Author: Wartawan WartaRakyat

  • Untitled post 73207

    ‘’Inshaallah kita akan raikan sebagai tetamu istimewa’’ – MB Terengganu

    KERAJAAN negeri Terengganu mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet bagi menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Madani pada 13 Mei ini.

    Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri bersikap terbuka dan akan menghulurkan bantuan bagi menyambut Aidilfitri menerusi penganjuran rumah terbuka itu.

    Tegas beliau, perbezaaan parti politik yang memerintah di peringkat negeri dan pusat bukan halangan untuk mereka bekerjasama.

    “Walau apa pun objektif (atau) yang ingin dicapai oleh pihak (kerajaan) Persekutuan tetapi bagi pihak kerajaan negeri, kami sangat terbuka dan mengalu-alukan kedatangan rombongan Perdana Menteri dan semua anggota Kabinet untuk berhari raya di Terengganu.

    “Kita cuba buktikan bahawa kita di Terengganu walaupun berbeza parti politik yang memerintah di negeri dan Persekutuan tetapi kita sesekali tidak menganggap ia sebagai satu halangan untuk bekerjasama.Jadi sila datang, Insya-Allah kita raikan sebagai tetamu yang istimewa,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian kepada wartawan pada  Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di  Kuala Terengganu hari ini.

    Buat pertama kali dalam sejarah majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri akan diadakan di luar Lembah Klang.

    Selain Terengganu, Kedah, dan Kelantan, majlis serupa juga akan diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

    Kerajaan negeri akan menjadi tuan rumah majlis berkenaan dan disokong oleh kementerian persekutuan.

    Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri yang terlibat juga akan dijemput hadir pada majlis rumah terbuka itu.

    Sementara itu, ketika ditanya adakah acara berkenaan  bertujuan meraih undi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, dia menyerahkan kepada masyarakat untuk membuat penilaian dan tafsiran sendiri.

    “Terpulang pada tafsiran semua orang tetapi kita di peringkat negeri Terengganu, Insha-Allah kita mengalu-alukan kehadiran mereka. Kita tidak merasakan apa-apa (sebaliknya), kita rasa sangat gembira (dan) datang (ke Terengganu). Insha-Allah, kita raikan mereka,” katanya.

  • Pegawai Sivakumar kembali bertugas, Bersatu desak SPRM dedah siasatan

    Pegawai Sivakumar kembali bertugas, Bersatu desak SPRM dedah siasatan

    Sayap Bersekutu Bersatu menggesa SPRM supaya mendedahkan status terkini siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan dua pegawai kanan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

    Ketua Penerangannya, S Subramaniam berkata, ia susulan terlalu banyak spekulasi terhadap siasatan dakwaan rasuah bernilai RM97 juta yang dikatakan melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing dan konflik kepentingan.

    “Kami meminta SPRM segera memberi satu penjelasan mengenai siasatan ini. Ini kerana terlalu banyak spekulasi dan kesimpulan berhubung kes ini. Antaranya, dua pegawai kanan menteri yang disiasat sebelum ini, kini kembali bertugas selepas tamat tempoh reman.

    “Adakah ini bermakna siasatan ini sudah selesai? Apakah kedua-dua pegawai itu sudah dibebaskan daripada siasatan? Penjelasan ini amat penting kerana sekiranya kedua-dua pegawai itu masih dalam siasatan, maka keputusan menteri untuk membenarkan mereka kembali bertugas kemungkinan akan mengganggu siasatan,” katanya lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata, penjelasan SPRM amat penting untuk mengelakkan orang ramai atau netizen dalam media sosial membuat sebarang spekulasi.

    “Kita semua tahu, dua pegawai digantung kerana terlibat dalam siasatan. Namun, ramai tidak tahu bahawa pegawai ketiga digantung merupakan anak kandung kepada setiausaha sulit. Setahu saya, tidak pernah dalam sejarah seorang ibu dan anaknya dilantik sebagai pegawai oleh mana-mana menteri. Ini yang kami gesa SPRM mendedahkan perkembangan siasatan ini.

    “Saya hairan SPRM sehingga hari ini tidak membuat sebarang kenyataan berhubung siasatan ini. Ketika siasatan hakim Nazlan dan kes pembekuan akaun bank Bersatu, mereka (SPRM) bersungguh-sungguh memberi kenyataan.Tapi, bila melibatkan menteri mereka mengambil sikap berdiam,” katanya.

    Minggu lalu SPRM juga menahan tiga orang – dua daripada mereka adalah pegawai kanan menteri dan seorang ahli perniagaan dari Ipoh, Perak. Ketiga-tiga mereka telah dibebaskan selepas perintah reman mereka tamat.

    Terdahulu SPRM memanggil Sivakumar dua kali berhubung siasatan berhubung kes kelulusan pekerja asing.

  • Ucapan khas Muhyiddin sempena Hari Raya Aidilfitri

    Ucapan khas Muhyiddin sempena Hari Raya Aidilfitri

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia yang akan menyambutnya di seluruh negara esok.

    Berikut adalah perutusan penuh bekas Perdana Menteri itu yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu):

    Apa khabar semua, alhamdulillah esok seluruh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia akan menyambut Aidilfitri.

    Aidilfitri merupakan hari kemenangan kita semua setelah sebulan berpuasa melaksanakan ibadah-ibadah sunat yang dituntut serta menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah.

    Semoga Allah SWT terima amalan kita sepanjang Ramadan, ampuni dosa-dosa kita dan menjadikan kita insan yang lebih baik.

    Dalam kita bergembira menyambut Aidilfitri ini, jangan sesekali kita lupa insan yang tidak bernasib baik. Bantulah dan santunilah meraka.

    Kepada yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman, hati-hati memandu, sentiasa berwaspada dan utamakan keselamtan di jalan raya.

    Saya doakan anda semua tiba di kampung halaman dalam keadaan selamat, insya-Allah.

    Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin daripada saya sekeluarga, terima kasih.

  • Tersilap sasaran, warga emas maut ditetak dengan parang

    Tersilap sasaran, warga emas maut ditetak dengan parang

    SEORANG warga emas menjadi mangsa keadaan apabila maut ditetak kerana disalah anggap sebagai individu lain dalam kejadian di Siburan, Sarawak.

    Menurut Utusan Borneo, suspek yang bersenjatakan parang pada mulanya mahu menyerang adiknya yang melarikan diri susulan pertengkaran di kediaman mereka selepas berbuka puasa.

    Namun, malang menimpa warga emas itu yang secara kebetulan dalam perjalanan ke kedai apabila ditetak suspek.

    Ketua Polis Simunjan Wong Tee Kui berkata, suspek merupakan warga tempatan berusia 43 tahun.

    “Kejadian dipercayai berlaku sekitar 7.40 malam kelmarin, di mana mangsa seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun telah disahkan meninggal dunia.

    “Susulan itu, suspek telah ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Wong turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

  • PM mohon bantuan Jerman pindahkan rakyat Malaysia dari Sudan

    PM mohon bantuan Jerman pindahkan rakyat Malaysia dari Sudan

    KERAJAAN Malaysia memohon bantuan Jerman untuk membantu dalam usaha memindahkan rakyat Malaysia dari Sudan susulan konflik semakin meruncing antara Sudanese Armed Forces (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF) di kebanyakan lokasi di Khartoum.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kiriman menerusi Facebook hari ini berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier, semalam.

    Ketika perbualan itu, Perdana Menteri berkata, beliau berkesempatan memohon bantuan daripada pihak Jerman untuk membantu dalam usaha pemindahan rakyat Malaysia dari Sudan.

    “Dalam hal ini, Kementerian Luar Negeri Malaysia akan menggembleng segala usaha bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara terjamin,” katanya, lapor Berita Harian.

    Anwar juga membincangkan dengan Steinmeier isu-isu hubungan dua hala Malaysia-Jerman, kerjasama anti-rasuah antara institut anti-rasuah kedua-dua negara, dan kerjasama dalam inisiatif tenaga karbon hijau.

    Terdahulu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata dua rakyat Malaysia yang berada di Sudan, dibawa keluar dan dipindahkan ke lokasi selamat.

    Beliau berkata, operasi pemindahan berkenaan adalah langkah persediaan Kedutaan Malaysia di Khartoum, Sudan untuk mengumpulkan rakyat Malaysia di satu lokasi yang selamat bagi proses pemindahan keluar dari Khartoum, kelak.

    “Alhamdulillah, semalam, setelah membuat penilaian yang mendalam dan dengan mandat daripada Pasukan Khas Wisma Putra, pegawai Kedutaan Besar kita di Khartoum berjaya membawa keluar dua rakyat Malaysia dari tempat mereka ke lokasi selamat.

    “Dalam operasi berkenaan, pegawai kita turut membantu membawa keluar dua warga Kanada, seorang warga Amerika Syarikat dan dua warga United Kingdom dari kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

    Zambry berkata, operasi berkenaan amat berisiko tinggi, namun ia perlu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan.

    Situasi di Sudan terutama di kebanyakan lokasi di ibu negara Khartoum, kini semakin meruncing berikutan pertempuran antara SAF dan RSF.

    Mengulas lanjut, Zambry berkata, situasi di Sudan amat kompleks dan ia berubah setiap masa, dengan kedua-dua pihak yang bertelagah masih meneruskan pertempuran.

    Katanya, gencatan senjata yang diusulkan beberapa kali oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika (AU), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Amerika Syarikat juga langsung tidak dipatuhi.

    “Marilah kita memanjatkan doa dan memohon kepada Yang Maha Esa untuk menjaga dan melindungi keselamatan rakyat kita di Sudan dan operasi membawa mereka pulang ke tanah air dipermudahkan-Nya,” katanya.

  • Pegawai ditahan: Imigresen serah kepada SPRM siasat

    Pegawai ditahan: Imigresen serah kepada SPRM siasat

    PENAHANAN dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh dilakukan hasil perkongsian maklumat strategik antara jabatan terbabit bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya telah mengesan terdapat dakwaan pegawainya yang bertugas di Dhaka, Bangladesh menerima rasuah melibatkan pengeluaran visa luar negara kepada rakyat negara tersebut untuk memasuki Malaysia.

    “Pihak imigresen kemudian telah mengarahkan kedua-dua mereka kembali ke Malaysia untuk membantu siasatan.

    “Hasil maklumat tersebut telah disalurkan kepada SPRM untuk tindakan dan siasatan sehingga berlaku penahanan dua pegawai tersebut pada 17 April lalu.

    “Imigresen telah menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pihaknya kata beliau, tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan imej jabatan, menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.

    Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan kesalahan ini.

    “Kerjasama strategik bersama SPRM juga akan diteruskan bagi memastikan jabatan ini sentiasa telus dalam menangani sebarang unsur rasuah serta amalan tidak berintegriti,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Kementerian Luar mengesahkan penahanan dua pegawai terbabit iaitu lelaki dan wanita.

    Pegawai terbabit kemudian direman tiga hari bermula 18 April untuk siasatan lanjut.

  • Pergolakan Sudan: 2 rakyat Malaysia terperangkap dibawa ke lokasi selamat

    Pergolakan Sudan: 2 rakyat Malaysia terperangkap dibawa ke lokasi selamat

    DUA rakyat Malaysia yang terperangkap susulan pergolakan di Sudan berjaya dibawa ke lokasi selamat oleh pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.

    Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, menerusi operasi sama, pegawai kedutaan turut membantu membawa dua warga Kanada, seorang warga Amerika Syarikat dan dua warga United Kingdom (UK) keluar dari kawasan berkenaan.

    “Walaupun operasi ini amat berisiko tinggi, namun ia perlu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan susulan laporan terkini pertempuran yang semakin meruncing di kebanyakan lokasi sepanjang masa.

    “Operasi pemindahan berkenaan adalah sebagai langkah persediaan Kedutaan Besar kita mengumpul rakyat Malaysia di satu lokasi yang selamat bagi proses pemindahan keluar dari Khartoum kelak,” kata Zambry dalam kenyataan.

    Beliau berkata, situasi di Sudan amat kompleks, dijangka berubah setiap masa dengan kedua-dua pihak yang bertelagah masih meneruskan pertempuran.

    Malah, gencatan senjata yang telah diusulkan beberapa kali oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika, Pertubuhan Kerjasama Islam dan Amerika Syarikat langsung tidak dipatuhi, tambahnya.

    Sebelum ini dilaporkan bahawa Kementerian Luar memantau rapat situasi di Khartoum berikutan pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) pada Sabtu, yang mencetuskan pergolakan politik dan menggugat keselamatan di negara itu.

    Menurut kementerian, semua 29 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan di Sudan, kebanyakannya pelajar, disahkan selamat.

    Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berikutan panggilan telefon bersama Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier semalam bagi membincangkan isu hubungan dua hala, beliau telah memohon bantuan daripada Jerman bagi usaha repatriasi rakyat Malaysia dari Sudan.

    “Dalam hal ini, Kementerian Luar Negeri Malaysia akan menggembleng segala usaha bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara terjamin,” katanya di Facebook, lapor FMT.

  • Serang polis cuba lerai pergaduhan, 2 beradik dipenjara seminggu

    Serang polis cuba lerai pergaduhan, 2 beradik dipenjara seminggu

    DUA beradik di Sabah dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari selepas menyerang seorang anggota polis yang cuba meleraikan pergaduhan antara mereka.

    Menurut Daily Express, kejadian bermula apabila Valley Saitim, 37, bertengkar dengan isterinya di luar sebuah restoran.

    Adiknya, Boby, 30, yang sebelum itu minum bersamanya, cuba meredakan keadaan, namun akhirnya bergaduh dengan Valley.

    Polis dipanggil untuk meleraikan pergaduhan itu dan Farhan Hame Azizon menjadi anggota polis pertama tiba di tempat kejadian.

    Bagaimanapun, ketika cuba meleraikan pergaduhan, anggota polis itu diserang oleh dua beradik itu.

    Valley dan Boby kemudiannya ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

    Mereka mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara.

  • Syawal pertama diramalkan hujan

    Syawal pertama diramalkan hujan

    JABATAN Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan empat negeri utara tanah air antara kawasan yang dijangka hujan pada pagi 1 Syawal, esok.

    METMalaysia menjangkakan hujan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak pada sebelah waktu pagi dan cuaca sama turut melanda Johor serta Sabah.

    “Di sebelah petang, hujan atau ribut petir dijangka berlaku membabitkan Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

    “Selain itu, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak juga diramal bakal berdepan cuaca sama pada waktu sama, manakala ramalan hujan sebelah malam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan,” lapor Harian Metro.

    MetMalaysia menjangkakan cuaca lebih baik pada Syawal kedua (Ahad) dengan tiada hujan di sebelah pagi kecuali Sabah.

    Bagaimanapun, hampir keseluruhan negara kecuali Labuan dijangka akan berdepan hujan atau ribut petir di sebelah petang.

    Bagi sebelah malam pula, hujan diramal berlaku di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Sabah, Labuan dan Sarawak.

  • ‘Kita sedang hadapi bala tentera Ahzab’, kataHadi

    ‘Kita sedang hadapi bala tentera Ahzab’, kataHadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan Islam kini berdepan tentangan melalui kefahaman yang salah berkenaan politik, ekonomi, pendidikan dan akhlak.

    Menurutnya, pelajaran dan penyiaran yang dibaca dan dilihat, khususnya media baharu dan lain-lain dibuat dalam keadaan orang Islam berada dalam kejahilan murakkab iaitu sedar dirinya jahil dan berasa pandai.

    “Alhamdulillah marilah kita panjatkan syukur kepada Allah SWT kerana telah menganugerahkan Ramadan yang sangat bermakna kepada kita semua.

    “Pada masa yang sama, kita memperingati kemenangan Islam dalam peperangan Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal tahun yang kelima Hijrah Rasulullah SAW.

    “Pada zaman kini kita sedang menghadapi bala tentera Ahzab yang menentang Islam di seluruh pelosok dunia,” katanya menerusi Perutusan Aidilfitri Presiden Pas hari ini.

    Jelas beliau, serangan bukannya dibuat melalui tentera dan senjata seperti yang berlaku di Palestin, Afghanistan dan Iraq yang telah membunuh manusia, binatang, memusnahkan rumah kediaman, kebun dan ladang, termasuk merosakkan alam sekitar.

    “Sedarlah bahawa musuh Islam lebih mudah merampas tanah air kita dan merompak harta kita kerana kita sedang berpecah dan ada yang berperang saudara, sedangkan musuh itu bersatu menentang kita.

    “Bagi pihak Pas, saya dengan penuh rasa kesyukuran ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, sama ada yang berada di dalam negara mahupun di perantauan,” katanya, lapor Sinar Harian.