Author: Wartawan WartaRakyat

  • Penerbangan sehala KL-Tawau RM3,138, syarikat penerbangan dirayu tolong rakyat

    Penerbangan sehala KL-Tawau RM3,138, syarikat penerbangan dirayu tolong rakyat

    BEKAS menteri pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kecewa apabila harga tiket penerbangan untuk kelas ekonomi menjelang musim Hari Raya Aidilfitri ini melambung mencecah lebih RM3,000 sehala.

    Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, hasil semakannya mendapati harga tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 20 April ini bagi kelas ekonomi menjangkau RM3,138.

    Tegasnya, harga tiket penerbangan yang mahal itu amat mengejutkan sekali gus mengecewakan orang ramai khususnya pengguna pengangkutan awam.

    “Macam mana keluarga B40 dan M40 khususnya warga Tawau di perantauan nak beraya tahun ini? Pada masa ini bukan waktu berlakunya pandemik COVID-19!

    “Sektor penerbangan beransur pulih, kebanyakan pesawat tidak lagi didaratkan (grounded) seperti waktu pandemik,” katanya dalam ciapan di Twitter.

    Mengulas lanjut, Ka Siong menegaskan syarikat penerbangan tiada lagi alasan untuk tidak menambah frekuensi selagi ada kemampuan.

    Malah kata beliau, tiada lagi sekatan bebanan penumpang sebanyak 50 peratus semasa COVID-19 yang memberi justifikasi harga tambang penerbangan melonjak tinggi sebelum ini.

    Katanya, kekerapan penerbangan juga tidak lagi dikawal oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah atau Sarawak selain wujud syarikat penerbangan tambang murah baharu, MYAirline.

    “Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pun sudah meluluskan banyak penerbangan sama seperti zaman pra COVID-19. Dijangkakan jawapan standard kerajaan adalah “dasar kerajaan tidak mengawal tambang penerbangan kerana mekanisme harga dinamik.

    “Apa pun, tidak kira zaman siapa memerintah, acap kali Kementerian Pengangkutan menjawab sebegitu, rakyat sukar menerima jawapan standard terbabit. Kepada syarikat penerbangan, tolonglah rakyat,” katanya.

    Ka Siong berkata, beliau juga pernah dikritik teruk ketika menjawat jawatan Menteri Pengangkutan sebelum ini kerana harga penerbangan yang melambung tinggi.

    “Tahun lalu ketika pintu sempadan baru saja dibuka pada 1 April, tambang ketika itu melebihi RM1,000 kerana tak banyak pesawat boleh beroperasi, mereka perlu melalui proses MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) untuk tiga bulan sebelum dibenarkan beroperasi demi keselamatan.

    “Pada masa itu, saya selaku Menteri Pengangkutan serta kerajaan dikritik teruk. Saya berdepan situasi terbabit dengan sebaik mungkin. Sekarang, bukan lagi isu sekatan pergerakan akibat COVID-19 atau MRO, tapi harga tambang dari Kuala Lumpur ke Tawau bernilai RM3,138 seorang,” katanya.

    Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook sebelum ini berkata kerajaan tidak boleh menetapkan harga siling tiket penerbangan domestik pada musim perayaan kerana ia mungkin menjejaskan industri pengangkutan udara.

    Sebaliknya, beliau menggalakkan syarikat penerbangan untuk menambah kapasiti penerbangan terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

  • PRN: Pas Selangor tampilkan calon berintegriti, kompeten, bebas rasuah

    PRN: Pas Selangor tampilkan calon berintegriti, kompeten, bebas rasuah

    PAS Selangor komited untuk membariskan calon yang berintegiriti, kompeten dan bebas rasuah sebagai pilihan terbaik buat rakyat negeri berkenaan menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, ia selaras nasihat bijaksana Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menasihati rakyat agar memilih pemimpin yang amanah, bertanggungjawab dan tidak mengamalkan rasuah.

    “Pas Selangor memandang serius nasihat bijaksana Tuanku ini yang mencerminkan hasrat DYMM Tuanku agar rakyat tidak tersalah pilih dalam PRN kelak.

    “Justeru Pas Selangor memberi komitmen akan membariskan calon-calon yang berintegiriti, kompeten dan bebas rasuah sebagai pilihan terbaik buat rakyat Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr Ahmad Yunus yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, Pas Selangor juga berikrar akan mengamalkan budaya politik yang matang dan sejahtera sepanjang tempoh kempen PRN.

    Katanya, ini berdasarkan titah baginda yang mengingatkan semua pihak agar berhemah semasa berkempen dalam PRN nanti dan mematuhi segala undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

    “Demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menghormati proses demokrasi Pas Selangor berikrar akan sentiasa menumpahkan taat setia kepada Tuanku (Sultan Sharafuddin Idris Shah) dan mengamalkan budaya politik yang matang dan sejahtera sepanjang tempoh kempen PRN nanti dan menyeru agar pihak lain turut mematuhi peringatan Kebawah Duli Tuanku ini,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Dr Ahmad Yunus yang juga ADUN Sijangkang berkata, Pas Selangor menjunjung kasih di atas titah peringatan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyentuh isu penyatuan dan perpaduan ummah khusus dalam kalangan umat Melayu Islam di negeri itu, baru-baru ini.

    Katanya, Baginda dengan penuh prihatin telah menzahirkan kebimbangan akan perpecahan dalam kalangan orang-orang Melayu akibat perbezaan pendirian politik yang boleh mengakibatkan orang Melayu di negara ini akan terus lemah dan disatu hari nanti akan hilang kuasa memerintah, malah akan menjadi satu bangsa yang mundur dan terpinggir di tanah air sendiri.

    “Pas Selangor akur dan turut berkongsi kebimbangan Tuanku itu dengan menyeru orang-orang Melayu khasnya agar memberi sokongan ke atas usaha menyatupadukan ummah demi membina kekuatan politik umat Melayu dalam negara.

    “Dengan cara ini kuasa memerintah akan kekal di tangan mereka dan tidak jatuh ke pihak lain,” tambahnya.

  • Penjawat awam didakwa enam tuduhan rasuah

    Penjawat awam didakwa enam tuduhan rasuah

    SEORANG penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas enam pertuduhan menggunakan jawatannya sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N19 untuk mendapatkan suapan berjumlah RM13,480.20, tiga tahun lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, Nurul Syahirah Omar, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keenam-enam pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita yang bertugas di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Mersing itu didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dalam mengemukakan sebut harga Amir Barakah Enterprise berjumlah RM13,480.20 melalui dokumen Borang Kajian Pasaran yang mana tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

    Sebut harga terbabit adalah untuk melaksanakan pembekalan bagi alat ganti kenderaan, kelengkapan pejabat, pembaikan kenderaan jabatan, kelengkapan penyiaran dan perhubungan, kelengkapan elektrik dan elektronik serta pelaksanaan kerja penyelenggaraan kenderaan penumpang.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat JPS Mersing dekat Mersing, antara Ogos 2020 hingga November 2020.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

    Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

    Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor, memaklumkan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) akta berkenaan tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan RM30,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.

    Peguam Muhammad Faizzudin Abd Ra’fik yang mewakili tertuduh membantah dan memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah lebih rendah.

    “Tertuduh mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun dan turut menanggung ibu bapanya. Sebaik pertuduhan ini dihadapkan kepadanya, tertuduh digantung kerja.

    “Tertuduh juga sedang menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang memerlukan perbelanjaan yuran lebih RM15,000,” katanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan ke mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor Bahru.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Mei depan.

  • PRN: PH-BN atau PN kuasai naratif media sosial?

    PRN: PH-BN atau PN kuasai naratif media sosial?

    PENGANALISIS mendakwa kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat masih gagal menguasai naratif terutamanya di media sosial menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri beberapa bulan lagi.

    Biarpun menguasai media-media arus perdana, namun itu tidak bermakna kerajaan PH-BN mampu membentuk naratif politik tanpa dicabar oleh pembangkang.

    Memetik laporan MalaysiaNow, tinjauan di media sosial mendapati, kos sara hidup yang masih belum diselesaikan menjadi beban kepada kerajaan PH-BN apabila rata-rata orang ramai masih mengeluh mengenai kuasa beli mereka yang semakin berkurangan.

    Ini boleh dilihat menerusi ruangan komen di laman berita atau laman popular di platform Facebook.

    Isu kos sara hidup membabitkan harga barangan, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan perniagaan kecil yang bergelut dengan jualan yang tidak memberangsangkan.

    Selain itu, di Twitter yang didominasi PH, akaun individu-individu yang berpihak kepada kerajaan menjalankan “mogok pro-bono” mereka tersendiri kerana tidak berpuas hati dengan jentera penerangan kerajaan di bawah Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Agus Yusoff.

    Sebagai contoh, penerangan isu pengeluaran KWSP bersasar tidak selari antara penyokong-penyokong kerajaan dan apa yang dijelaskan oleh JKOM.

    Bekas pengarang kanan Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan berkata, berdasarkan situasi di permukaan, pihak pembangkang dilihat lebih agresif terutamanya isu membabitkan pengeluaran KWSP.

    “Serangan lebih memihak kepada pembangkang. Cybertrooper PN lebih konsisten berbanding cybertrooper kerajaan sejak PRU15,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Pemerhati politik Mak Khuin Weng berkata, berdasarkan pemerhatiannya, PN tidak dilihat segar dalam menggunakan komunikasi namun situasi gagal dimanfaatkan PH.

    “Kenaikan harga barang mendominasi perbincangan awam, dan PH gagal menanganinya. BN pula melontarkan ‘bravado’ yang tidak dipercayai sesiapa,” katanya.

    Zaini berkata, isu periuk nasi menjadi “duri dalam daging” ketika pentadbiran Najib Razak dan mampu untuk menjatuhkan kerajaan PH-BN pada enam PRN akan datang.

    “Mana-mana kerajaan wajar menangani isu ini.

    “Kerajaan kata inflasi terkawal tetapi sebenarnya kuasa beli rakyat semakin berkurangan,” tambahnya.

    BN dilihat masih kehilangan rentak akibat kekalahan memalukan pada PRU15.

    Selain mempertahankan pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi, BN tidak menggunakan platform dalam talian untuk menjuarai isu-isu rakyat.

    Lebih buruk apabila parti itu dilihat terpaksa membuat “pusingan-U” dalam isu pengeluaran wang KWSP.

    Parti itu menjadi tumpuan kerana isu berkaitan pemimpin mereka, daripada kes mahkamah bekas perdana menteri, Najib sehingga lantikan politik di badan-badan kerajaan.

    Di pihak PN, TikTok terus menjadi medium utama untuk menarik anak muda.

    Pemimpin seperti Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memanfaatkan platform itu untuk memposisikan diri mereka.

    Namun bagi Mak, momentumnya sudah pudar dan ia dilihat hanya mampu mengekalkan penyokong sedia ada dan sukar menarik pengundi baru untuk menyebelahi mereka.

    “Saya fikir PN sedang menjimatkan perbelanjaan mereka sehingga tarikh pilihan raya,” katanya.

    Bekas ketua exco agama Pemuda PKR, Wan Ji Wan Hussin di laman Facebooknya turut mengkritik kelesuan naratif PH.

    “Tidak ada kemampuan untuk membawa naratif Islam dalam pendekatan Madani, ekoran itu, di media hanya popular istilah Madani tetapi kandungan Madani, rata-rata tidak tahu pun,” katanya merujuk kepada slogan penjenamaan kerajaaan yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa bulan lalu.

    Agus sebelum ini mempertahankan Anwar dalam beberapa isu antaranya lawatan ke Arab Saudi dan kenyataan perdana menteri berhubung isu Laut China Selatan.

    Namun menurut Mak, Agus masih belum menangani apa-apa isu penting kerana beliau dilihat tidak mampu melakukannya.

    “Beliau hanya dilihat pergi ke sana-sini, siapa pengundi sasarannya?” menurut bekas wartawan itu.

    Sementara itu, Zaini berkata meskipun Agus merupakan ahli akademik yang menjalankan kajian politik, isu propaganda merupakan satu isu yang berbeza.

    “Sepatutnya JKOM sudah kuat kerana PRN hanya berbaki tiga bulan lagi, tetapi kita belum nampak momentum dan gerak saraf.

    “JKOM masih leka manakala pembangkang sangat konsisten.”

  • Bukan ‘pak turut’, kejujuran MP Pasir Gudang resahkan pimpinan PKR

    Bukan ‘pak turut’, kejujuran MP Pasir Gudang resahkan pimpinan PKR

    AHLI Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Karim mendakwa pandangan jujurnya mengenai kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim meresahkan beberapa pemimpin parti berkenaan.

    Beliau berkata, ada pihak menghantar mesej memintanya “lebih mengawal diri kerana PKR kini kerajaan”.

    “Walaupun saya faham kebimbangan mereka, sukar untuk saya menahan diri atas perkara membabitkan prinsip. Kita memerlukan kejujuran politik,” kata penyokong kerajaan perpaduan itu yang lantang bersuara menurut laporan Free Malaysia Today.

    Mengulas lanjut Hassan menegaskan bahawa penggal ini adalah yang terakhir baginya sebagai Ahli Parlimen.

    Katanya, beliau bimbang “salah langkah” boleh merugikan kerajaan pada pilihan raya akan datang.

    Dalam gesaan terbarunya terhadap Pakatan Harapan (PH), Hassan berkata, gabungan itu berisiko ditolak pengundi jika bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diampunkan dan tuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi digugurkan.

    “Mana-mana senario itu akan menjadi malapetaka buat kerajaan,” katanya.

    Hassan, yang mengenali Anwar selama lebih setengah abad, berkata, “Saya tidak pernah jadi pak turut, dan tidak akan pernah jadi sebegitu.”

    Beliau berkata: “Saya berada di barisan hadapan semasa protes Baling sebagai pemimpin pelajar yang diketuai oleh Anwar pada 1974.

    “Selepas itu, saya mengetuai protes setinggan di Johor Bahru, apabila mereka menahan saya. Saya dibuang dari Universiti Pertanian Malaysia dan biasiswa saya ditarik balik.

    “Ketua Cawangan Khas kemudiannya berkata, saya boleh mendapatkan semuanya kembali jika saya sanggup mengaku dalam siaran langsung di TV bahawa saya telah digunakan oleh anasir subversif untuk mencetuskan pemberontakan.

    “Saya berfikir sejenak, kemudian beredar. Mengapa saya perlu berbohong?”

    Hassan yang juga seorang peguam berkata, beliau tidak takut menyuarakan pandangannya ketika itu dan tidak akan berhenti melakukannya sekarang, walaupun itu diinginkan beberapa pemimpin parti.

    “Jika kita tidak bersuara apabila parti dalam haluan yang memudaratkan, kita akan menganiaya rakyat yang percaya kepada kita. Jadi, saya akan buat apa yang perlu untuk negara,” katanya.

  • KSU KPDN akui beri keterangan tapi bukan disiasat SPRM

    KSU KPDN akui beri keterangan tapi bukan disiasat SPRM

    KETUA Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azman Mohd. Yusof mengakui ada dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung terlebih belanja subsidi minyak masak tahun lalu.

    Bagaimanapun, Azman menjelaskan beliau bukannya disiasat agensi itu tetapi memberi keterangan berhubung proses yang berlaku berkaitan pengagihan minyak masak bersubsidi, lapor Berita Harian.

    Azman berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dua portal tempatan berhubung dakwaan beliau berbelanja melebihi nilai RM9 juta, bagi tambahan kuota subsidi minyak masak pada tahun lepas.

    Portal itu yang memetik sumber, dilapor berkata, SPRM memanggil beberapa pegawai kementerian termasuk Azman.

    “Memang sudah dipanggil tahun lepas lagi dan ia bukannya dipanggil satu kes. Sebaliknya, dipanggil hanya untuk SPRM mendapatkan keterangan tentang proses yang berlaku berkaitan pengagihan minyak masak bersubsidi.

    “Saya tak tahu mengapa berita mengenai isu ini dikeluarkan kembali, sedangkan berdasarkan bacaan saya, seolah-olah ada butiran dalam laporan berita itu tidak sepatutnya keluar kerana di peringkat rahsia, memandangkan itu maklumat berkait dengan siasatan yang dari situ juga mungkin berlakunya ketirisan,” katanya dalam satu majlis di Tambun, Perak.

    Azman berkata, beliau sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Bukit Aman kerana pihaknya turut mendapat kerjasama baik daripada polis untuk membantu membongkar banyak kes penyeludupan, khususnya minyak masak dan diesel.

    Beliau meluluskan kuota tambahan minyak masak peket bersubsidi bagi memastikan bekalan mencukupi di pasaran, selaras dengan perundangan.

  • Kes agensi pekerja asing:Sivakumar belum dipanggil SPRM

    Kes agensi pekerja asing:Sivakumar belum dipanggil SPRM

    MENTERI Sumber Manusia, V. Sivakumar belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah bernilai RM97 juta yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    “Belum. Kalau dipanggil saya akan rela pergi beri keterangan,” katanya kepada pemberita selepas acara bersama NGO masyarakat India sempena sambutan perayaan Chithirai Puthandu 2023 di Menara Rakyat, Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas apakah SPRM sudah memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut, lapor MalaysiaKini.

    SPRM sebelum ini telah menahan tiga individu termasuk setiausaha sulit dan pegawai kananannya bagi membantu siasatan.

    Suspek ketiga merupakan seorang ahli perniagaan dari Ipoh, Perak.

    Difahamkan siasatan SPRM turut bertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

    “Saya minta semua pihak supaya tidak buat sebarang spekulasi. Tangkapan ini adalah (sebahagian) proses siasatan.

    “Jika ada aduan terhadap seseorang, SPRM akan siasat individu tersebut. Sekiranya ada asas, mereka akan dituduh di mahkamah. Kalau tidak akan dibebaskan.

    “(Dalam kes ini) siasatan masih dalam peringkat awal. Maka, jangan buat sebarang kesimpulan. Biar siasatan dijalankan,” kata Sivakumar.

  • Sokongan Bung dah tak relevan, Hajiji tetap KM Sabah

    Sokongan Bung dah tak relevan, Hajiji tetap KM Sabah

    PENDIRIAN Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sama ada mahu menyokong atau tidak pentadbiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sudah tidak relevan lagi.

    Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Ali yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, ini kerana Hajiji tetap akan kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

    “Saya fikir sokong atau tidak, itu hak Bung. Pada masa ini, beliau sokong atau tidak juga sudah tidak relevan.

    “Hajiji tetap akan kekal sebagai ketua menteri Sabah tanpa sokongan Bung. Hajiji mempunyai sokongan majoriti Adun Sabah,” katanya memetik laporan FMT, hari ini

    Pada 11 April lalu, UMNO Sabah mengambil pendirian bertentangan dengan Barisan Nasional (BN) Pusat untuk tidak menyokong kerajaan negeri GRS pimpinan Hajiji.

    Bung berkata, sehingga kini tiada sebarang resolusi ke arah pembentukan kerajaan perpaduan Sabah yang dicapai dalam perbincangan antara UMNO-BN yang diwakili bekas timbalan ketua UMNO Sabah, Yakub Khan.

    Pada 8 Mac, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi menasihatkan ahlinya di Sabah ‘tidak mengguris hati’ rakan dalam kerajaan perpaduan negeri itu demi kestabilan politik.

    Sementara itu, Armizan berkata, GRS mengalu-alukan sokongan semua pihak terhadap gabungan itu.

    “Buat masa ini Hajiji yang memimpin kerajaan GRS bersama Pakatan Harapan (PH) harus fokus untuk melipat gandakan usaha memberikan sepenuh komitmen untuk melaksanakan hala tuju Sabah.

    “Daripada ‘pusing’ tentang pendirian Bung, lebih baik fokus langkah membawa kesejahteraan kepada rakyat dan negeri Sabah.

    “Semua yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin ada hikmahnya pihak-pihak tertentu berada di luar kapal, apatah lagi setelah mereka sendiri memilih untuk cuba menenggelamkan kapal,” katanya.

  • PRN: DAP Negeri Sembilan beri bayangan tak akan serah kerusi pada BN

    PRN: DAP Negeri Sembilan beri bayangan tak akan serah kerusi pada BN

    DAP Negeri Sembilan memberi bayangan yang mereka tidak akan menyerahkan 11 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kepada Barisan Nasional (BN) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri(PRN) nanti.

    Ini susulan selepas BN Negeri Sembilan yang dilaporkan meminta tambahan dua kerusi daripada 20 kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) yang disandang Pakatan Harapan(PH) ketika ini.

    Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setiap parti berhak menyatakan pandangan dan hasrat mereka tetapi keputusan akhirnya akan dibuat berdasarkan kepada prinsip yang telah dipersetujui bersama.

    “Prinsip yang telah dipersetujui oleh PH dan Barisan BN ialah kerusi penyandang akan kekal kepada parti yang menang.

    “Umpamanya kerusi itu dimenangi BN, tak akan pula kita pergi minta kerusi itu. Ia sudah tentu akan timbulkan masalah kalau kita minta kerusi penyandang.

    “Jadi prinsip asas yang dipersetujui, kita hormati,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pemukiman Persediaan PRN DAP Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

    Setiausaha Agung DAP itu berkata, rundingan hanya melibatkan kerusi yang tidak dimenangi oleh PH dan BN seperti mana di lima negeri lain yang akan menghadapi PRN.

    “Jika ada pandangan berlainan dan sebagainya ia perlu dirujuk kepada pimpinan Pusat,” ujar beliau.

    Setiap negeri katanya, ada perundingan mereka, misalnya Kedah yang kerusinya tidak banyak dimenangi oleh BN atau PH yang mana akan dinilai berdasarkan parti mana yang lebih sesuai atau lebih kuat untuk bertanding menentang Perikatan Nasional(PN).

    “Tapi di Negeri Sembilan keadaan agak dinamik kerana semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) di bawah PH dan BN. Jadi bagi kita itu mudah untuk diselesaikan,” katanya.

    Siew Fook berkata, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun juga tahu berkenaan pendirian DAP kerana prinsip soal pembahagian kerusi itu telah pun dipersetujui.

    Malah tegasnya, beliau tidak mahu berpolemik soal itu dan semua pemimpin DAP diminta tidak mengeluarkan apa-apa lagi kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

    “Soal kerusi itu perkara biasa, bukan hari ini saja dengan BN. Malah dengan parti komponen dalam PH pun ada isu sama.

    “Masing-masing ada pandangan, tapi biarlah kita buat keputusan secara matang berdasarkan kepada prinsip dipersetujui,” katanya.

    Sementara itu ditanya kemungkinan akan ada pihak yang berkecil hati kerana tidak diberi kerusi, beliau berkata, dalam politik semua perlu berbesar hati dan berlapang dada.

    “Dalam poltik sudah ada kompromi terutama dalam kerjasama gabungan antara gabungan.

    “Dalam semangat Kerajaan Perpaduan ini tak boleh ada kecil hati mesti berlapang dada dan saya rasa pucuk pimpinan parti masing-masing amat memahami keadaan ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Dua kanak-kanak lemas ketika mandi sungai

    Dua kanak-kanak lemas ketika mandi sungai

    DUA kanak-kanak lelaki ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Pulau Jering, Kampung Bukit Tunggal, Segamat, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada keluarga mangsa kira-kira pukul 5.10 petang.

    “Kedua-dua mangsa disedari lemas oleh salah seorang bapa kanak-kanak tersebut yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum meminta bantuan orang awam.

    “Dengan bantuan penduduk kampung, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari sungai berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di sebuah klinik swasta di sini,” katanya dalam kenyataan di Segamat hari ini.

    Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Khalifi Kamaruzaman, 13, dan Ahmad Muhammad Ibnu Hermee, 12.

    Tambah Ahmad Zamry, kedua-dua kanak-kanak terbabit adalah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jementah.

    Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua-dua mangsa pergi untuk mandi di sungai berkenaan.

    Ahmad Zamry berkata, kedua-dua mangsa seterusnya dikejarkan ke sebuah klinik swasta terdekat namun disahkan meninggal dunia. 

    “Bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) hari ini bagi mengenal pasti punca kematian. Tiada sebarang unsur jenayah ke atas kematian kedua-dua mangsa. Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR,” katanya lapor Utusan Malaysia.