Author: Wartawan WartaRakyat

  • Cadang Anwar tawar PN sertai kerajaan perpaduan

    Cadang Anwar tawar PN sertai kerajaan perpaduan

    PRESIDEN Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan Perikatan Nasional (PN) menyertai kerajaan perpaduan berdasarkan keputusan PRN Sabtu lalu.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Julau berkata, tawaran itu mampu mengurangkan ‘politik identiti’ merujuk pendekatan berdasarkan kaum, warganegara, agama, dan latar belakang.

    PRN enam negeri menyaksikan keputusan status quo di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

    Bagaimanapun, PN berjaya melebarkan pengaruhnya di beberapa negeri khususnya Pulau Pinang dan Selangor apabila menang masing-masing 11 dan 22 DUN.

    “Selepas PRN baru-baru ini, saya percaya kerajaan Madani harus menjemput semula PN ke dalam kerajaan perpaduan. Ia mampu mengurangkan politik identiti di Malaysia,” kata Sng di Facebook, lapor FMT.

    Sabtu lalu, gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mengekalkan pentadbiran di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, sementara PN membentuk semula kerajaan di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

    Keseluruhannya, PN berjaya menawan 146 daripada 245 DUN ditandingi, manakala PH-BN hanya menang 99 kerusi.

  • Penerbangan MH122 tergendala selepas lelaki ancam kru, penumpang

    Penerbangan MH122 tergendala selepas lelaki ancam kru, penumpang

    PENERBANGAN pesawat Malaysia Airlines MH122 dari Sydney, Australia ke Kuala Lumpur tergendala apabila seorang lelaki mengancam kru dan penumpang pesawat berkenaan, tengah hari ini.

    The Sydney Morning Herald melaporkan pesawat itu yang sepatutnya berlepas jam 1.06 tengah hari tadi (waktu tempatan) terpaksa berpatah balik semasa berada di New South Wales sebelum mendarat di Lapangan Terbang Sydney.

    Menurut sumber daripada pelbagai lapangan terbang, sekurang-kurangnya 50 penerbangan masuk dan keluar terpaksa ditunda susulan kejadian itu.

    Apabila berlaku kecemasan, penerbangan akan dihentikan sehingga menerima arahan kecemasan daripada pihak berkuasa.

    Insiden itu tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki dalam pesawat berkenaan menjerit terhadap kru dan penumpang lain sambil memeluk sebuah beg di dadanya.

    Pesawat itu berada di Lapangan Terbang Sydney, manakala penumpang akan dibenarkan keluar dari pesawat berkenaan selepas melalui proses pemeriksaan keselamatan.

    Malaysia Airlines dalam kenyataan memaklumkan ketua penerbangan pesawat itu membuat keputusan untuk berpatah balik ke Sydney atas faktor keselamatan.

    “Pesawat itu membawa 194 penumpang dan lima anak kapal selamat mendarat jam 3.47 petang (waktu tempatan).

    “Keselamatan dan keselesaan kru serta penumpang kami adalah paling penting bagi Malayisa Airlines,” katanya, lapor Harian Metro.

    Jurucakap Polis Persekutuan Australia (AFP) berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pihak lapangan terbang dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian.

    Sementara itu, jurucakap Lapangan terbang Sydney, pihaknya membantu pihak berkuasa bagi menguruskan insiden berkenaan.

  • Belum ada jawapan siapa MB Terengganu

    Belum ada jawapan siapa MB Terengganu

    SELEPAS Pas Terengganu memenangi 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri (PRN) kelmarin belum ada jawapan pasti siapa calon yang akan dilantik untuk menggalas tugas sebagai Menteri Besar.

    Bagaimanapun, desas-desus kuat kedengaran bahawa penyandang jawatan nombor satu negeri iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar akan dikekalkan bagi menjawat jawatan itu pada penggal ini.

    Menurut perkongsian ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukhairi Wan Abdullah, Pas telah berbincang untuk mempersembahkan nama calon Menteri Besar kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

    “Ini bagi mendapat perkenan sekali gus membolehkan pelantikan Menteri Besar Terengganu dibuat bagi membentuk kerajaan negeri.

    “Ramai yang tanya bila akan dibentuk kerajaan negeri Terengganu.

    “Pas telah adakan perbincangan untuk mempersembahkan nama calon Menteri Besar kepada tuanku sultan bagi mendapat perkenan pelantikan YAB Menteri Besar negeri Terengganu untuk pembentukan kerajaan negeri,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Katanya, proses pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) akan dilakukan selepas selesai proses pembentukan kerajaan negeri.

    Bagaimanapun, setakat ini, pihak media belum mendapat sebarang perkembangan dari Istana Terengganu berhubung Istiadat Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Terengganu, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan dalam kenyataan berkata, Pas mengekalkan kepimpinan sedia (Ahmad Samsuri) sebagai Menteri Besar.

  • Aminuddin angkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan

    Aminuddin angkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, bagi penggal kedua hari ini.

    Aminuddin, 56, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah pukul 4.15 petang.

    Turut menyaksikan istiadat itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.

    Hadir sama, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

    Turut hadir, isteri Aminuddin, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

    Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, Aminuddin berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat.

    Menerusi saingan empat penjuru, Ahli Parlimen Port Dickson itu menang dengan majoriti 2,662 undi.

    Aminuddin memperoleh 12,730 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Raihan Muhamad Hilal yang mendapat 10,068 undi serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu (83 undi) dan Mohammed Hafiz Baharudin (339 undi).

    Lahir pada 2 Januari 1967 di Kampung Pachitan, Port Dickson, Aminuddin dan isteri mempunyai lima anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.

    Beliau menerima pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah, Port Dickson sebelum melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) dalam bidang perniagaan.

    Aminuddin yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat sejak 2008 pernah bertugas sebagai pegawai penyiasat Badan Pencegah Rasuah dari 1991 hingga 1995.

    Pada 1995, beliau menyertai syarikat Golden Hope Furniture Sdn Bhd sebagai ketua pengurusan pengeluaran dan kemudian di MCIS Safety Glass (M) Sdn Bhd sebagai Eksekutif Senior dari 1996 sehingga 2008 sebagai ketua bahagian jualan, jawatankuasa pengurusan, panel siasatan dalaman dan auditor ISO/TS 16949:2002.

    Sebelum menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini dikenali Keadilan pada 1999, Aminuddin merupakan anggota UMNO dan pernah menjadi Setiausaha UMNO Cawangan Kampung Pachitan (1995-1998) serta Setiausaha Pemuda UMNO DUN Jimah (1997-1998).

    Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR sejak 2014 itu turut aktif dalam badan bukan kerajaan antaranya Persatuan Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) dan Angkatan Belia Islam Malaysia.

  • Sanusi mampu bawa Kedah ke tahap lebih tinggi – Muhyiddin

    Sanusi mampu bawa Kedah ke tahap lebih tinggi – Muhyiddin

    PELANTIKAN semula Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar Kedah mampu memacu usaha membangunkan negeri tersebut dalam semua aspek ke tahap lebih tinggi.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu mempunyai daya kepimpinan, visi serta pengalaman yang boleh disandarkan memikul amanah menerajui Kerajaan Negeri Kedah.

    ‘Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas pelantikan sebagai Menteri Besar Kedah oleh Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini.

    “Saya yakin pelantikan semula beliau selaku Menteri Besar mampu memacu usaha membangunkan negeri Kedah dalam semua aspek ke tahap lebih tinggi.

    “Saya berharap kompetensi dan prestasi cemerlang beliau sepanjang tiga tahun mentadbir Kedah akan berterusan demi kesejahteraan rakyat.

    “Tahniah dan selamat berkhidmat YAB Datuk Seri Menteri Besar Kedah,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook miliknya hari ini.

  • Amaran akhir untuk ‘survival’ politik UMNO, kata Tengku Zafrul

    Amaran akhir untuk ‘survival’ politik UMNO, kata Tengku Zafrul

    UMNO perlu segera bangkit dengan memperbetulkan keadaan parti, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Menurut beliau, ini supaya UMNO tidak sekadar mengejar kuasa jangka masa pendek, tetapi kembali diyakini rakyat serta akar umbi parti.

    Katanya, keputusan pilihan raya negeri (PRN) menjadi isyarat amaran akhir untuk kelangsungan politik parti itu.

    “Prestasi di Selangor amat lemah kerana daripada 12 kerusi ditandingi, Barisan Nasional (BN) hanya menang dua termasuk satu yang asalnya ialah kerusi DAP.

    “PRN Selangor menyerlahkan seolah-olah semakin ramai pengundi Melayu di sesebuah kawasan, semakin susah UMNO hendak menang. Hakikat ini harus diamati.

    “Jika keputusan PRN ini bukan amaran akhir kepada soal survival (kelangsungan) parti Melayu ini, saya tidak tahu apa lagi jenis amaran yang perlu diberi sebelum kita menyedari kita sudah ditolak.

    “Di Selangor setelah 15 tahun, UMNO masih lagi ditolak. Ramai ahli parti yang berkongsi kekecewaan dan kesedihan mereka,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.

    Ujar Bendahari BN Selangor itu, berdasarkan senario politik semasa, strategi dan keterampilan serta daya tarikan parti akan menjadi penentu kejayaan atau kegagalan.

    Jelas beliau, UMNO bukan milik kelompok mana-mana kerana ia ditubuhkan untuk menyatupadukan orang Melayu, maka tidak boleh terlalu radikal sebaliknya perlu meraikan pandangan dengan baik.

    “Hari ini hala tuju dan ideologi UMNO Selangor perlu jelas dan diterima ahli akar umbi, bukan semata-mata dilihat hanya ingin mengejar tampuk kuasa tetapi dalam masa yang sama tidak dapat memberi keyakinan kepada ahli di bawah dan juga rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Suami saya yang lapor transaksi ‘mencurigakan’, Zeti beritahu mahkamah

    Suami saya yang lapor transaksi ‘mencurigakan’, Zeti beritahu mahkamah

    BEKAS gabenor Bank Negara (BNM), Tan Seri Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes 1MDB Najib Razak bahawa suaminya adalah individu yang melaporkan transaksi ‘mencurigakan’ melibatkan akaun bank syarikatnya ke bank Singapura.

    Beliau berkata, Tawfiq Ayman memiliki syarikat pengurusan aset di Singapura, dan menerima wang daripada pelbagai pelabur untuk tujuan pelaburan.

    Menurut Zeti, Tawfiq menyedari daripada “maklumat sumber terbuka” bahawa dana tertentu yang telah memasuki akaun syarikatnya mungkin berasal dari sumber yang “meragukan”.

    “Oleh itu, beliau melaporkannya secara bertulis kepada institusi kewangan dan meminta mereka memulangkan (dana) kepada pelabur. Dan jika bank gagal berbuat demikian, (dia menyuruh mereka) memajukan (dana) ke bidang kuasa (dari mana ia berasal).

    “Wang ini kembali kerana dia menulis surat kepada pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Shafee Abdullah, lapor FMT.

    Sebelum ini, dilaporkan RM64.4 juta yang dikaitkan dengan 1MDB telah dipulangkan dari Singapura. Wang itu didakwa disimpan dalam akaun bank syarikat Tawfiq, Cutting Edge Industries Ltd.

    Polis juga dilaporkan telah melancarkan siasatan terhadap Tawfiq berhubung jumlah wang itu.

    Ditanya oleh Shafee sama ada beliau dapat mengemukakan surat Tawfiq kepada bank Singapura berhubung transaksi yang mencurigakan, Zeti berkata, polis masih menyiasat kes terhadap Tawfiq dan oleh itu, dia tidak bebas untuk mengulas.

    Ditanya sama ada suaminya yang memberitahu tentang dana itu, Zeti menjawab dengan tegas.

    “Ia adalah khabar angin sehingga dia (Tawfiq) dipanggil,” balas Shafee.

    Dalam pada itu, Zeti juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak melihat dua akuan berkanun yang dikatakan ditandatangani oleh Tawfiq dan anaknya untuk melepaskan hak mereka terhadap jumlah RM64.4 juta itu.

    “Saya tidak boleh mengulas,” katanya, menegaskan bahawa tiada seorang pun dalam keluarganya mengambil satu sen daripada 1MDB.

    Ditanya sama ada beliau bercakap dengan Tawfiq dan anak lelaki mengenai akuan berkanun mengenai mereka yang didakwa menerima dana 1MDB, Zeti berkata: “Kandungan SD, yang saya hanya lihat hari ini, tidak mengatakan mereka menerima wang itu. Ia mengenai pemulangan wang kepada pelabur.”

    Beliau berkata, tiada tindakan diambil oleh kerajaan Singapura terhadap Tawfiq atau anak-anaknya berhubung RM64.4 juta yang dipersoalkan di sana.

    Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan kerana salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

    Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

  • PN Negeri Sembilan anggap menang lima kerusi permulaan baik

    PN Negeri Sembilan anggap menang lima kerusi permulaan baik

    KEMENANGAN lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kelmarin, disifatkan sebagai satu permulaan yang baik kepada Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

    Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, pencapaian lima kerusi itu disifatkan satu permulaan yang baik di negeri Adat Perpatih ini selepas tidak memiliki sebarang kerusi dalam DUN sebelum ini.

    “Alhamdulillah, PN sudah mula bertapak kerana sebelum ini langsung tidak ada… kosong (kerusi), sekarang kita sudah ada lima kerusi.

    ”Ini bermakna kita akan ada wakil di Dewan Undangan Negeri untuk membawakan suara pengundi,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri itu.

    Mengulas kekalahan PN di beberapa kerusi dengan majoriti sangat tipis seperti di DUN Lenggeng dan Sungai Lui, beliau menyifatkan itu sebagai pencapaian yang baik dalam pilihan raya kali ini.

    “Dengan pencapaian dengan majoriti yang kecil ini dan ia tidak akan mematahkan semangat bagi calon-calon kita di DUN berkenaan.

    “Saya juga percaya bahawa gerak kerja akan diteruskan untuk kita memikirkan semula, melihat semula, malah melipatgandakan usaha bagi mengatasi sebarang kelemahan yang ada.

    “Jadi ini saya percaya ini akan menjadi satu dorongan galakan kepada pengundi-pengundi di DUN-DUN berkenaan,” katanya di Port Dickson, hari ini.

    Rafiei turut mengucapkan terima kasih kepada semua jentera parti, sama ada tempatan dan negeri berjiran dari Melaka, Pahang dan Johor yang banyak membantu serta bekerja keras sehingga berjaya mencapai keputusan itu.

    “Bagi pihak PN Negeri Sembilan, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada negeri-negeri bantu juga kepada jentera-jentera tempatan Negeri Sembilan.

    “Saya kira apa yang dilakukan itu usaha yang bersungguh-sungguh adalah suatu petunjuk bahawa kita sebenarnya sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha menghadapi pilihan raya,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Rogol 2 anak, lelaki dihukum penjara 702 tahun, 234 sebatan

    Rogol 2 anak, lelaki dihukum penjara 702 tahun, 234 sebatan

    SEORANG bapa dijatuhkan hukuman penjara 702 tahun dan 234 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku bersalah atas 30 tuduhan rogol dan amang seksual fizikal terhadap dua anaknya, sejak enam tahun lalu.

    Tertuduh yang berusia 53 tahun didakwa melakukan perbuatan itu terhadap dua anaknya, kini masing-masing berusia 12 dan 15 tahun dengan seorang daripadanya hamil lima minggu.

    Lelaki yang juga pekerja pembersihan itu membuat pengakuan bersalah selepas setiap pertuduhan termasuk 19 kes rogol dan 11 kes cabul kehormatan dua anaknya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, lapor Berita Harian.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu sejak 2017 ketika salah seorang mangsa berusia 10 tahun dengan kejadian terakhir berlaku pada 4 Julai lalu membabitkan dua lokasi berasingan di Jeram dan Bakri, Muar.

    Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan.

    Hakim menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan merogol, 10 tahun penjara serta dua sebatan bagi kesalahan amang seksual fizikal serta tambahan hukuman bagi Seksyen 16 (1) Kanun Keseksaan iaitu dua tahun penjara dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.

    Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan semua hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan 10 Julai lalu, manakala sebatan secara berasingan.

    Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 42 tahun, manakala hukuman sebatan kekal 234 kali.

    Namun, Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah hanya membenarkan maksimum hukuman sebatan adalah 24 kali.

    Mengikut fakta kes, pegawai perubatan dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar membuat laporan polis selepas mendapati seorang mangsa hamil ketika mendapat rawatan akibat sakit dada.

    Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Abu Bakar berkata tidak ada faktor yang boleh dipertimbangkan untuk hukuman terhadap tertuduh kerana mangsa adalah anak kandungnya selain seorang daripadanya hamil.

  • BN Terengganu hormat, terima keputusan rakyat, kata Ahmad Said

    BN Terengganu hormat, terima keputusan rakyat, kata Ahmad Said

    BARISAN Nasional (BN) Terengganu akur dan menghormati keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu yang berlangsung kelmarin.

    Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kekalahan dialami itu disifatkan sebagai lumrah dalam setiap pertandingan.

    “Saya mewakili Barisan Nasional Terengganu menerima dan menghormati keputusan rakyat dalam PRN Terengganu semalam (Sabtu). Adat bertanding ada pihak kalah dan ada yang menang.

    “Penghargaan dan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera dan petugas Barisan Nasional yang memberikan komitmen yang tinggi tanpa mengenal penat dan lelah untuk membantu kempen sepanjang PRN berlangsung,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya.

    Dalam pada itu, Ahmad turut merakam penghargaan terhadap kerja keras jentera parti yang bertungkus lumus bagi memastikan kemenangan parti itu.

    “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih juga kepada penyokong dan pengundi DUN Kijal yang telah mengundi saya serta semua pengundi yang mengundi calon Barisan Nasional di negeri ini.

    “Sesungguhnya UMNO dan BN berbesar hati akan terus subur untuk menabur bakti khusus kepada ahli dan masyarakat negeri Terengganu Darul Iman ini.

    “Tidak lupa penghargaan kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), PDRM (Polis Diraja Malaysia), RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan semua yang terlibat dalam membantu proses pengundian berjalan dengan lancar,” tulisnya, lapor Sinar Harian.

    PRN kelmarin menyaksikan beberapa kejutan besar berlaku setelah Ahmad yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal tewas kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris dengan majoriti 3,758 undi.

    Razali yang merupakan muka baharu yang bertanding atas tiket Pas mengalahkan Ahmad dengan memperoleh 13,403 undi.

    Keputusan rasmi pilihan raya itu menunjukkan Pas Terengganu menyapu bersih 32 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen di negeri tersebut.