Author: Wartawan WartaRakyat

  • UMNO Sabah sokong semula GRS, kata Bung Moktar

    UMNO Sabah sokong semula GRS, kata Bung Moktar

    UMNO Sabah kembali memberi sokongan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin semasa mengesahkan perkara itu menjelaskan, ia dibuat selaras dengan hasrat kerajaan pusat mengangkat agenda Kerajaan Madani.

    Namun beliau menegaskan, pihaknya tahu UMNO Sabah masih dianggap sebagai pembangkang di negeri itu.

    “Sebetulnya begini, dalam kerajaan GRS ni banyak yang terkeliru sebab pada satu ketika, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali menyokong GRS.

    “Cuma sudut yang lain pemecatan masih berjalan (pemecatan ahli UMNO daripada memegang jawatan di Sabah) walaupun sudah menyokong, tapi kita dianggap pembangkang.

    “Tetapi selaku ketua parti saya tidak menafikan perkara itu dan saya tidak membuat komen.

    “Pada saya itu hak Ketua Menteri, dia mahu pecat siapa dia mahu lantik siapa itu hak dia,” katanya dalam sidang media di Sandakan, malam tadi, menurut laporan Astro AWANI.

    Mengulas lanjut Bung Moktar mengakui ada dalam kalangan pimpinan UMNO yang menyokong GRS tetapi tidak boleh menandatangani akuan bersumpah.

    “UMNO akan pecat khasnya untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) apabila dia menandatangan dan menyokong secara terbuka,” katanya.

    Jelasnya lagi, kekeliruan berkenaan timbul kerana ada pemimpin UMNO Sabah yang menyokong GRS yang dipecat daripada menjawat jawatan di peringkat negeri Sabah dan pada masa sama ada juga ahli UMNO yang masih dikekalkan.

    Namun, tegas Bung Moktar, UMNO Sabah tidak menghalang ahli UMNO memegang jawatan dalam kerajaan GRS seterusnya menyokong kerajaan sedia ada.

    Bung Moktar dipecat sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah oleh Hajiji selepas UMNO Sabah mengumumkan menarik sokongan terhadapnya.

    UMNO, GRS, Bung Moktar Radin, Ketua Menteri,

  • Bekas MB Perlis akan didakwa lagi esok

    Bekas MB Perlis akan didakwa lagi esok

    BEKAS Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang didakwa atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis akan dituduh sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes pengubahan wang haram (AMLA), esok.

    Azlan, 65, dijangka dituduh berdasarkan jemputan liputan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Selain ahli politik itu, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif, sebuah institut automotif turut dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan kes berasingan.

    “Dimaklumkan, SPRM telah mendapat izin mendakwa dua individu bagi kes berasingan pada ketetapan pada pukul 9 pagi, 12 April.

    “Sehubungan itu, wartawan dan jurugambar dijemput untuk membuat liputan pertuduhan ini,” kata kenyataan berkenaan, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir negeri itu.

  • Menteri sanggah dakwaan MP DAP kos bilik darjah RM2.6 juta

    Menteri sanggah dakwaan MP DAP kos bilik darjah RM2.6 juta

    MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan dakwaan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berhubung pembinaan sebuah bilik darjah sekolah menelan belanja sehingga RM2.6 juta.

    Jelas beliau, dakwaan wakil rakyat DAP itu tidak tepat dan kementeriannya mempunyai proses kerja untuk pembinaan bilik darjah mengikut peraturan standard ditetapkan kerajaan.

    “Ada proses kerja yang perlu dilalui. Perlu ada skop kerja, konsultan dan piawaian kerja yang perlu dicapai oleh Kementerian Pendidikan dalam meneruskan projek tersebut,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

    Minggu lalu, Yeo memberitahu Dewan Rakyat bahawa purata kos membina sebuah bilik darjah antara RM1.8 juta hingga RM2.6 juta, yang bersamaan harga sebuah kondominium mewah.

    Bekas menteri itu menggesa kerajaan memastikan perbelanjaan lebih berhemat apabila membabitkan projek infrastruktur untuk sekolah.

    Sementara itu, Fadhlina berkata, beliau komited dalam mempromosikan pengajian antirasuah dan sivik di sekolah, dengan topik itu sudah dimasukkan dalam sukatan pelajaran sekolah rendah dan menengah.

    Katanya, ia mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk menangani rasuah ‘dari bawah ke atas’.

    “Kami juga mengkaji program lain membabitkan interaksi lebih banyak antara kanak-kanak untuk meningkatkan pemahaman mereka mengenai demokrasi dan kenegaraan di negara kita,” katanya lapor FMT.

  • Bersatu bukan liabiliti kepada PN, kata Tuan Ibrahim

    Bersatu bukan liabiliti kepada PN, kata Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendakwaan terpilih bermotifkan politik terhadap pemimpin Bersatu hanya bertujuan merosakkan integriti Perikatan Nasional (PN) yang kekal mendapat sokongan rakyat.

    Beliau menegaskan, Pas sehubungan itu tidak melihat sekutunya di dalam gabungan PN sebagai liabiliti, walaupun pemimpin utamanya, termasuk Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan kes mahkamah

    Beliau menjelaskan, imej ‘Bersih dan Stabil’ yang dipegang Pas dan PN cuba dirosakkan dan pihaknya akan terus mempertahankan soal integriti supaya terus mendapat kepercayaan rakyat.

    “Apa yang berlaku adalah usaha musuh politik untuk cuba merosakkan integriti PN, namun Pas dan Bersatu serta rakan komponen lain masih lagi sebagai satu pasukan.

    “Bahkan kita juga tetap mengadakan mesyuarat secara bersama dalam beberapa hal, termasuk persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), pembahagian kerusi dan sebagainya,” katanya menurut laporan Utusan.

    Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan membabitkan dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

    Dua hari kemudian, Muhyiddin sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta, awal tahun lalu.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau percaya semua parti politik tidak terkecuali menerima dana atau sumbangan politik daripada pihak tertentu.

    Bagaimanapun tegas beliau, perkara tersebut tidak merencatkan setia kawan Pas dengan Bersatu serta komponen lain dalam PN serta mengganggu persiapan pilihan raya.

    “Gerak kerja di akar umbi tetap berjalan bahkan kita percaya rakyat masih lagi bersama PN,’’ katanya.

  • Anak bulan Syawal kelihatan pada malam Jumaat tipis – Mufti Kedah

    Anak bulan Syawal kelihatan pada malam Jumaat tipis – Mufti Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEMUNGKINAN untuk mencerap anak bulan pada hari Khamis depan bagi menandakan tarikh 1 Syawal untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri pada keesokan harinya tipis, kata Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

    Namun, beliau berkata, walau apa pun keputusannya, ia akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam itu setelah menerima laporan hasil cerapan kelak.

    “Jangan berbalah atau sebar tentang spekulasi 1 Syawal sehingga merujuk kepada Pusat Astronomi Antarabangsa bahawa 1 Syawal akan jatuh pada hari Jumaat. Kita mempunyai 29 stesen cerapan untuk melihat anak bulan di seluruh Malaysia yang akan menentukan perkara ini.

    “Berdasarkan perbincangan dengan semua sahabat-sahabat kita yang terlibat bahawa pada malam Jumaat (tarikh lihat anak bulan) itu kemungkinan untuk dapat lihat anak bulan sangat tipis dan tidak mencukupi kriteria-kriteria yang diputuskan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Perasmian Infaq Ayam Segar kepada Fakir dan Miskin di Pejabat Zakat Daerah Pokok Sena, hari ini.

    Justeru, Syeikh Fadzil menasihatkan umat Islam agar tidak berbalah dan mempercayai khabar angin tentang spekulasi tarikh Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal nanti.

    Katanya, tindakan itu termasuk menyebarkan khabar yang belum sahih selain menjadikan pihak tertentu sebagai sumber maklumat.

    Tambah beliau, umat Islam sebaliknya perlu fokus beramal ibadat ketika ini terutama apabila Ramadan sudah memasuki 10 malam terakhir untuk mengejar Lailatul Qadar.

    “10 malam Ramadan ini yang dinanti-nantikan berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, Carilah nanti kedatangan Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan. Malah baginda mempersingkat tempoh itu pada malam-malam ganjil iaitu pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29.

    “Apabila datang masa yang disifatkan kemuncak Ramadan itu, kita sepatutnya melipat gandakan amal ibadat kita namun tiba-tiba kita lalai dan semakin menjauhkan diri daripada masjid.

    “Mungkin kerana sibuk dengan persiapan hari raya atau sudah keletihan? Namun kita perlu meniru amalan Nabi Muhammad SAW yang melipat gandakan amalan sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

    Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UEA), baru-baru ini menjangkakan tarikh 1 Syawal akan jatuh pada Jumaat bersamaan 21 April.

  • ‘Sempatkah guna KWSP waktu tua?’, tanya Ahli Dewan Negara

    ‘Sempatkah guna KWSP waktu tua?’, tanya Ahli Dewan Negara

    KEPUTUSAN kerajaan tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah satu keputusan yang tidak bijak dan dilihat sebagai mengabaikan rintihan rakyat.

    Tegas Senator Hussin Ismail, kerajaan sewajarnya mendengar rintihan dan membawa suara hati rakyat agar dapat mengurangkan beban mereka yang terkesan.

    “Isu pengeluaran KWSP ialah tabung untuk masa tua. Ada ruang tak untuk KWSP untuk dipinda selain daripada bekalan masa tua? Kenapa tidak ada ruang bekalan pada masa yang sempit macam sekarang?

    “Apa kita semua ini pasti bakal jadi tua? Sempatkah kita gunakan KWSP pada waktu tua? Masa sempit inilah waktu yang paling kritikal untuk dibantu. Tua nanti entah masih lagi susah atau sudah senang,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa perbahasan usul pengeluaran KWSP bersasar di Dewan Negara, di ibu negara.

    Mengulas lanjut, Hussin berkata, sepatutnya KWSP bersasar seharusnya memberi pilihan agar pengeluaran KWSP dibenarkan hanya buat golongan yang benar-benar memerlukan.

    “Kerajaan selama ini meletakkan isu B40. Ini KWSP bersasar, sekurang-kurangnya bagi pilihan supaya orang yang betul-betul (terkesan) perlu diberi ruang. Jangan mandatori sehingga (pengeluaran) KWSP langsung tidak diizinkan (kepada semua golongan rakyat),” katanya.

    Semalam, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang Dewan Negara, berkata, kerajaan tidak membenarkan pengeluaran bersasar KWSP buat kali yang kelima kerana bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat.

    “Kalau kita hendak popular bagi sahaja (luluskan) semua pengeluaran, keluarkan sahaja RM5,500 atau RM3,300 sampai kosong tetapi kerajaan ini kerajaan bertanggungjawab sebab itulah kita tidak benarkan,” katanya, menurut laporan Harakahdaily.

  • Farid Kamil pujuk Diana Daniell, tawar pendamaian harta dan tunai RM319,700

    Farid Kamil pujuk Diana Daniell, tawar pendamaian harta dan tunai RM319,700

    PELAKON Farid Kamil menawarkan pendamaian untuk memujuk isterinya, Diana Daniell sebagai satu usaha menyelamatkan keluarga dan rumah tangganya.

    Tawaran berjumlah RM319,700 itu merangkumi beberapa aset termasuk kereta mewah, barang kemas dan wang pendahuluan nafkah.

    “Saya, Farid Kamil Zahari dengan setulus hati di bulan Ramadan penuh barakah ini ingin menawarkan kepada isteri saya, Diana Danielle Danny Beeson tawaran pendamaian sebagai usaha saya menyelamatkan keluarga yang amat saya sayangi.

    “Saya amat berharap dengan tawaran yang membawa jumlah keseluruhan sebanyak RM319,700.00 ini mampu melembutkan hati isteri demi masa depan anak-anak kami,” katanya menurut Astro Awani yang memetik laporan portal hiburan Gempak.

    Farid ditemui selepas proses sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini.

    Tawaran itu berupa sebuah kereta Toyota Vellfire bernilai RM225,000.00; barangan kemas bernilai RM10,700.00; wang pendahuluan nafkah (Mac – Jun 2023) berjumlah RM40,000.00; Bayaran balik tiket umrah yang sepatutnya adalah hadiah telah bertukar menjadi hutang yang bernilai RM44,000.00.

    Terdahulu, media melaporkan pasangan pelakon itu dinasihatkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling untuk berdamai sewaktu sebutan permohonan cerai yang difailkan Diana.

    Pelakon Imaginur itu memfailkan permohonan cerai terhadap Farid pada 10 Mac lalu dengan alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan.

    Namun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

    Menurut peguam syarie yang mewakili Diana, Akberdin, Mahkamah Tinggi Syariah juga mengeluarkan perintah hak penjagaan sementara anak (interim) kepada Diana pada 24 Mac lalu.

    Katanya, Diana juga membuat permohonan hadanah itu pada 23 Mac lalu.

    Pasangan pelakon popular itu sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz pada 3 November 2012 dan mempunyai dua anak.

  • MP Bachok pertahan tindakan MP Besut rasmi mesin ATM

    MP Bachok pertahan tindakan MP Besut rasmi mesin ATM

    AHLI Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, hari ini tampil mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh merasmikan mesin pengeluaran wang tunai (ATM) di Besut baru-baru ini.

    Walaupun tindakan itu menerima kecaman warga maya, Syahir berkata, mesin ATM itu besar manfaatnya bagi penduduk yang berada di kawasan terceruk seperti itu.

    “Ramai dalam kalangan netizen yang ‘mempersendakan’ upacara perasmian mesin pengeluaran wang ATM di sebuah stesen minyak, di daerah Besut, Terengganu.

    “Bagi kita yang tinggal di bandar mahupun pinggir bandar, akses kepada mesin ATM dan cawangan bank yang berdekatan dianggap sebagai perkara kecil yang tidak perlu dicari, apatah lagi diminta untuk disediakan.

    “Namun bagi penduduk di daerah terceruk, perkara ini adalah sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

    Semalam media melaporkan banyak pihak mempersenda atau mengecam tindakan Che Mohamad selepas merasmikan seunit mesin ATM di sebuah stesen minyak di kawasannya.

    Ia disempurnakan dengan acara memotong riben.

    Untuk rekod orang ramai ‘membahan’ Che Mohamad kerana majlis perasmian berkenaan, bukannya membabitkan keperluan mesin ATM di kawasan tersebut.

    Mereka berpendapat membuat majlis perasmian sebegitu sebagai aneh kerana mesin ATM sudah digunakan secara berleluasa di seluruh Malaysia, bukannya seperti pada era 1990-an.

    Mengulas lanjut, Syahir berkata, daerah Besut sama seperti Bachok kerana terletak di kawasan luar bandar dan majoriti penduduknya terdiri daripada golongan petani, nelayan, warga emas dan golongan miskin.

    Beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kemudahan mesin ATM mungkin kecil di mata orang lain namun cukup besar manfaatnya kepada masyarakat setempat.

    “Maka tidaklah mengejutkan apabila di Bachok, antara perkara yang diminta oleh pengundi dalam PRU ke-15 yang lalu, khususnya dalam kalangan pengundi muda, adalah untuk diwujudkan cawangan bank di Bachok dan perbanyakkan mesin ATM di Bachok.

    “Ya, itulah antara perkara ‘besar’ yang diminta kepada saya untuk diusahakan.

    “Justeru peringatan kepada diri saya, mungkin perkara yang dianggap ‘kecil’ di mata kita, boleh jadi ‘besar’ di mata pihak yang lain,” katanya lagi.

  • Sam mohon maaf kepada ibu bapa mangsa kemalangan basikal lajak

    Sam mohon maaf kepada ibu bapa mangsa kemalangan basikal lajak

    SAM Ke Ting yang sebelum ini dibebaskan dalam kes basikal lajak, memohon maaf kepada ibu bapa lapan remaja yang maut dalam kemalangan di Johor Bahru pada 2017.

    Dia yang bekerja sebagai kerani mengakui permohonan maafnya tidak akan mengembalikan semua remaja terbabit dan mungkin tidak akan memberikan ketenangan kepada ibu bapa mereka.

    “Saya akan membawa perasaan ini (bersalah) hingga ke kubur,” kata Sam kepada pemberita selepas selesai prosiding mahkamah di Putrajaya hari ini, lapor FMT.

    Tambahnya, dia tidak berniat untuk menyebabkan kemalangan yang berlaku pada 18 Februari 2017 itu.

    Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan Sam daripada pertuduhan memandu secara berbahaya yang menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak itu di Johor Bahru pada 2017.

    Mahkamah rayuan memutuskan bahawa pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan adalah cacat.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Van sekolah terbalik dirempuh treler, 3 pelajar cedera parah

    Van sekolah terbalik dirempuh treler, 3 pelajar cedera parah

    TIGA pelajar cedera parah selepas van sekolah dinaiki bersama 12 penumpang lain terbalik dan terseret sejauh 19 meter dalam kemalangan di simpang tiga hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di Gua Musang pukul 2 petang semalam.

    Insiden itu dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu sebuah kereta jenis Kia Spectra yang bertindak secara cuai keluar dari simpang untuk membelok ke kanan sebelum dirempuh oleh sebuah treler muatan balak yang datang dari arah kanan.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan treler tidak dapat dikawal dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh tiga buah kenderaan iaitu sebuah kereta Perodua Myvi, sebuah van jenis Nissan Urban dan kereta Honda Civic.

    “Kesan rempuhan tersebut, van berkenaan diseret sejauh 19 meter sebelum terbalik bersama-sama seorang pemandu dan 15 penumpang pelajar sekolah berumur 7 hingga 17 tahun.

    “Tiga daripada mereka mengalami kecederaan parah, seorang kanak-kanak perempuan, 7, mengalami patah tulang selangka sebelah kanan, kanak-kanak perempuan, 8, alami kecederaan darah beku di dahi dan kanak-kanak perempuan, 10, terkehel tulang paha kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, 12 lagi pelajar hanya cedera ringan, semua mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan lanjut.

    Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.

    “Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya, lapor Sinar Harian.