Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pasca PRN:Tiada istilah ‘bulan madu’, ADUN PN mahu kotakan janji kepada pengundi

    Pasca PRN:Tiada istilah ‘bulan madu’, ADUN PN mahu kotakan janji kepada pengundi

    TIDAK sampai 24 jam selepas disahkan menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin sudah mula turun padang menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

    Calon daripada Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan beliau mahu mengotakan janjinya kepada para pengundi untuk terus bekerja selepas diberikan mandat.

    Menurutnya, ini bukan tempoh ‘bulan madu’ sebaliknya masa untuk berkhidmat kepada rakyat walaupun sebagai pembangkang di Selangor.

    “PN, Alhamdulillah menang 22 kerusi iaitu kurang tujuh kerusi untuk membentuk Kerajaan Negeri. Tetapi itu tak bermakna kita patah semangat.

    “Ini baru permulaan untuk PN kerana kita tahu gelombang sokongan rakyat itu ada kepada PN dan mereka meletakkan harapan yang besar kepada wakil rakyat PN yang dipilih.

    “Jadi saya tahu di Taman Medan majoritinya 30 undi tetapi kita menghormati suara rakyat. Pesta demokrasi sudah berakhir, ini adalah masa untuk kita berkhidmat dan juga memberikan harapan baharu kepada rakyat Selangor serta menjadi suara kepada mereka semua dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika ditemui semalam.

    Dr. Afif menang di kerusi berkenaan dengan majoriti tipis 30 undi selepas memperoleh 22,316 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Akhir Pawan Chik dengan 22,286 undi.

    Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang itu sebelum ini tewas di Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Mengulas mengenai majoriti tipis dimenanginya, Setiausaha PN Selangor itu berkata, peratusan keluar mengundi pada PRN kali ini adalah lebih rendah berbanding PRU lalu

    Bekas pegawai perubatan itu yakin jika peratusan lebih tinggi, PN mampu menawan banyak lagi kerusi di Selangor.

    Meskipun hanya menang dengan majoriti 30 undi, Dr. Afif menambah, kemenangannya tidak boleh diragui kerana telah disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan proses pengiraan undi berjalan dengan lancar.

    “30 undi, saya tidak boleh kata gelombang tetapi Taman Medan ini menjadi antara satu titik biru dalam kalangan lautan merah di Negeri Selangor ini.

    “Taman Medan insya-Allah akan menjadi pemangkin untuk usaha PN dalam PRU akan datang, kembali menawarkan diri menjadi Kerajaan Selangor. insya-Allah kita akan memberikan bukan hanya khidmat tetapi menjadi suara kepada orang Selangor,” tambah beliau.

    Dr. Afif berkata, isu pembangunan bandar, infrastruktur, penyelenggaraan sampah serta kesihatan awam antara fokus yang perlu diberi perhatian dan ia menjadi cabaran di Taman Medan kerana kepadatan penduduk.

    Justeru, beliau berpandangan Kerajaan Selangor yang dibentuk kelak harus bekerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang dalam mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu-isu di negeri itu.

    “Saya meletakkan harapan yang tinggi kepada siapa juga yang bakal menjadi Menteri Besar yang baharu daripada PH, kalau ada. Kalau tak ada (Menteri Besar), boleh serah kepada kami tetapi kena bincang,” katanya seloroh.

    “Jadi saya mengharapkan Menteri Besar yang baharu ini kena faham, ada 22 wakil (daripada PN) yang dipilih oleh rakyat dan sebahagian besar ditempat tempat lain juga, PN mendapat undi yang besar.

    “Ini bermakna beliau (Menteri Besar) harus sedar bahawa perlu ada kerjasama dengan pihak pembangkang terutama supaya khidmat kepada rakyat itu tidak lagi dilihat atas dasar kepentingan politik semata-mata tetapi lebih jujur dan ikhlas,” tambah Dr. Afif.

    Dalam pada itu, Dr. Afif mengambil pendekatan awal dengan berkongsi nombor telefon bagi memudahkan penduduk di Taman Medan berhubung dengannya dan menyalurkan maklumat serta permasalahan di kawasan berkenaan.

    Ujarnya, langkah tersebut bagi membolehkan beliau mendapatkan maklum balas dalam tempoh sebulan pertama sebelum merangka strategi untuk mengatasi perkara yang dibangkitkan rakyat.

    “Saya berharap menjelang 100 hari itu saya dah mula dapat melihat keputusan daripada tindakan-tindakan yang saya lakukan.

    “Pastinya matlamat saya, saya berharap dapat bekerjasama erat bukan hanya dengan penduduk tetapi lebih penting pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Kerajaan Selangor yang bakal dibentuk nanti,” katanya, lapor Astro Awani.

    Penduduk di Taman Medan boleh menyalurkan maklumat kepada Dr Afif melalui nombor telefon 012-440 3265.

  • Fadzli MB, Nassuruddin TMB baharu Kelantan?

    Fadzli MB, Nassuruddin TMB baharu Kelantan?

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi bayangan Menteri Besar (MB) dan Timbalan Menteri Besar (TMB) baharu Kelantan ialah gabungan baharu, bukannya yang lama serta berusia 50-an.

    Melihat kepada kenyataan itu antara calon yang dilihat layak untuk mengisi jawatan berkenaan ialah Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan (Temangan) berusia 55 tahun dan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud (Meranti), 58, manakala Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Abdullah (Panchor) sudah berusia 68 tahun.

    Takiyuddin berkata, ada dua nama yang akan dipersembahkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini bagi mendapat perkenan.

    “Mereka merupakan gabungan agamawan dan tokoh teknokrat serta boleh jadi Exco sebelum ini.

    “Hendak jadi MB, TMB mesti rakyat Kelantan,” katanya semasa sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat antara kepimpinan Pas Pusat dan Pas Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.

    Sebelum itu beliau hadir ke mesyuarat Pas Pusat bersama kepimpinan Pas negeri Kelantan bagi membincangkan proses pelantikan MB, TMB serta Exco kerajaan negeri di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu yang turut dihadiri oleh Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Takiyuddin berkata, mesyuarat tersebut telah selesai memilih siapa calon menteri besar dan ia dipersetujui Pas Kelantan.

    Ujar Ahli Parlimen Kota Bharu itu, konteks di Kelantan lain dari negeri lain kerana jawatan Timbalan Menteri Besar yang tertulis dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

    “Sebagai contoh, di Pulau Pinang tiada dalam Perlembagaan namun jawatan tersebut telah dicipta.

    “Bila MB dilantik… MB akan bawa 10 nama kepada Tuanku Sultan untuk dilantik sebagai Exco. Jadi di Kelantan, TMB akan dilantik dalam kalangan salah seorang Exco itu,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Takiyuddin memberitahu, apa yang dibincangkan pada mesyuarat tersebut adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Perkara 16 yang menyatakan bahawa ke bawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Kelantan terlebih dahulu melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pada pandangan Baginda mempunyai kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

    Beliau berkata, itu kuasa mutlak Tuanku Sultan yang tidak memerlukan apa-apa nasihat daripada mana-mana pihak.

    Ujarnya, apa yang dibuat oleh parti ialah mengangkat nama pada pandangan mereka yakin dan sesuai untuk Tuanku Sultan lantik sebagai Menteri Besar.

    “Jadi esok (Isnin) sebagaimana kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob tadi, beliau sendiri akan angkat nama itu kepada Tuanku Sultan.

    “Saya difahamkan majlis angkat sumpah telah ditetapkan pada Selasa jam 3 petang dan proses kita ini berjalan dengan lancar,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Media sebelum ini melaporkan, Kelantan bakal mendapat Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu sekiranya Pas dah Perikatan Nasional (PN) kekal mentadbir negeri itu dalam PRN.

    Takiyuddin berkata, pihaknya memutuskan perubahan kedudukan dua jawatan itu dengan mengemukakan gabungan kepimpinan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan.

    Terdahulu, Ahmad mengesahkan masalah kesihatan yang dialami menjadi sebab utama beliau menolak untuk kekal sebagai Menteri Besar jika parti itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

    Ahmad berkata, masalah kesihatan itu melibatkan ‘slip dics’ selepas dua kali terjatuh sebelum ini selain jantung.

  • Calon MB, TMB Kelantan gabungan ADUN berpengalaman-Takiyuddin

    Calon MB, TMB Kelantan gabungan ADUN berpengalaman-Takiyuddin

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi gambaran kerajaan Kelantan akan diterajui gabungan baharu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berpengalaman untuk diangkat sebagai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar.

    Bagaimanapun Takiyuddin menegaskan, keputusan muktamad adalah hak prerogatif Sultan Kelantan bagi menentukan nama Menteri Besarnya.

    Ditanya sama ada calon berkenaan pernah menjadi Exco sebelum ini, beliau dia tidak menolak kemungkinan itu.

    “Gabungan (Menteri Besar dan Timbalan) ini gabungan baru, tidak gabungan sekarang, tidaklah terlalu berusia.

    “Perbincangan berjalan lancar tak ada masalah, dan keputusan dipersetujui oleh Pas Kelantan.

    “Ada dua nama untuk gabungan itu. Boleh jadi (bekas Exco), ia mestilah orang yang ada pengalaman. Saya tak tahu akan diangkat satu atau dua nama,” katanya ditanya sama ada calon berkenaan pernah menjadi Exco sebelum ini.

    Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat antara kepimpinan Pas Pusat dan Pas Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.

    Turut hadir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    Malaysiakini sebelum ini melaporkan Ahmad mengesahkan perbincangan mengenai calon Menteri Besar Kelantan sudah selesai dan pihaknya akan mempersembahkan nama tersebut kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, hari ini.

    Selain itu majlis angkat sumpah Menteri Besar baharu dijadualkan berlangsung pada pukul tiga petang esok.

    Pas melalui gabungan PN meraih kemenangan bergaya di 43 daripada 45 kerusi DUN dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu.

    Pembangkang pula hanya meraih dua kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama yang dimenangani calon Pakatan Harapan (PH) dan DUN Galas oleh Barisan Nasional (BN).

  • UMNO perlu tukar Presiden untuk kekal relevan- pemimpin PKR

    UMNO perlu tukar Presiden untuk kekal relevan- pemimpin PKR

    UMNO perlu menukar Presidennya jika mahu kekal relevan dan mengelakkan Perikatan Nasional (PN) mengambil tempatnya dalam politik negara, kata seorang pemimpin PKR.

    “UMNO memperjuangkan ketuanan Melayu selama berdekad, tetapi kini PN yang meneruskan perjuangan itu. Sebab itu pengundi Melayu yang masih percaya kepada semangat ketuanan Melayu memihak kepada PN,” kata pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang enggan dinamakan.

    Bagaimanapun katanya,
    jika Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berundur, kerajaan perpaduan akan berdepan keadaan sukar.

    “Sejauh mana kita boleh yakin Presiden baharu akan senada dengan aspirasi (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim?”

    Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, ialah Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan perpaduan Anwar, gabungan yang dibentuk Pakatan Harapan, BN dan parti dari Malaysia Timur.

    Pemimpin PKR itu berkata, UMNO perlu memikirkan apa yang masyarakat Melayu mahu daripada pemimpin mereka bagi mengelakkan lebih ramai penyokong beralih kepada PN.

    Seorang ahli DAP berkata, Zahid patut berundur untuk memenangi hati penyokong UMNO yang kecewa.

    Katanya, UMNO tidak lagi dikenali mempromosikan hak Melayu, sebaliknya ia hanya dilihat ‘sebagai parti yang melindungi presidennya’.

    Beliau berkata, PRN Sabtu lalu menunjukkan PN berusaha keras menjadi kerajaan pada PRU akan datang.

    “Jika PH berterusan tidak menyelesaikan isu seperti harga barang, pekerjaan dan kestabilan politik, kita berada dalam bahaya besar.

    “Untuk mencapainya, beberapa anggota Kabinet perlu berundur. Kita memerlukan orang yang boleh buat kerja. Keputusan PRN ini sepatutnya menjadi ‘wake up call’ kepada Anwar,” katanya lapor FMT.

    UMNO hanya memenangi dua kerusi di Selangor (Sungai Air Tawar dan Dusun Tua) dan Pulau Pinang (Bertam serta Sungai Acheh), dengan Ketua UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin tewas kepada calon PN, Hilman Idman di Gombak Setia.

    UMNO hanya memenangi satu kerusi di Kelantan (melalui Syahbuddin Hashim di Galas), manakala semua calonnya di Terengganu tewas, termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said serta Ahmad Razif Abdul Rahman.

  • ‘’UMNO kejar 500 undi DAP, hilang 5,000 undi Melayu’’ 

    ‘’UMNO kejar 500 undi DAP, hilang 5,000 undi Melayu’’ 

    AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, parti itu perlu ‘melakukan sesuatu’ selepas parti itu kalah teruk apabila hanya menang 19 kerusi daripada 109 kerusi ditandingi.

    Beliau menegaskan, dengan kalah di 89 kerusi,  UMNO perlu berbuat sesuatu, ‘’jika tidak UMNO akan terus kalah dan akan pupus terus menjelang PRU-16’’.

    ‘’Saya telah jelajah ke hampir seluruh enam negeri untuk berkempen, dan saya telah berdialog dengan akar umbi. Di mana-mana saya pergi akar umbi kita rata-rata bertanya tentang tiga perkara: Pertama berkenaan DAP, kedua berkenaan Presiden, dan ketiga berkenaan Dato’ Sri Najib. Perkara-perkara ini adalah isu-isu utama di akar umbi,’’ katanya dalam kenyataan Facebook.

    Isham berkata,  UMNO perlu selesaikan  sama ada  terus bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan dan pilihanraya, ataupun bekerjasama hanya dalam kerajaan dan bukan pilihanraya. 

    ‘’Dengan pilihan kedua itu, kita mungkin boleh membina semula parti kita dengan mengekalkan ideologi dan perjuangan kita, walaupun mula-mula mungkin kita kalah atau tidak menang besar. Namun demikian dengan ini kita dapat kekalkan akar umbi kita dan sedikit demi sedikit memenangi semula hati rakyat. Jika tidak, akar umbi kita akan lari ke parti lain, dan nasib kita akan jadi seperti pepatah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

    ‘’ Untuk mengejar 500 undi DAP, kita hilang 5,000 undi Melayu dan hilang akar umbi. Jika kita hilang akar umbi, parti kita akan mati. Ini tidak bijak malahan bahaya,’’ katanya.

    Isham menegaskan, beliau sebelum ini sudah memberitahu bahawa perkara ini adalah amat sensitif kepada akar umbi UMNO.

    ‘’Jika kita paksa akar umbi kita undi DAP, mereka akan bantah dan besar kemungkinan tidak akan keluar mengundi, atau lebih teruk mereka protes dan undi PN. Ini yang telah berlaku di enam negeri PRN. Di Selangor, undi yang calon PN bertanding menentang calon kita, calon PN telah mendapat undi lebih banyak berbanding ketika mereka bertanding di bawah tiket PKR dulu.

    ‘’ Ini bermaksud, bukan sahaja penyokong lama PKR menyokong mereka, namun orang UMNO pun mengundi mereka juga. Ini adalah satu tamparan hebat kepada UMNO,’’ katanya. 

  • Menteri Besar: Kedah, NS esok, Kelantan Selasa 

    Menteri Besar: Kedah, NS esok, Kelantan Selasa 

    DUA Menteri Besar akan mengangkat sumpah esok melibatkan negeri Kedah dan Negeri Sembilan.

    DI ALOR SETAR, majlis pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Kedah  dijadualkan berlangsung di Istana Anak Bukit di sini.

    Berdasarkan surat jemputan media yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah hari ini, majlis itu dijadual diadakan di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit, di sini kira-kira jam 9 pagi.

    Majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah itu turut akan dihadiri Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Norizan Khazali.

    Pada PRN semalam, Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh kemenangan besar iaitu 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri ketika ini bertindak sebagai Menteri Besar Kedah sementara, sehingga Menteri Besar baharu dilantik dan mengangkat sumpah. 

    DI SEREMBAN, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata,  Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan akan diadakan di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah.

    Bagaimanapun katanya, siapa yang bakal mengangkat sumpah hanya akan diketahui pada jam 3 petang.

    “Kepada ahli dan jentera parti dan semua penyokong sama ada dari PH dan Barisan Nasional (BN) saya minta bersabar kerana dalam masa yang singkat ini kita cuba selesaikan dengan cara terbaik bagi memastikan kelangsungan Kerajaan Perpaduan dapat dilaksanakan.

    “Di peringkat PH, masih sebulat suara mencadangkan saya untuk menjadi Menteri Besar dan saya rasa itu tidak berubah sampai sekarang,” katanya.

    Gabungan PH dan BN berjaya memperoleh kemenangan di 31 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    DI KOTA BHARU  Menteri Besar Kelantan yang baharu dijangka mengangkat sumpah Selasa ini selepas PN  peroleh majoriti besar pada PRN.

    Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yakob berkata, PN mengadakan perbincangan untuk memilih calon Menteri Besar yang baharu.

    “Apabila dapat semua (senarai penuh), kita akan bincang. Insya-Allah, Menteri Besar baharu akan mengangkat sumpah pada 15 Ogos ini.

    “Bagaimanapun, pemilihan itu tertakluk kepada perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V,” katanya kepada pemberita malam tdi.

    DI SHAH ALAM, setakat ini belum ada apa-apa perkembangan berkaitan majlis angkat sumpah Menteri Besar Selangor.

  • Perikatan Nasional kuasai undi popular dalam kalangan pengundi Melayu

    Perikatan Nasional kuasai undi popular dalam kalangan pengundi Melayu

    UNDI popular yang diperolehi Perikatan Nasional (PN) hampir sama dengan gabungan PH-BN, kata Ketua Penyelidikn ILHAM Centre.

    Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, berkata secara umumnya, analisis menunjukkan PN memperoleh sebanyak 49.3 peratus undi popular pada PRN ini, manakala gabungan PH-BN pula, meraih 49.5 undi popular.

    “Kita lihat PN hampir menyapu bersih kerusi DUN di Kelantan dan Kedah, selain menyapu bersih di Terengganu, dan memperoleh banyak kerusi di sebahagian Selangor utara dan Seberang Perai, Pulau Pinang. Namun dari segi undi popularnya, ia hampir sama dengan PH-BN yang menang di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya lapor Berita Harian.

    Dalam PRN, semalam, PN berjaya meraih sebanyak 146 kawasan DUN daripada keseluruhan 245 kerusi dipertandingkan, PH (80 kerusi) dan BN (19 kerusi).

    Di Selangor, PH-BN menang 34 kerusi, manakala PN (22 kerusi); Pulau Pinang, PH-BN meraih 29 kerusi, sementara PN (11 kerusi). Di Negeri Sembilan pula, 31 kawasan DUN menjadi milik PH-BN manakala bakinya, lima kerusi diperoleh PN. PN menyapu bersih 32 kerusi di Terengganu, manakala di Kelantan, PH-BN hanya mampu berpuas hati dengan memiliki dua kerusi, manakala baki 43 lagi berpihak kepada PN.

    Sementara di Kedah, PN menang selesa di 33 kerusi, dan PH-BN pula hanya memperoleh tiga kerusi DUN di negeri itu.

    Pada masa sama, Mohd Yusri berkata, di negeri Pantai Timur, PN berjaya meraih undi popular paling tinggi di Kelantan iaitu sebanyak 69.23 peratus, manakala PH-BN pula 30.54 peratus.

    Beliau berkata, di Terengganu, PN berjaya mendominasi undi popular dengan 68.44 peratus, manakala PH-BN pula, 31.48 peratus.

    Katanya, faktor utama pecahan undi popular ialah kerana kepadatan pengundi, yang mana kawasan seperti di Selangor dan Pulau Pinang mempunyai pengundi yang lebih padat di satu-satu kawasan DUN.

    “Kepadatan pengundi itu berbeza jika dibandingkan dengan PN yang menang di Kelantan, Kedah dan Terengganu…atas dasar itu, banyak kerusi baharu dimiliki PN, namun undi popular masih lebih kurang sama atau sedikit di bawah PH-BN,” katanya.

    Beliau berkata, PN mengungguli majoriti undi popular bagi segmen pengundi Melayu dan Muslim, manakala PH-BN pula meraihnya daripada pengundi segmen etnik bercampur, selain undi Melayu di kawasan bandar khususnya di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

  • Zahid perlu bertanggungjawab gagal kemudi UMNO – Hassan Karim

    Zahid perlu bertanggungjawab gagal kemudi UMNO – Hassan Karim

    DATUK SERI Anwar Ibrahim tidak wajar dipersalahkan selepas kerusi majoriti Melayu ditandingi gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional berpindah kepada Perikatan Nasional.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, berkata individu yang jelas perlu bertanggungjawab terhadap prestasi itu adalah Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi apabila Presiden UMNO itu  gagal mengemudi parti Melayu tersebut sehingga kalah 89 daripada 108 kerusi ditandinginya.

    “Anwar adalah panglima perang dalam PRN ini,” katanya menyifatkan kejayaan Pengerusi PH memimpin calon kerajaan perpaduan mempertahankan tiga negeri ditadbirnya sebelum ini di medan PRN semalam sebagai “penting untuk diiktiraf”. Yang jelas tewas dan perlu bertanggungjawab atas kekalahan Umno di 89 kerusi ditandinginya dengan logo BN ialah presiden UMNO,” katanya kepada FMT dari Makkah.

    Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Anwar dan Zahid perlu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri susulan referendum rakyat hasil keputusan PRN enam negeri, apabila PN menang 146 atau 60% kerusi daripada 245 keseluruhan DUN ditandinginya.

    Hassan berkata, keputusan kurang memberangsangkan rakan sekutu PH itu perlu diteliti dengan cermat oleh Perdana Menteri sebelum melangkah ke “medan perang” lebih besar iaitu PRU16.

    “UMNO-BN memang jelas tewas. Anwar perlu membuat persiapan menjelang PRU akan datang untuk mendapatkan semula sokongan orang Melayu yang jelas banyak berpindah kepada PN.

    “(Kerjasama dengan UMNO) perlu diteliti dengan cermat, tetapi bukan sangat dengan UMNO sebaliknya (kerjasama) dengan Presiden UMNO (Zahid) secara peribadi.”

    Terdahulu, beberapa penganalisis berpandangan UMNO perlu menukar kepimpinan di peringkat atasan dengan Zahid berundur sebagai tonggak parti itu sehingga timbalan perdana menteri dibebaskan daripada pertuduhan rasuah di mahkamah.

    Ahmad Fauzi Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, kerajaan perpaduan berisiko kehilangan lebih banyak sokongan politik dan gagal meraih undi Melayu yang amat diperlukan kerajaan Anwar jika kepimpinan UMNO tidak berubah.

    Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, prestasi buruk UMNO menunjukkan masalah besar, dan lebih ramai pengundi Melayu beralih taat setia daripada parti itu.

  • Sikap ‘abang besar’ punca BN-PH putih mata di Terengganu, kata Raja Bahrin

    Sikap ‘abang besar’ punca BN-PH putih mata di Terengganu, kata Raja Bahrin

    GABUNGAN  Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu menang beberapa kerusi di Terengganu jika sikap “abang besar” tidak mendominasi pembahagian kerusi negeri itu.

    Pengerusi PH Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah, berkata dua gabungan itu bersetuju untuk memberikan kerusi campuran khususnya di DUN Bandar dan Chukai kepada PH pada peringkat awal namun ia tidak dilaksanakan.

    “Ini adalah kesilapan yang besar dan kita telah hilang peluang memenangi kerusi seperti ini di mana PH mempunyai kelebihan. Di sinilah perlunya mengakui kelebihan tertentu rakan gabungan dalam menghadapi pengundi di kawasan bandar serta pengundi campuran dan jangan mengamal sikap abang besar,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT

    BN bertanding di 27 kerusi manakala PH lima. Bagaimanapun gabungan calon perpaduan itu kalah di semua DUN Terengganu, selain Umno gagal mengekalkan kemenangan di 10 kerusi dimenanginya pada PRU14.

    Beliau menyifatkan keputusan buruk BN-PH pada PRN semalam tidak begitu mengejutkan, susulan gabungan itu gagal menggunakan strategi dan perancangan baik.

    Sebelum ini, Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan PKR supaya “ukur baju di badan sendiri” susulan permintaan parti itu bertanding di banyak kerusi pada PRN.

    Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, PH perlu sedar kekuatan jenteranya dan menerima hakikat pertarungan sebenar di negeri itu hanya membabitkan PAS dan Umno.

    Bagaimanapun, kenyataan itu disanggah Raja Kamarul yang menyifatkan semua parti dalam kerajaan campuran mempunyai kelebihan tersendiri, sambil mendakwa Amanah walaupun parti baharu mampu menjadi penentu di negeri berkenaan.

  • Calon MB: Sanusi tidak tahu siapa calon

    Calon MB: Sanusi tidak tahu siapa calon

    CALON Menteri Besar Kedah akan ditentukan oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

    Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu di luar pengetahuannya dan beliau tidak pasti sama ada namanya disenaraikan sebagai calon menteri besar untuk terus menerajui Kedah selepas PN menang besar di negeri itu.

    Menurutnya, perkara berkaitan sedang diuruskan parti dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah.

    “Hal ini diuruskan oleh parti dan SUK. Sama ada bawa nama saya atau nama siapa sebagai calon, saya tak tahu. Kepimpinan PN akan putuskan, bukan saya. Saya tak tahu nama saya ada dalam senarai atau tidak,” katanya pada sidang akhbar selepas PN diumumkan menang dalam PRN Kedah di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, lapor Sinar Harian.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu berkata, kerajaan negeri sementara yang dipimpinnya ketika ini masih berfungsi sehingga pelantikan Menteri Besar Kedah yang baharu dilakukan.

    “Jawatan kita tak boleh minta, itu adalah disiplin dalam Pas,” ujarnya.

    Pengerusi PN yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, PN akan mengemukakan nama calon Menteri Besar baharu di ketiga-tiga negeri dimenangi gabungan itu pada PRN dalam masa terdekat.

    Katanya, ini bagi mendapatkan perkenan daripada Sultan di negeri terbabit iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Pada PRN kali ini, PN menang di Kelantan, Terengganu dan Kedah selain kerusi Parlimen Kuala Terengganu serta 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, 22 di Selangor dan lima di Negeri Sembilan.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan kenyataan tular di media sosial berhubung Pas menolak calon DUN Jitra, Haim Hilman Abdullah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu.

    Beliau dilaporkan berkata, kenyataan bertarikh 11 Ogos itu adalah palsu.

    Menerusi kenyataan tular itu memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas yang berlangsung kelmarin memutuskan antara lain, Bersatu menuntut jawatan Menteri Besar diberikan kepada calon parti itu atau calon DUN Jitra.

    Sehari sebelum hari pengundian, Takiyuddin mengumumkan, Sanusi dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, masing-masing kekal sebagai Menteri Besar Kedah dan Terengganu jika PN menang PRN.

    Keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat di Rusila, Terengganu, dipengerusikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, namun pelantikan mereka masih tertakluk pada perkenan sultan kedua-dua negeri.