Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pasrah anak sulung, bayi dalam kandungan maut sekali gus

    Pasrah anak sulung, bayi dalam kandungan maut sekali gus

    BAPA kepada kanak-kanak yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor di Cheneh, Kemaman semalam pasrah dengan kehilangan anak sulung dan bayi dalam kandungan isterinya.

    Insiden pada petang semalam itu mengorbankan bapa mentua tirinya, Abd. Halim Ismail, 71, dan anaknya, Alisha Mardhiah yang berusia dua tahun.

    Muhammad Ubaidillah Zikri Adnan, 30, berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga baru pulang dari menghadiri rumah terbuka sepupunya di Perasing, Kemaman.

    “Masa kejadian tu mak mentua sedang memangku anak saya di tempat duduk belakang dan ayah mentua duduk bahagian hadapan penumpang manakala isteri di tempat duduk penumpang belakang.

    “Sewaktu kereta dirempuh, anak tersembam dan berlaku pendarahan dalam otak. Anak saya disahkan meninggal dunia di unit kecemasan Hospital Kemaman dan ayah mentua pula meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah anak dan bapa mentuanya di Tanah Perkuburan Padang Polis Batu Rakit, di Kuala Nerus hari ini.

    Katanya, Muhammad Ubaidillah Zikri, isterinya, Nurul Fatihah Azman, 28, yang patah tangan kanan dan luka pada kaki kanan masih trauma dan terkejut dengan kejadian.

    “Saya dan isteri sedih dengan kehilangan anak sulung kami. Lebih pilu apabila isteri keguguran. Bayi dalam kandungan isteri yang berusia lima bulan turut meninggal dunia.

    “Mungkin hentakan yang kuat menyebabkan isteri keguguran. Walaupun begitu, kami berdua pasrah dengan ketentuan Ilahi dan berserah kepadaNya atas ketentuan ini,” ujarnya.

    Muhammad Ubaidillah Zikri memberitahu, Aidilfitri kali ini menjadi sejarah buat dirinya dan keluarga.

    Katanya, dia bekerja di Kuala Lumpur dan pulang ke kampung halaman di Batu Rakit pada Khamis iaitu tiga hari sebelum berlaku kejadian yang menyayat hati itu.

    “Saya sebenarnya PJJ (perkahwinan jarak jauh) dengan isteri. Pada bulan puasa lalu saya ada balik jumpa anak isteri dua minggu sekali. Waktu itu anak masih seperti biasa dengan saya.

    “Raya kali ini saya perasan anak sulung nampak ada sikit berubah iaitu dia tidak mahu bersama saya dan sentiasa mahukan ibunya. Saya agak pelik sebab kebiasaannya dia mahu juga duduk dekat dengan saya.

    “Tak sangka ia merupakan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Jenazah Abd. Halim dan Alisha Mardhiah dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kemalangan membabitkan dua buah Proton Persona yang berlaku pada pukul 4.47 petang itu turut mengorbankan empat penumpang lain.

    Mangsa terkorban ialah Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23; Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 2 tahun; Tuan Yah Dollah, 61; dan Rosliza Mat Hussin, 38.

    Katanya, pemandu kereta tersebut iaitu Shah Rezzal Zanzalani, 27, dan tiga penumpang lain iaitu Wan Muhamad Adam Wan Muhamad Khalil, 11; Wan Alya Farhana Wan Muhamad Khalil,15; dan Nur Syafana Nasha Saiful Azwan,2, mengalami kecederaan.

    Beliau memberitahu, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca apabila kereta dipandu Shah Rezzal yang dalam perjalanan dari Bukit Besi, Dungun ke Cheneh, Kemaman hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

    Keadaan itu menyebabkan kenderaan dipandu Muhammad Ubaidillah Zikri dari Perasing, Kemaman menghala ke Batu Rakit, Kuala Nerus tidak dapat mengelak kerana jarak yang dekat menyebabkan kedua-dua kereta itu bertembung.

  • Warga emas ditemukan mati dalam rumah berkunci

    Warga emas ditemukan mati dalam rumah berkunci

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia dalam sebuah rumah yang berkunci di Taman Perdana di Muar malam tadi.

    Kejadian tersebut dimaklumkan kepada pihak bomba pada pukul 11 malam.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Azhar Khalil berkata, empat anggota berserta satu utiliti pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di lokasi kejadian, terdapat seorang lelaki warga emas berkunci dalam rumah.

    “Anggota bertindak memotong mangga pintu menggunakan alatan khas ‘circular saw’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan kes diserahkan kepada pihak polis.

  • Bekas majistret, kontraktor gagal dapatkan semula rampasan RM182,100

    Bekas majistret, kontraktor gagal dapatkan semula rampasan RM182,100

    BEKAS hakim Mahkamah Sesyen dan ahli perniagaan sekali lagi gagal dalam usaha mendapatkan semula wang tunai RM182,100 yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) empat tahun lalu selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuan mereka.

    Wang tunai itu telah dirampas daripada kamar di mahkamah Kuala Kubu Bharu, tempat Azmil Muntapha Abas bertugas antara 22 Julai dan 26 Julai 2019.

    Azmil mendakwa, jumlah itu adalah pinjaman yang diberikan oleh rakannya dan kontraktor Leong Peng Woon untuk membolehkannya membeli rumah lelong di Hulu Selangor pada tahun yang sama.

    Perjanjian pinjaman telah disediakan untuk tujuan itu, dakwanya.

    Bagaimanapun, ‘pinjaman’ itu dipertikaikan oleh pendakwa raya, yang mendakwa siasatan SPRM menunjukkan bahawa wang itu adalah ‘rasuah’ yang dibayar kepada Azmil oleh seorang peguam.

    Jumlah itu dibayar oleh Noor Amirul Nazreen Anas melalui Khairul Azhwa Yusrie Mohamad.

    Dalam keputusannya hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Wendy Ooi berkata, Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf apabila membenarkan permohonan kerajaan untuk melucuthak wang itu.

    Beliau berkata, afidavit Azmil tidak menyangkal dakwaan pihak pendakwaan bahawa pembayaran itu adalah rasuah.

    “Kegagalan responden (Azmil) untuk menyangkal dakwaan itu dilihat sebagai pengakuan,” kata Ooi, lapor FMT.

    Mahkamah juga mempersoalkan tindakan Azmil ‘menyembunyikan’ wang tunai dalam kamarnya selama lebih sebulan sebelum serbuan SPRM.

    “(Jumlah) RM182,100 adalah besar dan ia tidak sepatutnya disimpan dalam kamar.

    “Ini jelas menunjukkan bahawa RM182,100 itu bukanlah ‘pinjaman’. Jika ia pinjaman, responden (Azmil) dengan mudah boleh menunjukkan pihak berkuasa syarat perjanjian pinjaman itu,” kata Ooi.

    Mahkamah Tinggi sedang mendengar rayuan daripada keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh yang diputuskan pada 23 Nov 2021.

    Dalam keputusannya, Rozilah telah menolak tindakan dan kenyataan Azmil sebagai ‘satu perkara yang baru difikirkan’. Dia juga mendapati bahawa tiada bukti untuk menyokong pendapatnya bahawa wang itu adalah pinjaman.

    Azmil, Amirul dan Khairul sebelum ini didakwa menerima suapan RM17,500 daripada Wong Chiew Hoong sebagai dorongan untuk majistret menjatuhkan hukuman ringan terhadap pendatang tanpa izin.

    Ketiga-tiga mereka dibebaskan daripada pertuduhan pada 28 Okt 2021.

    Bagaimanapun, Azmil didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan atas kesalahan berasingan kerana menerima suapan RM5,000.

  • Boy Iman nafi menipu dalam penganjuran Hooray X Fest Raya

    Boy Iman nafi menipu dalam penganjuran Hooray X Fest Raya

    PELAKON Boy Iman dan tiga yang lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menipu berhubung penganjuran festival beli-belah Hooray X Fest Raya, minggu lalu.

    Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, 43, Norazah Sahud, 51, Norzana Rapie, 51, dan Nor Azmi Jantan, 49, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

    Pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abdul Halim.

    Harian Metro menyatakan, Kesalahan itu dilakukan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada pukul 2.34 pagi, 19 April lalu.

    Boy Iman, 43, atau nama sebenarnya Noruliman A. Rahman antara lima individu didakwa atas kesalahan menipu bagi penganjuran Festival Raya Hooray X Fest di Pusat Dagangan Dunia (WTC), minggu lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu tahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin kemudian menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh.

    Namun keempat-empat tertuduh yang diwakili peguam Mohamad Syakir Mohamad Fauzi dan Earnest Azad memohon ikat jamin paling rendah kerana masing-masing mempunyai tanggungan.

    Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM3,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Boy Iman, 43, atau nama sebenarnya Noruliman A. Rahman antara lima individu didakwa atas kesalahan menipu bagi penganjuran Festival Raya Hooray X Fest di Pusat Dagangan Dunia (WTC), minggu lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

    Sementara itu, seorang lagi tertuduh berusia 23 tahun tidak dituduh bersama kerana dimasukkan ke hospital.

    Difahamkan, lelaki itu yang juga pengarah syarikat akan didakwa sebaik keluar hospital.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menipu Siti Wardina Basir, 21, dengan memperdayakannya dalam urusan penjualan dan penyewaan tapak perniagaan sempena festival Hooray X Fest Raya sehingga mendorong wanita itu menyerahkan wang RM1,500.

  • 200 daripada 300 kanak-kanak pernah hisap vape 2 kali seminggu

    200 daripada 300 kanak-kanak pernah hisap vape 2 kali seminggu

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa seramai 200 daripada 300 kanak-kanak yang ditemui mereka mengakui pernah menghisap vape dua kali seminggu.

    Pegawai Pendidikan CAP yang juga aktivis anti rokok, N.V. Subbarow berkata, kanak-kanak itu menghisap vape di rumah ketika ibu bapa mereka tiada.

    Jelas beliau, disebabkan vape kini terdapat dalam perisa buah-buahan, ramai kanak-kanak mengakui mereka percaya perisa vape tersebut dibuat daripada buah-buahan atau gula-gula.

    Tambahnya, semasa program CAP, kanak-kanak dan pelajar perempuan juga didapati tertarik dengan budaya vape di mana daripada empat kanak-kanak, seorang kanak-kanak perempuan ketagih dengan vape.

    ”Sesetengah kanak-kanak dan orang dewasa juga memberitahu mereka berminat untuk mencuba menghisap vape walaupun menyedari ia adalah racun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya menggesa pentadbiran sekolah membenarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti CAP memberi kesedaran kepada pelajar tentang bahaya merokok, vape, e-rokok dan jus yang mengandungi nikotin.

    Tegasnya, CAP bimbang jika tiada tindakan segera diambil, lebih ramai kanak-kanak dan pelajar sekolah akan ketagih dengan vape sehingga menyebabkan kesihatan serta masa depan mereka akan terancam.

    ”Sebilangan besar kanak-kanak mengakui bahawa mereka tidak membeli sebarang alat vape atau e-rokok sebaliknya menghisapnya menerusi peralatan vape milik bapa atau abang mereka.

    ”Kanak-kanak ini yang berumur 9 hingga 12, mengakui mereka kerap mencuba vape atau e-rokok milik bapa mereka ketika di rumah,” katanya.

    Dalam pada itu, tambah beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengesyorkan vape dan menekankan bahawa vape adalah bahan yang membuatkan golongan remaja serta orang dewasa mula menggunakan bahan ketagihan lain.

    ”Oleh itu, pihak berkuasa mesti mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang mendedahkan vape serta jus berasaskan nikotin kepada kanak-kanak,” katanya.

  • Rashdan Yusof letak jawatan Timbalan Pengarah Urusan Gamuda

    Rashdan Yusof letak jawatan Timbalan Pengarah Urusan Gamuda

    RASHDAN Yusof meletak jawatan sebagai timbalan Pengarah Urusan Gamuda Bhd susulan kebimbangan konflik kepentingan selepas pelantikannya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga.

    Gamuda dalam kenyataan mengumumkan bahawa, Rashdan telah melepaskan semua jawatan pengarah berkuat kuasa hari ini dan menghantar notisnya sehingga 30 Jun.

    “Kumpulan itu merakamkan ucapan selamat kepada Rashdan untuk usaha masa depannya, termasuk untuk peranannya sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga.

    “Rashdan memberi jaminan kepada lembaga pengarah bahawa terdapat pematuhan penuh terhadap semua peruntukan konflik kepentingan seperti yang dinyatakan dalam Akta Suruhanjaya Tenaga (Akta 610) dan tadbir urus yang baik dipatuhi dalam semua perbincangannya di Suruhanjaya Tenaga,” katanya, lapor FMT.

  • Video tular di media sosial, polis tahan suspek dakwa larikan seorang lelaki

    Video tular di media sosial, polis tahan suspek dakwa larikan seorang lelaki

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS sudah menahan seorang suspek dan masih memburu beberapa individu yang didakwa melarikan seorang lelaki dalam kejadian di Shahab Perdana, Alor Setar yang klip videonya tular di media sosial sejak malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, laporan polis berhubung kejadian itu sudah pun dibuat oleh bapa mangsa, semalam.

    Menurutnya, bapa mangsa berusia 46 tahun menerima maklumat kira-kira pukul 6.30 petang menyatakan anak lelakinya yang berusia 27 tahun, dilarikan beberapa individu.

    “Berikutan itu, dia bergegas ke lokasi kejadian. Apabila tiba di lokasi tersebut, dia kemudiannya ditunjukkan klip video kejadian tersebut oleh orang awam yang berada di situ.

    “Susulan itu, bapa mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam klip video berdurasi 41 saat itu, mangsa dilihat dipaksa memasuki sebuah kenderaan berwarna putih sambil dia menjerit kesakitan.

    Kejadian itu dirakam orang awam yang berada di kawasan tersebut namun tiada butiran lanjut didedahkan mengenainya dalam klip video berkenaan.

    Tambahnya, hasil siasatan dijalankan, polis kemudiannya berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 43 tahun, awal pagi ini.

    “Setakat ini terdapat lima suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita. Bagaimanapun seorang suspek sudah ditahan awal pagi tadi.

    “Pihak kami sedang berusaha menghubungi mangsa dalam masa terdekat. Dalam masa sama, kami juga sedang berusaha memburu saki-baki suspek,” katanya.

    Beliau memaklumkan, motif kejadian masih disiasat.

    “Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 362 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Rayuan 4 bekas ADUN cabar undang-undang anti-lompat minggu depan

    Rayuan 4 bekas ADUN cabar undang-undang anti-lompat minggu depan

    MAHKAMAH Rayuan dijangka menetapkan tarikh pendengaran rayuan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang mencabar kesahihan usul yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memaksa mereka mengosongkan kerusi.

    Tarikh pendengaran rayuan, yang menamakan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Speakernya, Law Choo Kiang, sebagai responden, dijangka ditetapkan semasa pengurusan kes yang dijadualkan diadakan minggu depan.

    Menurut peguam A. Surendra Ananth, yang mewakili Speaker berkata, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Tiong Wen Wen, menangguhkan pengurusan kes bekas ADUN Bersatu bagi Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, yang diadakan pagi ini.

    Tiong berbuat demikian selepas mengetahui Dr. Afif Bahardin (bekas ADUN Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang) turut memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang sama.

    Rayuan ketiga-tiga mereka dijadualkan untuk pengurusan kes pada 5 Mei.

    “Pengurusan kes seterusnya dalam rayuan Zulkifli akan diadakan pada hari yang sama, dan pendengaran bersama untuk keempat-empat rayuan mungkin akan ditetapkan pada tarikh itu,” kata Surendra kepada FMT.

    Peguam, Shu Ivy mewakili Zulkifli hari ini.

    Pada 20 Jan, Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Arshad menolak saman yang dikemukakan oleh empat bekas wakil rakyat itu.

    Azizan berkata beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun lalu bahawa enakmen anti-lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

    Beliau juga memutuskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan usul oleh DUN dan speaker terhadap keempat-empat Adun berkenaan.

    “Itu terletak di bawah bidang kuasa dewan undangan negeri,” katanya.

    Pada 6 Mac, DUN Pulau Pinang meluluskan usul untuk mengosongkan empat kerusi itu atas alasan bahawa keempat-empat ADUN terbabit telah melanggar undang-undang anti lompat negeri.

    Kesemua telah bertanding dan menang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas tiket Pakatan Harapan pada Mei 2018.

    Keempat-empat ADUN berkenaan memfailkan writ saman pada 2020 terhadap DUN Pulau Pinang dan Speaker Law Choo Kiang bagi mencabar usul dibentang pada Okt 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

  • Radzi Abu Hassan KP Kesihatan baharu

    Radzi Abu Hassan KP Kesihatan baharu

    TIMBALAN Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Radzi Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu bagi mengantikan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang bersara pada 21 April.

    Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa yang mengucapkan tahniah atas pelantikan itu memaklumkan ia dibuat berdasarkan kelayakan dan pengalaman luasnya dalam bidang perkhidmatan kesihatan sebagai timbalan ketua pengarah kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) sebelum dilantik ke jawatan berkenaan.

    “Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibilitinya, beliau mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama saya dalam memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

  • Puteri Sarah beri amaran tidak kaitkannya dengan Elcah yang bercerai selepas 8 hari berkahwin

    Puteri Sarah beri amaran tidak kaitkannya dengan Elcah yang bercerai selepas 8 hari berkahwin

    PELAKON Puteri Sarah Liyana memberikan amaran kepada bekas suami personaliti media sosial, Elcah yang mengaitkan namanya dalam masalah rumah tangga mereka.

    Puteri Sarah menerusi hantaran dalam akaun Instagramnya menyatakan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika melampui batas.

    Malah dalam hantaran tersebut juga, Puteri Sarah meluahkan rasa kesal dengan sikap lelaki berkenaan.

    “Aku tidak mengenali kau tetapi apa yang pasti daripada bekas isteri kau, aku tahu kau adalah seorang lelaki yang narsistik.

    “Siapa lelaki ini? Kau ada masalah dengan bekas isteri kau kemudian kaitkan dengan aku?

    “Nak tumpang glamour ke bro? Nak kena saman dengan aku? Dah lah aniaya bini sendiri dan kaitkan dengan aku. Ingat aku tak dapat cari kau?” katanya, menurut Astro Awani yang memetik laporan portal Gempak.

    Terdahulu, Elcah mendedahkan dia telah diceraikan oleh bekas suaminya selepas lapan hari berkahwin.

    Sebelum ini juga, Elcah telah mendirikan rumah tangga namun jodoh mereka tidak panjang.

    Kisan penceraian Elcah bagi perkahwinan pertamanya juga menjadi tular apabila bekas suaminya membuat keputusan untuk bercerai selepas tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan.

    Elcah kemudiannya mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada 3 Mac lalu.