Author: Wartawan WartaRakyat

  • Beri masa kerajaan hapus amalan ‘sakau’ – PM Anwar

    Beri masa kerajaan hapus amalan ‘sakau’ – PM Anwar

    PERDANA Menteri meminta rakyat memberi tempoh beberapa tahun kepada kerajaan untuk membuktikan tatakelola yang baik dalam pentadbiran di peringkat Pusat termasuk menghapuskan amalan rasuah atau ‘sakau’.

    Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kerajaan perlu memperbetulkan amalan rasuah atau kleptokrat yang mana amalan itu bukan hanya melibatkan individu sebaliknya disifatkan sebagai satu sistem.

    Beliau menegaskan, usaha itu bukan sesuatu yang mudah memandangkan amalan rasuah atau kleptokrat tersebut sudah menjalar di semua peringkat pentadbiran kerajaan.

    Menurutnya, kejayaan menghapuskan amalan rasuah itu mampu meningkatkan hasil negara seterusnya membolehkan kerajaan mengagihkan semula hasil kepada rakyat.

    “Negara kita bukan lagi terkenal kerana kepelbagaian kaum atau prestasi ekonomi yang baik, tapi kerana skandal 1MDB.

    “Saya buka fail (kerajaan) dalam beberapa keputusan setahun dua ini dan penuh dengan kecurangan, nafsu serakah pemimpin.

    “Saya tidak peduli sama ada dia Cina atau Melayu atau daripada parti mana, saya beritahu SPRM supaya bertindak secara profesional dengan data dan fakta yang betul.

    “Sekiranya ada kes, Peguam Negara ambil tindakan pendakwaan supaya menjadi pengajaran,” katanya semasa berucap pada majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri Pulau Pinang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, hari ini.

    Dalam satu lagi majlis berasingan, Anwar berkata, Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang seterusnya memastikan hasrat untuk meningkatkan pemilikan hartanah Bumiputera di negeri itu dapat dicapai.

    Beliau berkata, sebagai permulaan, dana secara pinjaman mudah itu akan digunakan untuk membangunkan projek perumahan di atas tanah wakaf di Permatang Pauh.

    Menurut beliau, pembangunan tanah wakaf itu akan dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang yang mana kini di bawah pimpinan Pengerusi baharu, Tan Sri Khalid Ramli.

    “Di Pulau Pinang ada tanah wakaf yang berusia puluhan dan ratusan tahun tetapi terbiar, tidak dibangunkan atau tidak digunakan ikut saluran yang betul.

    “Ada sesetengahnya terletak di kawasan yang strategik, jadi kita boleh bangunkan untuk kepentingan masyarakat Melayu di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang yang pertama 2023 di Permatang Pauh.

  • NGO serah memorandum tuntut pengeluaran kecemasan KWSP

    NGO serah memorandum tuntut pengeluaran kecemasan KWSP

    BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum dan petisyen bagi membantah Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Dalam memorandum tersebut turut menuntut agar pengeluaran kecemasan KWSP 2.0 secara bersasar diluluskan dengan segera.

    NGO terlibat ialah Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Global Human Rights Federation (GHRF).

    Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir berkata, keputusan kerajaan menawarkan FSA2 dilihat sama sekali tidak membantu pencarum yang terkesan sebaliknya membebankan dengan penambahan hutang sedia ada.

    “Malah, memberi peluang kepada pencarum yang tidak terkesan dan mempunyai pendapatan stabil untuk mengambil kesempatan menggunakan FSA2 ini.

    “Bersama-sama PGIRM, PPIM dan GHRF hari ini ialah pencarum-pencarum yang datang dari setiap pelosok negara.

    “Walau dalam kesempitan, mereka datang untuk bersolidariti menunjukkan bantahan dan menuntut pengeluaran wang KWSP mereka diluluskan dengan segera,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyerahkan memorandum di Menara KWSP, Kwasa Damansara pada Jumaat.

    Dianggarkan seramai 50 orang pencarum yang turut berkumpul di pekarangan luar Menara KWSP bagi menyatakan bantahan FSA2 dan menuntut pengeluaran kecemasan KWSP 2.0 secara bersasar diluluskan dengan segera.

    Mengulas lanjut Azmi berkata, kebanyakan pencarum yang terkesan dan terdesak memerlukan suntikan wang tunai itu adalah mereka yang sudah muflis atau disenarai hitam dalam senarai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), CTOS serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

    “Adakah golongan pencarum ini layak membuat pinjaman kepada pihak bank danmenggunakan FSA2 yang ditawarkan?

    “Telah diperincikan juga, syarat FSA2 ialah mempunyai baki minimum RM 3,000 di dalam Akaun 2.

    “Ini juga salah satu faktor FSA2 tidak membantu golongan terkesan kerana majoriti golongan pencarum terkesan ini sudah tidak mempunyai baki atau baki yang sangat kecil setelah melalui beberapa siri,” menurutnya.

    Sementara itu Azmi menegaskan, pengeluaran KWSP secara bersasar merupakan penyelesaian jangka pendek, panjang dan efektif dalam memberikan suntikan tunai segera kepada golongan pencarum terkesan tanpa perlu menambah lagi bebanan hutang dan komitmen yang baru.

    “Untuk pelan jangka panjang, pihak kerajaan boleh membantu dan memastikan bahawa baki di dalam akaun pencarum yang membuat pengeluaran ini akan bertambah dengan mewujudkan program pemulihan seperti menyediakan peluang pekerjaan tanpa had umur dan tahap kesihatan serta menyelaraskan pendapatan per kapita yang selari dengan sara hidup.

    “PGIRM, PPIM dan GHRE tidak dapat melihat apakah alternatif lain yang boleh ditawarkan kerajaan menjadi langkah penyelesaian segera dan efektif ke atas pelbagai masalah rakyat khasnya pencarum yang semakin meruncing.

    “Belum lagi mengambil kira rakyat yang keciciran dalam menerima bantuan kerana maklumat yang tidak dikemas kini,” tambahnya.

  • Rogol anak tiri: Lelaki berdepan hukuman penjara maksimum 830 tahun

    Rogol anak tiri: Lelaki berdepan hukuman penjara maksimum 830 tahun

    SEORANG lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas 32 pertuduhan merogol, melakukan amang seksual dan menggunakan objek bagi tujuan seksual terhadap anak tirinya sejak tiga tahun lalu.

    Memetik laporan Sinar Harian, tertudug berusia 36 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu fakta lengkap hukuman.

    Tertuduh yang berdepan hukuman sebatan serta penjara maksimum 830 tahun bagi kesemua pertuduhan tidak dibenarkan diikat jamin bagi tujuan melindungi mangsa dan memastikan kehadirannnya di MAHKAMAH.

    Dalam kedua-dua prosiding, tertuduh yang bekerja sebagai pengajar kelas renang mengaku bersalah atas semua 32 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

    Tertuduh turut mengaku salah melakukan 12 perbuatan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan lapan pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek di bawah Seksyen 377 CA KK.

    Semua kesalahan itu didakwa dilakukan terhadap seorang remaja perempuan yang kini berusia 16 tahun antara Januari 2020 hingga 14 Mac 2023 lalu di sebuah rumah di sini.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nazrin Ali Rahim dan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari.

    Sepanjang prosiding, tertuduh yang berambut panjang hanya tunduk dan mengaku bersalah bagi semua pertuduhan serta tidak mengemukakan sebarang rayuan hukuman ringan.

    Dalam pada itu Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan manakala Seksyen 376 (2) pula penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun berserta sebatan.

    Bagi Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 pula boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.

    Bagi setiap kesalahan melakukan seks menggunakan objek pula mengikut Seksyen 377CA Kanun KK boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

    Sinar Harian pada 9 April lalu menyiarkan sepasang suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan.

    Pasangan itu ditahan polis setiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 kira-kira jam 9.30 malam Sabtu lalu.

    Penahanan dibuat selepas mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang membuat laporan menjadi mangsa rogol bapa tirinya itu.

    Ibu mangsa yang merupakan isteri suspek turut ditahan kerana dipercayai mengetahui perbuatan suaminya.

  • Kerajaan berisiko diambil alih bangsa lain, kata Hadi

    Kerajaan berisiko diambil alih bangsa lain, kata Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, orang Melayu yang meninggalkan kewajipan berpolitik berisiko untuk diambil alih kerajaannya oleh bangsa lain yang menganut Islam atau tenggelam tanpa Islamnya.

    Menurut beliau, ia sebagaimana kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang berpunca daripada semangat fanatik mazhab dan fanatik perkauman sehingga meninggalkan politik Islam dan mengakibatkan kuasa besarnya hilang.

    “Melayu Islam berhak menjadi pemimpin kerajaan yang berdaulat memimpin negara dengan syarat mendapat kuasa bersama Islam.

    “Kedudukan yang mewajibkan mereka berpolitik memerintah negara dan memimpin masyarakat majmuk berpandukan Islam yang adil kepada semua,” katanya menerusi catatan Minda Presiden Pas di Facebook, hari ini.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, Melayu menganggap dirinya tidak berpisah bangsanya daripada Islam sehingga masyarakat umum Melayu menegaskan bahawa bangsa bukan Melayu yang menganut Islam adalah bangsa Melayu juga.

    “Sesiapa yang tidak menganut Islam dikira bukan Melayu. Hal ini bukanlah fanatik perkauman, tetapi hanyalah fanatik Islamnya.

    “Melayu Islam pula mestilah sedar bahawa Allah SWT menggabungkan hubungan antara politik memilih dan mengikut pemimpin dalam firman-NYA bersama ketetapan hisab amal pada hari kiamat nanti. Perkara ini menunjukkan bahawa politik wajib bersama Islam,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Sementara itu Abdul Hadi menegaskan, nafsu kebendaan juga menjadi punca kejatuhan kerajaan Islam terdahulu.

    “Nafsu kebendaan menjadi sebab kemusnahan kaum terdahulu, seperti yang berlaku terhadap kaum Nuh, ‘Aad, Thamud, Firaun dan lain-lain yang telah disebutkan namanya oleh al-Quran.

    “Kejatuhan Islam di Andalus yang telah bertapak selama lapan abad lamanya dan kemusnahan Baghdad yang bertamadun oleh bala tentera Tatar, semuanya kerana nafsu harta yang melekakan, takhta membina mahligai bersama harta dan wanita,” tambahnya.

  • ‘Kerajaan tidak pernah pinggir negeri pembangkang’ – PM

    ‘Kerajaan tidak pernah pinggir negeri pembangkang’ – PM

    KERAJAAN tidak pernah bersikap zalim dan meminggirkan mana-mana negeri yang diterajui oleh pembangkang ketika ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Perdana Menteri bagaimanapun berkata, beliau sentiasa berusaha membina hubungan yang baik dengan semua pihak dalam memastikan agar kebajikan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negara terbela.

    Menurut beliau, perkara itu dibuktikan apabila negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang dikuasai oleh Perikatan Nasional (PN) ditambah peruntukannya dan bukannya dikurangkan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

    “Semalam, Menteri Besar Kelantan ada bincang dengan kita (kerajaan) (bagaimana) nak tambah projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bagi mengatasi banjir di Sungai Golok.

    “Kita (setuju untuk) tambah kerana masalah banjir di sana lebih berat jika hendak dibandingkan dengan Permatang Pauh (sebagai contoh),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi di Kubang Semang, Bukit Mertajam hari ini.

    Anwar dalam pada itu berkata, esok beliau akan ke Terengganu pula dan Menteri Besar negeri itu turut mengusulkan agar beliau mengadakan perjumpaan bersama pegawai-pegawai kerajaan Persekutuan dan negeri pada masa yang sama.

    Ketika ini katanya, kerajaan Persekutuan dan negeri perlu ‘mempertajamkan’ persaudaraan dengan tidak menjadikan perbezaan politik sebagai jurang pemisah agar kehidupan rakyat lebih terjaga dan terbela.

    “Masa PRN (Pilihan Raya Negeri) nanti, (nak lawan) lawanlah,” katanya yang memberitahu bahawa prinsip yang diterapkannya itu adalah berkonsepkan madani iaitu semangat kemanusiaan yang berteraskan nilai dan sebagainya.

  • Saya bangkitkan isu Kg Baru Cina kerana ‘tujuan keselamatan’, kata Ismail

    Saya bangkitkan isu Kg Baru Cina kerana ‘tujuan keselamatan’, kata Ismail

    AHLI Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib menyangkal dakwaan bahawa soalan yang dibangkitkannya pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini berbaur perkauman dan menghasut.

    Ia susulan soalan dibangkitkan ahli parlimen Pas itu tentang mengapa kampung baru masih dikekalkan dan sama ada komunisme masih wujud di kawasan tersebut atau tidak.

    Memetik laporan Malaysiakini, Ismail sebaliknya menegaskan soalan yang dibangkitkan itu adalah berdasarkan pemerhatiannya dan untuk tujuan keselamatan.

    “Saya tahu sejarahnya. Sebagai contoh, di Kampung Baru. memanglah penempatan di situ untuk (mengawal) penduduk yang dipengaruhi oleh komunis.

    “Jadi saya tidak mahu tanggapan bahawa masih ada komunis di kampung-kampung ini berlarutan,” katanya kepada Malaysiakini.

    Mengulas lanjut Ismail menjelaskan, apatah lagi penduduk kampung baru mesti berasimilasi (bergaul) dengan masyarakat sekeliling.

    Sebab itu, katanya beliau mencadangkan agar pengendalian kampung-kampung baru digerakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara supaya penduduk dapat bercampur dengan lebih baik dengan masyarakat lain.

    Kerajaan menubuhkan kampung baru semasa pemberontakan komunis untuk melindungi masyarakat Cina daripada ancaman mereka.

    Berdasarkan pemerhatiannya, Ismail mendakwa penduduk kampung baru cenderung bersifat mono-etnik dengan sebilangan penduduk kampung Cina tidak dapat menguasai bahasa Melayu.

    “Sedangkan di kampung lain, misalnya di Felda, ada juga orang Cina walaupun ia khusus untuk orang Melayu,” katanya.

    Malaysiakini sebelum ini melaporkan Ismail bertanyakan soalan pelik kepada menteri dalam negeri tentang mengapa kampung baru masih dikekalkan dan jika komunisme masih wujud di kawasan tersebut, pada soalan bertulis parlimen bertarikh 15 Feb 2023.

    Ismail juga mempersoalkan apakah kerajaan bercadang untuk menyatukan semua kampung baru di bawah kementerian yang sama.

    Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menjawab bahawa kampung-kampung baru telah ditubuhkan pada zaman darurat untuk menangani ancaman pemberontak komunis.

    Jelas Saifuddin, idea di sebalik rancangan ini untuk memindahkan penduduk kampung Cina di penempatan terpencil yang berselerak di pinggir hutan ke kampung baru bagi mengelakkan komunis mengancam atau menerima bantuan logistik atau maklumat daripada penduduk.

    Selain soalan itu, Ismail juga meminta kerajaan menyatakan apakah rasional untuk “mengiktiraf” rakyat yang dilahirkan selepas merdeka di Malaysia tanpa mengira “warna kulit”.

    Dalam soalan berasingan yang dikemukakan Ismail di Dewan Rakyat, ahli parlimen Pas itu turut bertanya mengapa “sebuah kerajaan negeri” mengeluarkan arahan kepada semua masjid di negeri itu untuk merendahkan pembesar suara azan.

    Kenyataan Ismail itu mengundang kritikan daripada ahli parlimen lain termasuk pemimpin DAP, P Ramasamy yang berkata pemimpin PAS itu boleh didakwa di bawah Akta Hasutan atas soalan bertulis parlimen yang dilontarkannya itu.

  • FSA2: Gagal bayar pinjaman boleh disenaraihitam – Ahmad Maslan

    FSA2: Gagal bayar pinjaman boleh disenaraihitam – Ahmad Maslan

    PEMINJAM Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang gagal membayar balik pinjaman mereka mengikut tempoh ditetapkan berdepan risiko disenaraihitamkan.

    Timbalan menteri kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, nama peminjam juga akan disenaraikan dalam sistem CCRIS dan CTOS, lapor The Edge.

    “Bagaimanapun, dalam tempoh senarai hitam, bank tidak boleh mengambil wang peminjam dalam Akaun 2 KWSP sehingga mereka mencapai umur 50 tahun, kerana kemudahan ini bukannya cagaran,” katanya.

    Sehingga 12 Apr, sejumlah 59,230 ahli KWSP memohon program itu sejak ia dibuka pada 7 Apr, tetapi hanya 27,705 layak.

    FSA2 ialah kemudahan bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan. Setakat ini, dua bank mengambil bahagian dalam FSA2, MBSB dan Bank Simpanan Nasional.

    FSA2 melibatkan jumlah pembiayaan maksimum RM50,000 (tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP) serta tempoh pembayaran balik hingga 10 tahun.

    Antara syarat ditetapkan ialah pemohon mesti mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP.

    Fasa pertama program itu dibuka untuk ahli yang berumur 40 tahun dan ke atas, manakala dasa kedua kumpulan umur 40 tahun ke bawah akan diumumkan kemudian.

    Ahmad menambah, peminjam perlu membayar ansuran bulanan dengan kadar faedah tahunan 4.5%.

  • Lelaki disyaki bakar 13 motosikal dekat Suria KLCC ditahan

    Lelaki disyaki bakar 13 motosikal dekat Suria KLCC ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki berusia 34 tahun bagi membantu siasatan susulan kebakaran 13 motosikal dan empat skuter elektrik di kawasan parkir terbuka berdekatan pusat beli-belah Suria KLCC semalam.

    Menurut Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, lelaki tempatan itu juga akan direman selama enam hari bermula hari ini hingga 19 April.

    “Polis juga merampas sebuah motosikal jenis Honda RS, serangkai kunci motosikal, satu topi keledar, sehelai baju, seluar, sepasang sarung lengan, satu beg, satu jam tangan dan pemetik api.

    “Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan. Setakat ini, polis menerima 10 laporan daripada pihak terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

  • Trak Mack keluarga Diraja Johor kemalangan di PLUS

    Trak Mack keluarga Diraja Johor kemalangan di PLUS

    TRAK Mack milik keluarga Diraja Johor terlibat kemalangan dengan dua lagi kenderaan selepas tayarnya meletup di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) semalam.

    Menurut Ketua Polis Kulai, Tok Beng Yeow, pihaknya menerima laporan kemalangan jalan raya di KM18.8 di PLUS pada 6.50 petang semalam, lapor Oriental Daily.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar trak yang dalam perjalanan dari arah utara menghala ke selatan pecah secara tiba-tiba,” katanya.

    Difahamkan, trak itu hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan dua lagi kenderaan.

    Bagaimanapun katanya, tiada kecederaan dialami pemandu lori berusia 39 tahun dan semua mangsa yang terlibat.

    Katanya, kes diklasifikasikan bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

    Terdahulu, tular sekeping gambar dan video berdurasi 23 saat di Twitter memaparkan sebuah lori dipercayai milik keluarga diraja terbabas dan memasuki laluan bertentangan di Lebuhraya PLUS, semalam.

    Pada 2016, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memandu trak Mack itu ketika Kembara Mahkota Johor.

    Sebelum itu media Australia melaporkan, trak berkenaan yang ditempah khas di Queensland pada 2015, adalah yang paling mahal di dunia.

  • Dakwaan PN mahu tukar ketua pembangkang tak betul, kata Tuan Ibrahim

    Dakwaan PN mahu tukar ketua pembangkang tak betul, kata Tuan Ibrahim

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan laporan sebuah portal kononnya Perikatan Nasional (PN) akan menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang gabungan itu di Dewan Rakyat.

    “Tak betul,” kata ahli Majlis Tertinggi PN itu ringkas dalam mesej WhatsApp kepada Free Malaysia Today, merujuk laporan Malaysia Gazette bahawa Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor disebut-sebut sebagai pengganti Hamzah.

    Terdahulu, portal itu melaporkan PN dijangka membuat penggantian itu atas kegagalan Hamzah memainkan peranannya sebagai ketua pembangkang yang aktif sepanjang sidang Dewan Rakyat dari 3 Feb hingga 4 April lalu.

    Dalam pada itu, Khlir berkata, sebagai ketua pembangkang, Hamzah perlu hadir ke Dewan Rakyat untuk berdepan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bagi membahaskan isu rakyat.

    “Kita nak bahas. ‘By right’ ketua pembangkang (kena ada), tapi kebanyakan masa perdana menteri ada, ketua pembangkang tiada,” katanya yang mengakui tidak tahu khabar angin dirinya disebut-sebut sebagai pengganti Hamzah.

    Beliau berkata, ketiadaan Hamzah di Dewan Rakyat kerana menjalani rawatan sakit mata.

    “Hamzah mata dia sakit sebab itu dia tak masuk dewan banyak kali, sebab dia tak sihat…dia bukan sengaja tak nak datang. Saya ingat dah dua kali pembedahan mata.”

    Khlir tidak menolak kemungkinan namanya disebut-sebut disebabkan pengalamannya, selain beliau terkenal dengan jolokan “kaki balun orang” di Dewan Rakyat.

    “Mungkin mereka dah kaji perkara ini. Pasal apa? Saya sudah 40 tahun dalam (Angkatan Tentera bahagian) perisikan, saya pencen mejar jeneral, jadi dia tengok pengalaman saya banyak, itulah mungkin nama saya terselit. Agak-agak saja, tapi tak ada orang pun cakap dengan saya.

    “Dia tengok saya selalu pergi seminar, ke luar negara, sebab saya ketua perisikan, agaknya dia tengok sesuai nak berbahas, tapi saya baru sertai parti politik, saya sudah lama berada dalam perkhidmatan awam.”

    Ditanya jika ada keperluan untuk melantik ketua pembangkang baharu, Khlir berkata, Hamzah masih sesuai memegang jawatan itu berdasarkan pengalamannya.

    “Hamzah bagus, dia sesuai jadi ketua pembangkang, dia orang lama. Lagipun, dia ada latar belakang perundangan,” katanya.