Author: Wartawan WartaRakyat

  • Persatuan Peguam Komanwel kritik langkah SPRM siasat Nazlan

    Persatuan Peguam Komanwel kritik langkah SPRM siasat Nazlan

    SIASATAN yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali menerima kritikan Persatuan Peguam Komanwel (CLA).

    Persatuan perundangan terkemuka itu menyifatkan tindakan SPRM menyiasat Nazlan sebagai sama dengan campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman dan melanggar kod etika kehakiman yang tidak berada bawah bidang kuasa agensi tersebut.

    “Isunya kini res judicata,” kata surat terbuka itu, lapor Agenda Daily.

    CLA juga berkata, keputusan rayuan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang diputuskan oleh tiga peguam iaitu Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai menunjukkan dakwaan terhadap Nazlan tiada mempunyai merit.

    Persatuan itu juga melahirkan kebimbangan langkah SPRM membuat pengumuman awam berhubung penyiasatan dan penemuannya terhadap Nazlan, dengan CLA berhujah tindakan sedemikian adalah sama dengan pencabulan besar terhadap aspek pemisahan kuasa.

    Walaupun SPRM ditugaskan untuk memerangi rasuah di Malaysia, CLA mencadangkan penyiasatan sedemikian terhadap hakim yang sedang bersidang boleh memberi kesan buruk terhadap badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

    “Sebagai sebuah kerajaan, adalah penting bagi eksekutif untuk menghormati, melindungi dan menegakkan kebebasan badan kehakiman, yang merupakan tonggak utama pentadbiran keadilan.

    “Badan kehakiman mesti kekal bebas, tidak berat sebelah, dan bebas daripada sebarang bentuk campur tangan atau paksaan terutamanya oleh eksekutif,” kata surat itu lagi.

    CLA menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua kerajaan mengambil langkah proaktif untuk memastikan kebebasan kehakiman, mengingatkan beliau berhubung kepentingan mempunyai hakim yang bebas menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut untuk memihak.

    Surat bertarikh 20 April itu ditandatangani oleh Presiden CLA, Peter Maynard KC.

    Tahun lepas, SPRM memulakan siasatan terhadap Nazlan atas dakwaan beliau menerima RM1 juta daripada sumber yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya daripada ahli perniagaan buruan dan dalang skandal 1MDB, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.

    Nazlan membuat laporan polis untuk menentang dakwaan blog itu.

  • Pengantin baru sehari berkahwin ditahan bersama 9.2kg heroin

    Pengantin baru sehari berkahwin ditahan bersama 9.2kg heroin

    PASANGAN pengantin yang baru sehari melangsungkan perkahwinan ditahan bersama 9.26 kilogram dadah disyaki heroin dalam satu pemeriksaan di Chikus, Langkap, Teluk Intan, pukul 12.23 tengah hari tadi.

    Suspek berusia 23 dan 24 tahun beralamat dari Teluk Intan itu ditahan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, semasa ditahan, pasangan berkenaan yang melangsungkan perkahwinan semalam berada dalam sebuah kereta di parkir masjid dipercayai sedang menunggu pelanggan.

    “Pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan itu menjumpai sebuah beg pakaian yang di dalamnya mengandungi 20 bungkusan plastik berisi bahan disyaki heroin dianggarkan bernilai RM77,000.

    “Bekalan dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan ke luar daerah dan boleh digunakan hampir 10,000 penagih,” katanya dalam satu kenyataan di Teluk Intan, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati kedua-dua mereka tidak bekerja dan masing-masing mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah.

    Katanya, saringan air kencing juga mendapati suami isteri itu positif dadah jenis Methamphetamine.

    “Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap pasangan berkenaan esok (Rabu) untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Musa Hitam selamat jalani pembedahan otak akibat terjatuh

    Musa Hitam selamat jalani pembedahan otak akibat terjatuh

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam telah selamat menjalani pembedahan otak selepas dimasukkan ke hospital akibat terjatuh semasa berkebun baru-baru ini.

    Perkembangan itu dikongsikan oleh bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), Tan Sri Nazir Razak melalui hantaran di Instagram rasminya pada Selasa.

    Nazir berkata, keadaan bekas Timbalan Presiden UMNO itu semakin pulih malah sudah boleh berjenaka seperti dulu.

    “Menziarahi Tun Musa Hitam di hospital hari ini. Dia mengalami kejatuhan yang sangat teruk semasa berkebun seminggu yang lalu dan memerlukan pembedahan pada otaknya.

    “Beliau (Tun Musa) menghabiskan waktu pada hari jadinya ke-89 pada tahun di atas meja bedah. Secara keseluruhannya proses pemulihan beliau adalah sangat ajaib setakat ini.

    “Tun Musa sudah boleh melawak kembali. Mari kita sama-sama mendoakan beliau sembuh dengan sepenuhnya, boleh kembali bermain golf dan sebagainya,” katanya dalam hantaran hari ini, lapor Sinar Harian.

  • Remaja lelaki OKU maut, rakan kritikal dipanah petir

    Remaja lelaki OKU maut, rakan kritikal dipanah petir

    SEORANG remaja orang kurang upaya (OKU) maut manakala rakannya kritikal selepas dipanah petir ketika bermain bola di padang Pekan Papar, Kota Kinabalu, pukul 3.55 petang tadi.

    Mangsa, Muhammad Zulqilfle Redzwan, 13, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang hadir memberi rawatan adwal di lokasi kejadian.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4 petang.

    “Susulan itu sepasukan anggota bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Bomba menerima laporan dua remaja lelaki masing-masing berusia 13 tahun disambar petir ketika menjalankan aktiviti sukan bola sepak.

    “Pasukan bomba dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi rawatan awal pada mangsa yang cedera dan seterusnya menyerahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dihantar ke Hospital Papar.

    “Seorang lagi mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Operasi tamat pada 4.40 petang,” katanya lapor Harian Metro.

  • Seludup 26 anak anjing ke Singapura, Rakyat Malaysia dipenjara

    Seludup 26 anak anjing ke Singapura, Rakyat Malaysia dipenjara

    SEORANG lelaki warga Malaysia dijatuhi hukuman penjara setahun, semalam, kerana menyeludup 26 anak anjing dan seekor kucing dari negara ini ke Singapura.

    Haiwan itu disimpan dalam beg pakaian dan bekas plastik ketika Gobysuwaran Paraman Sivan, 36, cuba memandu melalui pusat pemeriksaan Tuas di Singapura dengan sebuah lori pada 18 Oktober 2022, lapor Channel News Asia.

    Pegawai imigresen menemui haiwan itu disembunyikan di beberapa tempat dalam lori dengan sebahagiannya di ruang simpanan atas kenderaan didaftarkan di Malaysia itu manakala yang lain dibungkus di belakang tempat duduk pemandu dan penumpang.

    Seekor anak anjing ditemui mati manakala 18 yang lain kemudiannya juga mati akibat penyakit, Gobysuwaran kemudiannya ditahan.

    Lembaga Taman Negara Singapura berkata, Gobysuwaran didakwa mengimport haiwan peliharaan tanpa lesen secara haram serta menyeksa haiwan itu melalui cara dilakukannya.

    Di bawah Akta Haiwan dan Burung Singapura, pesalah kali pertama mengimport mana-mana haiwan tanpa lesen boleh dikenakan penjara sehingga 12 bulan, denda USD10,000, atau kedua-duanya sekali.

    Pihak berkuasa Taman Negara Singapura juga berkata, satu lagi kes cubaan menyeludup di pusat pemeriksaan Tuas menyaksikan 11 anak anjing dan seekor anak kucing dibius dan disembunyikan dalam kereta.

    Beberapa haiwan itu disembunyikan di bawah tempat duduk belakang manakala yang lain disimpan dalam petak tayar ganti kenderaan.

  • Ab. Rauf enggan nafi atau sahkan Exco Melaka terlibat rasuah seks

    Ab. Rauf enggan nafi atau sahkan Exco Melaka terlibat rasuah seks

    KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh tidak mahu menafikan dakwaan seorang Exco negeri itu terlibat dengan rasuah seks.

    Beliau sebaliknya menyifatkan dakwaan berkenaan adalah satu fitnah.

    “Saya nak beritahu bahawa orang zaman dunia siber ini boleh buat macam-macam, saya tak nak menafikan benda itu betul atau tidak.

    “Saya menganggap benda ini sebagai satu benda fitnah yang harus kita lihat dalam dunia serba moden ini, fitnah ini pelbagai bentuk,”
    katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja dan meninjau keadaan Sungai Melaka hari ini.

    Beliau mengulas berkenaan dakwaan seorang aktivis dalam Facebook yang seorang Exco negeri itu terlibat dalam rasuah seks.

    Tangkap layar perbualan didakwa melibatkan Exco berkenaan tersebar dan tular dalam media sosial ketika ini.

    Mengulas lanjut, Ab. Rauf berkata, perkara itu kemungkinan permainan musuh politik yang cemburu dengan suasana politik Melaka yang sudah stabil.

    “Saya pun tengok dan saya teliti, bagi saya, saya faham daripada mana asal usul dia, jadi saya tak nak komen lebih,” katanya.

    Ditanya sama ada Exco berkenaan perlu membuat laporan polis, ujarnya, itu terserah kepada Exco terbabit, namun berpendapat tidak perlu dipanjang-panjangkan.

    Jelasnya, apa yang perlu diberi perhatian sekarang ialah soal membina Melaka ke arah lebih baik.

    “Saya ingat benda itu tak payah nak panjang-panjangkan, benda fitnah ini tak payah nak lebih-lebih.

    “Kita dah buat kerja nak majukan negeri ni, nak membina Melaka ke arah lebih baik. Jadi benda ini saya tak ambil pusinglah,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Konflik Sudan: 30 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan

    Konflik Sudan: 30 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan

    MENTERI Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan, 30 rakyat Malaysia yang terperangkap di Khartoum, Sudan berjaya diselamatkan semalam.

    “Semua mereka selamat tiba di Port Sudan pada pukul 2.07 petang waktu Sudan iaitu bersamaan 8.07 malam waktu Malaysia setelah melalui perjalanan sejauh 1,233 kilometer (km) dengan mengambil masa selama 30 jam.

    “Pasukan Khas (TF) Ops Sudan Malaysia juga berjaya membantu mengeluarkan 26 warganegara lain untuk turut sama dalam proses evakuasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, 26 warganegara lain itu merangkumi seorang warga Filipina; enam warga Kemboja; 14 warga Singapura; seorang warga Thailand; dua warga Amerika Syarikat; seorang warga Palestin dan seorang warga Sudan.

    Menurut beliau, dua rakyat Malaysia yang tidak terlibat dengan proses evakuasi tersebut berkhidmat di United Nations Mission in Sudan (UNMIS) di Abyei dan proses evakuasi mereka akan dilakukan oleh pihak United Nations.

    “Selanjutnya, kita sedang mengusahakan untuk membawa kesemua 56 orang itu keluar dari Port Sudan melalui dua opsyen iaitu sama ada melalui laluan udara dengan sewaan khas pesawat atau melalui laluan laut (kapal laut).

    “Ini bergantung kepada opsyen mana yang akan mendapat kelulusan paling cepat dan segera daripada pihak berkaitan,” ujar beliau.

    Pada 21 April lalu, dua rakyat Malaysia dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.

    Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), korban akibat pergolakan di Sudan sehingga kini meningkat kepada lebih 400 orang, manakala 3,500 lagi cedera.

    Konflik bersenjata berkenaan tercetus sejak dua minggu lalu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

    Mengulas lanjut, Zambry berkata, keadaan rakyat Malaysia dan warganegara lain dalam konvoi Malaysia tersebut dimaklumkan sihat dan selamat.

    “Sama-sama kita doakan agar proses mengeluarkan mereka dari Sudan berjaya dilakukan sesegera mungkin dan seterusnya kesemua mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya lapor Sinar Harian.

  • 76 individu kosongkan Akademi SPRM akibat tanah runtuh

    76 individu kosongkan Akademi SPRM akibat tanah runtuh

    LEBIH 70 penghuni di dua blok Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Kuala Lumpur, diarah meninggalkan bangunan itu susulan kejadian tanah runtuh petang tadi.

    Kejadian berlaku di hadapan pintu masuk bangunan akademi SPRM sehingga meruntuhkan sebuah pondok kawalan dengan runtuhan dianggarkan membabitkan keluasan 30 x 60 meter persegi.

    Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian tersebut pada pukul 1.54 petang.

    “Seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sentul dikejarkan ke lokasi untuk membantu.

    “Seramai 76 mangsa membabitkan 36 lelaki dan 40 wanita yang berada dalam dua blok bangunan di akademi itu diarahkan keluar dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

    Katanya, semua mangsa dipindahkan ke tempat selamat dan ketika ini pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Syabas telah dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya.

    “Berdasarkan maklumat awal, pergerakan tanah dilaporkan masih berlaku dipercayai akibat kejadian paip pecah,” katanya, lapor Berita Harian.

  • PN mampu tarik 20 peratus pengundi bukan Melayu pada PRN Selangor

    PN mampu tarik 20 peratus pengundi bukan Melayu pada PRN Selangor

    PERIKATAN Nasional (PN) Selangor yakin mampu menarik sokongan 20 peratus bukan Melayu dalam misi menawan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka Jun depan.

    Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, tidak mustahil misi tersebut dapat dilaksanakan melalui gelombang sokongan serta penerangan berterusan terhadap pengundi.

    “PN menyasarkan 30 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan ditawan di Selangor.

    “Untuk membentuk kerajaan negeri Selangor, PN perlu menang sekurang-kurangnya 29 kerusi.

    “Tidak dinafikan kerusi majoriti bukan Melayu antara misi sukar PN, namun yakin (mampu tarik pengundi) dengan gelombang sokongan yang diterima,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris yang sebelum ini menyatakan PN hanya memerlukan satu perlima daripada undi bukan Melayu untuk memenangi PRN di Negeri Sembilan dan Selangor.

    Mohamed Sukri berkata, PN mempunyai keupayaan memimpin negeri berdasarkan prestasi dipamerkan ketika menerajui kerajaan Persekutuan sebelum ini.

    Malah PN katanya, turut menampilkan kepimpinan terbaik di tiga negeri yang dikuasai PN iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    Katanya lagi, rakyat juga perlu disedarkan dengan kegagalan yang cukup ketara di bawah kerajaan campuran Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) dalam menyelesaikan masalah rakyat khasnya kos sara hidup yang makin teruk.

  • Rumah terbuka bermotif politik, membazir – Pas

    Rumah terbuka bermotif politik, membazir – Pas

    DEWAN Ulama Pas Pusat (DUPP) menyifatkan langkah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri di negeri tertentu hanya bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya berkata, majlis tersebut menyebabkan berlaku lebih banyak pembaziran semata-mata untuk memenuhi kerakusan politik Anwar dan kerajaan campuran itu.

    “Ia tidak bersifat mengurangkan pembaziran bahkan lebih banyak pembaziran terpaksa dilaburkan semata-mata memenuhi kerakusan politik Anwar Ibrahim dan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    “Apakah semua pihak akan menerima bulat-bulat bahawa penganjuran jamuan Hari Raya Aidilfitri di negeri PRN semata-mata tiada udang di sebalik batu,” soalnya dalam satu hantaran menerusi media sosial miliknya hari ini.

    Katanya, rakyat sudah bijak menilai dan membaca kebobrokan tindakan Kerajaan Madani itu yang semakin tempang ketika ini.

    “Satu demi satu prinsip perjuangan tinggal sekadar ucapan yang manis didengar di halwa telinga. Namun, tindakan dan amalan berpolitik yang diamalkan PH dan BN tidak lagi mencerminkan perjuangan yang didambakan,” ujarnya.

    Jelasnya, DUPP menegaskan bahawa tidak sepatutnya kesemua tindak tanduk kerajaan hanya bersifat politik.

    Kata Ahmad, sikap politik kepartian tersebut perlu dihentikan dengan mengamalkan profesionalisme dalam menguruskan hal ehwal pentadbiran.

    “Kita seringkali mengingatkan agar kerajaan pada hari ini menjadi sebuah kerajaan kepada semua. Malangnya, kerajaan omongan reformasi Madani hari ini indah khabar dari rupa,” ujarnya, lapor Sinar Harian.