Author: Wartawan WartaRakyat

  • Budak maut jatuh kondo selepas kelas mengaji

    Budak maut jatuh kondo selepas kelas mengaji

    SEORANG kanak-kanak warga Somalia maut dipercayai terjatuh dari kondominium di Jalan Langkawi, Setapak.

    Kejadian itu disedari penduduk kira-kira 7 malam tadi, apabila terdengar dentuman kuat sebelum menemui mayat kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu.

    Difahamkan, mangsa baru selesai ke kelas mengaji di blok A kondominium itu.

    Menurut Astro Awani, ibu mangsa yang hendak menjemputnya pulang ke rumah, cemas apabila gagal menemui anaknya.

    Wanita itu kemudian menemui anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri atas jalan dekat blok B.

    Dua beranak itu dipercayai warga Somalia yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sejak 2017.

    Difahamkan, polis turut menemui beg sandang mengandungi al-Quran dekat tangga tingkat 4 berhampiran blok B.

  • 60 pelajar MRSM Gerik keracunan makanan

    60 pelajar MRSM Gerik keracunan makanan

    SERAMAI 60 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik mengalami keracunan makanan selepas dipercayai makan juadah ayam masak merah ketika berbuka puasa pada Ahad.

    Namun tiada kes dirujuk ke hospital, sebaliknya mereka hanya dirawat pasukan perubatan bergerak sebagai pesakit luar.

    Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A. Sivanesan berkata, pelajar Tingkatan Satu hingga Lima itu mengalami gejala sakit perut, cirit birit, muntah dan sakit kepala.

    Kerajaan negeri katanya, kecewa dengan kejadian berkenaan kerana melibatkan ramai pelajar.

    “Temu bual dengan pelajar mendapati masakan ayam telah berbau semasa dimakan.

    “Semasa makan pun sudah ada bau, takkanlah penyelia tidak tahu, takkanlah tukang masak tidak tahu. Jadi, macam mana ini dihidang kepada anak-anak kita?

    “Disyaki bahawa, ayam mentah telah rosak sebelum dimasak,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Ipoh, hari ini.

    Sivanesan pada masa sama mempersoalkan mengapa ayam berkenaan terus dimasak dan dihidangkan sedangkan disyaki telah rosak dari awal.

    “Kerajaan negeri memandang serius kejadian itu dan ia akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco hari ini untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya, lapor Astro Awani.

    Menurutnya, dapur asrama sekolah berkenaan telah diarahkan tutup selama tiga hari dan 10 sampel klinikal telah diambil untuk dianalisa.

    Untuk rekod, pada Januari 2018, media melaporkan seramai 34 pelajar maktab yang sama, terpaksa menerima rawatan apabila dipercayai mengalami keracunan makanan.

  • Melaka wujud semula Timbalan Exco, 10 ADUN akan dilantik esok

    Melaka wujud semula Timbalan Exco, 10 ADUN akan dilantik esok

    MELAKA akan mewujudkan semula jawatan Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi memantapkan lagi struktur pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang baharu dibentuk di negeri itu.

    Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pengumuman lantikan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu akan dilakukan esok, melibatkan wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    “Lantikan Timbalan Exco yang akan (diumumkan) komposisinya nanti cantik serta menarik, dan meletakkan semua ADUN berperanan untuk bersama-sama dengan Exco yang dilantik di bawah pentadbiran saya, menjadi lebih mantap.

    “Saya akan melantik Timbalan Exco dan saya akan umumkan esok selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri,” katanya di Ayer Keroh hari ini.

    Ab. Rauf berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia 10 Exco yang berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri.

    Terdahulu, 10 Exco mengangkat sumpah dengan tujuh ADUN dilantik semula menyertai barisan yang baharu itu dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.

    Pembentukan itu terdiri daripada sembilan ADUN BN dengan dua muka baharu serta seorang ADUN PH.

    Ab. Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara berkata, pendekatan mewujudkan jawatan Timbalan Exco bukan merupakan suatu pembaziran.

    “Sebaliknya saya mahukan semua ADUN BN dan PH dapat menyumbang peranan bersamanya dalam membawa Melaka ke peringkat yang lebih baik.

    “Lain dahulu, lain sekarang. Ia bergantung kepada cara kita. Dan zaman saya uruskan ketika ini, lebih sesuai meletakkan Exco dengan mengadakan Timbalan Exco, untuk bekerjasama membangunkan Melaka,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Menurutnya, tidak ada wakil rakyat yang tidak diberikan peranan ntuk bersama-sama dengannya dalam majukan Melaka.

  • Lori jatuh laut, pemandu dikhuatiri lemas

    Lori jatuh laut, pemandu dikhuatiri lemas

    SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas lori dipandunya terjatuh dalam laut di Terminal Maritim Lumut di Manjung, hari ini.

    Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 5.30 pagi.

    Ketua Operasi, Mohd Azizi Zakaria berkata, membabitkan mangsa berusia lingkungan 20-an dan lori berkenaan terjatuh dalam laut pada anggaran kedalaman 11 meter.

    Katanya, maklumat diperolehi mengesahkan terdapat hanya seorang mangsa dalam lori terbabit.

    “Kapal berdekatan dengan pelabuhan telah ditarik bagi memudahkan operasi menyelamat dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

    Ujar beliau, operasi menyelamat masih dilakukan dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor.

    “Dua unit kren dari pelabuhan, dalam tindakan untuk membawa naik lori ke tebing,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Bekas suami Loh didenda RM20,000 kerana hina mahkamah

    Bekas suami Loh didenda RM20,000 kerana hina mahkamah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM20,000 ke atas bekas suami kepada ibu tunggal Loh Siew Hong kerana menghina mahkamah.

    Hakim Evrol Mariette Peters pagi ini memerintahkan Muhammad Nagahswaran Muniandy yang merupakan mualaf membayar denda dalam tempoh 14 hari, jika tidak, dia akan dipenjarakan selama 14 hari, lapor Malaysiakini.

    Pada 20 September tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan ex-parte untuk Loh memulakan prosiding komital terhadap Muhammad, yang telah dituduh menculik tiga anak mereka dan mendaftarkan mereka sebagai mualaf tanpa persetujuannya.

  • Zuraida ingin kembali ke Bersatu tapi ditolak

    Zuraida ingin kembali ke Bersatu tapi ditolak

    KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Datuk Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan parti itu pada Mei tahun lalu memohon untuk menyertai semula selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Bagaimanapun permohonan Zuraida ditolak katanya, kerana beliau tidak melepaskan jawatan menteri yang diisi atas kuota Bersatu selepas keluar parti berkenaan.

    “(Permohonan Zuraida) Dihantar awal tahun tak silap saya,” katanya kepada FMT, dan menambah keputusan menolak permohonan Zuraida itu sebulat suara.

    Zuraida mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada Mei 2022, kerana dikatakan tertarik dengan perjuangan parti baharu itu.

    Meskipun Bersatu menuntut calon baharu daripada parti itu dilantik ke jawatan menteri perusahaan perladangan dan komoditi, perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri, mengekalkan Zuraida.

    “Sebabkan dulu kuota menteri beliau itu kuota Bersatu. Sebab itu kita tolak (permohonannya),” kata Fayhsal.

    PRU15 menyaksikan Zuraida gagal mempertahankan Parlimen Ampang yang dimenanginya atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak tiga penggal lalu.

    PBM menang satu daripada lima kerusi Parlimen yang ditandingi.

    Sebelum ini, Zuraida diuar-uarkan sebagai presiden menanti PBM namun tidak lama kemudian, pada Disember, parti itu mengumumkan pemecatannya.

    Pada bulan sama, Zuraida menyertai NGO Muafakat Nasional yang ditubuhkan bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

  • Tiga muka baharu dilantik menjadi Exco Melaka

    Tiga muka baharu dilantik menjadi Exco Melaka

    SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP antara tiga muka baharu yang dilantik menganggotai Exco kerajaan perpaduan Melaka.

    Ini menjadikan Exco Melaka terdiri daripada sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) dan seorang wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).

    Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Jumaat lalu, mengetuai portfolio Perancang Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.

    Harian Metro melaporkan tujuh wakil rakyat yang dilantik semula sebagai Exco Melaka ialah ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin yang dilantik sebagai Exco Kanan bagi portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana.

    Ia disusuli dengan ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan); ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh (Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan); ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti);

    Turut dilantik semula, ADUN Gadek, VP Shanmugam (Exco Belia, Sukan dan NGO); ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem (Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan) serta ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman (Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama).

    Tiga ADUN baharu yang dilantik adalah ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan (Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital); ADUN Ayer Limau (Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (Exco Kerja Raya, Insfrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan) serta Adun Kesidang, Seah Shoo Shin (Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna).

    Istiadat mengangkat sumpah jawatan itu diadakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Ali Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh pagi ini.

    Dua Exco yang digugurkan ialah ADUN Serkam, Zaidi Attan (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar) dan ADUN Rembia, Datuk Jailani Khamis (Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan).

  • Pengarah syarikat minta dibicara kes rasuah penjualan Menara KL

    Pengarah syarikat minta dibicara kes rasuah penjualan Menara KL

    SEORANG pengarah syarikat minta dibicarakan kerana didakwa menawarkan rasuah berjumlah RM7.5 juta sebagai dorongan untuk seorang menteri mempercepatkan cadangan penjualan saham dan pengambilalihan konsesi daripada Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (Menara KL).

    Pengarah Urusan Hydroshoppe, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh yang syarikatnya telah mengambil alih konsesi itu, didakwa menawarkan RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada bekas menteri komunikasi dan multimedia, Tan Sri Annuar Musa melalui pengarah MyCreative Ventures Tan Ser Lay.

    Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM yang dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin, tawaran itu dibuat antara Julai dan Ogos tahun lalu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya, lapor Malaysiakini.

    Sebelum ini, SPRM dilaporkan menyiasat dakwaan berhubung penjualan saham yang mencurigakan dan pengambilalihan konsesi penyelenggaraan Menara KL daripada Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Telekom Malaysia (TM).

  • Mahkamah benar permohonan Guan Eng dapatkan perbualan WhatsApp dua saksi

    Mahkamah benar permohonan Guan Eng dapatkan perbualan WhatsApp dua saksi

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan pihak pendakwaan untuk mengemukakan mesej perbualan WhatsApp antara dua saksi pendakwaan utama dalam kes rasuah terowong dasar laut Lim Guan Eng yang sedang berlangsung.

    Menurut Hakim Azura Alwi, permohonan Guan Eng itu memenuhi semua keperluan undang-undang.

    “Mahkamah mendapati terdapat dua ‘versi’ tentang siapa penerima bayaran RM2 juta itu.

    “Fakta penuh perlu dikemukakan di hadapan mahkamah supaya kebenaran dapat diketahui,” katanya, lapor FMT.

    Berita lanjut menyusul…

  • Jururawat rugi lebih RM200,000 terpedaya panggilan ‘inspektor’

    Jururawat rugi lebih RM200,000 terpedaya panggilan ‘inspektor’

    SEORANG jururawat kerugian lebih RM200,000 selepas terpedaya dengan panggilan yang menyamar sebagai pegawai polis antara November tahun lalu sehingga 1 April lalu.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pada November tahun lalu, mangsa berusia berusia 40-an berada di Tanah Merah dan menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa dia ada membuat tuntutan insurans.

    “Mangsa pada mulanya menafikan perkara itu dan diminta membuat laporan laporan di Balai Polis Ampang.

    “Mangsa sekali lagi mendapat panggilan kononnya daripada pegawai polis berpangkat Inspektor yang menyatakan wanita itu mempunyai waran tangkap dan waran pembekuan harta kerana terbabit dengan kes jenayah.

    “Mangsa diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang bagi siasatan, namun diberi pilihan bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan melalui panggilan telefon,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Agihan Bubur Lambuk kepada kakitangannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Koa Bharu, hari ini.

    Katanya, pada hujung November tahun lalu, mangsa pergi ke sebuah bank untuk membuat akaun baharu seperti yang diarahkan suspek kononnya bagi tujuan siasatan ke atas wang yang dimiliki mangsa.

    Menurutnya, mangsa diarah untuk mendaftar nombor telefon yang dimiliki suspek ketika membuka akaun bank itu.

    Sehingga Februari lalu katanya, mangsa membuat pindahan wang dari akaun bank lain ke akaun bank baharu bagi tujuan jaminan diri termasuk dua pinjaman bank yang dibuat dalam tempoh sebulan berjumlah RM148,000.

    Muhamad Zaki berkata, mangsa diarahkan supaya tidak membuat semakan ke atas akaun bank sepanjang tempoh siasatan.

    “Pada pukul 6 petang, 1 April lalu, mangsa membuat pemeriksaan akaun dan mendapati wang berjumlah RM207,000 tiada dalam simpanan sebelum membuat laporan polis.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Berita Harian.