Author: Wartawan WartaRakyat

  • Saifuddin nafi kaitan dengan individu ditahan hina institusi diraja

    Saifuddin nafi kaitan dengan individu ditahan hina institusi diraja

    AHLI Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menafikan dakwaan beliau memberikan bantuan kewangan kepada individu yang ditahan pihak berkuasa berkait hantaran menghina institusi diraja.

    Beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkannya dengan individu terbabit.

    “Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan saya memberi sokongan kewangan kepada individu-individu yang bernama Roslizal Razali atau Dato Arshad tersebut.

    “Saya tidak ada apa-apa kaitan dengan apa yang dilaporkan telah dilakukan oleh mereka berdua,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook miliknya, lapor FMT.

    Saifuddin berkata, beliau dinasihatkan oleh peguam untuk membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebar fitnah dan fakta tidak sahih berkenaan isu berkenaan, bertujuan menjejaskannya.

    Pada 12 April, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun bagi membantu siasatan berkait hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi diraja.

    Kesalahan itu dipercayai dibuat menggunakan akaun Facebook ‘Raja Hairun’.

    Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • Dua wanita separa sedar diselamatkan bomba dalam kebakaran

    Dua wanita separa sedar diselamatkan bomba dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA wanita yang terperangkap dalam kebakaran di tiga buah rumah di Jalan Tembikai, Jalan Kota Masai, Pasir Gudang, pada pagi tadi diselamatkan bomba dalam keadaan separuh sedar.

    Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.37 pagi.

    Komander Operasi dari BBP Pasir Gudang, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata, berikut itu seramai 21 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu utiliti dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres jenis kekal. Dalam kejadian tersebut terdapat dua mangsa telah dikeluarkan dan diberikan rawatan awal oleh anggota bomba.

    “Kedua-dua mangsa, Azian Zainalabidin, 20, dan Murni Atikah Zainalabin, 25, didapati separa sedar sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru dengan menaiki jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, selain itu tiga buah kereta jenis Toyota Yaris, Toyota Avanza dan Proton Saga terbakar 80 peratus serta tiga buah motosikal terbakar 95 peratus.

    Kebakaran tersebut katanya, mengkibatkan kemusnahan rumah pertama sebanyak 20 peratus, rumah kedua 90 peratus dan rumah ketiga, 40 peratus.

    Menurut Sarhan Akmal, operasi berkenaan tamat pada pukul 6.22 pagi.

    “Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih
    dalam siasatan,” katanya lagi.

  • Sayap Bersekutu Bersatu gesa Sivakumar bercuti

    Sayap Bersekutu Bersatu gesa Sivakumar bercuti

    SAYAP Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa V. Sivakumar supaya bercuti daripada menggalas tugas sebagai menteri sumber manusia sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan rasuah bernilai RM97 juta yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    Ketua Penerangan Sayap tersebut, S. Subramaniam berkata, tindakan itu wajar memandangkan dua pegawai kanan yang ditahan oleh SPRM bekerja untuk menteri terbabit.

    “Laporan media mengatakan setiausaha sulit dan pegawai tugas-tugas khas menteri telah ditahan oleh SPRM. Kedua-dua suspek ini dilantik oleh menteri selepas beliau menjadi menteri.

    “Maka, beliau wajar bercuti sehingga SPRM menyelesaikan siasatan ini. Mungkin ada konflik kepentingan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

    Selain pegawai kanan menteri, SPRM telah menahan tiga suspek setakat semalam termasuk seorang ahli perniagaan dari Ipoh bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan penggajian pekerja asing.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan penahanan itu.

    Difahamkan siasatan SPRM tertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

    Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah sebelum ini berkata, beliau tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut kerana kes berkenaan sedang disiasat pihak berkuasa.

    Katanya, beliau dan Kementerian Sumber Manusia akan memberi kerjasama penuh kepada agensi siasatan sekiranya diperlukan.

    Sementara itu, Subramaniam meminta pendirian DAP mengenai kes tersebut.

    “Saya masih ingat, pada 2017, DAP mendesak menteri sumber manusia ketika itu Datuk Richard Riot untuk bercuti berkaitan siasatan SPRM terhadap dakwaan penyelewengan dana RM40 juta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) melibatkan setiausaha politik menteri.

    “Maka, sekarang kita nak lihat apakah pendirian DAP pada kali ini,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Mereka tidak akan berhenti kenakan saya, kata Hamzah

    Mereka tidak akan berhenti kenakan saya, kata Hamzah

    KETUA Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa ada pihak tertentu dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak akan berhenti berusaha ‘mengenakan’ beliau untuk diheret ke mahkamah.

    Menurut Ahli Parlimen Larut itu, ini sebagaimana dialami pemimpin Perikatan Nasional (PN) lain dan anaknya sendiri.

    Bercakap kepada Sinar Harian, Setiausaha Agung PN itu berkata, beliau mungkin bukan pemimpin seterusnya dalam PN selepas Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berdepan beberapa pertuduhan di mahkamah setakat ini.

    “Saya menyedari kelompok tertentu itu sedang sibuk ‘menggunakan’ agensi kerajaan untuk menyelongkar sekiranya ada kesalahan saya sewaktu berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan bagi dijadikan sebagai modal ‘membunuh karakter’ politik saya,” katanya.

    Pada 5 April lalu, anak bekas Hamzah didakwa di Mahkamah Sesyen di Seremban atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan, tahun lalu.

    Tertuduh Muhammad Faisal Hamzah, 39, yang ketika kejadian merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazni Nawi.

  • Guru besar maut angkara pemandu positif dadah

    Guru besar maut angkara pemandu positif dadah

    GURU Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bali maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai dirempuh oleh sebuah kereta dalam kejadian di kilometer 12 Jalan Pasir Puteh – Machang-Grik di Pasir Puteh, pukul 4.30 petang semalam.

    Mangsa, Wan Ab. Hisham Wan Noh, 55, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan di kepala.

    Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian seorang pemandu wanita berusia 20 tahun dalam perjalanan dari arah Machang menghala ke Pasir Puteh.

    “Setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 39 tahun yang berada di belakangnya telah hilang kawalan lalu melanggar kereta wanita terbabit di bahagian sisi kiri.

    “Akibat pelanggaran itu, menyebabkan kereta dipandu wanita berkenaan hilang kawalan dan telah memasuki laluan bertentangan serta merempuh motosikal yang ditunggang oleh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, dipercayai wanita terbabit tidak sempat mengelak sehingga menyebabkan mereka bertembung.

    “Tangkapan telah dibuat terhadap lelaki berkenaan yang merupakan pemandu lori bagi melakukan siasatan lanjut,” ujar beliau.

    Zaizul Rizal memberitahu, hasil pemeriksaan air kencing terhadapnya mendapati dia positif methampetamine, lapor Sinar Harian.

  • Universiti ancam saman pelajar berhubung kenyataan ‘gangguan pilihan raya kampus’

    Universiti ancam saman pelajar berhubung kenyataan ‘gangguan pilihan raya kampus’

    SEBUAH universiti swasta mengugut sekumpulan penuntutnya dengan tindakan undang-undang susulan kenyataan yang dibuat pada sidang media berhubung pilihan raya kampus.

    Melalui satu surat dalaman yang diedarkan minggu ini, universiti itu menjelaskan bahawa penuntut yang membuat kenyataan berunsur fitnah mengenai pengurusan akan dikenakan tindakan tatatertib.

    Universiti itu memaklumkan, mereka juga berhak untuk mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Fitnah terhadap pelajar yang membuat kenyataan sedemikian.

    Seorang bekas presiden majlis perwakilan pelajar mendakwa universiti berkenaan cuba untuk menakutkan-nakutkan penuntutnya.

    “Ini kali pertama universiti mengugut untuk menyaman pelajar atas kenyataan yang kononnya berunsur fitnah.

    “Sebelum ini, pemimpin pelajar tidak mempunyai masalah untuk membuat kenyataan akhbar,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Beliau berkata, surat itu dikeluarkan kepada kakitangan dan pelajar selepas beberapa calon daripada sekumpulan pelajar mengadakan sidang media pada 12 April lalu mengutuk campur tangan universiti dalam pilihan raya.

    Bekas pelajar itu mendakwa, pihak pengurusan juga ada menghantar pengawal keselamatan untuk menghalang calon daripada memasuki universiti atas ‘arahan daripada pihak atasan.’

    Beliau berkata, pihak pengurusan telah berjanji pada awal Februari untuk memperkasakan pelajar mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap pilihan raya kampus.

    “Jawatankuasa pilihan raya kampus ditubuhkan bulan ini, namun pada Isnin lalu, pihak pengurusan membelakangkan jawatankuasa dan calon hilang kelayakan secara unilateral,” katanya.

    Pada hari berikutnya, jawatankuasa mengumumkan penangguhan pemilihan kerana campur tangan universiti.

    Bekas mahasiswa itu berkata, pelajar akan terus menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap universiti melalui media sosial walaupun amaran sudah diberikan.

    Jawatankuasa kampus telah menulis surat kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung perkara itu.

    FMT telah menghubungi pihak universiti untuk mendapatkan penjelasan.

  • Anwar tidak anjur rumah terbuka, mahu ke Kedah lokasi pertama

    Anwar tidak anjur rumah terbuka, mahu ke Kedah lokasi pertama

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menganjurkan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada tahun ini seperti kebiasaan.

    Beliau sebaliknya akan menghadiri rumah terbuka yang dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri di negeri-negeri.

    Anwar berkata, beliau akan berkunjung ke Alor Setar, pada 29 April ini sebagai negeri pertama Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri.

    “Perdana Menteri tidak akan adakan majlis Aidilfitri di Seri Perdana, tetapi setelah difikirkan lebih baik kita turun ke bawah iaitu dari negeri ke negeri sama ada anjuran Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

    “Kita ada minat sikit dengan Alor Setar kerana saya diberitahu makanan di Alor Setar jauh lebih lazat daripada tempat lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK) Sungai Petani, hari ini.

  • Kes dadah diseludup ke Australia mengaibkan negara – PM

    Kes dadah diseludup ke Australia mengaibkan negara – PM

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kes penyeludupan dadah yang dilaporkan dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia mengaibkan negara.

    Justeru, beliau memberi tempoh dua minggu kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk memberi laporan lengkap berkaitan rampasan tersebut.

    Beliau berkata, laporan bagaimana perkara itu boleh berlaku perlu dihantar kepadanya dalam tempoh tersebut, selain meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu melakukan siasatan berkaitan.

    “Saya baca baru-baru ini tentang bagaimana penyeludupan besar dadah ke Australia yang mengaibkan kalau dibuktikan sah kerana penyeludupan besar-besaran itu dari Pelabuhan Klang.

    “Soalnya bagaimana dalam sistem yang canggih sekarang boleh bolos begitu besar jumlah penyeludupan dadah dari Pelabuhan Klang.

    “Saya sudah minta pihak kastam yang bertanggungjawab beri laporan penuh tentang punca, apa yang berlaku, bagaimana sudah 12 hingga 16 kali hal demikian berlaku sehingga ditangkap di Australia,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK) di Sungai Petani, hari ini.

    Isnin lalu, PDRM mengesahkan pihak berkuasa Australia berjaya merampas dadah heroin seberat 336 kilogram yang dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.

    Dadah terbabit dianggarkan bernilai RM789.56 juta yang ditemukan ditanam dalam dua blok konkrit dalam kontena terbabit. Kontena itu didaftarkan membawa perkakas solat dialamatkan di sebuah pusat industri di Brendale, utara Brisbane.

    Menurut Perdana Menteri, penyeludupan yang berlaku itu bukan perkara kecil kerana ianya menunjukkan kelemahan negara yang mesti diatasi untuk memastikan aktiviti penyeludupan dapat dihalang.

    “Bukan soal ratusan juta orang tetapi ia menunjukkan kelemahan sistem kita dalam keadaan kita membicarakan soal tata kelola, pengurusan kerajaan baik, menentang rasuah dan salah guna kuasa tetapi hal ini masih berlaku,” katanya.

    Oleh yang demikian kata Anwar, semua pihak tidak seharusnya bertolak ansur dalam hal itu dan perlu mengambil tindakan lebih keras terhadap penjenayah-penjenayah terlibat.

  • ‘Rakyat mahu tahu kenapa ada usaha lengahkan kes Zahid’, kata Wan Fayhsal

    ‘Rakyat mahu tahu kenapa ada usaha lengahkan kes Zahid’, kata Wan Fayhsal

    KETUA Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, satu laporan polis mengenai apa yang didakwa sebagai konspirasi melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pendakwa Raya bagi melepaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada dakwaan di mahkamah, telah dibuat.

    Menurut Ahli Parlimen Machang itu, laporan berkenaan dibuat oleh pemimpin sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Armada Bersatu dengan hasrat memastikan sistem perundangan di negara ini kekal menyakinkan dan tidak ada campur tangan mana-mana pihak.

    Tegas beliau, perkara itu amat penting untuk ditangani dengan serius untuk memastikan keadilan tidak disongsang sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak.

    Wan Ahmad Fayhsal menjelaskan pihaknya berpendapat terdapat konspirasi politik melibatkan pemimpin negara dalam usaha melengahkan kes yang mempunyai prima facie.

    Beliau turut mendakwa pihak Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut terlibat dalam apa yang disifatkan sebagai kepincangan sistem perundangan negara.

    “Kita nak tahu kenapa SPRM, nak buat semakan semula, membantu melengahkan kes ini walaupun dah ada prima facie.

    “Sedangkan kes boleh berjalan untuk pihak tertuduh iaitu Timbalan Perdana Menteri mempertahankan atau membela diri dengan adil menggunakan saluran yang ada.

    “Kenapa perlu ada semakan semula? Nak tangguh lagi? Ini perkara yang dibangkitkan oleh orang awam. apa jadi kepada sistem kehakiman kita,” katanya selepas membuat laporan polis tersebut, lapor Astro AWANI.

    Pada masa sama, Wan Ahmad Fayhsal juga mengajak pimpinan Pakatan Harapan untuk bersama menyatakan bantahan terhadap apa yang berlaku ketika ini.

    “Saya nak tanya rakan-rakan saya dalam Pakatan Harapan, where are you in this matter? Kenapa kamu berdiam diri untuk bersuara berkenaan dengan perkara ini?

    “Ini satu perkara yang amat membimbangkan kerana prinsip perjuangan Pakatan Harapan juga sama dengan kami mendaulatkan undang-undang negara, mempertahankan negara daripada dizalimi oleh kleptokrasi,” katanya lagi.

    Wan Ahmad Fahysal berharap pihak Peguam Negara dan SPRM segera memperbetulkan perkara ini agar tidak terpalit dengan usaha yang dianggap tidak bermoral itu.

  • SPRM bebas siasat kes pegawai Sivakumar, kata Anwar

    SPRM bebas siasat kes pegawai Sivakumar, kata Anwar

    SURUHANJAYA Pencegahan Rakyat Malaysia (SPRM) diberi kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat kes rasuah melibatkan pegawai kanan kepada Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan itu merupakan keputusan SPRM yang mana selari dengan arahan beliau sebelum ini supaya badan berkuasa berkenaan bertindak sekiranya ada asas terhadap mana-mana pihak dan sesiapa sahaja.

    Beliau bagaimanapun meminta semua pihak tidak membuat penilaian sendiri berhubung siasatan SPRM terhadap pegawai kanan menteri berkenaan.

    “Jangan kita mendahului dari segi menjangkakan apa-apa yang lain, kerana saya tidak ada apa-apa maklumat selain daripada dimaklumkan tentang penahanan, kalau tidak silap, tiga pegawai di kementerian berkenaan,” katanya, hari ini.

    Difahamkan setakat ini, seramai dua individu yang juga pegawai kanan Sivakumar ditahan SPRM berhubung siasatan kes itu sejak semalam.

    Menurut laporan media, penahanan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan suspek menubuhkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan kementerian berkenaan walaupun terdapat konflik kepentingan.