Author: Wartawan WartaRakyat

  • Umat Islam di Arab Saudi menyambut 1 Syawal pada hari ini (Jumaat)

    Umat Islam di Arab Saudi menyambut 1 Syawal pada hari ini (Jumaat)

    UMAT Islam di Arab Saudi menyambut 1 Syawal pada hari ini iaitu pada Jumaat.

    Saudi Press Agency melalui kenyataan di Twitter mengumumkan bahawa umat Islam di negara berkenaan akan menyambut Aidilfitri pada Jumaat, 21 April 2023.

    Selain Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Jordan, Libya, Palestin dan Sudan juga mengumumkan 1 Syawal bermula hari ini.

    Sementara itu, umat Islam di Pakistan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu.

    Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Ruet-e-Hilal Pusat di Islamabad.

    Pada satu sidang media, pengerusi panel melihat anak bulan, Maulana Abdul Khabir Azad berkata, jawatankuasa itu sebulat suara memutuskan Hari Raya Puasa ditetapkan pada Sabtu.- Agensi

  • Pengundi beri respons dingin hasrat UMNO tanding di Permatang Pauh

    Pengundi beri respons dingin hasrat UMNO tanding di Permatang Pauh

    PARA pengundi memberi respons dingin terhadap hasrat UMNO bertanding di satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung pertengahan tahun ini.

    Respons berkenaan mempunyai kaitan dengan faktor sejarah dasar perkauman parti tersebut dan dakwaan rasuah terhadap pemimpin-pemimpin mereka.

    Tiga kerusi yang menjadi sasaran UMNO pada PRN itu ialah di DUN Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.

    Pada PRN lalu, PKR menang di Seberang Jaya dan Penanti, manakala Amanah di Permatang Pasir, tetapi Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Zaidi Said baru-baru ini berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu mempertimbangkan satu kerusi diberikan kepada UMNO sebagai tanda muhibah kepada sekutu kerajaan Persekutuan.

    Suhaimi Saad, pesara berusia 62 tahun dari Permatang Pasir berkata, penyandang Pakatan Harapan (PH) perlu dibenarkan mempertahankan kerusi mereka pada PRN akan datang.

    “Ini kerana, rasuah dalam UMNO yang sebati dengan budayanya. Walaupun UMNO membangunkan kawasannya, wujud ketirisan ketika mereka mengendalikan projek untuk rakyat,” kata penyokong PH itu

    Namun katanya, jika kerusi Permatang Pasir diberikan kepada UMNO, beliau akan mengundi calon itu selagi individu itu diluluskan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bebas daripada rasuah.

    Pengundi Seberang Jaya, T. Marathamuthu, 72, berkata, dia tidak akan mengundi pada PRN, jika kerusi itu diberikan kepada UMNO.

    Pesara itu mendakwa UMNO menyebabkan ’60 tahun kerosakan’ terhadap negara dengan politik perkaumannya, berbeza dengan politik berbilang kaum dan liberal diamalkan DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Dia turut merujuk desakan parti itu untuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat pengampunan diraja atas sabitannya atas tuduhan berkaitan rasuah.

    “Ramai yang membantah langkah itu, jadi saya tidak nampak kenapa Seberang Jaya perlu diberikan kepada UMNO,” katanya memetik laporan FMT.

    Seorang lagi pengundi Seberang Jaya yang mahu dikenali sebagai Navin berkata, UMNO tidak akan dapat memenangi hati pengundi bukan Melayu yang selesa dengan PH.

    Katanya, politik perkauman UMNO ‘tidak disenangi’ dan mengkritik parti itu atas diskriminasi kaum dalam pemberian biasiswa pendidikan tinggi, yang menurutnya merugikan ramai belia India berbakat.

    Bagi Pengundi Permatang Pasir, Shawal Ramlee, 29, pula tidak terganggu dengan hasrat UMNO bertanding di kawasan itu kerana undiannya berdasarkan kualiti calon, bukannya parti mereka.

    “Saya hanya harap sesiapa yang menang dapat menjalankan tugas dengan baik dan berkhidmat kepada rakyat, tanpa mengira mereka dari parti mana.”

    Seorang lagi pengundi muda berusia 20-an dari Seberang Jaya, yang mahu dikenali sebagai Jegathis, sependapat dengan Shawal dengan berkata: “Calon sepatutnya orang yang akan mendengar keperluan dan masalah kita. Dan manifesto mereka perlulah praktikal.”

  • Laporan dakwa M’sia sedang usahakan perjanjian bawa balik Jho Low

    Laporan dakwa M’sia sedang usahakan perjanjian bawa balik Jho Low

    PEGAWAI kerajaan Malaysia sedang mengusahakan perjanjian dengan China yang akan menyaksikan ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho dihantar pulang ke Malaysia, menurut bekas wartawan Wall Street Journal, Bradley Hope.

    Dia mendakwa beberapa sumber berkata, usaha itu sedang ‘didebatkan secara hangat’ oleh kerajaan Malaysia susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China bulan lepas.

    “Perjanjian sedemikian melibatkan penghapusan jelas mengenai penglibatan China dalam perjanjian yang distrukturkan oleh Jho Low untuk menutup penipuan 1MDB, percubaan China untuk menguatkan kerjaya politik Datuk Seri Najib Razak (termasuk dalam sokongan tunai), menyusun semula projek Belt and Road Initiative di Malaysia untuk menjadi lebih ekonomi dan bermanfaat kepada keperluan infrastruktur Malaysia dan menyerahkan Jho Low (dan semua rampasan rompakannya).

    “Ini akan menjadi sesuatu yang besar, menarik dan menandakan berakhirnya cerita utama skandal 1MDB sejak penubuhannya pada 2009 hingga kejatuhannya akibat skandal pada 2015 dan segala pesta dan perbelanjaan yang tidak masuk akal sehingga 2023.

    “Ini juga mungkin bermakna pemulihan tunai yang besar bagi Malaysia, kerana (Low) – menurut anggaran kami dan sumber yang telah mengikuti kes itu dengan rapat masih mengawal simpanan tunai bernilai berbilion dolar,” tulisnya, lapor MalaysiaKini.

    Dakwaan itu diterbitkan dalam edisi buletin Whale Hunting hari ini, yang dikendalikannya bersama rakan wartawan Tom Wright.

    Kedua-duanya adalah pengarang bersama buku Billion Dollar Whale yang mengupas mengenai peranan Low dalam skandal 1MDB.

    China sebelum ini menafikan berkali-kali bahawa mereka memberikan perlindungan kepada Jho Low, tetapi laporan bahawa dia bersembunyi di negara itu masih berterusan.

    Merumitkan keadaan, Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China.

  • Menteri Sarawak gelar Ahli Parlimen DAP ‘dungu’ berkait penerbangan butik

    Menteri Sarawak gelar Ahli Parlimen DAP ‘dungu’ berkait penerbangan butik

    DUA ahli Parlimen Sarawak bertelagah berhubung cadangan kerajaan negeri menubuhkan syarikat penerbangan butik.

    Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah membidas Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii dengan melabelkannya sebagai ‘dungu’ kerana mempersoalkan kemampanan ekonomi mempunyai syarikat dimiliki kerajaan negeri.

    Ini susulan Yii pada kelmarin, mengingatkan kemungkinan jamin keluar (bailout) memberi kesan negatif kepada ekonomi negeri dan menggesa lebih banyak maklumat dikemukakan membabitkan kos projek, analisis kos-manfaat, dan pihak yang terlibat.

    Beliau juga menuntut kerajaan Sarawak bekerjasama dengan syarikat penerbangan nasional dan swasta dalam meningkatkan kesalinghubungan terutama di laluan domestik, dengan menawarkan insentif dan subsidi.

    Bagaimanapun, Karim mempertahankan inisiatif penerbangan butik berkenaan, sambil menyatakan kerajaan perlu melaksanakan pelan besar itu walaupun tidak mengaut keuntungan memandangkan ‘Sarawak berada di pulau’, lapor Dayak Daily.

    Katanya, rakyat Sarawak terpaksa menanggung tambang penerbangan terlampau mahal, terutama pada musim perayaan, dan penerbangan butik membuka laluan kepada kerajaan negeri menentukan harga tambang.

    “Tiba-tiba ‘dungu’ ini datang. Apabila saya baca (kenyataan), saya kecewa. Apa yang sebenarnya beliau mahu sampaikan,” kata Karim dipetik sebagai berkata.

    Dalam pada itu, Yii memberi maklum balas beliau sebenarnya ‘dungu’ jika tidak menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam langkah berisiko itu kerana memberi kesan besar kepada negeri dan rakyatnya.

    Beliau menyokong inisiatif demi kebaikan Sarawak, namun berpendirian tegas sama ada penerbangan butik merupakan langkah terbaik meningkatkan kesalinghubungan dan menstabilkan harga tambang.

    “Jadi, berbanding menunjukkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dengan kos keseluruhan projek, termasuk kajian kebolehlaksanaan dan kemampanan, serta analisis kos-manfaat, mereka akhirnya menggunakan gaya politik remeh dengan memberi ‘gelaran’ untuk mengelak isu sebenar,” katanya dalam kenyataan.

    Yii berkata, kenyataan Karim itu mengesahkan desakan menubuhkan penerbangan butik adalah untuk ‘menstabilkan’ harga tambang penerbangan ketika musim perayaan dan menteri mengakui langkah itu tidak menguntungkan.

    “Kita tidak mahu melihat selepas beberapa tempoh, kerajaan Sarawak tidak mempunyai pilihan apabila menggunakan sejumlah besar dana awam untuk jamin keluar syarikat penerbangan itu untuk terus beroperasi kerana tidak mampan,” katanya.

  • Umat Islam sambut Aidilfitri Sabtu, 22 April

    Umat Islam sambut Aidilfitri Sabtu, 22 April

    UMAT Islam akan menyambut Aidilfitri Sabtu ini, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi.

    “Bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan raja-raja, maka dengan ini saya mengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ialah pada Sabtu, 22 Apr 2023,” katanya malam ini.

    Pengumuman tarikh Aidilfitri itu disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan.

    Ini bermakna, Jumaat akan menjadi cuti tambahan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini.

    Terdahulu, Anwar turut mengumumkan pengecualian tol selama empat hari dari 19 hingga 21 April (Rabu hingga Jumaat), dan pada 24 April (Isnin depan).

    Pengecualian tol ini meliputi 33 lebuh raya dan semua kelas kenderaan, katanya.

    Sementara itu, turut diumumkan hari ini bahawa polis akan memberikan kadar khas bayaran saman, iaitu RM50, bermula 21 April hingga 21 Mei, bagi semua saman trafik polis membabitkan kesalahan tahun lepas dan sebelumnya.

  • Segelintir umat Islam Indonesia sambut Aidilfitri hari ini

    Segelintir umat Islam Indonesia sambut Aidilfitri hari ini

    SEGELINTIR umat Islam di Indonesia sudah meraikan Hari Raya Aidilfitri pada hari ini.

    Menurut laporan Kompas, jemaah Tarekat Naqsabandiyah di Padang, Sumatera Barat dan jemaah Masjid Aolia di Yogyakarta sudah melaksanakan solat sunat Aidilfitri hari ini.

    Imam Surau Baru Kota Padang dikenali sebagai Zahar berkata, jemaah berkenaan mula melaungkan takbir raya semalam.

    “Pagi ini kita melaksanakan solat Aidilfitri selepas berpuasa selama 30 hari,” katanya.

    Jemaah berkenaan dikatakan membuat pengiraan berdasarkan cara hisab Munjid, yang menyambut lebaran lebih awal dari keputusan kumpulan pemerhati kerajaan, sama seperti tahun sebelumnya.

    Selain jemaah Tarekat Naqsabandiyah, jemaah Masjid Aolia turut meraikan 1 Syawal hari ini di Yogyakarta.

    Imam Jemaah Masjid Aolia Ibnu Hajar, Sholeh Pranolo atau dipanggil Mbah Benu berkata, lebaran tahun ini disambut lebih awal kerana keyakinan dan perjalanan spiritual.

    “Sebenarnya ini adalah kerana keyakinan. Di Indonesia kita boleh beraya awal atau puasa awal. Tiada masalah.

    “Yang penting jaga kesatuan dan jangan menyalahkan yang lain,” katanya.

    Dilaporkan jemaah Aolia turut berada di Sulawesi, Kalimantan, Sumatera, India, Filipina, hingga China.

  • SPRM sudah sita dua akaun Bersatu

    SPRM sudah sita dua akaun Bersatu

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dua akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 11 April lalu untuk tindakan lanjut selepas dibekukan pada 12 dan 13 Januari lalu.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sitaan ke atas dua akaun parti terbabit dibuat setelah pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.

    “Tindakan sitaan dilakukan selepas akaun terbabit dibekukan pada 12 dan 13 Januari lalu, mengikut Seksyen 44 AMLATFPUAA 2001 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.

    “Susulan itu, SPRM melaksanakan tindakan sitaan itu pada 11 April lalu berhubung siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan AMLATFPUAA 2001,” menurut kenyataan itu, lapor Berita Harian.

    Kenyataan itu menyebut, penjelasan berkenaan adalah bagi menjawab laporan berita akhbar, The Edge CEO Morning Brief pada 19 April lalu, yang bertajuk, ‘Bersatu asks MACC why two accounts still frozen after 90 days’.

    Difahamkan, pembekuan akaun berkenaan dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion, yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.

    Namun, sehingga kini, kedua-dua pihak, sama ada SPRM atau Bersatu tidak mendedahkan nilai akaun milik BERSATU yang dibekukan sebelum ini.

  • Mengaku tak bersalah cederakan 2 anggota polis dengan pisau Rambo

    Mengaku tak bersalah cederakan 2 anggota polis dengan pisau Rambo

    SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas tuduhan mencederakan dua anggota polis dan memiliki pisau Rambo, minggu lalu.

    Tertuduh, Zulhilmi Husni Azmi, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohamad Arif Ismail dan Aminullah Islahuddin Selvan masing-masing berusia 28 tahun dengan menggunakan sebilah pisau Rambo yang mana boleh menyebabkan kematian.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, lapor Harian Metro.

    Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa memiliki senjata berbahaya di tempat awam iaitu sebilah pisau Rambo tanpa maksud yang sah.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang boleh dipenjara minimum lima tahun hingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

    Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan semak tepi jalan Kampung Siput Meranti, di sini, kira-kira 6 petang pada 13 April lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falena Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Muhamad.

    Terdahulu, Hajarul Falena memohon tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana lelaki itu turut mempunyai kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret.

    Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula untuk laporan perubatan mangsa.

    Media sebelum ini melaporkan, dua anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera selepas bergelut dengan suspek di Kampung Siput, Meranti, di Pasir Mas.

    Muhamad Arif mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan akibat ditikam selain luka pada pergelangan tangan serta pipi, manakala Aminullah pula cedera di lengan kiri, tangan dan tapak tangan.

  • PM lulus permohonan Dong Zong:Sekolah persendirian Cina dapat bantuan RM15.75 juta

    PM lulus permohonan Dong Zong:Sekolah persendirian Cina dapat bantuan RM15.75 juta

    KERAJAAN meluluskan bantuan khas RM15.75 juta kepada 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    “Dengan ini, saya ingin mengumumkan bahawa permohonan ini telah diluluskan oleh perdana menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan media berbahasa Cina sebentar tadi.

    Setiausaha agung DAP itu berkata setiap sekolah akan menerima bantuan RM250,000, yang akan diberikan dua minggu selepas cuti hari raya puasa, dengan majlis penyerahan rasmi pada 5 Mei.

    Kelulusan itu diberikan Anwar susulan permohonan bertulis daripada Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pada 28 Februari lalu, tambah Loke.

    Menurut laporan MalaysiaKini, bantuan ini adalah yang kelima diberikan. 

    Ia bermula pada 2019, setahun selepas kali pertama Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pusat.

    Berikut jumlah bantuan yang diberikan sebelum ini:

    • 2022: 15 juta
    • 2021: 15 juta
    • 2020: 15 juta
    • 2019: 12 juta
  • Batal festival Aidilfitri saat akhir, penganjur ditahan

    Batal festival Aidilfitri saat akhir, penganjur ditahan

    POLIS menahan tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat untuk siasatan berkaitan festival beli belah sempena Aidilfitri di Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang dibatalkan pada saat akhir.

    Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, tiga individu itu ditahan susulan beberapa laporan polis yang dibuat peniaga yang menyertai festival tersebut.

    Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuka satu kertas siasatan berkaitan laporan tersebut bagi siasatan selanjutnya dijalankan.

    “Susulan siasatan dijalankan, tiga individu terdiri daripada pengarah syarikat serta penganjur festival antaranya seorang lelaki berumur 23 tahun dan dua wanita tempatan berumur 50 dan 51 tahun

    “Semua individu itu ditahan direman dua hari bagi membantu siasatan.

    “Semakan mendapati semua individu yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, setakat kini sebanyak enam laporan polis telah diterima berkaitan kes yang disiasat itu.

    Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, lapor FMT.

    Sebelum ini, satu festival membeli-belah sempena sambutan Aidilfitri yang dijadual semalam sehingga esok di WTC terpaksa dibatalkan pada saat akhir.

    Keadaan itu menyebabkan peniaga yang menyertai festival berkenaan mendakwa mengalami kerugian besar.