Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pengampunan Najib: Pengundi PH dalam dilema moral

    Pengampunan Najib: Pengundi PH dalam dilema moral

    PEMERHATI politik memberi amaran pengampunan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang hangat diperkatakan bakal meletakkan pengundi Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan dilema moral.

    Ini kerana PH selama ini menggunakan alasan moral melawan rasuah dan kleptokrasi untuk mendapatkan kuasa.

    Sejak 2014, Najib terheret dalam skandal membabitkan syarikat kerajaan 1MDB yang mana PH menggunakan isu itu sebagai senjata untuk menjatuhkan pentadbiran beliau pada 2018.

    Memetik laporan MalaysiaNow, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb berkata, langkah memberi pengampunan dan seterusnya membebaskan Najib akan menjadi kekecewaan terbesar buat pengundi PH, selain impak besar kepada reputasi Anwar sebagai “pejuang reformasi”.

    “Pembebasan ini juga akan memberikan ‘peluru’ kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya akan datang ini.

    “Saya rasa sangat sulit untuk PH mengelak dari isu ini dan ada kemungkinan juga ramai pengundi PH tidak akan keluar mengundi masa Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak,” katanya.

    Pertengahan tahun ini, Kedah, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijadualkan mengadakan pilihan raya.

    Sekiranya ia terjadi, PH bakal berdepan kesukaran mempertahankan tiga negeri yang ditadbir mereka sekarang.

    UMNO baru-baru ini menyatakan mahu bertemu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi memohon ihsan baginda untuk mengampunkan bekas presiden mereka itu.

    Najib sebelum ini tewas dalam semakan kehakiman kes SRC International dengan keputusan majoriti 4-1 yang memusnahkan harapan beliau untuk lepas daripada jeriji besi.

    Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 2020 menjatuhi hukuman bersalah kepada bekas ahli Parlimen Pekan itu dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RN200 juta selepas beliau didapati bersalah atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

    Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu pada 2021 dan Najib memulakan hukuman penjara beliau setelah rayuannya gagal.

    MalaysiaNow sebelum ini melaporkan hubungan PH dan BN mungkin retak akibat kegagalan Najib dalam semakan kehakimannya.

    Najib masih mempunyai pendukung yang kuat dari kalangan akar umbi dan Majlis Tertinggi UMNO dan mereka lantang menyuarakan nasib bekas perdana menteri itu.

    Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berkata, permohonan pengampunan untuk Najib dilihat sukar dan mencabar.

    “Najib berdepan banyak kes yang sedang dan akan dibicarakan.

    “Bagaimana Lembaga Pengampunan boleh mempertimbangkan perkara itu kerana Najib belum menghabiskan sebahagian hukuman.

    “Bagaimana jika beliau dihukum lagi (dalam kes lain), keadaan akan menjadi tidak begitu harmoni,” katanya.

    Justeru, Mazlan berkata kemungkinan Najib tidak diampunkan sangat tinggi dan memerlukan keajaiban.

    Menurut Mazlan, perkara 42(8) menyatakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan secara peribadi.

    Selain kes SRC, Najib yang mula disiasat selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada 2018 itu masih berdepan kes 1MDB yang sedang dalam perbicaraan.

    Mazlan mengakui sokongan kepada PH bakal terkesan namun situasi itu tidak muktamad.

    “Politik ini ada tambah tolaknya. Kajian terbaru saya di lima Dewan Undangan Negeri di Negeri Sembilan menunjukkan sokongan kpd PH dan BN masih padu,” katanya.

    Najib bukan satu-satunya pemimpin yang cuba mencari kebebasan.

    Timbalan Perdana Menteru Ahmad Zahid Hamidi juga baru-baru ini mengemukakan representasi memohon agar semua pendakwaan ke atasnya berhubung kes Yayasan Akal Budi digugurkan.

    Kes tersebut membabitkan 47 pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

    Zahid sebelum ini berjaya mendapatkan semula pasportnya bagi menjalankan tugas sebagai timbalan perdana menteri.

    Zahid yang mengekalkan kerusi Bagan Datuk dengan majoriti lebih 300 undi pada pilihan raya umum lalu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada September lalu atas p40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara.

  • Setiausaha sulit menteri pula ditahan SPRM

    Setiausaha sulit menteri pula ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan kepada Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

    Memetik laporan Malaysiakini, kali ini tangkapan itu dibuat ke atas setiausaha sulit menteri terbabit dan ia disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

    “Ya, seorang pegawai ditahan dan direman tapi saya tak pasti (buat masa ini) berapa hari,” katanya.

    Azam bagaimanapun tidak memberitahu berapa lama suspek terbabit direman.

    Penahanan terbaru hari ini menjadikan sudah ada dua pegawai kanan ahli parlimen Batu Gajah itu disiasat agensi penguat kuasa berkenaan.

    Semalam SPRM menahan seorang pegawai kanan Sivakumar, selain seorang ahli perniagaaan dari Ipoh berkaitan dengan dakwaan rasuah yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    Difahamkan siasatan SPRM tertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

    Sivakumar kemudian berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut kerana kes berkenaan sedang disiasat.

    “Saya dan Kementerian Sumber Manusia akan memberi kerjasama penuh kepada agensi siasatan sekiranya diperlukan,” katanya

    Malaysiakini difahamkan, siasatan itu melibatkan kes rasuah bernilai RM97 juta.

  • Visa pelancong dilonggar, mudahkan kemasukan 450,000 pelawat China

    Visa pelancong dilonggar, mudahkan kemasukan 450,000 pelawat China

    MALAYSIA bakal menerima kemasukan 450,000 pelawat China selepas menandatangani perjanjian dengan dua agensi pelancongan dari negara tembok besar itu.

    Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, kerjasama itu turut meliputi beberapa kelonggaran yang akan ditentukan supaya kemasukan mereka lebih lancar.

    “Kami berjaya menandatangani perjanjian dengan dua agensi pelancongan di China iaitu satu agensi akan membawa masuk 350,000 dan bakinya 100,000 pelawat.

    “Mereka minta kita tangani dua perkara iaitu prosedur permohonan visa yang lebih mudah dan kedua adalah untuk lebih banyak kapasiti penumpang dalam penerbangan antara kedua-dua negara,” katanya, lapor MalaysiaGazette.

    Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa kementeriannya, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengulas lanjut, King Sing berkata, perkara itu menjadi satu daripada kejayaan kementeriannya selepas beliau turut bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi ke China pada 29 Mac lalu.

    Oleh itu katanya, satu rundingan dengan pihak berkuasa termasuk Jabatan Imigresen (JIM) akan diadakan bagi menangani perkara berkenaan.

    Tambah beliau, hasrat itu juga bagi memastikan kementeriannya mampu mencapai sasaran 5 juta ketibaan pelancong dari China pada tahun ini.

  • MUDA fail saman terhadap siasatan ‘tak berperlembagaan’ SPRM ke atas Nazlan

    MUDA fail saman terhadap siasatan ‘tak berperlembagaan’ SPRM ke atas Nazlan

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) hari ini memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memohon deklarasi agensi antirasuah itu tiada kuasa menyiasat Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, saman yang difailkan pada Rabu itu memohon deklarasi bahawa SPRM tiada kuasa atau bidang kuasa untuk menyiasat atau mencapai keputusan terhadap mana-mana hakim sedang berkhidmat di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan melanggar Kod Etika Hakim 2009, serta mempunyai konflik kepentingan ketika mempengerusikan kes mahkamah.

    MUDA turut memohon deklarasi penemuan SPRM berhubung dakwaan konflik kepentingan Nazlan dan melanggar Kod Etika Hakim ketika mengetuai perbicaraan SRC International bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak trial in the High Court, menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

    Pada 23 Feb lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan laporan SPRM berhubung siasatannya ke atas Nazlan, sudah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

    Dalam surat kepada peguambela Najib, Shafee & Co, pada 6 April lalu, Azalina mengesahkan siasatan SPRM ke atas Nazlan mendapati beliau melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan ketika mengetuai kes SRC International.

    Katanya, ini berdasarkan laporan bertarikh 20 Feb mengandungi penemuan SPRM yang dipanjangkan kepadanya, menyatakan SPRM menemui “isu salah laku” oleh Nazlan yang “perlu dipertimbangkan” ketua hakim negara.

    Pada 24 Feb lalu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun memutuskan SPRM tidak mengikut protokol ketika menjalankan siasatan terhadap Nazlan.

    Mahkamah tertinggi itu berkata, badan penyiasatan seperti SPRM perlu berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim dan gagal berbuat demikian menunjukkan terdapat “kekurangan bona fide di pihak mereka”.

    Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi berkata, surat Azalina kepada peguambela Najib mendedahkan “pelanggaran serius” oleh SPRM.

    “Kuasa SPRM untuk menyiasat terhad kepada kesalahan bawah Akta SPRM 2009.

    “Ia tiada bidang kuasa dan kuasa, apatah lagi sebarang kepakaran untuk menyiasat dan membuat penemuan mengenai pelanggaran Kod Etika Hakim 2009 atau konflik kepentingan di pihak hakim mahkamah atasan,” menurut kenyataan memetik afidavit Amir.

    Menguas lanjut Amir berkata, cara dan masa kandungan surat itu didedahkan “jelas menunjukkan kekurangan bona fide (dan merupakan) serangan (terhadap) kebebasan kehakiman dan pengasingan kuasa”.

    Beliau menyifatkan ia “mengejutkan” untuk Azalina melihat wajar menjawab pertanyaan peguam Najib dan ini menimbulkan “persoalan serius berhubung kerahsiaan proses dalam SPRM” serta sama ada terdapat motif tersembunyi untuk “kebocoran” dokumen didakwa itu.

    “Ini sama dengan intimidasi dan gangguan serius terhadap hakim, serta cubaan jahat untuk campur tangan dalam tugas mereka bagi mencapai keputusan dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih.”

    Mahkamah menetapkan 15 Mei ini untuk pengurusan kes.

    Muda diwakili Lim Wei Jiet dalam saman itu.

  • ‘Dakwa waris Sultan Sulu, 8 individu mahu tuntut tebusan RM65.34b dari Malaysia’

    ‘Dakwa waris Sultan Sulu, 8 individu mahu tuntut tebusan RM65.34b dari Malaysia’

    SEBANYAK lapan individu mendakwa waris Sultan Sulu, Jamalul Kiram II dikatakan cuba menyalahgunakan proses timbang tara dan undang-undang antarabangsa dengan mengemukakan tuntutan kepada Kerajaan Malaysia, pada Februari tahun lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, mereka dilaporkan cuba menuntut wang tebusan bernilai AS$14.9 bilion (RM65.34 bilion) atau lebih 16 peratus daripada belanjawan tahunan negara.

    Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) menerusi laman sesawang https://www.malaysia-sulucase.gov.my/ menjelaskan Malaysia menolak tuntutan itu, selain tidak mengiktiraf keabsahannya dan melakukan litigasi di seluruh Eropah untuk membatalkannya.

    BHEUU antara lain menyifatkannya sebagai penyalahgunaan proses timbang tara dan perundangan antarabangsa yang licik serta cubaan mendapatkan tebusan daripada negara berdaulat, selain tuntutan berterusan itu akan mencemarkan reputasi sistem timbang tara di peringkat global.

    S: Siapakah lapan individu terbabit dan apakah status kes berkenaan?

    J: Difahamkan, lapan penuntut itu adalah warga Filipina, mendakwa mereka waris Sultan Sulu, Jamalul Kiram II yang mangkat pada 1936. Maklumat identiti mereka sangat sedikit dan tidak dapat ditentukan sama ada waris yang sah.

    Mereka ialah Nurhima Kiram Fornan; Fuad A. Kiram; Sheramar T. Kiram; Permaisuli Kiram – Guerzon; Taj – Mahal Kiram – Tarsum Nuqui; Ahmad Nazard Kiram Sampang; Jenny K.A. Sampang dan Widz – Raunda Kiram Sampang.

    Mahkamah Eropah setakat ini belum mengenal pasti identiti dan keabhsahan penuntut sebagai waris Kesultanan Sulu. Ada beberapa pihak lain turut mendakwa mereka adalah daripada keturunan sama yang tidak terbabit dalam kes ini.

    Litigasi kes terbabit ketika ini sedang dibuat di Perancis, Sepanyol, Belanda dan Luxembourg. Keputusan rayuan bagi menentukan status Award Awal oleh Mahkamah Perancis pada Jun depan. Award Awal itu dikemukakan Dr Gonzalo Stampa di Sepanyol, pada 2020.

    Hujahan Malaysia mendapati status Award Permulaan tiada asas perundangan, berpandukan beberapa alasan, termasuk keputusan ‘Superior Court of Justice of Madrid’ membatalkan pelantikan Dr Stampa dan bidang kuasa penimbang tara yang salah. Malaysia juga berhujah, Perjanjian 1878 yang menjadi asas kes pihak menuntut, tidak mempunyai klausa timbang tara.

    Jika Mahkamah Perancis mengekalkan rayuan Malaysia, bermakna keputusan memberikan Award Awal tiada asas dalam undang-undang negara itu. Tuntutan bagi Award Akhir masih menjadi subjek dalam kes terbabit yg akan didengar di Mahkamah Perancis bagi mengetepikan award timbang tara bernilai AS$14.9 bilion, akhir tahun ini.

    S: Bagaimana ia bermula?

    J: Asia Tenggara pada abad ke-19 tertakluk kepada kuasa kolonial yang bersaing untuk menguasai wilayah di seluruh rantau dengan perjanjian memberi dan menyerahkan tanah dan wilayah di Bornoe Utara ditandatangani Jamalul Kiram II serta dua saudagar, Baron de Overbeck, dan Alfred Dent, pada 1878.

    Baginda kemudian mengesahkan penyerahan kepada Syarikat Borneo Utara British dan bayaran penyerahan wilayah tahunan meningkat kepada 5,300 dolar tempatan (kita-kira AS$1,200 atau RM5,266.20 ketika ini) selepas Sepanyol melepaskan semua tuntutan ke atas wilayah itu, pada 1903.

    Namun, pembayaran dihentikan selepas waris sah Jamalul Kiram II tidak dapat ditentukan. Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara, Macaskie menerusi ‘Penghakiman Macaskie 1939’ mendapati waris Sultan Sulu berhak menerima bayaran menerusi Perjanjian 1878.

    Rakyat Sabah pada 1962, menyertai Persekutuan Malaysia yang ditubuhkan setahun kemudian. Kerajaan Malaysia tidak pernah mengiktiraf kesahihan Kesultanan Sulu, namun mewarisi Perjanjian kolonial 1878.

    Malaysia membuat pembayaran kepada waris sepatutnya yang ditentukan Penghakiman Macaskie selama beberapa tahun, namun ia ditamatkan pada 2013 susulan pencerobohan bersenjata ke atas Sabah, mengorbankan 73 mangsa, dilancarkan kumpulan yang mengaku Sultan Jamalul Kiram III, dari Kepulauan Sulu.

  • Zakir Naik pulang ke Malaysia selepas Aidilfitri

    Zakir Naik pulang ke Malaysia selepas Aidilfitri

    PENCERAMAH bebas, Zakir Naik dijangka pulang ke Malaysia selepas sambutan Aidilfitri.

    Peguamnya, Akberdin Abdul Kader berkata, Naik kini berada di Oman untuk menyampaikan ceramah sepanjang Ramadan.

    Beliau mengulangi Naik dalam keadaan selamat dan diberikan layanan baik di Muscat.

    “Jadi, beliau hanya akan pulang (ke Malaysia) selepas hari raya kelak. Setakat ini, Naik dalam keadaan baik dan menjadi tetamu di sana,” katanya menurut Harian Metro.

    Pada 27 Mac lalu, akhbar itu melaporkan Naik, yang menjadi buruan di India, akan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat selepas menghadiri beberapa program di Oman.

    Media sebelum itu melaporkan Naik tiba di Oman pada 22 Mac lalu untuk menyampaikan ceramah agama atas jemputan Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama.

    Naik yang merupakan pemastautin tetap di Malaysia, dikehendaki pihak berkuasa India berhubung tuduhan pengubahan wang, menyokong aktiviti keganasan dan mencetuskan ketegangan agama.

    Kerajaan India menghantar permohonan rasmi mengekstradisi beliau pada Januari 2018.

  • Pukau, tipu warga emas: 3 termasuk dua warganegara China ditahan

    Pukau, tipu warga emas: 3 termasuk dua warganegara China ditahan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEGIATAN tiga individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua wanita warganegara China menyasarkan warga emas untuk dipukau dan ditipu secara bersemuka terbongkar apabila kesemua mereka diberkas di kawasan Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah, semalam.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, lelaki berusia 24 tahun dan dua wanita warganegara China berumur 55 serta 47 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.45 pagi hasil risikan Op Gagak.

    Katanya, kesemua mereka ditahan tidak sampai 24 jam selepas mereka dipercayai memperdaya seorang wanita warga emas berusia 70 tahun melibatkan kerugian berjumlah RM110,000.

    “Mereka dipercayai akan bergerak menggunakan kereta sewa dan berusaha mengenal pasti mangsa dalam golongan warga emas di pasar pagi.

    “Suspek akan berpura-pura meminta bantuan kewangan dengan alasan saudaranya sedang sakit dan perlu segera diubati. Suspek lalu akan mendorong mangsa untuk menyerahkan wang, barang kemas atau barangan berharga lain dengan menjanjikan pulangan lumayan sebagai balasan kesudian mangsa menghulurkan bantuan.

    “‘Pulangan’ yang dijanjikan itu bagaimanapun hanyalah air mineral serta garam yang diletakkan dalam sampul. Hanya ketika itulah mangsa sedar bahawa mereka telah ditipu,” katanya dalam satu kenyataan.

    Wan Hassan memaklumkan, lelaki tempatan itu mengaku menjadi pemandu kepada dua wanita berkenaan semasa menjalankan kegiatan penipuan itu.

    “Sindiket ini dipercayai mula bergiat aktif sejak dua bulan lalu. Pemeriksaan dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek menemukan beberapa barangan berharga antaranya tujuh subang, enam rantai leher , empat gelang kaki, lima cincin, empat loket dan satu bar yang semuanya diperbuat dari emas.

    “Selain itu terdapat juga dua rantai leher dan sebentuk cincin emas putih, sepasang subang berwarna perak dan seutas jam jenama Rolex,” katanya.

    Katanya, pihaknya turut merampas wang tunai bernilai lebih RM2,000 dalam nilai Ringgit Malaysia, Yuan dan Dollar Hong Kong dari ketiga-tiga suspek.

    “Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda.

    “Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan individu tidak dikenali dan dapatkan nasihat ahli keluarga lain sebelum membuat sebarang keputusan untuk membantu orang lain,” katanya.

  • Polis berkas gadis curi kad ATM rakan, beli telefon mahal

    Polis berkas gadis curi kad ATM rakan, beli telefon mahal

    SEORANG gadis yang tergamak mencuri kad ATM dan menggunakan wang milik rakannya sendiri termasuk membeli telefon bimbit berjenama akhirnya dicekup polis, Jumaat lalu.

    Suspek berusia 21 tahun itu turut dikesan berbelanja pelbagai barangan kegunaan lain sebelum menghilangkan diri sejak 23 Mac lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, pihaknya sebelum ini menerima laporan daripada mangsa berhubung pengurangan wang dalam akaun bank miliknya sebanyak RM8,200.

    “Siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mendapati transaksi ini bermula pada 23 Mac secara berperingkat.

    “Siasatan kemudiannya dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997, sehinggalah pihak polis berjaya menjejaki identiti suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, suspek kemudiannya diberkas di sebuah premis di Pandan Perdana, Ampang Jaya, minggu lalu.

    Katanya, suspek diberkas kira-kira pukul 12.25 tengah malam.

    “Dalam serbuan itu polis merampas sekeping kad ATM milik mangsa dan sebuah telefon bimbit berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan transaksi akaun bank mangsa,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Semalam, tular di media sosial seorang gadis mendakwa menjadi mangsa rakannya sendiri setelah kad ATM miliknya dicuri selain wang miliknya digunakan untuk membeli telefon bimbit berjenama.

  • Segamat catat keadaan udara tidak sihat dua hari berturut-turut

    Segamat catat keadaan udara tidak sihat dua hari berturut-turut

    DAERAH Segamat di Johor terus mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hari ini iaitu 151 setakat 11 pagi, hari ini.

    Mengikut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kadar bacaan IPU tidak sihat di daerah itu berlaku sejak semalam iaitu 121.

    Memetik laporan Harian Metro, sebanyak 66 kawasan pula mencatatkan bacaan sederhana.

    Tanah Merah, Kelantan mencatat bacaan paling tinggi iaitu 100 berbanding 107 semalam.

    Sementara itu, dua stesen iaitu Kuala Terengganu, Terengganu mencatatkan bacaan 97 diikuti Kota Bharu, Kelantan (96).

    Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), manakala 300 ke atas berbahaya.

  • Bekas CEO MARii didakwa terima rasuah RM5 juta

    Bekas CEO MARii didakwa terima rasuah RM5 juta

    BEKAS ketua pegawai eksekutif sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta dua tahun lalu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Madani Sahari, yang pernah mengetuai Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), dituduh menerima rasuah itu daripada Khow Chuen Wah untuk membantu Syarikat Aspire Knowledge Sdn Bhd mendapatkan surat anugerah projek bernilai RM12 juta.

    Kesalahan itu didakwa berlaku di Seksyen 15 di Shah Alam pada 8 Julai 2021.

    MARii ialah agensi bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

    Madani didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan ikat jamin RM300,000 dan seorang penjamin, selain mengarahkan Madani menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Pengurusan kes ditetapkan pada 8 Jun ini.

    Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan akan memfailkan lebih banyak pertuduhan terhadap Madani di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Alor Setar kemudian.

    Madani diwakili peguam Rahmat Hazlan, Wan Aizuddin Wan Mohamed dan Rahmat Abu Bakar.

    SPRM dilaporkan menahan 10 individu tahun lalu bagi membantu siasatan ke atas satu projek di bawah MARii.