Author: Wartawan WartaRakyat

  • Majlis dialog: “Dia boleh kata apa saja”, Khaled jawab ADUN DAP

    Majlis dialog: “Dia boleh kata apa saja”, Khaled jawab ADUN DAP

    MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempertahankan majlis dialog bersama mahasiswa yang turut menampilkan dirinya baru-baru ini.

    Ini selepas beberapa pihak, antaranya ADUN Tanah Rata Ho Chi Yang yang mendakwa majlis dialog itu cuma ‘sesi cuci otak’ terhadap mahasiswa dalam isu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

    Memetik laporan Malaysiakini, Khaled berkata, Ho bebas memberikan pandangannya walaupun tidak semestinya dikongsi oleh orang lain.

    “Dia boleh berkata apa-apa sahaja,” kata Khaled ketika diminta mengulas kritikan tersebut.

    “Ramai yang hadir tidak berpendapat seperti ADUN tersebut,” katanya lagi apabila ditanya jika ia akan memberikan imej negatif kepada kementeriannya.

    Kelmarin, Ho berkata sesi dialog yang berlangsung selama dua jam itu didakwa mengetepikan soalan berkenaan pemansuhan Auku yang dibangkitkan mahasiswa.

    Dakwa Ho yang juga ketua biro hal ehwal mahasiswa Pemuda DAP berkata sesi yang diadakan di Putrajaya itu hanyalah platform untuk para pegawai menayangkan pencapaian penunjuk prestasi utama kementerian itu.

    “Kementerian Pengajian Tinggi jelas tidak berniat untuk mendengar tuntutan pelajar untuk memansuhkan AUKU.

    “Mereka mengelak banyak soalan tajam daripada pelajar dan enggan menangani tuntutan untuk memansuhkan undang-undang zalim.

    “Akibatnya, ramai pelajar tidak berpuas hati dan kecewa,” katanya.

    Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini sewaktu membuat liputan sesi dialog tersebut, meskipun Khaled hadir sepanjang majlis dialog itu, dia tidak menjawab majoriti soalan yang diajukan.

    Sebaliknya Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi Husaini Omar yang menjawab soalan-soalan yang diajukan siswa.

    Rasa tidak puas hati jawapan berhubung AUKU itu kemudian disuarakan oleh hadirin, dengan ramai siswa meninggalkan sesi dua jam itu dengan perasaan kecewa, mendakwa maklum balas kementerian sebenarnya tidak menjawab soalan mereka.

    Ada di antara mereka yang melihat sesi itu diadakan untuk mendapatkan sokongan daripada universiti untuk mengekalkan Auku, kerana tidak menjawab soalan akta tersebut, sebaliknya mendakwa pihak kementerian sudah menyediakan jawapan mereka.

    Bagaimanapun, dalam sidang akhbar lewat hari itu, Khaled berkata pindaan terhadap Auku berkemungkinan akan dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini, dengan draf rang undang-undangnya terlebih dahulu dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk kelulusan pada pertengahan Jun.

    Untuk rekod, memansuhkan AUKU merupakan salah satu janji manifesto PH pada pilihan raya umum lalu. Namun, kerajaan sekarang turut menggabungkan BN yang pernah menjadi penyokong AUKU pada masa lalu.

    Khaled yang juga pemimpin utama BN sebelum ini berkata kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan AUKU.

  • PRN: Pas yakin mampu takluk tiga negeri – Dr. Halimah

    PRN: Pas yakin mampu takluk tiga negeri – Dr. Halimah

    PAS yakin mampu menakluki Kelantan, Terengganu dan Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berikutan gelombang sokongan Melayu dan anak muda yang berterusan bermula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan sehingga kini.

    Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Halimah Ali berkata, gelombang berkenaan dilihat tidak surut kerana kumpulan itu mahukan perubahan pucuk pimpinan politik.

    “Disebabkan keadaan politik semasa tidak stabil telah mendorong kumpulan tersebut untuk mula mengkaji tentang parti terbaik yang boleh menjadi kerajaan.

    “Kami yakin semangat itu berterusan sehingga PRN akan datang dan berupaya untuk meraih undi majoriti di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam program Wacana Sinar bertajuk PRN: Signal untuk Putrajaya di Shah Alam hari ini.

    Turut menjadi panel ialah Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat dan pemerhati politik, Iswardy Morni manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

    Halimah yang juga Ahli Parlimen Kapar berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai stigma kerana parti itu membawa konotasi fahaman Melayu dan Islam sahaja.

    “Mungkin ada sesetengah ahli parti terlepas cakap sehingga memperlihatkan PN bersifat perkauman tetapi itu tidak benar dan jangan jadikan ia sebagai satu perkara umum.

    “Untuk pengetahuan semua, dalam Pas ada satu dewan menghimpunkan pendukung parti yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bangsa. Mereka yang menyertai himpunan tersebut mempunyai kemahuan, keperluan dan harapan,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

    Pada masa sama, beliau berkata, mustahil jika Pas membawa sentimen tersebut kerana di dalam buku perlembagaan parti ada menyebut tentang memupuk perpaduan kaum.

    Ujar beliau, parti berkenaan mahu menyatupadukan dan membangunkan rakyat daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama agar kemakmuran dapat dikongsi bersama.

  • Perbetul fakta tanah rizab Melayu, kata MHO

    Perbetul fakta tanah rizab Melayu, kata MHO

    JABATAN Audit Negara disaran agar mengeluarkan laporan lebih konkrit dan pembetulan kesilapan dalam dokumen hak milik Tanah Rizab Melayu (TRM) pada masa depan.

    Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, berdasarkan laporan Audit Negara 2019 (siri 2) Perak yang dikeluarkan Ketua Audit Negara menggambarkan wujud kelemahan pengendalian rekod atau daftar menyebabkan statistik TRM tidak memberi gambaran sebenar keluasan tanah di negeri berkenaan.

    Menurutnya, pewartaan TRM juga mengambil masa lama untuk disempurnakan dan pengisytiharaannya juga tidak menepati syarat serta proses pemberian milikan didapati tidak diadakan secara teratur.

    Tegasnya, kesilapan tindakan pembetulan diambil Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga membenarkan berlakunya pindah milik kepada bukan Melayu walaupun bertentangan enakmen Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Bab 142 (ERM 142).

    “Sebagai contoh pindah milik kepada bukan Melayu membabitkan satu lot TRM di Mukim Jaya Baru, Perak Tengah dan dua lot TRM di Mukim Setiawan, Manjung yang keseluruhannya membabitkan kawasan seluas 3,214.084 hektar,” katanya, lapor Berita Harian.

    Hishamuddin berkata demikian sebelum menyerahkan memorandum kepada Jabatan Audit Negara menggesa Ketua Audit Negara memberi syor dan saranan kepada PTG Perak untuk mengembalikan TRM yang dipindah milik secara salah kepada bukan Melayu.

    Bagaimanapun, memorandum itu gagal diserahkan kepada Jabatan Audit Negara selepas seorang pegawai jabatan itu memaklumkan ia perlu diserahkan kepada PTG Perak dan bukan di bawah bidang kuasa jabatan itu.

    Hisamuddin berkata, pencerobohan TRM disebabkan kelemahan tindakan penguatkuasaan sehingga menimbulkan kerugian kepada kerajaan negeri dan jumlah TRM juga semakin berkurangan.

    Beliau berkata, selain TRM yang bertukar hak status apabila dipindah milik kepada bukan Melayu, terdapat sebilangan TRM yang masih berstatus rizab Melayu tetapi dimiliki bangsa lain yang mana proses pindah milik yang berlaku diragui serta tidak mengikut undang-undang.

    Katanya, MHO menyarankan TRM dikembalikan semula kepada pihak yang betul dengan mengguna pakai Seksyen 380 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 iaitu berkaitan pembetulan kesilapan dalam dokumen hak milik dan Seksyen 380 KTN 1966 menggunakan autoriti am mahkamah,” katanya.

  • Bolehkah pemandu elak langgar kucing di jalan gelap berbukit? – Hakim

    Bolehkah pemandu elak langgar kucing di jalan gelap berbukit? – Hakim

    HAKIM Mahkamah Rayuan, Datuk Hadhariah Syed Ismail, mempersoalkan sama ada seorang pemandu kereta yang sempurna boleh mengelak daripada melanggar kucing atau kura-kura di jalan gelap berbukit dan berselekoh.

    Hadhariah menegaskan perkara itu sebelum panel tiga hakim diketuainya melepas dan membebaskan kerani, Sam Ke Ting, 28, atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.

    “Ke Ting memaklumkan tidak mengetahui ada aktiviti basikal lajak itu.

    “Memang bawa (memandu) kereta tengok depan tetapi jalan itu berbukit, laluan kereta mendaki bukit, jalan berselekoh dan gelap sebab lampu jalan ditutupi pokok. Ada 30, 40 basikal depan (kereta Ke Ting) bukan?

    “Boleh tunjuk mana undang-undang mengatakan kalau dia (Ke Ting) tidak tahu, tak nampak (basikal lajak) sebab jalan berselekoh, terlindung adalah salah.

    “Kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) tak salah kerana pukul 3.20 pagi (masa kejadian) waktu orang tidur dan kenderaan tak banyak atas jalan.

    “Dia tak nampak sebab jalan terlindung dan kemalangan berlaku dalam sekelip mata, tiada masa untuk berfikir,” katanya.

    Hadhariah yang bersidang bersama Hakim Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah, membuat keputusan sebulat suara, sekali gus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ke Ting.

    Pada 13 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan kerani itu dikenakan hukuman berkenaan atas kesalahan dilakukannya pada 2017.

    Hakim Datuk Abu Bakar Katar turut memerintahkan Ke Ting menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai menjalani hukuman penjara.

    Ini sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun sama, yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan Ke Ting daripada pertuduhan berkenaan.

    Berdasarkan pertuduhan, Ke Ting didakwa melakukan kesalahan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada pukul 3.20 pagi 18 Februari 2017.

    Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd. Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14; dan Haizad Kasrin,16.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, selain lesen memandu digantung jika sabit kesalahan.

    Hadhariah berkata, pendakwaan memaklumkan kereta itu dipandu laju tanpa mengambil kira apa yang berada di hadapan sebelum melanggar remaja terbabit.

    Katanya, Ke Ting dikatakan bersalah 100 peratus kerana menyebabkan kematian remaja akibat pemanduan merbahaya.

    “Itu kes pendakwaan sebab itu kita nak tengok dan pertimbangkan yang mana yang betul dari segi undang undang.

    “Pendakwaan memihak kepada (penunggang) basikal lajak yang semuanya baik.

    “Pemandu kereta 100 peratus salah sebab langgar mati lapan orang sedangkan keterangan dalam nota bicara yang saya baca, hanya dua basikal dilanggar kereta.

    “Kereta tidak langgar lapan basikal. Boleh buat pemeriksaan, saya periksa nota keterangan. Saya tidak bergantung kepada hujahan semata-mata,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Tular lelaki enggan alih kereta, hambur kata lucah pada wanita

    Tular lelaki enggan alih kereta, hambur kata lucah pada wanita

    TINDAKAN seorang lelaki sengaja menghalang laluan keluar kenderaan lain serta menghamburkan kata-kata berunsur lucah kepada wanita tular di media sosial.

    Perbuatan biadab lelaki itu dipercayai berlaku di kawasan parkir di hadapan sebuah kedai serbaneka di Bandar Springhill, Port Dickson.

    Memetik laporan Harian Metro, seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Din berkata, kejadian yang tular di media sosial itu bermula apabila seorang wanita yang membeli murtabak di premis berhampiran mahu mengeluarkan keretanya dari petak parkir.

    Katanya, wanita itu kemudian menegur tindakan seorang lelaki yang duduk di dalam kenderaan dan enggan mengalihkan kereta Perodua Kelisa dipandu.

    “Keadaan bertambah kecoh apabila lelaki itu tidak mahu beralah dan mengeluarkan kata-kata lucah.

    “Saya difahamkan lelaki itu mabuk berdasarkan wujud tin minuman keras di dalam keretanya.

    “Malah lelaki itu mendakwa dia tidak takut sekiranya mangsa mahu memanggil polis. Keadaan itu berlanjutan hampir 25 minit sebelum lelaki itu beredar,” katanya.

    Dia kemudian menasihati wanita itu membuat laporan polis kerana turut menerima gangguan seksual.

    “Apa yang berlaku petang semalam amat mengejutkan kerana ketika itu orang ramai sedang sibuk membeli juadah berbuka puasa,” katanya.

    Difahamkan mangsa sudah membuat laporan polis di Balai Polis Lukut, petang tadi.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis akan menjalankan siasatan susulan video tular berkenaan.

  • Farid Kamil terkejut ibu mentua hadir di mahkamah selepas dihalau isterinya

    Farid Kamil terkejut ibu mentua hadir di mahkamah selepas dihalau isterinya

    AKTOR Farid Kamil mengakui terkejut apabila ibu mentuanya, Norsiah Ramli tiba-tiba muncul di mahkamah menemani Diana Danielle dalam sesi berhubung konflik rumah tangga mereka sebelum ini.

    Farid berkata, ini kerana pada 2019 wanita itu diminta keluar oleh Diana dari rumah mereka dan bertindak memutuskan hubungan dengan wanita tersebut.

    “Tiba-tiba, pada 2023, Norsiah muncul di sini (mahkamah) baru-baru ini bersama Diana dan ia benar-benar mengejutkan saya.

    “Saya sebenarnya sudah lama tak dapat menghubungi mama Norsiah kerana setahu saya, dia sudah dihalau keluar oleh Diana dari rumah kelamin kami sejak 2019.

    “Pada saya, Diana perlu jelaskan kepada saya, kenapa dia menghalau Norsiah keluar dari rumah dan tak mahu berjumpa dengan ibunya ketika itu.

    “Sekarang, tiba-tiba, Norsiah muncul dan saya pun terkejut kerana Diana sendiri dah putuskan hubungan dengan ibunya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Sebelum ini, Norsiah tidak lagi asing buat pemain industri seni dan hiburan tanah air kerana dia sentiasa dilihat bersama Diana ketika anaknya itu mula menapak dan meniti dalam karier sebagai artis.

    Farid ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di Shah Alam, selepas sesi prosiding sulh pertama yang tidak dapat diselesaikan selepas Diana gagal hadir.

    Pada prosiding hari ini, Farid hadir bersama empat tawaran dengan jumlah keseluruhan bernilai RM319,700 untuk menyelamatkan keluarga dan rumah tangganya.

  • ‘Anwar sebagai PM kena ubahlah’

    ‘Anwar sebagai PM kena ubahlah’

    KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau sanggup dijatuhkan demi melawan rasuah disifatkan sebagai retorik untuk menutup kelemahan dan mengalihkan isu kegagalan kerajaan PH-BN dalam menguruskan negara pada masa kini.

    Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, tindakan sebegitu akan menambah kekusutan kepada politik dalam negara yang akhirnya tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana.

    “Apabila dia tak ‘perform’, dia terpaksa mengalihkan isu. Kita lihat kes-kes yang dibawa ialah kes-kes terpilih yang tidak mempunyai kekuatan untuk mendakwa. Ini berbeza dengan pendekatan Tun Dr Mahathir (semasa menjadi PM).

    “Kalau kita tengok Tun Dr Mahathir dulu, bila dia nak mengalihkan isu dalam negara dia memainkan isu antarabangsa contohnya soal Malaysia dengan Singapura.

    “Tetapi Anwar dia masih bermain dalam dalam lingkungan domestik, lingkungan dalam negara yang akhirnya akan menyebabkan politik Malaysia tidak stabil,” katanya menurut laporan Harakahdaily.

    Mengulas lanjut, Bakri mengambil contoh pertelingkahan antara Anwar dengan Mahathir yang sedang berlaku pada masa ini adalah sesuatu yang terlalu politiking yang boleh menjurus kepada ketidakstabilan negara.

    “Dia usik Tun Mahathir. Kemudian Tun Dr Mahathir usik dia semula. Dan akan timbul kisah-kisah lama. Akhirnya rakyat akan terbelenggu dalam krisis politik dalam negara yang tidak membawa Malaysia ke mana-mana sebenarnya.

    “Ini pada pandangan saya, Anwar sebagai PM kena ubahlah. Biar kita fokus pada nak menyelesaikan masalah rakyat. Itu yang penting,” katanya lagi.

    Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka menambah, pada masa ini banyak kenyataan yang dibuat oleh PM berkaitan rasuah akan ‘dihentam’ oleh netizen sedahsyat-dahsyat dan sehebat-hebatnya kerana dilihat sebagai satu hipokrasi.

    “Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang terpalit dengan 47 kes. Itu dah memang sedang dibicarakan mahkamah. Dan lihat pula usaha-usaha yang dilakukan.

    “Baru-baru ini Zahid dah hantar representasi untuk mohon supaya kes beliau itu digugurkan. Jadi benda-benda ni sebenarnya memberi kesan kepada kepada Anwar sendiri.

    “Jadi akhirnya rakyat kini melihat bahawa ini bukan suatu perjuangan menentang rasuah, tapi ini sebenarnya persekongkolan politik. Mereka bukan nak menghapuskan rasuah, tetapi bagi saya lebih pada kelangsungan politik dan politik populis,” katanya.

    Kata Bakri lagi, sehingga hari ini masih belum jelas apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat seperti kos sara hidup dan harga barangan yang meningkat.

    Beliau berpandangan bahawa akhirnya rakyat akan menyesal kerana telah memberi mereka dua kali peluang untuk mentadbir negara tetapi gagal melakukannya dengan baik.

    “Dan saya rasa kalau Anwar gagal kali ini, dia akan gagal sampai bila-bila. Ini bukan pandangan untuk jatuhkan dia, tapi pandangan yang kita anggap nasihat.

    “Jika dia gagal kali ini selama-lamanya dia akan ditolak kerana rakyat sudah bagi peluang kali kedua. Ini pandangan saya,” kata beliau lagi.

  • OPR: Kenyataan Chee Keong ‘meragukan’

    OPR: Kenyataan Chee Keong ‘meragukan’

    ALASAN kenaikan Kadar Semalaman (OPR) yang dikatakan turut meningkatkan pulangan simpanan pendeposit Amanah Saham Bumiputera (ASB) tidak praktikal untuk keadaan semasa di Malaysia.

    Pakar ekonomi bebas, Datuk Dr. Mohd Ramalan Yunus berkata demikian semasa mengulas tentang kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Sim Chee Keong berkenaan isu tersebut dalam sidang Dewan Negara baru-baru ini.

    Beliau turut mempersoalkan kenyataan tersebut sebagai ‘meragukan’ hujahnya, tidak ramai yang menyimpan wang masing-masing dengan mana-mana institusi pelaburan ketika berlakunya setiap krisis kewangan.

    “Timbalan Menteri Kewangan seolah-olah berfikir sekarang ramai orang sedang menyimpan wang di ASB, tetapi hakikatnya berapa ramai sahaja yang ingin menyimpan wang dalam keadaan seperti hari ini walaupun dalam kalangan orang-orang kaya?” katanya menurut laporan HarakahDaily.

    Mengulas lanjut, Mohd Ramalan berkata, keadaan ekonomi terkini merupakan antara krisis kewangan yang sememangnya tidak ramai rakyat yang akan mahu menambah lagi hutang seperti Pembiayaan ASB.

    “Sama ada suka ataupun tidak, hakikatnya Bank Negara Malaysia (BNM) akan tetap menaikkan kadar OPR kerana tidak ada pilihan lain,” jelas beliau.

    Menurutnya, kos hidup rakyat termasuklah hutang rumah dan Pembiayaan ASB akan tetap meningkat dan sekalipun BNM menurunkan kadarnya juga, ia tidak akan mengubah apa-apa kerana OPR itu sendiri jelas riba dalam kewangan.

    Beliau turut menambah bahawa mana-mana negara yang mengamalkan sistem sebegini juga akan menerima keburukan yang sama kerana ia hanya menguntungkan sebahagian masyarakat tetapi memiskinkan selebihnya.

    Sementara itu mengenai langkah yang boleh diambil dalam menghadapi isu berkenaan, beliau menasihatkan rakyat agar menambah segala pendapatan sedia ada seperti belajar berniaga secara kecil-kecilan dan juga secara talian.

    “Saya juga mempunyai jawapan yang sama dengan Prof. Nazari Ismail iaitu elakkan berhutang walau apa pun, termasuklah pinjaman ditawarkan 0 peratus kadar faedah,” katanya.

  • ‘Runner insurans’ didenda RM5,000 simpan video lucah kanak-kanak

    ‘Runner insurans’ didenda RM5,000 simpan video lucah kanak-kanak

    MAHKAMAH Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap seorang ‘runner insurans’ selepas mengaku bersalah memiliki video lucah kanak-kanak dalam komputer ribanya.

    Tertuduh, Wan Azhar Wan Ismail, 57, turut berdepan hukuman penjara 12 bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda dikenakan.

    Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan dikenakan ke atasnya, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengakses serta mempunyai dalam milikan dan kawalan suatu bahan pornografi kanak-kanak iaitu rakaman video lucah dalam simpanan komputer riba.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kuala Terengganu, pada 9.30 malam, 6 April lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amalina Najwa Mohd. Ali manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

  • Guna kontena seludup 336kg heroin, pelabuhan akan siasat

    Guna kontena seludup 336kg heroin, pelabuhan akan siasat

    KEMENTERIAN Pengangkutan memberi jaminan akan menyiasat pelabuhan digunakan kartel untuk menyeludup bahan terlarang.

    Menterinya, Loke Siew Fook berkata, pihaknya belum mendapat maklumat berhubung kes penyeludupan heroin melalui kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lalu.

    “Apa-apa kargo dari Malaysia yang menggunakan pelabuhan kita untuk angkut bahan larangan adalah kesalahan serius.

    “Kementerian Pengangkutan akan mendapatkan maklumat mengenai pelabuhan mana dan kita akan siasat pelabuhan itu,” katanya menurut Harian Metro.

    Semalam, polis mengesahkan laporan pihak berkuasa Australia berhubung rampasan 336kg heroin yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane bulan lalu.

    Setiausaha polis, Noorsiah Mohd. Saaduddin dilaporkan berkata, dadah itu dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berpandukan maklumat diterima dari Australia sebelum mengambil tindakan lanjut.

    Minggu lalu, polis Australia memaklumkan Pasukan Sempadan Australia (ABF) mengesan dadah itu disorok dalam dua blok konkrit simen seberat 500kg dan semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan aksesori panel solar dalam kontena yang tiba di Pelabuhan Brisbane pada 13 Mac lalu.