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi mengesan dan menahan suspek,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Katanya lagi, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

    Kes katanya, disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen diri yang sah.

    Suspek berjaya ditangkap sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

  • Pergaduhan sekumpulan warga asing:1 maut, 1 parah, 7 ditahan

    Pergaduhan sekumpulan warga asing:1 maut, 1 parah, 7 ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga asing maut manakala rakannya cedera parah selepas terlibat dalam pergaduhan dengan sekumpulan lelaki warga asing dalam bilik sewa bangunan kedai di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru semalam.

    Anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menerima aduan kejadian tersebut pada pukul 11.14 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, hasil siasatan mendapati kejadian melibatkan pergaduhan sesama warga asing berpunca daripada beberapa suspek mabuk dan mengakibatkan berlaku pergaduhan.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, telah membuat tangkapan seramai tujuh lelaki warga asing lingkungan umur 22 tahun hingga 51 tahun dan seorang wanita warga asing lingkungan umur 35 tahun.

    “Akibat pergaduhan ini, dua lelaki mengalami kecederaan, di mana seorang daripada mereka lingkungan umur 32 tahun telah meninggal dunia disyaki ditikam dengan objek tajam pada bahagian dada kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, seorang lagi mangsa lingkungan umur 51 tahun mengalami kecederaan luka di bahagian lengan tangan kanan.

    Pihak polis katanya, sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan iaitu lelaki warganegara Myanmar, Myint Hlaing, berusia 41 tahun.

    Menurut Mohd. Sohaimi, mangsa yang meninggal dunia telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk bedah siasat.

    Suspek yang mengalami kecederaan turut dirujuk ke hospital yang sama untuk rawatan, katanya.

    “Polis turut merampas barang termasuk tiga swab kesan disyaki darah, sehelai cadar bercorak bunga, dua helai baju terdapat kesan disyaki darah, dua helai seluar terdapat kesan disyaki darah, pelitup muka dan tiga botol kosong minuman keras,” ujar beliau.

    Jelas Mohd. Sohaimi, semua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 KPJ selama empat hari bermula Isnin hingga 6 April ini.

    Kejayaan itu katanya, berjaya menyelesaikan kes bunuh berkenaan dalam tempoh 24 jam.

    Tambahnya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kanan ASP Nik Samsuriah Daud, 013-7272120 atau 07-3864222.

    Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati.

  • Dr. Khalid dilantik Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan Masa

    Dr. Khalid dilantik Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan Masa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    INSTITUT Masa Depan Malaysia (Masa) mengumumkan pelantikan Dr. Khalid Abdul Hamid, 61, sebagai Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan badan pemikir bebas itu berkuat kuasa hari ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Masa, Azril Mohd. Amin berkata, pelantikan itu kerana beliau mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam penyelidikan pelbagai bidang khususnya ekonomi dan sosial.

    “Sebagai bekas Pengarah Bahagian Industri Perkhidmatan di Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), beliau bertanggungjawab mengetuai penyediaan kertas-kertas dasar, laporan dan dokumen berkaitan ekonomi, kewangan serta sosial termasuk input untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    “Semasa di Kementerian Kewangan, beliau mengetuai pasukan yang ditugaskan menyediakan Laporan Ekonomi serta Belanjawan 2015 dan 2016.

    “Jawatan terakhir beliau adalah mengetuai Unit Penyelidikan Strategik Majlis Pemulihan Negara (MPN).

    “Beliau juga sering dijemput membentangkan hasil kajiannya di dalam dan luar negara.

    “Antaranya, kajian tentang Pasaran Tenaga Bersepadu di Asia Tenggara yang dibentangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Brunei dan Jakarta pada 2011. Kertas penyelidikan beliau mengenai kesan kenaikan kadar tenaga terhadap industri makanan turut mendapat perhatian
    Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN (AMM) pada 2012, malah diterbitkan jurnal terkemuka ERIA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, Dr. Khalid adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Gunaan dari Universiti Malaya (UM), Ijazah Sarjana Ekonomi Pembangunan dari Vanderbilt University, Amerika Syarikat dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

    Masa ujarnya, mengalu-alukan pelantikan itu dan berharap kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam bidang penyelidikan dapat membantu membawa badan pemikir bebas itu ke satu tahap yang lebih tinggi.

    Begitu juga katanya, menjadikan badan pemikir yang berwibawa berlandaskan nilai-nilai kemakmuran bersama.

  • Pas Selangor lantik Ketua Penerangan baharu

    Pas Selangor lantik Ketua Penerangan baharu

    TIMBALAN Yang Dipertua Pas Bangi, Nushi Mahfodz dilantik sebagai Ketua Penerangan Pas Selangor yang baharu.

    Ia bagi menggantikan tempat Mohd Fadli Ghani yang meletak jawatan baru-baru ini.

    Setiausaha Perhubungan Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Mesyuarat Badan Perhubungan Pas Selangor baru-baru ini telah dimaklumkan berhubung peletakan jawatan Mohd Fadli.

    “Untuk mengisi kekosongan, Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi telah mencalonkan Ustaz Nushi Mahfodz dan dipersetujui mesyuarat,” katanya dalam satu kenyataan.

    Nushi 48 tahun berkelulusan Sarjana Syariah Universiti Jordan dan merupakan Timbalan yang Dipertua Pas Bangi, Selangor.

  • MP PN gesa kerajaan pertimbang tuntutan doktor kontrak

    MP PN gesa kerajaan pertimbang tuntutan doktor kontrak

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang berharap kerajaan melihat tuntutan doktor kontrak yang melakukan mogok terlebih dahulu supaya apa yang disuarakan mendapat pertimbangan.

    Menurut Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), kebajikan doktor kontrak yang melancarkan mogok selama tiga hari bermula hari ini perlu diberi perhatian.

    Jelasnya di Dewan Rakyat, isu itu berlaku ketika jumlah doktor di hospital kerajaan masih kurang berbanding jumlah sepatutnya.

    Sementara itu, beliau menyifatkan keputusan kerajaan mengeluarkan cecair vape dari Jadual Pertama Akta Racun 1952 sebagai tindakan yang gopoh.

    “Ia bukan isu mengapa dikeluarkan, tetapi isu pokok ialah kenapa dikeluarkan dalam keadaan tergesa gesa.

    “Apakah mekanisme kerajaan untuk mengawal produk vape di pasaran yang saban tahun lamanya, industri ini berleluasa dalam negara kita tanpa mekanisme pengawalan yang spesifik,” katanya, menurut laporan Harakahdaily.

    Beliau menyatakannya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan 2023, di Parlimen hari ini.

    Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas Pusat berkata, satu-satunya mekanisme kawalan yang ada ialah melalui Akta Racun 1992

    “Itu pun hanya terhad kepada vape yang mempunyai kandungan nikotin. Sekarang yang satu (mekanisme) ini pun dibuang, jadi apa mekanisme yang tinggal?” katanya.

  • Saman Sultanah T’ganu: Representasi Rewcastle-Brown ditolak sekali lagi

    Saman Sultanah T’ganu: Representasi Rewcastle-Brown ditolak sekali lagi

    PEJABAT Peguam Negara (AGC) menolak permohonan pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown agar dakwaan fitnah jenayah terhadapnya digugurkan.

    Peguam Rewcastle-Brown, Guok Ngek Seong hari ini mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa surat representasi bertarikh 8 Mac berhubung kes melibatkan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah telah ditolak.

    Menurut undang-undang berkaitan surat representasi, tertuduh boleh mencadangkan jalan lain untuk menyelesaikan kes seperti pembatalan pertuduhan atau ia digantikan dengan pendakwaan yang lebih ringan.

    Mengikut surat dari AGC kepada peguamnya bertarikh 27 Mac, surat representasi itu ditolak kerana ada bukti yang cukup untuk mengekalkan pendakwaan yang dibuat, lapor Malaysiakini.

    AGC juga menyatakan keputusan untuk mengekalkan pendakwaan adalah muktamad dan sebarang representasi lanjut dari Rewcastle-Brown tidak akan dilayan, kecuali jika ada perkembangan baru atau perkara yang belum diambil kira yang memerlukan pertimbangan lanjut.

    Pada 23 September 2021, Rewcastle-Brown didakwa in absentia di bawah pertuduhan fitnah jenayah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

    Pertuduhan itu berkaitan bukunya bertajuk ‘The Sarawak Report-The inside story of 1MDB’ yang turut menyebut tentang Sultanah Zahirah.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Rewcastle-Brown turut membuat permohonan berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memindahkan kes ini dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, serta permohonan untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.