Author: Wartawan WartaRakyat

  • PN mampu rampas Pulau Pinang daripada DAP pada masa depan

    PN mampu rampas Pulau Pinang daripada DAP pada masa depan

    PAS bersama Perikatan Nasional (PN) mampu merampas pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada DAP pada masa depan.

    Keyakinan itu dilaungkan Pesuruhjaya Pas III Pulau Pinang, Mohd. Yusni Mat Piah berdasarkan momentum sokongan rakyat terhadap Pas dan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

    Jelasnya, kejayaan Pas ‘merampas’ enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang selain mengekalkan satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam dianggap sebagai momentum kebangkitan yang ditunggu-tunggu selama ini.

    Selain Pas, ujar beliau, keupayaan rakan sekutu Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meraih empat lagi kerusi DUN membuktikan gabungan parti itu begitu bersungguh-sungguh untuk ‘menawan’ Pulau Pinang.

    “Gelombang PN di Pulau Pinang ketika ini cukup kuat walaupun kita boleh dianggap sebagai satu gabungan parti yang masih baharu.

    “Tidak mustahil, Pas dan PN mampu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada DAP dengan usaha keras secara berterusan pada masa depan.

    “Kalau nak ikut, DAP pun berapa kali ‘depa’ (mereka) buat Ops Tanjong (sebelum berjaya mentadbir Pulau Pinang). Pilihan raya tahun 1990, 1995, 1998 dan 2004. Semua gagal. Tahun 2008 baru berjaya.

    “Lima kali ‘depa’ lancarkan operasi (untuk tawan Pulau Pinang). Jadi, kita (PN) pun baharu lagi dan memang kita nampak gelombang (kebangkitan) sekarang memihak kepada PN,” katanya kepada pemberita malam tadi.

    Terdahulu, beliau diumumkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga buat penggal kedua selepas berjaya menewaskan pencabarnya, Mohd. Naim Salleh yang mewakili Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 5,537.

    Mengulas mengenai kejayaannya mempertahankan kerusi DUN tersebut, kata Mohd. Yusni, beliau begitu seronok dan gembira kerana tidak lagi menjadi wakil tunggal pembangkang untuk berbahas pada sesi persidangan DUN selepas ini.

    “Insya-Allah, kali ini kita (pembangkang DUN) akan kembali balik dengan lebih kuat dan kita akan tengok apa yang kita boleh tawarkan daripada manifesto (PN) sebelum ini (untuk dilaksanakan).

    “Walaupun kita tidak mampu untuk mentadbir dan mengambil alih (kerajaan negeri), tetapi kita tetap akan bawa serta cadangkan kepada pihak kerajaan hari ini (termasuk dari segi projek pembangunan dan sebagainya),” katanya.

    Selain DUN Penaga, Pas turut menang di Pinang Tunggal; Sungai Dua; Permatang Pasir, Sungai Bakap; Permatang Berangan dan Pulau Betong.

  • Chow Kon Yeow angkat sumpah Ketua Menteri Pulau Pinang

    Chow Kon Yeow angkat sumpah Ketua Menteri Pulau Pinang

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua di Seri Mutiara, di Georgetowan hari ini.

    Chow, 65, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada pukul 9.35 pagi.

    Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang Datuk Mohd Sayuthi Bakar serta barisan pimpinan PH dan Barisan Nasional (BN) negeri.

    Chow, yang sebelum ini pernah diumumkan menjadi calon Ketua Menteri oleh PH jika parti itu memenangi pilihan raya, akan mengetuai Kerajaan Negeri Perpaduan setelah gabungan PH-BN itu memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, lapor BERNAMA.

    Beliau memperoleh 8,261 undi dengan majoriti 7,116 menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) H’ng Khoon Leng yang mendapat 1,145 undi.

    Chow, yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu Kawan, menyandang kerusi DUN Padang Kota sejak 2008 hingga sekarang.

    Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 14 Nov 1958, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Jalan Sungai Besi (1), Kuala Lumpur sebelum ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada 1971.

    Chow menyambung pendidikan tinggi ke Kolej Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 1976 hingga 1977 sebelum menyambung pengajian tinggi di Universiti Sains Malaysia untuk Ijazah Sains Sosial pada 1980 hingga 1984.

    Pada 1978, Chow pernah berkerja sebagai Penggubal Undang-undang di firma swasta dan sebagai Penolong Penyunting, National Echo (Mingguan Sabtu) pada 1985.

    Kerjaya politik Chow bermula apabila beliau mula bertugas sebagai setiausaha politik kepada Lim Kit Siang pada 1986 dan memegang jawatan Penolong Setiausaha DAP Pulau Pinang pada 1989.

    Beliau pertama kali bertanding pada Pilihan Raya Umum 1990 dan berjaya menewaskan calon BN Dr Loh Hock Hun di DUN Pengkalan Kota dengan majoriti 3,670 undi.

  • Kemenangan besar PN Pulau Pinang manifestasi rakyat tolak gabungan PH-BN

    Kemenangan besar PN Pulau Pinang manifestasi rakyat tolak gabungan PH-BN

    KEMENANGAN besar Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN) semalam disifatkan sebagai satu manifestasi dan referendum penolakan rakyat terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

    Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, meskipun tiga daripada 10 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pas tewas, namun undi yang diperolehi mereka melebihi 40 peratus sekali gus menunjukkan gelombang kebangkitan rakyat telah berlaku.

    “Inilah julung kali dalam sejarah Pas Pulau Pinang memenangi sehingga tujuh kerusi DUN sejak PRU pertama sehingga PRN Ke-15 ini, bermakna Pas memenangi 70 peratus daripada jumlah calon yang bertanding,” katanya kepada pemberita semalam.

    Muhammad Fauzi turut menang kerusi DUN Sungai Dua dengan majoriti 5,509 menewaskan lawannya yang juga Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Shaikh Hussein Mydin yang bertanding atas tiket PH-BN.

    Muhammad Fauzi menambah, kemenangan Pas di Pulau Pinang isyarat jelas yang mana penyokong Pas-PN tidak berkompromi dengan politik retorik seperti yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri yang ditadbir oleh parti DAP.

    “(Kemenangan) Ini bukan retorik, dan mereka menolak politik retorik, politik DAP dan juga PH yang selama ini tidak mengotakan janji mereka kepada rakyat sendiri.

    “Justeru, kita berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bakal ditubuhkan nanti sedar dengan kehadiran suara rakyat ini dan jangan lagi menindas dan menekan mana-mana pihak yang tidak sealiran dan tidak bersetuju dengan mereka,” katanya.

    Pada PRN kali ini, calon-calon Pas menang selesa di DUN Penaga; Pinang Tunggal; Permatang Berangan; Sungai Dua; Permatang Pasir; Sungai Bakap dan Pulau Betong.

  • UMNO sudah tidak relevan, PN wadah utama politik Melayu – Muhyiddin

    UMNO sudah tidak relevan, PN wadah utama politik Melayu – Muhyiddin

    Kejayaan besar Perikatan Nasional meraih sokongan pengundi Melayu menandakan bahawa Perikatan Nasional adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini. 

    Berikutan itu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,UMNO telah menjadi tidak relevan lagi dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

    Berikut kenyataan penuh selepas keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diumumkan malam tadi;

    PERIKATAN Nasional ingin mengucapkan setinggi-tnggi terima kasih kepada semua pengundi yang telah memberi sokongan kepada semua calon Perikatan Nasional yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 di 6 buah negeri yang telah berlangsung pada hari ini (semalam)

    Perikatan Nasional juga mengucapkan tahniah kepada 146 calon Perikatan Nasional yang telah memenangi pilihan raya ini. Ini adalah satu pencapaian yang memberangsangkan kepada Perikatan Nasional yang bertanding sebanyak 245 kerusi. Ini bermakna Perikatan Nasional telah memenangi sebanyak 60% kerusi yang ditandingi.

     Kejayaan Perikatan Nasional mempertahankan negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan suatu kemenangan yang besar membuktkan sokongan padu pengundi-pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional.

    Pada masa yang sama, Perikatan Nasional juga telah membuat major inroads di Negeri Selangor dengan memenangi 22 kerusi berbanding hanya 5 kerusi yang disandang oleh PN sebelum ini.  Kesemua 22 kerusi ini ialah kerusi majoriti Melayu yang membuktikan bahawa Perikatan Nasional mendapat sokongan besar pengundi- pengundi Melayu di negeri Selangor.

     Kejayaan memenangi 22 kerusi ini juga bermakna Perikatan Nasional telah berjaya menafikan majoriti 2/3 kerajaan PH-BN di negeri Selangor, yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat mereka. Saya percaya sekiranya peratusan keluar mengundi lebih tinggi, Perikatan Nasional akan berjaya merampas negeri Selangor.

    Di negeri Pulau Pinang, seperti mana dijangka gelombang sokongan pengundi Melayu di negeri itu telah membawa kejayaan besar kepada Perikatan Nasional dengan memenangi 11 daripada 15 kerusi majoriti Melayu. Ini adalah satu tamparan hebat kepada Anwar Ibrahim apabila semua kerusi DUN dalam Parlimen Permatang Pauh dimenangi oleh Perikatan Nasional.

     Kejayaan besar Perikatan Nasional meraih sokongan pengundi Melayu menandakan bahawa Perikatan Nasional adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini.  UMNO telah menjadi tidak relevan lagi dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi. Ini bermakna UMNO kalah 82% daripada keseluruhan jumlah kerusi tersebut.

     Perikatan Nasional juga berjaya memenangi kerusi campuran seperti Kulim dan kerusi majori5 kecil Melayu seper5 Derga yang menunjukkan bahawa Perikatan Nasional turut mendapat sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu.

     Ini membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan termasuk juga masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh dan perpaduan palsu yang diterajui oleh Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi.

     Maka benarlah pilihan raya negeri ini merupakan referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi yang menerajui gabungan ini mesti mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan serta merta.

      Alhamdulillah, Perikatan Nasional menghormati suara pengundi dan menerima keputusan pilihan raya ini dengan hati yang terbuka.

     Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua jentera parti, semua pengundi Perikatan Nasional, petugas Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, Polis Diraja Malaysia, petugas keselamatan dan semua pihak yang terlibat dalam Pilihanraya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15.

  • Kemenangan mutlak di Terengganu beri lebih kekuatan kepada Pas – Hadi

    Kemenangan mutlak di Terengganu beri lebih kekuatan kepada Pas – Hadi

    PERIKATAN Nasional (PN) memenangi kesemua 32 kerusi yang dipertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu semalam sekali gus menyaksikan buat julung kalinya, tiada wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

    Gabungan Pas dan Bersatu, yang bertanding menggunakan logo ‘Bulan,’ membentuk kerajaan negeri di Terengganu setelah menjalinkan kerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15. 

    Pada PRN kali ini, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden PAS mempertahan kerusi Ru Rendang dengan majoriti 17,286 setelah memperoleh 20,927 undi untuk mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Suhaimi Sulaiman yang meraih 3,641 undi.

    Bekas Menteri Besar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Said pula bertanding atas tiket PH-BN namun kalah apabila hanya memperoleh  9,645 undi berbanding 13,403 undi yang dimenangi calon Pas, yang juga merupakan Pengerusi Bersatu Datuk Razali Idris, lapo BERNAMA.

    Seorang lagi bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman tewas di kerusi Seberang Takir setelah mendapat 9,359 undi berbanding Khazan Che Mat daripada Bersatu (Pas) yang memperoleh 12,156 undi.

    Satu-satunya calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di Terengganu, Luqman Long, yang bertanding di DUN Bandar dan calon Bebas di DUN Hulu Besut, Dr Che Harun Kamariah, hilang deposit selepas masing-masing sekadar meraih 372 dan 180 undi.

    Sementara itu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang percaya proses semak dan imbang masih boleh berfungsi meskipun tiada wakil pembangkang dalam DUN Terengganu. 

    Ahli Parlimen Marang itu berkata kemenangan mutlak di 32 kerusi DUN akan memberikan lebih kekuatan kepada Pas Terengganu untuk memimpin negeri tersebut dan banyak masalah berbangkit boleh diselesaikan. 

    “Walaupun tiada pembangkang tetapi Ahli Dewan sendiri boleh nasihatkan kerajaan. Kita akan galakkan budaya nasihat dalam dewan dan rakyat juga bebas untuk menyuarakan kritikan melalui saluran yang betul,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRN dan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu di Masjid Rusila, malam tadı.  

    Ahmad Samsuri pula berkata kerajaan negeri tiada masalah untuk meneruskan kerjasama baik dengan Kerajaan Persekutuan.

    “Kami di negeri ini sangat terbuka, jadi kita mengharapkan kerajaan Pusat dapat berlapang dada untuk menerima keputusan rakyat Terengganu ini,” katanya. 

  • Calon wanita tunggal PN Terengganu raih kejayaan

    Calon wanita tunggal PN Terengganu raih kejayaan

    CALON wanita tunggal Perikatan Nasional (PN) di negeri ini, Zuraida Md. Noor memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

    Berita Harian melaporkan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita itu menewaskan pencabar daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Sabri Alwi.

    Ketua Pengarah Ameerah Malaysia itu menang dengan majoriti 4,373 undi selepas memperoleh 11,663 undi manakala Mohd Sabri peroleh 7,290 undi.

    Pencalonan Zuraida pada PRN kali ini menggantikan penyandang kerusi DUN berkenaan, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar yang memilih tidak bertanding bagi memberi laluan kepada muka baharu.

    Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Tengku Hassan memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan Mohd. Sabri dengan memperoleh undi sebanyak 8,201, manakala Mohd Sabri (7,838).

    Selain mengekalkan DUN Ladang, tiga lagi DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu iaitu Bandar, Wakaf Mempelam dan Batu Buruk kekal dimenangi Pas.

    Pada PRU14 lalu, Pas memenangi 22 daripada 32 DUN, sekali gus berjaya merampas semula kerajaan negeri, manakala BN memperoleh 10 kerusi.

  • Penolakan ahli BN terhadap gabungan bersama PH bantu kecemerlangan PN di Kedah

    Penolakan ahli BN terhadap gabungan bersama PH bantu kecemerlangan PN di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan, kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) di Kedah turut dibantu oleh penolakan ahli-ahli parti dalam Barisan Nasional (BN) terhadap tindakan gabungan tersebut bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH).

    Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu, apa yang berlaku menunjukkan manifestasi daripada gabungan BN serta PH yang tidak direstui ahli-ahli mereka.

    “Ini adalah satu petanda bahawa berlaku gelombang untuk mengelak PH dan BN. Saya rasa orang BN pun menolak kerjasama PH dan BN.

    “Sebelum ini saya menang dengan majoriti kira-kira 2,400 tetapi kali ini lebih 16,000. Saya tak jangka dapat majoriti sebanyak itu dan saya dapati, ada juga penyokong BN tak keluar mengundi.

    “Rakan saya, Datuk Muhammad Khizri Abu Kasim (Calon BN DUN Jeneri) menjadi mangsa kepada percaturan pimpinan parti yang telah bergabung dengan PH. Kebanyakan pengundi menolak perkara itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas diumumkan sebagai pemenang di Sekolah Menengah Kebangsaaan Agama Sik, Kedah.

    Sanusi diumumkan sebagai pemenang di Sekolah Menengah Kebangsaaan Agama Sik, Kedah, malam ini.

    Setakat ini keputusan rasmi menunjukkan PN telah menguasai Kedah dengan kemenangan dua pertiga dan Muhammad Sanusi mencatat kemenangan majoriti sebanyak 16,050 ke atas Muhammad Khizri.

    Diminta mengulas penularan gambarnya yang memegang kertas undi dalam keadaan terbuka hingga menampakkan undiannya pagi tadi, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak berhasrat untuk mendedahkannya kepada umum seperti yang terpapar di kebanyakan medium ketika ini.

    “Gambar tular itu disebabkan ada wartawan tak bertanggungjawab. Apabila saya sampai ke tong undian, wartawan minta saya pusing ke sana sini dan tanpa disengajakan kertas itu terbuka.

    “Dalam banyak-banyak gambar, dia (wartawan) pilih gambar itu untuk siarkan. Saya fikir itu etika yang tak bagus untuk wartawan kerana ada beribu lagi gambar yang elok tetapi kenapa pilih gambar itu?” soalnya.

    Tambahnya, beliau telah melayan kehendak wartawan tetapi wartawaan berkenaan kemudiannya ‘mengenakannya’ dalam hal itu.

    “Saya akan cari dia sampai lubang cacing untuk beri nasihat. Jadilah mata lebah, bukan mata lalat. Orang nak ‘pekena’ saya ini banyak sampai menteri pun ada turun sini nak buat demikian, tapi tak ‘kena’ pun.

    “Jadi tak payahlah buat kerja begitu kerana banyak lagi gambar lain lebih baik. Tak elok buat kerja begitu,” katanya.

  • PRN Terengganu: Dua bekas Menteri Besar tumbang

    PRN Terengganu: Dua bekas Menteri Besar tumbang

    DUA bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman tewas kepada pencabar masing-masing pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Ahmad yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal tewas kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris dengan majoriti 3,758 undi.

    Razali yang merupakan muka baharu mengalahkan Ahmad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu selepas memperoleh 13,403 undi.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ahmad kekal mempertahankan kerusi DUN Kijal yang disandang sejak 1990 dengan majoriti 1,265 undi.

    Ahmad menerima 9,545 undi menewaskan calon Pas, Hazri Jusoh yang menerima 8,280 undi dan calon Pakatan Harapan, Wan Marzuki Wan Sembok yang memperoleh 1,472 undian.

    Sementara itu, Ahmad Razif juga tewas kepada pencabarnya, Khazan Che Mat dengan majoriti 2, 797 undi.

    Ahmad Razif yang merupakan penyandang kerusi Seberang Takir sejak 2008 memperoleh 9,359 undi manakala Khazan mendapat 12,156 undi, lapor Sinar Harian.

  • Mahdzir Khalid kalah di Pedu

    Mahdzir Khalid kalah di Pedu

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah hari ini.

    Beliau kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas yang juga penyandang kerusi DUN itu, Mohd. Radzi Md. Amin dengan majoriti 6,373 undi.

    Keputusan rasmi yang diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pedu, Iman Hazwan Abd Halim di pusat penjumlahan undi di Dewan Badlishah, Kolej Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kuala Nerang, malam ini menyaksikan Mahdzir memperoleh 8,024 undi manakala Mohd. Radzi mendapat 14,397 undi.

    Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah pernah menyandang kerusi DUN Pedu selama dua penggal antara 2004 hingga 2013.

    Mahdzir sebelum ini juga gagal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu selepas tewas kepada calon PN dalam saingan tiga penjuru.

  • Azmin Ali menang di Hulu Kelang

    Azmin Ali menang di Hulu Kelang

    PERCATURAN Perikatan Nasional (PN) meletakkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang membuahkan hasil selepas bekas Menteri Besar Selangor itu menang di kerusi berkenaan.

    Keputusan rasmi di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyaksikan Mohamed Azmin menang dengan majoriti 1,617 undi.

    Pengerusi PN Selangor itu memperoleh 25,597 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH), Juwairiya Zulkifli dengan 23,980 undi.

    Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN sebelum ini memenangi kerusi DUN Bukit Antarabangsa atas tiket Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Susulan perpindahan itu, PN menampilkan peguam yang juga aktivis kemasyarakatan, Shasha Lyna Abdul Latiff untuk mempertahankan DUN Bukit Antarabangsa.