Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tolak saranan bersara daripada perjuangan kerana usia – Hadi

    Tolak saranan bersara daripada perjuangan kerana usia – Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, saranan supaya bersara daripada perjuangan kerana usia wajib ditolak sekalipun yang mengatakannya adalah pemikir dan ilmuan.

    Menurut beliau, saranan golongan itu wajib ditolak kerana ilmunya tanpa berpandukan hidayah dan ukuran mereka bukan atas faktor mukallaf (orang cukup umur yang wajib melaksanakan perintah Tuhan).

    “Oleh itu, teori supaya bersara daripada perjuangan kerana usia adalah semata-mata teori Barat sekular yang tidak beragama dan tidak berwawasan akhirat.

    “Ia bukan daripada ajaran Islam yang berwawasan akhirat,” katanya menerusi ruangan Minda Presiden hari ini.

    Mengulas lanjut Hadi berkata, nasihat supaya bersara daripada perjuangan menegakkan perintah Allah adalah perbuatan yang salah dan bercanggah dengan ketetapan dalam Islam.

    Sebaliknya kata beliau, menasihat dan mengajak kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran, khususnya dalam perkara yang melibatkan masyarakat umum adalah kewajipan besar yang wajib ditunaikan.

    “Hal ini mesti ditunaikan selagi ada hayat yang berakal dan lidah yang boleh bercakap, pena yang mampu menulis dan akal yang mampu berfikir,” katanya.

  • Pencarum KWSP dikhuatiri terus terperangkap dengan hutang

    Pencarum KWSP dikhuatiri terus terperangkap dengan hutang

    PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikhuatiri terus terperangkap dalam kitaran hutang jika mencagarkan simpananan mereka untuk membuat pinjaman bank.

    Felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr. Madeline Berma, berkata tindakan itu juga akan menyebabkan pencarum, hilang sebahagian daripada simpanan mereka.

    Mengakui langkah itu adalah jalan tengah untuk mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh rakyat, beliau bagaimanapun berkata, rakyat akan terus dibebani hutang jika tidak dapat menguruskan kewangan dengan baik.

    “Pengeluaran wang daripada KWSP ini adalah langkah alternatif kerajaan, daripada memberi wang secara terus kepada rakyat yang amat memerlukan.

    “Namun, jika pinjaman ini tidak dapat dilangsaikan atau diuruskan dengan baik, ia akan menyebabkan pencarum dibebani hutang, selain menjejaskan nilai simpanan mereka dalam KWSP,” katanya.

    Semalam, KWSP mengumumkan, pencarum KWSP berusia 40 tahun ke atas, yang mempunyai tabungan minimum RM3,000 dalam Akaun 2, layak membuat pinjaman bank menerusi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2), mulai 7 April ini.

    Dua bank tempatan menyediakan kemudahan pinjaman berkenaan iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank, dengan kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) antara empat hingga lima peratus, lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa iaitu lapan hingga 15 peratus.

    Jumlah pembiayaan maksimum ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik hingga 10 tahun.

    KWSP dalam kenyataannya menyebut, FSA2 adalah kemudahan yang boleh digunakan sebagai cagaran, bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

    Mengulas lanjut, Madeline berkata, kemudahan diberikan KWSP itu juga memberi peluang kepada mereka yang kurang layak mendapat pinjaman peribadi daripada bank untuk mendapat pinjaman, khususnya pencarum yang sudah kehilangan pekerjaan tetapi mempunyai nilai caruman yang banyak.

    “Ini membolehkan mereka yang mempunyai skor kredit rendah untuk mendapat pinjaman dan pada masa sama, membolehkan pencarum meringankan beban kewangan tanpa menjejaskan dana persaraan mereka,” katanya lapor Berita Harian.

  • Guru wanita rugi RM91,400 wang simpanan bank lesap

    Guru wanita rugi RM91,400 wang simpanan bank lesap

    SEORANG guru wanita berputih mata apabila wang simpanan, pinjaman dan hasil gadaian barang kemas berjumlah RM91,400 yang disatukan dalam sebuah akaun bank dipercayai dilesapkan suspek sindiket penipuan dalam talian.

    Nasib malang menimpa wanita berusia 51 tahun itu berlaku apabila dia terpedaya dengan panggilan telefon diterima pada 24 Februari lalu daripada individu menyamar sebagai pegawai insurans, polis dan timbalan pendakwa raya berkait kes tuntutan insurans.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa didakwa dikehendaki pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam kes tuntutan insurans perubatan palsu berjumlah RM68,000 di sebuah hospital swasta di ibu negara.

    “Mangsa yang menafikan dakwaan tersebut diarah menukar kad bank dan mengemas kini nombor pengesahan transaksi (TAC) bagi tujuan siasatan.

    “Mangsa turut diarahkan memindahkan semua wang dimiliki termasuk wang simpanan Tabung Haji, wang pinjaman dan hasil gadaian barang kemas ke dalam akaun bank yang dikemas kini terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa akur dengan menuruti semua arahan suspek sehingga sedar ditipu selepas menyedari semua wang dalam akaun bank dilesapkan dalam tempoh sebulan.

    Ramli berkata, orang ramai diingatkan supaya membuat semakan setiap panggilan meragukan yang diterima sebelum berurusan bagi mengelak ditipu.

    “Semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima boleh dibuat melalui pautan https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Video Aliff Syukri: IRAMA lapor polis, cadang hukuman berat dikenakan

    Video Aliff Syukri: IRAMA lapor polis, cadang hukuman berat dikenakan

    PERSATUAN Konsortium Industri Rakaman Malaysia (IRAMA) menggesa kerajaan meminda semula Akta 294 (a) dan (b) susulan isu video muzik lagu Cak Kun Cak Raya dendangan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang disifatkan keterlaluan.

    Presidennya, Ayob Abdul Majid berkata, pihaknya merancang bertemu dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.

    Menurutnya, video muzik itu melanggar budaya dan tatasusila masyarakat Malaysia serta menghina kemuliaan bulan Ramadan.

    Sehubungan itu, Ayob ingin menggesa Fahmi membawa isu itu ke parlimen agar Akta 294 (a) dan (b) dapat digubal semula kerana disifatkan terlalu longgar sehingga tidak memberi kesan kepada pencipta kandungan.

    “Pegawai polis bertugas mencadangkan saya membawa kes ini kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kerana akta yang ada terlalu longgar.

    “Jadi, kami berharap KKD dapat membincangkan isu ini di parlimen, seterusnya denda tinggi dikenakan termasuk hukuman penjara bukan sahaja kepada Aliff tetapi kepada semua pencipta kandungan.

    “Jika hukuman berat tidak dikenakan, lebih banyak video tidak sensitif dihasilkan. Disebabkan itulah, hari ini kebanyakan penyanyi dan pencipta kandungan tidak takut dengan denda,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Ayob berkata, beliau pada awalnya enggan membuat laporan polis kerana tidak mahu memberikan promosi percuma kepada usahawan itu.

    Namun katanya, disebabkan video muzik itu menggusarkan orang ramai sehingga timbul perbalahan dalam kumpulan WhatsApp dan media sosial, maka tindakan terpaksa diambil.

    “Dari mula lagi banyak pihak meminta IRAMA membuat laporan polis, tetapi saya enggan memberikan promosi percuma.

    “Namun selepas didesak penggiat industri, saya akhirnya akur. Namun, objektif saya supaya menteri dapat menggubal akta berkenaan.

    “Saya tidak mahu objektif pada hari ini sia-sia, sama seperti tahun lalu. Tujuan saya datang hari ini kerana mahu video muzik seperti itu disekat dengan hukuman tinggi termasuk penjara dikenakan.

    “Kami bukan menyentuh peribadi Aliff atau lagu ini kerana ia sebuah karya bagus, tetapi video muzik memang tidak bersesuaian untuk tontonan terutama generasi muda,” katanya.

    Gelagat Aliff bersama lima penari yang berpakaian baju Melayu ala baju renang yang ketat serta menari terkinja-kinja dilihat tidak sopan untuk dipertontonkan kepada umum, selain merosakkan nilai dan tradisi baju Melayu.

    Bagaimanapun, usahawan kontroversi itu tidak melihat video muzik itu sebagai satu kesalahan kerana mendakwa tidak berbogel dan melakukan aksi ghairah.

    Aliff berpendapat video muzik itu tidak sepatutnya dijadikan isu besar.

    Tahun lalu, Aliff turut menimbulkan isu sama apabila video muzik lagu Kelepok Raya nyanyiannya turut mengundang kontroversi sehingga mendapat kecaman ramai.

    Video muzik terbabit menampilkan sekumpulan penari lelaki berperwatakan lembut, selain wajah turut disolek.

    Disebabkan itu, Aliff dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung video muzik mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • Jakim nafi keluar poster tarikh Hari Raya Aidilfitri

    Jakim nafi keluar poster tarikh Hari Raya Aidilfitri

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1444H/2023.

    Jakim menerusi kenyataan hari ini berkata, pihaknya menasihatkan umat Islam di negara ini supaya menghormati proses sebenar penentuan tarikh Hari Raya.

    “Tarikh Hari Raya hanya akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR) selaku pihak yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja,” menurut kenyataan itu, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai tangkap layar poster kalendar Islam yang memaparkan tarikh-tarikh penting hari keraian Islam pada tahun ini.

    Tangkap layar turut memaparkan beberapa tarikh sambutan seperti Hari Israk Mikraj, Hari Nisfu Syaaban serta Aidilfitri yang dikatakan bakal disambut pada 21 April ini iaitu pada Jumaat.

    Poster itu juga didapati memaparkan logo rasmi Jakim dan nama laman rasmi media sosial Jakim iaitu, MyJakim.

  • Remaja terkejut jumpa bayi dalam beg plastik depan masjid

    Remaja terkejut jumpa bayi dalam beg plastik depan masjid

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    SEORANG remaja dan tiga rakannnya terkejut apabila menemukan seorang bayi perempuan dalam beg plastik diletakkan di hadapan Masjid An-Nur Taman Cendana di Pasir Gudang, pukul 4 petang, Sabtu lalu.

    Menurut Mohd. Iqram Haqeem Abdullah, 14, pada mulanya dia bersama-sama tiga rakannya terdengar bunyi pelik dari beg plasik berkenaan dan apabibila melihatnya tidak menyangka terdapat seorang bayi di dalamnya.

    “Kejadian berlaku ketika saya bersama tiga rakan sekolah yang juga jiran dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bersahur di sebuah restoran berhampiran.

    “Kami yang mahu singgah di masjid untuk ke tandas terkejut mendengar bunyi misteri di tepi pagar Masjid An-Nur Taman Cendana serta bertindak menahan sebuah van kilang bagi mendapatkan bantuan.

    “Pemandu van kemudian memeriksa beg dan mendapati seorang bayi perempuan berbalut tuala berwarna kuning.

    “Pemandu van bertindak menghubungi talian kecemasan sebelum menyerahkan bayi kepada seorang petugas di masjid.

    “Kami bersyukur kerana tidak meninggalkan bayi itu walaupun ada awalnya bimbang mendengar bunyi misteri itu,” katanya ketika ditemui.

    Dia berkata, selepas pulang ke rumah mereka berkongsi pengalaman berkenaan dengan ahli keluarga dan mereka bertindak memuji tindakan kami menyelamatkan bayi terutama pada Ramadan ini.

    Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku kali pertama dalam sejarah kewujudan kawasan perumahan itu kira-kira 20 tahun.

    Katanya, kemungkinan mereka yang meninggalkan bayi berkenaan beranggapan kawasan itu adalah tempat kunjungan kariah masjid yang mungkin dapat menyelamatkan bayi terbabit.

    “Bayi itu bernasib baik kerana diselamatkan sekumpulan pelajar sekolah, jika dia terus berada di situ mungkin berlaku kejadian tidak diingini berikutan lokasi itu kawasan anjing liar berkeliaran.

    “Bayi itu istimewa, kami anggap sebagai anak angkat sukarelawan dan komuniti kawasan perumahan ini, kami juga tidak sabar bagi mengetahui perkembangannya serta mendoakannya,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, bayi itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

    Beliau berkata, keadaan bayi sihat dan normal serta kes disiasat mengikut Seksyen 317KK (buang bayi).

    Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, bayi itu dipercayai berusia tiga hari ketika ditemui.

    “Perintah Jagaan Sementara di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Johor Bahru akan dipohon bagi membolehkan pelindung kanak-kanak menguruskan dokumen berkaitan pengenalan diri kanak-kanak,” katanya.

  • Selaraskan tugas agensi penguat kuasa jalan raya – Tuan Ibrahim

    Selaraskan tugas agensi penguat kuasa jalan raya – Tuan Ibrahim

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang menggesa kerajaan menyelaras tugas agensi penguatkuasaan jalan raya supaya tidak berlaku pertindihan tugas di kalangan agensi berkenaan.

    Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, ketika ini terdapat pelbagai agensi penguatkuasa berkaitan jalan raya.

    “Kita dapati terdapat banyak agensi, daripada pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar di jalan raya.

    “Kita perlu ada penyelarasan supaya tidak banyak sangat agensi yang bertindan hingga akhirnya seorang pengguna jalan raya merasakan bahawa dia terpaksa berdepan lima atau enam buah agensi,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau menyatakannya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

    Justeru, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas mencadangkan agar penyelarasan perlu dibuat supaya tidak banyak agensi yang melibatkan pihak penguatkuasa.

  • Kejar hasil cukai, nasib anak muda digadaikan, kata Ahmad Yunus

    Kejar hasil cukai, nasib anak muda digadaikan, kata Ahmad Yunus

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang menyifatan tindakan mengeluarkan nikotin daripada senarai Akta Racun 1952 semata-mata untuk membolehkan kutipan cukai duti eksais.

    Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, lebih mengecewakan kerajaan menolak pandangan pelbagai pihak daripada kalangan profesional seperti Persatuan Farmasi Malaysia, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

    Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, kandungan nikotin dalam vape dan rokok menyebabkan ketagihan, selain menyebabkan beberapa penyakit berkaitan kecederaan paru-paru.

    “Adakah jangkaan kutipan cukai RM2 bilion mampu untuk kita mencegah penyakit atau ketagihan kepada perokok elektronik? Adakah ini akan mencapai matlamat Generasi Penamat Rokok di negara kita?

    “Oleh itu, apakah tindakan dan adakah kerajaan tidak merasakan bahawa seolah-olah kita menggadaikan generasi muda kita kepada ketagihan dan juga mungkin penyakit,” katanya, menurut laporan Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sukar untuk mengharamkan penggunaan vape atau rokok ketika ini, tetapi boleh meningkatkan kesedaran.

    “Mengharamkan vape, nikotin dan rokok, satu tindakan yang agak ekstrem. Itu agak drastik dan tidak mampu dikendalikan oleh mana-mana negara di dunia. Oleh sebab itu, orang ramai memilih untuk merokok walaupun kita berkempen.

    “Pendekatan yang kita ambil agak sederhana, iaitu mengenakan cukai tetapi tegas untuk melarang di Parlimen, sekolah, sekatan-sekatan yang cukup meluas untuk mengelak daripada masyarakat (terutama yang muda) daripada vape atau merokok,” katanya.

  • Laman sesawang Jabatan Imigresen digodam

    Laman sesawang Jabatan Imigresen digodam

    LAMAN sesawang rasmi Jabatan Imigresen www.imi.gov.my digodam individu dikenali sebagai ‘CaptainSmok3r’ hari ini.

    Jurucakap Kementerian Komunikasi dan Digital memberitahu wartawan dalam kumpulan WhatsApp, laman sesawang itu tergendala buat sementara dan Cybersecurity Malaysia (CSM) berusaha menyelesaikan perkara itu.

    “Bahagian teknologi maklumat dan rekod (Jabatan Imigresen) sedang bekerjasama dengan CSM untuk mengukuhkan keselamatan digital. Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul,” kata jurucakap itu, lapor FMT.

    Semakan dalam talian menunjukkan laman sesawang itu tidak dapat diakses menggunakan peranti mudah alih dan komputer.

    Tajuk halaman pada hasil carian Google menunjukkan ‘Hacked by CaptainSmok3r’, bukannya dibawa ke laman sesawang itu.

    Tetapi, laman Facebook Jabatan Imigresen tidak mendedahkannya diserang penggodam, sebaliknya menyatakan alasan laman sesawang itu ditutup akibat ‘kerja penyelenggaraan’.

    Ini bukan kali pertama agensi kerajaan digodam.

    Tahun lalu, kumpulan penggodam dikenali sebagai ‘Dark Pink’ menggunakan e-mel pancingan data dan perisian hasad lanjutan untuk menyerang rangkaian e-mel ketenteraan beberapa negara Asia, termasuk Malaysia.

  • Ketidakhadiran pemimpin utama pembangkang, Wan Saiful jawab Fahmi

    Ketidakhadiran pemimpin utama pembangkang, Wan Saiful jawab Fahmi

    AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan tampil membidas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung ketidakhadiran pemimpin utama pembangkang pada sidang Dewan Rakyat khususnya ketika sesi pertanyaan perdana menteri.

    Beliau yang mempertahankan ketidakhadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Wan Saiful berkata, sesi pertanyaan perdana menteri perlu ditambahbaik.

    “Untuk pengetahuan semua, sebenarnya semasa slot pertanyaan perdana menteri, hanya MP yang disebut oleh speaker saja boleh bertanya soalan. Yang lain-lain tak boleh bertanya apa-apa.

    “Dan speaker hanya benarkan satu soalan tambahan daripada penyoal asal, serta satu lagi soalan tambahan dari pihak satu lagi.

    “Maksudnya, kalau giliran saya tanya soalan asal, hanya saya saja dari sebelah PN boleh tanya satu soalan tambahan, dan hanya seorang lagi dari kerajaan boleh tanya satu soalan selepas soalan saya. MP lain tak boleh.

    “Alangkah baiknya kalau sesi ini diperbaiki supaya jadi seperti PMQ Westminster yang mana ketua pembangkang wajib diberi slot untuk menyoal PM?” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

    Fahmi dalam hantaran Facebooknya menzahirkan rasa kecewa beliau dengan membayangkan pembangkang tidak mengambil peluang dalam waktu pertanyaan perdana menteri (PMQ).

    “Pagi ini YAB DS Anwar Ibrahim menjawab soalan mengenai hasil lawatan rasmi ke China; isu vape; dan isu doktor kontrak.

    “YAB DS Zahid Hamidi dan YAB DS Fadillah Yusof hadir sekali.

    “Malangnya, sekali lagi Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang tidak hadir dan tidak menanyakan soalan,” tulisnya pagi ini.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful menyifatkan Fahmi telah memberi gambaran salah berhubung ketiadaan tiga pemimpin pembangkang itu di Dewan Rakyat, hari ini.

    Selain mendakwa perdana menteri pada sesi itu juga turut mengelak menjawab soalan yang dikemukakan.

    “Jadi, janganlah beri gambaran seolah-olah dalam slot pertanyaan perdana menteri ini, ketua pembangkang atau ketua parti boleh turut serta dalam tanya soalan. Tak boleh pun sebenarnya. Jangan spin ke arah persepsi yang salah.

    “Tambahan lagi, setakat saya lihat, perdana menteri banyak mengelak dari beri jawapan penuh atau perdana menteri tak tahu jawapan penuh. Banyak yang meleret-leret tanpa fakta tuntas. Ada masa sebut nama akta pun tak jelas. Ayat pun kadang kadang cacamerba.

    “Jadi, sebenarnya yang perlu diberi perhatian ialah kualiti jawapan daripada perdana menteri. Kalau kualiti jawapan perdana menteri rendah, maka minat orang nak mendengar pun pasti rendah,” katanya lagi.