Author: Wartawan WartaRakyat

  • 6 bebas dengan ikat jamin selepas berhujung minggu di penjara

    6 bebas dengan ikat jamin selepas berhujung minggu di penjara

    ENAM lelaki yang menghabiskan hujung minggu di penjara kerana tidak membayar ikat jamin, dibebaskan hari ini selepas membayar jaminan.

    Peguam Alvin Tan berkata, penjamin diminta hadir di kaunter ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 pagi tadi.

    “Pagi ini, peguam mereka bersama penjamin tiba di mahkamah kira-kira 9.30 pagi. Pegawai mahkamah sudah bersedia dengan permohonan ikat jamin bagi enam tertuduh itu.”

    “Di bawah bantuan pegawai mahkamah, penjamin berjaya melengkapkan prosedur ikat jamin sekitar tengah hari. Mereka akhirnya dibebaskan dengan ikat jamin,” katanya memetik laporan FMT.

    Semalam, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dilaporkan berkata, enam lelaki itu dinafikan jaminan kerana penjamin mereka tidak hadir, bukannya akibat kaunter ditutup awal.

    Khamis lalu, media melaporkan enam lelaki yang minta dibicarakan atas konspirasi jenayah dengan niat menipu, terpaksa menghabiskan hujung minggu panjang di penjara, dengan Tan mendakwa kaunter ikat jamin ditutup awal berbanding kebiasaan.

    Tan dilaporkan mendakwa kaunter ikat jamin ditutup pada 2.53 petang, walaupun notis menyatakan waktu operasi kaunter ikat jamin sehingga 4.30 petang.

    Tan menyuarakan penghargaan kepada pegawai mahkamah yang datang hari ini ketika cuti umum untuk memudahkan prosedur ikat jamin.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, badan kehakiman dan jawatankuasa undang-undang jenayah Majlis Peguam Kuala Lumpur atas perhatian segera mereka.

    “Kami percaya perkara ini selesai sekarang, pada masa sama, kami berharap siasatan sewajarnya dapat dilakukan bagi memastikan keadaan sama tidak berulang,” katanya.

  • Dua cedera termasuk anggota bomba dalam kebakaran 4 rumah

    Dua cedera termasuk anggota bomba dalam kebakaran 4 rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki dan seorang anggota bomba cedera dalam kebakaran melibatkan empat buah rumah di Kampung Seri Bunian, Pontian, malam tadi.

    Pusat Gerakan Operasi (PGO) Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah tersebut melalui talian MERS999 pada pukul 11.02 malam.

    Koamnder Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, seramai 24 anggota dari BBP Pekan Nanas dan BBP Pontian Baru dikejarkan ke tempat kejadian.

    Katanya, mereka dibantu tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Kebakaran melibatkan empat buah rumah jenis separuh kekal yang berukuran 16×40 kaki setiap satu.

    “Kebakaran telah memusnahkan 80 peratus dari keseluruhan keempat-empat rumah tersebut.

    “Dalam kejadian itu seorang mangsa lelaki berusia 28 tahun cedera dan diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, semasa operasi pemadaman seorang anggota BBP Pontian mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terpijak paku.

    Katanya, anggota tersebut diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Pontian dengan menaiki jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

    Tambahnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi selesai pada pukul 12.54 tengah malam.

  • Tragedi Aidilfitri, empat rumah rosak dipukul ribut

    Tragedi Aidilfitri, empat rumah rosak dipukul ribut

    EMPAT buah rumah di Kampung Kubang Betong, Changlun rosak rosak akibat dipukul ribut dala kejadian pada hari raya kedua semalam.

    Kebanyakan bumbung rumah terbabit diterbangkan angin kencang dalam kejadian pada pukul 3.30 petang.

    Seorang mangsa, Ishak Ibrahim, 61, berkata, angin kencang disertai ribut menyebabkan bahagian atas atap zink rumah berterbangan dan air hujan masuk mencurah-curah ke dalam rumah.

    “Semasa kejadian saya dan 12 ahli keluarga termasuk anak menantu serta cucu yang pulang ke rumahnya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri terpaksa melarikan diri dengan keluar dari kediaman itu ketika kejadian ribut berkenaan.

    “Kejadian angin kencang dan hujan hampir 30 minit sebelum ia menerbangkan atap zink rumahnya itu.

    “Tiga bilik di bahagian atas yang menjadi tempat anak-anak serta menantu dan cucunya tidur termasuk tilam, bantal semua habis basah selepas kejadian itu,” katanya ketika dihugbungi hari ini.

    Warga emas itu berkata, dia sempat melaungkan azan sewaktu kejadian dan angin pada waktu itu terlalu kencang namun bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat.

    “Rumah saya dua tingkat, mujur anak-anak semua masih boleh tidur di dalam dua bilik di tingkat bawah sejurus selepas kejadian.

    “Mereka semua nak seronok pulang beraya namun tak sangka pula kejadian ini berlaku dan berharap ia tidak berulang lagi,” katanya, lapor Harian Metro.

    Ishak berkata, dia kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu dengan menganggarkan kerugian berjumlah RM6,000, selain dinding kayu juga turut rosak.

    Katanya, setakat ini, atap zink rumahnya masih belum dibaiki namun berharap kejadian sama tidak berulang.

  • Agihan kerusi PN selesai hampir 90 peratus

    Agihan kerusi PN selesai hampir 90 peratus

    PEMBAHAGIAN kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah selesai antara 85 hingga 90 peratus.

    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persetujuan itu dicapai selepas rundingan diadakan antara kepimpinan PAS, BERSATU dan GERAKAN.

    “Setakat ini hanya tinggal satu atau dua kerusi di setiap negeri yang keputusannya perlu dibuat kepimpinan tertinggi parti.

    “Pengagihan kerusi itu mengambil kira pelbagai faktor, kita ada ‘aturan’ tersendiri …ada yang mengenai ‘status quo’ ada yang mengenai jentera mana lebih kuat di satu-satu tempat dan ada calon berpotensi serta berwibawa.

    “Paling penting apabila kita bincang dengan rakan Bersatu dan Gerakan, prioriti utama ialah hendak memaksimumkan kemenangan sama ada atas nama Pas atau PN di negeri yang bertanding menggunakan lambang PN dan lambang Pas,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian kepada pemberita selepas Program Tarik Pukat Raya 2023 di Pantai Pulau Kekabu, Marang, hari ini.

    Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.

    Ahmad Samsuri berkata, selepas seminggu sambutan Aidilfitri, pihaknya dijangka mengadakan perbincangan semula mengenai baki kerusi yang masih belum diputuskan.

    Katanya, Terengganu akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum tempoh tamat hari terakhir pada Jun ini dan tarikh itu tidak jauh berbeza dengan Kelantan.

    “Mungkin Terengganu akan bubar selepas Kelantan, kita sudah bersedia dengan jentera di seluruh Terengganu bermula dari tahun lalu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Oleh kerana terdapat pertimbangan lain pada waktu itu, maka kita kemudiankan PRN.

    “Agihan kerusi sudah dibincangkan beberapa kali pada peringkat negeri terbabit PRN, ia menunjukkan penyelesaian dalam waktu terdekat,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mengulas penggunaan lambang parti, beliau berkata, Kelantan dan Terengganu akan menggunakan lambang Pas, manakala empat negeri lagi akan menggunakan lambang PN seperti pada PRU Ke-15 tahun lalu.

  • Solat Aidilfitri dua kali: Imam tampil beri penjelasan

    Solat Aidilfitri dua kali: Imam tampil beri penjelasan

    IMAM 1 Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) tampil memberi penjelasan berhubung isu solat sunat Aidilfitri yang terpaksa dilakukan semula pada pagi hari raya pertama.

    Imam berkenaan, Mohd Fikir Hamzah menerusi akaun TikToknya semalam mengakui dia adalah imam yang bertanggungjawab hingga solat sunat Aidilfitri di masjid itu menjadi tular kerana terpaksa diulang semula.

    “Saya akui memang terlupa untuk mengangkat takbir lima kali pada rakaat kedua solat berkenaan namun meneruskan solat sehingga selesai.

    “Selepas beri salam, saya berbincang dengan jemaah di saf pertama dan masing-masing beri pendapat ada yang kata terus khutbah dan ada kata buat solat semula, kemudian saya buat keputusan untuk bincang dengan semua jemaah.

    “Saya buat pengumuman solat tadi ada kesilapan, kemudian saya tanya pendapat semua jemaah apakah kita hendak teruskan khutbah atau sembahyang semula.

    “Rata-rata jemaah hendak solat semula, jadi saya buat keputusan untuk solat semula,” katanya.

    Beliau menjelaskan berdasarkan hukum juga tidak jadi masalah solat pertama itu sah dan kedua itu juga sah.

    “Saya dah rujuk guru dan mereka yang pakar dalam bidang ini dan mengulangi solat Aidilfitri itu adalah sah dan tidak menjadi kesalahan,” katanya.

    Dalam pada itu beliau turut menasihati umat Islam supaya datang ke masjid kerana Allah SWT.

    “Datang masjid bukan kerana imam, bukan kerana sebab ada ‘aircond’ atau hendak cari kesalahan orang lain,” ujarnya.

    Mohd. Fikir turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memahami, memuji dan bersangka baik dengan apa yang terjadi.

    “Kepada yang komen tak baik dan sebagainya saya dah maafkan, kira-kosong-kosong tIada masalah,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Polis cari dua suspek samun telefon bimbit, cedera pekerja

    Polis cari dua suspek samun telefon bimbit, cedera pekerja

    DUA suspek terlibat kes samun sebuah kedai telefon bimbit dan mencederakan pekerja sebuah premis perniagaan di Sungai Besar di Sabak Bernam kelmarin kini diburu polis.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, kejadian itu tular menerusi satu video menerusi media sosial memaparkan tiga lelaki bergelut di hadapan kedai tersebut.

    “Satu laporan polis berkaitan kes samun dibuat seorang wanita yang juga penyelia premis berkenaan.

    “Siasatan mendapati seorang pekerja wanita dan lelaki berada di kedai itu didatangi seorang suspek kononnya mahu membeli telefon jenis Iphone 14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun, Agus Salim memberitahu, suspek lelaki itu kemudiannya menyerang seorang pekerja dan merampas telefon di atas meja kaunter jualan.

    Beliau memberitahu, pekerja itu kemudian mengejar suspek hingga ke luar premis dan berlaku pergelutan.

    Katanya, pada waktu itu, seorang lagi rakan suspek turut bergelut dengan pekerja tersebut.

    Namun ujar beliau, kedua-dua suspek melarikan diri dengan menaiki dua motosikal manakala pekerja tersebut mengalami kecederaan dan telefon yang dirampas turut tercicir di lokasi kejadian.

    Sehubungan itu, tegas Agus Salim, polis sedang giat menjalankan usaha memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Sabak Bernam,Asisten Superintendan Khairul Azmani Mohd. Zain di talian 03-32242222,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Lari selepas terlibat kemalangan dengan polis

    Lari selepas terlibat kemalangan dengan polis

    SEORANG penunggang motosikal yang melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan dengan seorang anggota polis di Jalan Bagan Dalam, di Butterworh pukul 7.55 pagi semalam kini diburu polis.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, kejadian itu ketika anggota polis terbabit sedang membuat pemantauan anggota bertugas.

    “Siasatan mendapati motosikal yang ditunggang oleh anggota polis terbabit dari arah Bagan Luar menghala ke Bagan Dalam itu bergesel dengan motosikal yang ditunggang individu terlibat.

    “Selepas kemalangan, penunggang dengan nombor pendaftaran motosikal yang tidak diketahui itu disyaki telah melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu katanya, pihak polis giat mengesan penunggang motosikal terbabit untuk membantu siasatan lanjut.

    Katanya, anggota polis terlibat yang bertugas di Balai Polis Butterworth mengalami kecederaan di bahagian rahang sebelah kiri, cedera mata sebelah kiri, luka di dahi, luka-luka di jari kedua-dua belah tangan dan di kedua-dua belah kaki.

    Menurutnya, anggota terbabit masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

    Tambahnya, orang ramai, mana-mana pihak atau saksi yang mempuyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD SPU di talian 04-5759122 atau ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Jenny Jay Rumalin di talian 013-8781700.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau.

  • Maut dengan isi perut terburai dalam kemalangan

    Maut dengan isi perut terburai dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki meninggal dunia dalam keadaan isi perut terburai selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 37, Jalan Yong Peng-Kluang di Kluang malam tadi.

    Kejadian pada pukul 11 malam itu mengakibatkan lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Kanthan, 50, meninggal dunia akibat cedera parah.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Assisten Komisioner Bahrain Mohd. Noh berkata, kemalangan melibatkan motosikal Modenas Kriss ditunggang mangsa dan sebuah kereta jenis Nissan Sentra.

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian didapati kereta tersebut dari arah Paloh menghala ke Kluang telah melanggar motosikal tersebut dari arah belakang disebabkan kawasan kemalangan gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan.

    “Penunggang motosikal cedera parah di badan dan meninggal dunia manakala pemandu kereta, Muhamad Firdaus, 32, tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa berasal dari daerah ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Mahathir yang perkenal konsep ‘Rahmah’ bukan Anwar

    Mahathir yang perkenal konsep ‘Rahmah’ bukan Anwar

    Oleh MAHDZIR IBRAHIM

    SAYA hairan dengan sikap politik kerajaan Madani yang terlalu gopoh dan ghairah mempromosikan agenda mereka. Bagi saya, apa-apa dasar yang mahu diangkat perlulah dibuat dengan cermat, teliti dan praktikal.

    Suatu agenda perlu melalui satu proses libaturus yang berlapis-lapis dan menyeluruh, bukan datang dari satu kepala atau pejabat. Antara manifesto dan agenda kerajaan, sifatnya amat berbeza.

    Namun, nampaknya proses ini tidak berlaku kerana sikap politik hari ini sedang dikuasai oleh rasa ghairah dan ego orang politik kerajaan.

    Hari ini kita dengar ‘Rahmah’ sebagai slogan yang ditampal dibanyak perkara, benda dan aktiviti kerajaan.

    Setakat yang saya dapat senaraikan dibawah Payung Rahmah seperti Menu Rahmah, Baju Raya Rahmah, Bazar Ramadan Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah, Tol Rahmah, e-Tunai Belia Rahmah dan kini Simen Rahmah.

    Dan pastinya selepas ini, akan ada lagi perkara dan benda di-rahmah-kan. Ia tidak salah, tapi ia jelas suatu kerja bodoh.

    Modus operandi ‘Rahmah’ ini sama juga dengan 1Malaysia. Semua benda nak di-1malaysiakan-kan dari tong sampah, klinik, pasar raya hingga ke ‘Salam 1 Malaysia’.

    Kini, semua itu hilang seperti kain buruk yang mereput. Tak apa, jika sudah itu nasibnya.

    Namun berbeza dengan slogan ‘Malaysia Boleh’, hingga hari ini ia menjadi ucapan keramat oleh kita termasuk kepada individu. Ia diucap

    secara peribadi bagi mendorong anak-anak bersukan, sebagai contoh.

    Hari ini, Pakatan Harapan turut menggunakannya dengan sedikit olahan diperbaharui menjadi ‘Kita Boleh’. Tak ada salahnya ‘copy & Paste’ ini, tetapi naratifnya perlulah jelas.

    Saya membaca dah cuba memahami naratifnya. Jelas sekali naratif ini tidak betul.

    ‘Rahmah’ telah dan sedang digambarkan sebagai ‘idea’ Anwar Ibrahim dibawah konsep Madani. Bagi saya naratif ini satu kesilapan yang menjolok mata, malah ia jatuh ke tahap pembohongan intelektual yang melampau dan tidak tahu malu.

    Saya ingin beri sedikit pencerahan agar ia dapat membantu memperbetulkan naratif ‘Rahmah’ ini.

    Kerana apa? Kerana apabila kita sedar naratif ini berasal dari mana, ke mana dan untuk apa, maka kita akan dapat menghayati maksud sebenar ‘rahmah’.

    ‘Rahmah’ bermula oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Lebih tepat lagi, gagasan barui ini disebut oleh Mahathir dalam ucapan perasmian Tilawah & Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Februari 2020.

    Dalam ucapan Tun, beliau menjelaskan apa itu Gagasan Rahmah. Saya petik sedikit ucapan itu di sini.

    “…Seiring dengan falsafah tersebut, pada 25 Oktober 2019, Kerajaan bersetuju agar gagasan Rahmah dijadikan sebagai dasar pentadbiran Islam Model Malaysia berteraskan Maqasid Syariah dan Rahmatan Lil ’Alamin – yang bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni, bertepatan dengan suasana, adat serta budaya bangsa Malaysia sendiri.”

    “… Kita percaya dasar ini mampu memberi impak positif kepada rakyat dan negara dalam meningkatkan kesejahteraan sosial, kemakmuran dan perpaduan hidup masyarakat berbilang kaum dan agama, selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dilancarkan oleh Kerajaan.”

    Jelas sekali, ‘Rahmah’ sudah bermula sejak Tun Kembali menjadi Perdana Menteri bagi kali ke-2. Ia sebuah gagasan barui yang diikat dengan satu pelan tindakan untuk menjadikan ianya sebagai satu dasar negara.

    Dalam konteks ini, gagasan Rahmah diikat dengan ‘Wawasan Kemakmuran Bersama 2030’ (WKB 2030).

    Malah WKB2030 ini juga diikat dengan Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 sebagai pemacu kepada agenda kerajaan yang lebih besar dan terancang. Ini naratifnya. Jelas.

    Kesimpulannya, naratif ‘Rahmah’ ini sebenarnya bukan cetusan idea kerajaan Madani apatah lagi Anwar Ibrahim seperti yang digembar-gemburkan.

    Maka, naratif ini perlu diperbetulkan kerana, gagasan Rahmah tidak memerlukan ‘Menu Rahmah’, ‘Simen Rahmah’, ‘Tol Rahmah’ dan sebagainya.

    Gagasan Rahmah dalam konteks perlaksanaanya adalah suatu pendekatan sistem pentadbiran yang lebih bermaruah dan manusiawi.

    Namun, apabila gagasan Rahmah ini sampai ke tangan ‘Madani’, ia menjadi seperti idea 1Malaysia hingga pelekat, poster, ayat dan segala benda di‘rahmah’kan.

    Saya harap, naratif Rahmah ini dikembalikan kepada fungsi asalnya iaitu menjadikan pentadbiran kerajaan lebih bermaruah, berintegriti dan manusiawi. Kerajaan Madani boleh memperbetulkan naratif ini, jika mereka mahu.

    MAHDZIR IBRAHIM ialah Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA)

  • Ajaran sesat: 47 mayat ditemukan satu kubur, disuruh puasa hingga mati

    Ajaran sesat: 47 mayat ditemukan satu kubur, disuruh puasa hingga mati

    POLIS Kenya menemui seramai 47 mayat dipercayai pengikut ajaran sesat selepas mengikut arahan seorang paderi untuk berpuasa sehingga mati.

    Pihak berkuasa mula menggali mayat kesemua individu berkenaan di hutan Shakahola sejak Jumaat lalu.

    Berdasarkan laporan awal, kesemua pengikut paderi berkenaan percaya bahawa mereka akan ke syurga sekiranya mereka mati kelaparan.

    Setakat ini, proses menggali kesemua pengikut itu masih berjalan.

    Awal bulan ini, polis menyelamatkan 15 ahli kumpulan itu yang menurut mereka diarahkan untuk mati kelaparan.

    Empat daripada mereka meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

    Suspek, paderi sebuah gereja, Paul Mackenzie telah ditangkap berikutan maklumat yang mencadangkan kewujudan kubur milik sekurang-kurangnya 31 pengikut.

    Media tempatan, memetik sumber polis melaporkan, Mackenzie enggan makan atau minum semasa dalam tahanan polis.

    Menteri Dalam Negeri, Kithure Kindiki berkata, keseluruhan hutan seluas 800 ekar telah ditutup dan diisytiharkan sebagai tempat jenayah.

    “Pihak berkuasa akan mengenakan hukuman paling berat kerana melibatkan nyawa yang tidak bersalah,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Malah tambahnya, peraturan dan garis panduan yang lebih ketat setiap gereja, masjid, kuil sedang dikaji susulan daripada kejadian berkenaan.