BEKAS perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis mendakwa ada pihak sengaja tidak mahu orang Melayu bersatu demi kelangsungan politik mereka.
“Usaha untuk menyatukan orang Melayu tidak akan berjaya dan pasti akan ditolak sebarang usaha ke arah perpaduan.
“Rupa-rupanya ada orang Melayu yang berpendapat Melayu tak mungkin bersatu. Oleh itu tak usahlah cuba menyatu orang Melayu. Ia tak akan berjaya,” katanya pada satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.
Jelasnya, mereka yang berpendapat seperti itu tentu akan tolak sebarang usaha untuk menyatupadukan orang Melayu.
“Kalau orang Melayu tolak perpaduan apa yang akan mereka lakukan. Mereka akan sokong perpecahan yang sedang berlaku di kalangan orang Melayu,” katanya.
Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu tidak menamakan pihak yang dimaksudkannya tetapi memberi peringatan mengenai akibat rasuah terhadap sokongan undi dalam pilihan raya.
Katanya, mereka akan sokong orang yang utamakan kepentingan diri, berjuang untuk dapat wang duit dan jawatan melalui politik.
“Orang yang undi kerana sogokan. Jangan pedulikan siapa yang sogok asalkan disogok. Yang menyogok tentulah orang yang berduit, walaupun duit itu dicuri.
“Dan mereka akan menang dan kerajaan akan didiri oleh mereka,” katanya lagi.
Kerajaan yang didirikan oleh pencuri dan perasuah kata Dr. Mahathir, akan mencuri duit kerajaan serta akan membuat pinjaman berbillion untuk dicuri mereka.
Dr. Mahathir juga mendakwa ada orang Melayu merelakan perpecahan berlaku asalkan mereka mendapatkan ‘duit buta’ dengan mudah.
“Bodohlah jika tak terima duit buta. Tak payah kerja dapat duit. Undi sahaja. Lagi berpecah orang Melayu, lagi ramai yang akan curi duit untuk sogok, lebih banyaklah duit buta yang akan didapati oleh orang Melayu.
“Oleh itu tolaklah perpaduan. Perbanyaklah parti Melayu, jangan berhenti, pecah lagi, akan bahagialah anak cucu Melayu sebagai pengemis ‘duit buta’,” dakwanya lagi, lapor Malaysiakini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Dr. Mahathir mengalami kekalahan teruk di kerusi parlimen Langkawi. Beliau hanya menduduki tempat keempat dalam pertembungan lima penjuru.
Pada 16 Disember tahun lalu, ahli politik berusia 98 tahun itu meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Pejuang kemudian menamatkan kerjasamanya dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pada 14 Jan. Gabungan parti-parti Melayu itu ditubuhkan oleh Dr. Mahathir pada Ogos tahun lalu.
Berikutan itu, berlaku perpecahan dalam Pejuang apabila Mahathir yang merupakan pengerusinya tidak dapat bertentang mata dengan anaknya Datuk Seri Mukhriz, presiden parti berkenaan.
Dr. Mahathir kemudian meninggalkan Pejuang dan menyertai Putra.
Pada 19 Mac, beliau mengecam Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin zalim selepas rancangannya untuk mengadakan perhimpunan pro-Melayu gagal menjadi kenyataan.
Dr. Mahathir mendakwa kerajaan pimpinan Anwar menjadi dalang disebalik pembatalan pengajuran program itu.
Dalam pada itu, usaha Pejuang untuk mendapatkan keselamatan politik yang lebih terjamin dengan menyertai Perikatan Nasional (PN) gagal.
Majlis Tertinggi PN pada 21 Mac lalu memutuskan untuk menolak permohonan Pejuang untuk menyertai gabungan itu.
TINDAKAN seorang pembantu rumah warga Indonesia menggigit seorang daripada pasangan kembar diasuhnya kerana enggan tidur membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan, oleh sebuah Mahkamah Singapura, semalam.
Lapor Channel News Asia, mahkamah menjatuhi hukuman penjara itu ke atas Masita Khoridaturochmah, 33, yang didakwa atas pertuduhan mendera mangsa secara sengaja sehingga mengakibatkan kesakitan fizikal yang tidak perlu.
Bagaimanapun butiran mangsa dan lokasi, disunting daripada kertas pertuduhan berikutan mahkamah mengeluarkan perintah ‘gag’ bagi melindungi identiti mangsa.
Mahkamah diberitahu bahawa Masita mula bekerja dengan ibu mangsa sejak 2021, dengan antara tugas utamanya ialah menjaga pasangan bayi kembar perempuan itu dan melakukan kerja rumah.
Pada 26 Mei 2022, majikan Masita dilaporkan keluar rumah kira-kira pukul 5 petang untuk mengambil anak perempuan sulungnya pulang dari prasekolah.
Masita kemudian ditinggalkan di rumah bersama pasangan bayi kembar terbabit yang ketika itu berusia 14 bulan.
Wanita itu cuba menidurkan kedua-dua bayi berkenaan tetapi berang apabila seorang daripadanya tetap enggan tidur walaupun sudah dipujuk kira-kira setengah jam sehingga melambatkan dia memasak makan malam.
Kira-kira pukul 6.30 petang, Masita menggigit bayi itu sekali di lengan kiri bayi itu sehingga meninggalkan kesan lebam.
Sementara itu, hakim membenarkan permohonan Masita untuk hukuman penjara itu ditangguhkan selama seminggu bagi membolehkannya menyelesaikan beberapa urusan, termasuk menghubungi keluarganya di Indonesia untuk mengaturkan kepulangannya selepas selesai menjalani hukuman penjara nanti.
KERAJAAN negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM5.1 juta untuk memberi Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada 5,100 penjawat awam negeri itu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mengumumkan berita gembira itu berkata, keputusan berkenaan dibuat pada Mesyuarat Mingguan Exco hari ini.
Katanya, pembayaran tersebut akan dilakukan pada 18 April ini.
“Bantuan khas kepada kakitangan perkhidmatan awam negeri ini diberikan RM1,000 seorang melibatkan peruntukan RM5.1 juta untuk 5,100 penjawat awam,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut menjenamakan semula pelantikan ketua kampung yang kini dikenali sebagai Majlis Ketua Kampung (MKK).
“Pelantikan ketua kampung ini dinamakan sebagai Majlis Ketua Kampung untuk menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebelum ini.
“Pelantikan ini akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM13.8 juta untuk pembayaran elaun kepada mereka,” katanya.
AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengingatkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil tidak ‘spin’ kehadiran Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat terutama ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ).
Ini disebabkan Fahmi sendiri pun hanya hadir ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam dewan dan hilang tidak lama kemudian.
“Tak perlulah nak ‘spin’ mengatakan orang itu tak hadir, orang ini tak hadir seperti yang beliau buat kelmarin.
“Kenapa pula fokus masa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) saja dan bukan waktu lain? Sebenarnya kelmarin Fahmi sendiri pun hanya hadir bila Anwar Ibrahim ada dalam Dewan.
“Lepas tu dia terus hilang. Bila pecah tembelang, nak bagi alasan apa? Adakah kehadiran di Parlimen ialah untuk menjilat boss saja,” katanya di laman Facebook miliknya hari ini.
Menurut Wan Saiful lagi, kelmarin ketika di Dewan Rakyat, sewaktu Anthony Loke membahaskan rang undang-undang berkaitan kementerian beliau, semua kerusi MP dalam blok yang beliau duduk kosong (sambal berkongsi gambar dalam dewan berkenaan).
“Anthony kata Menteri dan Timbalan Menteri terpaksa ke Dewan Negara kerana menjawab soalan di sana.
Gambar di Dewan Negara
“Maka saya terus pergi ke Dewan Negara untuk check. Cuba lihat gambar kedua yang saya ambil. Saya hanya nampak Datuk Seri Mohamad Sabu, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan satu dua Timbalan Menteri. Tak lah seramai yang digambarkan oleh Anthony Loke,” katanya.
Gambar di dalam Dewan Rakyat
Wan Saiful turut mendakwa persepsi yang diberikan oleh Anthony tidak betul kerana MP kerajaan yang tidak hadir Dewan Rakyat sebenarnya tiada di Dewan Negara.
“Tapi, saya tak mahu komen mengenai isu kehadiran Dewan Rakyat. Bagi saya ini bukan perkara pokok. Kita harus faham bahawa hakikatnya, selain berbahas di Dewan Ahli-Ahli Parlimen juga ada tugas dan tanggungjawab lain yang juga wajib mereka laksanakan.
“Kita mesti adil dalam hal ini. Saya juga ada tidak hadir beberapa hari kerana menguruskan hal mahkamah dan peguam, dan ada hari saya terpaksa ke Tasek Gelugor untuk mesyuarat. Ada pula MP yang jadi Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Lembaga agensi, atau berjawatan dalam parti, mereka terpaksa pergi menunaikan semua tanggungjawab itu. Ada juga yang menghadiri Kamar Khas, APPG, mesyuarat portfolio, atau bertemu pengundi yang mahu jumpa di Parlimen atau di luar.
“Malahan ada juga MP yang terpaksa keluar sekejap menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa, atau tanggungjawab dalam persatuan atau syarikat yang mereka pegang amanah jawatan. Semua ini adalah asbab yang valid,” katanya.
Beliau juga menjelaskan dalam kalangan Ahli Parlimen PN, mereka punya kesedaran tinggi mengenai keperluan untuk hadir Dewan Rakyat selain persediaan untuk berbahas dibuat dengan rapi dan setiap hari akan berbincang pembahagian data, fakta dan peranan demi memastikan semak imbang yang baik.
“Jika ada dalam kalangan kami yang lewat atau tak dapat hadir, kami biasanya maklumkan kepada Ketua Whip, walaupun ramai yang terus tulis dalam whatsapp group MP PN saja supaya semua rakan- rakan juga tahu. Jadi tak perlulah cuba wujudkan persepsi songsang atau spin berlebihan.
“Saya lebih suka jika kita buat dua perkara iaitu memastikan kualiti perbahasan, soalan dan jawapan di kalangan mereka yang hadir adalah tinggi dan baik. Jangan jadi cacamarba seolah-olah kata-kata kita dalam Dewan tak penting, dan pastikan paksi kita ialah fakta.
“Seterusnya mempertingkat komitmen untuk kehadiran yang lebih baik. Ini tak boleh dielak. Memang mesti pastikan secara berterusan. Jika kita dapat pastikan dua perkara ini berlaku, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, saya yakin peranan parlimen sebagai badan legislatif dalam demokrasi berparlimen akan jadi lebih matang dan efektif,” katanya, lapo SatuBerita.
SEORANG wanita maut dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Besol, Bukit Besi, di Dungun, pukul 8 pagi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa, Rubiah Sabtu, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di bahagian muka.
“Pasangan tersebut baru mendirikan rumah tangga setahun lalu dan difahamkan, berlaku perselisihan faham antara mereka yang menyebabkan suspek berusia lingkungan 30-an tiba-tiba bertindak di luar kawalan.
“Difahamkan, suspek kemudian memberitahu ahli keluarganya yang tinggal berhampiran kediamannya tentang perbuatannya itu sebelum ahli keluarganya membuat laporan polis,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Katanya, susulan itu pihak polis menahan suami mangsa yang disyaki melakukan perbuatan tersebut.
Baharudin berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
KETUA Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan orang Melayu Islam supaya tidak angkuh hingga meminggirkan kumpulan minoriti lain.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) juga mengingatkan Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) itu supaya turut memberi nasihat kepada kaum lain juga agar tidak angkuh.
“Sejak bila Melayu Islam angkuh? Jika dikatakan sekadar peringatan dan tidak semestinya ia berlaku, nah kenapa tidak diperingatkan juga kepada selain Melayu Islam?” soal beliau yang juga Ahli Parlimen PN Pasir Mas, menerusi hantaran Facebook.
Dalam perkembangan berkaitan, gabungan pembela ummah turut menbidas kenyataan Anwar yang dianggap mahu menjadi juara kepada kaum lain dengan ‘menghentam’ bangsa sendiri.
Jurucakap gabungan itu mengingatkan Anwar bahawa sesetengah pengundi Melayu juga turut memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu.
“Jangan kerana hendak menjadi hero kepada kaum lain maka bangsa sendiri diinjak-injak. Adakah Anwar bukan Melayu?,” katanya kepada Agenda Daily.
Menurutnya Anwar yang kini mempunyai kuasa sepatutnya menjadi pelindung dan benteng kepada pihak yang semakin hari cuba mengganggu-gugat hak-hak keistimewaan serta ekonomi orang Melayu serta kedudukan Islam.
“Kami harap kerajaan tidak lari dan menyeleweng daripada perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan Perkara 153,” katanya sambil mengingatkan tentang sejarah bagaimana bangsa Melayu lebih bertoleransi terhadap kaum-kaum lain.
Semalam, Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama Warga Kementerian Kewangan mengingatkan orang Melayu Islam sebagai kaum majoriti di negara ini tidak berasa begitu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kumpulan minoriti lain.
Menceritakan pengalamannya ketika berkunjung ke Kemboja baru-baru ini, Anwar berkata beliau melihat sendiri bagaimana umat Islam minoriti di negara berkenaan dilayan.
“Saya iftar anjuran Perdana Menteri Kemboja bersama 6,000 umat Islam di sana. Umat islam di Kemboja hanya 10 peratus dan apabila diberi penghormatan, beri ucapan dan ke masjid di sana, saya sebut bahawa langkah ini menunjukkan negara majoriti (beragama) Buddha memberi dan meraikan kumpulan minoriti umat Islam dengan iftar dan beberapa ruang lain termasuk (melantik) menteri, seorang Muslim.
“Itu sebagai pengajaran, kadang-kadang kita yang majoriti (ini) rasa terlalu selesa dan angkuh dengan menganggap tidak boleh meraikan kelompok (minoriti) lain dan ini bukan dianjurkan dalam pengajaran pedoman Nabi Muhammad SAW,” katanya.
KEGIATAN sindiket pengurup wang didalangi warga asing yang beroperasi secara haram dengan berselindung di sebalik perniagaan restoran dan kedai runcit di sekitar Lembah Klang berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Kejayaan itu hasil serbuan 10 buah premis di beberapa lokasi di ibu negara dan sekitar Selangor melalui operasi khas dilancarkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) pada Ahad dan Isnin lalu.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, sindiket menggunakan modus operandi beroperasi di restoran, kedai runcit, kedai kosmetik dan kios menjual peralatan elektronik bagi menutup jejak aktiviti mengurup wang tanpa lesen.
“Pasukan operasi menyerbu 10 premis disyaki ada aktiviti pengurup wang tanpa lesen dan dikendalikan oleh warga asing terdiri warga Bangladesh, India dan Indonesia.
“Seramai 29 warga asing ditahan, berusia 29 hingga 40 tahun. Mereka membabitkan 11 lelaki Bangladesh, lima lelaki India, selain masing-masing lapan lelaki dan dua wanita Indonesia, dipercayai berperanan sebagai orang tengah dan menguruskan kiriman wang ke luar negara.
“Sementara itu, masing-masing seorang lelaki warga India, Indonesia dan Bangladesh, semua berusia 30 hingga 45 tahun dipercayai dalang utama sindiket juga berjaya ditahan di tiga lokasi berlainan dan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, proses penghantaran wang ke luar negara secara haram dikenali sebagai ‘Hawala’, iaitu tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi.
“Siasatan mendapati mereka juga mengenakan bayaran yang murah bagi menguruskan kiriman wang keluar negara,” katanya.
Katanya, pasukan operasi turut merampas wang tunai berjumlah RM300,527 disyaki hasil aktiviti pengurup wang, telefon bimbit, buku dan dokumen rekod kiriman wang ke luar negara seperti Bangladesh dan Indonesia.
“Berdasarkan jumlah wang tunai yang dirampas, sindiket ini dianggarkan mampu menguruskan kiriman wang ke luar negara mencecah RM108 juta setahun,” katanya.
Ruslin berkata, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
MAHKAMAH Tinggi Syariah di Shah Alam pada Rabu, menetapkan 30 Mei ini untuk sebutan inter-parte (dua pihak) pasangan pelakon, Farid Kamil dan Diana Danielle berhubung hak penjagaan hadanah interim (sementara) bagi dua anak mereka yang berusia 10 dan lapan tahun.
Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana Danielle atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, selaku pemohon berkata, mahkamah turut melanjutkan perintah interim hadanah secara ex-parte (satu pihak) kepada pelakon Gol & Gincu itu, sehingga 30 Mei.
“Diana Daniella dan Farid Kamil selaku responden telah maklumkan kepada hakim syarie bahawa mereka mahu ambil inisiatif untuk penyelesaian bagi kesemua isu.
“Nampaknya, ada harapan sebab pihak Farid Kamil juga sudah menyatakan kesediaan untuk berbincang dalam proses Sulh (penyelesaian pertikaian) yang ditetapkan pada 11 April ini,” katanya, lapor Sinar Harian
Jika terdapat sebarang penyelesaian berhubung permohonan itu, peguam syarie itu berkata, kedua-dua pihak akan memaklumkan kepada mahkamah dan perlu memfailkan afidavit masing-masing.
Sementara itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid Kamil atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 42, turut mengesahkan perkara berkenaan.
Diana Danielle ketika hadir bagi perbicaraan tuntutan hadanah di lobi Mahkamah Syariah Shah Alam, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Sebelum sebutan kes pada 30 Mei, terdapat satu prosiding Sulh pada 11 April yang mana pihak-pihak akan berbincang berhubung hadanah itu,” katanya, selepas sebutan isu hadanah di hadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa.
Pada 24 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini membenarkan permohonan Diana Danielle secara ex-parte melalui Pegiam Syarienya Puteri Ummi Kartini Abd Latiff dan memperoleh perintah interim hadhanah bagi dua anaknya itu.
Pada 20 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, Diana Danielle memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, yang juga pelakon, Farid, awal bulan ini.
Pelakon filem Imaginur itu membuat permohonan cerai atas alasan, tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai tersebut.
Difahamkan pasangan itu tidak lagi tinggal serumah.
Pasangan itu telah berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 8.
PELAKON Farid Kamil, 42, tetap dengan pendirian untuk mempertahankan rumah tangga bersama isterinya, Diana Danielle, 32, bagi mengelakkan dua cahaya mata mereka, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8, terpisah.
Beliau berkata akan berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga dibina sejak 11 tahun lalu.
Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari gembira dapat bertemu dengan isterinya hari ini.
“Apa yang boleh saya katakan, saya sedang berusaha menyelamatkan keluarga saya.
“Saya dalam proses memikirkan jalan terbaik untuk mencapai jalan perdamaian. Memberi anak-anak ibu bapa mereka semula dan menjalani hidup normal seperti sedia kala.
“Selama 11 tahun kami mengharungi pelbagai rintangan, jadi masih ada harapan. Jadi, saya letakkan harapan kepada Allah SWT supaya dapat kembali seperti biasa, suatu hari nanti.
“Saya tak pernah berhenti berusaha mencari isteri dan anak-anak di mana berada. Tetapi, banyak kekangan, apatah lagi saya sibuk dengan kerjaya pada Ramadan ini,” katanya.
Farid berkongsi perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi sebutan kali pertama kes hadanah dua anaknya.
Hadanah bermaksud permohonan penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan diri sendiri sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.
Diana Danielle ketika hadir bagi perbicaraan tuntutan hadanah di lobi Mahkamah Syariah Shah Alam, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Sementara itu, peguam mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, dia turuti arahan Farid untuk menyelamatkan rumah tangganya.
“Hari ini sebutan kali pertama hak jagaan sementara anak. Mahkamah sudah beri tarikh pada 30 Mei depan untuk sebutan sekali lagi kes ini.
“Arahan Farid kepada saya nak menyelamatkan rumah tangga dan anak-anak. Itu niat Farid sejak awal lagi. Selain itu, kami tak nak ketengahkan,” katanya, lapor Berita Harian.
Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.