Author: Wartawan WartaRakyat

  • Konflik PBM: Zuraida ke mahkamah

    Konflik PBM: Zuraida ke mahkamah

    DATUK Seri Zuraida Kamaruddin memohon mahkamah supaya secara rasmi mengiktirafnya sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) susulan perebutan kuasa antara kepimpinannya yang berlarutan.

    Bekas presiden parti itu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 24 Mac.

    Langkah itu dilakukan Zuraida dan 10 anggota yang lain selepas dipecat daripada PBM pada Disember tahun lalu, apabila parti itu mengumumkan barisan kepimpinan barunya di bawah Presiden Larry Sng pada Februari tahun ini.

    Menurut kertas kausa yang dilihat Malaysiakini, Zuraida memohon beberapa pengisytiharan daripada mahkamah, antaranya bahawa keputusan responden, Pendaftar Pertubuhan (ROS), mengekalkan Sng sebagai presiden parti adalah tidak sah dan tidak munasabah.

    Bekas Ahli Parlimen Ampang itu juga memohon perintah mandamus untuk memaksa ROS mendaftar dan mengiktirafnya sebagai presiden PBM, berkuat kuasa mulai 7 Oktober tahun lepas.

    Menerusi afidavit sokongannya bertarikh 22 Mac, Zuraida berhujah bahawa Sng membuat kenyataan, semasa perhimpunan agung parti pada 1 Okt tahun lepas, bahawa beliau bersetuju akan ada peralihan kuasa dalam kepimpinan PBM untuk melantiknya sebagai presiden parti.

    Zuraida mendakwa ini berikutan PBM memerlukan seorang ‘tokoh yang lebih besar’ untuk membawa perubahan positif dalam parti.

    Zuraida yang juga bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa beliau menerima surat daripada PBM bertarikh 15 Oktober tahun lepas yang memaklumkan ROS mengenai pelantikannya sebagai presiden parti.

    Bagaimanapun, beliau mendakwa bahawa kemudian menerima surat daripada PBM pada 19 Disember tahun lepas dengan Sng ‘mengisytiharkan dirinya sendiri’ sebagai presiden parti dan telah menggantung keahlian partinya serta melayangkan surat tunjuk sebab untuk dibalas Zuraida dalam tempoh tujuh hari.

    Zuraida berkata, dakwaan itu adalah kerana mempersoalkan jawatan presiden parti yang dipegang Ahli Parlimen Julau itu dan mengelirukan ahli parti lain dengan meminta mereka memberikan kenyataan bersama bahawa Sng adalah presiden parti.

    Beliau juga mendakwa tindakan Sng adalah tidak sah kerana peruntukan yang digunakan untuk menggantung keahliannya adalah kuasa yang hanya mampu dimiliki oleh presiden parti, dan Sng ketika membuat keputusan itu bukan lagi presiden parti.

    Selanjutnya, Zuraida mendakwa bahawa beliau tidak menjawab surat itu kerana tidak menganggap tindakan Sng sebagai sah di bawah perlembagaan parti.

    Zuraida mendakwa beliau mendapat tahu dipecat daripada PBM melalui penerbitan akhbar berbahasa Inggeris The Star bertarikh 27 Disember yang melaporkannya disingkirkan daripada keahlian parti.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tidak pernah pada bila-bila masa menerima apa-apa notis, surat dan atau dimaklumkan oleh PBM mengenai pemecatannya itu.

    Zuraida mendakwa ROS tidak pernah memaklumkan kepadanya atau PBM bahawa pendaftar pertubuhan itu akan mengekalkan Sng sebagai presiden parti dalam senarai ahli jawatankuasa parti yang dimilikinya.

    Beliau mendakwa ROS gagal menggambarkan pelantikannya sebagai presiden PBM pada senarai ahli jawatankuasa parti dalam rekod pendaftar.

    Beliau mendakwa kegagalan ROS untuk memastikan kandungan surat itu (bertarikh 15 Oktober tahun lepas) telah menyebabkan beliau dipecat daripada parti secara tidak mengikut perlembagaan.

    Zuraida mendakwa sebagai presiden PBM dan ahli majlis tertinggi parti, beliau hanya boleh dipecat melalui undian sekurang-kurangnya dua pertiga daripada perwakilan yang menghadiri perhimpunan agung parti, mengikut Perkara 14 perlembagaan PBM.

    “Kegagalan dan atau kecuaian responden telah membolehkan PBM untuk memecat saya secara tidak berpelembagaan/ unconstitrutional yang secara langsung mengakibatkan kerosakan teruk kepada imej dan kerjaya politik saya,” katanya.

    Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Zuraida Mohamed Ashmeer Ashrof mengesahkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu akan dibicarakan di hadapan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur esok.

    Malaysiakini telah cuba menghubungi wakil undang-undang ROS berhubung perkara itu.

    Zuraida meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu pada 2020 dalam Langkah Sheraton yang menggulingkan pentadbiran PH dan menaikkan kerajaan yang diterajui PN.

    Bagaimanapun, pada pertengahan tahun lalu, beliau meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM.

  • Da’i Syed dilepas, bebas daripada tuduhan rogol

    Da’i Syed dilepas, bebas daripada tuduhan rogol

    PENDAKWAH selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini daripada tuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun, hampir empat tahun lalu.

    Hakim, Rihaida Rafie, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Syed Shah Iqmal, 27, di akhir kes pendakwaan.

    Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di Shah Alam, kira-kira pukul 1.35 malam, pada 11 September 2019.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

    Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula April tahun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros.

    Sementara itu, Syed Shah Iqmal meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada keluarga, sahabat serta semua yang sentiasa menyokong dan mendoakannya.

    “Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, berkat 19 Ramadan ini, saya diputuskan tidak bersalah. Perkara ini saya terima sebagai hadiah untuk saya sekeluarga dalam membersihkan nama dan maruah diri,” katanya ketika dihubungi.

    Pada 31 Mei tahun lepas, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta.

    Syed Amirul ketika dihubungi Bernama mengesahkan anak guamnya kini bebas daripada sebarang pertuduhan di mahkamah. – BERNAMA

  • Anggota APM maut kemalangan ketika dalam perjalanan pulang kerja

    Anggota APM maut kemalangan ketika dalam perjalanan pulang kerja

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG anggota Angkatan Pertahanan Awam maut setelah terlibat dengan kemalangan sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebaik selesai bertugas, tengah malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan, mangsa, Razali Abdul Manaf, 56, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kemalangan melibatkan tiga kenderaan itu.

    Menurutnya, kejadian berlaku di kira-kira pukul 12.55 tengah malam di Kilometer 15.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, tengah malam tadi.

    “Kejadian dipercaya berlaku apabila sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun hilang kawalan lalu terlanggar motosikal dinaiki mangsa di depannya.

    “Mangsa yang terjatuh ke jalan kemudiannya dilanggar sebuah kereta Proton Persona dipandu lelaki berusia 42 tahun yang tidak sempat mengelak,” katanya.

    Berikutan itu katanya, mangsa mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat.

    “Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi memaklumkan, mangsa ketika itu baru habis bertugas shift petang yang bermula pukul 4 petang dan berakhir 12 malam.

    Razali yang sudah enam tahun bertugas dengan di APM Kubang Pasu dipercayai dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya.

    “Saya turut ke lokasi kejadian setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak polis. Jasad arwah juga diuruskan oleh pihak kami yang terlebih dulu dimaklumkan oleh orang awam mengenai kejadian itu.

    “Arwah seorang yang rajin dan berdisiplin. Semalam saya dimaklumkan memang arwah ada menunjukkan beberapa perubahan ketika bertugas dengan dia yang biasanya dikenali sebagai individu kurang bercakap, kerap pula bergurau bersama rakan-rakan di pejabat,” katanya.

  • KJ nasihat Anwar hati-hati keluar kenyataan

    KJ nasihat Anwar hati-hati keluar kenyataan

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan melibatkan perkara sensitif yang boleh menyebabkan serangan ke atasnya, kata bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Nasihat Khairy atau KJ itu dibuat menerusi episod terbaharu podcast kelolaannya, Keluar Sekejap, hari ini.

    Menurutnya, beliau menyedari kadangkala Anwar mempunyai tabiat menggunakan ayat dan kenyataan tidak lengkap atau tergantung, sebelum beralih kepada ayat baharu, sekali gus membuatkan pendengarnya keliru.

    Ini katanya memudahkan pembangkang melakukan “serangan” terhadap kenyataannya.

    “Saya faham konteks perdana menteri (semasa membuat kenyataan) tetapi dari segi komunikasi strategik (perspektif) ia mengundang masalah kepadanya,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Bekas Ahli Parlimen Rembau itu merujuk kenyataan Anwar mengenai Laut China Selatan dan peringatannya agar orang Melayu berhenti bersikap selesa dan sombong.

    Khairy mencadangkan pegawai di Pejabat Perdana Menteri menasihatkan Anwar lebih berhati-hati dan mengelak penggunaan ayat tidak lengkap membabitkan isu sensitif, seperti hubungan kaum dan hal ehwal luar negara.

    Minggu lalu, perdana menteri berkata Beijing menyatakan kebimbangan terhadap aktiviti Petronas di kawasan Laut China Selatan yang dituntut oleh China.

    Ketika bercakap mengenai lawatan rasminya ke China baru-baru ini, Anwar dilaporkan berkata, Putrajaya terbuka mengadakan rundingan dengan Beijing berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan “jika China merasakan ini adalah hak mereka”.

    Kenyataannya itu mendapat pelbagai kritikan daripada pembangkang, terutama pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Anwar secara tidak langsung mengakui dakwaan China ke atas kawasan yang secara rasminya milik Malaysia, sambil menambah kedaulatan wilayah Malaysia mesti dipertahankan.

    Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata, Anwar harus “lebih tegas” mempertahankan perairan Malaysia selepas beberapa kapal tentera laut China dikesan di kawasan itu.

    Selain itu, dalam lawatan rasminya ke Kemboja, perdana menteri mengingatkan orang Melayu supaya tidak selesa dan angkuh sambil berkata mereka perlu mengambil iktibar daripada pentadbiran Kemboja yang meraikan umat Islam di negara itu.

    Ini menyebabkan Ketua Penerangan Pemuda Pas Terengganu Irsyad Syafiq Burhanuddin mengkritik Anwar, dengan menyatakan orang Melayu “berjiwa besar” untuk menerima orang bukan Melayu tinggal di “tanah suci Melayu”.

    Sementara itu, bekas timbalan ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan melahirkan rasa kagumnya terhadap keterbukaan Anwar ketika menjawab soalan media serta semasa pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat tanpa merujuk kepada mana-mana skrip.

    Shahril menyifatkan kontroversi membabitkan perdana menteri baru-baru ini sebagai kesan sampingan menjadi seorang negarawan yang berterus terang dengan komennya.

    “Saya khuatir jika ini (kontroversi baru-baru ini) bertukar menjadi polemik, ucapan beliau (Anwar) akan menjadi petikan.

    “Kami mahu pemimpin boleh bercakap secara langsung dan tidak berselindung di sebalik skrip,” katanya.

  • Pelawak veteran Richard Ng meninggal dunia

    Pelawak veteran Richard Ng meninggal dunia

    PELAKON dan pelawak veteran Hong Kong, Richard Ng Yiu Hon dilaporkan meninggal dunia, semalam.

    Lapor DimSum Daily yang dipetik Astro AWANI, Ng meninggal dunia akibat pelbagai penyakit berkaitan usia.

    Dikenali dengan peranan komedinya pada tahun 80-an dan 90-an, pemergian lelaki berusia 83 tahun itu juga disahkan oleh ahli keluarganya.

    Richard Woo atau Richard Ng mempunyai kerjaya berjaya dalam industri filem dan televisyen serta pernah muncul dalam lebih 80 buah filem.

    Beliau pernad dinominasikan untuk Anugerah Pelakon Terbaik di Anugerah Filem Hong Kong sebanyak dua kali menerusi lakonannya dalam Winners and Sinners sebelum menjayakan drama bersiri Lucky Stars dan Beyond the Sunset.

    Ng juga pernah bekerja bersama beberapa nama terbesar dalam filem-filem Hong Kong termasuk Datuk Jackie Chan, Tan Sri Michelle Yeoh, Andy Lau dan Jet Li.

    Nama Ng melonjak selepas membawa watak penting pada tahun 1983 sebagai ‘Exhaust Pipe’ dalam filem Winners and Sinners arahan Sammo Hung.

    Beliau juga dikenali dengan peranannya dalam filem komedi Pom Pom, siri filem komedi Lucky Stars bersama rakan Lucky Star dan John Shum.

    Ng meninggalkan seorang isteri Susan dan empat orang anak iaitu Alex, Zoe, Louise dan Carl.

    Hong Kong, Richard Ng, pelakon hong kong, meninggal dunia,

  • MAQIS rampas herba dari China, AS tanpa permit import sah

    MAQIS rampas herba dari China, AS tanpa permit import sah

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya mengagalkan cubaan membawa masuk hasil pertanian tanpa dokumen permit import sah di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas pada Jumaat lalu.

    Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib Hashim berkata, rampasan itu dilakukan hasil kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mana barangan tersebut berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas JKDM.

    Ujar beliau, siasatan mendapati keluaran pertanian tersebut tidak mempunyai permit import serta Sijil Fitosanitasi yang sah.

    Katanya, barangan dagangan pertanian yang dibawa dari China, Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain negara itu merupakan jenis tanaman herba seperti ginseng, akar kayu dan pelbagai daun kering.

    “Keseluruhan berat dagangan adalah sebanyak 50 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM 9,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, jelas beliau, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    Tambahnya, MAQIS akan sentiasa mempergiatkan kerjasama strategik di antara agensi penguatkuasaan di sempadan bagi menangani isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

    “Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.

  • Ceroboh Masjid Al-Aqsa: Kecaman barat, PBB hanya berpura-pura-Hadi

    Ceroboh Masjid Al-Aqsa: Kecaman barat, PBB hanya berpura-pura-Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan kecaman negara barat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Israel berhubung pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa hanya sekadar berpura-pura.

    “Kedua-dua pihak ini hakikatnya lebih berpihak kepada rejim tersebut semenjak dahulu lagi.

    “Sejarah PBB sendiri adalah terlibat dalam menubuhkan negara haram Israel dengan tujuan yang dirancang serta mempersenjatainya. Maka, sebarang resolusi yang bertindak terhadap negara Zionis oleh mereka akan dihapuskan dengan kuasa veto yang berada pada pihaknya.

    “Tindakan itu membuat PBB dan undang-undang antarabangsa mudah ditembusi, sehingga memudahkan Zionis melakukan tindakan zalim dan memiliki senjata pemusnah yang diharamkan oleh masyarakat dunia,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

    Katanya, kewujudan pangkalan tentera barat di Timur Tengah juga hanya bertujuan memberi sekuriti terhadap Israel dan bukannya menjadi faedah kepada masyarakat Aarab di sana.

    Beliau berkata, mana-mana pihak yang berupaya menentang rejim Zionis itu akan dimusnahkan dengan alasan keamanan seperti serangan terhadap Libya, Iraq dan kini ancaman tersebut sedang ditujukan terhadap Iran.

    “Iran kini sedang digeruni kerana menjadi saingan ketenteraan besar buat Israel.

    “Pencapaian mereka dalam kemajuan teknologi tinggi yang boleh mencabar kekuatan Israel dan negara besar yang berada di bawah ketiak Israel yang berpangkalan di rantau Asia Barat.

    “Bantuan Iran juga boleh memperkasakan pejuang Palestin khususnya kumpulan Islam Hamas dan Tanzim Jihad, di samping kewujudan Hizbullah di Lubnan. Perkara yang tidak mampu dilaksanakan oleh negara Arab yang berjiran serta negara Islam yang bersaudara,” jelasnya.

    Bagaimanapun Abdul Hadi menyatakan perkara itu tidak menafikan hakikat umat Islam kini sedang berpecah belah sehingga menyebabkan mudah dicaturi oleh pihak musuh.

    “Negara-negara Islam masih dimanipulasi oleh negara besar yang dipengaruhi Zionis sehingga ada sebahagian daripada mereka yang diperhambakan laksana lembu susu yang diperah oleh gembalanya,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Bayaran BKKA pesawah, pekebun getah, nelayan, sukarelawan juga pada 14 April

    Bayaran BKKA pesawah, pekebun getah, nelayan, sukarelawan juga pada 14 April

    GOLONGAN pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform turut menerima bayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) yang diawalkan pada 14 April selain penjawat awam.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi membantu rakyat membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

    “Ini akan manfaat hampir satu juta penerima dalam kalangan pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform (Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sukarelawan Bomba dan Sukarelawan Polis),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, BKKA kepada kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah juga diawalkan pada 14 April.
    Mengulas lanjut tambah Anwar, selain BKKA sebanyak RM1.26 bilion diperuntukan menerusi pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 (STR2) yang telah diawalkan mulai 5 April lalu.

    Ia melibatkan seramai 8.7 juta penerima daripada golongan B40.
    “Saya turut serta turun padang hari ini bagi melihat proses penunaian STR2 di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Meru Raya.

    “Alhamdulillah, proses dimudahkan dengan pembayaran dikreditkan terus ke akaun bank penerima, manakala penerima yang tiada akaun boleh membuat penunaian di semua cawangan BSN,” katanya lagi menurut laporan Astro AWANI.

    BKAA, Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri, tarikh bayaran, pesawah,

  • Isu Laut China Selatan: Kesediaan Anwar berunding tindakan lemah

    Isu Laut China Selatan: Kesediaan Anwar berunding tindakan lemah

    KESEDIAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding dengan China berhubung kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) disifatkan sebagai tindakan yang takut dan lemah kepada kuasa besar itu.

    Setiausaha Agung Berjasa, Mohd. Hamdan Mohd. Shariff berkata, keterbukaan Anwar dalam membincangkan perkara berkenaan dengan China seperti membuka ruang pencerobohan ke atas kedaulatan negara.

    “Tindakan berkenaan menunjukkan Perdana Menteri terlalu takut dan lemah apabila berhadapan dengan isu pencerobohan China di Laut China Selatan.

    “Memberi ruang dan rundingan di atas sempadan EEZ negara daripada seorang Perdana Menteri Malaysia amatlah memalukan sekali gus membuka ruang pencerobohan ke atas kedaulatan negara,” katanya lapor portal Ismaweb.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung kesediaan Anwar untuk berunding dengan China berhubung isu pertembungan di kawasan yang bertindih sedangkan kawasan yang dimaksudkan itu adalah kawasan EEZ milik Malaysia secara sepenuhnya.

    Mengkritik ketersediaan berunding itu, Mohd. Hamdan berkata, sebagai pemimpin beliau perlu mengetahui perkara asas mengenai kedudukan sempadan negara yang wajib dipertahankan dengan segala sumber kekuatan.

    Namun, katanya, amat menyedihkan apabila kenyataan Perdana Menteri adalah sebaliknya kerana mencerminkan kelemahan gaya pentadbiran yang begitu ketara.

    “Kita perlu jelas bahawa Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa 1982 menyatakan bahawa sesebuah negara pesisir boleh menuntut sehingga 12 batu nautika laut wilayah diukur dari garis dasar, biasanya dari paras air surut di pantai.

    “Negara pesisir mempunyai kedaulatan di wilayah laut, yang juga meliputi kedaulatan ke atas dasar laut, air laut serta ruang udara di atasnya”, tegas beliau.

    Atas dasar itu, Mohd. Hamdan menggesa kerajaan pimpinan Anwar supaya lebih tegas mempertahankan kedaulatan negara, menjaga sempadan negara dari sebarang pencerobohan yang biadap terutamanya daripada China.

  • Pilihan Anwar:selamatkan rakyat atau Najib, Zahid Hamidi?

    Pilihan Anwar:selamatkan rakyat atau Najib, Zahid Hamidi?

    Oleh HASSAN ABDUL KARIM

    IMEJ baik kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim setakat ini tercalar dan tercemar dengan isu pengampunan Najib Razak dan penangguhan kes Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    2.Najib Razak kini memohon dibebaskan dari hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta melalui pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong. Permohonan pengampunan telah difailkan pada bulan Ogos tahun lalu.

    1. Zahid Hamidi memohon 47 pertuduhan kes rasuah, salahguna kuasa dan pelupusan wang haram digugurkan oleh Peguam Negara. Representasi telah difilekan kepada Jabatan Peguam Negara oleh peguam Zahid Hamidi.

    4.Daripada prosiding permohonan penangguhhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini jelas menunjukkan Pihak Pendakwaan berjalan seiring dan senada dengan Suruhanjaya Pencegahaan Rasuah (SPRM) memberi alasan tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan kes Zahid Hamidi yang dikemukakan oleh peguam Timbalan Perdana Menteri itu yang juga Presiden UMNO.

    Kesudahannya pada hari ini perbicaraan ke atas Zahid Hamidi yang telah ditetapkan dari bulan April hingga Julai nanti telah dilapangkan atau dalam bahasa biasa bermaksud ditangguh ke tarikh yang baru. Alasan utama penangguhan itu ialah untuk menunggu keputusan Peguam Negara sama ada 47 pertuduhan ke atas Zahid Hamidi itu wajar digugurkan ataupun tidak.

    1. Perkembangan apa yang berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini amat menyeramkan dan membimbangkan.

    6.Nampaknya peranan Peguam Negara berada di kedua-dua gelanggang. Pertama, Peguam Negara mengambil posisi dalam pengampunan Najib Razak di bawah Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan bahawa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dianggotai sama oleh Peguam Negara. Seterusnya, melalui Perkara 42(9) menyatakan bahawa Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara.

    1. Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan telah disebut dengan jelas bahawa takrif kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong tertakluk di bawah Perkara 42(4)(b) bahawa kuasa Agong dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan mengikut Fasal (5) Perkara 42.
    2. Kedudukan perundangan ini amat jelas berbeza dengan kuasa budibicara Peguam Negara yang bukan raja dan bukan Agong di Mahkamah sivil. Kuasa Peguam Negara untuk mengugurkan 47 pertuduhan ke atas Zahid Hamidi hampir mutlak di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan. Ini berbahaya dan cukup merisau dan membimbangkan kepada sesiapa yang mencintai keadilan, ketelusan dan kebenaran.
    3. Di bawah Perkara 145(3) dinyatakan secara bertulis bahawa Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut BUDIBICARAnya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan di mahkamah sivil.
    4. Kemungkinan senario yang tidak diingini akan berlaku. Jika Najib Razak diberi pengampunan diraja dan 47 pertuduhan ke atas Zahid Hamidi digugurkan maka kesan dua hal besar ini adalah suatu malapetaka kepada Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

    11.Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu diingatkan. Gabungan politik Pakatan Harapan dan Parti Keadilan Rakyat akan ditolak oleh rakyat dalam enam pilihanraya negeri tidak lama lagi. PH dan Keadilan seterusnya akan dinyahkan oleh rakyat dalam pilihanraya umum-pilihanraya umum yang akan datang. Kesudahannya, PH dan Keadilan akan rebah dan tersungkur bersama-sama Barisan Nasional dan Umno jika Najib Razak dan Zahid Hamidi bebas dan lepas dengan begitu mudah sekali.

    Jika itu berlaku, jangan kata saya tak ingatkan.

    HASSAN ABDUL KARIM
    Ahli Parlimen Pasir Gudang
    Isnin 10 April 2023