Author: Wartawan WartaRakyat

  • [RASMI] Dr Afif menang tipis DUN Taman Medan, tewaskan PH

    [RASMI] Dr Afif menang tipis DUN Taman Medan, tewaskan PH

    CALON Perikatan Nasional (PN), Dr. Afif Bahardin berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.33 Taman Medan menewaskan saingannya daripada Pakatan Harapan (PH), Ahmad Akhir Pawan Chik.

    Dr Afif menewaskan Ahmad Akhir dengan majoriti tipis sebanyak 30 undi sahaja.

    Beliau mendapat 22,316 undi manakala Ahmad Akhir meraih 22,286 undi, lapor Astro Awani.

  • [Keputusan tak rasmi] Bekas Naib Canselor UUM menang dengan majoriti lebih 20,000 undi

    [Keputusan tak rasmi] Bekas Naib Canselor UUM menang dengan majoriti lebih 20,000 undi

    BEKAS Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman Abdullah membalas kepercayaan Perikatan Nasional (PN) apabila menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah ke-15, berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat ini.

    Bekas pensyarah berusia 50 tahun itu menewaskan pencabar daripada Pakatan Harapan (PH), Datin Sabrina Ahmad, 45, yang juga Ketua Wanita PKR Kedah dengan majoriti besar, 23,172 undi selepas semua kertas undi dari 111 peti dikira.

    Dalam persaingan dua penjuru itu, Haim Hilman mendapat 34,342 undi, manakala Sabrina hanya 11,170 undi. Dalam proses penjumlahan, bekas Naib Canselor UUM itu mendahului sejak undi dari peti pertama dikira.

    Kemenangan beliau mencipta rekod tersendiri buat PN apabila buat pertama kali, gabungan itu menguasai keseluruhan kerusi DUN dalam Parlimen Kubang Pasu, termasuk Bukit Kayu Hitam.

  • [RASMI] PRN: Mahfuz kalah di Alor Mengkudu

    [RASMI] PRN: Mahfuz kalah di Alor Mengkudu

    NAIB Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah hari ini.

    Berdasarkan data keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN) Muhamad Radhi Mat Din dengan majoriti 10,104 undi.

    Muhamad Radhi yang juga bekas pemain bola sepak Kedah memperoleh 18,936 undi manakala Mahfuz yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah memperoleh 8,832 undi.

    Kedua-dua mereka pernah bersaing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 di kerusi Parlimen Pokok Sena yang menyaksikan Mahfuz menang dengan majoriti 5,558 undi.

  • PN berjaya bentuk kerajaan di Terengganu, Kelantan – SPR

    PN berjaya bentuk kerajaan di Terengganu, Kelantan – SPR

    PERIKATAN Nasional berjaya memperoleh majoriti melebihi 50 peratus di Terengganu dan Kelantan seterusnya berjaya membentuk kerajaan di kedua-dua negeri berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, di Terengganu, gabungan parti politik itu memenangi 17 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan.

    “Sementara Kelantan pula berjaya memenangi 23 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan.” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPR, hari ini.

  • PN menang di DUN Ijok

    PN menang di DUN Ijok

    PEMPENGARUH TikTok, Jefri Mejan, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, malam ini.

    Beliau yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), menang dengan majoriti 907 undi, selepas meraih 12,178 undi, mengalahkan lawannya yang juga calon Pakatan Harapan (PH), Amidi Abdul Manan (11,271 undi) dan calon Bebas, CK Tan (194 undi).

    Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), kerusi itu dimenangi bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memperoleh undi 7,196 undi.

    Selepas itu, pada PRU13 dan PRU14 pula kerusi itu dimenangi Dr. Idris Ahmad daripada PH.

    Bagaimanapun, pada PRN ini, Dr. Idris tidak dicalonkan.

    Untuk rekod, DUN Ijok mempunyai seramai 30,662 pengundi.

  • PN kecewa peratusan keluar undi rendah

    PN kecewa peratusan keluar undi rendah

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meluahkan kekecewaan atas peratusan keluar mengundi yang rendah, namun optimis Perikatan Nasional (PN) mampu mencipta kejutan pada PRN enam negeri.

    “Kita mencatatkan beberapa keputusan baik di Terengganu, Kelantan dan Kedah,” katanya di lokasi perhimpunan kepimpinan PN pusat.

    “Rakan kita (yang bertanding) di kerusi getir sebelum ini juga dah berjaya. Kita gembira untuk mereka,” katanya tanpa mengulas lanjut.

    Menurut kemas kini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 4 petang tadi, Terengganu merekodkan peratusan keluar mengundi 70%, diikuti Kedah (68%); Pulau Pinang (67%); Selangor (65%); Negeri Sembilan (62%); dan Kelantan (56%).

    Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan gabungan mana yang mendahului di mana-mana negeri.

    “Terlalu awal untuk dikatakan (menang atau tidak), tetapi kita masih optimis.

    “Cumanya kita nak tengok keputusan di Selangor dan Negeri Sembilan,” kata pengerusi PN Negeri Sembilan itu, lapor FMT.

  • [RASMI] Anak Noh rampas DUN Permatang

    [RASMI] Anak Noh rampas DUN Permatang

    ANAK Tan Sri Noh Omar, Nurul Syazwani memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Yahya Mat Sahri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

    Sinar Harian melaporkan, Nurul Syazwani memenangi kerusi itu selepas memperoleh majoriti 1,728 undi selepas mendapat undi 12,850 manakala Mohd. Yahya memperoleh 11,122 undi.

    Kemenangan itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya DUN Permatang, Tirmidzy Che Mat di Institut Pengurusan Peladang, Sungai Kajang Tanjong Karang, Kuala Selangor hari ini.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi DUN Permatang dimenangi calon PKR, Rozana Zainal Abidin dengan majoriti 1,158 undi selepas menewaskan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN) dan Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud (Pas).

    Rozana memperoleh 9, 208 undi menewaskan Sulaiman yang mendapat 8, 050 undi dan Muhammad Jafaruddin meraih 2,746 undi.

  • Tidak rasmi: PN kekal penguasaan di Kedah

    Tidak rasmi: PN kekal penguasaan di Kedah

    PERIKATAN Nasional (PN) menepati ramalan mengekalkan penguasaan di Kedah selepas memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri hari ini.

    Berdasarkan kedudukan semasa sehingga pukul 9.30 malam tadi, PN disahkan menang di 19 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini, lapor Berita Harian.

    Kerusi itu membabitkan DUN Ayer Hitam, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Kuala Nerang, Pedu, Bukit Lada, Bukit Pinang, Alor Mengkudu, Pengkalan Kundor, Anak Bukit, Kubang Rotan, Tokai, Sungai Tiang, Sungai Limau, Guar Chempedak, Gurun, Belantek, Jeneri dan Tanjong Dawai.

    Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor, yakin PN akan memenangi 33 kerusi DUN dalam PRN kali ini.

    Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) PN berkata, ramalan itu berdasarkan sokongan kuat kepada gabungan politik itu yang disertai PAS, BERSATU dan GERAKAN sepanjang tempoh 12 hari kempen.

    Sebelum ini, PN menguasai 20 kerusi DUN iaitu 14 melalui Pas dan enam milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    PH pula dengan 10 kerusi iaitu masing-masing empat milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah selain dua DAP. UMNO dan Parti Pejuang tanah Air (Pejuang) pula menguasai masing-masing dua kerusi.

    Baki dua lagi kerusi kosong apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun daripada PKR, Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lalu selepas dilantik Yang Dipertua Dewan Rakyat, manakala ADUN Belantek daripada Pas, Datuk Mohd. Isa Shafie meninggal dunia pada 14 Jun lalu.

  • Pas pertahan kerusi Parlimen Kuala Terengganu

    Pas pertahan kerusi Parlimen Kuala Terengganu

    CALON Perikatan Nasional (PN), Datuk Ahmad Amzad Hashim berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu apabila mendahului pencabarnya, Azan Ismail daripada PH pada pilihan raya kecil (PRK), hari ini.

    Sehingga pukul 9 malam, Ahmad Amzad memperoleh undi sebanyak 26,791 undi, manakala Azan hanya 8,115 undi, lapor Berita Harian.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti sebanyak 40,907 undi.

    PRK Kuala Terengganu terpaksa diadakan serentak dengan Pilihan Raya negeri (PRN) selepas mahkamah pilihan raya membatalkan kemenangan Ahmad Amzad atas dakwaan sogokan.

    Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memperoleh sebanyak 63,016 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Mohd. Zubir (22,109 undi), calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi) dan calon PH, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (10,946 undi).

  • Pas hampir pasti perintah Kelantan, MB mendahului lawan

    Pas hampir pasti perintah Kelantan, MB mendahului lawan

    PAS hampir kekal memerintah Kelantan apabila berjaya menang 40 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan setakat ini.

    Setakat pukul 9 malam ini, gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (PH) hanya menang dua kerusi di DUN Kota Lama dan Galas.

    Sementara itu, calon DUN Pasir Pekan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mendahului lawannya, Zaman Sahri Ibrahim dengan majoriti 11,788 berdasarkan keputusan tidak rasmi ketika ini.

    Jumlah undi tidak rasmi yang diperoleh Ahmad setakat ini ialah 17,774.

    Perhatian rakyat kini tertumpu kepada beliau yang tidak mahu lagi memegang jawatan berkenaan selepas PRN kali ini.

    Ahmad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan di Istana Kota Lama di sini pada tahun 1998, lapor Sinar Harian.