Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tidak yakin skim pinjaman KWSP mampu bantu M40, B40

    Tidak yakin skim pinjaman KWSP mampu bantu M40, B40

    PERTUBUHAN Gagasan Inovasi Rakyat Malaysi yang menggesa pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan mempertikai keputusan kerajaan membenarkan orang ramai menggunakan simpanan persaraan mereka untuk menyokong permohonan pinjaman.

    Presidennya, Azmi Tahir berkata, ramai M40 dan B40 mungkin tidak mampu memenuhi syarat Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) KWSP.

    “Ramai menggunakan simpanan Akaun 2 untuk membayar pinjaman perumahan dan pendidikan anak mereka.

    “Mereka telah menggunakan semuanya, jadi apa yang tinggal,” soalnya, lapor FMT hari ini.

    Fasiliti itu menyasarkan pencarum KWSP yang mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 dalam Akaun 2 dan disokong pendapatan munasabah bagi memastikan mereka mampu membiayai pinjaman berkenaan.

    Azmi berkata, pihaknya percaya pengeluaran KWSP lebih memanfaatkan mereka yang terdesak memerlukan dana kerana tidak terikat dengan sebarang syarat.

    Sejak 2020, sekitar 8.1 juta ahli KWSP mengeluarkan RM145 bilion daripada dana persaraan itu di bawah empat skim berasingan bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan membenarkan pengeluaran lanjut kerana jumlah simpanan semakin berkurangan, justeru beliau mencadangkan FSA2 sebagai alternatif.

    Buat masa ini, 6.7 juta pencarum mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, berbanding RM4.7 juta pada 2020.

    Azmi berkata, berbanding FSA2, kerajaan sepatutnya membenarkan pemegang akaun terpilih mengeluarkan semua simpanan mereka daripada Akaun 1.

    Menurutnya, skim itu sepatutnya membolehkan pengeluaran oleh pemegang akaun berusia lewat 40-an dan awal 50-an yang tidak dapat mencari pekerjaan selepas hilang pendapatan ketika ekonomi terhenti akibat pandemik.

    “Mereka mungkin telah bekerja selama bertahun-tahun, tetapi dibuang kerja. Mereka mungkin sukar mendapat pekerjaan lain disebabkan faktor usia dan kesihatan,” ujar beliau.

    Katanya, golongan itu kehabisan simpanan dan masih sukar menjalani kehidupan walaupun ekonomi kembali aktif.

    “Ada juga yang tidak lagi menjadi pencarum aktif. Kami menggesa supaya mereka dibenar mengeluarkan semua simpanan dan KWSP menganggap mereka seolah-olah mencapai usia 55 tahun.”

    Beliau berkata, kumpulan itu memerlukan wang untuk membeli makanan dan mungkin tidak mampu menunggu sehingga mencapai usia persaraan.

    Katanya, KWSP boleh menentukan siapa yang perlu mengakses simpanan mereka berdasarkan kes berasingan, bagi mengelakkan mereka yang tidak menghadapi masalah kewangan mengeluarkan simpanan.

  • Bekas MB Perlis mengaku tak salah terima wang haram RM1.06 juta

    Bekas MB Perlis mengaku tak salah terima wang haram RM1.06 juta

    BEKAS Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dihadapkan ke mahkamah untuk kali kedua dalam tempoh tiga hari.

    Kali ini, beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lima tuduhan pengubahan wang berjumlah RM1.06 juta.

    Azlan, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Azura Alwi.

    “Faham (pertuduhan) dan tidak (bersalah),” katanya, lapor Malaysiakini.

    Beliau kemudiannya memohon supaya dibicarakan atas lima pertuduhan pengubahan wang haram itu yang membabitkan RM1,059,675.25.

    Kesalahan itu didakwa melibatkan dua syarikat iaitu Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. dan Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. yang didakwa berlaku antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017.

    Pengubahan wang haram ialah kesalahan menyembunyikan asal usul wang yang diperoleh secara haram itu, lazimnya melalui pemindahan yang melibatkan bank asing atau perniagaan yang sah.

    Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man,64, menghadapi lima pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Mahkamah kemudian membenarkan Azlan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut semula pada 9 Jun.

    Kelmarin, Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika menjadi menteri besar Perlis.

    Azlan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh bermula hingga 2018, sebelum memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong dari 2018 hingga tahun lalu, apabila beliau ditewaskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Beliau menjadi Menteri Besar Perlis dari 2013 ke 2022.

    Azlan juga gagal mempertahankan jawatan ketua UMNO bahagian Kangar pada pemilihan parti itu, baru-baru ini.

  • Empat motosikal bertembung treler: Tiga remaja maut, seorang parah

    Empat motosikal bertembung treler: Tiga remaja maut, seorang parah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIGA remaja lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan empat motosikal dan sebuah treler berhampiran sebuah stesen minyak dekat Tanjung Musang di Alor Setar, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu mengakibatkan tiga penunggang motosikal berusia 19, 21 dan 23 tahun maut di lokasi kejadian.

    Seorang lagi penunggang motosikal berusia 13 tahun mengalami kecederaan parah di muka dan tangan manakala pemandu treler berumur 56 tahun tidak cedera.

    “Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan terlibat datang dari arah Alor Setar menuju ke Jabi. Kemalangan dipercayai berlaku apabil treler tersebut yang selesai mengisi minyak di stesen minyak berkenaan, masuk ke laluan utama.

    “Kira-kira 40 meter selepas keluar dari stesen minyak itu dan bergerak lurus di lorong kiri, empat motor tersebut tiba-tiba melanggar tepat di bahagian belakang treler,” katanya.

    Tambahnya, empat motosikal yang terlibat adalah SYM VF31, Yamaha 15ZR dan dua Honda RS-X.

    Seorang daripada mangsa yang maut bekerja sendiri manakala dua yang lain merupakan kontraktor pembersihan dan jurujual.

    Keempat-empat mereka berasal dari Kampung Telok Jamat di Mukim Tualang, Pokok Sena; Alor Pongsu di Bagan Serai, Perak; Kampung Mukim Telaga Mas di Pokok Sena serta Mukim Tualang, Pokok Sena.

    “Kesemua yang maut mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. Mayat ketiga-tiga mereka lalu dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.

    “Seorang lagi penunggang motosikal yang cedera parah itu pula dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.

  • Seorang lagi rentung dalam kebakaran rumah di Pulau Pinang

    Seorang lagi rentung dalam kebakaran rumah di Pulau Pinang

    SEORANG lagi individu ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran rumah di Pulau Pinang dengan kejadian terbaharu berlaku di Jalan Seri Bahari, George Town awal pagi ini membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4.12 pagi itu, mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan rentung di kawasan bilik air di tingkat bawah rumah kedai terbabit.

    Ini merupakan kejadian ketiga berturut-turut melibatkan mangsa yang ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di negeri ini selepas seorang kanak-kanak perempuan, G. Sri Laavanya maut dalam kebakaran rumahnya di Kampung Pisang, Air Itam, awal pagi Isnin lalu.

    Dalam kejadian petang semalam pula, seorang wanita orang kurang upaya (OKU), Nuraida Hashim, 43, turut maut dalam kebakaran rumahnya di Kampung Alma, Bukit Mertajam.

    Sementara itu, dalam kejadian awal pagi ini, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Mohd. Shafie Mohamad Safar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran kira-kira pukul 4.12 pagi ini sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Sebaik sahaja tiba, katanya, didapati berlaku kebakaran dengan anggaran kemusnahan 90 peratus di rumah kedai berkenaan.

    ”Kebakaran dapat dikawal pukul 4.43 pagi dan terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam bangunan.

    ”Kerja-kerja mengawal dan memadam api sepenuhnya masih dijalankan dan operasi turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Bung Moktar nafi sokong semula GRS

    Bung Moktar nafi sokong semula GRS

    KETUA UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan beliau ada mengeluarkan kenyataan kembali menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti yang disiarkan di sebuah stesen televisyen swasta, hari ini.

    Menurut Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, sebelum ini Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pernah mengeluarkan kenyataan parti itu memberikan sokongan kepada kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dengan mengambil kira ketetapan di peringkat Persekutuan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

    “Perbincangan telah dilakukan oleh Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk menyelaras semua parti yang mengasaskan dan di Sabah kita diwakili oleh Timbalan Ketua UMNO Sabah sebelum ini Datuk Yakub Khan.

    “Bagaimanapun, sehingga ke hari ini tidak ada resolusi yang dicapai malah pemecatan penjawat jawatan awam lantikan politik dari UMNO terus dilakukan apakah ini dimaksudkan Kerajaan Perpaduan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Mengulas lanjut Bung Moktar berkata, terdapat kekeliruan orang ramai khususnya ahli parti apabila pemimpin UMNO yang masih berada dalam kerajaan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) ketika ini.

    “Bagaimanapun, mereka tidak dapat membuat sokongan secara terbuka dan menandatangani akuan bersumpah (SD).

    “Pemimpin yang dipecat oleh UMNO ini kerana mereka menyokong secara terbuka dan menandatangi SD selain telah mengisytiharkan keluar daripada UMNO,” katanya.

    Sebagai Pengerusi BN Sabah, beliau tidak dapat memberikan komen siapa yang Ketua Menteri lantik dan pecat dari UMNO dalam kabinet atau penjawat awam lantikan politik kerana itu hak Hajiji sebagai Ketua Menteri.

    “Bagaimana pun tindakan ini sebenarnya tidaklah melambangkan konsep kerajaan Perpaduan yang sebenarnya. Jadi bagaimana kita boleh menzahirkan sokongan jika begini keadaannya. Inilah persoalan yang timbul sekarang bagaimana kita boleh melestarikan konsep Kerajaan Perpaduan di Sabah.

    “Kita suka lantik, tidak suka pecat dan suasana ini tidak akan mewujudkan kestabilan politik khususnya di Sabah dan bagi UMNO, kita tenang sahaja tidak perlu seperti peribahasa ‘hidung tak mancung, pipi pula yang tersorong-sorong,” katanya.

  • Polis buru 2 tahanan lari ketika dalam perjalanan ke penjara

    Polis buru 2 tahanan lari ketika dalam perjalanan ke penjara

    DUA tahanan warga Indonesia yang melarikan diri ketika dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang, hari ini sedang giat diburu polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow , tahanan itu dikenali sebagai Riki Rinaldi, 40 dan Samirudin, 36.

    Kedua-dua tahanan itu katanya membuka gari berantai dan pintu belakang van sebelum lari ke dalam kebun kelapa sawit terbiar Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang berhampiran jambatan kereta api.

    “Suspek bersama dua lagi tahanan warga Indonesia sebelum itu, dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi pada pukuljam 8 pagi, bagi pertuduhan tidak mempunyai pas dan dokumen yang sah masuk ke negara ini.

    “Kesemua tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

    “Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan ke Penjara Ledang, dua tertuduh telah membuka gari dan pintu belakang van sebelum melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit terbiar,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Beng Yeow, tiga anggota Maritim telah ditugaskan membawa kesemua tertuduh ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan pada jam 11.20 pagi.

    “Operasi memburu suspek sedang giat dilakukan dengan bantuan unit pengesan anjing K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

    “Selain itu, Op Tutup turut dijalankan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi bilik gerakan di talian 07-6637222,” katanya.

  • Terpalit kontroversi sogokan, Jamal dilantik AJK UMNO Selangor

    Terpalit kontroversi sogokan, Jamal dilantik AJK UMNO Selangor

    WALAUPUN terpalit dakwaan sogokan untuk memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Selangor.

    Lantikan itu dikongsi Jamal selepas menerima watikah pelantikan daripada Ketua UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, hari ini.

    “Sukacita dimaklumkan dengan rasmi Jamal Md Yunos, ketua bahagian Sungai Besar dilantik sebagai ahli jawatankuasa badan perhubungan Umno Selangor bagi penggal 2023-2026,” menurut surat pelantikan dikongsi Jamal, lapor Berita Harian.

    Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Jamal dipercayai dipanggil bagi pendengaran Lembaga Disiplin UMNO apabila didakwa menyogok 12 perwakilan untuk mengundinya, pada pemilihan parti.

    Menerusi sepucuk surat ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Mohd Hafarizam Harun bertarikh 7 Apr 2023, beliau dikatakan melanggar peruntukan Perlembagaan Umno dan Tataetika Ahli Umno yang boleh dihukum bawah Fasal 20.9.

    Dalam surat itu juga, perwakilan yang diberikan sogokan diarahkan bersumpah untuk mengundi Jamal dalam pemilihan parti.

    Selain wang tunai, perwakilan turut diberikan satu beg perwakilan mengandungi kad gantung perwakilan, cai, dan sekeping kad jemputan dikatakan boleh ditunaikan berjumlah RM2,000 jika Jamal menang pemilihan.

    Susulan itu, Jamal ketika dihubungi FMT menafikan dakwaan sogokan tersebut, pada pemilihan parti 18 Mac lalu.

    Beliau menyifatkan dakwaan itu fitnah dibuat pihak lawan yang kalah dalam pemilihan parti peringkat bahagian Sungai Besar.

  • Pengasas pengganas Royal Sulu Force antara individu dakwa waris Sultan Sulu

    Pengasas pengganas Royal Sulu Force antara individu dakwa waris Sultan Sulu

    PENGASAS Royal Sulu Force (RSF), sebuah entiti pengganas terbabit dalam tragedi pencerobohan di Sabah pada 2013 dikenal pasti adalah antara lapan individu mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu.

    Menurut Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, individu itu bernama Fuad A Kiram dan disenaraikan sebagai pengganas.

    “Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa Fuad A Kiram merupakan seorang pengasas RSF.

    “Kumpulan terbabit sebelum ini sudah diklasifikasikan sebagai entiti pengganas oleh kerajaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    RSF telah dihukum oleh mahkamah susulan kes pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, dan diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Kerajaan Malaysia sejak April 2022.

    Pencerobohan pada 2013 itu mengakibatkan 12 perwira negara terbunuh, selain menyebabkan kematian 56 pengganas dan enam orang awam. Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.

    Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, Menteri Dalam Negeri sudah memasukkan Fuad A Kiram ke dalam senarai entiti yang diklasifikasikan sebagai pengganas, mengikut Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

    Beliau berkata, penyenaraian individu itu berkuat kuasa 6 April lalu menerusi Warta Kerajaan Persekutuan.

    Pada 28 Februari tahun lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu, Dr Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada pihak mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu.

    Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah (pampasan) berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 dan oleh itu dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.

    Pada 11 Julai tahun lalu, peguam pihak yang menuntut itu dilaporkan merampas aset PETRONAS yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

    Bagaimanapun, PETRONAS dalam kenyataannya memaklumkan sudah melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya sudah dipulangkan.

    Pada 12 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

  • Wanita OKU maut rumah terbakar

    Wanita OKU maut rumah terbakar

    SEORANG wanita golongan orang kurang upaya (OKU) maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kira-kira pukul 5 petang tadi.

    Ketika kejadian, mangsa, Nuraida Hashim, 43, yang mengalami masalah ketidakupayaan mental dikatakan berada di atas katil di dalam sebuah bilik rumah berkenaan.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mangsa berjaya dibawa keluar ke tempat selamat ketika kejadian, namun pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital kemudian mengesahkan wanita tersebut telah meninggal dunia.

    Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Terdahulu, ujar beliau, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu yang melibatkan sebuah rumah dengan anggaran peratusan kemusnahan kira-kira 40 peratus.

    “Seramai 15 anggota termasuk penyelia dengan diketuai oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam terlibat dalam misi memadam kebakaran itu.

    “Turut memberi bantuan ialah jentera dari BBP Bandar Perda serta beberapa pasukan bomba sukarela (PBS) iaitu dari Kota Permai, Cross Street dan Juru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelasnya, kebakaran dapat dikawal kira-kira pukul 5.31 petang dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 6.26 petang.

    “Kerja-kerja ‘overhaul’ kemudian dijalankan di kawasan yang terbakar dan operasi tamat sepenuhnya pukul 7.48 malam,” ujarnya.

  • Pengeluaran KWSP: Maaf, carilah kaedah lain, kata Ahmad Maslan

    Pengeluaran KWSP: Maaf, carilah kaedah lain, kata Ahmad Maslan

    TIMBALAN Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan membayangkan kerajaan tidak akan membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Menurut beliau, ini selepas data median simpanan dikeluarkan oleh KWSP menunjukkan baki simpanan ahli bawah 55 tahun telah menurun pada Disember 2022 berbanding April 2020.

    “Data penting untuk makluman semua. Median baki tinggal RM3,302 (Bumiputera lain-lain) dan RM 5,529 (Melayu). Jika ingin popular, lulus keluarkan semua.

    “Namun ini Kerajaan Perpaduan yang bertanggungjawab untuk masa depan rakyat. Sudah empat kali dibenarkan.

    “Jumlah RM145 bilion. Maaf, maka carilah kaedah lain,” katanya menerusi ciapan di Twitter, lapor Malaysiakini.

    Ahli Parlimen Pontian itu membalas gesaan agar kerajaan mempertimbangkan pengeluaran khas KWSP bagi kali terakhir.

    Terdahulu, Ahmad turut berkongsi data median simpanan pencarum KWSP bawah 55 tahun berdasarkan kaum.

    Data itu menunjukkan median simpanan pencarum daripada kalangan Melayu pada April 2020 adalah RM16,938. Angka itu berkurang kepada RM5,529 pada Disember 2022.

    Ini bersamaan dengan penurunan sebanyak RM11,409, sekali gus merupakan penurunan paling ketara.

    Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) yang dilaksanakan dalam dua fasa bermula 7 April bagi fasa satu dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional.

    Ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon semasa fasa satu, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian, manakala tarikh mula fasa dua untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan dalam masa terdekat, katanya.

    Dengan kemudahan berkenaan, semua ahli KWSP warganegara Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk pengeluaran umur 50 tahun atau 55 tahun, dengan syarat mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun Dua KWSP.

    Jumlah pembiayaan maksimum telah ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun Dua KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.