Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pengampunan untuk Najib: Kerajaan serah kepada Agong

    Pengampunan untuk Najib: Kerajaan serah kepada Agong

    KERAJAAN perpaduan menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan proses sewajarnya untuk menentukan permohonan mengampunkan Datuk Seri Najib Razak, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

    Beliau menegaskan pengampunan untuk bekas Presiden UMNO itu bukan pendirian kerajaan dan tidak pernah dibicangkan dalam Jemaah Menteri.

    “Isu itu pendirian UMNO sebagai parti politik … ia tidak pernah dibawa ke Jemaah Menteri,” katanya, pada sidang media, hari ini.

    Setiausaha Agung DAP itu mengingatkan bahawa sesiapa yang disabit kesalahan oleh mahkamah boleh mohon pengampunan, proses yang beliau sifatkan sebagai adil kepada semua pihak dan biasa.

    “Sama ada dibenarkan atau tidak terpulang kepada Agong. Untuk kita (kerajaan), kita menaruh kepercayaan kepada proses sewajarnya dan kebijaksanaan Agong untuk buat keputusan yang terbaik,” katanya, lapor FMT.

    Majlis Kerja Tertinggi UMNO minggu lepas memohon Istana Negeri mempertimbangkan pengampunan penuh buat bekas Perdana Menteri Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah dalam kes berkait dana SRC International.

  • ‘Pihak tak puas hati dengan PN sengaja mainkan isu perkauman’ – Muhammad Fawwaz

    ‘Pihak tak puas hati dengan PN sengaja mainkan isu perkauman’ – Muhammad Fawwaz

    AHLI Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan enggan mengulas lanjut mengenai kertas siasatan berhubung kenyataan berunsur perkauman membabitkan dirinya.

    Muhammad Fawwaz hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada pukul 3 petang Jumaat lalu untuk memberi keterangan berhubung perkara tersebut.

    “Isu ini sedang dalam siasatan polis. Saya juga telah memberi keterangan berkaitan isu ini kepada pihak polis (di) IPD Timur Laut. Oleh itu, saya tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai isu ini kerana dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Sebelum ini, Muhammad Fawwaz menerusi entri di Facebooknya dilaporkan berkata “… Dalam sirah belum pernah ada sejarah kafir ada keinginan untuk memartabatkan agamamu wahai Muslim, tetapi menjatuhkan agamamu selalu diingatkan dalam al-Quran.”

    Namun tidak lama kemudian beliau memohon maaf dan berkata, kenyataan berkenaan ditulis dan dimuat naik oleh pengendali Facebooknya, selain berharap isu berkenaan tidak diperbesarkan kerana kenyataan itu sudah dipadam.

    Tambah Muhammad Fawwaz, isu tersebut sudah lama namun sengaja dimainkan semula oleh pihak tidak berpuas hati dengan Perikatan Nasional (PN).

    “Insya-ALLAH tiada apa-apa, pihak yang tidak berpuas hati dengan PN hanya mahu memainkan isu yang sudah pasti rakyat tidak akan termakan dengannya.

    “Saya pun tak ingat bila hantaran itu dibuat dan bila ia dipadam oleh pengendali Facebook saya. Isu ini pun tak ada apa-apa pun, sengaja dibangkitkan. Ia bukan isu baru,” katanya lagi, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan berunsur perkauman, membabitkan dua wakil rakyat daripada PN.

    Kertas siasatan itu dibuka ke atas Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Muhammad Fawwaz yang juga Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang.

    Kata Saifuddin, siasatan ke atas Abdul Hadi dan Muhammad Fawwaz dibuat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan yang mana, Muhammad Fawwaz didakwa membuat fitnah ke atas orang bukan Islam.

  • Masjidil Haram kini lebih luas, sedia terima jutaan jemaah 10 hari terakhir Ramadan

    Masjidil Haram kini lebih luas, sedia terima jutaan jemaah 10 hari terakhir Ramadan

    MASJIDIL Haram dan Masjid Nabawi kini telah bersedia sepenuhnya untuk menerima jutaan jemaah semasa 10 hari terakhir Ramadan.

    Imam Masjidil Haram yang juga Presiden Umum Urusan dua masjid suci di Arab Saudi, Sheikh Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Sudais turut mengumumkan pembukaan kepada pembesaran ketiga Masjidil Haram.

    Menurut Astro AWANI, pembukaan kawasan baharu itu dilengkapi dengan sistem perkhidmatan lapangan, kejuruteraan dan teknikal bagi memastikan keselesaan dan keselamatan jemaah.

    Malah, ruang baharu itu dibuka di semua tiang dan laluan untuk mereka yang datang dari terowong Jarwal dan Jabal Al-Kaabah, seperti mana rancangan yang disediakan untuk 10 hari terakhir Ramadan.

    Di samping itu, untuk memastikan kebersihan dan keharuman, operasi pembersihan dan pewangi dipergiat sepanjang masa.

    Pihak pengurusan turut memberi tumpuan kepada operasi teknikal terutama melibatkan eskalator dan lif termasuk sistem pendingin hawa.

    Sejak awal Mac lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membuka permohonan permit untuk mengerjakan ibadah umrah sepanjang Ramadan 1444H.

    Kementerian itu menerusi kenyataan dimuat naik di laman Twitter rasminya berkata, permohonan itu terbuka kepada semua warga Saudi dan warga asing dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

    Kerajaan Arab Saudi menegaskan, permit umrah bagi warga asing sah laku sehingga 90 hari, di samping mengingatkan para jemaah agar tidak tinggal di negara itu melebihi tempoh berkenaan.

  • Isu pertikaian Laut China Selatan:Faiz tampil pertahan Muhyiddin

    Isu pertikaian Laut China Selatan:Faiz tampil pertahan Muhyiddin

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas Anggota Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee yang mempersoalkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan kenyataannya mengenai pertikaian Laut China Selatan dengan China.

    Dr. Faiz Na’aman berkata, Lee begitu teruja mempertahankan kenyataan ‘rundingan’ dengan China yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga menggunakan perkataan bodoh terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

    “Untuk Howard Lee, tidak pernah mana-mana pihak jadi bodoh atau berpura-pura bodoh jika menegur perdana menteri melalui ayat yang sopan dan teratur seperti orang yang bertamadun.

    “Kita ini negara demokrasi, sudah tentu kritikan akan datang dari pelbagai pihak terutamanya pembangkang.

    “Saya fikir pihak Pakatan Harapan (PH) lagi teruk apabila menghentam Najib Razak sebelum ini yang dilihat rapat dengan projek-projek nasional terkait pembabitan China,” kata Faiz.

    Lee sebelum ini dilaporkan berkata, Muhyiddin bodoh atau pura-pura bodoh ketika mempertikaian istilah ‘diplomasi’ perdana menteri dalam itu pertikaian kawasan di Laut China Selatan.

    Kata Lee, sebagai bekas perdana menteri, beliau sepatutnya tahu bahawa isu hubungan antarabangsa melibatkan banyak perkara, termasuk urus tadbir, pertemuan, dan timbang tara untuk menyelesaikan, atau setidak-tidaknya mengendurkan ketegangan dalam sesuatu isu.

    Muhyiddin sebelum itu membidas Anwar sebagai ‘cuai’ apabila berkata, Putrajaya terbuka kepada rundingan selepas Beijing membangkitkan projek operasi cari gali Petronas di kawasan laut tersebut.

    Muhyiddin berkata, kenyataan Anwar itu secara tidak langsung boleh dianggap memperakui tuntutan China terhadap wilayah Malaysia.

    Sementara itu, Faiz berkata, Anwar yang seringkali menoleh ke Indonesia dalam mencari sokongan politik serta inspirasi, gagal menyelami semangat nasionalisme negara itu yang tidak berkompromi perihal kedaulatan tanah air mereka.

    “Pernah dengar kalimah NKRI (Negara Kesatuan Republik Indonesia) harga mati, ngak (tidak) bisa ditawar lagi,” soalnya.

    Faiz juga berkata, tidak pernah mendengar perdana menteri negara serantau, termasuk Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam, menggunakan istilah ‘berunding’ apabila melibatkan pertikaian tuntutan hak sempadan maritim negara mereka dengan China.

    “Maka tidak hairanlah Anwar dicop lemah oleh Tan Sri Muhyiddin dalam soal ini.

    “Saya pula ingin soal adakah Anwar ini cuba berlakon lunak dengan China sedangkan satu negara tahu pihak luar mana yang beri sokongan terhadap gerakan politik beliau sejak zaman Reformasi,” soalnya lagi, lapor MalaysiaKini.

  • Beri pengampunan penuh pada pengguna dadah ringan

    Beri pengampunan penuh pada pengguna dadah ringan

    MAJLIS Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (Masac) menyarankan agar kerajaan mewujudkan lembaga keampunan khas bagi bekas-bekas pengguna dadah sebagai peluang kedua.

    Pihak Masac berharap pengampunan penuh automatik dan pembersihan rekod kesalahan diberikan kepada bekas penagih yang menjalani hukuman dan pemulihan serta dijamin bersih dalam tempoh lima tahun.

    Setiausahanya, Raja Azizan Suhaimi berkata, negara ini mempunyai jumlah bekas pengguna bahan terlarang termasuk dadah yang ramai, berjumlah puluhan ribu sejak penggunaan dadah dijadikan satu kesalahan di Malaysia.

    “Mereka yang pernah terlibat dengan masalah pengambilan dadah ini, ramai yang sudah insaf apabila dihukum dan mempunyai sokongan rakan pemulihan agar mereka kekal pulih dan tidak kembali kepada pengambilan dadah.

    “Mereka ini sungguhpun cekal dan menguatkan hati untuk tidak kembali ke kancah dadah berdepan kesukaran mendapat peluang pekerjaan kerana mempunyai rekod sebagai bekas pengguna dadah yang pernah dihukum penjara atau denda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Masac berharap kerajaan membantu golongan berkenaan agar mereka dapat meneruskan kehidupan tanpa sebarang stigma dan prejudis masyarakat.

    Sehubungan itu Raja Azizan berharap, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan satu arahan pentadbiran agar bekas pengguna dadah yang sudah bersih secara automatik diberi pengampunan penuh dan data mereka bebas daripada rekod hukuman.

    “Ini kerana banyak kes pengguna dadah yang pernah dihukum kerana ambil dadah atau memiliki dadah penggunaan sendiri dengan jumlah kecil terus punah kehidupannya daripada sudut kerjaya.

    “Sedangkan mereka ini mempunyai latar belakang hebat dari segi pendidikan dan kerjaya,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Tambahnya, bekas pengguna dadah juga boleh memenuhi tawaran kerja bagi sektor yang sering diisi oleh tenaga kerja warga asing.

    Pekerja asing sendiri, katanya, mungkin tidak disaring dengan benar-benar teliti dalam isu rekod penggunaan dadah.

  • Tarikh lihat anak bulan Syawal 20 April

    Tarikh lihat anak bulan Syawal 20 April

    TARIKH bagi melihat anak bulan Syawal bagi tahun ini ditetapkan pada petang Khamis, 20 April 2023 bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijriah dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Puasa akan diumumkan pada malam berkenaan.

    Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab, lapor Sinar Harian.

  • Puteri Sarah – Syamsul bercerai 18 April

    Puteri Sarah – Syamsul bercerai 18 April

    PERKAHWINAN pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin dan suaminya, Syamsul Yusof akan menemui titik perakhiran pada 18 April ini.

    Kata sepakat itu dicapai pada pertemuan kedua-dua pihak yang diadakan malam tadi.

    Pada tarikh tersebut, Syamsul akan melafazkan talak terhadap Sarah.

    Hakim Syarie, Akmaluddin Ilyas juga akan merekodkan segala terma-terma penyelesaian dan persetujuan kedua-dua pihak.

    Terma penyelesaian dan persetujuan tersebut akan merangkumi isu-isu berkaitan handanah (hak penjagaan anak), nafkah anak-anak, mutaah, edah dan harta sepencarian.

    Terdahulu, Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah pada 21 Mac lalu dengan alasan isterinya itu masih menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang.

    Selain itu, antara alasan yang dikemukakan Syamsul atas tuntutan nusyuz itu termasuk meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.

    Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 tahun lapor Utusan Malaysia.

  • Mohon pengampunan Najib modal PN tawan PRN

    Mohon pengampunan Najib modal PN tawan PRN

    KEPUTUSAN UMNO memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong terhadap bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak menjelang pilihan raya negeri (PRN) sebagai langkah ‘tidak bijak’.

    Menurut penganalisis politik dari Universiti Tasmania, James Chin, ini kerana seolah-olah memberi senjata politik kepada pembangkang menyerangnya.

    Beliau mendakwa, sentimen majoriti rakyat ketika ini menentang pengampunan diraja terhadap bekas perdana menteri itu, yang pada 31 Mac lalu gagal dalam usahanya menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda.

    “Ia mungkin boleh menyebabkan kekalahan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN selain menjejaskan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang setakat ini hanya memberi maklum balas ‘tidak timbul konflik kepentingan membabitkan dirinya yang berada dalam Lembaga Pengampunan’.

    “PN boleh ambil kesempatan dengan memberitahu orang Melayu yang Umno masih belum berubah dan sokong budaya rasuah, asalkan dapat bantu Najib,” katanya kepada FMT.

    James juga mempersoalkan waktu permohonan pengampunan diraja itu dibuat kerana Najib masih berdepan dengan beberapa lagi pertuduhan yang prosidingnya masih berjalan di mahkamah.

    “Mungkin persidangan Lembaga Pengampunan tidak dipanggil langsung (untuk memberi pengampunan kepada Najib) kerana kes lain masih berjalan,” katanya memetik laporan FMT.

    Najib ketika ini berdepan perbicaraan kes pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM27 juta, penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pecah amanah ke atas harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

    Hukuman itu dijatuhkan atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

    Pada 3 Mac lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibebaskan daripada tuduhan meminda laporan audit 1MDB.

    Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembah permohonan pengampunan diraja kepada Najib kerana parti itu percaya beliau dinafikan keadilan.

    Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpandangan, isu berkenaan dijangka tidak memberi kesan teruk kepada peluang UMNO dalam PRN di enam negeri kerana permohonan pengampunan itu dibuat berdasarkan pandangan seorang hakim bahawa Najib tidak mendapat keadilan yang sepatutnya.

    “Jadi ini berbeza dengan UMNO menyokong penyalahgunaan kuasa, walaupun empat hakim mengatakan Najib bersalah namun dengan satu penghakiman berbeza memberi kekuatan kepada parti itu untuk memohon pengampunan,” katanya.

    Azmi merujuk kepada penghakiman minoriti setebal 78 muka surat dikeluarkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli pada 31 Mac yang menyatakan Najib tidak mempunyai representasi undang-undang apabila panel Mahkamah Persekutuan mendengar dan menolak rayuannya dalam kes rasuah SRC International.

    Sehubungan itu, Azmi berkata, kempen PN menggunakan isu itu mungkin kurang berkesan dan gabungan Bersatu serta Pas sepatutnya lebih menyasarkan kepada PH yang bersekongkol dengan UMNO dalam permohonan pengampunan untuk Najib.

  • Syamsul, Puteri Sarah hadir prosiding status JKP

    Syamsul, Puteri Sarah hadir prosiding status JKP

    PELAKON, Puteri Sarah tiba di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada pukul 9.04 pagi ini, bagi sebutan permohonan tuntutan cerai terhadap suaminya, pengarah, Syamsul Yusof.

    Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin hadir dengan memakai jubah putih dan ditemani keluarganya.

    Ibu kepada sepasang anak itu mengakui berdebar menunggu prosiding di hadapan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas berhubung status proses Jawatankuasa Pendamai (JKP), yang dibuat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), 24 Mac lalu.

    “Semalam, ibu bapa mentua saya mendoakan agar prosiding ini dipermudahkan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara suaminya yang juga Pengarah filem ‘Mat Kilau’, tiba lebih awal iaitu pukul 8.57 pagi dengan ditemani peguam syarie, Azmi Mohd. Rais.

    Pengarah berusia 38 tahun itu kelihatan segak dengan mengenakan kot hitam sempat berseloroh dengan para wartawan yang menunggu di lobi mahkamah.

    Untuk rekod, Syamsul, 38 dan Puteri Sarah, 38, berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

    Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

    Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

    Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.

    Pada 7 Mac lalu, Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas kemudiannya memerintahkan pasangan itu untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

  • Akan ada kejutan, bekas pemimpin UMNO sertai Pas, kata Tuan Ibrahim

    Akan ada kejutan, bekas pemimpin UMNO sertai Pas, kata Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan, akan ada beberapa bekas nama besar dan berpengaruh dari UMNO dijangka menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Beliau membayangkan perkembangan tersebut adalah ‘sesuatu berita baik buat PN’.

    “Saya fikir akan ada beberapa kejutan… ada sesuatu berita baik,” kata Tuan Ibrahim kepada FMT.

    “Negara kita ni suka terkejut-kejut, saya nampak macam terkejut belaka.”

    Beliau berkata demikian mengulas laporan beberapa bekas pemimpin UMNO akan menyertai Pas.

    Antara bekas pemimpin UMNO dilaporkan berminat menyertai Pas ialah bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang dipecat Disember lalu.

    Tindakan beberapa bekas pemimpin UMNO itu dipercayai bagi melebarkan penguasaan PN di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang, selain mengekalkan negeri dikuasai mereka seperti di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

    Sebelum ini, Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata beberapa pemimpin kecewa dengan kepimpinan parti mereka akan menyertai Pas dalam masa terdekat.

    Memetik laporan Malaysiakini pada 29 Mac, Annuar yang juga bekas menteri era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sudah mengisi borang keahlian Pas, namun bercadang mengumumkan penyertaannya selepas Aidilfitri.

    Laporan itu tidak menolak kemungkinan Annuar menjadi calon pada PRN nanti.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yakin slogan ‘PN Best’ yang berjaya menambat hati pengundi di 74 kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih bersama gabungan itu, walaupun beberapa pemimpin utamanya kini berdepan kes mahkamah.

    Katanya, majoriti pengundi mereka yang berada dalam kelompok ‘atas pagar’ memahami tuduhan dibuat terhadap pemimpin PN bersifat pendakwaan terpilih, ketika beberapa kes seperti penyelewengan dana kapal tempur pesisir (LCS) tidak dibawa ke mahkamah walaupun siasatan telah selesai.

    “Kita akui pendakwaan ini akan memberi kesan khususnya golongan atas pagar tetapi rakyat faham pertuduhan dibuat (ke atas pemimpin PN) dan bagaimana kes itu,” katanya merujuk kepada empat tuduhan salah guna kuasa yang dihadapi Muhyiddin berkait program Jana Wibawa bernilai RM232.5 juta.

    “Gelombang anak muda masih bersama kita.”

    Slogan PN Best bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ mencetuskan gelombang hijau pada PRU15 yang mana majoriti pengundi gabungan itu adalah anak muda selepas pengundi berumur 18 tahun pertama kali dibenarkan membuang undi.