Author: Wartawan WartaRakyat

  • Aminuddin akan dilantik MB Negeri Sembilan semula

    Aminuddin akan dilantik MB Negeri Sembilan semula

    DATUK Seri Aminuddin Harun dijangka dilantik semula sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, susulan spekulasi siapa akan memegang jawatan tertinggi negeri itu.

    Sumber Pakatan Harapan Negeri Sembilan mendakwa perkara itu selesai dengan pelantikan Aminuddin yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukamat disahkan semalam.

    “Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sedang menuju ke istana (untuk upacara angkat sumpah),” kata sumber itu kepada FMT.

    Semalam, Aminuddin dilaporkan berkata, Menteri Besar seterusnya akan mengangkat sumpah di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 3 petang ini dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, calon untuk jawatan itu belum dimuktamadkan.

    Terdapat spekulasi bahawa Aminuddin akan digantikan untuk jawatan tertinggi negeri itu.

    Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DatuK Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, PH perlu memberikan jawatan itu kepada ketua Barisan Nasional negeri, Datuk Jalaluddin Alias.

    PH dan BN akan membentuk kerajaan negeri baharu selepas memenangi majoriti dua pertiga di 36 kerusi DUN Sabtu lalu.

    PH menang 17 kerusi (DAP 11, PKR lima dan Amanah satu) manakala BN menguasai 14 kerusi, semuanya melalui UMNO.

    Perikatan Nasional memenangi baki lima kerusi menerusi Pas (tiga) dan Bersatu (dua). Ia tidak memenangi sebarang kerusi sebelum ini.

  • Jangan jadikan keputusan PRN untuk ‘hukum’ rakyat Kedah

    Jangan jadikan keputusan PRN untuk ‘hukum’ rakyat Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berharap segala urusan pentadbiran kerajaan selepas ini dilakukan mengikut prosedur yang sepatutnya tanpa menjadikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah untuk ‘menghukum’ rakyat negeri itu.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah yang mengetuai negeri itu meraih kemenangan besar pada pilihan raya berkenaan menyatakan kesediaan kerajaan negeri Kedah membuka lembaran baharu dalam soal hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.

    “Saya sudah bersedia untuk lembaran baharu, kalau mereka bersedia, Alhamdulillah. Tetapi kalau mereka masih simpan (dendam) di dalam hati, tak tahu lah.

    “Mana boleh simpan dalam hati hal-hal pemerintahan kerajaan, urusan kena ikut prosedur kerajaan. Hal-hal hati tak boleh bawa masuk ke dalam itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

    Terdahulu, beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan Pas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit.

    Muhammad Sanusi berkata, kepimpinan Kerajaan Persekutuan perlu memberikan tumpuan yang sama kepada semua negeri termasuk yang ditadbir pembangkang.

    “Takkan pilihan rakyat nak dimarah pula kan, menghukum rakyat Kedah kerana rakyat pilih PN, mana boleh macam itu, (pilihan raya) ini (proses) demokrasi. Duduk dalam politik sudah berpuluh tahun tapi demokrasi tak faham, tak boleh begitu. Rakyat buat pilihan kemudian kita hukum dia, kena ingat dosa pahala sama,” tambahnya.

    Sebelum ini, hubungan Muhammad Sanusi dengan Kerajaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri Kabinet dilihat tegang susulan kelantangannya mengkritik pentadbiran negara terutama sepanjang kempen PRN.

    Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pelantikan 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah akan dibuat secepat mungkin dan akan diselesaikan dalam minggu ini setelah nama-nama calon itu ditentukan oleh kepimpinan parti-parti komponen dalam PN.

    “Kita akan adakan mesyuarat parti petang ini dan saya akan tengok nama-nama yang dicadang sebelum memilih mereka yang mampu untuk melaksana dan menterjemahkan Pelan Pembangunan Kedah 2035.

    “Tetapi, memang susah untuk pilih kerana kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ada kelayakan yang baik. Jumlah Exco masih sama iaitu 11 orang termasuk saya dan portfolio mungkin ada penyesuaian mengikut keperluan semasa,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi mengakui tanggungjawab sebagai Menteri Besar pada penggal ini lebih mencabar kepadanya kerana bimbang dengan hasrat rakyat yang meletakkan harapan terlalu tinggi kepadanya.

    “Saya berazam dan akan cuba sedaya upaya tunaikan amanah rakyat. Kita pun ada 32 lagi ADUN pelbagai latar belakang dan mereka juga sudah pasti mempunyai azam yang sama untuk berkhidmat kepada rakyat Kedah.

    “Ada tiga ADUN pembangkang bukan Melayu tetapi saya tiada masalah untuk beri khidmat bakti kepada rakyat bukan melayu di Kedah kerana kita sama sekali tidak mendiskriminasi atau memilih bulu terhadap rakyat Kedah,” katanya.

  • PRN: 5 calon PN Terengganu jadi ‘giant killer’

    PRN: 5 calon PN Terengganu jadi ‘giant killer’

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KESEMUA lima calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada Sabtu lalu menjadi sebutan ramai apabila muncul sebagai ‘giant killer’ menewaskan calon ‘heavyweight’ UMNO-BN (Barisan Nasional).

    Mereka ialah Datuk Razali Idris, ustaz Khazan Che Mat, Mohd. Zawawi Ismail, Mohd. Yusop Majid dan Mohd. Husaimi Hussin bertanding di kesemua kerusi kubu kuat BN yang selama ini dianggap terlalu kebal dan sukar ditakluki.

    Apa yang menarik, penampilan lima calon berkenaan buat pertama kali mewakili PN bukan sahaja diterima rakyat setempat, sebaliknya mampu melakukan kejutan di luar dugaan setelah berjaya merampas serta menawan kubu kuat dimiliki BN sejak sekian lama.

    Maka itu, ramai penganalisis dan pemerhati politik tempatan menyifatkan ia adalah sebagai amaran awal kepada BN bahawa parti itu akan terus ditolak rakyat sekiranya masih tidak berubah.

    Dalam PRN Sabtu lalu, Razali yang juga merupakan Pengerusi Bersatu Terengganu menjadi ‘giant killer’ selepas membuat kejutan menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dengan majoriti 3,758 undi.

    Semua calon Bersatu bertanding di kesemua kerusi kubu kuat BN yang selama ini dianggap terlalu kebal dan sukar ditakluki.

    Ahmad yang juga merupakan bekas Menteri Besar (MB) Terengganu dan penyandang di kerusi berkenaan dianggap kebal sejak tahun 1990.

    Dalam pertandingan dua penjuru ini Razali yang juga Ahli Majlis Bersatu dan Ketua Penerangan Bersatu mendapat 13,403 undi manakala Ahmad pula hanya mendapat 9,645 undi.

    Ini merupakan kali kedua Ahmad tersungkur kepada pihak lawan apabila tewas kepada calon Pas, ustaz Che Alias Hamid dengan majoriti agak besar, 27, 179 undi di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November lalu.

    Dengan kekalahan kali kedua ini bermakna Ahmad kini bukan lagi menjadi pilihan utama bagi pengundi di DUN Kijal.

    Sementara itu, Ketua Bersatu Kuala Nerus, ustaz khazan Che Mat pula menjadi ‘giant killer’ setelah melakukan kejutan menewaskan seorang lagi bekas MB Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dengan majoriti juga dilihat besar, iaitu 2,797 undi.

    Perikatan Nasional diterajui Pas di Terengganu menyapu bersih semua kerusi DUN di negeri itu pada PRN Sabtu lalu

    Khazan yang juga bekas ADUN Batu Rakit pada tahun 2004 dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri berjaya mencipta sejarah baharu dengan menawan kerusi kebal UMN0 yang selama ini agak sukar ditewaskan dalam beberapa siri pilihan raya lalu.

    Dalam PRN kali ini Khazan mendapat 12,156 undi manakala Ahmad Razif mendapat 9,359 undi.

    Calon Bersatu di kerusi Telemung, Mohd. Zawawi Ismail muncul sebagai ‘giant killer’ setelah menewaskan setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat dengan majoriti 295 undi.

    Telemung merupakan antara kubu kuat UMNO yang sukar ditakluki oleh mana-mana parti politik sebelum ini kerana dikatakan mempunyai ramai ahli dan penyokong setia UMNO.

    Bagaimanapun pada kali ini ada dalam kalangan pengikut parti itu dikatakan telah berpaling tadah dengan beralih angin menyokong PN.

    Razali yang juga merupakan Pengerusi Bersatu Terengganu menjadi ‘giant killer’ selepas membuat kejutan menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dengan majoriti 3,758 undi

    Zawawi yang juga bekas ADUN Kuala Berang mendapat 8,380 undi manakala Rozi pula mendapat 8,085 undi.

    Calon Bersatu di kerusi Permaisuri, Mohd. Yusof Majid juga menjadi ‘giant killer’ selepas menewaskan Hamdan Hamzah dengan majoriti 7,299 undi.

    Mohd. Yusof yang mendapat 14,873 undi menewaskan Hamdan yang mendapat 7,299 undi.

    Permaisuri juga merupakan antara kubu kuat UMNO yang agak sukar ditewaskan.

    Dalam PRU14 lalu kerusi ini dimenangi calon UMNO, Abdul Halim Jusoh dengan majoriti 1,970.

    Seorang lagi calon Bersatu yang menjadi ‘giant killer’ ialah Mohd. Husaimi Hussin yang berjaya menewaskan penyandang kerusi Hulu Besut, Datuk Nawi Mohamad dengan majoriti 2,860 undi.

    Kemenangan lima calon Bersatu ini bermakna penampilan mereka yang sebelum ini menjadi kegusaran pihak lawan telah berjaya direalisasikan di pentas demokrasi.

    Walaupun baru pertama kali bertanding Husaimi yang juga Ketua Bersatu Besut mampu membuat kejutan menawan kerusi kebal UMNO itu dalam pertandingan tiga penjuru.

    Mohd. Husaimi yang mendapat 9,525 undi menewaskan Nawi juga bekas Ketua UMNO Bahagian Besut yang mendapat 6,665 undi dan calon Bebas Che Harun Kamariah Abdullah yang mendapat 180 undi serta hilang deposit.

    Dengan kemenangan lima calon Bersatu ini bermakna penampilan mereka yang sebelum ini menjadi kegusaran pihak lawan telah berjaya direalisasikan di pentas demokrasi.

    Apa yang membanggakan mereka bukan sahaja mampu meraih undi popular, tetapi juga berjaya menjadi ‘giant killer’ menewaskan calon ‘heavyweight’ dipertaruhkan oleh BN.

  • Sanusi mohon maaf danturut maafkan pihak menyerang dirinya

    Sanusi mohon maaf danturut maafkan pihak menyerang dirinya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memohon maaf dan memaafkan apa yang berlaku sepanjang kempen PRN berlangsung.

    Menteri Besar Kedah itu merujuk ucapan beliau dan sebarang tingkah laku jentera Perikatan Nasional (PN) di sepanjang tempoh berkempen.

    Beliau turut menghulurkan salam persahabatan sambil menzahirkan harapan supaya semua pihak dapat hidup dalam keadaan cukup harmoni.

    “Kalaulah sepanjang kempen PRN ini ada pihak terasa hati, dipalu hingga menusuk kalbu dengan istilah ucapan mahu pun perbuatan, saya mewakili seluruh jentera PN memohon ampun maaf kepada seluruh rakyat Kedah serta negeri-negeri lain.

    “Ada yang kami tak sengaja, ada kami terpaksa dan ada yang kami ‘diprovoke’. Ada yang kami terlalu sakit untuk menahannya, maka kami lepaskan supaya kamu turut rasa apa yang kami rasa.

    “Di atas kekasaran bahasa dan tingkah laku kami orang Kedah sama ada dalam platform media sosial, ceramah mahu pun pertemuan bersemuka, kami mohon ampun serta maaf. Kami hulur salam persahabatan dengan harapan kita hidup di bumi Allah dalam keadaan harmoni sebelum bertemu Allah SWT pada bila-bila masa,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar malam tadi.

    Tidak hanya sekadar memohon maaf, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah turut memaafkan semua pihak yang menyerangnya selama ini.

    “Bagi pihak diri saya, Muhammad Sanusi Md. Nor yang telah diserang bertubi-tubi dan bertalu-talu, saya maafkan semua serangan itu. Anda yang tersakiti kalau nak maafkan, boleh lafazkan sendiri tetapi bagi pihak saya, saya maafkan.

    “Kalau dia buat lagi, kita lawan lagi,” katanya.

  • Buat kali pertama, ADUN bukan Melayu dominasi kerajaan Selangor

    Buat kali pertama, ADUN bukan Melayu dominasi kerajaan Selangor

    BUAT pertama kali di Selangor, wakil rakyat bukan Melayu membentuk majoriti dalam blok pemerintah, realiti pedih bagi gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menghabiskan sembilan bulan cuba melawan reputasi ditolak pengundi Melayu.

    Keputusan itu juga berlaku selepas kempen dalam talian yang sengit oleh penyokong PH menjelang beberapa jam sebelum penutupan pusat mengundi 12 Ogos lau, menggesa penyokong keluar dan mengundi sambil mengingatkan mereka bakal berdepan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Selangor yang kini di bawah PH. 

    Kali terakhir Selangor menyaksikan bukan Melayu mendominasi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah pada Pilihan Raya Umum 1969, apabila Parti Perikatan pimpinan UMNO, gabungan politik sebelum wujudnya BN, berdepan kekalahan besar di tangan DAP dan Gerakan yang dikuasai Cina, yang bersama-sama dengan calon Bebas menyaksikan keputusan seri 14-14. 

    Parti Perikatan kemudiannya mampu membentuk kerajaan dengan sokongan satu-satunya wakil rakyat Bebas, walaupun iklim politik pasca pilihan raya yang berbaur perkauman kemudian mencetuskan salah satu rusuhan kaum terburuk di Malaysia.

    Keputusan pilihan raya 1969 bagaimanapun berlatarbelakangkan kaum Cina sebagai kumpulan etnik majoriti di Selangor, yang mempunyai populasi kira-kira 1.6 juta pada masa itu. 

    Statistik dari tahun 1970 menunjukkan orang Cina membentuk kira-kira 46% di Selangor, manakala Melayu 35%, dan India 18%.

    Sejak itu, faktor penghijrahan antara negeri, kadar kelahiran tinggi dan pembukaan bandar baru menyaksikan orang Melayu terus menjadi kaum majoriti sejak awal 80-an. 

    Menurut bancian 2020, orang Melayu membentuk 60.6% daripada 6.4 juta penduduk, diikuti Cina (27.3%) dan India (11.3%).

    Walaupun perpecahan kaum ini digambarkan di DUN – 38 daripada 56 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), atau kira-kira 68% adalah Melayu – sebahagian besar daripada mereka bukan dalam blok kerajaan.

    Hanya 16 daripada 34 Adun PH-BN adalah Melayu. 

    Sementara semua 22 kerusi dimenangi PN disandang wakil rakyat Melayu, menjadikan mereka blok pembangkang Melayu terbesar dalam sejarah Selangor. 

    Perbandingan terdekat adalah ketika BN tewas di Selangor pada pilihan raya 2008, menyebabkan 18 ADUN Melayu daripada UMNO beralih ke bangku pembangkang. 

    Penguasaan UMNO dikurangkan kepada 12 kerusi pada 2013, dan kepada hanya empat pada 2018. 

    Ini dapat difahami, kerana dalam ketiga-tiga pilihan raya ini, PH mempunyai rakan Melayu yang kuat: Pas pada 2008 dan 2013, dan Bersatu pada 2018. 

    Ini tidak berlaku pada Sabtu lalu, apabila PH bertanding tanpa parti Melayu yang kuat. 

    UMNO, yang sudah dikalahkan oleh PN pada pilihan raya umum tahun lalu, hanya berjaya memperoleh dua kerusi selepas tewas kepada calon Bersatu dan Pas, situasi yang turut dapat dilihat di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Perebutan pelbagai jawatan negeri

    Keputusan pilihan raya di Selangor, yang demografi kaumnya mencerminkan keadaan negara secara amnya, akan merumitkan usaha gabungan PH-BN untuk menepis persepsi bahawa ia berkuasa atas sokongan bukan Melayu. 

    Semua mata akan tertumpu kepada DAP dan bagaimana ia menguruskan dominasinya di Selangor.

    Sebelum pilihan raya, parti itu menuntut jawatan speaker, mengatakan ini sebagai pertukaran kepada kerusi Dusun Tua yang diberikan kepada calon UMNO. 

    Ia adalah satu daripada dua kerusi yang diwakili oleh seorang ADUN Melayu DAP. 

    Perebutan jawatan dalam 12 majlis kerajaan tempatan di Selangor juga akan menjadi lebih menarik, di mana ahli politik parti memerintah sering diperuntukkan jawatan ahli majlis. 

    Kali ini, dengan UMNO berada dalam gabungan, parti itu berkemungkinan menuntut lebih banyak perwakilan dalam majlis tempatan, perkembangan yang boleh membingungkan dalam kalangan NGO dan aktivis yang menyalahkan parti berkenaan atas penyelewengan masa lampau.

    Kempen ajak keluar mengundi 

    Sementara itu, terdapat persoalan yang masih belum terjawab mengapa PN tidak dapat menawan lebih banyak kerusi di Selangor walaupun penduduk Melayunya ramai, segmen yang menyokong kuat gabungan itu.

    Kempen dalam talian merayu lebih ramai  penyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional turun mengundi.
    Kempen dalam talian merayu lebih ramai penyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional turun mengundi.

    Buat masa ini, jawapan yang jelas terletak pada peratusan keluar mengundi, iaitu 72% di Selangor.

    Adalah selamat untuk mengandaikan peratusan pengundi Melayu yang lebih besar pada hujung minggu lalu boleh menyaksikan PN memenangi lebih banyak kerusi di negeri ini, terutamanya di kerusi separa bandar dan bandar yang berpenduduk padat dengan pengundi Melayu yang ramai. 

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengakui perkara ini, dengan berkata gabungan itu akan dapat menawan negeri itu sekiranya lebih ramai yang keluar mengundi. 

    Walaupun tiada kaedah yang tepat untuk mengukur peratusan keluar mengundi berdasarkan kaum, ia tidak menghalang penyokong PH untuk melancarkan kempen dalam talian yang sengit untuk mendapatkan orang Cina, yang dilihat sebagai deposit selamat gabungan itu sejak 2008, untuk keluar mengundi.

    Ketika kemas kini statistik setiap jam menunjukkan peratusan keluar mengundi rendah di beberapa bandar utama dengan sebahagian besarnya pengundi Cina, beberapa pemimpin dan penyokong PH menuju ke media sosial dengan mesej tular dan grafik menggesa orang ramai untuk mengundi. 

    Adalah jelas kepada siapa mesej itu disasarkan, kerana banyak yang ditulis dalam bahasa Cina. 

    Malah ahli akademik Wong Chin Huat, yang mengakui dirinya penganalisis politik bebas, memuat naik kiriman di Facebook yang mendakwa “kehadiran pengundi Cina dan India kelihatan rendah”.

    “Bersiaplah untuk Selangor dan Negeri Sembilan menjadi seperti Kedah selepas malam ini,” kata Wong, sebelum beliau terlibat dalam perdebatan hangat dengan netizen yang mengkritik hantarannya kerana mencetuskan situasi panik.

    “Kenapa mesti bersiap?” tanya seorang pengguna maya di ruang komen, di mana Wong menjawab: “Hanya kerana anda suka Sanusi, saya tidak dapat berdepan prospek seperti itu?”, merujuk kepada pemimpin popular Pas Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. 

    “Tahukah anda mengapa kita diciptakan berbeza?” soal Wong.

    Jurucakap kontroversi DAP Hew Kuan Yaw juga aktif berkempen, berulang kali memberi amaran tentang ‘gelombang hijau’ akan berkuasa. 

    “Jika ada kadar pertumbuhan purata 5% sejam, purata peratusan keluar mengundi di semua lima negeri sepatutnya mencecah 70%, kecuali Kelantan, hehehehe,” katanya dalam beberapa kiriman dalam bahasa Cina yang memberi amaran bahawa lebih ramai orang Melayu keluar.

    Malah calon DAP Subang Jaya, Michelle Ng pula menggesa orang ramai untuk memerhati orang di sekeliling mereka sama ada jari mereka ditandakan dakwat kekal ataupun tidak sebagai bukti sudah turun mengundi.

    “Kalau you all dah undi, bila keluar untuk makan tengah hari, tolonglah tengok siapa jarinya masih bersih, tolong tegur mereka, pastikan mereka keluar undi,” katanya dalam video yang disiarkan pada 1 tengah hari pada hari pengundian, lapor MalaysiaNow.

  • Ini bukan maruah UMNO yang kita kenal, kata Pemuda PN

    Ini bukan maruah UMNO yang kita kenal, kata Pemuda PN

    KEPUTUSAN pilihan raya di enam negeri baru-baru ini adalah ‘manifestasi daripada rakyat’ supaya pemimpin UMNO memahami keutamaan menjaga kepentingan orang Melayu berbanding kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

    Timbalan Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, UMNO wajar bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan Islam dan Melayu.

    “Sepatutnya kita bersama-sama dalam muafakat ummah yang digagaskan dan kembali kepada nilai perjuangan terkait Islam serta Melayu, bukannya apabila kita terhimpit dan dihina, kita bertegas pula dengan menyatakan tak boleh bercakap soal agama, raja dan kaum (3R),” katanya dipetik lapor Utusan Malaysia hari ini.

    Beliau juga melihat apa yang berlaku sekarang ini sesuatu yang baru buat UMNO.

    “Itu bukan maruah UMNO yang kita kenal,” katanya lagi.

    Bekas jurugambar di sebuah portal berita yang memenangi kerusi Kota Siputeh itu juga berkata, beliau lebih selesa disapa dengan nama panggilannya, Acap, berbanding YB.

    Katanya sebagai wakil rakyat di situ beliau mahu membawa budaya baru, iaitu hubungan yang lebih erat dengan penduduk setempat membabitkan sebarang isu termasuk yang paling kecil.

    “Orang luar nak panggil ‘YB’ tak apa tetapi bukan orang Kota Siputeh.

    “Saya di sini untuk berkhidmat buat rakyat, merendah diri dan menjadi ‘hamba’ kepada mereka.

    “Jadi tolonglah jangan panggil ‘YB’, cukup sekadar Ashraf atau Acap dan kalau orang yang berusia, panggil saya ‘anak’ pun dah mencukupi,” katanya.

    Kelmarin, Ashraf meraih 17,180 undi untuk menewaskan penyandang kerusi tersebut, Dr. Salmee Said, dari PH, selain calon Bebas, Abdul Ramli.

  • Sanusi ingatkan ADUN PN jangan khianati mandat rakyat

    Sanusi ingatkan ADUN PN jangan khianati mandat rakyat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengingatkan ADUN PN tidak mencari ‘kebahagiaan’ untuk diri sendiri atau keluarga terlebih dulu.

    Katanya, mereka perlu sedar dan insaf bahawa perjuangan yang didokong ketika ini bukanlah untuk diri sendiri mahu pun anak-anak sebaliknya perjuangan rakyat.

    “Dengan kepercayaan sebesar ini, janganlah terdetik di hati tuan-tuan atau semua ADUN yang telah diberi amanah untuk cari kebahagiaan bagi diri sendiri dan keluarga terlebih dulu. Ini bukan perjuangan hang (kami) dan anak-anak sebaliknya ini perjuangan rakyat.

    “Saya jamin kepada tuan-tuan bahawa selama mana saya diberi amanah mengetuai jentera ADUN-ADUN di Kedah, saya akan pastikan mereka semua tak jadi kaya.

    “Mereka takkan pernah terpalit dengan sebarang skandal rasuah dan penyelewengan, saya akan pastikan begitu. Saya tidak izinkan mana-mana ADUN untuk berkejar ke sana-sini mencari projek untuk diri sendiri atau kawan-kawan.

    “Siapa yang terpalit, kita akan terus laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). ‘Hangpa’ mai ambil orang ini, angkut bawa kurung dan kita takkan lindungi sesiapa,” katanya.

    Menurutnya, cabaran yang bakal dilalui ADUN-ADUN itu cukup besar kerana ada musuh yang akan sentiasa memasang perangkap bagi menjerat mereka.

    “Kita berdepan cabaran besar tetapi ada lagi rintangan lebih besar menanti di depan. Tuduhan dan serangan akan datang lagi dan tak ketinggalan, perangkap dipasang musuh untuk kenakan kita. Kita mesti berhati-hati 24 jam.

    “Mungkin perangkap itu datang dari terus daripada musuh, mungkin juga dari kawan-kawan atau ahli keluarga kita. Perkara ini amat penting untuk diawasi bagi memastikan amanah dipikul benar-benar direedai Allah.

    Muhammad Sanusi menambah, kerajaan negeri di bawah pimpinannya sebelum ini telah menggalas amanah dengan susah payah.

    “Kalau betul ada sikit sesiapa yang terpalit dengan kerja-kerja bodoh ini, serangan kerajaan Persekutuan dan segala jenteranya sepanjang kempen tempoh hari tentu berbagai hingga menyebabkan kita masuk ‘dalam’.

    “Oleh kerana kita bersih, tak pernah terpalit sebarang skandal, tak cari kekayaan dengan kedudukan serta tak buat benda haram, maka serangan bertali arus selama berminggu-minggu ke atas kita tidak langsung menyebabkan sehelai bulu roma kita berdiri,” katanya.

  • Jangan hukum, denda rakyat Kedah kerana pilih PN dalam PRN

    Jangan hukum, denda rakyat Kedah kerana pilih PN dalam PRN

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PIMPINAN kerajaan Pusat diingatkan agar tidak menghukum mahu pun mendenda rakyat negeri Kedah kerana memberikan mandat kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir negeri itu dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kehendak rakyat negeri ini perlu dihormati dengan mereka yang berada di Pusat tidak seharusnya berbuat-buat seolah-olah tidak faham dengan amalan demokrasi dilaksanakan.

    “Pudin (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), Piji (Rafizi Ramli) dan Bang Non (Datuk Seri Anwar Ibrahim jangan buat-buat tak faham dengan mandat diberikan rakyat Kedah kepada PN. Jangan cuba nafikan, ketepikan, cuba memaksa, menghukum atau denda rakyat negeri Kedah kerana menolak kamu.

    “Dalam politik negara ini, kita sama-sama menerima hakikat demokrasi bahawa apabila rakyat membuat pilihan, maka semua pihak harus berlapang dada serta akur. Jangan sempitkan dada kamu,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar, malam tadi.

    Mengulas lanjut katanya, kalangan petugas di agensi serta jabatan kerajaan juga seharusnya tidak menuruti secara melulu arahan pihak tertentu berkaitan kepentingan negeri ini.

    “Kamu telah lihat apa yang rakyat lakukan di negeri ini, apa yang rakyat mahu, siapa rakyat percaya serta perjuangan siapa yang rakyat terima. Kamu lihat sendiri dan jangan cuba butakan mata dengan menurut membuta tuli arahan dari mereka.

    “Kamu agensi penguat kuasa atau jabatan yang meluluskan apa-apa, sila pandang suara rakyat Kedah ini dalam konteks demokrasi. Inilah kehendak, insipirasi rakyat Kedah yang diterjemahkan dalam peti undi. Jadi sila beri penghormatan kamu,” katanya.

  • Kekalahan BN beri ruang untuk muhasabah, kata bekas ADUN UMNO

    Kekalahan BN beri ruang untuk muhasabah, kata bekas ADUN UMNO

    KEGAGALAN Barisan Nasional (BN) mempertahankan kubu paling kukuh parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemung yang dikuasai sejak 60 tahun lalu wajar diteliti dan dinilai bersama.

    Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemung, Datuk Rozi Mamat berkata, biarpun tewas dengan bilangan majoriti agak kecil, namun kekalahan itu telah membuka lembaran sejarah baharu kepada parti berkenaan.

    “Biarpun keputusan ini tidak memihak kepada kita, ia memberi suatu peluang untuk kita sama-sama bermuhasabah dan melihat akan hikmah di atas setiap yang berlaku,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya semalam.

    Menerusi hantaran sama, Rozi turut memohon maaf dan merakam penghargaan kepada semua yang terlibat sepanjang tempoh kempen yang berlangsung selama dua minggu.

    “Terima kasih pada semua pengundi, jentera dan penyokong N21 Telemung, yang bekerja keras berkempen dan mengundi untuk Barisan Nasional.

    “Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf jika ada salah dan silap sepanjang tempoh empat penggal saya berkhidmat.

    “Segala yang baik itu adalah dari Allah SWT dan segala yang buruk itu adalah kelemahan serta kekurangan dari diri saya sendiri,” tulisnya, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Rozi turut merakam ucapan tahniah kepada semua pemenang yang bertanding dan berharap agar dapat menggalas tugas dan tanggungjawab dengan amanah dan adil.

    Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 12 Ogos lalu mencipta sejarah apabila julung kalinya kerusi DUN Telemung dimenangi calon Pas, Zawawi Ismail yang menerima 8,085 undi menewaskan Rozi (8,380 undi).

    Pas dalam masa yang sama berjaya menyapu bersih semua 32 kerusi DUN Terengganu sekali gus menyaksikan tiada seorang pun wakil dari gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang dipilih menjadi wakil rakyat di negeri itu.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, DUN Telemung dimenangi oleh Rozi dengan majoriti 4,159 undi menewaskan calon Pas, Kamaruzaman Abdullah dan calon PKR, Sharifah Norhayati Syed Omar.

  • Keputusan PRN jejas legitimasi kerajaan campuran untuk terus memerintah

    Keputusan PRN jejas legitimasi kerajaan campuran untuk terus memerintah

    Oleh JAYUM JAWAN

    RAKYAT di Semenanjung Malaysia sudah membuat keputusan jelas mengenai siapa yang akan mewakili mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

    Keputusan ini adalah jelas ke mana sokongan Melayu dan Cina khasnya telah diberikan.

    PRN 2023 bukan saja penting bagi rakyat di enam negeri memilih wakili rakyat mereka, tetapi implikasi lebih besar ialah PRN 2023 adalah ujian ke atas sokongan rakyat Semenanjung khasnya orang Melayu kepada kerajaan campuran dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

    Umumnya, atas permukaan keputusan PRN kali ini memperlihatkan kedudukan sama atau status quo dari segi siapa kembali memerintah di enam negeri.

    PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah kembali semula memerintah dengan memperoleh majoriti cukup di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

    Sementara itu PN yang terdiri daripada Bersatu, Pas dan Gerakan kembali memerintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    Jadi, apa yang berubah? Semacam tidak ada yang berubah tetapi apabila kemenangan setiap blok yang bertanding dikaji dengan sedikit mendalam, maka perubahan daripada segi siapa menang dan siapa kalah menjadi ketara dalam PRN.

    Di Kelantan, PN menendang keluar PH dan sekutunya. Dari 37 kerusi yang dimenangi Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PN hampir menyapu bersih 45 kerusi.

    Dua kerusi gagal dimenangi, tetapi jumlah 43 itu melebihi paras dua pertiga dan lebih baik daripada prestasinya pada PRU14 di mana Pas hanya menang 37 kerusi.

    Di Terengganu, PN menyapu bersih kesemua 32 kerusi yang ada di negeri berkenaan apabila ia merampas 10 kerusi yang dahulunya dimenangi oleh BN.

    Di Kedah, PN juga menunjukkan prestasi yang meningkat. Dari 20 kerusi yang dimenangi pada PRU14, PN menawan 33 kerusi, meninggalkan 3 kerusi saja kepada PH-BN.

    Di tiga negeri yang mereka kuasai sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, prestasi PN meningkat.

    Ketiga-tiga negeri adalah negeri Melayu yang mempunyai lebih 75% penduduk Melayu seperti di Kedah dan setinggi lebih kurang 95% di Kelantan dan Terengganu.

    Di tiga negeri yang dikuasai PH, PN menunjukkan prestasi meningkat.

    Di Selangor, PN hanya ada satu kerusi pada PRU14 tetapi pada PRN kali ini, PN menang 22 kerusi. Ini agak luar biasa dan pasti membanggakan.

    Di Pulau Pinang, PN ada satu kerusi pada PRU14 tetapi jumlah itu telah meningkat kepada 11 pada PRN.

    Begitu juga di Negeri Sembilan di mana PN tidak mempunyai sebarang kerusi pada PRU14 tetapi pada PRN kali ini mereka menang lima.

    Justeru, walaupun kedua-dua blok parti bertanding itu mengekalkan kerajaan negeri masing-masing, tetapi peralihan sokongan dari jumlah kerusi negeri yang bergerak antara kedua-dua blok parti itu menunjukkan bahawa PN menang moral dan sebenarnya mengatasi PH dan sekutunya dalam kerajaan campuran.

    Keputusan PRN menunjukkan dengan jelas beberapa perkara dan andaian umum yang semua sudah maklum.

    Pertama, Melayu di Semenanjung Malaysia mengatakan bahawa kerajaan campuran tidak didukung oleh majoriti Melayu Semenanjung yang merupakan masyarakat rakyat majoriti Malaysia.

    Kedua, Melayu di Semenanjung Malaysia juga berkata bahawa mereka tidak mahu bukan Melayu menjadi tunjang sebuah kerajaan kerana ini mencabar kedaulatan politik demokrasi berasaskan politik dominasi Melayu.

    Dalam konteks ini, mereka khuatir arah tuju Kerajaan Malaysia akan dikawal atau dipengaruhi oleh bukan Melayu.

    Ada segelintir pengulas politik mengatakan bahawa PRN 2023 tiada kaitan dengan Kerajaan Perpaduan.

    Sebenarnya, ini pandangan yang tidak tepat. Pilihan raya ada kaitan dengan semua hal berkaitan parti, kuasa dan kerajaan. Ini adalah kerana blok yang sama bertanding untuk mendapatkan sokongan.

    Justeru, keputusan dari segi jumlah kerusi naik atau susut menunjukkan pasang surut sokongan.

    Daripada keputusan PRN yang menunjukkan peningkatan sokongan Melayu di Semenanjung Malaysia kepada PN, maka sudah dijangkakan bahawa PN akan menuntut dua hal.

    PN mendesak supaya Kerajaan Perpaduan berundur berasaskan mandat baharu Melayu Semenanjung atau menuntut supaya Parlimen dibubarkan supaya rakyat menentukan sokongan berasaskan sentimen yang ditunjukkan dalam PRN.

    Legitimasi untuk terus memerintah oleh kerajaan campuran terjejas dengan keputusan PRN.

    Keputusan ini memberi kesan kepada legitimasi dan integriti untuk terus berpegang kepada kuasa dalam keadaan sokongan sudah susut dengan jelas dari para pengundi yang sama yang telah bersuara dalam platform sama, iaitu pilihan raya, walaupun dua pilihan raya berbeza menentukan kerajaan di dua peringkat yang berlainan.

    Melayu akar umbi di Semenanjung sudah bercakap dengan jelas siapa pilihan mereka. Dari sudut parti, paling jelas mereka menolak UMNO yang mengulangi kekalahan teruk pada PRU15.

    Malah lebih teruk kali ini kerana UMNO kalah di 89 kerusi dan hanya menang 19 kerusi berbanding 43 kerusi sebelumnya.

    UMNO mendapat markah gagal, 17.6%. Ia mengalami ‘total wipe-out’ di Terengganu dan Kedah serta sagu hati satu kerusi di Kelantan dan dua kerusi di Pulau Pinang. Satu-satunya negeri yang tidak terkesan teruk ialah Negeri Sembilan, menang 14 kerusi dan kalah tiga.

    UMNO perlu reformasi radikal jika mahu terus hidup. Sudah ada suara mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, meletakkan jawatan.

    Datuk Seri Idris Jusoh, bekas Menteri Besar Terengganu, sudah menyuarakannya. Anwar tiada pilihan lain.

    Jika beliau menghalang perubahan ini dari berlaku PH juga akan terheret turun sama dalam PRU16.

    Jayum Jawan adalah profesor di Universiti Putera Malaysia (UPM).

    *Tulisan ini siarkan dalam portal Malaysinow adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan Warta Rakyat