Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lelaki bakar bekas teman wanita hidup-hidup ditahan

    Lelaki bakar bekas teman wanita hidup-hidup ditahan

    SEORANG lelaki yang didakwa membakar bekas teman wanitanya hidup-hidup ditahan di Colombia pada Rabu.

    Sergio Tarache Parra, 19, dituduh menyimbah Katherine Gomez, 18, dengan minyak tanah sebelum membakar mangsa di dataran di Lima, Peru pada 18 Mac lalu.

    Menurut konsulat Peru di Bogota, notis merah Interpol telah dikeluarkan untuk penahanan Tarache.

    Beberapa hari sebelumnya, remaja perempuan itu dipercayai memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut.

    Mangsa yang melecur 60 peratus di badan dimasukkan ke hospital, namun meninggal dunia enam hari kemudian.

    Kementerian dalam negeri Peru memaklumkan, Tarache yang berasal dari Venezuela akan diekstradisi dari Colombia ke Peru untuk dibicarakan.
    Kamera keselamatan (CCTV) menunjukkan pemuda itu melarikan diri dari tempat kejadian selamat menyerang mangsa.

    Polis Peru menawarkan ganjaran AS$12,500 (RM55,024) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek, lapor Agensi.

  • Pembantu menteri sumber manusia ditahan SPRM

    Pembantu menteri sumber manusia ditahan SPRM

    SEORANG pembantu Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Menurut sumber, pembantu itu yang merupakan pegawai kanan Sivakumar, ditahan bersama seorang ejen pengambilan pekerja asing.

    Difahamkan, penahanan mereka ada kaitan siasatan membabitkan pengambilan pekerja asing.

    FMT sudah menghubungi pejabat Sivakumar dan SPRM untuk mendapatkan pengesahan.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Lelaki maut direnjat elektrik di Sarawak

    Lelaki maut direnjat elektrik di Sarawak

    SEORANG lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik di kawasan setinggan dekat Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew, Bintulu semalam.

    Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 2.18 petang.

    “Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sememangnya terdapat seorang lelaki yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat terkena renjatan elektrik,” katanya menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, pemeriksaan pasukan perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

  • Dua anggota polis nafi samun pelanggan hotel bajet

    Dua anggota polis nafi samun pelanggan hotel bajet

    DUA anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap warga asing minggu lalu.

    Tertuduh, T.S. Praveen dan Muhammad Safri Idris yang berusia 31 tahun, membuat pengakutan tersebut sejurus dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didakwa telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga Indonesia dan mengambil satu utas gelang tangan warna kuning, pasport keluaran Indonesia dan satu keping kad ATM dengan kerugian lebih kurang RM1,800 milik mangsa.

    Kesalahan itu dikatakan dilakukan di antara jam 10 malam sehingga 11.30 malam dalam hotel bajet di Plaza Mahkota dalam daerah Melaka Tengah pada 3 April 2023 lalu.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan sebatan, lapor Astro Awani.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara bersama-sama tanpa kuasa yang sah ada dalam milikan mereka pasport atau dokumen perjalan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang iaitu milik Anisa, seorang warga Indonesia.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan Kota Melaka dalam daerah Melaka Tengah, pada waktu dan tarikh yang sama.

    Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(1)(1) Akta Pasport 1966 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

    Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 setiap seorang serta memohon untuk tidak mengganggu mangsa yang merupakan saksi pendakwaan.

    Tertuduh yang diwakili peguam Andrew Lourdes bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh merupakan anggota polis dan telah berkhidmat selama tujuh tahun.

    Beliau turut memaklumkan ayah Praveen merupakan seorang pesara polis yang berkhidmat selama 41 tahun, manakala isteri Safri juga merupakan anggota polis serta mempunyai seorang anak berusia tiga bulan.

    Hakim Darmafikri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 setiap orang beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

    Mahkamah turut menetapkan 23 Mei ini sebagai sebutan semula kes.

  • Permohonan Shafee fail tuntutan balas berkait tunggakan cukai RM9.41 juta ditolak

    Permohonan Shafee fail tuntutan balas berkait tunggakan cukai RM9.41 juta ditolak

    Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan peguam Tan Sri Shafee Abdullah untuk memfailkan tuntutan balas terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atas dakwaan tunggakan cukai sebanyak RM9.41 juta.

    Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain berpendapat bahawa seseorang yang menghadapi saman untuk mendapatkan semula tunggakan cukai tidak berhak memfailkan tuntutan balas terhadap kerajaan.

    “Defendan (Shafee) berhujah bahawa pemfailan saman itu dilakukan dengan niat jahat dan merupakan serangan kolateral terhadapnya kerana mempertahankan bekas perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak).

    “Bagaimanapun, mahkamah mendapati bahawa tuntutan balas defendan adalah terhadap pihak seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara, yang bukan sebahagian daripada prosiding hari ini,” katanya, lapor FMT.

    Roz Mawar berkata, Shafee boleh membawa perkara itu terhadap kedua-dua agensi berkenaan dalam prosiding lain.

    Beliau juga berkata sebarang pertikaian mengenai taksiran cukai mesti dibincangkan dengan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT).

    “Di bawah skim cukai kita, belia (Shafee) boleh memfailkan rayuan kepada SCIT tetapi bayaran mesti dibuat terlebih dahulu,” katanya yang menambah jika pesuruhjaya kemudiannya mendapati taksiran cukai itu tidak betul, sebarang lebihan wang yang dibayar akan dikembalikan.

    Mahkamah menetapkan 26 Julai untuk mendengar permohonan LHDN bagi penghakiman ringkas terhadap Shafee.

    Ringkasan penghakiman itu diperoleh apabila mahkamah memutuskan berdasarkan afidavit yang difailkan bahawa defendan tidak mempunyai pembelaan terhadap tuntutan dan tiada isu yang memerlukan keterangan saksi pada perbicaraan penuh.

    Pada 2021, LHDN memfailkan saman terhadap Shafee atas dakwaan tunggakan cukai sebanyak RM9.41 juta.

    Ia mendakwa Shafee berhutang kepada kerajaan sebanyak RM8,543,180.28 dalam cukai belum dibayar untuk tempoh lima tahun, RM434,326.17 untuk 2011, RM978,854.11 (2012), RM3.58 juta (2013), RM1.73 juta (2014) dan RM1.82 juta (2016).

    Peguam Rajan Navaratnam mewakili Shafee, manakala LHDN diwakili peguam hasil Al-Hummidallah Idrus.

  • Pengajar kelas renang bakal berdepan 32 pertuduhan rogol anak tiri

    Pengajar kelas renang bakal berdepan 32 pertuduhan rogol anak tiri

    SEORANG lelaki yang dipercayai merogol anak tirinya berusia 16 tahun sehingga mendorong remaja berkenaan melarikan diri baru-baru ini bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh esok.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 36 tahun akan berdepan 32 pertuduhan termasuk merogol, melakukan amang seksual fizikal dan seks menggunakan objek sejak tiga tahun lalu.

    “Arahan pertuduhan telah diperolehi daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) selepas siasatan selesai dilengkapkan manakala isterinya yang sebelum ini turut ditahan tidak didakwa dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan.

    “Kes ini telah dirujuk kepada PPN dan arahan untuk pendakwaan telah dikeluarkan pada esok iaitu 12 pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 376(1) KK.

    “Suspek yang bekerja sebagai pengajar kelas renang itu juga akan didakwa bagi 12 tuduhan melakukan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, lapan lagi pertuduhan terhadapnya akan turut dilakukan di bawah Seksyen 377 CA KK kerana melakukan hubungan seks menggunakan objek.

    Katanya, siasatan awal mendapati remaja itu telah menjadi mangsa rogol ayah tirinya itu sejak tahun 2020 lagi.

    “Kejadian dipercayai berlaku di rumah mereka yang mana suspek telah merogol mangsa dalam keadaan tidak rela dan semasa kejadian, ibu kandung remaja itu sedang tidur dalam bilik tidur,” katanya, lapor Astro Awani.

    Warta Rakyat sebelum ini melaporkan, bapa tiri serta ibu kandung mangsa yang berusia 36 dan 40 tahun ditahan sejurus tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2).

    Pasangan itu dipercayai terlibat dalam kejadian merogol anak perempuan mereka berusia 16 tahun sejak tiga tahun lalu.

    Perbuatan terkutuk suspek yang dipercayai turut diketahui isterinya itu terbongkar selepas mangsa yang sebelum ini melarikan diri selama 18 hari memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak polis.

  • Kerajaan diarah bayar RM1.54 juta kepada keluarga 3 mangsa

    Kerajaan diarah bayar RM1.54 juta kepada keluarga 3 mangsa

    MAHKAMAH memberi pampasan sejumlah RM1.54 juta kepada keluarga mangsa kematian dalam tahanan untuk tiga saman sivil yang berasingan antara 2016 dan 2022.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketiga-tiga kes itu telah diselesaikan.

    “Mahkamah telah menetapkan pampasan kepada keluarga mangsa berjumlah RM1.54 juta bagi kesemua kes itu.

    “Bagaimanapun, polis tidak dapat memastikan sama ada wang pampasan telah dibayar kepada waris mangsa atau masih ada rayuan daripada peguam,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, lapor MalaysiaKini.

    Menteri itu menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran yang meminta jumlah pampasan yang dibayar kerajaan kepada keluarga mangsa yang mati dalam tahanan.

    Kulasegaran juga meminta senarai pesalah dalam kes sedemikian dan sama ada tindakan telah diambil terhadap pegawai polis yang bersalah.

    Azalina berkata, tindakan telah diambil terhadap dua pegawai polis yang didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

    Seksyen 330 memperkatakan sesiapa ‘secara sukarela menyebabkan kecederaan untuk tujuan memeras ugut… sebarang pengakuan atau maklumat yang boleh membawa kepada pengesanan kesalahan atau salah laku’.

    Pesalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.

  • MB Kelantan tak bincang mengenai royalti dengan PM

    MB Kelantan tak bincang mengenai royalti dengan PM

    MENTERI Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob menjelaskan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini hanyalah kunjungan biasa dan tidak membincangkan secara khusus berkaitan tuntutan royalti petroleum.

    Ahmad berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada kerajaan Persekutuan berhubung isu berkenaan.

    “Royalti seperti mana dulu, kita beri salinan (surat) saja. Tuntutan itu dihantar sebagai mana biasa.

    “Berunding itu atas asas yang lama, apapun itu saja sebagaimana yang lama,” katanya pada sidang media selepas mengagihkan sumbangan kuih raya kepada agensi keselamatan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usul yang diterima dewan undangan negeri (DUN) Kelantan sebelum ini yang mahu Menteri Besar berunding dengan Perdana Menteri berhubung royalti petroleum dengan kadar segera.

    Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus.

    Ini kerana menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

    Sementara itu Ahmad berkata, pertemuan yang berlangsung di Putrajaya kelmarin itu adalah kunjungan biasa.

    “Menerusi pertemuan itu, kita memohon supaya semua perkara (diluluskan) pada pentadbiran sebelum ini supaya diteruskan.

    “Berunding atas asas yang lama dan Perdana Menteri memberi maklum balas dengan mengatakan ‘Insya-Allah’.

    “Insya-Allah kita berharap Perdana Menteri memberi sesuatu yang terbaik untuk Kelantan,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Bekas setiausaha politik Iris Haron mengaku tak bersalah terima suapan lebih RM400,000

    Bekas setiausaha politik Iris Haron mengaku tak bersalah terima suapan lebih RM400,000

    BEKAS Setiausaha Politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM408,736 sebagai ‘upah’ projek pembinaan masjid, enam tahun lalu.

    Tertuduh Datuk Rosli Hasan, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus 12 pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan dalam bentuk khidmat pengubahsuaian rumah milik isterinya bernilai RM323,736 di Taman Pokok Mangga antara Mei 2017 hingga Februari 2018.

    Tertuduh turut didakwa atas 11 pertuduhan secara rasuah menerima suapan wang berjumlah RM85,000 melalui bayaran kad kredit antara Mei 2017 hingga 19 Oktober 2017.

    Kesemua suapan berkenaan sebagai dorongan membantu sebuah syarikat untuk dilantik sebagai kontraktor bagi projek mereka bentuk, membina dan menyiapkan sebuah masjid, dewan serbaguna, tiga lot kedai dan rumah sampah secara reka dan bina di atas sebahagian tanah di Lot 341 dan Lot 345, Mukim Bachang, bernilai RM5.28 juta.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, lapor Astro Awani.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samad mencadangkan jaminan sebanyak RM80,000 serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain meminta tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM sekali sebulan.

    Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun memohon jaminan RM30,000 dijadikan bercagar dan RM50,000 memandangkan tertuduh perlu menanggung dua isteri dan lapan anak dengan hanya mengharapkan pencen sebanyak RM2,018 sebulan.

    Hakim Elesabet pada penghakimannya kemudian membenarkan rayuan pihak pembelaan serta cadangan syarat tambahan pihak pendakwaan dan menetapkan 16 Mei bagi untuk sebutan semula kes.

  • Dakwaan LGBT:Pas mohon batalkan saman fitnah oleh Mujahid

    Dakwaan LGBT:Pas mohon batalkan saman fitnah oleh Mujahid

    PAS memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah Naib Ketua Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Muhajid Yusof Rawa terhadap parti pembangkang itu.

    Peguam bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu, Noorazmir Zakaria mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Pas memohon untuk membatalkan tindakan sivil itu tanpa mendengar meritnya pada perbicaraan penuh.

    “Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 21 Jun depan untuk pendengaran permohonan selepas mengosongkan tarikh pendengaran hari ini,” katanya.

    Menurut salinan permohonan pembatalan yang dirangka di bawah Perintah 18 Peraturan 19(1)(a) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, Pas yang disaman melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa Mujahid gagal mendedahkan sebarang sebab tindakan yang munasabah terhadap parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu.

    Pada 15 Disember tahun lalu, Mujahid mengheret Pas ke mahkamah kerana dakwaan bekas menteri agama itu menyokong golongan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).

    Tindakan sivil itu berkaitan satu hantaran dalam Facebook pada 16 Oktober lalu, yang merujuk ketika beliau menjadi menteri di jabatan perdana menteri yang menjaga hal-ehwal agama ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

    Pentadbiran PH di bawah teraju Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berlangsung dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

    Menerusi writ saman itu, plaintif memohon antara lain perintah mahkamah agar Takiyuddin atau Pas membuat permohonan maaf terbuka yang disiarkan dalam akhbar harian Melayu dan Facebook parti itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.