Author: Wartawan WartaRakyat

  • Scammer menyamar sebagai YB Tangga Batu, minta duit dari kenalan

    Scammer menyamar sebagai YB Tangga Batu, minta duit dari kenalan

    AHLI Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin mendedahkan nombor telefonnya digodam individu tidak bertanggungjawab dengan meminta wang daripada kenalannya.

    Menurutnya, kejadian disedari apabila dihubungi rakan kira-kira pukul 1 tengah hari pada 11 April lalu ketika berada di rumahnya di Tangga Batu, Melaka.

    Katanya, setakat ini lima kenalannya ‘terjerat’ dengan taktik scammer terbabit yang menggunakan lima nombor telefon WhatsApp hingga kerugian ribuan ringgit.

    “Asalnya dia (scammer) mengguna profil gambar saya untuk meminjam wang daripada kenalan.

    “Kemudian dia gunakan profil rakan saya itu untuk menipu saya pula dengan mengatakan nombor telefon saya digodam dan meminta tangkap layar komunikasi terakhir di Telegram.

    “Disebabkan terperdaya saya menghantar tangkap layar komunikasi seperti dimintanya hingga scammer itu dapat mengakses semua nombor dalam telefon saya,” katanya ditemui media di pejabatnya di Tangga Batu.

    Bakri membuat laporan di Balai Polis Tangga Batu pada 12 April selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

    “Setakat ini, lima kenalan saya sudah memasukkan wang dianggarkan lebih RM2,000 hingga RM3,000 ke dalam akaun scammer terbabit dengan dua daripada mereka adalah pegawai bank.

    “Saya hairan bagaimana mereka terpedaya tapi rakan beritahu mereka serahkan duit sebab percaya saya,” katanya yang meminta orang ramai berhati-hati jika menerima mesej daripada nombor telefon suspek.

    Bakri turut kesal apabila mendakwa scammer terbabit masih bebas menghantar mesej selepas laporan dibuat.

    “Sepatutnya SKMM terus halang nombor telefon scammer terbabit apabila terima aduan.

    “Jadi, pandangan saya sistem aduan SKMM perlu ditambah baik dan Insya-Allah perkara ini saya akan bawa ke Parlimen selain membuat hebahan menerusi TikTok,” katanya, lapor BH Online.

  • Najib bimbang pelaburan 1MDB di luar negara – Saksi

    Najib bimbang pelaburan 1MDB di luar negara – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak pernah menyatakan kebimbangannya kepada seorang pegawai bank Singapura mengenai pelaburan 1MDB di luar negara pada 2014.

    Kevin Michael Swampillai, bekas ketua perkhidmatan pengurusan kekayaan BSI Bank cawangan Singapura, memberi keterangan bahawa ia merupakan tanggapannya semasa panggilan telepersidangan Najib dengan salah seorang pegawai bank itu.

    Saksi pendakwaan ke-44 itu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Najib dalam kes penyelewengan dana RM2.28 bilion 1MDB.

    Menurutnya, bekas menteri kewangan itu berkomunikasi dengan pengurus perhubungan BSI ketika itu Yak Yew Chee berhubung pelaburan berbilion ringgit dalam Bridge Global Absolute Return Fund.

    Kevin berkata, dia mendengar panggilan telesidang itu dan mengingati bahawa Najib bertanya mengenai penilaian dana dan meminta dokumen tambahan yang membuktikan nilai sebenar dana luar negara itu.

    “Tanggapan saya ialah dia (Najib) bimbang, ini dimaklumkan kepada Yak. Saya tidak tahu sifat kebimbangan tersebut, tetapi ia berkaitan nilai dana (di mana wang 1MDB berakhir),” kata saksi itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

    Katanya lagi, perbualan itu hanya berlarutan selama lima minit, lapor MalaysiaKini.

    Bekas pegawai bank itu menjelaskan bahawa dia memahami kebimbangan itu kerana lazimnya media massa melaporkan isu salah satu daripada dana 1MDB ini yang melalui BSI dan kepada dana pelaburan luar negara seperti Brazen Sky Limited.

    Kevin berkata, tanggapannya terhadap kebimbangan Najib adalah mengenai laporan media berhubung dakwaan kaitan antara Brazen Sky dan Good Star Limited yang antara lain didakwa sebagai kenderaan oleh ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low).

    Saksi itu sebelum ini memberi keterangan bahawa Najib tahu tentang sifat ‘kabur’ pelaburan dana 1MDB melalui BSI dan urusan berterusan Yak dengan Low berhubung urus niaga akaun 1MDB dan syarikat berkaitan lain di bank itu.

    Kevin juga sebelum ini memberi keterangan mengenai panggilan telesidang antara Najib dan Yak, tetapi tidak secara terperinci.

    Keterangan Kevin menyentuh sebahagian daripada aliran wang 1MDB yang rumit, merangkumi empat fasa yang merangkumi tempoh tiga tahun yang didakwa dikaitkan dengan Najib.

    Bekas perdana menteri itu menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB.

    Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

    Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

    Pada 23 Okt 2020, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengenakan larangan seumur hidup ke atas Kevin berhubung urusan 1MDB.

  • Pemandu lori didakwa miliki diesel bersubsidi

    Pemandu lori didakwa miliki diesel bersubsidi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMANDU Lori didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan menyeleweng 1,450 liter diesel bersubsidi tahun lalu.

    Moo Yit Lim, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Berdasarkan kewqrtas pertuduhan, Lim didakwa memiliki barang kawalan yang juga adalah barang berjadual itu dalam dua tong plastik putih dalam lori Daihatsu ketika diserbu polis di Jalan Setia 11/3, Taman Setia Indah di Johor Barhu pukul 8 malam pada 27 Julai 2022.

    Sehubungan itu tertuduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan berjadual secara borong atau runcit tanpa lesen.

    Perbuatan itu adalah kesalahan di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (1) akta sama.

    Mengikut fakta kes, pemeriksaan badan ke atas tertuduh menemukan kunci dan resit pembelian diesel dari pelbagai stesen minyak sebanyak 22 keping berjumlah RM4,300.

    Tertuduh gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit untuk menyimpan dan berurusan dengan bahan bersubsidi itu apabila diminta oleh anggota serbuan.

    Pemeriksaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati pengubahsuaian dilakukan terhadap lori terbabit dengan terdapat sambungan paip dari tangki utama kenderaan ke tangki bahan api tambahan.

    Sebuah pam dipasang dan disambungkan pada tangki utama kenderaan bertujuan untuk memindahkan diesel dari tangki utama kenderaan ke tangki bahan api tambahan yang telah diubahsuai pada kenderaan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff manakala orang kena saman (OKS) tersebut tidak diwakili peguam.

  • Sivakumar tak perlu ‘direhatkan’, kata Anwar

    Sivakumar tak perlu ‘direhatkan’, kata Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada keperluan untuk Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar direhatkan berhubung siasatan yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    Anwar berkata mana-mana pihak tidak boleh membuat telahan sendiri memandangkan ia masih dalam siasatan dan tiada sebarang pertuduhan yang dibuat setakat ini.

    “Dalam kes khususnya Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, itu tak wajar kita berikan apa-apa telahan selain daripada kenyataan yang beliau dipanggil untuk berikan jawapan terhadap perkara yang dibangkitkan oleh SPRM,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Pada Khamis, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Setiausaha Sulit kepada Sivakumar ditahan.

    Penahanan Setiausaha Sulit menteri itu dilakukan SPRM pukul 2.30 pagi selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada Sivakumar ditahan sebelum itu.

    Sebelum ini Warta Rakyat melaporkan, pegawai tugas-tugas khas Sivakumar ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pengambilan pekerja asing.

    Hari ini, Sivakumar menafikan laporan media kononnya kediaman beliau digeledah SPRM semalam.

    Penafian itu selepas tular berita mendakwa SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Menteri Sumber Manusia itu.

    Ini dikatakan sebahagian daripada siasatan dijalankan SPRM susulan dakwaan kes rasuah dalam pengambilan pekerja asing yang turut membabitkan beberapa pegawai kanan kementerian terbabit.

  • PM: Pasukan petugas 1MDB teliti semula penyelesaian Goldman Sachs

    PM: Pasukan petugas 1MDB teliti semula penyelesaian Goldman Sachs

    PASUKAN petugas khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diketuai Datuk Seri Johari Abdul Ghani sedang meneliti semula perjanjian penyelesaian Goldman Sachs dengan kerajaan berkaitan 1MDB.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Johari bahawa perjanjian itu yang menyaksikan institusi perbankan itu hanya membayar kira-kira AS$2.5 bilion kepada Malaysia perlu diteliti semula.

    “Johari Ghani sedang tumpu dan dalam maklumat awal, nampak ia masih berpandangan ia harus dirungkai semula perjanjian dengan Goldman Sachs.

    “Saya setuju kerana pada awal saya anggap (penyelesaian 1MDB) ini dibuat secara tergopoh-gapah,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Sebelum ini Warta Rakyat melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia sepatutnya menerima pampasan lebih tinggi daripada Goldman Sachs berhubung skandal 1MDB, berbanding penyelesaian yang dicapai ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Bagaimanapun, Mahathir berkata perkara itu tidak berlaku kerana Muhyiddin terlalu bermurah hati.

    “Kita berpendapat Goldman Sach patut bayar lebih daripada yang dipersetujui oleh Muhyiddin.

    “Muhyiddin begitu murah hati, dia bayar sikit saja duit cukuplah. Tetapi kita berpendapat bahawa Goldman Sach sepatutnya bayar sekurang-kurangnya AS$ 8 bilion,” katanya pada sidang akhbar 19 Mac lalu.

  • Tak percaya harga tiket boleh tanya penumpang sendiri – Loke

    Tak percaya harga tiket boleh tanya penumpang sendiri – Loke

    MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke mempelawa Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong hadir ke lapangan terbang untuk bertanya sendiri kepada penumpang berkaitan harga tiket pesawat mereka.

    Gesaan itu dibuat setelah pemimpin DAP dan MCA itu bertelagah berkaitan harga tiket yang didakwa Ka Siong sebagai mahal sehingga mencecah lebih RM3,000 semasa musim perayaan ini.

    “Saya mahu buat undangan terbuka kepadanya pada 20 April untuk hantar (penumpang) pesawat KL-Tawau,” ujar Setiausaha Agung DAP itu.

    Tambahnya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson:”Harganya RM249 untuk semua tiket dengan 185 orang penumpang.”

    “Jika dia tidak percaya tambangnya murah, saya jemput dia untuk wawancara setiap penumpang pada Khamis malam,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Ka Siong yang juga bekas Menteri Pengangkutan sebelum ini mendakwa tiket pesawat MAS dari Kuala Lumpur ke Tawau naik sehingga RM3,138 pada 20 April.

    Hari raya puasa akan disambut pada 21 atau 22 April ini.

  • Ismail Sabri macam nak lihat perpecahan kerajaan perpaduan, kata Loke

    Ismail Sabri macam nak lihat perpecahan kerajaan perpaduan, kata Loke

    DAP tidak dapat ‘membaca’ apa yang terkandung dalam pandangan diutarakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kedudukan kerajaan perpaduan sekarang.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebaliknya menasihatkan Ahli Parlimen Bera itu agar memahami pembentukan kerajaan selepas PRU pada tahun lalu adalah dengan mengikut nasihat Yang di-Pertuan Agong.

    Sebagai parti yang menjunjung Rukun Negara, katanya, DAP setia dan patuh kepada pandangan yang diberikan Agong agar kerjasama dalam kerajaan peraduan diperkukuhkan.

    “Janganlah sebagai bekas Perdana Menteri dia tiap-tiap hari ingin melihat perpecahan dalam kerajaan ini.

    “Saya tak tahulah apa apa hasrat beliau (sebab) seolah-olah nak lihat perpecahan dalam kerajaan perpaduan yang ada pada hari ini,” katanya juga Menteri Pengangkutan ketika ditemui pada sidang media di Putrajaya hari ini.

    Terdahulu media melaporkan Ismail Sabri sebagai menyandarkan perselisihan faham di antara pemimpin UMNO dan DAP ketika ini seperti sebuah perkahwinan paksa.

    Kata Ismail Sabri, dalam sesebuah perkahwinan ia mestilah dibina atas dasar suka sama suka, bukannya paksaan.

    “Apa pun yang kita buat mesti suka sama suka, kahwin paksa memang tak akan jadi. Jadi kalau kawin paksa macam ini, tidak ada perasaan antara satu sama lain, akan berlakulah keretakan.

    “Setakat ini baru permulaan tetapi dah ada DAP komen tentang UMNO. UMNO komen tentang DAP. Kahwin paksa tidak boleh, dia mesti suka sama suka,” katanya dipetik Utusan Online di Kuala Lumpur.

    Pergeseran di antara kedua-dua parti berlaku semakin ketara sejak akhir-akhir ini termasuk membabitkan isu mendapatkan pengampunan buat seorang lagi bekas perdana menteri dari UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

    Suasana tidak harmoni itu berlaku ketika Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) cuba bekerjasama menjelang pilihan raya negeri tidak lama lagi.

    Loke berkata, pada asasnya sesebuah perkahwinan merupakan suatu institusi yang mesti dilindungi dan dalam konteks kerjasama politik, tidak wajar ia disamakan begitu.

    “Ia (perkahwinan) tidak terpakai dalam konteks kerjasama politik. Kerjasama politik bukan sebuah perkahwinan, sebab ia melibatkan pembentukan kerajaan yang stabil.

    “Kerjasama itu juga digalakkan oleh Agong. Justeru saya suka mengingatkan Ismail Sabri bahawa kerjasama ini di antara PH dan BN untuk membentuk kerajaan perpaduan adalah atas nasihat Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

  • Tiada arahan PM untuk Sivakumar bercuti

    Tiada arahan PM untuk Sivakumar bercuti

    TIADA sebarang arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar untuk bercuti susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelulusan pekerja asing.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan sedang memantau perkembangan kes tersebut membabitkan Sivakumar yang merupakan wakil rakyat daripada parti tersebut.

    “Setakat ini tidak ada arahan daripada Perdana Menteri untuk Sivakumar mengambil cuti,” katanya menerusi sidang akhbar di kementeriannya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pada Khamis, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Setiausaha Sulit kepada Sivakumar ditahan.

    Penahanan Setiausaha Sulit menteri itu dilakukan SPRM pukul 2.30 pagi selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada Sivakumar ditahan sebelum itu.

    Sebelum ini Warta Rakyat melaporkan, pegawai tugas-tugas khas Sivakumar ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pengambilan pekerja asing.

    Hari ini, Sivakumar menafikan laporan media kononnya kediaman beliau digeledah SPRM semalam.

    Penafian itu selepas tular berita mendakwa SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Menteri Sumber Manusia itu.

    Ini dikatakan sebahagian daripada siasatan dijalankan SPRM susulan dakwaan kes rasuah dalam pengambilan pekerja asing yang turut membabitkan beberapa pegawai kanan kementerian terbabit.

  • Lari dari tahanan, dua warga Indonesia dipenjara 8 bulan

    Lari dari tahanan, dua warga Indonesia dipenjara 8 bulan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Majistret Kulai hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap dua tahanan warga Indonesia atas pertuduhan melarikan diri ketika dalam perjalanan dari Mahkamah Sesyen Kota Tinggi ke Penjara Ledang pada Selasa lalu.

    Riki Ranaldi, 40, dan Haji Samirudin, 36 dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Azureen Sahari Sauffee Afandi.

    Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati sengaja melarikan diri daripada jagaan Maritim Malaysia yang mana mereka telah ditahan secara sah bagi kesalahan di bawah Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1963/56.

    Kesalahan itu dilakukan ketika kedua-dua tertuduh di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang, Kulai pada pukul 10.50 pagi, 11 April.

    Justeru itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Mengikut fakta kes, tiga anggota Maritim Malaysia telah membawa empat lelaki warga Indonesia dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang dengan menaiki sebuah van.

    Semasa dalam perjalanan, kedua-dua tertuduh membuka gari berantai dan pintu belakang van lalu terjun melarikan diri.

    Kemudian, tiga anggota Maritim Malaysia cuba mengejar kedua-dua tertuduh tetapi tidak berjaya kerana telah berpecah dan lari masuk ke dalam kebun kelapa sawit terbiar berhampiran jalan raya.

    Sebelum itu, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Edelynn memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada masyarakat.

    Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap kedua-dua tertuduh.

    Media sebelum ini melaporkan kedua-dua suspek yang melarikan diri itu, berjaya ditangkap semula dalam tempoh 24 jam 1.5 kilometer dari lokasi kejadian dengan kedua-dua tahanan telah menukar baju lokap yang dipakai dengan baju-T dan seluar jean dipercayai dicuri.

    Kedua-dua tahanan itu mengalami cedera ringan selepas bertindak terjun dari van untuk meloloskan diri.

  • RM1.2 juta rokok seludup dirampas dalam serbuan di rumah sewa

    RM1.2 juta rokok seludup dirampas dalam serbuan di rumah sewa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENJADIKAN sebuah rumah sewa sebagai tempat penyimpanan rokok seludup sebelum diedar ke kedai-kedai runcit sekitar daerah Muar.

    Itu modus operandi seorang lelaki yang aktif menjalankan mengedar rokok seludup untuk pasaran setempat.

    Bagaimanapun kegiatan tersebut terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam melakukan serbuan di sebuah rumah di Naib Kadir, Bukit Pasir, di Muar, Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, menerusi serbuan itu pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun.

    “Hasil serbuan, polis merampas 395 karton atau 57,000 batang rokok kretek dan 5,553 karton atau 1.07 juta batang rokok putih.

    “Nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai bernilai lebih RM1.2 juta ringgit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di Muar hari ini.

    Beliau berkata, serbuan dibuat hasil risikan polis dan PGA Simpang Renggam sejak sebulan lalu.

    Katanya, bekalan rokok berkenaan diperoleh dari Batu Pahat dan Kuala Lumpur yang didalangi seorang lelaki bernama Ah Meng.

    Menurutnya, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak dipercayai bergiat aktif mengedar rokok seludup sejak setahun lalu.

    “Suspek bekerja sebagai penghantar rokok kepada pembeli-pembeli yang merupakan pengusaha kedai runcit di daerah Muar,” ujar beliau.

    Jelasnya, suspek menyewa rumah itu untuk dijadikan stor penyimpanan rokok sebelum diedar untuk pasaran tempatan.

    Suspek direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, katanya.