Author: Wartawan WartaRakyat

  • Masalah air di Kedah tak seteruk digambarkan, sekadar modal politik PH-BN akibat ketandusan isu

    Masalah air di Kedah tak seteruk digambarkan, sekadar modal politik PH-BN akibat ketandusan isu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ISU bekalan air di Kedah yang digembar-gemburkan sebelum ini bukanlah seteruk seperti digambar sesetengah pihak hingga kononnya melibatkan hampir sejuta pengguna seperti dilaporkan akhbar tertentu.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Pengairan dan Saliran serta Tenaga negeri, Munir @ Mohamad Yusoff Zakaria menjelaskan, hanya 1.2 peratus atau 8,000 daripada keseluruhan 643,000 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman (SADA) saja yang benar-benar terjejas di sepanjang musim perayaan ini.

    Katanya, daripada jumlah itu, dianggarkan terdapat 40,000 pengguna yang benar-benar terjejas dan bukanlah sejuta orang seperti didakwa pihak tertentu.

    “Insya Allah keadaan masih terkawal dan dapat ditangani dengan baik oleh SADA dengan menghantar lori tangki air. Keadaan tidak seteruk seperti digambarkan sesetengah pihak.

    “Hanya 8,000 daripada keseluruhan 643,000 akaun saja yang terjejas dan bukannya hampir sejuta seperti dilaporkan media sebelum ini,” katanya.

    Menjelaskan lebih lanjut, Munir berkata, isu gangguan bekalan air yang berlaku mutakhir ini berikutan operasi penggantian paip lama serta projek naik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Pelubang, Jenun Baru, Bukit Selambau, Sungai Limau dan Lubuk Buntar Lama demi kesenangan rakyat pada masa depan.

    Gangguan bekalan air itu katanya bagaimanapun menjadi lebih kronik apabila sumber air berkurangan disebabkan kekurangan hujan serta cuaca panas berpanjangan kebelakangan ini.

    “Ditambah dengan musim perayaan, maka isu gangguan bekalan air di Kedah menjadi lebih buruk. Oleh itu SADA telah melaksanakan pelan kontigensi semasa musim perayaan bagi mendepani isu ini secara menyeluruh,” katanya.

    Tambahnya, ketika ini Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tampak berterusan menangguk di air keruh dengan menggunakan isu bekalan air berikutan ketiadaan modal isu lain untuk menghentam serta memburukkan imej dan reputasi cemerlang Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

    Menurutnya, PH dan BN yang pernah menerajui kerajaan negeri sebelum ini cuai dan lalai terhadap rakyat Kedah dalam menyelesaikan masalah air di Kedah.

    Jelasnya, isu bekalan air telah membuatkan rakyat Kedah sengsara bertahun-tahun sejak BN memerintah sebelum dan berterusan hingga ketika negeri ini diterajui PH.

    “Fakta dan data kesengsaraan rakyat tercatat di mana-mana minit mesyuarat kerajaan negeri semasa itu dan juga di seluruh pejabat daerah negeri seolah-olah tiada penyelesaian untuknya.

    “Pada 2019, kerajaan negeri pimpinan PH telah menangguhkan sekali lagi rancangan menaik taraf lima LRA tersebut dengan alasan masalah kewangan setelah sebelum itu lama tertangguh oleh kerajaan BN Kedah. Pada 2019 juga, SADA mencatat kerugian RM36 juta sekali gus memberi kesan buruk dan menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat Kedah,” katanya.

    Tambahnya, selepas tampuk kerajaan negeri diambil alih pada 2020, Muhammad Sanusi meletakkan isu air sebagai keutamaan dalam pentadbiran dan melakukan penyusunan semula operasi hingga membolehkan SADA kembali mencatat keuntungan RM1 juta pada tahun itu.

    “Pada 2021, SADA mula mencatat keuntungan tinggi sebanyak RM30 juta dan ini memberi peluang kepada syarikat itu melipat gandakan penyelenggaraan dan perkhidmatan kepada seluruh rakyat Kedah melalui perancangan pelan jangka masa panjang dan pendek,” katanya.

    Katanya, bagi pelan jangka masa sederhana, SADA sedang melaksanakan pembinaan rumah pam dan tangki sedutan bertujuan meningkatkan kapasiti loji dan mengatasi masalah tekanan air rendah di kawasan muka bumi tinggi, di penghujubg sistem agihan.

    “Bagi pelan jangka panjang pula, kerajaan negeri melalui SADA memperuntukkan kira-kira RM73 juta bagi kerja-kerja penggantian paip lama dan usang di kawasan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’.

    “Selain itu sebanyak RM931 juta diperuntukkan kerajaan Kedah untuk menaik taraf lima LRA, sistem pam serta operasi penggantian paip lama seluruh Kedah,” katanya.

  • Sekat peruntukan pembangkang, jawablah di akhirat kelak, kata Shahidan

    Sekat peruntukan pembangkang, jawablah di akhirat kelak, kata Shahidan

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengingatkan kepimpinan kerajaan perpaduan terhadap dosa yang perlu dijawab di akhirat kelak kerana menghalang peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat menerusi Ahli Parlimen masing-masing.

    “Peruntukan ahli Parlimen yang belum disalurkan kepada wakil pembangkang hingga kini adalah milik rakyat dan bukan hak mutlak Perdana Menteri,” tegas bekas Menteri Besar Perlis itu.

    Peruntukan terbabit katanya, sudah diluluskan di Parlimen, maka tidak timbul isu surat permohonan atau surat tawaran oleh Perikatan Nasional (PN).

    “Beginilah, wang itu mereka nak bagi, bagi! Kalau tak bagi pun, bukan duit mereka, itu wang rakyat.

    “Kerajaan kini sengaja melengah-lengahkan wang milik rakyat yang akan digunakan untuk membantu rakyat (menerusi Ahli Parlimen masing-masing), jika mati esok, mereka jawablah di akhirat kelak,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Shahidan menegaskan tidak perlu surat tawaran atau permohonan kerana peruntukan sudah diluluskan.

    “Perkara ini tidak akan berlaku jika Perikatan Nasional (PN) memerintah negara kerana wang rakyat adalah untuk digunakan untuk rakyat.

    “PN takkan buat kerja macam ni, hak orang serahkan cepat, bukan menyusah dan melengah-lengahkan tak ketahuan, PN tak begitu, kami tak buat kerja macam ni,” tegasnya lagi.

    Shahidan berkata, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, juga sudah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

    “Mereka sudah berjumpa, bila saya tak pasti saya cuma melihat gambar pertemuan mereka di aplikasi WhatsApp kami,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui tidak mengetahui perkembangan mengenai agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

    “Saya tiada maklumat, kena tanya Datuk Seri Hamzah atau Datuk Seri Takiyuddin. Mereka dalam Jawatan Kuasa perundingan,” jawabnya ringkas.

    Setakat ini, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Takiyuiddin Hassan, tidak menjawab panggilan ketika dihubungi untuk mendapatkan komen.

    Terdahulu, Fadillah dilaporkan berkata, kerajaan perpaduan tidak menetapkan syarat kepada PN untuk mendapatkan agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

    Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan masih menunggu tawaran rasmi daripada blok pembangkang itu seperti yang dilakukan ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang sebelum ini.

    Katanya, walaupun PN yang memulakan isu meminta peruntukan turut diagihkan kepada ahli Parlimen pembangkang, namun mereka tidak memberikan maklum balas sewajarnya apabila diminta mengemukakan tawaran rasmi.

    Ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi manifestonya, berjanji mengagihkan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama kepada semua ahli Parlimen.

    Bagaimanapun, peruntukan itu tidak disebut oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Februari lalu.

  • KKM cadang wajibkan semula pemakaian pelitup muka di sekolah

    KKM cadang wajibkan semula pemakaian pelitup muka di sekolah

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan mencadangkan supaya pemakaian pelitup muka diwajibkan semula di sekolah bagi mengekang lonjakan kes Covid-19 susulan penularan varian XBB.1.16, atau dikenali sebagai Arcturus.

    Menurut New Straits Times, Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa berkata beliau akan mengadakan pertemuan segera bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, sebelum sekolah dibuka semula pada 2 Mei.

    Zaliha berkata, sebarang garis panduan dan SOP baharu untuk pelajar akan dikeluarkan sebelum persekolahan dibuka semula sebagai langkah berjaga-jaga.

    “Ini penting. Jika mana-mana pelajar dijangkiti selepas sambutan Aidilfitri dan melakukan perjalanan, ia boleh membawa kepada penularan di sekolah,” katanya sambil menambah, Kementerian Pendidikan akan membuat keputusan berhubung cadangan itu.

    “Ibu bapa tidak perlu panik apabila melibatkan penyebaran varian baharu ini. Bagaimanapun, kami amat menggalakkan semua pihak termasuk pelajar untuk terus memakai pelitup muka bagi mengekang sebarang jangkitan.

    “Sekiranya mereka mengalami simptom (Covid-19), mereka harus memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan sosial seperti yang diamalkan sebelum ini dan mendapatkan bantuan perubatan,” katanya.

    Sebanyak 12 kes varian Arcturus telah dikesan, dengan enam daripadanya dikesan di Lembah Klang dan bakinya dikesan di Sarawak.

    Arcturus ialah subvarian Omicron, varian yang dikatakan sangat mudah berjangkit dan kurang terdedah kepada vaksin. Ia dipercayai menyebabkan lonjakan jangkitan di negara seperti India.

    Zaliha berkata, mereka yang dijangkiti subvarian Omicron biasanya mengalami gejala ringan dan berada dalam keadaan stabil.

  • Kekejaman dukun ganda wang Mbah Slamet

    Kekejaman dukun ganda wang Mbah Slamet

    PEMBONGKARAN aktiviti bomoh pengganda wang dikenali sebagai Mbah Slamet yang membunuh kira-kira 12 mangsa di Banjarnegara, Jawa Tengah, mengejutkan masyarakat negara itu, baru-baru ini.

    Kompas melaporkan, polis menemukan semua mayat yang ditanam di kawasan tanah di lereng bukit pada kedalaman 0.8 meter (m) sehingga satu meter.

    Berikut adalah kronologi, motif dan jumlah mangsa pembunuhan oleh bomoh pengganda wang:

    • Pembunuhan disyaki dilakukan Slamet Tohari, 45, terbongkar selepas polis Banjarnegara menerima laporan kejadian orang hilang pada 27 Mac lalu.
    • Mangsa dari Sukabumi, Jawa Barat dikesan hilang selepas berkunjung ke Banjarnegara, untuk berjumpa Slamet pada 23 Mac lalu.
    • Sebelum hilang, mangsa sempat menghantar pesanan WhatsApp kepada keluarga meminta mereka mencarinya di rumah Slamet, jika dia tidak dapat dihubungi selepas beberapa hari.
    • Selepas pesanan itu diterima, keluarga tidak menerima sebarang khabar berita daripada mangsa lalu mereka ke rumah Slamet.
    • Keluarga turut membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa dan sepasukan polis ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
    • Hasil siasatan, polis mendapati mangsa sudah dibunuh dan mayatnya ditanam.

    Ketua Polis Banjarnegara Hendri Yulianto berkata, mangsa ditanam di kawasan menuju ke hutan di Wanayasa.

    Susulan penemuan mayat mangsa itu, polis turut menemukan beberapa lagi mayat mangsa lain di kawasan berhampiran.

    Media sebelum ini melaporkan, Mbah Slamet yang disyaki membunuh sekurang-kurangnya 10 mangsa sejak 2020 ditahan polis di Jawa Tengah pada 1 April lalu.

    Slamet ditahan di rumahnya di Desa Balun, Wanayasa, Banjarnegara bersama seorang pembantunya yang mempromosikan perkhidmatan penggandaan wang di media sosial.

    Semua mangsa diperdaya Mbah Slamet yang kononnya mampu menggandakan wang daripada 40 juta rupiah (kira-kira RM11,822) kepada lima bilion rupiah (kira-kira RM1.5 juta).

    Kes disiasat di bawah Perkara 340 Kanun Jenayah yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau maksimum 20 tahun penjara.

  • Siasatan terperinci di lokasi tanah Runtuh Bukit Tunku hari ini

    Siasatan terperinci di lokasi tanah Runtuh Bukit Tunku hari ini

    CAWANGAN Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta beberapa agensi lain akan melakukan siasatan terperinci di lokasi kejadian tanah runtuh di Bukit Tunku hari ini.

    Selain itu agensi penyelamat dijadual bermesyuarat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada pukul 3 petang ini.

    Pasca mesyuarat tersebut, satu sidang media turut dijadual diadakan pada pukul 5.30 petang, lapor Astro Awani.

    Semalam, dilaporkan seramai 76 petugas Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan itu pukul 1.30 tengah hari.

  • Pemandu maut kereta dihempap pokok ketika ribut

    Pemandu maut kereta dihempap pokok ketika ribut

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pemandu Proton Waja maut selepas keretanya dihempap pokok yang dipercayai tumbang dalam kejadian ribut di Jalan Lencongan Timur, berdekatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di Sungai Petani, malam tadi.

    Lelaki berusia lingkungan 50-an yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badannya itu belum disahkan identitinya setakat ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Azahari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.27 malam ketika berlaku kejadian angin kencang dan hujan lebat di kawasan berkenaan.

    “Apabila sampai di lokasi kejadian didapati lima buah kereta termasuk Proton Waja terbabit, Mercedes-Benz, Perodua MyVi dan Nissan X Trail mengalami kerosakan akibat dihempap lebih 10 batang pokok.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kereta Proton Waja dalam anggaran umur 50-an meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan bahagian badannya,” katanya.

    Menurutnya, empat lagi pemandu kenderaan lain dan penumpang masing-masing turut mengalami kecederaan, namun jumlah sebenar kesemua mangsa terlibat masih dalam siasatan.

    “Mayat lelaki berkenaan serta mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke HSAH untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Azahari berkata, seramai 16 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, BBP Aman Jaya dan dibantu oleh 14 anggota sukarela terlibat dalam operasi tersebut.

    “Dengan bantuan tiga jengkaut milik kontraktor THB serta peralatan Rescue Tools, mangsa-mangsa berjaya dibawa keluar daripada kenderaan masing-masing,” katanya.

  • Pendaki meninggal dunia akibat AMS, isteri stabil

    Pendaki meninggal dunia akibat AMS, isteri stabil

    SEORANG pendaki Gunung Kinabalu meninggal dunia akibat sindrom akut gunung (AMS) ketika menerima rawatan di Hospital Ranau, pukul 4.30 pagi semalam.

    Alexzander Kueh Check Boo, 45, disahkan meninggal dunia selepas dibawa turun ketika mendaki gunung bersama isterinya yang turut mengalami AMS.

    Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, mendiang bersama isterinya mula mendaki puncak Gunung Kinabalu kelmarin dan tiba di Panalaban namun dipercayai mengalami AMS.

    “Kejadian bermula apabila isteri mendiang mengadu sakit kepala dan sesak nafas kira-kira pukul 9 malam.

    “Pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (Mosar) telah memberinya oksigen yang diperlukan untuk pertolongan cemas namun pada puk5 10 malam, pasukan Penyelamat memutuskan untuk mengusungnya ke Timpohon Gate dan kemudian ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.

    “Selang empat jam kemudian iaitu dua kilometer dari Timpohon Gate, mendiang pula mengalami kesukaran bernafas dan kekejangan otot sebelum diusung ke Timpohon dan turut di bawa ke hospital yang sama namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Christina telah meminta pihak Taman-Taman Sabah (TTS) yang terletak di bawah Kementeriannya membantu keluarga mangsa.

    “Keadaan isteri stabil selepas sembuh dari AMS. Namun, dia kehilangan pasangannya yang setia,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau dalam pada itu turut menasihatkan semua pendaki gunung supaya lebih bersedia secara fizikal dan mental sebelum memulakan pendakian.

  • 3 rumah kongsi pekerja hangus dalam kebakaran

    3 rumah kongsi pekerja hangus dalam kebakaran

    TIGA rumah kongsi yang didiami pekerja di tapak pembinaan bangunan kerajaan di Tunjong, Kota Bharu musnah dalam kebakaran petang semalam.

    Bagaimanapun, 300 buruh binaan yang majoritinya warga Bangladesh dilaporkan terselamat dalam kejadian pada pukul 6.20 petang itu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong, Zainal Fitri Husain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 6.22 petang berhubung kebakaran yang membabitkan kediaman berstruktur separuh kekal itu.

    “Seramai 15 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, dua rumah kongsi itu sedang terbakar dan api mula merebak ke unit yang ketiga.

    “Rumah kongsi itu dibina dalam satu bangunan dan dibahagikan dalam lima unit yang didiami kira-kira 300 pekerja yang ketika itu kebanyakannya sedang bekerja,” katanya menurut Harian Metro.

    Zainal Fitri berkata kepantasan bomba berjaya menyelamatkan dua unit rumah kongsi namun tiga lagi musnah 90 peratus.

    Katanya, faktor binaan daripada kayu dan zink serta cuaca panas dan berangin menyebabkan kebakaran cepat merebak.

    “Kebakaran dapat dikawal kira-kira setengah jam selepas itu dan berjaya dipadam sepenuhnya pada 7.30 malam.

    “Bagaimanapun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

  • Switzerland dakwa dua pengurus Petrosaudi kerana seleweng dana 1MDB

    Switzerland dakwa dua pengurus Petrosaudi kerana seleweng dana 1MDB

    PEJABAT Peguam Negara Switzerland (OAG) telah memfailkan dakwaan terhadap dua pengurus Petrosaudi atas dakwaan mereka membantu menyeleweng AS$1.8 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi memperkayakan diri dan orang lain.

    Ini berkaitan pemindahan AS$1 bilion pada 2009, dan AS$830 juta lagi antara 2010 dan 2011.

    Dakwaan di Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland merujuk kepada episod fasa Good Star dalam skandal 1MDB.

    Siaran akhbar oleh OAG menyatakan bahawa kedua-dua tertuduh telah merancang bersama ahli perniagaan Low Taek Jho yang kini dalam buruan untuk menubuhkan syarikat usaha sama bagi projek palsu di Turkmenistan yang akhirnya akan menipu 1MDB.

    Ini menyebabkan lembaga pengarah 1MDB bersetuju untuk memindahkan AS$1 bilion untuk projek usaha sama itu, yang mana AS$700 juta telah dialihkan ke dalam akaun Switzerland dimiliki Low.

    Daripada AS$700 juta itu, OAG berkata Low memindahkan AS$85 juta kepada seorang tertuduh, dan dia kemudian memindahkan AS$33 juta kepada tertuduh lain.

    Walaupun OAG tidak menamakan tertuduh, ini nampaknya merujuk kepada Tarek Obaid dan Patrick Mahoney..

    Peguam Tan Sri Shafee Abdullah semasa perbicaraan 1MDB mengemukakan dokumen yang menunjukkan Tarek dan Mahoney masing-masing menerima AS$85 juta dan AS$33 juta daripada dana melalui firma Good Star.

    Sementara itu, OAG berkata, baki AS$300 juta daripada pemindahan 1MDB September 2009 telah disalurkan kepada Petrosaudi untuk manfaat syarikat terbabit.

    Selanjutnya, pendakwaan Switzerland juga berkata, kedua-dua tertuduh turut bersubahat membantu Low menipu 1MDB sebanyak AS$830 juta lagi antara Sept 2010 dan Okt 2011 daripada sumber nota Murabahah pinjaman Islam susulan usaha sama palsu itu.

    Menurut OAG, dana yang diterima kedua-duanya digunakan untuk memperoleh hartanah di Switzerland dan London, barang kemas, ekuiti persendirian, untuk membangunkan aktiviti Petrosaudi yang menjana pendapatan besar, serta mengekalkan gaya hidup mewah.

    Sementara itu, dalam rujukan jelas kepada aduan oleh pemberi maklumat Xavier Justo terhadap bos Petrosaudi mengenai ugutan, pemerasan, pemenjaraan palsu dan lain-lain, OAG berkata ia memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan.

    Ia antara lain memetik bahawa unsur-unsur kesalahan yang dilaporkan tidak dipenuhi, hak untuk memfailkan aduan terbatas pada tempoh masa tertentu, atau perkara yang dilaporkan tidak menimbulkan syak wasangka yang munasabah di bawah undang-undang.

    Bagaimanapun, OAG menyatakan bahawa keputusan ini boleh dirayu kepada Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland, lapor Malaysiakini.

  • ‘Saya tak tau ada acara ikrar taat setia MB Kedah’

    ‘Saya tak tau ada acara ikrar taat setia MB Kedah’

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md. Nor menafikan penglibatan dalam ikrar taat setia dilafazkan sekumpulan 1,000 mahasiswa bagi menyokongnya pada majlis sambutan Aidilfitri di kediamannya, baru-baru ini.

    Menurutnya, beliau tidak terlibat dalam urusan atur cara program tersebut dan hanya hadir sebagai jemputan.

    “Tak ada kaitan kedua-dua program itu jamuan raya diuruskan oleh mahasiswa, saya sediakan tempat dan makanan sahaja, atur cara dan kandungan mahasiswa atur sendiri, termasuk dikatakan ikrar tu.

    “Saya pun tidak tahu ada ikrar, saya cuma bersedia untuk jawab soalan-soalan daripada mahasiswa selain daripada itu saya tidak tahu apa-apa,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Sebelum ini Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam menerusi Facebooknya berkongsi rakaman video berkenaan program itu.

    Dalam video itu, kedengaran pelajar diketuai Gamis melafazkan ikrar menyokong menteri besar. Mereka berkata: “Kami pelajar Kedah akan mempertahankan, dan menyatakan sokongan kami kepada MB Kedah. Takbir, takbir”.

    Ini berlaku di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri MB Kedah bersama Mahasiswa, yang diadakan di kediaman rasmi menteri besar di Seri Mentaloon.

    Pelajar diketuai Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) kedengaran mengikrarkan sokongan mereka kepada Sanusi dalam majlis itu.

    Kemudian, mereka mengadakan sesi soal jawab dengan Sanusi selama lebih sejam mengenai Kedah dan hal berkaitan negara.