Author: Wartawan WartaRakyat

  • Dua ahli Parlimen PN tolak pelawaan Rauf sertai kerajaan perpaduan

    Dua ahli Parlimen PN tolak pelawaan Rauf sertai kerajaan perpaduan

    DUA ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menolak pelawaan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh untuk menyertai kerajaan negeri pimpinannya.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban yang juga Ketua Pembangkang Melaka, Yadzil Yaakub dan ADUN Sungai Udang, Aleef Yusof kekal dengan prinsip menjadi pembangkang berwibawa dengan menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri.

    “Saya dan ADUN Sungai Udang akan kekal berada di blok pembangkang. Bukan soal macam mana kami nak lawan, tapi janganlah takut kepada kami, kepada pembangkang yang hanya berdua,” katanya dalam catatan dalam Facebook.

    Semalam, Rauf dilaporkan berharap dua ADUN PN akan menyertai kerajaan perpaduannya, sebelum Enakmen Anti Lompat Parti dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Julai ini.

    Katanya, jika dua ADUN itu bersetuju menyertai kerajaan negeri pimpinannya, ia bakal mencatat sejarah sebagai negeri pertama sifar pembangkang.

    Dalam perkembangan lain, Yadzil menyifatkan pelantikan timbalan Exco Melaka merupakan pembaziran.

    “Kerajaan Melaka sendiri dari peringkat awal tidak mampu menyediakan peruntukan hanya kepada dua ADUN pembangkang, tetapi melantik (10) timbalan Exco, menjadikan 21 daripada 28 ADUN (menyertai kerajaan), yang mustahil tanpa belanja tambahan.

    “Keputusan ini menggambarkan kerajaan Melaka lebih mengutamakan keselesaan ADUN dalam blok kerajaan berbanding membawa agenda rakyat,” katanya, lapor FMT.

  • Bekas Ahli Parlimen PKR sertai Santiago dalam SPAN

    Bekas Ahli Parlimen PKR sertai Santiago dalam SPAN

    BEKAS Ahli Parlimen Merbok daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nor Azrina Surip dilantik menganggotai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

    SPAN dalam catatan di Facebook berkata, Azrina bersama sembilan individu lain menerima watikah pelantikan daripada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pagi tadi.

    Beliau menyertai bekas Ahli Parlimen Klang daripada DAP, Charles Santiago yang dilantik semula untuk mengetuai suruhanjaya itu bulan lalu. Santiago memegang jawatan itu dari 1 Nov 2018 hingga 31 Okt 2020 ketika Pakatan Harapan berkuasa.

    Azrina memiliki ijazah sarjana dalam kejuruteraan alam sekitar dari Universiti Sains Malaysia dan ijazah sarjana muda kejuruteraan awam dari Universiti Teknologi Malaysia, lapor FMT.

    Beliau menjadi Ahli Parlimen selama satu penggal selepas memenangi kerusi Merbok di Kedah pada PRU 2018 dengan majoriti 10,072 undi.

    Beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional, Nazri Abu Hassan dengan 21,019 undi pada PRU15 pada November lalu.

  • Jawatan timbalan Exco hanya untuk beri ganjaran kepada penyokong Rauf dalam UMNO?

    Jawatan timbalan Exco hanya untuk beri ganjaran kepada penyokong Rauf dalam UMNO?

    KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh digesa menjelaskan keputusannya melantik 10 timbalan kepada Exco negeri itu.

    Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, Rauf perlu mewajarkan pelantikan timbalan Exco dengan menyediakan skop tugas mereka.

    “Beliau mesti menyatakan sebabnya. Adakah ia bertujuan mewujudkan pekerjaan untuk ahli politik? Atau adakah mereka mempunyai peranan substantif,” soal Maria.

    Beliau memberitahu FMT, Rauf perlu menjelaskan sama ada peranan timbalan Exco itu berbeza daripada kakitangan sedia ada di jabatan berkenaan.

    “Apa yang boleh dilakukan timbalan Exco, tetapi tidak boleh dilakukan kakitangan,” soalnya lagi.

    Katanya, mempunyai 10 Exco sama seperti mempunyai Jemaah Menteri di Melaka sekali gus mempersoalkan dari mana datang wang untuk membayar gaji mereka.

    Malam tadi, Rauf menamakan 10 timbalan Exco dan portfolio masing-masin dengan lapan daripada Barisan Nasional (BN) dan dua lagi Pakatan Harapan (PH).

    Terdahulu, beliau menyifatkan komposisi timbalan Exco Exco menarik dan pelantikan mereka akan membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok kerajaan memainkan peranan lebih menonjol dalam pentadbiran negeri.

    Bekas Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr.Michael Jeyakumar Devaraj berkata, Exco tidak perlu mempunyai timbalan kerana ia akan meningkatkan beban kewangan kerajaan dan dana itu lebih baik digunakan di tempat lain berbanding membayar gaji timbalan Exco.

    Beliau turut mempersoalkan sama ada pelantikan itu dibuat hanya untuk tujuan politik.

    Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berpendapat, jawatan itu adalah skim untuk memberi ganjaran kepada penyokongnya dalam UMNO.

    Ujarnya, jawatan timbalan Exco sebenarnya tidak perlu dan ADUN Perikatan Nasional (PN) harus meminta Rauf memberi justifikasi terhadap pelantikan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Ia kelihatan seperti skim untuk memberi ganjaran kepada penyokongnya dalam kem UMNOnya. Selain itu, wang itu boleh digunakan dengan lebih baik.”

    Malam tadi, Rauf juga dilaporkan berharap dua Adun PN akan menyertai kerajaan negeri sebelum undang-undang anti-lompat parti dibentangkan di DUN pada Julai nanti.

    Ketua UMNO Melaka itu berkata, jika dua ADUN itu bersetuju menyertai pentadbirannya, Melaka akan mencipta sejarah sebagai negeri pertama sifar pembangkang.

  • Rumah terbakar dibaling bom petrol

    Rumah terbakar dibaling bom petrol

    BAHAGIAN depan sebuah rumah di Taman Taming Jaya, Cheras terbakar dipercayai akibat dibaling bom petrol.

    Pengarah Bomba Selangor Morni Mamat berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke tempat kejadian selepas panggilan diterima pada 3.45 pagi tadi.

    “Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kebakaran membabitkan bahagian hadapan rumah berkenaan,” katanya, menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, kebakaran itu dipercayai akibat bom petrol yang dibaling seseorang disyaki mempunyai unsur khianat.

    Katanya, struktur rumah itu tidak terjejas kerana hanya rak kasut yang terbakar.

  • Penganggur mengaku salah tanam dua pokok ganja

    Penganggur mengaku salah tanam dua pokok ganja

    SEORANG penganggur berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku salah menanam dua pokok kanabis atau ganja di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini.

    Tertuduh, Rohaizat Abd. Aziz, 58, dari Tanjung Ipoh di Kuala Pilah, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail.

    Mengikut pertuduhan, Rohaizat didakwa menanam dua pokok kanabis di sebuah rumah di Kampung Gemetir, Tanjong Ipoh di Kuala Pilah pada 1.30 tengah hari, 3 April lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6B (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada enam sebatan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 9 Mei untuk sebutan semula kes, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi tidak menawarkan jaminan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Dakwaan jual beli organ perlu dianggap amat serius – KKM

    Dakwaan jual beli organ perlu dianggap amat serius – KKM

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menyokong mana-mana pihak yang terlibat di dalam aktiviti perolehan organ secara haram dan tidak beretika.

    Justeru kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, dakwaan mengenai kewujudan aktiviti jual beli organ di negara ini perlu dianggap amat serius oleh semua pihak.

    “Ini kerana ia merupakan eksploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan.

    “Jika terdapat aktiviti melibatkan pemerdagangan manusia untuk tujuan jual beli organ, ia perlu disiasat di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, KKM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa siasatan sekiranya diperlukan.

    Beliau berkata, perkhidmatan pendermaan organ dan transplantasi melibatkan penderma hidup ataupun selepas kematian (kadaverik) serta penerima organ iaitu pesakit yang mempunyai masalah kegagalan organ sama ada buah pinggang, hepar, jantung ataupun paru-paru.

    Menurutnya, dasar KKM ini jelas sebagaimana dalam Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma kadaverik.

    Dr. Noor Hisham berkata, bagi memperketat lagi tadbir urus perkhidmatan transplantasi di negara ini, kementerian telah menubuhkan jawatankuasa transplantasi yang mengawal selia program pendermaan organ dalam kalangan penderma semasa hidup melibatkan pasangan bakal penderma penerima yang tidak mempunyai perkaitan kekeluargaan ataupun melibatkan pasangan bakal penderma-penerima bukan warganegara.

    Tambah beliau, jawatankuasa itu akan menilai dengan teliti pelbagai aspek termasuk latar belakang masalah perubatan, kesihatan mental dan juga tahap sosioekonomi untuk semua permohonan pembedahan transplantasi bagi memastikan bakal penderma mempunyai sistem sokongan yang baik serta kesejahteraan bakal penderma secara amnya tidak terjejas selepas pembedahan dilakukan.

    “Pembentukan tadbir urus perkhidmatan yang kemas adalah sangat penting bagi melindungi hak bakal penderma dan memastikan pendermaan organ tidak melibatkan sebarang paksaan ataupun mempunyai unsur pemerdagangan,” katanya.

    Beliau berkata, dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pendermaan organ dan transplantasi, kementerian akan terus bekerjasama dengan badan-badan dan organisasi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran awam serta pendidikan ke arah pendermaan organ yang beretika.

    “KKM menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa cakna dan berikrar sebagai penderma organ seterusnya memaklumkan hasrat sebagai pengikrar kepada ahli keluarga bagi menjayakan perkhidmatan transplantasi yang beretika di negara ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Isnin lalu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN – Machang) menerusi sidang akhbar di lobi Parlimen berkata, ada yang menjual buah pinggang bagi meneruskan kelangsungan hidup berikutan pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibenarkan kerajaan.

    “Kalau tidak dapat beri keizinan untuk pengeluaran bersasar, apakah cadangan lanjut daripada kerajaan untuk membantu kerajaan untuk bantu rakyat yang susah, yang resah?

    “Bahkan, sampai ada yang jual buah pinggang, yang datang berjalan dari Johor ke Istana Negara pada hari in (Isnin).

    “Ini bukan perkara main-main, perkara besar yang melibatkan kepentingan umum,” katanya.

  • Pusat Astronomi Antarabangsa jangka 1 Syawal pada Jumaat

    Pusat Astronomi Antarabangsa jangka 1 Syawal pada Jumaat

    PUSAT Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emeriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan negara-negara Islam akan menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan awal bulan Syawal pada 20 April yang berkemungkinan menjadi penghujung Ramadan.

    Menurut portal Gulf News, bagaimanapun beberapa negara di Asia termasuk Australia mungkin tidak dapat melihat keadaan anak bulan Syawal dengan mata kasar mahupun menggunakan teleskop khas.

    Jelas portal tersebut lagi, namun begitu, beberapa negara Islam lain berkemungkinan dapat menyaksikan anak bulan pada tarikh tersebut.

    Kebanyakan negara Islam mungkin mengumumkan permulaan 1 Syawal pada keesokan harinya yang akan menjadikan hari Jumaat, 21 April sebagai hari pertama Aidilfitri.

    Di Malaysia, pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja Melayu, menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi.

  • Pelaburan Planetrade: Sembilan ditahan, kerugian mangsa cecah RM17.55 juta – PDRM

    Pelaburan Planetrade: Sembilan ditahan, kerugian mangsa cecah RM17.55 juta – PDRM

    SEMBILAN individu termasuk enam wanita warga tempatan ditahan kerana terlibat dalam skim penipuan pelaburan ‘Planetrade’ pada tahun 2022.

    Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin, sebanyak 92 laporan polis berkaitan skim penipuan tersebut diterima dengan nilai kerugian RM17.55 juta sepanjang tempoh Januari 2021 sehingga kini.

    Menurutnya, suspek yang merupakan dalang skim penipuan itu telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

    “Seorang lagi suspek yang merupakan pengarah syarikat mengendalikan skim tersebut juga telah didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Sementara tujuh lagi suspek telah dibebaskan dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Noorsiah berkata, polis turut membekukan 27 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM700,533.47, enam kenderaan dengan nilai RM1.17 juta dan 11 juta unit saham di empat buah syarikat berkaitan di bawah seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Aktiviti Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

    Jelasnya, dalam usaha membanteras kegiatan penipuan pelaburan ‘Planetrade’, PDRM ingin menegaskan bahawa siasatan telah dijalankan secara terperinci dan menyeluruh.

    Kesemua suspek yang ditahan katanya, mempunyai penglibatan dan berperanan sama ada menguruskan, mengendalikan dan mempromosikan skim penipuan itu.

    “Antara suspek ditahan juga merupakan pelabur atau mangsa skim yang berperanan sebagai ‘Authorised Introducer’ iaitu menerima komisen bagi setiap pelabur yang dibawa masuk ke dalam skim tersebut,” katanya, lapor Astro Awani.

    Justeru, Noorisah menggesa mana-mana individu yang telah menjadi mangsa untuk tampil segera membuat laporan polis.

    Pada 1 April lalu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) menggesa individu yang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan Planetrade diminta membuat laporan polis dengan segera.

  • Seludup mercun guna kenderaan PDRM, anggota polis ditahan

    Seludup mercun guna kenderaan PDRM, anggota polis ditahan

    DUA lelaki termasuk seorang anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes penyeludupan mercun melibatkan penggunaan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian berlaku pada jam 7.45 petang kelmarin ketika sepasukan anggota risikan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa mengekori sebuah kenderaan Toyota Hilux milik PDRM.

    Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lampu isyarat Wakaf Bata, Machang, anggota polis itu didapati bersama seorang lelaki yang juga mekanik berusia 35 tahun.

    “Anggota PGA mengekori mereka berikutan kenderaan yang dinaiki dua suspek itu berada dalam keadaan mencurigakan dari Tanah Merah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Muhamad Zaki berkata, pemeriksaan lanjut menemui sejumlah mercun dan bunga api di bahagian belakang kenderaan yang keseluruhannya bernilai RM25,000.

    Tambah beliau, polis juga sedang mengenal pasti sama ada anggota tersebut berada di luar kawasan kerana tugas atau sebaliknya.

    “Semakan turut mendapati anggota polis itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu manakala mekanik pula mempunyai lima rekod lampau berkaitan narkotik.

    “Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

  • Bekas pembantu Anwar tarik balik rayuan batal tuntutan balas

    Bekas pembantu Anwar tarik balik rayuan batal tuntutan balas

    BEKAS pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik rayuannya untuk membatalkan tuntutan balas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terhadap dakwaan salah laku seksual.

    Yusoff Rawther turut menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan Anwar yang didakwanya tidak relevan dengan saman itu.

    Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Lee Swee Seng kemudian membatalkan rayuan itu dan membenarkan kos RM5,000 seperti dimohon peguam Anwar, Navpreet Singh, lapor FMT.

    Yusoff memfailkan saman itu terhadap Anwar pada 2021, dengan mendakwa beliau melakukan serangan seksual terhadapnya pada 2 Oktober 2018.