Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRN: PN sedia manifesto untuk setiap enam negeri – Faizal Azumu

    PRN: PN sedia manifesto untuk setiap enam negeri – Faizal Azumu

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menyediakan manifesto bagi setiap negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing tidak lama lagi.

    Dalam masa sama, fokus akan diberikan untuk menggerakkan jentera di semua enam negeri tersebut iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    Malah, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jentera daripada negeri-negeri lain juga akan diselaraskan untuk bekerjasama dengan jentera di negeri-negeri berkenaan.

    Menurutnya, berdasarkan fokus dan gerak kerja itu, Perikatan Nasional yakin akan mendapat sokongan daripada pengundi di keenam-enam negeri tersebut.

    “Dari segi maklum balas yang kita terima dalam kalangan para pengundi di keenam-enam negeri ini amat positif.

    “Namun kita tidak boleh berasa begitu selesa, kita perlu menyediakan satu manifesto bagi setiap negeri yang akan diadakan Pilihan Raya Negeri dan dalam masa yang sama, kami nampak, apabila UMNO dan DAP bekerjasama rapat ini, sokongan kepada Perikatan Nasional, terutama sekali parti Pas dan Bersatu ini ada peningkatannya insyaAllah,” katanya.

    Beliau bercakap kepada Astro AWANI ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa di Ipoh, pada malam tadi.

    Menurutnya, parti-parti komponen di dalam Perikatan Nasional telah berpakat dengan baik dari segi pembahagian kerusi.

    Katanya, tiada masalah besar yang timbul di dalam usaha untuk mengagihkan kerusi dalam kalangan mereka.

  • Kontraktor setuju bayar 600 pekerja gaji tertunggak RM3.8 juta

    Kontraktor setuju bayar 600 pekerja gaji tertunggak RM3.8 juta

    KONTRAKTOR pembinaan sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sabah bersetuju membayar tunggakan gaji kira-kira 600 pekerjanya berjumlah RM3.8 juta hari ini dan esok.

    Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, persetujuan itu dicapai selepas perbincangan dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah semalam.

    Katanya, arahan itu dikeluarkan selepas pergaduhan antara pekerja dan majikan dari Korea itu kelmarin akibat kelewatan membayar gaji bulan lalu.

    “Sepatutnya, mengikut perjanjian, gaji perlu dibayar pada minggu pertama setiap bulan. Maknanya berlaku kelewatan gaji bulan Mac.

    “Jadi, berlaku pergaduhan akibat ketidakpuasan hati pekerja hingga memukul majikan berbangsa Korea.

    “Berikutan itu, pengarah JTK Sabah bersama ketua Balai Polis Manggatal mengadakan perbincangan dengan wakil pekerja dan majikan. Hasilnya, majikan bersetuju membayar gaji tertunggak itu pada 17 dan 18 April,” katanya menurut Harian Metro.

    Mustapha mengulas rakaman video tular kelmarin berhubung pergaduhan pekerja dan majikan di sebuah tapak binaan kilang di KKIP.

    Semalam, polis menahan dua pekerja disyaki memukul majikan warga Korea di tapak binaan yang dibangunkan syarikat Korea Selatan selepas mangsa membuat laporan polis.

    Bagi memastikan majikan membayar gaji pekerja seperti dijanjikan, Mustapha berkata, pegawai JTK akan berada di tapak binaan hari ini dan esok untuk memantau dan mendengar jika ada lagi aduan pekerja lain.

  • PRN: Noh Omar ramal sokongan rakyat kepada BN merosot

    PRN: Noh Omar ramal sokongan rakyat kepada BN merosot

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar meramalkan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) terus merosot pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

    Menurut Noh, rakyat tidak percaya dengan prinsip parti itu yang sebelum ini sering mengungkapkan perkataan ‘No Anwar, No DAP’ sebaliknya menjalin kerjasama membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Rakyat berasa mereka ditipu, lain cakap lain yang dibuat. Ini bukan saya cakap, ini apa yang anak muda beritahu mereka tidak mahu BN, sebaliknya sokong PN (Perikatan Nasional),” katanya, menurut laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Anak Yatim Tanjong Karang di Dewan Terbuka Taman Seri Setia Tanjong Karang, hari ini.

    Mengambil contoh di Selangor, Noh memberitahu, beliau sendiri berasakan UMNO tidak lagi kuat terutama di kawasan majoriti Melayu.

    Katanya, berdasarkan kepada keputusan PRU15 lalu, semua kubu kuat parti itu tewas termasuk di Parlimen Tanjong Karang.

    “Rakyat sudah nampak bahawa UMNO bukan lagi payung untuk melindungi perjuangan orang Melayu, sebaliknya sekarang menumpang payung (parti lain) pula,” ujar beliau.

  • Kereta bertembung lori: 2 pengajar pusat latihan memandu maut

    Kereta bertembung lori: 2 pengajar pusat latihan memandu maut

    DUA pengajar pusat latihan memandu maut tersepit selepas kereta mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Baru Baling-Kupang, hari ini.

    Mangsa, Muhammad Hanis Fahmi Abu Bakar, 23, dan rakannya Muhamad Firdaus Rosli, 36, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, pihaknya menerima laporan kejadian pukul 1.02 tengah hari.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori jenis Isuzu dinaiki tiga lelaki sedang bergerak dari arah Charok Nau menghala ke Kuala Ketil.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, terdapat sebuah kereta jenis Produa Viva datang dari arah bertentangan telah hilang kawalan lalu berpusing dan merempuh bahagian hadapan lori.

    “Akibat impak pelanggaran kuat, kereta itu terbabas masuk ke dalam longkang di tepi jalan arah ke Kupang,” katanya menurut laporan Astro AWANI, hari ini.

    Mengulas lanjut, Shamsudin berkata, kelindan lori mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.

    Mayat mangsa kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Harga tiket RM3,138 penerbangan sehala KL-Tawau untuk ekonomi, bukan perniagaan

    Harga tiket RM3,138 penerbangan sehala KL-Tawau untuk ekonomi, bukan perniagaan

    BEKAS menteri pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong tampil mempertahankan kenyataannya berhubung harga tambang penerbangan sehala bagi laluan Kuala Lumpur ke Tawau menjelang Aidilfitri mencecah sehingga RM3,138 bagi kelas ekonomi.

    Menurut beliau, harga itu merupakan kelas ekonomi berdasarkan semakan di laman web dan bukan kelas perniagaan seperti mana dijawab Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berhubung isu dibangkitkannya.

    “Dia kata saya tidak dapat bezakan antara kelas penerbangan ekonomi dan perniagaan.

    “Saya hairan sebab semalam saya (lihat) sememangnya adalah tiket ekonomi (KL ke Tawau sehala) RM3,138 dan saya sahkan dua…tiga kali,” katanya di akaun Facebook miliknya.

    Terdahulu, Loke menafikan dakwaan Wee bahawa harga tambang penerbangan sehala Kuala Lumpur ke Tawau menjelang Aidilfitri mencecah sehingga RM3,138 untuk kelas ekonomi.

    Katanya, hanya tiket penerbangan kelas perniagaan itu tersedia untuk perjalanan pada 20 April sempena Aidilfitri.

    Loke berkata, beliau menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB), Izham Ismail untuk mengesahkan dakwaan itu, dan pihaknya dimaklumkan semua tiket kelas ekonomi untuk laluan itu pada Aidilfitri telah habis dijual.

    Mengulas lanjut Ka Siong yang merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, sekiranya syarikat penerbangan yang memaparkan harga itu tidak betul, beliau menyarankan Loke mengambil tindakan segera.

    Katanya, isu dibangkitkan itu bukanlah untuk menuduh mana-mana pihak, tetapi hanya ingin membawa suara rakyat terkesan dengan harga tiket penerbangan mahal.

    “Kecuali laman web ini memberi satu paparan tak betul… (tetapi) hari ini saya buka sekali lagi laman web dan harga tetap sama. Aplikasi menunjukkan RM3,138 kelas ekonomi.

    “Apakah syarikat ini kaut keuntungan seperti mana dikatakan. Kita nak cari penyelesaian dan tak kisah pemerintahan siapa.. isu ini relevan. Biarlah kita selesaikan secara bersama,” katanya.

    Semalam, Ka Siong kecewa kerana harga tiket penerbangan dari ibu negara ke Sabah melambung tinggi pada musim perayaan walaupun sektor penerbangan semakin pulih selepas pandemik Covid-19.

    Beliau berkata, hasil semakannya mendapati tambang sehala bagi laluan dari Kuala Lumpur ke Tawau menjelang Aidilfitri mencecah sehingga RM3,138 untuk kelas ekonomi.

  • ‘Mana dia tahu sentimen Melayu, berkawan pun tidak’ – Peja

    ‘Mana dia tahu sentimen Melayu, berkawan pun tidak’ – Peja

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, isu sama ada sokongan terhadap gabungan politik itu merosot atau sebaliknya tidak sewajarnya berbangkit.

    Timbalan Presiden Bersatu itu menegaskan, pandangan orang yang tidak memahami sentimen sebenar pengundi Melayu terhadap PN juga tidak perlu dibincang.

    “Kalau orang yang bercakap berkawan dengan orang Melayu pun tidak, mana dia tahu sentimen dalam kalangan orang Melayu?

    “Pandangan orang seperti itu tidak perlu diperbincangkan,” katanya menurut laporan Berita Harian, hari ini.

    Beliau mengulas dakwaan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy, bahawa istilah ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan dengan pengaruh Perikatan Nasional (PN) pasca PRU15 semakin berkurangan menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) dijangka Ogos ini.

    Memberikan lapan faktor kemerosotan itu, Ramasamy berkata, gelombang hijau yang sinonim dengan Pas dan Bersatu mungkin hanya pengaruh sementara yang ‘tersejat’ dalam keadaan politik dan sosial semasa.

    Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga mesra disapa sebagai Peja berkata, PN Pulau Pinang akan terus berusaha mendapatkan sokongan rakyat bagi menubuhkan kerajaan mewakili semua kaum di negeri itu.

    Katanya, DAP tentu berasa selesa dengan sokongan UMNO kepada mereka, namun PN akan tetap memberikan saingan.

    Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Muhammad Takiyuddin Ismail berpandangan, kenyataan Ramasamy hanya perang saraf menjelang PRN.

    “Saya tidak pasti mengapa beliau beriya-iya mengeluarkan ‘lapan dalil’ ini.

    “Sebagai bekas saintis politik, beliau patut lebih tahu yang politik Malaysia semakin sukar diramal sejak sedekad lalu.

    “Justeru, meramalkan sesuatu seperti kemerosotan PN adalah tidak berasas kerana tiada sesiapa boleh mengetahui atau melihat arus di bawahnya,” katanya

    Beliau tidak yakin pengaruh PN sudah merosot, malah ada kemungkinan ia bertambah kuat kerana sentimen ketidakpuasan berganda terhadap UMNO-PH yang kini semacam ‘membuli’ gabungan itu.

    “Kerap kali pengundi menyokong PN bukan kerana menyokong BERSATU atau PAS tetapi lebih kepada tidak sukakan PH atau UMNO.

    “Ramasamy perlu lebih berhati-hati dengan mendakwa PN menggunakan sentimen agama dan perkauman melampau kerana menepuk air di dulang, boleh terpercik ke muka sendiri,” katanya.

  • Tak boleh main bunga api ganggu ketenteraman selepas 12 tengah malam – PDRM

    Tak boleh main bunga api ganggu ketenteraman selepas 12 tengah malam – PDRM

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan, bermain bunga api selepas pukul 12 tengah malam sehingga mengganggu ketenteraman atau membahayakan orang lain adalah kesalahan yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13, Akta Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336].

    Amaran itu dikeluarkan Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin menerusi satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, akta berkenaan memperuntukkan denda tidak melebihi RM100, jika sabit kesalahan.

    “Bunga api merupakan bahan letupan dikategorikan sebagai Dangerous Good Cargo (DGC) dan Hazard Class Division (HCD) 1.4g. Sekiranya dimainkan secara merbahaya boleh mendatangkan kecederaan.

    “Bermain bunga api hendaklah membakarnya di kawasan lapang agar tidak mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat,” katanya.

    Mengulas lanjut Noorsiah berkata, individu yang sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat untuk menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda pula boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957.

    Katanya, ia membawa hukuman penjaran tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    “PDRM mengingatkan seluruh masyarakat terutamanya ibu bapa, hendaklah mengawasi anak-anak ketika bermain bunga api, bertanggungjawab serta mengamalkan langkah-langkah keselamatan semasa mengendalikan bunga api dalam mana-mana sambutan perayaan,” katanya menurut laporan Astro AWANI.

  • Tiada lesen jual bunga api, 120 ditahan babit rampasan lebih RM3 juta

    Tiada lesen jual bunga api, 120 ditahan babit rampasan lebih RM3 juta

    POLIS menahan sebanyak 120 individu di seluruh negara kerana melanggar syarat, tidak mempunyai lesen dan menjual bunga api yang tidak dibenarkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM3,389,180.

    Rampasan itu bagi tempoh 28 Mac hingga 9 April lalu.

    Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata kesemua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

    “Polis Diraja Malaysia sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara menyeluruh serta berterusan di seluruh negara termasuk terhadap penjualan bunga api dan mercun secara dalam talian melalui platform media sosial serta e-dagang.

    “Orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dengan penjualan bunga api dan mercun secara haram kerana tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Noorsiah berkata polis telah menerima sebanyak 6,526 permohonan bagi mendapatkan lesen menjual bunga api dan mercun di seluruh negara sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.

    Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 5,188 permohonan diluluskan, manakala 1,338 telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

  • 3 pegawai kanan Sivakumar digantung tugas – Laporan

    3 pegawai kanan Sivakumar digantung tugas – Laporan

    MENTERI Sumber Manusia V Sivakumar dilapor telah menggantung tugas tiga pegawai kanannya, termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan rasuah terhadap kelulusan pekerja asing.

    Malaysiakini dalam laporannya yang memetik satu sumber Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesahkan penggantungan berkenaan.

    “Ya, tiga orang tersebut telah digantung tugas oleh menteri dengan serta-merta.

    “Ini termasuk dua orang yang kini ditahan SPRM dan seorang lagi PTTK,” katanya ketika dihubungi.

    Bagaimanapun, sumber itu tidak menjelaskan sebab individu ketiga itu digantung tugas.

    “Saya tidak pasti sebab seorang lagi PTTK digantung,” katanya lagi.

    Carian Malaysiakini dalam sistem direktori kakitangan KSM menunjukkan nama ketiga-tiga pegawai tersebut telah dipadamkan.

    Untuk rekod, SPRM menyerbu pejabat kementerian di Putrajaya pada Khamis, di mana agensi pencegahan rasuah itu turut menahan seorang pegawai kanan menteri itu.

    Sehari kemudian, SPRM menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan rasuah itu. Dia ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

    Selain itu, seorang ahli perniagaan dari Ipoh turut ditahan dalam siasatan yang dikatakan melibatkan rasuah bernilai RM97 juta.

    Difahamkan siasatan SPRM turut bertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

    Terdahulu, pagi ini SPRM telah memanggil Sivakumar untuk merekodkan kenyataannya.

    Dia dilaporkan pergi ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi ini untuk menjawab soalan berhubung kes itu.

    “Ya, dia tiba jam 10 pagi. Kami memanggilnya untuk merakam kenyataannya,” kata sumber SPRM seperti dipetik laporan portal berita tempatan.

    Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk pengesahan dan butiran lanjut mengenai perkara itu.

  • Berang cinta ditolak, penganggur bakar kedai telefon bimbit

    Berang cinta ditolak, penganggur bakar kedai telefon bimbit

    SEORANG penganggur bertindak membakar sebuah kedai telefon bimbit tempat wanita diminatinya bekerja di Teluk Intan selepas dipercayai berang cintanya ditolak.

    Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, pengadu wanita berusia 46 tahun berkenaan membuat aduan di Balai Polis Langkap pukul 3.19 petang, hari ini.

    Beliau berkata, pengadu memaklumkan bahawa dirinya diganggu suspek ketika berada di kedai telefon bimbit di Jalan Besar Langkap pada pukul 2.30 petang tadi.

    “Suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun, tiada pekerjaan datang ke kedai dan mengamuk sehingga mencederakan pengadu dan melemparkan kata-kata berunsur lucah.

    “Suspek turut mengancam keselamatan pengadu dengan mengugut akan membakar pengadu dan tempat kerja pengadu.

    “Disebabkan terlalu takut, pengadu bergegas ke Balai Polis Langkap untuk membuat laporan,” katanya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Adnan berkata, semasa laporan dibuat, kedai tempat pengadu bekerja yang juga milik adiknya dilaporkan terbakar.

    “Bomba datang ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan kebakaran. Anggaran kerugian dialami lebih kurang RM100,000.

    “Berdasarkan maklumat daripada saksi di tempat kejadian, polis berjaya menahan suspek yang dilihat menyimbah petrol lalu membakar kedai terbabit.

    “Motif kejadian dipercayai berpunca cinta suspek ditolak oleh pengadu. Suspek beberapa bulan kebelakangan ini sering datang ke kedai dalam keadaan mabuk dan cuba memikat pengadu tetapi pengadu menolak dengan cara baik kerana sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak,” katanya.

    Sementara itu Ahmad Adnan memberitahu, suspek turut mengalami kecederaan melecur di bahagian muka, tangan dan kaki .

    “Suspek ditangkap dalam keadaan mabuk dipercayai di bawah pengaruh alkohol, kini dimasukkan ke Wad Hospital Teluk Intan untuk rawatan susulan.

    “Suspek direman lima hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 435/323 Kanun Keseksaan,” katanya, menurut laporan Harian Metro.