Author: Wartawan WartaRakyat

  • Laporan nahas pesawat ragut nyawa KM Sabah dinyahklasifikasi – PM

    Laporan nahas pesawat ragut nyawa KM Sabah dinyahklasifikasi – PM

    KERAJAAN bersetuju menyahklasifikasikan siasatan nahas pesawat pada 1976 yang meragut nyawa ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan laporan itu selaras dengan prinsip ketelusan kerajaan perpaduan.

    “Kita rasakan kita ada tanggungjawab kepada rakyat Sabah dan waris untuk mendedahkan laporan itu.

    “Saya tidak percaya bahawa penemuan seperti ini, yang memberi kesan kepada waris, negeri dan orang awam harus disimpan di bawah Akta Rahsia Rasmi,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Bulan lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memerintahkan Putrajaya menyahklasifikasi laporan nahas pesawat itu, yang lebih dikenali sebagai “tragedi Double Six”.

    Hakim Christopher Chin mengeluarkan perintah untuk memaksa kerajaan mendedahkan kepada umum dokumen mengenai nahas itu dan memberi Putrajaya sehingga 8 Jun untuk mematuhinya.

    Keputusan oleh Chin adalah untuk tuntutan mahkamah yang difailkan oleh bekas ketua menteri Sabah Harris Salleh.

    Dalam kejadian pada 6 Jun 1976, Fuad yang baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai ketua menteri meninggal dunia bersama 10 yang lain termasuk menteri negeri apabila pesawat GAF Nomad yang dinaiki terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.

    Mereka yang maut termasuk menteri negeri Salleh Sulong, Chong Thien Vun dan Peter Mojuntin.

    Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas itu bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.

    Siasatan selesai kira-kira empat bulan kemudian, tetapi laporan penuh tidak didedahkan kepada umum. Sebaliknya, ia diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

  • Subsidi minyak masak: Anak Hamzah Zainudin didakwa di mahkamah

    Subsidi minyak masak: Anak Hamzah Zainudin didakwa di mahkamah

    MUHAMMAD Faisal, anak kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas sembilan pertuduhan mengenai pelanggaran berhubung subsidi minyak masak.

    Menurut Malaysiakini yang memetik laporan The Edge, Faisal, 39, didakwa bersama Azizul Abdul Halim, 55.

    Kedua-dua mereka adalah pengarah Rimba Merpati Sdn. Bhd., pemegang lesen minyak masak borong.

    Mereka didakwa memberikan maklumat palsu dengan mengeluarkan invois palsu mengenai penjualan minyak itu kepada syarikat peruncit tempatan yang menyalahi Seksyen 8(4) Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Minyak masak adalah barang kawalan menurut akta berkenaan.

    Hamzah pernah menjadi menteri dalam negeri semasa pentadbiran Perikatan Nasional.

    Beliau juga berkhidmat sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu dari Julai 2015 hingga Mei 2018.

  • Nusyuz: Mahkamah tetapkan 24 Mei pengurusan kes Musa Hassan, isteri

    Nusyuz: Mahkamah tetapkan 24 Mei pengurusan kes Musa Hassan, isteri

    MAHKAMAH Rendah Syariah di Kuala Lumpur menetapkan 24 Mei ini untuk pengurusan kes lanjutan bagi permohonan nusyuz bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap isterinya, Elly Afizahwati Abdul Jalil.

    Menurut peguam syarie, Datuk Hazizah Kassim yang mewakili Elly Afizahwati, mahkamah menetapkan tarikh tersebut bagi membolehkan pihaknya melengkapkan dokumen-dokumen yang diperlukan dan penyerahan dokumen terbabit kepada plaintif (Musa).

    “Kita lawan balik dan kita juga akan mengemukakan tuntutan balas ke atas pihak belah sana. Kita ikut sahaja perjalanan kes ini nanti.

    “Untuk tarikh akan datang ini, kita akan serahkan dokumen dan melengkapkan apa yang patutnya,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini. 

    Sementara itu, Musa, 72, yang hadir ke mahkamah memakai sut biru berkemeja putih dan bersongkok, memberitahu sejak isu ini dibawa ke mahkamah, beliau tidak lagi berkomunikasi dengan isterinya itu. 

    “Tiada apa pun setakat ini, tidak bercakap pun. Kita ikut sahajalah prosedur mahkamah,” katanya sebelum meninggalkan pekarangan mahkamah. 

    Mengulas mengenai tuntutan cerai, Elly Afizahwati, 42, berkata, dia tidak mengubah keputusannya. 

    “Keputusan untuk bercerai itu diteruskan, tiada perubahan sebab sudah tidak rasa apa lagi sekarang,” katanya ringkas lapor Utusan Malaysia.

    Elly Afizahwati memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 30 Mac lalu.

    Ibu kepada seorang anak lelaki berusia lapan tahun, yang juga bekas ahli perniagaan, memfailkan permohonan berkenaan kerana shiqaq (perbalahan berpanjangan).

    Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 2 Ogos 2013 lalu dan dikurniakan seorang anak.

    Pada 9 Mac lalu, Musa berkata, masalah rumah tangga yang dihadapinya itu bukanlah baharu sebaliknya berlarutan hampir tiga tahun, malah mereka tidak lagi tinggal sebumbung sejak enam bulan lalu.

    Beliau turut menggesa orang ramai supaya menghormati privasinya.

    Sebelum ini, tiga klip video berdurasi sembilan saat, 56 saat, dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.

    Pihak polis mengesahkan, telah membuka kertas siasatan berhubung satu kejadian membabitkan Musa dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak awal Mac lalu.

  • Misi untuk KWSP sudah tercapai, saya tak hirau kecaman orang

    Misi untuk KWSP sudah tercapai, saya tak hirau kecaman orang

    PEMANDU teksi, Norazlan Ismail yang berjalan kaki membawa misi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari Tol Skudai di Johor Bahru menuju Istana Negara, tidak menghiraukan kecaman sebahagian netizen terhadapnya.

    Norazlan, 49, berkata, yang penting misinya untuk membuka mata pemimpin berkaitan kepentingan pengeluaran caruman itu sudah dilaksanakan.

    “Saya juga tidak hirau sekiranya ada suara atau tangan nakal yang mendakwa saya tidak berjalan kaki sepenuhnya dalam misi itu.

    “Biar apa mereka hendak katakan, masing-masing ada mulut dan tangan. Apa yang saya hendak buktikan pada kepimpinan negara, saya sudah lakukan, Alhamdulillah.

    “Saya berpendapat, saya sudah berjaya membuka mata kepimpinan negara dan juga membuktikan bahawa saya amat memerlukan pengeluaran caruman KSWP ini,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Pada malam 28 Mac lalu, Norazlan nekad berjalan kaki sejauh 312 kilometer (km) demi membuka mata pemimpin berkaitan keperitan hidup yang terpaksa ditempuh rakyat sepertinya yang kesempitan wang.

    Bapa kepada lima cahaya mata itu tiba di Istana Negara kelmarin, selepas menempuh perjalanan selama lima hari.

    Namun, keadaan fizikal Norazlan yang tiba di Istana Negara dengan memakai pakaian formal suit lengkap dipertikaikan netizen yang mendakwa misi itu tidak dijalankan dengan sempurna.

    Bagaimanapun Norazlan ada menjelaskan, dia menolak pelawaan banyak pihak yang mahu menumpangkannya sepanjang perjalanan itu.

  • ‘Budak ini baik jaga mulut’ – Zuraida nafi ingin sertai Bersatu semula

    ‘Budak ini baik jaga mulut’ – Zuraida nafi ingin sertai Bersatu semula

    BEKAS Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin menafikan ingin kembali menyertai semula Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

    “Ini tidak benar… saya cuma sebut saya akan sokong PN (Perikatan Nasional) pada pilihan raya (negeri) akan datang.

    “Saya sokong parti berbilang kaum. Budak ini baik jaga mulutnya,” katanya memetik laporan Malaysiakini, hari ini.

    Zuraida mengulas laporan FMT yang memetik Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai berkata, Bersatu menolak permohonan Zuraida untuk menyertai semula parti itu selepas PRU15.

    Menurut Ahli Parlimen Machang itu, ini kerana Zuraida sebelum ini enggan melepaskan jawatan menteri yang diisi atas kuota Bersatu selepas keluar parti.

    Tambah Wan Fayhsal, keputusan menolak permohonan Zuraida dibuat secara sebulat suara.

    Mengulas lanjut, Zuraida berkata, beliau akan menghubungi Wan Fayhsal untuk menjelaskan perkara itu.

    Zuraida menyertai Bersatu selepas dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) susulan Langkah Sheraton pada 2020.

    Selepas meninggalkan Bersatu, Beliau menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru ditubuhkan, tetapi tidak lama kemudian dipecat berikutan perebutan kuasa dengan Presidennya, Larry Sng.

    Zuraida kini adalah Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), sebuah NGO yang diasaskan oleh bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

    Bekas menteri itu bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi Parlimen Ampang yang disandangnya selama tiga penggal pada PRU15 tetapi juga kehilangan wang pertaruhannya.

    Bulan lalu, katanya, beliau akan menyokong Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri akan datang di enam negeri.

  • Jackie Chan ke Malaysia tahun depan untuk penggambaran filem

    Jackie Chan ke Malaysia tahun depan untuk penggambaran filem

    BINTANG filem ternama Hong Kong, Jackie Chan menyatakan minatnya untuk menjalani penggambaran sebuah filem di Malaysia pada tahun depan.

    Beliau yang turut menempa kemasyhuran di Hollywood secara peribadi sangat merindui Malaysia dan begitu teruja untuk kembali lagi ke sini.

    “Saya yakin penonton di Malaysia akan mengalu-alukan saya menjalani penggambaran di sana (Malaysia). Sebetulnya, sudah ada jalan cerita (filem) yang akan menjalani penggambaran di sana.

    “Penerbit juga sudah mengenal pasti beberapa lokasi di Malaysia. Jika semua perkara berjalan lancar berdasarkan rancangan, kami akan melakukan penggambaran filem di sana,” kata Jackie seperti dilaporkan portal berita The Star.

    Pelakon berusia 68 tahun itu berkata demikian dalam wawancara eksklusif di Beijing, China sempena filem baharu lakonannya, Ride On yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

    Dalam wawancara itu, beliau turut berseloroh memberitahu tidak akan ‘meletupkan’ tempat atau melakukan aksi ‘terbang’ bangunan kali ini dalam lakonan terbaharunya kelak.

    Sekalipun tidak berkongsi panjang lebar mengenai filem yang belum memiliki tajuk itu, Jackie, bagaimanapun, memaklumkan, ia bukan filem bergenre aksyen.

    Kali terakhir Jackie menjalani penggambaran di Malaysia ialah pada tahun 1991 iaitu filem aksyen Supercop yang turut menampilkan pelakon kelahiran Malaysia yang juga pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh.

    Ketika penggambaran filem berkenaan berlangsung, beberapa jalan sekitar Dataran Merdeka teah ditutup.

  • Pesara, suri rumah kerugian RM200,000 ditipu ‘polis’, ‘pegawai insurans’

    Pesara, suri rumah kerugian RM200,000 ditipu ‘polis’, ‘pegawai insurans’

    DUA individu kerugian lebih RM200,000 selepas ditipu scammer menerusi panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis dan ejen insurans.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dua kes itu membabitkan mangsa lelaki, pesara swasta berusia 60-an kerugian RM109,750, manakala seorang lagi membabitkan suri rumah berusia 50-an kerugian RM120,400.

    “Bagi kes pesara swasta, ketika mangsa berada di rumah di Bukit Bunga, Jeli, lelaki itu dihubungi oleh seorang wanita mendakwa dari Balai Polis Ampang, Selangor.

    “Mangsa dimaklumkan terbabit jenayah penggubahan wang haram dan bagi siasatan, mangsa mendedahkan semua butiran akaun banknya kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu hari ini.

    Katanya, mangsa kemudian diarahkan supaya memasukkan wang ke dalam akaun banknya sebagai ikat jamin sendiri dan diminta supaya tidak membuat semakan ke atas akaun sepanjang siasatan.

    Pada 30 Mac lalu ujarnya, mangsa pergi ke bank dan mendapati wang dalam akaun hanya tinggal RM100 dan mengesyaki ditipu dengan nilai kerugian RM109,750.

    Susulan itu katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Bunga pada 2 April lalu.

    Muhamad Zaki berkata, bagi kes suri rumah, ketika berada di rumahnya di Pasir Mas pada 22 Februari lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita menyamar sebagai ejen insurans dan mendakwa dia membuat tuntutan palsu RM68,800 di Hospital Ampang Puteri.

    Beliau berkata, mangsa menafikan perkara itu sebelum talian disambung ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang dan bercakap dengan seorang Sarjan serta Inspektor.

    “Mangsa juga disambungkan talian kepada seorang peguam wanita yang menyuruh mangsa membuka akaun bank baharu dan mendaftarkan nombor telefon milik suspek atas akaun itu.

    “Mangsa membuat pindahan ke dalam akaun baharu iaitu wang yang dipinjam sebanyak RM60,000 dan simpanan RM70,000,” katanya, lapor Harian Metro.

    Pada 31 Mac, mangsa menceritakan kepada anaknya sebelum membuat semakan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mendapati hanya tinggal RM490,” katanya.

    Muhamad Zaki berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Johor kesan eksploitasi terhadap Orang Asli

    Johor kesan eksploitasi terhadap Orang Asli

    KERAJAAN Negeri Johor mengesan tindakan eksploitasi yang dibuat terhadap Orang Asli di negeri itu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi.

    Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara eksplotasi terhadap Orang Asli yang dikesan ialah penerokaan secara tidak sah tanah-tanah rizab Orang Asli di Johor yang dibangunkan untuk tujuan komersial.

    “Orang Asli turut digunakan sebagai jurupandu untuk memburu hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

    “Malah terdapat juga Orang Asli digunakan untuk mengekstradisi hasil hutan secara haram seperti kayu gaharu dan logam-logam bernilai.

    “Kerajaan Negeri sangat peka dan prihatin terhadap eksploitasi yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini kepada Orang Asli di Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kerajaan negeri akan menggunakan undang-undang sedia ada bagi melindungi mereka, antaranya Akta Orang Asli 1954 (Akta 134, Enakmen Tanah Kesultanan 1934, Kanun Tanah Negara (Akta 828), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Kaedah-kaedah Tanah Johor 1966.

    Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bahawa semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli diletakkan di bawah ‘Sultanate Land’ supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati.

    Jelas beliau, mana-mana kawasan yang telah diwartakan sebagai ‘Sultanate Land’ bukanlah bermaksud tanah itu milik peribadi Sultan, tetapi tanah itu dilindungi oleh Sultan supaya tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan tanah rizab tersebut.

    “Tuanku adalah custodian kepada tanah rizab ini bagi terus menjaga hak dan kepentingan Orang Asli di Negeri Johor dan Orang Asli Johor boleh menggunakan dan menikmati hasil hutan seperti yang termaktub dalam Akta Orang Asli 1954.

    Tambahnya, sejarah telah membuktikan bahawa semenjak pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar lagi dan sebelum wujudnya Akta Orang Asli 1954, kedudukan dan penempatan Orang Asli di Johor telah dijaga dan dibela oleh Kesultanan Johor.

    Sehubungan itu, Onn Hafiz berharap tiada mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan dan mengelirukan Orang Asli.

    “Janganlah menangguk di air yang keruh dan memutarbelitkan hasrat murni kerajaan negeri ini.

    “Jika ada mana-mana pihak memerlukan penjelasan dan maklumat yang lebih terperinci boleh berhubung dengan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Kerajaan perlu terbuka terima pandangan pakar

    Kerajaan perlu terbuka terima pandangan pakar

    KERAJAAN perlu bersikap lebih terbuka dengan meraikan perbezaan dan kepelbagaian pandangan terutama kalangan pakar dalam pelbagai bidang.

    Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, pandangan pakar wajar dialu-alukan bagi mendapat idea baharu bagi menangani isu semasa.

    Beliau percaya jika boleh meraikan kepelbagaian pandangan, kerajaan juga akan dapat manfaat hasil dialog dan percambahan idea.

    “Namun paling penting, pandangan-pandangan yang berbeza itu bukanlah mengganggu ketenteraman awam.

    “Pada masa sama, semua pihak perlu bertanggungjawab atas kebebasan bersuara dan jangan menyalahgunakan kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persepsi yang timbul apabila kerajaan didakwa menyekat pihak tertentu yang tidak sehaluan termasuk tidak dibenarkan muncul di media mesra kerajaan termasuk membabitkan ahli politik dan penceramah.

    Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hassan berkata, persepsi negatif yang timbul ketika ini mungkin kerana perbalahan secara umum antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

    Keadaan itu katanya, menyebabkan timbul persepsi negatif mengaitkan beberapa ahli politik dan penceramah yang condong kepada pembangkang termasuk dikatakan tidak dibenarkan muncul dalam media sama ada cetak atau televisyen.

    “Tetapi bagi saya, ia cuma persepsi kerana setahu saya tiada arahan yang diberikan kepada media tempatan supaya tidak menjemput penceramah atau ahli politik cenderung pembangkang daripada muncul dalam media mereka. Itulah dia yang dikatakan persepsi,” katanya.

    Namun ujar beliau, jika ada arahan tertentu mengenainya maka perkara demikian tidak sepatutnya berlaku.

    “Kemungkinan bukan sebab mereka pembangkang, mungkin ada sebab lain.

    “Tetapi penceramah dan ahli politik yang terkesan membuat kesimpulan mempersoalkan mengapa mereka tidak dijemput media adalah kerana mereka lebih mirip kepada pembangkang. Inilah juga yang dikatakan persepsinya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Justeru, katanya, apabila timbul persepsi negatif itu maka wajar Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Menterinya, Fahmi Fadzil mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan tiada arahan seperti digambarkan itu.

    Katanya, jika tiada sebarang kenyataan dikeluarkan mengenainya maka persepsi negatif itu akan menjalar dan memberi impak yang tidak baik kepada kerajaan terutama Perdana Menteri.

  • Penjawat awam Terengganu terima bantuan khas Aidilfitri RM700

    Penjawat awam Terengganu terima bantuan khas Aidilfitri RM700

    KERAJAAN Terengganu mengumumkan pemberian bantuan khas Aidilfitri berjumlah RM700 kepada penjawat awam di negeri ini.

    Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian itu membabitkan lebih 12,000 penjawat awam termasuk kakitangan kontrak di Terengganu dengan peruntukan hampir RM9 juta.

    “Pemberian bonus itu sebagai menghargai jasa dan komitmen mereka yang menggerakkan pentadbiran kerajaan.

    “Kita menyedari semua kakitangan kerajaan sudah berusaha bekerja dengan begitu keras sekali untuk mengembalikan ekonomi negeri dalam keadaan yang lebih baik.

    “Alhamdulillah, kita merasa sangat gembira dengan pencapaian kita dan itu (pemberian bonus) sebagai sumbangan kerajaan negeri kepada mereka semua,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Prihatin Ramadan Daerah Kuala Nerus di Masjid Nur Bakti, Kampung Wakaf Tembesu di Kuala Terengganu, malam tadi.

    Ahmad Samsuri berkata, pembayaran akan dibuat dalam masa terdekat sebelum sambutan Aidilfitri membabitkan semua kakitangan sama ada tetap atau kontrak.

    Beliau berharap, bantuan kewangan itu dapat meringankan beban penjawat awam di Terengganu dalam membuat persediaan untuk menyambut Aidilfitri.

    Tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan bonus sebanyak RM500 kepada penjawat awam di negeri itu.