Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘Raya dengan nampak anak bulan, bukan buat kalendar awal-awal’ – UAI

    ‘Raya dengan nampak anak bulan, bukan buat kalendar awal-awal’ – UAI

    PENDAKWAH terkenal, Ustaz Azhar Idrus menempelak netizen yang ‘masuk campur’ dalam urusan penetapan Hari Raya Aidilfitri sehingga bertindak seolah-olah seperti mufti.

    Ini berikutan kenyataan dibuat pihak tertentu sebelum ini mengenai tarikh hari raya sehingga menimbulkan spekulasi dan kebimbangan dalam kalangan warga maya berhubung situasi raya mengejut yang mungkin berulang sebagaimana berlaku pada tahun lalu.

    Berdasarkan perkongsian video berdurasi 7 minit 59 saat di laman YouTube rasminya, Azhar menjelaskan, penentuan kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (rukyah dan hisab).

    “Raya ini dengan nampak anak bulan bukan buat kalendar awal-awal. Mazhab-mazhab fiqh yang empat iaitu Mazhab Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki kena ikut rukyah, kena tengok anak bulan sama ada ke tidak.

    “Nabi kata muliakan puasa jika nampak anak bulan Ramadan, mula berhari raya jika nampak anak bulan Syawal. Kamu siapa nak ulas-ulas? Ini masalah tidak sedar diri.

    “Agama ikut kamu atau kamu ikut agama. Kalau nak ikut agama hendaklah kamu tengok pada 29 Ramadan. Kalau 29 Ramadan itu nampak anak bulan, esok tak ada 30 Ramadan, sudah 1 Syawal jadi raya mengejut,” katanya, menurut laporan Sinar Harian.

    Pada Jumaat, tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini.

    Hebahan ini menjadi perbualan dalam kalangan orang ramai apabila tarikh tersebut berbeza seperti yang tercatat dalam kalendar pada 22 April.

    Ia susulan satu tangkap layar yang dikongsikan memaparkan tarikh akhir Ramadan pada 20 April ini.

    Sementara itu, Azhar mendakwa ramai netizen yang mahu tarikh hari raya ditetapkan awal bagi mengelakkan kesukaran dalam menghadapi raya mengejut termasuk tidak sempat menyiapkan tempahan kuih raya.

    “Jadi raya selama ni kena tengok kuih kamu ke macam mana? Raya mengejut ini apabila nampak anak bulan.

    “Kalau tak nampak (anak bulan) tak mengejut, lusa raya,” katanya.

  • 2 maut Proton Wira terjunam dalam sungai

    2 maut Proton Wira terjunam dalam sungai

    DUA lelaki maut selepas Proton Wira dinaiki mereka melanggar papan tanda lalu terjunam ke anak sungai sedalam kira-kira satu meter di Kilometer 6, Jalan Parit Botak, Ayer Hitam, Batu Pahat, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa iaitu pemandu berusia 21 tahun dan penumpang berusia 22 tahun dalam perjalanan dari Parit Tengah Parit Raja menghala ke arah Ayer Hitam.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati PROTON Wira dipandu mangsa hilang kawalan hingga terbabas ke sebelah kanan jalan lalu terlanggar papan tanda jalan dan terjunam ke Sungai Parit Kuari.

    “Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang yang juga warga tempatan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kedua-dua mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan bomba dari Balai Bomba Ayer Hitam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Kita memohon mana-mana saksi awam yang melihat kemalangan itu supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Salmiah Mohamed di talian 074327704,” katanya.

    Sementara itu, Komander Operasi diketuai Penolong Penguasa Bomba, Mohd Shamin Mohamed Salikin, berkata tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dihantar ke tempat kejadian.

    Beliau berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sehingga selesai.

    “Selepas dibuat pengesahan oleh pembantu pegawai perubatan, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 8.53 pagi tadi,” katanya, lapor BH Online.

  • Ibu disyaki dera bayi 10 bulan ditahan

    Ibu disyaki dera bayi 10 bulan ditahan

    POLIS menahan seorang wanita selepas dia disyaki mendera bayi lelakinya berusia 10 bulan di sebuah kediaman di Petaling Utama, di Petaling Jaya, kelmarin.

    Difahamkan kejadian itu terbongkar selepas suaminya berusia 20-an yang melihat kesan kecederaan itu membawa bayi berkenaan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.

    Sebelum kejadian, pasangan suami isteri berkenaan dikatakan berselisih faham dan tidak bertegur beberapa hari sebelum suaminya mendapati ada kesan lebam pada anak mereka lalu membawa bayi itu ke hospital.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.28 tengah malam.

    Bertindak atas maklumat itu katanya, pada 6.30 petang kelmarin, sepasukan polis menahan wanita berusia 26 tahun tersebut di kediamannya.

    “Mangsa mengalami kecederaan lebam di tubuh badan kini menerima rawatan di hospital.

    “Suspek dibenarkan reman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Tragedi ikan buntal, suami juga maut akibat makan ikan sama

    Tragedi ikan buntal, suami juga maut akibat makan ikan sama

    WARGA emas yang makan hidangan ikan buntal bersama isterinya bulan lalu, disahkan meninggal dunia, hari ini, menjadikan dua mangsa maut akibat memakan ikan sama.

    Mangsa, Eng Kuai Sin@ Ng Chuan Sing, 84, yang sebelum ini koma meninggal dunia selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), sejak 25 Mac lalu, lapor Berita Harian.

    Pada 29 Mac lalu, isterinya, Lim Siew Guan, 83, dilaporkan maut, manakala Kuai Sin dimasukkan ke ICU HEBHK selepas makan hidangan ikan buntal.

    Ikan buntal iaitu sejenis ikan yang disebut ‘ikan fugu’ tergolong dalam satu daripada jenis racun semula jadi yang paling bahaya dan mematikan di dunia, dibeli menerusi laman Facebook daripada pembekal di Batu Pahat yang mendapatkan bekalan dari nelayan di Endau.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, dilaporkan berkata isteri mangsa yang mengalami gejala sesak nafas dan menggigil, pada pukul 5 petang 25 Mac lalu, kemudian disahkan maut dua jam kemudian.

    Kuai Sin turut dilaporkan mengalami gejala sama kira-kira sejam selepas isterinya mendapat gejala berkenaan.

    Difahamkan itu kali pertama pasangan warga emas berkenaan makan masakan berasaskan ikan buntal.

    Racun yang dikenali sebagai Tetrodotoksin yang ada dalam ikan buntal adalah racun yang boleh menyerang sistem saraf dan boleh membawa maut.

  • Didakwa aniaya budak, taska diarah tutup sementara

    Didakwa aniaya budak, taska diarah tutup sementara

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengarahkan sebuah taska tutup sementara selepas tular dakwaan seorang ibu mengatakan anaknya berusia setahun dianiaya.

    Menerusi satu kenyataan KPWKM berkata, hasil siasatan pada 29 Mac lalu mendapati pusat yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Taska 1984.

    “Pengusaha diberi notis peringatan untuk membuat penambahbaikan dengan segera dan dalam proses penutupan sementara untuk tujuan menyediakan persekitaran selamat serta meningkatkan kualiti pengasuhan.

    “Dalam isu keselamatan kanak-kanak, kita melalui JKM merujuk Akta Kanak-kanak 2001 tidak akan berkompromi mengenai keselamatan mereka dan menjadi tanggungjawab pengusaha taska memantau tugas pengasuh bagi memastikan kanak-kanak dalam keadaan selamat di bawah jagaan taska,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Beberapa hari lalu, seorang wanita menggunakan akaun Facebook El Ameerah berkata, dia dimaklumkan guru bahawa anaknya digigit seorang kanak-kanak sehingga cedera di bahagian telinga, pipi dan tangan.

    Lebih mengejutkan, katanya, dia diberitahu anaknya bersama kanak-kanak lain berusia satu hingga dua tahun ditempatkan dalam bilik “isolasi” ketika bayi lebih kecil sedang tidur.

    Namun, pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati anaknya diletakkan dalam bilik kosong tanpa alas itu sejak pagi bersama empat kanak-kanak lain.

    Tanpa mendedahkan nama taska itu, wanita terbabit berikrar akan berjuang membela anaknya dengan mengambil tindakan undang-undang.

    KPWKM berkata, pihaknya melalui JKM bekerjasama dengan polis bagi memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa mendapat keadilan sewajarnya dalam kes terbabit.

  • Polis akan panggil penganjur Himpunan Solidariti

    Polis akan panggil penganjur Himpunan Solidariti

    POLIS akan memanggil beberapa individu termasuk penganjur untuk siasatan berkenaan Himpunan Solidariti Bersama Palestin di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru, di ibu negara semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, dianggarkan seramai 40 orang berhimpun di hadapan masjid terbabit selepas solat Jumaat.

    “Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah ditempatkan di sekitar pekarangan masjid untuk kawalan keselamatan dan ketenteraman awam.

    “Polis tidak menerima sebarang notis pemakluman mengenai penganjuran himpunan terbabit daripada penganjur,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Noor Delhan berkata, siasatan masih dijalankan dan pihak polis akan memanggil penganjur serta beberapa individu berkaitan.

    Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

    Dalam himpunan terbabit, sekumpulan Pemuda UMNO dan orang ramai bertindak membakar bendera Israel sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin yang ditekan oleh regim Zionis Israel.

    Pembakaran bendera Israel itu diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh ketika Himpunan Solidariti Bersama Palestin di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru.

    Dr Muhamad Akmal juga memaklumkan tujuan himpunan itu bertujuan untuk menghantar mesej kepada rejim Zionis serta surat bantahan secara rasmi kepada Kementerian Luar agar dibawa ke peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

  • Guna dokumen meragukan, 19 PATI warga Myanmar dan Bangladesh ditahan

    Guna dokumen meragukan, 19 PATI warga Myanmar dan Bangladesh ditahan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    13 lelaki dan enam wanita disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh, ditahan dalam sebuah feri penumpang di kedudukan 3.1 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada pukul 10.16 pagi semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot ronda milik Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah sebelum menerima maklumat risikan dan menahan feri berkenaan yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah.

    Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati 16 warga Myanmar hanya memiliki salinan surat permohonan United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) yang meragukan memandangkan permohonan pemilikan kad terbabit telah dihentikan kini.

    Selain itu katanya, tiga lagi warga Bangladesh tidak memilki dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Berikutan itu , kesemua PATI terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih dari enam kali sebatan, jika disabit kesalahan.

    “Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya, Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

  • Beri pengampunan kuasa Agong, tak perlu nasihat PM, kata MP PKR

    Beri pengampunan kuasa Agong, tak perlu nasihat PM, kata MP PKR

    KEPUTUSAN UMNO memohon pertimbangan pengampunan terhadap bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak tidak akan meretakkan hubungan kerajaan perpaduan kerana ia kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Karim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terbabit secara langsung dalam proses pengampunan diraja itu.

    “Perkara 42(4) (a) dibaca dengan Fasal (3) Perkara 40 (Perlembagaan Persekutuan) menyatakan Agong bertindak dalam hal pengampunan itu, selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan.

    “Ini bermakna nasihat perdana menteri atau Jemaah Menteri tidak diperlukan,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki semalam bahawa Majlis Kerja Tertinggi akan memohon pengampunan diraja untuk Najib kerana parti itu percaya beliau dinafikan keadilan.

    Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, selepas didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang berhubung RM42 juta dana SRC.

    Isnin lalu, Najib dilaporkan berkata, beliau akan menggunakan penghakiman menentang oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Abdul Rahman Sebli bagi menyokong permohonan pengampunan dirajanya.

    Mengulas lanjut, Hassan berkata, mengikut Perkara 42(5), Lembaga Pengampunan terdiri daripada peguam negara, menteri yang bertanggungjawab (Perkara 42(11)) dan tidak lebih daripada tiga anggota lain dilantik oleh Agong.

    “Menteri persekutuan yang bertanggungjawab di bawah Perkara 42(11) itu bukan perdana menteri, tetapi menteri dalam negeri.

    “Ini membebaskan Anwar sebagai perdana menteri daripada beban memutuskan soal pengampunan diraja itu.

    “Maka, logiklah jika UMNO menggerakkan momentum memohon Agong memberi pengampunan kepada Najib dengan ‘by-pass’ (melangkaui) perdana menteri kerana perdana menteri tiada kuasa dalam hal pengampunan diraja,” katanya.

    Justeru, katanya, Anwar tidak boleh dipersalahkan jika proses pengampunan diraja itu berjalan dengan cepat atau lambat, dibenarkan atau ditolak.

    “Jika doktrin pengasingan kuasa dihormati dan dipatuhi, maka kedudukan Anwar sebagai perdana menteri dan kerajaan perpaduan pimpinannya akan selamat daripada diganggu-gugat,” tambahnya.

  • 2 petisyen pengampunan Najib dilancar, 135,000 bantah, 7,000 sokong

    2 petisyen pengampunan Najib dilancar, 135,000 bantah, 7,000 sokong

    DUA petisyen dilancarkan secara dalam talian berkaitan Pengampunan Diraja untuk membebas dan melepaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Memetik laporan Astro AWANI, petisyen berkenaan dilancarkan di platform change.org. itu adalah “Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan” digerakkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan “Bebaskan Najib Razak Melalui Pengampunan Diraja” digerakkan individu bernama Ariff Lias.

    Tinjauan ke laman berkenaan sehingga pukul 11 pagi menunjukkan “Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan” mendapat jumlah tandatangan terbanyak iaitu 135,643.

    Ia sekali gus menghampiri sasaran sebanyak 150,000 tandatangan diraih sejak dilancarkan semalam.

    Sementara itu, petisyen “Bebaskan Najib Razak Melalui Pengampunan Diraja” hanya mencatatkan 7,743 dengan sasaran sebanyak 10,000 tandatangan.

    Kedua-dua petisyen memberi penjelasan tersendiri berhubung Pengampuan Diraja berkenaan.

    Antara isu yang disentuh dalam pestisyen yang membantah pengampunan itu adalah berhubung kesan rasuah yang memberi kesengsaraan dan perasaan malu bagi rakyat.

    Sementara bagi petisyen menyokong, isu yang diketangahkan adalah berhubung dakwaan ketidakadilan perbicaraan serta kepincangan sistem kehakiman dalam kes SRC dihadapi Najib.

  • Ahli Parlimen PN catat kehadiran terbaik sidang pertama Dewan Rakyat

    Ahli Parlimen PN catat kehadiran terbaik sidang pertama Dewan Rakyat

    DI sebalik kritikan ke atas kehadiran pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat, namun ia tidak memberi kesan kepada ahli Parlimen lain dalam gabungan itu mencatatkan rekod kehadiran terbaik pada persidangan pertama dewan kali ini.

    Mengikut rekod kedatangan dalam hansard (transkrip rasmi) sidang pertama Dewan Rakyat tahun ini, ahli Parlimen PN mempunyai peratusan kehadiran terbaik dengan purata 29.2 hari dari 31 hari.

    Memetik laporan Malaysiakini, pada kadar kehadiran 94.2 peratus, ini merupakan peningkatan drastik dalam kadar kehadiran ahli parlimen PN atau peningkatan daripada 72.3 peratus ketika kali terakhir semakan serupa September lalu.

    Bagi ahli parlimen kerajaan, kadar kedatangan ahli parlimen pada purata 27.4 hari, dengan kadar kehadiran 88.4 peratus.

    Perlu dinyatakan bahawa kadar kedatangan wakil rakyat pembangkang ke Dewan Rakyat secara umumnya akan lebih baik jika dibandingkan dengan ahli parlimen di pihak kerajaan kerana anggota cabang eksekutif lazimnya tidak hadir melainkan mereka dikehendaki menjawab soalan dalam sidang.

    Rekod kedatangan Dewan Rakyat mula dicatat dalam hansard pada Julai 2021.

    Bagaimanapun, jumlah kehadiran yang dicatat tidak mengambil kira sama ada ahli parlimen itu berada di Dewan Rakyat sepanjang hari atau hanya satu minit.

    Kehadiran diambil secara berkala oleh pegawai di Parlimen dan apabila ahli-ahli parlimen mendaftar masuk ke komputer masing-masing di meja mereka.

    Dalam gabungan PN, kehadiran ahli Parlimen PAS mengatasi kadar kedatangan rakan gabungan mereka iaitu Bersatu.

    Sementara itu, terdapat 97 Ahli Parlimen dengan kehadiran penuh.

    Ahli Parlimen PAS mempunyai bilangan kehadiran penuh paling ramai (31) – lebih dua kali ganda daripada ahli parlimen Bersatu (11).

    Ini bermakna 72.1 peratus ahli parlimen PAS mempunyai kehadiran penuh, manakala DAP berada di tempat kedua (52.5 peratus).

    Parti dengan kehadiran terburuk ialah MIC. Ahli Parlimen tunggal mereka mempunyai kehadiran yang lemah iaitu sebanyak 15 hari dari 31 hari atau 48.4 peratus.

    Sebaliknya, Muda – juga dengan hanya seorang ahli Parlimen – adalah satu-satunya parti dengan kadar kehadiran 100 peratus.

    Perdana Menteri Anwar Ibrahim hanya hadir 17 dari 31 hari Dewan Rakyat bersidang. Perlu dinyatakan bahawa dia terlibat dalam banyak lawatan luar negara sejak beberapa minggu lalu.

    Bagaimanapun, Anwar hanya terlepas satu sesi soal jawab perdana menteri (PMQ) iaitu pada 28 Feb. Pejabat Perdana Menteri tidak menjawab permintaan untuk mengulas lanjut berkenaan perkara itu.

    Ketua pembangkang Hamzah Zainudin hanya hadir 19 dari 31 hari sidang. Pada kadar kehadiran 61.3 peratus, ia jauh lebih rendah berbanding kehadiran 92.86 peratus yang dicapai oleh Anwar ketika memegang jawatan sama tahun lalu.

    Kadar 92.86 peratus itu disifatkan oleh pemerhati MyMP sebagai contoh yang baik.

    Difahamkan, Hamzah cuti sakit dari 9 Mac hingga 22 Mac.

    Malangnya bagi Anwar, kadar kehadirannya kali ini meletakkannya dalam kalangan 10 kehadiran terendah. Turut tersenarai adalah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (15 hari), Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (14) dan Hadi (12).

    Alexander Nanta Linggi dari GPS hanya menghadiri 11 daripada 31 hari sidang Dewan Rakyat. Dia mengambil cuti sakit sejak 14 Mac kerana menjalani pembedahan penggantian lutut.

    Di kedudukan paling bawah dalam rekod kedatangan ke Dewan Rakyat ialah Ahli Parlimen Putatan Shahelmey Yahya (10 daripada 31). Dia yang juga timbalan ketua menteri III tidak menjawab pertanyaan berkenaan perkara itu.

    Pengerusi PN dan juga presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang menduduki tempat terakhir dalam semakan lepas, mencatatkan antara kehadiran terbaik iaitu sebanyak 26 dari 31 hari.