Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tiga bekas ADUN PH Pulau Pinang mungkin tanding sebagai calon PN pada PRN

    Tiga bekas ADUN PH Pulau Pinang mungkin tanding sebagai calon PN pada PRN

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Adun Pakatan Harapan (PH) tidak gentar dengan dakwaan akan berlaku tindak balas terhadap mereka jika bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Khaliq Mehtab Ishaq, Zulkifli Ibrahim dan Dr. Afif Bahardin dipilih sebagai ADUN Pulau Pinang atas tiket PH pada 2018.

    Bagaimanapun mereka telah dilucutkan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mac lalu.

    Khaliq, yang juga bekas ADUN Bertam berkata, beliau tidak kisah dengan tindak balas pengundi kerana telah melakukan yang terbaik dalam memberikan perkhidmatan kepada pengundinya.

    “Ya, saya menang menggunakan logo PKR dan seterusnya menyertai PN. Tetapi yang paling penting ialah komitmen saya terhadap kerja yang dilakukan di kawasan saya,” katanya memetik laporan FMT.

    Di bawah undang-undang anti-lompat negeri, ketiga-tiga mereka dianggap ‘hilang’ kerusi selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan PH.

    Zulkifli, bekas ADUN Sungai Acheh juga berkata, pengundi boleh menilai beliau berdasarkan prestasi lepas.

    Katanya, beliau antara ADUN pertama yang menggerakkan penghantaran bakul makanan kepada isi rumah yang terjejas semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama Covid-19 pada 2020.

    Walaupun ketiga-tiganya telah menyatakan hasrat untuk bertanding dalam PRN kali ini, namun mereka berkata, keputusan itu terletak pada pucuk pimpinan PN.

    Afif yang merupakan bekas ADUN Seberang Jaya berkata, beliau telah terlibat dalam beberapa perbincangan dengan Bersatu.

    “Saya percaya PN akan meletakkan calon terbaik dan boleh menang untuk semua kerusi yang akan ditandingi pada PRN akan datang,” katanya.

    Beliau juga yakin PN akan mampu memenangi Seberang Jaya dan kerusi DUN lain dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh seperti Penanti dan Permatang Pasir.

    Khaliq berkata, PN berkemungkinan menang DUN Bertam, memandangkan kawasan itu majoritinya Melayu.

    Bagaimanapun, bekas ADUN Teluk Bahang Zolkifly Md. Lazim yang turut disingkirkan bersama ketiga-tiga mereka belum memberikan maklum balas sama ada beliau akan bertanding atau sebaliknya.

  • Laku kelucahan melampau terhadap bayi, bekas pembantu rumah diburu polis

    Laku kelucahan melampau terhadap bayi, bekas pembantu rumah diburu polis

    TINDAKAN melampau seorang wanita warga Indonesia yang melakukan kelucahan melampau terhadap bayi sehingga video berkenaan tular dalam media sosial, memakan diri apabila kini diburu polis.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, video tindakan wanita terbabit tular sebelum pihaknya menerima laporan daripasa bekas majikannya pada Khamis lalu.

    “Siasatan mendapati video berkenaan dirakam tahun lalu dan mula tular dalam media sosial pada April tahun ini.

    “Hasil siasatan juga mendapati wanita dalam video berkenaan adalah bekas pembantu rumah dan sudah pulang ke negara asal tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, suspek pernah bekerja dengan majikannya itu selama setahun setengah dan tidak dilanjutkan kontrak kerana mempunyai masalah disiplin.

    Polis katanya, sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan.

    Hasil pemeriksaan lanjut ke atas pasport milik suspek katanya, mendapati rekod menunjukkan wanita itu sudah keluar dari negara ini sejak 27 September 2020.

    “Suspek dikenali sebagai Nenobota Marisa dan berasal dari Indonesia. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor M. Megenderan di talian 03-79662222 atau 017-3356810,” katanya, lapor Harian Metro.

    Katanya, kes diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

  • 4 termasuk bayi maut dalam kemalangan di Kemaman

    4 termasuk bayi maut dalam kemalangan di Kemaman

    EMPAT termasuk seorang bayi maut selepas dua kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Cheneh, pukul 4.45 petang tadi.

    Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 4.47 petang.

    “Sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh serta anggota bersedia di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Perasing bergegas ke lokasi kejadian.

    “Kemalangan membabitkan dua kereta Persona. Persona pertama dinaiki tujuh mangsa dan tiga yang maut itu ialah dua wanita, Tuan Yah Dollah, 61, Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 22, dan Nor Syafinaz Naura Saiful Azwan, berusia dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, tiga lagi mangsa dalam kereta itu iaitu seorang lelaki seorang wanita dan dua kanak-kanak cedera.

    Azman berkata, sebuah lagi kereta dinaiki lima mangsa dan seorang daripadanya maut ialah Abdul Halim Ismail 51, yang duduk di bahagian penumpang depan.

    Empat lagi penumpang kereta itu katanya, seorang lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak cedera.

    Menurutnya, tiga yang maut itu berasal dari Bandar Cheneh Baru Kemaman manakala Abdul Halim beralamat di Batu Rakit Kuala Terengganu.

    “Kesemua mangsa disahkan meninggal oleh pegawai perubatan yang dipanggil ke tempat kejadian dan kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kemaman dengan ambulans dari Hospital Kemaman dan ambulans Bomba.

    “Mayat kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

  • PRN: Pas seru perantau pulang pertahan kemenangan di Kelantan

    PRN: Pas seru perantau pulang pertahan kemenangan di Kelantan

    MENTERI Besar, Datuk Ahmad Yakob menyeru anak-anak Kelantan di perantauan pulang mempertahankan kemenangan Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    “Sokongan padu perantau diperlukan bagi memastikan kejayaan kerajaan negeri yang dibentuk selepas PRN.

    “Perkara ini sudah diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan kemenangan parti itu.

    “Kita mahu terus menjadikan Islam sebagai asas pentadbiran di bumi serambi Mekah ini. Perjuangan ini mungkin akan mengambil masa yang panjang antara 10 hingga 30 tahun lagi kerana banyak cabaran yang perlu dihadapi,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra Aidilfitri Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan di Perantauan di Balai Islam Lundang, di Kota Bharu semalam.

    Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan, kerajaan negeri mahukan sokongan padu semua rakyat Kelantan pada PRN nanti supaya program yang dirancang berjalan dengan lebih lebih baik.

    Beliau juga bersyukur kerana rakyat Kelantan sentiasa menunjukkan kecintaan terhadap negeri ini walaupun di mana mereka berada.

    “Anak Kelantan sudah pasti pulang ke negeri ini setiap kali sambutan hari raya dan musim cuti,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Komplot guling kerajaan:Laporan keji, mengarut, tidak berasas – Ka Siong

    Komplot guling kerajaan:Laporan keji, mengarut, tidak berasas – Ka Siong

    PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong membidas laporan media sosial yang menyatakan ahli Parlimen parti itu antara 10 Ahli Parlimen BN terbabit dalam komplot mengguling kerajaan.

    Beliau berkata, dakwaan itu berdasarkan sumber maklumat yang tidak berasas dan tanpa disertakan bukti kukuh.

    Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, selaku Presiden MCA beliau memandang berat dakwaan tersebut dan media sepatutnya mendapatkan maklumat yang sudah disemak.

    “Kita sendiri tidak tahu mengenai usaha dan percubaan ini (menggulingkan kerajaan) dan macam mana nama kami, saya dan Datuk Seri Wee Jack Seng ditulis dalam laporan itu.

    “Saya menganggap laporan itu satu perbuatan yang keji dan patut dikecam. Laporan ini mengarut dan tidak berasas dan kami tidak terbabit dan tidak tahu-menahu mengenainya,” katanya dalam satu video yang disiarkan di media sosial rasmi beliau.

    Satu laporan media mendakwa kononnya 10 Ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong Tan Sri Muhyiddin dilantik Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU), terbabit dalam komplot mengguling kerajaan dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen bagi membolehkan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

    Laporan itu menyenaraikan Ka Siong dan Jack Seng selain beberapa Ahli Parlimen daripada UMNO dan MIC.

    Ka Siong berkata, mana-mana media boleh menulis berdasarkan khabar angin, namun ia perlu mempunyai asas yang kukuh dan bukti.

    “Sebuah portal berita menyiarkan laporan yang bersandarkan kepada ‘sumber maklumat tanpa nama’ dilihat cuba mengarang berita kononnya ada gerakan untuk menggugat Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Sesiapa saja boleh menulis mengikut citarasa masing-masing berpandukan khabar angin.

    “Namun bagi saya sendiri sebagai Presiden MCA dan parti saya, kami tidak tahu tentang percubaan menggulingkan kerajaan sepertimana yang dilaporkan,” katanya.

    Beliau menegaskan tidak sama sekali akan menyokong langkah sedemikian yang memerlukan mana-mana Ahli Parlimen yang dipilih untuk ‘mengorbankan’ kerusi mereka untuk memaksa PRK diadakan.

    “Di mana logiknya, kami tidak akan sokong dan keutamaan sekarang ialah menyokong dasar dan strategi ke arah pemulihan ekonomi negara melalui kestabilan politik mengikut kehendak rakyat pada PRU15,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Tiga beradik lemas: Anak sulung tak sempat kahwin

    Tiga beradik lemas: Anak sulung tak sempat kahwin

    SEORANG daripada tiga beradik yang lemas di Pantai Cahaya, Port Dickson semalam bakal melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini.

    Hasrat R. Kalaivani, 30, anak sulung daripada enam beradik untuk melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya pada November ini tidak kesampaian susulan tragedi berkenaan.

    Tragedi itu yang mengorbankan tiga beradik menyebabkan pasangan suami isteri dari Banting, Selangor kehilangan Kalaivani selain anak kedua, R. Dawige, 29, dan anak bongsu, S. Sathiyadevi, 19, sekelip mata.

    Sepupu mangsa R. Thammanty, 30, berkata, Veeran sebelum ini dikejarkan ke Hospital Port Dickson kerana kritikal namun keadaannya stabil dan dijangka ditempatkan di wad biasa pada petang ini, manakala Sathiswaran pula selamat.

    Menurutnya, emosi ibu saudaranya masih tidak stabil sehingga kini dan kerap menangis mengenangkan kejadian yang berlaku begitu pantas di depan matanya.

    “Dia (ibu saudara) masih terkejut, begitu juga dengan pakcik R Ravi (bapa mangsa). Ini percutian pertama mereka di sini berikutan sebelum ini hanya ke Pantai Morib, Selangor untuk mandi laut dan bersantai.

    “Kami sekeluarga hilang kata-kata sebab saya dan kesemua adik-beradik mangsa sangat rapat, malah kediaman kami juga selang beberapa rumah sahaja. Kebiasaannya kalau ke mana-mana mereka akan maklum tetapi kali ini berbeza,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik, Hospital Port Dickson hari ini.

    Mengulas lanjut, Thammanty berkata, Kalaivani telah mengikat tali pertunangan dengan Sathiswaran sejak lapan tahun lalu dan sedang membuat persiapan untuk mengadakan majlis pra perkahwinannya.

    “Mereka tinggal di Taiping, Perak dan pulang pada Sabtu lepas untuk menghabiskan waktu cuti bersama keluarganya di Banting, Selangor,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, tiga beradik perempuan lemas manakala adik lelaki ketiga-tiga mangsa kritikal ketika mandi di Pantai Cahaya dalam kejadian petang Ahad.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, operasi menyelamat telah dilakukan oleh pihak Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Telok Kemang.

    “Mayat mangsa seterusnya dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Dakwaan komplot PN guling kerajaan Anwar tak berasas

    Dakwaan komplot PN guling kerajaan Anwar tak berasas

    TIMBALAN Presiden Parti Priobumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan kakwaan Perikatan Nasional (PN) merancang plot baharu untuk menggulingkan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau menegaskan, dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan tiada perbincangan dalam Bersatu dan PN untuk menggulingkan Perdana Menteri seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita hari ini.

    “PN memberi tumpuan kepada pilihan raya enam negeri yang akan datang khususnya negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).

    “Sejujurnya, saya tidak mendengar rancangan sedemikian. (Dakwaan itu) tidak berasas.

    “Saya berhubung dengan presiden parti saya (Tan Sri Muhyiddin Yassin) setiap hari. Beliau telah memberitahu kami untuk bekerja di kawasan dan menggerakkan jentera kami (untuk menghadapi pilihan raya negeri).

    “Beliau tidak pernah menyebut sebarang percubaan untuk menjatuhkan kerajaan.

    “Saya tidak mendengar sebarang rundingan (mengenai perkara ini) dan tidak ada perbincangan dengan mana-mana ahli parlimen dari blok kerajaan, tiada perbincangan dengan ahli parlimen BN juga,” katanya.

    Sebelum ini, portal berkenaan mendakwa terdapat cakap-cakap mengenai percubaan PN untuk meyakinkan beberapa ahli Parlimen BN supaya meletak jawatan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

    Menurut laporan itu, sekiranya ahli Parlimen BN terbabit menang, mereka akan dapat membentuk kerajaan baru dengan bantuan ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.

    Seterusnya, kata laporan itu pembentukan kerajaan baru tersebut bertujuan menaikkan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

    Laporan itu juga mendakwa bahawa perancang menjangkakan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin akan membiayai plot tersebut kerana akaun bank Bersatu sudah dibekukan.

    Ahmad Faizal ketawa apabila diminta mengulas mengenai dakwaan pembiayaan plot itu.

    “Saya berkesempatan berbuka puasa dengan ayahanda Mahathir yang dikasihi baru-baru ini.

    “Kami tidak bercakap politik. Kami hanya bercakap mengenai perhimpunan ‘proklamasi Melayu’.

    “Dia baik-baik saja, tetapi sudah menunjukkan tanda-tanda usia. Kami mendoakan kesihatannya yang baik.

    “Setahu saya, Daim tidak begitu sihat. Dia berdiam diri dan tidak menerima sebarang pelawat,” kata Ahmad Faizal, lapor Malaysiakini.

    Anwar kini mendapat sokongan 148 ahli parlimen manakala PN mempunyai baki 74 ahli parlimen.

    Bagi menjatuhkan Anwar, PN perlu mendapatkan sokongan setiap ahli parlimen Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Parti Warisan (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Bebas dan sekurang-kurangnya tiga lagi ahli Parlimen yang kini bersama BN.

  • Ibu maut, bayi tercampak keluar dalam kemalangan

    Ibu maut, bayi tercampak keluar dalam kemalangan

    SEORANG wanita maut manakala bayinya tercampak keluar darip kereta dinaikinya selepas dirempuh kenderaan lain dari arah belakang di Kilometer 291.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Kampar, pagi tadi.

    Bayi berusia dua tahun itu selamat tanpa kecederaan fizikal, tetapi kemalangan itu mengorbankan ibunya, Norfadilah Ismail, 34, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan Perodua Myvi dipandu bapa kanak-kanak itu berusia 36 tahun.

    Bayi itu dipercayai tercampak keluar selepas kereta dinaiki tiga beranak itu dirempuh dari arah belakang sebelum hilang kawalan dan terbalik bersebelahan laluan.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, kemalangan pukul 8.10 pagi itu membabitkan kereta Perodua Myvi dinaiki tiga beranak terbabit yang dilanggar dari belakang.

    “Kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi dinaiki pasangan itu dilanggar sebuah lagi Perodua Myvi dinaiki empat anggota tentera berusia awal 20an termasuk pemandunya berusia 22 tahun.

    “Kemalangan menyebabkan ibu bayi terbabit meninggal dunia, manakala semua mangsa lain termasuk bayi yang tercampak itu terselamat,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mohamad Nazri berkata, mayat suri rumah itu dihantar ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat.

  • Mayat warga emas ditemukan dalam selut

    Mayat warga emas ditemukan dalam selut

    SATU mayat warga emas di lopak air berselut di Bendang Pengkalan Haji Ali, Bachok, Kelantan, pukul 6.16 petang semalam.

    Timbalan Ketua polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Mohamad Zohan Seman berkata, mayat warga emas berusia 68 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang dalam lopak air berkenaan.

    “Pemeriksaan ke atas mayat tiada sebarang kecederaan dan polis tidak menemui sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa dan unsur-unsur jenayah.

    “Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat,” katanya melalui kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, polis mengklasifikasikan kematian sebagai mati mengejut, lapor Sinar Harian.

  • Konflik Sudan: ‘Proses bawa keluar rakyat Malaysia masuk fasa kritikal, doakan keselamatan mereka’ – Zambry

    Konflik Sudan: ‘Proses bawa keluar rakyat Malaysia masuk fasa kritikal, doakan keselamatan mereka’ – Zambry

    USAHA dan tindakan membawa keluar rakyat Malaysia dari kawasan pertempuran di Khartoum telah pun dilakukan.

    Bagaimanapun, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata keberadaan mereka ketika ini belum boleh dikongsikan atas faktor keselamatan.

    “Proses membawa keluar rakyat Malaysia telah memasuki fasa kritikal, susulan kedua pihak yang bersengketa tidak menghormati gencatan senjata.

    “Saya memohon rakyat Malaysia mendoakan kesemua mereka selamat dan misi mengeluarkan mereka dari Sudan berjaya dilakukan,” katanya ketika dihubungi BERNAMA TV di Kuala Lumpur hari ini.

    Zambry berkata Wisma Putra dan lain-lain agensi di Pusat Operasi Ops Sudan terus gigih berusaha untuk membawa keluar rakyat Malaysia.

    Sebelum ini, Zambry berkata Malaysia sudah menghubungi pentadbiran tertinggi Sudan bagi memohon kelulusan lintas udara dan mendarat di negara itu.

    Ia susulan tindakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sudan melanjutkan penutupan ruang udara negara itu sehingga 30 April.]

    Seramai 32 rakyat Malaysia dilaporkan berada di Sudan iaitu di tujuh tempat berbeza dan mereka dalam dalam keadaan selamat.

    Pada 21 April lalu, dua rakyat Malaysia dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.

    Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), korban akibat pergolakan di Sudan sehingga kini meningkat kepada lebih 400 orang, manakala 3,500 lagi cedera.

    Konflik bersenjata itu tercetus sejak dua minggu lalu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).