MAHKAMAH Rendah Syariah Gombak menetapkan tarikh baharu pada 8 Mei depan bagi sebutan kes tuntutan nusyuz difailkan oleh pengarah, Syamsul Yusof, 39, terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana, 38.
Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof yang ditemani peguam syarie yang mewakilinya, Azmi Mohd Rais berkata, ia berikutan Puteri Sarah tidak dapat hadir kerana tuntutan kerja di luar negara.
“Hari ini adalah sebutan nusyuz, tetapi Puteri Sarah tidak dapat hadir kerana ada urusan di luar negara.
“Saya tak mahu cakap banyak sebab takut salah cakap. Apa-apa pun, doakan yang baik-baik antara saya dan Puteri Sarah sama ada berakhir dengan baik atau tidak.
“Doakan yang terbaik kerana kadang-kadang kita tidak tahu yang terbaik untuk kita mungkin tak baik untuk kita. Allah Maha Mengetahui.
“Hanya mampu bersangka baik kepada sesiapa sahaja,” katanya menurut laporan BH Online.
Mengulas lanjut, Syamsul juga memohon orang ramai mendoakan yang terbaik buat rakan-rakannya menghadapi kemelut rumah tangga.
“Doakan yang terbaik bukan untuk saya sahaja, tetapi rakan-rakan artis lain sebab kita nampak ia jadi ‘trend’.
“Ini bukan perkara main-main. Ini mengenai kehidupan peribadi dan tidak nampak indah yang disangka. Inilah realiti.
Pada soalan mengenai keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes cerai pada Isnin depan, Syamsul berkata, dia reda dengan apa sahaja yang bakal berlaku.
“Insya-Allah, saya cuba reda dengan apa sahaja, mudah-mudahan begitu juga dengan Puteri Sarah.
“Saya pun tidak mahu mengeluarkan kenyataan melukakan hati Puteri Sarah lagi. Harap boleh selesai dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Syamsul tiba di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, kira-kira pukul 9.10 pagi bagi sebutan pertama kes nusyuz terhadap Puteri Sarah.
Syamsul memfailkan permohonan nusyuz pada 21 Mac lalu di mahkamah sama.
Sementara itu, Puteri Sarah tidak hadir dan hanya mewakilkan peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Peguam Syamsul, Azmi berkata, Puteri Sarah terbabit dalam beberapa tuntutan nusyuz atas beberapa alasan.
“Syamsul sudah memfailkan kes tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah. Kami berusaha mendapatkan kebenaran menyerahkan saman, memandangkan Puteri Sarah tinggal di Wilayah Persekutuan.
“Jadi, kami akan serahkan saman ini kepada Puteri Sarah dalam masa terdekat ini.
“Nusyuz adalah isteri tidak taat dan derhaka, jadi Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz kepada Puteri Sarah kerana beberapa alasan yang dinyatakan dalam tuntutan.
“Antaranya, Puteri Sarah meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, masih menghubungi bekas kekasih, enggan mematuhi notis nusyuz dan keempat sudah membuat fitnah terhadap Syamsul seperti memukul serta tidak memberi nafkah,” katanya.
POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan khianat dengan memecahkan cermin rumah bekas isterinya di Taman Pinji Mewah, di Ipoh, seperti yang tular dalam media sosial, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis mengenai kejadian tersebut pada Selasa.
Menurutnya, hasil siasatan yang dilakukan, polis berjaya memberkas seorang lelaki tempatan, berumur 46 tahun yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kes tersebut, di Taman Ipoh, semalam.
“Keputusan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapatinya positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan di sini menurut Astro AWANI.
Suspek akan direman hari ini untuk membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat) dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan (pencerobohan jenayah).
Yahaya berkata, dengan tertangkapnya suspek tersebut, polis percaya kes berkenaan telahpun selesai.
Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video berkenaan sehingga menjejaskan siasatan polis dan menimbulkan kegusaran masyarakat.
Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 25 saat yang memaparkan seorang lelaki membuat khianat dengan memecahkan cermin sebuah rumah di Taman Pinji Ipoh.
PEMANDU teksi, Noorazlan Ismail yang mendakwa berjalan kaki dari Skudai sehingga ke Istana Negara bagi menuntut pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar baru-baru ini menceritakan pengalaman itu malam tadi.
Menerusi hantaran video Noorazlan berkata, jadual hidupnya tidak teratur sepanjang perjalanan tersebut malah ada ketika tertentu dia tidak tidur pun.
“Tidur saya tak tentu. Saya pun ikut kudrat saya, kadang-kadang sampai dua hari pun saya tak tidur,” katanya, menurut laporan Malaysiakini.
Datuk Seri Hamzah Zainudin sempat mengadakan perbualan dengan Noorazlan Ismail, 49, yang tular membuat keputusan nekad untuk berjalan kaki dari Skudai, Johor Bahru ke Istana Negara di ibu negara sejak minggu lepas.
Namun bagi Noorazlan, 49, dia ada cara tersendiri untuk mengatasi isu tersebut dan menganggap ia sebagai suatu “kelebihan” yang dikurniakan Tuhan.
“Dari segi tidur tu saya pun Alhamdulillah… dengan langkah saya penuh dengan selawat, zikir, mungkin satu kelebihan yang Allah bagi,” katanya.
Noorazlan menarik perhatian ramai apabila mendakwa berjalan dari Johor ke Kuala Lumpur sebagai usaha menarik perhatian kerajaan bagi membenarkan pengeluaran dana KWSP secara bersasar.
Di hadapan Istana Negara dia kemudian “secara kebetulan” bertemu pula dengan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang ke situ bersama beberapa NGO untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dalam isu yang sama.
Menurut Noorazlan dalam video malam tadi, dia menempuh jarak perjalanan sejauh kira-kira 312km dari Plaza Tol Skudai dengan memakan masa enam hari iaitu antara 28 Mac hingga 3 April.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan mengundang keraguan sesetengah pihak dengan ada antaranya membandingkan perjalanan pelakon Sharifah Sofia Syed Hussein sejauh kira-kira 235km selama sembilan hari dari Taman Negara di Pahang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun lalu.
Dalam video malam tadi, Noorazlan menjawab persoalan dibangkitkan aktivis Syarul Ema Rena Abu Samah atau dikenali juga sebagai Ratu Naga dan pegawai penyelidik Wan Saiful yang baru-baru ini didakwa di mahkamah, Mohamad Shafiq Abdul Halim.
Sesi itu diadakan sebagai usaha menjawab keraguan orang ramai pada Noorazlan.
Ketika ditanya bagaimana dia tidur semasa dalam perjalanan, Noorazlan berkata dia akan melelapkan mata di mana sahaja apabila berasa letih, sebelum kembali menyambung perjalanan.
Noorazlan Ismail
Suami isteri beri kot
Antara tempat dia merehatkan badan ialah di bawah jambatan, taman awam, dan di atas rumput basah di pinggir pembahagin jalan.
“Ada sekali tu dengan basah hujan pernah juga saya tidur kat tepi divider tu… di atas rumput. Wah itu yang paling… terkesanlah.
“Dengan keadaan baju basah, dalam beg tu semua penuh baju pun basah juga. Dengan keadaan rumput basah. Oh kalau kenangan ni aAlhamdulillah sampai bila-bila saya tak akan lupa,” katanya.
Menurut Noorazlan dia memulakan perjalanan itu kira-kira jam 10 malam pada 28 Mac, kemudian tiba sekitar jam 4 pagi atau 5 pagi pada 3 April. Berdasarkan kenyataan tersebut secara keseluruhan dia menghabiskan masa lima hari dan empat atau lima jam.
Noorazlan turut menafikan pernah menaiki atau menumpang sebarang kenderaan di sepanjang jalan. Kerana perjalanan itu juga lehernya dibakar terik sinaran matahari dan kakinya juga melecet.
Pun begitu tambahnya dia bernasib baik kerana bertemu dengan ramai orang yang baik hati dan menolongnya di sepanjang perjalanan tersebut.
Misalnya individu didakwanya bernama “Dr Rahman” yang merawat kecederaan pada kakinya. Tidak cukup dengan itu lelaki terbabit turut menghadiahkan kasut baru walaupun dia lebih suka berjalan dengan selipar disebabkan kecederaan tersebut.
Doktor itu juga dakwa Noorazlan membawakan pakaian ganti apabila mengetahui dia basah kuyup selain membekalkan power bank.
Sepasang suami isteri yang ditemuinya pula memberikan beg berisi beberapa helai pakaian ganti bersama makanan dan air, selain sut yang dipakainya semasa berada di luar Istana Negara.
Noorazlan sempat bergurau yang dia menerima begitu banyak tawaran untuk diberikan kasut baru. Jika diterima, katanya, dia boleh berhenti jadi pemandu teksi dan menjual semula kasut berkenaan.
Ditanya mengapa pada suatu ketika dia berhenti mengkemas kini media sosial mengenai perjalanan tersebut Noorazlan menjelaskan tindakan tersebut dibuat atas nasihat polis.
Sengaja tutup telefon
Dakwanya nasihat tersebut diterima semasa mereka berbincang di pejabat pengendali syarikat lebuh raya berkenaan di susur keluar Yong Peng di Johor.
Ketika itu Mohamad Shafiq yang didakwa Noorazlan ditemuinya kali pertama di pejabat Plus mencelah untuk memberitahu ada anggota polis dari Cawangan Khas Johor yang menasihatkan pemandu teksi terbabit agar membatalkan perjalanan berkenaan.
Kata Mohamad Shafiq anggota polis terbabit bimbang kerana isu pengeluaran KWSP “sensitif dari segi politik” dan perjalanan Noorazlan boleh menarik orang ramai atau mengundang kritikan kepada kerajaan.
Dia kemudian didakwa menawarkan diri untuk menghantar Noorazlan pulang.
Dalam perbincangan itu, Noorazlan turut dinasihatkan supaya tidak berjalan di lebuh raya atas faktor keselamatan.
Semasa dia meneruskan perjalanan dan sampai ke Pagoh, Noorazlan berkata dia kerap dihubungi oleh “pihak tertentu” dan mula bimbang jika amaran anggota polis terbabit menjadi kenyataan.
Keadaan itu katanya boleh menjejaskan misi dia ke Istana Negara.
“Ada banyak (panggilan) telefon masuk, jadi dari situ lebih baik saya tutup telefon. Saya tak nak mereka tahu keberadaan saya. Jadi pasal itulah saya tak update, tak upload sampai misi saya berjaya,” katanya.
Mendakwa mematuhi nasihat anggota keselamatan sebelum itu, kata Noorazlan, memang dia kemudian menggunakan jalan raya biasa namun sesekali kembali ke lebuh raya untuk mempercepat perjalanan tersebut.
Ditanya mengapa dia memilih untuk mengambil jalan sukar dan panjang untuk memperjuangkan isu KWSP, Noorazlan berkata, dia sebenarnya tidak berminat dalam politik.
Katanya dia memilih bertindak begitu kerana melihat pengeluaran KWSP adalah cara untuk dia menyelesaikan hutang yang ditanggung.
Apabila melihat sikap kerajaan menolak cadangan membenarkan pengeluaran bersasar KWSP, katanya, dia mula memikirkan cara untuk menunjukkan bahawa wang itu memang diperlukan.
“Sebenarnya apa yang saya hadapi sekarang, maksudnya saya berjalan terus memang susah… memang susah. Itulah kehidupan saya sebenarnya.
“Saya nak membuktikan, nak menunjukkan kepada pemimpin kita, memang orang yang macam saya ni betul-betul memerlukan sangat (wang KWSP).
“Bukan sekadar (macam) NGO-NGO dan pemimpin-pimpin yang menyokong ini je. Mungkin mereka sekadar cakap sahaja… daripada mulut.
“Tapi ni saya buat secara perbuatan (untuk) bagi pemimpin kita buka mata,” katanya.
LELAKI yang disyaki membunuh isterinya menggunakan tukul besi di rumah mereka di Kampung Besol, Bukit Besi di Dungun, pagi semalam direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Suspek berusia 32 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun kira-kira pukul 8.40 pagi tadi dan perintah tahanan reman ke atasnya dikeluarkan oleh Majistret Noradila Ab Latif.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata polis mendapat perintah reman terhadap suspek sehingga Rabu depan.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh binaan ditahan oleh anggota polis semalam sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu,” katanya.
Dalam kejadian itu, suspek dipercayai bertindak membunuh isterinya, Rubiah Sabtu, 41, dengan memukul di bahagian muka dan kepala dipercayai menggunakan tukul besi.
Kejadian kira-kira pukul pagi itu berlaku selepas mangsa pulang ke rumah sebaik selesai menghantar seorang anaknya di sebuah sekolah berhampiran.
Suspek dipercayai bertindak demikian disebabkan berlaku perselisihan faham di antara mereka.
Terdapat enam kesan kecederaan akibat hentakan kuat dipercayai menjadi punca kematian Rubiah dengan pemeriksaan fizikal ke atas mangsa menemukan dua kesan hentakan pada bahagian mata kanan serta di bahagian dahi, hidung, mulut dan telinga kanan mangsa.
TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketiadaan kelibat tiga pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) tidak perlu dijadikan isu.
Menurut bekas menteri alam sekitar dan air itu, ramai yang tersilap faham keperluan hadir semasa sesi PMQ yang ditetapkan pada setiap Selasa itu.
“Semasa sesi PMQ bukan semua orang boleh tanya soalan (kepada perdana menteri), kalau Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir pun bukan boleh tanya soalan pun.
“Orang yang tanya soalan bertulis saja, apabila perdana menteri jawab, orang yang sama saja boleh bertanyakan soalan tambahan, bukannya sesuka hati orang lain boleh mencelah,” katanya.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, perjalanan sidang Dewan Rakyat mempunyai peraturan tersendiri dan sebarang pertanyaan tertakluk kepadanya.
Pada masa sama beliau berkata isu pemimpin utama pembangkang tidak hadir sepatutnya tidak berbangkit.
Bahkan katanya ketidakhadiran ahli parlimen kerajaan adalah lebih “dahsyat” lagi terutama apabila perdana menteri tiada dalam dewan berkenaan.
“Kita (PN) ada lebih 70 ahli parlimen dan perkara itu (ketidakhadiran) hanya sekadar isu yang dibangkitan seolah-olah nak burukkan pembangkang.
“Tak perlu berbangkit pun, kalau nak kira ketidakhadiran mereka (wakil rakyat kerajaan) lagi dasyat, masa perdana menteri ada saja penuh” katanya, menurut laporan Malaysiakini.
Tuan Ibrahim berkata begitu pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf di Kota Bharu, semalam.
Terdahulu Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menzahirkan rasa kecewanya dengan membayangkan pembangkang tidak mengambil peluang dalam waktu PMQ untuk bertanya sebarang soalan kepada Anwar Ibrahim.
Antara yang tidak hadir semasa sesi berkenaan kelmarin ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin; Pengerusi PN merangkap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Tunggu keputusan akhir
Abdul Hadi juga merupakan timbalan pengerusi PN.
“Pagi ini YAB Anwar Ibrahim menjawab soalan mengenai hasil lawatan rasmi ke China; isu vape; dan isu doktor kontrak.
“YAB Zahid Hamidi dan YAB Fadillah Yusof hadir sekali.
“Malangnya, sekali lagi Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang tidak hadir dan tidak menanyakan soalan,” tulis Fahmi di media sosial.
Katanya, PMQ pada setiap Selasa adalah peluang terbaik pembangkang untuk membangkitkan soalan, berdepan, dan bersemuka dengan Anwar.
Analisis terhadap rekod kedatangan Dewan Rakyat pada tahun lalu menunjukkan tiga pemimpin terbabit antara yang mencatatkan kehadiran paling buruk dalam pemantauan antara 26 Julai 2021 hingga 23 Mac 2022.
Itu bukan kali pertama Fahmi membangkitkan perkara tersebut dan berkongsi gambar tempat duduk kosong tiga pemimpin kanan PN itu.
Sementara itu dalam perkembangan lain Tuan Ibrahim berkata PN sudah mengadakan perbincangan berhubung agihan kerusi bagi berdepan pilihan raya negeri tidak lama lagi.
Bagaimanapun katanya perkara itu belum muktamad dan prosesnya berjalan dengan lancar.
“Setakat ini semua negeri sudah mengadakan perbincangan dan tidak berdepan sebarang masalah berbangkit. Cuma tunggu untuk buat keputusan akhir,” katanya.
DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam masa terdekat berhubung status peruntukan pembangkang.
Menurut Timbalan Presiden Pas itu, PN sudah melantik tiga Ahli Parlimen untuk membuat rundingan itu, iaitu Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.
“Rundingan akan dilakukan dalam tempoh terdekat, kita tidak tahu berapa jumlah peruntukan sebenar, namun perdana menteri memaklumkan akan memberi jumlah yang sama dengan Ahli Parlimen kerajaan.
“Kita nak tengok bukti nanti dan apa syarat yang dikenakan,” katanya di Kota Bharu semalam, lapor Berita Harian.
Tuan Ibrahim turut berharap peruntukan itu dapat disalurkan dengan kadar segera bagi membantu rakyat terutama ketika Ramadan.
“Saya jangkakan rundingan hanya berlaku sekali saja sebelum selesai,” katanya.
Perdana menteri sebelum ini menegaskan beliau tidak menolak prinsip memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sepertimana yang diberikan kepada wakil rakyat pemerintah.
Beliau menyeru pihak pembangkang agar berunding dengan pemerintah agar isu peruntukan Ahli Parlimen boleh diselesaikan secepat mungkin, namun setakat ini, menurutnya, beliau hanya berdepan permusuhan.
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan yang dikendalikan empat kru termasuk tekong warga Indonesia selepas didapati menceroboh perairan negara.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan itu ditahan kapal ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung pada kedudukan 50 kilometer barat daya Pulau Kendi, kira-kira pukul 10.13 pagi semalam.
Ujarnya, pemeriksaan awal mendapati bot yang berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang Sumatera Utara, Indonesia itu dikendalikan empat kru termasuk tekong berumur antara 17 hingga 33 tahun.
”Ketika diperiksa kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
Sehubungan itu, tambahnya, bot dan kru serta peralatan menangkap ikan disita dan ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Dalam masa sama, tegas beliau, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.
“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian O4-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.
KERAJAAN Negeri Pulau Pinang memberi bonus Aidilfitri kepada kakitangan awam negeri itu sebanyak 0.75 gaji bulanan atau minimum RM1,500 sempena sambutan hari raya Aidilfitri akan datang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) yang akan dibuat pada 17 April itu turut dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.
”BKK yang dianggarkan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM10.95 juta kepada kerajaan negeri tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebagai tambahan, BKK berjumlah RM300 masing-masing juga disalurkan kepada penyelia dan guru Kelas Al-Quran serta Fardu Ain (KAFA); guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR); guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR); kakitangan SRAR; SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK); guru tahfiz, pondok dan tadika Islam (Tadis).
”BKK berjumlah RM300 ini juga akan disalurkan kepada guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang,” katanya.
Tambah beliau, selain sebagai persediaan menyambut Syawal yang lebih bermakna pada tahun ini, BKK itu juga untuk menghargai sumbangan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kakitangan awam negeri dalam memastikan pentadbiran negeri berada pada landasan yang tepat untuk merealisasikan visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara.
SATU daripada dua penyokong Perak FC yang maut dalam kemalangan selepas menonton perlawanan bola sepak antara pasukan mereka melawan Johor Darul Takzim (JDT), malam tadi pernah memuat naik hantaran untuk kekal menyokong pasukan mereka sehingga hujung nyawa.
Hantaran Facebook (FB) itu dimuat naik oleh mangsa bernama Faiz Bazli yang menyatakan; ‘Perak (Perak FC) sampei hujung nyawe (nyawa),”.
Faiz atau nama sebenarnya Muhammad Faiz Bazli Abdul Hamid, 25, serta seorang rakannya Izzwan Syamel Denial Ismail, 18, maut apabila motosikal ditunggang bergesel sesama sendiri di Jalan Susur Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara antara Bercham-Jelapang di sini.
Memetik laporan Harian Metro, Faiz Bazli dikesan memuat naik hantaran terbabit pada 26 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam, motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang Faiz Bazli menghala Jelapang dipercayai bergesel dengan motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggang oleh Izzwan Syamel.
“Selepas kedua-dua motosikal itu bergesel, sebuah lagi motosikal iaitu jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang oleh remaja lelaki berusia 16 tahun turut terbabas ketika cuba sempat mengelak.
“Akibat kemalangan, Faiz Bazli dan Izzwan Syamel maut di lokasi kejadian, manakala penunggang Yamaha Y15ZR cedera dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut,” katanya, hari ini.
Yahya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, laman FB ‘Ultras’ Perak, The Supporters turut memuat naik ucapan takziah terhadap pemergian kedua-dua penyokong itu.
Ucapan takziah susulan pemergian dua sekawan itu turut dirakamkan oleh Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang menzahirkan ucapan takziah menerusi kenyataan di FB rasmi Perak FC, Perak Football Club.
“Saya mewakili pihak pengurusan, barisan jurulatih dan pemain menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan keluarga mangsa tabah menghadapi ujian besar ini.
“Sekali lagi, kami menghargai sokongan peminat Perak FC yang hadir setiap minggu untuk menyokong (skuad) The Bos Gaurus,” katanya.