Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kes saman fitnah : Muhyiddin beritahu mahkamah beliau jalani kuarantin 7 hari di rumah

    Kes saman fitnah : Muhyiddin beritahu mahkamah beliau jalani kuarantin 7 hari di rumah

    TAN SRI  Muhyiddin Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau mematuhi arahan kuarantin di rumah selama tujuh hari sebaik pulang dari kunjungan rasmi ke Jakarta dua tahun lepas.

    Semasa kes saman fitnah Presiden Bersatu itu terhadap Puad Zarkashi didengar, Muhyiddin berkata, beliau memang berniat menjalani kuarantin mengikut arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

    “Saya tidak menolak untuk menjalani kuarantin (kendiri). Saya diberi arahan pengawasan dari rumah dan dipakaikan gelang pengawasan.

    “Saya menjalani kuarantin di rumah dari 5 Feb 2021 hingga 11 Feb 2021. Oleh itu, saya tidak mencetuskan sebarang kejadian mahupun kekecohan di lapangan terbang Subang sekembalinya dari Jakarta disebabkan dakwaan bahawa saya enggan dikuarantin,” katanya dalam pernyataan saksi, lapor FMT.

    Dua tahun lepas, Muhyiddin memfailkan saman fitnah terhadap Puad, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, berhubung dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri itu enggan menjalani kuarantin mandatori Covid-19.

    Muhyiddin berkata, beliau malah menolak cadangan seorang pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) agar beliau tidak perlu dikuarantin atau dipakaikan gelang pengawasan.

    “Saya sentiasa berpendirian bahawa saya harus mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan seperti orang lain,” katanya.

    Beliau berkata, perintah pengecualian untuk mMenteri hanya berkuat kuasa dari 9 Feb hingga 1 Ogos, dan tidak terpakai kepadanya kerana beliau pulang dari Jakarta pada 5 Feb.

    Menurut Muhyiddin, Menteri Kesihatan ketika itu mengeluarkan arahan pengecualian disebabkan keputusan Jemaah Menteri, dengan suci hati, bagi memudahkan perjalanan rasmi menteri ke luar negara untuk menangani masalah pelaburan negara.

    Pada 2 Feb 2021, Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Dr Adham Baba, mengeluarkan arahan pengecualian membenarkan menteri yang pulang dari luar negara hanya menjalani kuarantin selama tiga hari.

    Arahan itu diwartakan pada 8 Feb dan berkuat kuasa pada hari seterusnya.

    Muhyiddin menegaskan bahawa arahan pengecualian itu bukan dikeluarkan disebabkan keengganannya untuk menjalani kuarantin selepas pulang dari Jakarta.

    Diperiksa balas oleh :eguam Puad G Rajasingam, Muhyiddin, yang mengakui ini kali pertama beliau memberi keterangan di mahkamah, berkata beliau tidak dimaklumkan oleh Adham mengenai keputusan yang dibuat pada 2 Feb itu.

    Rajasingam: Saya cadangkan memandangkan keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri, anda dan menteri-menteri lain mesti tahu tentang arahan pengecualian itu.

    Muhyiddin: Saya tidak setuju. Keputusan itu tidak dibuat oleh Jemaah Menteri.

    Rajasingam: Saya cadangkan bahawa keterangan lisan anda bercanggah dengan pernyataan saksi anda.

    Muhyiddin: Saya tidak setuju.

    Rajasingam: Saya cadangkan bahawa delegasi ke Jakarta sudah sedia maklum mengenai arahan (pengecualian khas) itu sebelum meninggalkan ibu negara Indonesia itu.

    Muhyiddin: Saya tidak setuju.

    Ahli Parlimen Pagoh itu memfailkan saman terhadap Puad berhubung catatan Facebook bertajuk “Kuarantin Pun Ada Dua Darjat”.

    Muhyiddin berhujah bahawa catatan Puad itu membayangkan bahawa beliau enggan menjalani kuarantin selama 10 hari sekembalinya dari kunjungan rasmi ke Indonesia.

    Beliau berkata, catatan itu – yang dipadam atas perintah mahkamah – mengandungi kenyataan yang jelas tidak benar, tidak berasas dan berunsur khianat, serta memfitnahnya.

    Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin dikehendaki menjalani kuarantin di rumah dan memakai gelang kuarantin Covid-19.

    Muhyiddin menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk daripada Puad.

    Puad, yang turut diwakili peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman, Justin Tong dan Ally Ong, bergantung pada pembelaan justifikasi, komen berpatutan, perlindungan bersyarat dan kebebasan bersuara bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

    Defendan juga berpendirian bahawa beliau tidak membuat kenyataan, sekadar mempersoalkan pentadbiran Muhyiddin memandangkan keselamatan awam berkait wabak Covid-19 menjadi kebimbangan pada ketika itu.

    Peguam Rosli Dahlan, Bahri Yeow, Hayden Tan dan Ling Siew Hui mewakili Muhyiddin.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz akan disambung pada Khamis.

  • Karut, Jho Low tidak pernah masak pasta untuk keluarga saya – Zeti

    Karut, Jho Low tidak pernah masak pasta untuk keluarga saya – Zeti

    BEKAS  Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low tidak pernah melawatnya dan memasak pasta untuk keluarganya di kediamannya di Bukit Tunku, di sini.

    Saksi berusia 76 tahun itu berkata demikian ketika menafikan dakwaan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak pada perbicaraan bekas perdana menteri itu membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Muhammad Shafee: Semasa menjadi Gabenor BNM, di manakah kediaman kamu?

    Zeti: Di Bukit Tunku, Jalan Tunku Puteri.

    Muhammad Shafee: Itu tidak jauh dari rumah Najib.

    Zeti: Ya.

    Mengenai cadangan Muhammad Shafee bahawa Jho Low mempunyai tabiat datang ke rumahnya pada hujung minggu untuk memasak pasta kepada keluarganya, Zeti menjawab: “tidak masuk akal dan mengarut, tidak pernah berlaku”.

    Saksi pendakwaan ke-46 itu turut menafikan Jho Low rapat dengan keluarganya melalui suaminya Datuk Dr Tawfiq Ayman kerana kedua-duanya adalah rakan kongsi perniagaan, lapor BERNAMA.

    Zeti berkata bahawa beliau tidak pernah menerima hadiah mahal daripada Jho Low sepanjang hidupnya.

    Muhammad Shafee: Ada sekali tu ketika kamu bertemu PM (Najib), kamu berkata Jho Low suka memberikan kamu hadiah mahal dan berkata “saya menerimanya tetapi saya pulangkan balik”.

    Zeti: Saya tidak pernah menerima sebarang hadiah daripada sesiapa, termasuk Jho Low.

    Muhammad Shafee: Adakah kamu mengatakannya kepada PM (Najib)?

    Zeti: Saya tidak ingat.

    Sementara itu, Zeti juga menafikan dakwaan yang dibuat oleh bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner semasa perbicaraan kes Roger Ng yang membabitkan 1MDB di mahkamah New York, bahawa suami Zeti telah menerima rasuah, sehingga US$1 bilion yang dimaksudkan untuk usaha sama 1MDB-Petrosaudi dapat dibawa ke luar negara tanpa kelulusan BNM.

    Muhammad Shafee ketika membaca transkrip perbicaraan Ng di mahkamah New York berkata Leissner memberi keterangan bahawa BNM perlu memberi kelulusan US$1 bilion dibawa ke luar Malaysia kerana pada 2009, Malaysia masih mempunyai kawalan modal.

    “US$1 bilion telah dipindahkan semalaman keluar dari Malaysia (ke akaun syarikat JV di luar negara) dan ia telah dilakukan kerana suami kepada gabenor Zeti ketika itu di BNM telah menerima rasuah untuk melaksanakannya.

    “Semalaman, wang itu telah dipindahkan, yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada masa itu. Tiada kelulusan diperoleh secepat itu dengan BNM,” dakwa Leissner.

    Muhammad Shafee: Tan Sri, kamu pasti pernah dengar tentang perkara ini.

    Zeti: Beliau (Tawfiq) berkata beliau tidak pernah menerima sebarang rasuah sepanjang hidupnya. Beliau membuat rujukan bahawa beliau tidak pernah bertemu dengan dua orang ini (Ng dan Leissner).

    Muhammad Shafee: Adakah BNM atau kamu membuat sebarang kenyataan untuk menyangkal perkara ini?

    Zeti: Kami tidak berbuat demikian kerana kami diberitahu ia akan menjejaskan kes (perbicaraan Ng).

    Bagaimanapun, Zeti berkata suaminya membuat kenyataan berhubung dakwaan itu kerana ia bersifat peribadi kepadanya.

    Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

  • Ahmad Samsuri angkat sumpah MB Terengganu bagi penggal kedua

    Ahmad Samsuri angkat sumpah MB Terengganu bagi penggal kedua

    NAIB  Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu bagi penggal kedua di Istana Syarqiyyah di Chendering, Kuala Terengganu hari ini.

    Ahmad Samsuri, 53, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, melafazkan sumpah memegang jawatan tersebut di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada pukul 3.18 petang.

    Turut berangkat pada Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Melafaz Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.

    Ahmad Samsuri akan menerajui pentadbiran negeri setelah gabungan Pas dan Bersatu memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu pada pilihan raya negeri Sabtu lepas, lapor BERNAMA.

    Beliau memperoleh 20,927 undi dengan majoriti 17,286 undi mengalahkan calon Pakatan Harapan Suhaimi Sulaiman.

    Bapa kepada enam orang anak itu pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Presiden PAS yang juga bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 2008 hingga 2018.

    Ahmad Samsuri buat pertama kalinya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dan meraih kemenangan dengan majoriti 6,028 di kerusi DUN Ru Rendang menewaskan calon Barisan Nasional Nik Dir Nik Wan Ku, dan selepas itu beliau diangkat menjadi menteri besar.

    Lebih dikenali sebagai Dr Sam, bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Leeds, United Kingdom itu pernah menjadi antara rujukan penting dalam mengupas misteri kehilangan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan insiden nahas pesawat MH17.

    Sepuluh ADUN yang akan menganggotai Jawatankuasa Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu turut mengangkat sumpah pada istiadat yang sama.

    Mereka ialah Dr Azman Ibrahim (Jabi), Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam), Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk), Ariffin Deraman (Alor Limbat), Maliaman Kassim (Ajil), Datuk Satiful Bahari Mamat (Paka), Datuk Razali Idris (Kijal), Hanafiah Mat (Chukai), Hishamuddin Abdul Karim (Tepoh) dan Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Kota Putera).

  • Siapa MB Selangor…..Amirudin kekal atau digantikan?

    Siapa MB Selangor…..Amirudin kekal atau digantikan?

    KEDUDUKAN Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar masih belum terjamin dengan beberapa siri rundingan membabitkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) masih berjalan mengenai jawatan tertinggi itu walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengunumkan untuk melantik semula Adun Sungai Tua itu bagi penggal kedua.

    Portal MalaysiaNow melaporkan, sekurang-kurangnya dua sumber rapat dengan pemimpin PKR Selangor yang terlibat dengan perbincangan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini berkata jaminan pengerusi PH kepada Amirudin masih bukan satu keputusan muktamad.

    “Ia lebih rumit daripada itu. Suasana selepas pilihan raya tidak sama dengan tempoh kempen,” kata seorang pemimpin PKR yang rapat dengan pemimpin kanan parti.

    Difahamkan, majlis angkat sumpah jawatan menteri besar mungkin tidak berlangsung sehingga Jumaat, membolehkan pemimpin PH mendapat lebih masa untuk mencapai kata sepakat mengenai nama yang akan diserahkan kepada Istana Selangor. 

    Pada masa lalu, pihak istana meminta lebih daripada satu nama untuk dipertimbangkan sultan.

    Namun satu lagi sumber yang rapat dengan kumpulan dalam PKR yang bersekutu dengan Amirudin berkata beliau masih berpegang pada janji Anwar, sambil menambah beliau juga yakin akan menjadi calon tunggal.

    Sumber PKR bagaimanapun menolak perkara ini, mengatakan terdapat beberapa nama yang dikemukakan dalam aktiviti “melobi” untuk jawatan Menteri Besar.

    Sumber itu juga menambah dengan PKR menang kurang daripada DAP, ia tidak mempunyai pilihan selain melibatkan rakan gabungan itu dalam perbincangan mengenai jawatan tersebut. 

    DAP memenangi kesemua 15 kerusi yang ditandinginya di Selangor, manakala PKR memenangi 12, Amanah (lima). 

    “Dengan DAP sebagai parti dominan bermakna Amirudin mungkin perlu melakukan lebih banyak lagi untuk meyakinkan rakan kongsi mengapa beliau perlu kembali ke jawatan itu,” kata sumber berkenaan.

    Menurut sumber, mereka yang tidak berminat melihat Amirudin meneruskan peranannya sebagai Menteri Besar menyatakan kegagalannya untuk membendung arus sokongan kepada PN, yang menyaksikan jumlah kerusi dimenangi PH berkurangan kepada 32 daripada 51 pada 2018. 

    Pengkritik Amirudin dalam blok kerjaan juga cuba untuk menggambarkan Amirudin sebagai tidak cekap, sambil menyatakan gagal menangani beberapa isu tempatan, termasuk bantahan penduduk terhadap pembangunan cerun di beberapa kawasan termasuk Bukit Antarabangsa, serta “publisiti negatif yang tidak perlu” kepada kerajaan negeri berhubung kelulusan yang diberikan kepada ahli perniagaan untuk menukar taman awam kepada zoo mini di Taman Selayang Indah, yang sebahagian daripada kawasan DUN Sungai Tua. 

    Sementara itu, sumber lain memberitahu MalaysiaNow bahawa antara “nama lain” yang dipertimbangkan ialah Fahmi Ngah, Penasihat Ekonomi Negeri yang memenangi kerusi Seri Setia dalam PRN baru-baru ini. 

  • Pas alu-alukan keputusan mahkamah, anggap Muhyiddin mangsa pertuduhan terpilih

    Pas alu-alukan keputusan mahkamah, anggap Muhyiddin mangsa pertuduhan terpilih

    PAS mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dari awal lagi, Pas telah menjangkakan keputusan itu kerana yakin bahawa pertuduhan yang dikenakan ke atas Muhyiddin  yang juga bekas Perdana Menteri ke-8 dan Presiden Bersatu merupakan pertuduhan terpilih dan berbaur politik.

    ‘’Kami sebagai sekutu Bersatu di dalam PN sememangnya pasti bahawa (tuduhan itu) ia satu perancangan untuk melemahkan PN, namun saya tidak nampak ia akan menjejaskan prestasi kita, malah telah menambahkan lagi sokongan kepada kita dalam pilihanraya negeri di enam buah negeri Sabtu lalu,’’ katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, Pas menentang sekeras-kerasnya penyalahgunaan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik. Jelas, pendakwaan ke atas Muhyiddin adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.

    ‘’Pas turut yakin bahawa tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin itu juga adalah bagi menutup aib dan melencongkan perhatian rakyat dari isu yang berlaku di dalam UMNO  yang menjadi sebahagian dari Kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pas berdoa semoga Tan Sri Muhyiddin akan selamat dan dipelihara oleh Allah,’’ katanya.

    SEMENTARA ITU, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin mahu Peguam Negara mengkaji semula semua pertuduhan jenayah yang dikenakan ke atas pemimpin gabungan itu.

    “Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, saya juga mendesak peguam negara supaya menyemak dan mengkaji semula semua pendakwaan terpilih terhadap pimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional untuk tujuan ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan yang turut dimuatkan di Facebook.

    Menurut Hamzah, keputusan itu membuktikan kerajaan Pakatan Harapan-BN telah menyalahgunakan kuasa mereka untuk menyerang pemimpin PN dan menyeru rakyat supaya bangkit dan menolak pentadbiran persekutuan.

    “Kezaliman serta dendam politik kesumat kerajaan PH-BN yang sengaja mencipta fitnah, mengada-adakan pertuduhan serta menyalahgunakan kuasa bagi mendakwa pemimpin Perikatan Nasional terbukti di mahkamah hari ini,” katanya.

  • Shuhaily dilantik Pengarah JSJ berdasarkan pengalaman,prestasi – KPN

    Shuhaily dilantik Pengarah JSJ berdasarkan pengalaman,prestasi – KPN

    PEMILIHAN Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) baharu adalah berdasarkan pengalaman dan prestasinya yang baik sebagai bekas Ketua Polis Pulau Pinang dan Ketua Polis Kuala Lumpur sebelum ini.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kemampuan ditunjukkan Mohd Shuhaily itu akan dapat memberi keyakinan serta kebaikan kepada JSJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Mohd Shuhaily mempunyai pengalaman luas kerana beliau pernah bertugas dalam Cawangan Khas dan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Teluk Intan sebelum ini.

    “Selain itu, pemilihan senarai nama calon Pengarah JSJ bukanlah satu nama sebaliknya empat nama dicadangkan untuk menjawat jawatan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSJ di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini, lapor BERNAMA.

    Razarudin berkata nama-nama calon berkenaan disediakan sendiri oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Datuk Seri Azmi Abu Kassim, dan diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan Pengarah JSJ.

    “Pemilihan Pengarah JSJ ini hasil perbincangan antara saya dan Datuk Seri DIG (Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay) untuk dibawa kepada Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail).

    “Ada nama-nama dicalonkan terdiri daripada pegawai kanan polis mengikut senioriti yang mempunyai kredibiliti, pengalaman dari segi umur dan integriti. Saya hendak jelaskan bahawa pemilihan nama Pengarah JSJ (Mohd Shuhaily) ini bukan diambil daripada hand-picked sebaliknya ia adalah keputusan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP),” katanya.

    Terdahulu, Razarudin memakaikan lencana pangkat CP kepada Mohd Shuhaily sebagai Pengarah JSJ yang baharu berkuat kuasa hari ini, disaksikan Ayob Khan dan Azmi.

    Mohd Shuhaily sebelum ini merupakan Ketua Polis Kuala Lumpur.

    Mengulas mengenai tempoh kekosongan jawatan Pengarah JSJ yang dikatakan mengambil masa lama, Razarudin menjelaskan perkara itu melibatkan pelbagai pihak termasuk SPP untuk bersidang.

    Semalam, Mohd Shuhaily menyerahkan tugas jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur kepada Datuk Allaudeen Abdul Majid yang dilantik ke jawatan berkenaan.

  • Reezal Merican disebut-sebut bakal dilantik Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang

    Reezal Merican disebut-sebut bakal dilantik Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang

    BEKAS  Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mungkin dilantik Timbalan Ketua Menteri I dalam kerajaan Pulau Pinang pimpinan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

    Portal FMT melaporkan, bagaimanapun pelantikan Reezal Merican yang memenangi kerusi DUN Bertam Sabtu lalu, mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati PKR.

    Sumber memberitahu, azimnya, dua jawatan Timbalan Ketua Menteri – untuk mengiktiraf rakan tadbir kanan dan kumpulan etnik utama – sebelum ini dikhaskan kepada PKR dan DAP. Ia juga lazimnya diberikan kepada orang Melayu dan India.

    Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Bakhtiar Wan Chik menafikan Reezal Merican akan dilantik ke jawatan itu selepas poster ucapan tahniah atas pelantikannya tersebar dalam media sosial kerana tiada keputusan dibuat setakat ini.

    Sebelum ini, timbul spekulasi jawatan Timbalan Ketua Menteri I akan diberikan kepada ADUN Batu Maung Mohammad Abdul Hamid atau ADUN Prai S Sundarajoo.

    Seorang wakil rakyat PKR biasanya diberikan jawatan itu, manakala yang kedua dikhaskan untuk ADUN DAP.

    Seorang pemimpin PKR yang enggan dinamakan berkata, salah satu cara untuk menenangkan UMNO dan PKR dalam hal ini adalah menghapuskan kedua-dua jawatan itu dan mencontohi cara Selangor yang mengiktiraf rakan tadbir kanan melalui gelaran “Exco Kanan”.

    Sumber PKR berkata, pilihan lain ialah mencontohi Sabah dengan memperkenalkan Timbalan Ketua Menteri ketiga.

    Malam tadi, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengesahkan seorang ADUN BN akan menganggotai kerajaan Pulau Pinang. Penyertaan seorang  ADUN BN mungkin memberi impak kepada nisbah dalam barisan 10 Exco Pulau Pinang. Sejak 2008, tujuh daripada Exco itu dari DAP, manakala tiga lagi dari PKR.

    Sumber memberitahu FMT, portfolio tanah hampir pasti dipegang Ketua Menteri, mengikut kelaziman. Portfolio utama lain seperti Kerajaan Tempatan, Perumahan, Pengangkutan dan Utiliti Awam dijangka diberikan kepada ADUN DAP. Hal Ehwal Islam sebelum ini diberikan kepada wakil rakyat PKR.=

  • ”Sejak awal lagi..ini pertuduhan bermotif politik” – Muhyiddin

    ”Sejak awal lagi..ini pertuduhan bermotif politik” – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, empat pertuduhan salah guna kuasa melibatkan rasuah yang dikenakan terhadapnya merupakan suatu penyalahgunaan kuasa mahkamah oleh pihak tertentu.

    Muhyiddin, 76, berkata, susulan pembebasan itu, beliau akan terus berusaha dan menjelaskan kepada masyarakat mengenai tindakan yang dibuat oleh pihak yang menganiayainya.

    Beliau berkata, pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah palsu dan tidak langsung menepati undang-undang yang telah dibicarakan.

    “Sebelum ini, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku, saya dimaklumkan ini merupakan kes pertama. Sejak awal lagi pertuduhan berkenaan adalah bermotifkan politik sedangkan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dari sudut undang-undang di bawah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau undang-undang jenayah lain,” katanya lapor Sinar Harian.

    Muhyiddin berkata demikian kepada wartawan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas dibebaskan daripada empat tuduhan salah guna kuasa untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

    Ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu kemudiannya disambut oleh penyokongnya dengan laungan ‘referendum’ dan ‘takbir’.

    Sebelum itu, mahkamah membebaskan Pengerusi Perikatan Nasional itu selepas membenarkan permohonannya untuk membatalkan empat tuduhan salah guna kuasa melibatkan suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

    Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa keempat-empat pertuduhan tersebut adalah cacat, tidak berasas dan kabur.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, keyakinannya untuk dilepaskan daripada kes mahkamah ini terbukti apabila hakim turut memutuskan perkara yang sama.

  • Bekas pegawai bank didakwa ubah suai had kad kredit tanpa kuasa

    Bekas pegawai bank didakwa ubah suai had kad kredit tanpa kuasa

    SEORANG bekas pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengubah suai had kad kredit miliknya antara April tahun lepas sehingga Jun lalu.

    Tertuduh yang merupakan bekas Eksekutif Khidmat Pengesahan di Maybank , Abas Sulaiman, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat telah melakukan capaian kepada sistem Kenaikan Had Kredit Kekal atau ‘Permanent Increase Credit Limit’ (PICL) dan telah menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap sistem tersebut, lapor Utusan TV.

    Pertuduhan itu didakwa dilakukan di Menara Maybank dekat Dang Wangi, Kuala Lumpur antara 25 April 2022 sehingga 24 Jun 2023.

    Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta yang sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun, peguam Md. Radzi Mustafa memohon jaminan minima dikenakan ke atas tertuduh memandangkan anak guamnya itu kini sudah tidak bekerja dan tiada punca pendapatan selain menanggung isteri dan empat lagi anaknya.

    Hakim Priscilla kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah kemudian menetapkan 29 Ogos ini bagi sebutan semula dan serahan dokumen.

  • Tempoh berpolitik tamat, masa wakil rakyat tunai janji

    Tempoh berpolitik tamat, masa wakil rakyat tunai janji

    MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor mengingatkan ketika ini bukan lagi masa untuk berpolitik, tetapi untuk meneruskan segala usaha pembangunan bagi memenuhi keperluan hidup rakyat dan meratakan kebajikan dan kesejahteraan untuk semua.

    Tegas beliau, setiap wakil rakyat mesti sedar bahawa matlamat sebenar yang dikehendaki di sebalik kemenangan di dalam pilihanraya tidak terhenti dengan kuasa pemerintahan yang berjaya direbut, tetapi perkhidmatan kepada rakyat yang diwakili di dalam pelbagai bidang pembangunan fizikal, mental dan rohani.

    Tambahnya, setiap wakil rakyat yang telah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam buah negeri pada 12 Ogos lalu, kini memikul amanah dan tanggungjawab yang berat di hadapan Allah SWT dan rakyat jelata.

    Ujar beliau, seluruh rakyat akan memerhati dan memantau sejauh manakah mereka yang telah dipilih menepati janji-janji yang ditabur melalui manifesto parti yang diwakili

    “Setelah berlangsungnya PRN, maka berakhirlah tempoh berkempen bagi parti-parti politik yang bersaing untuk merebut tampuk pemerintahan.

    “Rakyat telah membuat pilihan, sama ada bersetuju atau tidak maka semua pihak mesti akur dan menghormati keputusan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Ujar Wan Salim, adalah diketahui bahawa kehidupan rakyat terutama di negeri-negeri tertentu masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan dan kemajuan.

    Sehubungan itu, kata beliau, usaha islah atau pembaikan perlu digerakkan dengan lebih lancar dan agresif.

    “Semoga wakil-wakil rakyat yang terpilih akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan jujur dan ikhlas,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau mengharapkan kerjasama antara kerajaan-kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terjalin dengan lebih erat.

    Katanya, ia untuk kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan ideologi dan kefahaman politik yang didokong oleh parti-parti yang dianggotai.

    “Biarlah semua pihak bekerja untuk negara dan warganya dalam suasana yang aman tenteram tanpa sebarang gangguan.

    “Kita percaya dengan kepimpinan yang efisien dan bijaksana berserta iltizam yang tinggi sama ada di peringkat persekutuan atau negeri-negeri, maka Malaysia akan muncul menjadi antara negara termaju di dunia, insya-Allah,” katanya.

    Tambah beliau, seluruh rakyat juga akan bersama-sama memacu kemajuan yang didambakan dan akan sama-sama berbangga sebagai suatu bangsa yang bermaruah dan berdaulat.

    “Malah Malaysia juga akan menjadi kebanggaan umat Islam seluruhnya sebagai sebuah negara Islam yang maju dan aman sejahtera,” katanya.