Author: Wartawan WartaRakyat

  • Parti Hijau Malaysia gesa PM tarik balik tender dua projek mega di Selangor

    Parti Hijau Malaysia gesa PM tarik balik tender dua projek mega di Selangor

    PARTI Hijau Malaysia (PHM) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam dua projek di Selangor yang didakwa dijalankan tanpa tender terbuka.

    Setiausaha Agungnya, Abdul Razak Ismail mendakwa dua projek di Selangor yang membabitkan projek pembangunan semula kompleks sukan di Shah Alam dan projek melebarkan sungai, Gerbang Maritim Selangor, tidak dianugerahkan secara telus.

    Tegas beliau, ini bertentangan dengan prinsip tadbir urus yang baik.

    Menyedari pendirian tegas Anwar mengenai tadbir urus yang baik dalam pengendalian projek kerajaan yang besar, Abdul Razak menggesa Perdana Menteri untuk segera menarik balik tender untuk kedua-dua projek itu.

    Katanya, ini kerana harga yang ditawarkan adalah ‘terlalu tinggi’ dan mungkin disebabkan oleh rundingan terus.

    “Adalah pandangan Parti Hijau Malaysia bahawa kerajaan negeri (Selangor) tergesa-gesa untuk memuktamadkan kedua-dua projek mega ini sebelum pembubaran DUN secara automatik pada 25 Jun.

    “Terdapat beberapa isu yang perlu dirungkai Anwar sebelum ini,” kata Abdul Razak yang juga bekas ahli kumpulan pro-Anwar, dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Pada Julai 2022, kerajaan Selangor mengumumkan sudah melantik Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) untuk melaksanakan pembangunan semula kompleks sukan di Shah Alam melalui perkongsian swasta-awam selepas menyaring kira-kira 15 firma lain.

    Razak menekankan anggaran kos berbeza yang terlibat dalam projek itu dan mempersoalkan sama ada 14 syarikat lain turut ditawarkan pertukaran tanah seperti yang ditawarkan kepada MRCB.

    Sementara itu, projek Gerbang Maritim Selangor akan menyaksikan pelebaran dan kerja mendalamkan sungai Klang dari Mid Valley City, Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.

    Mac lalu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Selangor, Shukor Mustaffa membuat laporan polis terhadap menteri besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco kerajaan negeri Izham Hashim dengan mendakwa projek itu diberikan melalui rundingan terus.

    Amirudin menafikan dakwaan itu, dengan menyatakan beliau dan Izham berada dalam Lembaga Pengarah Landasan Lumayan Sdn. Bhd. untuk mewakili kepentingan kerajaan negeri.

    Untuk rekod, Landasan Lumayan Sdn. Bhd. dianugerahkan kontrak untuk projek itu dalam usaha sama dengan firma swasta.

  • Serbuan di stor:4 lelaki diberkas, mercun RM1 juta dirampas

    Serbuan di stor:4 lelaki diberkas, mercun RM1 juta dirampas

    POLIS merampas mercun bernilai RM1 juta dalam serbuan di sebuah stor di Sungai Lang Baru, di Banting, pukul 6 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Perisikan Siasatan Khas (CPSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.

    “Ketika serbuan, empat lelaki tempatan dikesan sedang memunggah kotak-kotak mercun daripada sebuah lori. Kesemua mereka berusia 19 hingga 39 tahun kemudian ditahan.

    “Polis telah merampas 627 kotak mengandungi mercun dianggar bernilai RM1 juta selain rampasan sebuah lori yang dipercayai baharu tiba dari Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, siasatan awal mendapati tempat penyimpanan terbabit yang dipercayai aktif sejak Januari lalu belum mendapat sebarang kebenaran daripada pihak berkuasa.

    Semua tangkapan itu katanya, kini direman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM100,00 atau kedua-duanya.

    Ahmad Ridhwan mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menawarkan apa-apa penjualan mercun secara terbuka tanpa mendapatkan permit daripada pihak polis.

    “Bagi individu yang mempunyai permit menjual mercun perlulah mematuhi peraturan di mana tempoh penjualan hanya dibenarkan selama tiga puluh hari iaitu 25 hari sebelum dan 5 hari selepas tempoh musim perayaan untuk mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Pihak polis katanya juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan mercun tanpa lesen untuk segera tampil membuat aduan di balai polis terdekat.

  • ‘Kenapa PM tak arah polis, SPRM siasat Zahid isu LCS’

    ‘Kenapa PM tak arah polis, SPRM siasat Zahid isu LCS’

    AHLI Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, mempersoalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tidak mengarahkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan atau membuat pertuduhan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kata laporan.

    Memetik laporan Berita Harian, ia susulan Perdana Menteri sebagai Ketua Pembangkang sebelum ini, didakwa amat lantang bersuara hingga menyatakan Ahmad Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan sebagai pemimpin yang perlu menjawab isu Kapal Tempur Pesisir (LCS).

    Menerusi penyataan pembelaan difailkan terhadap saman oleh Perdana Menteri, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, Anwar menyatakan Ahmad Zahid bersubahat dan bersekongkol dalam perolehan LCS, selain menerima rasuah itu dirasakannya (Ahmad Zahid) lebih penting dari negara.

    “Satu konklusi jelas bahawa kerajaan plaintif (Anwar) akan cuba melindungi atau melengahkan penyelesaian isu membabitkan sekutu politik terkini, namun akan bingkas dan tegas terhadap seteru politik terutama Perikatan Nasional (PN).

    “Maka ini yang dimaksudkan oleh defendan (Awang) sebagai strategi dan kaedah mengugut yang secara jelas bukannya merujuk kepada satu perlakuan jenayah, namun adalah strategi dan kaedah politik yang digunakan terutama dalam politik sebenar.

    “Oleh demikian, kenyataan defendan adalah pandangan peribadi dan politik berdasarkan fakta yang sebenar,” katanya dalam penyataan pembelaan difailkan firma guaman mewakilinya, Tetuan Tengku Amalin & Faizi di Mahkamah Tinggi, semalam.

    Pada 3 Mac lalu, Anwar, 76, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memfailkan saman menerusi Tetuan SN Nair & Partners selaku plaintif dengan menamakan Awang sebagai defendan tunggal.

    Anwar mendakwa, bekas timbalan menteri itu mengeluarkan kenyataan fitnah apabila mendakwa sikap pendendam Perdana Menteri berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Awang membuat kenyataan berhubung pendakwaan terpilih itu ketika ditemui media di lobi Parlimen pada 21 Februari lalu.

    Dengan merujuk pendakwaan terhadap bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta, Awang dilaporkan mendakwa, ia adalah permulaan daripada tindakan Perdana Menteri.

    Awang berkata, pertuduhan ke atas Wan Saiful pada 21 Februari lalu, hanya kira-kira tiga bulan daripada tarikh Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

    Beliau berkata, tindakan sepantas itu yang dimaksudkannya sebagai permulaan Perdana Menteri ke-10.

    “Kontroversi paling besar dalam sejarah pentadbiran Dr Mahathir adalah Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987, membabitkan penahanan ratusan orang termasuk pemimpin politik seperti Lim Kit Siang (DAP), mendiang Karpal Singh (DAP), (Datuk Dr) Ibrahim Ali (UMNO) dan Halim Arsyat (PAS).

    “Operasi Lalang ini lanjutan daripada bantahan Dong Jiao Zong terhadap guru tiada kelayakan bahasa Cina dihantar oleh Kementerian Pendidikan (yang dipimpin Anwar ketika itu) ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina.

    “Jika dibandingkan tindakan kontroversi kerajaan Dr Mahathir dengan tindakan kontroversi kerajaan plaintif ketika ini jelas menunjukkan dari jangka masa, kerajaan Dr Mahathir melakukan Operasi Lalang hanya enam tahun selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

    “Pertuduhan terhadap seteru politik dibuat plaintif pula hanya dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.

    Awang menegaskan dia tidak angkuh, namun hanya menyatakan pandangan peribadi dan politik berdasarkan fakta sebenar.

    “Sememangnya plaintif memfailkan banyak saman atas isu politik. Gelaran ‘bapa saman negara’ adalah jolokan ‘in jest’ (gurauan) kepada seseorang yang memulakan satu trend baharu iaitu dalam kes ini menyaman pengkritik politik plaintif,” katanya.

  • ‘Tun M ambil masa 6 tahun, Anwar hanya 3 bulan untuk kenakan musuh politik’

    ‘Tun M ambil masa 6 tahun, Anwar hanya 3 bulan untuk kenakan musuh politik’

    AHLI Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim mendakwa, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengheret seteru politiknya ke mahkamah hanya dalam tempoh tiga bulan selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

    Dalam pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah yang difailkan Anwar, Awang membuat perbandingan antara Perdana Menteri itu dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    “Tindakan pertama Dr. Mahathir selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1981 ialah membebaskan 21 tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” ujar ahli Parlimen Pas itu.

    Katanya lagi, Operasi Lalang yang menyaksikan penahanan ahli politik kerajaan dan pembangkang hanya berlaku enam tahun selepas Dr. Mahathir memegang jawatan itu.

    Sebaliknya kata beliau, seteru politik Anwar dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh tiga bulan selepas Ahli Parlimen Port Dickson itu dilantik sebagai perdana menteri pada 24 Nov 2022.

    “Jika dibandingkan tindakan kontroversi yang dibuat oleh Kerajaan Tun Mahathir ketika itu dengan tindakan kontroversi yang dibuat oleh kerajaan plaintif ketika ini, jelas menunjukkan bahawa dari segi jangka masa, kerajaan Tun Mahathir melakukan Operasi Lalang hanya 6 tahun selepas Tun Mahathir dilantik sebagai perdana menteri, walhal pertuduhan terhadap seteru politik dibuat oleh plaintif hanya dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Defendan mendakwa bahawa pertuduhan jenayah terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bercanggah dengan dakwaan Anwar bahawa beliau tidak mengamalkan politik dendam.

    Awang mendakwa, kes jenayah itu berlaku selepas plaintif mengeluarkan kenyataan pada 5 Disember tahun lepas dengan mendakwa Perikatan Nasional (PN) dibiayai syarikat judi dan berlaku penyalahgunaan dana dalam projek Jana Wibawa.

    Beliau juga berkata, Anwar telah berhenti membuat kenyataan berhubung peranan Presiden UMNO, DatuK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) selepas kedua-duanya membentuk kerjasama dan Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

    “Kedua-dua situasi kes diatas melahirkan satu konklusi yang jelas bahawa Kerajaan Plaintif akan cuba melindungi atau melengahkan penyelesaian sebarang isu yang membabitkan sekutu politik terkini, namun akan bingkas dan tegas terhadap seteru politik terutamanya Perikatan Nasional. Maka inilah yang dimaksudkan oleh Defendan sebagai ‘strategi’ dan ‘kaedah mengugut’,” katanya.

    Pada 3 Mac, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Awang atas dua dakwaan iaitu mendakwa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyalahgunakan kuasa dengan campur tangan dalam agensi penguatkuasaan dan pendakwaan di Malaysia, dan kedua berhubung isu pelantikan plaintif sebagai perdana menteri ke-10.

    Awang menyebut mengenai pembelaan justifikasi di mana defendan bersedia membuktikan di mahkamah kenyataan atau dakwaan yang dibuatnya dan kedua, kenyataan itu dibuat sebagai komen yang berpatutan, bukannya sebagai kenyataan fakta melibatkan isu kepentingan awam.

    Menurut pernyataan pembelaannya, Awang berkata, beliau tidak mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Anwar tetapi membuat ulasan yang adil mengenai ‘proses pra-pelantikan’.

    Defendan mendakwa bahawa beliau membuat pemerhatian yang disokong oleh fakta mengenai ‘komplot Anwar dengan Zahid’ untuk memaksa 10 Ahli Parlimen BN menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri.

    Anwar diwakili peguam Sankara Nair manakala Awang diawakil firma guaman Amalin & Faizi.

  • Tiada maklumat bocor, kata KP imigresen selepas laman web digodam

    Tiada maklumat bocor, kata KP imigresen selepas laman web digodam

    LAMAN web rasmi Jabatan Imigresen (JIM) digodam oleh penyerang yang menggelarkan dirinya sebagai ‘CaptainSmok3r’ pada pukul 2 pagi tadi.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh, berkata serangan siber berbentuk defacement (perbuatan merosakkan permukaan) itu mengakibatkan muka hadapan laman web JIM ditukar kepada paparan imej yang lain.

    “Walau bagaimanapun, capaian yang berkaitan dengan perkhidmatan JIM seperti myIMMs, SSPI dan lain-lain tidak terkesan dengan serangan berkenaan.

    “JIM sudah mengambil langkah pembetulan serta-merta dengan menutup capaian laman web dari akses orang ramai dan melakukan kerja baik pulih serta konfigurasi keselamatan laman web,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, Bahagian Teknologi Maklumat JIM juga sudah mengadakan perbincangan dan kerjasama bersama pihak NACSA dan CyberSecurity bagi membantu JIM untuk tindakan pengukuhan laman web.

    “Laman web JIM dijangka pulih dan boleh diakses semula oleh orang ramai petang ini,” katanya.

    Ruslin turut menegaskan bahawa tiada sebarang kebocoran maklumat berlaku dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian atau spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam.

    Terdahulu JIM menerusi hebahan di media sosial seawal pagi tadi memaklumkan laman webnya iaitu www.imi.gov.my sedang diselenggara buat sementara waktu lapor Berita Harian.

  • ‘Pengeluaran KWSP bersasar masih perlu’, kata Hamzah

    ‘Pengeluaran KWSP bersasar masih perlu’, kata Hamzah

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan meskipun kerajaan berpendirian untuk tidak membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar disebabkan faktor tertentu, namun perkara itu dilihat masih perlu.

    “Ini kerana terdapat rakyat yang bergelut dengan kesusahan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

    “Ada menteri kata, kalau pencarum mati esok simpanan dan caruman dalam KWSP akan pergi kepada waris sebagai salah satu alasan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membenarkan pengeluarannya secara bersasar.

    “Betullah, tapi menteri takkan kita nak biarkan rakyat yang susah dan terhimpit untuk hidup itu mati dulu, sedangkan pengeluaran bersasar KWSP itu amat-amat membantu mereka?

    “Semalam kami dah buktikan solidariti Perikatan Nasional (PN) bersama para pencarum. Kami dengar denyut nadi mereka, dengar suara hati mereka dan perjuangkan tuntutan mereka,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook miliknya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, tujuan utama KWSP ditubuhkan adalah bagi memastikan mempunyai simpanan di hari tua.

    Justeru, ia merupakan sebab kerajaan tidak membenarkan sebarang caruman dikeluarkan meskipun secara bersasar kerana ia bakal memberi impak terhadap masa hadapan tabungan.

    Ujar beliau, dalam tempoh dua tahun lalu, sebanyak RM145 bilion caruman KWSP telah dibenarkan keluar oleh pentadbiran sebelum.

    Tambah Rafizi, sekiranya dana tersebut berterusan menyusut, ia berisiko menghadkan keupayaan perbadanan berkenaan untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik.

  • Lelaki bujang intai isteri orang dalam rumah ditahan

    Lelaki bujang intai isteri orang dalam rumah ditahan

    TINDAKAN seorang lelaki bujang berusia 30-an yang didakwa mengintai jiran wanita yang juga isteri orang ketika berada di dalam rumah di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam membawa padah selepas dia ditahan polis.

    Suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu ditahan sepasukan polis Daerah Barat Daya di kawasan kampung berkenaan yang menerima laporan kejadian terbabit daripada suami mangsa.

    Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan memaklumkan, hasil soal siasat mendapati perbuatan tersebut dikesan telah dilakukan beberapa kali oleh suspek.

    “Suspek kini direman sehingga 6 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” demikian menurut kenyataan itu yang dimuat naik di laman sosial Facebook hari ini.

    Difahamkan, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu negatif sebarang pengambilan dadah.

  • Tun M setuju beri PM Anwar masa lanjutan jawab tuntutan

    Tun M setuju beri PM Anwar masa lanjutan jawab tuntutan

    TUN Dr. Mahathir Mohamad setuju memberi masa lanjutan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjawab notis tuntutannya yang menuntut Perdana Menteri itu menarik balik kenyataan didakwa memfitnahnya pada Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023.

    Bekas Perdana Menteri itu yang mengemukakan notis tuntutan kepada Anwar pada 27 Mac lalu menerusi Tetuan Rafique melalui serahan tangan ke Pejabat Perdana Menteri, sebelum ini memberi tempoh tujuh hari kepada Anwar supaya menarik balik kenyataan berkenaan yang dibuat pada 18 Mac lalu.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Tetuan Rafique berkata ia menerima makluman daripada peguam cara Anwar, iaitu Tetuan Thomas Phillip bahawa mereka memohon masa hingga 17 April ini untuk menjawab notis tuntutan terbabit.

    “Anak guam kami tiada halangan kepada permintaan itu… anak guam kami juga merizabkan segala hak beliau dalam tuntutan ini,” kata firma guaman itu, lapor Berita Harian.

    Melalui sidang media pada 28 Mac lalu, Dr. Mahathir berkata walaupun Anwar tidak menyebut namanya (dalam kenyataan itu) tetapi berdasarkan laporan media, orang ramai faham tuduhan itu dilemparkan kepada dirinya.

    Bekas perdana menteri itu berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya iaitu beliau mempunyai berbilion ringgit dan mengagihkan untuk keluarga, anak dan sebagainya serta dia seorang penyangak.

    Dr. Mahathir berkata, ia memberi gambaran yang amat buruk terhadapnya dan adalah satu fitnah, melainkan Anwar boleh menunjukkan bukti bahawa beliau (Dr Mahathir) sudah mendapat berbilion ringgit dan melarikan duit itu ke luar negara serta tidak membayar cukai.

    Jelasnya, walaupun pernah melemparkan tuduhan hampir sama sebelum ini (sebelum menjadi perdana menteri) tetapi Anwar kini adalah Perdana Menteri yang mesti bertanggungjawab dan tidak boleh membuat tuduhan dengan begitu saja tanpa bukti jelas.

    Dr. Mahathir berkata, beliau membuat keputusan supaya Anwar menarik balik fitnah yang dilemparkan itu atau menunjukkan bukti dan jika tidak dijawab maka tindakan undang-undang akan diambil.

  • 3 ditahan disyaki pecah amanah lebih setengah juta ringgit jualan vape

    3 ditahan disyaki pecah amanah lebih setengah juta ringgit jualan vape

    TIGA lelaki berusia antara 22 hingga 25 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes pecah amanah membabitkan wang jualan sebuah syarikat menjual vape bernilai RM505,674.

    Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini berkata, mereka ditahan secara berasingan di sekitar Bayan Lepas dan George Town semalam.

    Jelasnya, tiga suspek terbabit ditahan kerana melakukan pecah amanah dengan mengambil wang hasil jualan produk syarikat iaitu sebanyak 28,093 botol vape yang bernilai RM505,674.

    ”Kegiatan pecah amanah ini dilakukan menerusi transaksi akaun bank persendirian,” demikian menurut kenyataan itu.

    Tambahnya, siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut sedang giat dijalankan dan kes disiasat menurut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

    Dalam perkembangan lain, tambah kenyataan itu, polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun dan seorang lelaki berumur 30 tahun di Jelutong dan Bayan Lepas semalam kerana dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan.

    Jelasnya, berdasarkan siasatan mereka disyaki menjadi keldai akaun oleh sindiket penipuan dalam urusan tawaran kerja sambilan melalui laman jualan Zalora dan urusan jual beli pakaian yang diiklankan melalui Facebook.

    ”Siasatan polis mendapati suspek-suspek itu terlibat dalam kes penipuan yang dilaporkan tahun lalu dan tahun ini. Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah RM7,234 sehingga RM61,946.

    “Mereka kini direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Dalam pada itu, tambah kenyataan tersebut, polisnmenasihatkan orang ramai membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau boleh memuat turun di Aplikasi Google Store Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi.

  • Pesara tentera mengaku tidak bersalah terima rasuah RM15,000

    Pesara tentera mengaku tidak bersalah terima rasuah RM15,000

    PESARA tentera didakwa atas satu pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM15,000 sebagai ganjaran untuk mengeluarkan surat tawaran kerja pembersihan Kem 5 Briged, di Kota Kinabalu, pada 2014.

    Tertuduh, Azman Ariffin, 62, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, di Kota Kinabalu, hari ini.

    Berdasarkan pertuduhan, Azman yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Staff 2 Gaji / Belanjawan di Markas Briged Ke-5 Infantri, Kem Lok Kawi, Sabah, didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM15,000.

    Tertuduh didakwa menerima wang berkenaan daripada seorang individu, Kasriza B. Sudin di Pintu Utama Suria Sabah Shopping Mall, Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu pada Ogos 2014.

    Wang berkenaan dikatakan sebagai upah untuk mengeluarkan Surat Tawaran Kerja-kerja Membersih Kawasan Kem 5 Briged bagi tempoh kontrak dari 1 Jun 2014 sehingga 31 Mei 2015, dengan nombor rujukan 5BGD/BEL/G4-(12) bertarikh 12 Mei 2014 atas nama SB Lui Enterprise.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

    Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM20,000 terhadap tertuduh dengan RM2,000 sebagai deposit dan seorang penjamin tempatan.

    Tertuduh turut diperintah melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali, manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee, manakala tertuduh diwakili peguam dari pejabat guaman Nohin & Partners.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Mei depan, lapor Berita Harian.