Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bekas presiden-presiden Badan Peguam kesal dengan ‘serangan’

    Bekas presiden-presiden Badan Peguam kesal dengan ‘serangan’

    BEKAS presiden-presiden Badan Peguam Malaysia meluahkan rasa kesal mereka terhadap ‘serangan-serangan’ ke atas badan kehakiman negara.

    Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan bersama, kumpulan itu menyuarakan sokongan terhadap pendirian presiden Badan Peguam Malaysia semasa, Karen Cheah yang berkata, bahawa satu penghakiman bertentangan dalam semakan perbicaraan SRC International bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan alasan untuk semakan semula atau perbicaraan diadakan sekali lagi.

    Mereka juga juga melahirkan kebimbangan mengenai serangan terhadap Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali berhubung dakwaan pelanggaran Kod Etika Hakim, dan mempunyai konflik kepentingan semasa mempengerusikan kes SRC International.

    “Ini ibarat serangan terhadap badan kehakiman dan hakim-hakim di negara ini,” menurut kenyataan tersebut, pada Jumaat, lapor Malaysiakini.

  • Dua lelaki guna gelaran ‘Datuk Seri’ ditahan

    Dua lelaki guna gelaran ‘Datuk Seri’ ditahan

    POLIS menahan dua lelaki di Bentong, Pahang kerana menggunakan lambang dan darjah kebesaran palsu membawa gelaran ‘Datuk Seri’.

    Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd. Kahar berkata, kedua-dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 44 dan 45 tahun itu ditahan satu pasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sebuah rumah pada Selasa lalu.

    “Hasil pemeriksaan yang dijalankan di rumah dan pejabat suspek, polis merampas watikah pelantikan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang disyaki palsu, pakaian istiadat lengkap, set bintang kebesaran dan lambang darjah kebesaran ‘Datuk Seri’ yang diletakkan pada kenderaan.

    “Seorang lagi suspek yang berusia 45 tahun juga didapati terlibat dalam aktiviti pemberi pinjam wang tanpa lesen dan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” katanya dalam satu kenyataan.

    Zaiham berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1963.

    Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf demi kepentingan peribadi bagi tujuan tertentu.

    “Orang ramai boleh menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki tentang aktiviti-aktiviti penyamaran seperti ini kepada pihak polis,” ujar beliau, lapor FMT.

  • ‘Apakah Exco Melaka tidak cekap hingga perlukan timbalan’

    ‘Apakah Exco Melaka tidak cekap hingga perlukan timbalan’

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof menempelak pelantikan 10 timbalan Exco di negeri itu yang disifatkan sebagai satu tindakan yang tidak diperlukan.

    Malah kata wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu, tindakan tersebut satu pembaziran wang rakyat serta akan membawa implikasi kewangan yang besar, termasuk membebankan pentadbiran negeri dengan kos pengurusan yang lebih tinggi.

    Beliau berkata, kerajaan sewajarnya mengutamakan rakyat dan pro-rakyat.

    “Jangan jadikan kerajaan yang lebih pro kepada wakil rakyat sehinggakan lebih banyak peruntukan perlu disediakan untuk wakil rakyat berbanding rakyat.

    “Saya juga berasa hairan kenapa jawatan ini perlu diwujudkan sedangkan jawatan Exco sudah memadai kerana agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan sudah cukup dan mampu untuk mengurus negeri yang kecil seperti Melaka ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jawatan timbalan Exco mula diperkenalkan pada 2013 oleh ketua menteri ketika itu, Datuk Seri Idris Harun, sebelum dimansuhkan oleh Pakatan Harapan (PH) apabila gabungan tersebut mentadbir Melaka pada 2018.

    Terdahulu, dilaporkan bahawa ahli-ahli eksekutif kini mendominasi pertadbiran Melaka selepas pelantikan 10 Adun itu sebagai timbalan Exco yang baru.

    Langkah itu turut menyaksikan hanya lima ADUN kerajaan menjadi anggota penyokong kerajaan dalam dewan undangan negeri (DUN) yang memiliki 28 kerusi itu, dengan dua daripada kerusi tersebut diwakili pembangkang dari PN.

    Mengulas lanjut, Aleef mempersoalkan jika pelantikan 10 timbalan Exco itu akan menjadikan pentadbiran negeri lebih cekap.

    “Apakah dengan mewujudkan jawatan timbalan Exco ini akan menyelesaikan semua masalah di negeri ini? Apakah Exco-Exco sebelum ini tidak cekap hingga mereka memerlukan timbalan,” soalnya.

    Aleef turut mendakwa bahawa rakyat juga tidak menyambut baik pelantikan jawatan timbalan Exco berkenaan kerana mereka lebih mengharapkan dibantu dengan peruntukan daripada kerajaan negeri.

    Tambahnya, beliau juga menolak tawaran untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan kerana percaya pihak pembangkang perlu menjadi semak imbang terhadap setiap tindakan kerajaan.

    “Akan tetapi, janganlah menekan kami dengan tidak memberikan peruntukan yang sewajarnya hanya kerana kami tidak menyertai kerajaan perpaduan,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Umat Islam jangan berpuak-puak, perlu bersatu hati meskipun berbeza pandangan – Agong

    Umat Islam jangan berpuak-puak, perlu bersatu hati meskipun berbeza pandangan – Agong

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar umat Islam bersatu hati dan tidak berpuak-puak meskipun mempunyai perbezaan pandangan.

    Seri Paduka bertitah, umat islam jangan terlalu taksub dengan pandangan masing-masing atau cepat beranggapan tidak baik terhadap mana- mana pihak kerana tindakan sedemikian adalah fenomena yang tidak ‘sihat’ untuk semua pihak.

    Selain itu, baginda bertitah masjid perlu menjadi satu institusi yang cukup suci, mulia dan dihormati dan bukannya dijadikan sebagai ‘gelanggang’ yang boleh memecah-belahkan umat Islam.

    “Kita janganlah jadikan masjid sebagai gelanggang yang boleh memecah-belahkan, dan kita jangan mudah seolah-olah kita ini berpuak-puak ‘don’t be to judgemental’, jangan cepat beranggapan orang ini puak A, orang ini puak B, orang ini puak C.

    “Ini adalah satu fenomena yang kurang sihat dan tidak sihat langsung, kita semua hamba Allah, kita (ada) satu Allah, satu rumpun orang Melayu dan beragama Islam mengikut ajaran taksiran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan percaya kepada Quran dan sunnah, hadis, itu pegangan kita.

    “Walaupun ada perbezaan pandangan jangan terlalu taksub dengan pandangan berkenaan, yang lebih penting harus bersifat menyatukan walaupun perbezaan pandangan. Ini antara ciri -ciri yang boleh memajukan umat, negeri kita, kampung kita dan secara keseluruhannya negara kita,” titah baginda, lapor Astro Awani.

    Baginda bertitah pada majlis Pemasyhuran Masjid Jamek Ar-Rahmani dan Solat Jumaat di Kampung Banggol, Tasek Gelugor, hari ini.

    Hadir mengiringi Seri Paduka, Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

    Sementara itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan tahniah di atas pemasyuran masjid berkenaan dan berharap masjid yang dibina sejak tahun 80-an itu dapat diimarahkan dengan sebaik mungkin oleh umat Islam khususnya penduduk setempat di kawasan Tasek Gelugor.

    Pada majlis berkenaan, Seri Paduka juga berkenan menandatangani plak pemasyhuran masjid itu serta mengurniakan sumbangan kepada 50 penerima.

  • ‘Saya tak pernah lihat, tahu kewujudan surat itu’ – Ismail Sabri

    ‘Saya tak pernah lihat, tahu kewujudan surat itu’ – Ismail Sabri

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob tidak pernah melihat surat dikeluarkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berhubung pelanggaran kod etika membabitkan Hakim, Datuk Mohd. Nazlan Ghazali.

    Bekas Perdana Menteri berkata, kali pertama beliau melihat surat itu adalah dalam media seperti yang digembar-gemburkan oleh orang awam.

    “Malah, sepanjang saya menerajui kerajaan, salinan surat dan laporan kesalahan itu juga tidak pernah diterima, sekali gus menegaskan tidak mengetahui kandungan sebenar surat itu.

    “Surat SPRM? Tidak (tidak mengetahui kewujudan surat itu sepanjang menjadi Perdana Menteri)… saya tidak tahu, saya hanya baca di media sahaja.

    “Saya pun tak jelas surat itu mengenai apa. Perincian surat itu pun saya tidak tahu,” katanya selepas menziarahi dan menyantuni anak-anak yatim di Rumah Amal Asnaf Al- Barakh di Taman Zoo View hari ini, lapor Berita Harian.

    Semalam BH melaporkan, laporan berhubung pelanggaran kod etika hakim membabitkan Mohd. Nazlan sudah dikemukakan kepada Ketua Tengku Maimun pada Februari lalu.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pelanggaran itu dikenal pasti menerusi kesimpulan dikemukakan dalam Laporan SPRM.

    Katanya, laporan bertarikh 21 Februari lalu, mendapati Hakim Mahkamah Rayuan itu melanggari peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009 dengan dokumen berkenaan turut dikemukakan kepada Tengku Maimun pada hari sama.

    Media baru-baru ini, melaporkan salinan surat didakwa daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Tengku Maimun, tular di media sosial.

    Surat berkenan tular beberapa hari selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membuat semakan ke atas sabitan dan hukuman dikenakan terhadap bekas Presiden UMNO itu.

    Pada 24 Februari lalu, media melaporkan, panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun, berkata SPRM tidak mengikut protokol ketika menjalankan siasatan terhadap Mohd. Nazlan.

    Tengku Maimun dalam penghakimannya, berkata agensi penyiasat seperti SPRM perlu berunding dengan Ketua Hakim Negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim mahkamah atasan.

    Pada Julai 2020, Mohd. Nazlan yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC serta memerintahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu dipenjara selama 12 tahun serta didenda RM210 juta.

  • Anwar: Saya tak nak gaduh, Dr M minta bukti saya bagi

    Anwar: Saya tak nak gaduh, Dr M minta bukti saya bagi

    DATUK Seri Anwar Ibrahim sedia memberikan bukti kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri itu telah mengumpul kekayaan untuk memperkayakan dirinya ketika berkuasa atau berdepan tindakan undang-undang.

    Perdana Menteri berkata, beliau sedia berbuat demikian selepas Mahathir menyampaikan surat tuntutan undang-undang kepada Anwar pada 27 Mac memintanha membuktikan dakwaan sebelum ini.

    “Saya tak nak gaduh, dia minta bukti saya bagi bukti no problem,” kata Anwar pada majlis dialog bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam hari ini.

    Anwar berkata tadbir urus Dr. Mahathir mempunyai kekuatannya namun mendakwa bekas perdana menteri itu ada banyak kelemahan juga.

  • Lebih 40 NGO kutuk pencerobohan Masjid Al-Aqsa, gesa kerajaan keluarkan pendirian tegas

    Lebih 40 NGO kutuk pencerobohan Masjid Al-Aqsa, gesa kerajaan keluarkan pendirian tegas

    LEBIH 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengutuk pencerobohan terbaharu rejim Israel terhadap Masjld Al-Aqsa dan serangan tanpa provokasi ke atas ratusan jemaah Islam di dalam dan sekitar masjid itu.

    Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Datuk Seri Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, tindakan itu sekali lagi menunjukkan kepada dunia kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

    “Sejak hari pertama Ramadan, tentera Zionis telah menceroboh masuk Masjid Al-Aqsa dan mengosongkannya berkali-kali.

    “Yang paling kejam adalah pada malam 4 April apabila mereka menyerang jemaah, memukul lelaki dan wanita sehingga menyebabkan ramai cedera parah dan ratusan memerlukan rawatan perubatan, selain menahan ratusan lelaki. Serangan ini berulang lagi malam tadi (5 April),” katanya dalam sidang media hari ini.

    Ujarnya, rejim memberikan versi mereka sendiri yang sebenarnya memutarbelitkan peristiwa itu dengan mendakwa jemaah mengurung diri mereka di dalam masjid, sedangkan tentera Zionis sebenarnya menyerang jemaah yang tidak bersenjata dengan bom tangan ‘stun’, peluru getah dan gas pemedih mata.

    “Mereka mahu mengosongkan masjid untuk memberi laluan kepada perayaan agama Yahudi, Paskah di mana upacara penyembelihan haiwan akan berlaku.

    “Hakikatnya, keseluruhan tapak Masjid Al-Aqsa adalah milik umat Islam secara eksklusif. Melakukan apa-apa ritual agama lain adalah satu penghinaan kepada masjid ketiga paling suci dalam Islam itu,” tegasnya mewakili semua NGO terlibat.

    Malah, tindakan membahagikan Masjid Al-Aqsa kepada ruang solat Muslim dan Yahudi oleh rejim Israel adalah terbatal dan tidak sah sama sekali.

    Justeru, kesemua NGO itu mendesak seluruh dunia tidak hanya berdiam diri kerana tindakan biadab rejim apartheid itu mesti dikutuk berhabis-habisan.

    “Komuniti antarabangsa mesti mengerahkan segala cara untuk memberikan tekanan paling kuat ke atas rejim Zionis Israel.

    “Kami mengutuk sekeras-kerasnya serbuan terbaharu rejim Zionis Israel ke atas Masjid Al- Aqsa. Kami percaya bahawa serangan semasa bulan suci Ramadan ini membenarkan sekali lagi definisi Israel sebagai entiti pengganas,” katanya, lapor Astro Awani.

    Gabungan NGO itu juga menggesa semua kerajaan terutamanya kerajaan Malaysia untuk mengeluarkan pendirian yang tegas terhadap rejim Israel dan menuntut mereka berundur dari Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis dengan serta-merta.

    Dalam masa sama, mereka mendesak negara-negara Islam yang telah memeterai perjanjian damai dan normalisasi dengan Israel agar segera memutuskan hubungan tersebut.

    “Semua negara yang cintakan keamanan mesti mengambil langkah untuk mengasingkan Zionis terutama dalam ekonomi.

    “Kami seru kerajaan terutama kepada kerajaan Malaysia untuk memberikan input kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa atau ICJ yang telah diberi mandat oleh PBB untuk memberikan nasihat dan pendapat tentang akibat undang-undang yang timbul akibat dasar Israel di wilayah Palestin diduduki iaitu sebenarnya dilakukan Israel adalah jenayah aparthied dan kemanusiaan, dilakukan Zionis,” ujarnya lagi.

  • Cagaran KWSP hanya tingkatkan nisbah hutang rakyat – Pakar

    Cagaran KWSP hanya tingkatkan nisbah hutang rakyat – Pakar

    PINJAMAN wang dengan menggunakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran yang dibuka permohonannya hari ini hanya akan meningkatkan nisbah hutang isi rumah di negara ini.

    Ketika ini, nisbah hutang atau pinjaman isi rumah di Malaysia adalah 84 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    Memetik laporan Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Politik Ekonomi UiTM Sabah, Dr. Firdausi Suffian berkata, sekiranya pinjaman melalui cagaran KWSP ini dilakukan maka, bebanan hutang rakyat akan bertambah.

    Menurutnya, timbul persoalan adakah peminjam mampu membayar semula pinjaman yang dibuat melalui kaedah cagaran KWSP tersebut. Apa akan berlaku sekiranya mereka gagal membayar semula pinjaman?.

    Katanya, biarpun kadar faedah yang dikenakan lebih rendah iaitu empat hingga lima peratus namun, situasi sekarang bukan tentang isu faedah. Kadar empat peratus itu masih dikira tinggi bagi sebuah institusi kewangan konvensional.

    “Ini bukan isu faedah tapi kedudukan kewangan KWSP yang akan terganggu sekiranya pengeluaran semakin banyak. Pelaburan KWSP akan terjejas sekali gus akan menjejaskan kadar faedah pencarum.

    “Situasi sebegini yang menyebabkan saya sebenarnya tidak setuju dengan apa-apa pengeluaran KWSP,” katanya.

    Menurut Firdausi, biarpun KWSP adalah simpanan wang rakyat namun, simpanan itu seharusnya digunakan untuk mereka menjalani kehidupan dengan selesa selepas bersara kelak.

    Laporan KWSP bahawa 51 peratus daripada 6.7 juta ahli yang berumur 55 tahun ke bawah mempunyai baki simpanan kurang RM10,000 selepas pengeluaran dilakukan sebelum ini adalah sesuatu yang membimbangkan.

    KWSP juga telah memaklumkan rakyat Malaysia perlu ada sekurang-kurangnya RM600,000 dalam simpanan semasa bersara. Jadi, sekiranya 51 peratus pencarum KWSP mempunyai baki simpanan kurang RM10,000, bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan apabila bersara kelak.

    Tambah beliau, situasi yang berlaku sekarang disebabkan kebenaran mengeluarkan KWSP yang dilakukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “KWSP adalah satu institusi yang tidak boleh diganggu kerana itu simpanan rakyat untuk rakyat. Jadi, apabila dijentik sekali maka, desakan akan terus dilakukan bagi pengeluaran berikutnya.

    “Seharusnya semasa berlaku krisis, kerajaan (terdahulu) menggunakan wang kerajaan untuk membantu rakyat bukannya menggunakan wang simpanan rakyat.

    “Isu KWSP ini sudah menjadi isu politik yang disensasikan demi meraih simpati rakyat. Pinjaman melalui cagaran KWSP membabitkan implikasi ekonomi yang akan menjejaskan pengurusan kewangan rakyat,” katanya.

  • Anggota polis direman SPRM bagi kes rasuah tahun lalu

    Anggota polis direman SPRM bagi kes rasuah tahun lalu

    SEORANG anggota polis berpangkat Sarjan direman enam hari bagi membantu siasatan kes meminta serta menerima rasuah daripada penagih dan pengedar dadah, tahun lalu.

    Majistret S. Punitha mengeluarkan perintah reman itu terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret Ipoh di Ipoh hari ini.

    Tempoh reman sehingga Rabu depan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Difahamkan, lelaki terbabit yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah itu ditahan semalam kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah antara RM1,500 hingga RM10,000 daripada pengedar dan penagih dadah sekitar daerah Perak Tengah.

    Tindakan itu dipercayai mendorong anggota terbabit tidak mengganggu dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah aktiviti penyalahgunaan dadah berkenaan.

    Semalam, dua anggota termasuk seorang wanita masing-masing berpangkat Sarjan ditahan SPRM Perak dan telah direman selama lima hari sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan bagi pertuduhan rasuah.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

  • PM disaran guna kepakaran orang lain perbaiki ekonomi

    PM disaran guna kepakaran orang lain perbaiki ekonomi

    WARTAWAN veteran, Datuk A. Kadir Jasin menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan nasihat dan kepakaran orang lain dalam usaha meningkatkan ekonomi negara.

    “Anwar harus berhati-hati dengan cabaran yang mungkin dihadapinya susulan amaran Bank Dunia berhubung kelembapan mendadak dalam pertumbuhan global tahun ini,” ujar bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

    “Tidak salah atau memandai-mandai bagi rakyat mengharapkan kerajaan mempunyai idea cukup jelas tentang apa yang tidak kena dengan negara dan bagaimana memperbaikinya selepas lebih empat bulan berkuasa,” katanya dalam catatan Facebook hari ini

    Beliau berkata, Anwar yang juga Menteri Kewangan mempunyai ‘lapisan demi lapisan birokrasi’ yang boleh membantunya menangani pelbagai cabaran ekonomi.

    “Beliau mempunyai Rafizi Ramli sebagai menteri ekonominya. Beliau juga mempunyai Unit Perancang Ekonomi, Bank Negara Malaysia dan panel penasihat yang diketuai (bekas ketua pegawai eksekutif Petronas) Hassan Marican, (Pengerusi Eksekutif FVSB) Ahmad Fuad Ali, (Pengerusi Sarawak Energy Bhd ) Abdul Hamed Sapawi serta pakar ekonomi Yeah Kim Leng dan Rajah Rasiah.”

    Semua individu itu mahir dalam teori ekonomi, justeru beliau berharap Anwar akan kerap merujuk kepada mereka.

    Kadir berkata, Anwar boleh menggunakan pengalaman Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani, yang merupakan bekas menteri kewangan kedua.

    “Johari mungkin paling arif dalam ekonomi dan perdagangan dalam kalangan pemimpin Umno ujar beliau.”

    Bulan lalu, Anwar melantik Hassan, Fuad, Hamed, Yeah dan Rajah menyertai sebuah lembaga pengarah untuk menasihatinya atas kapasitinya sebagai menteri kewangan. Mereka tidak akan dibayar gaji.

    Kadir berharap pengetahuan ekonomi Anwar bertambah baik, sejak beliau mula mengambil portfolio kewangan pada 1990-an.

    “Beliau mempunyai Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai bosnya ketika itu dan Tun Daim Zainuddin sebagai panduannya,” katanya, lapor FMT.