SEORANG lelaki yang menembak rakannya disangkakan seekor kijang menggunakan senapang buatan sendiri direman tujuh hari lagi.
Ketua Polis Jelebu, Maslan Udin berkata, suspek berusia 52 tahun yang direman enam hari hingga semalam itu, disambung reman hingga 7 Mei ini bagi membolehkan polis meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
“Siasatan awal polis terhadap suspek yang mengakibatkan kematian mangsa berusia 61 tahun masih dijalankan,” katanya menurut Harian Metro.
Sebelum ini, media melaporkan suspek menembak rakannya yang disangkakan seekor kijang kira-kira 5 pagi 24 April lalu.
Suspek dilaporkan menyerah diri pada 10.30 malam hari sama di Balai Polis Titi sebelum menunjukkan lokasi kejadian dan mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan hutan Muka Sauk, Jelebu kira-kira 2 pagi 25 April lalu.
Suspek mendakwa senapang itu buatan sendiri dan peluru yang digunakan untuk berburu milik si mati.
AHLI Jawatankuasa Pusat Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki menyifatkan isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak timbul kerana bekas Perdana Menteri itu terperangkap dalam kitaran pertuduhan politik.
“Najib berdepan pertuduhan politik yang bertujuan untuk membunuh karakternya dan itu berlarutan sehingga beliau memerlukan penyelesaian campur tangan politik menerusi permohonan pengampunan,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook miliknya, hari ini.
Mohd. Zuhdi berkata, kitaran pertuduhan politik yang berlaku setiap kali kerajaan bertukar tidak akan dapat menyelesaikan isu integriti dan pembasmian rasuah dalam politik negara.
Beliau menggesa semua parti politik, khususnya yang sedang berkuasa, mencapai satu persetujuan bersama untuk berhenti membuat pertuduhan politik yang bermotif menumbangkan lawan secara membina persepsi tidak benar dan membunuh karakter seseorang.
“Pertuduhan politik tidak dapat menyelesaikan masalah integriti dalam berpolitik dan politik wang. Parti yang berkuasa akan berusaha mendakwa lawan politik mereka dengan mengerahkan agensi kerajaan yang mereka terajui, seperti yang dilakukan terhadap Bersatu sekarang.
“Persoalan sama ada tuduhan itu betul atau tidak bukanlah perkiraannya. Tetapi yang penting persepsi politik dapat dibina terhadap Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk memastikan lawan politik kecundang.
“Sekiranya parti atau pimpinan politik yang dituduh berjaya pula menerajui kerajaan selepas itu, mereka pula akan membuat perkara sama terhadap lawan mereka.
“Jika pemimpin mereka didapati bersalah sebelum ini, jalan dicari untuk membebaskan seperti yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) pada 2018 dengan mengusahakan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menarik balik kes banglo Lim Guan Eng.
“Sebenarnya, kitaran inilah yang dihadapi oleh Najib sekarang. Pertuduhan politik yang akhirnya memerlukan penyelesaian campur tangan politik,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan bekas Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Zaharudin Muhammad dalam rakaman video dikongsi dalam laman Facebook Najib Razak, bahawa langkah pengampunan diraja untuk bekas Perdana Menteri itu lebih baik berbanding mengekalkannya dalam penjara sehingga tempoh hukuman berakhir.
Yang Dipertua PaS Subang itu antara lain dilapor berkata, yang lebih dekat dengan keadilan dan Islam apabila tersalah melepaskan orang bersalah, yang lebih baik berbanding tersalah menghukum orang yang tidak bersalah.
Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas rayuan terakhirnya terhadap sabitan bersalah kes SRC International ditolak Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.
Mengulas lanjut, Mohd. Zuhdi berpandangan kes SRC itu bukan satu-satunya pertuduhan politik yang berlaku, sebaliknya ia turut membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang turut dihadapi Najib, selain kes Yayasan Akal Budi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; dana Jana Wibawa membabitkan Muhyiddin; Pandora Paper dan seumpamanya.
Katanya, semua kes itu mungkin boleh disabitkan di mahkamah, namun tidak menafikan motif awal pendakwaan pertuduhan politik, bertujuan menumbangkan lawan politik yang turut dihukum secara maya sebelum mahkamah membuat keputusan.
“Seandainya Najib tidak didapati bersalah dalam kes SRC sebelum ini, saya yakin akan ada tanggapan mahkamah di Malaysia tidak boleh dipercayai dan seumpamanya.
“Dalam mengemuka saranan ini, saya sama sekali tidak berkompromi dengan persoalan integriti dan pembasmian rasuah, namun usaha untuk mendukung integriti dan membasmi rasuah tidak dapat dilunaskan dengan pendakwaan politik.
“Ia dapat dilunaskan melalui agenda yang bersifat mencegah seperti menggubal Akta Kawalan Dana Politik, mekanisme pengisytiharan harta anggota pentadbiran yang tepat, membebaskan agensi penguatkuasaan serta sistem perundangan daripada cengkaman eksekutif, mewujudkan institusi hisbah/mazalim dan lain-lain,” katanya, lapor Berita Harian.
SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sudah memaklumkan hasrat untuk menyertai Pas.
Perkembangan itu menyusul selepas bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar semalam mengesahkan akan bertanding pilihan raya negeri (PRN) di Selangor di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).
“Annuar ada maklumkan baru-baru ini untuk sertai Pas dan kita memang terima banyak permintaan daripada bekas-bekas pemimpin UMNO untuk sertai PN (Perikatan Nasional),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Kota Bharu, di Kota Bharu hari ini.
Takiyuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) PN berkata, hasrat Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh serta bekas pemimpin UMNO lain yang mahu menyertai PN akan disusuli perbincangan lanjut.
“Kita akan menyusul dengan perbincangan lanjut. Kesemua mereka (bekas pemimpin UMNO) itu, kita dalam proses untuk selaraskan kemasukan,” katanya lagi.
Annuar sebelum ini menafikan sudah bersara dari arena politik tanah air, sebaliknya menegaskan akan lebih aktif selepas ini.
Beliau bagaimanapun berahsia mengenai parti mana akan disertainya, sekadar menegaskan akan memilih parti ‘berhaluan baik’.
Ditanya jumlah bekas pemimpin UMNO yang didakwa berhasrat menyertai PN, Takiyuddin berkata, ia membabitkan lebih 20 bekas pemimpin parti berkenaan, termasuk Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN).
“Mereka boleh sertai mana-mana parti dalam PN, sama ada Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Kita tiada halangan untuk pertimbang kemasukan mereka memandangkan tawaran dibuat kepada semua bekas pemimpin UMNO, termasuk Khairy Jamaluddin,” katanya.
Sama ada bekas pemimpin UMNO yang bakal menyertai PN akan diberikan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menjelaskan, bergantung pada keadaan.
“Proses pertama adalah kemasukan mereka dalam PN, sama ada mereka akan diberi kerusi (pada PRN) adalah proses kedua. Bagaimanapun saya pasti akan ada dalam kalangan mereka akan diberikan kerusi untuk bertanding PRN nanti,” katanya.
Mengenai tawaran kepada Khairy untuk menyertai PN, beliau memaklumkan, bekas Ketua Pemuda UMNO itu ada memberi maklum balas.
“Beliau memaklumkan akan bersama dengan kita, namun tidak dinyatakan secara spesifik. Beliau memaklumkan tidak akan bersama dengan UMNO dan PH. Justeru, kita jangka beliau akan bersama dengan kita,” katanya, lapor Berita Harian.
PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pula menyatakan pendirian supaya Lembaga Pengampunan menolak permohonan pengampunan yang dikemukakan ke atas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda berkata, parti itu akan menentang sebarang usaha ke arah pengampunan terhadap Najib.
“Jawatankuasa ini menyifatkan Najib sebagai seorang ‘kleptokrat’ yang telah membawa kesusahan kepada negara, dan pengampunan terhadapnya akan memberi mesej yang salah kepada rakyat Malaysia.
“Adakah rakyat biasa yang didapati bersalah atas jenayah yang sama adakah mereka juga akan diberi keistimewaan ini?
“Pengampunan ke atas Najib tatkala dia baru sahaja menjalankan hukuman akan membawa mesej bahawa mana-mana individu berpengaruh, mempunyai hubungan kuasa tidak perlu gusar dengan undang-undang.
“Ini bercanggah dengan prinsip rukun negara iaitu kedaulatan undang-undang,” demikian tegas jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabit bersalah atas tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International.
UMNO yang kini menjadi parti penting dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memfailkan petisyen untuk memohon pengampunan terhadap Najib.
Tindakan itu memberi tekanan kepada Anwar yang turut berada dalam Lembaga Pengampunan atas kapasitinya sebagai menteri bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan, akan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan itu.
Mengulas lanjut, Muda berkata, pihaknya akan terus memerangi mana-mana pihak yang mahu ‘menyelamatkan kleptokrat’.
“Sekali lagi kami ingin menjelaskan bahawa ini adalah pendirian rasmi parti dan bukan pandangan atau pendapat peribadi individu di dalam parti.
“Kami tidak bercadang untuk memohon maaf atas pendirian ini,” kata jawatankuasa itu, lapor Malaysiakini.
Ia dilihat merujuk kepada tindakan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meminta maaf susulan kenyataan yang dikeluarkan pengarah komunikasi parti itu, Khalid Samad yang merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar menolak permohonan pengampunan Najib dalam kes rasuah SRC International.
Kenyataaan itu mengundang rasa kurang senang pemimpin UMNO sehinggakan presidennya Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak agar berhenti memberi ulasan ‘tidak sepatutnya’ berhubung isu tersebut dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan Agong.
UMNO Kelantan pula berkata pihaknya menimbang untuk tidak lagi bekerjasama dengan Amanah negeri itu jika Khalid tidak menarik balik kenyataannya.
PERBALAHAN antara pemimpin UMNO dan parti sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH), boleh menggugat kedudukan Kerajaan Perpaduan ketika ini sekrianya dibiarkan berterusan.
‘Perang mulut’ terbaru adalah berkait isu pengampunan untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Penganalisis politik dari Universiti Sunway, Prof Dr. Wong Chin Huat, isu pengampunan Najib mempunyai impak besar kepada kedaulatan undang-undang, kestabilan politik, ekonomi dan imej Malaysia di peringkat antarabangsa, sekali gus semua pihak berhak memberi pandangan.
“Semua rakyat adalah pemegang taruh dan berhak untuk memberi pandangan, sama ada yang menyokong atau membantah. UMNO tiada hak dan kuasa memberi perintah kepada mana-mana pihak, termasuk rakan dalam kerajaan untuk berdiam atas isu itu,” katanya.
Kelmarin, pemimpin UMNO Kelantan mendesak Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad memohon maaf.
Ini susulan kenyataan Khalid akan merayu Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan supaya menolak permohonan Najib untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.
Kata dua itu disampaikan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman bersama amaran bahawa pihaknya akan menarik balik kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan di negeri itu, jika Khalid enggan memohon maaf.
Selain itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan AMANAH sebagai ‘kawan makan kawan’ dan perkembangan itu dilihat mampu mengheret perbalahan panjang antara dua parti terbabit andai berterusan.
Sebelum ini, ada pemimpin UMNO turut bertelagah dengan pimpinan DAP susulan kenyataan berkait isu sama yang dilontarkan Lim Kit Siang, selain isu ‘kahwin paksa’ dibangkitkan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri mendakwa ‘kahwin paksa’ di antara UMNO dan DAP tidak akan berjaya di peringkat pimpinan tertinggi atau akar umbi, sambil menambah bahawa beliau sudah mula melihat keretakan selepas wujud serangan terbuka di antara pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Chin Huat berkata, ancaman UMNO Kelantan jika kata dua itu menjadi kenyataan, akan merugikan parti itu sendiri kerana di Kelantan dan Terengganu, UMNO adalah pencabar utama Pas dan Perikatan Nasional (PN), bukannya PH atau AMANAH.
“UMNO yang ada peluang terbesar untuk kalahkan PAS dan PN. Oleh itu, UMNO perlukan segala sokongan yang ada. UMNO akan gadai peluang sendiri, mungkin hilang lebih banyak kerusi kalau ingin bergaduh dengan AMANAH atau parti lain (dalam PH),” katanya.
Penyokong BN pekik ‘pakatan hancing’ manakala penyokong PH jerit ‘hancur BN’ semasa kedua-dua pihak itu bergaduh di pusat pengundian SJKC Chung Hua, Rantau, pada 2019 dan keadaan tegang selama 10 minit
Chin Huat bagaimanapun yakin Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan membenarkan perbalahan itu berlarutan sehingga menggugat kestabilan kerajaan campuran diterajuinya.
“Saya percaya percanggahan ini akan berakhir kerana semakin banyak isu pengampunan Najib dibincang, semakin senang untuk PN mendefinisikan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti sebagai ‘pungutan suara’ untuk menentang rasuah UMNO.
“Ia seperti slogan ‘Bersih dan Stabil’ yang digunakan (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. Bagi orang UMNO pula, rata-rata pandai dan boleh melihat kemudaratan jika cari gaduh.
“Kalau seperti yang dikatakan bahawa keputusan mengampun atau tidak (Najib) terletak pada Yang di-Pertuan Agong, apa kesannya jika ada orang lain mahu bantah atau sokong,” soalnya.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Ahmad Marthada Mohamed pula melihat perbalahan antara pemimpin parti dalam PH berkait isu pengampunan Najib sekadar komen sampingan.
“Ini kerana baik di peringkat kerajaan pusat atau UMNO sendiri, masing-masing sudah membuat pendirian yang jelas, Perdana Menteri pun sudah komen. Apa juga komen lain dari mana-mana pemimpin tidak melambangkan kenyataan rasmi parti.
“Yang lebih utama adalah MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO juga sudah membuat ketetapan berkaitan isu ini dan Perdana Menteri juga sudah buat kenyataan, sudah jelas pandangan masing-masing,” katanya.
Katanya, pandangan daripada pihak kerajaan sebelum ini adalah berkaitan peranan Perdana Menteri dalam Lembaga Pengampunan, manakala pandangan UMNO pula menerusi keputusan MKT adalah memohon ihsan dan pertimbangan terhadap permohonan pengampunan itu.
Justeru, Ahmad Martadha berkata, kedua-dua pandangan itu sudah memberi gambaran jelas kepada masyarakat berkait pendirian Kerajaan Perpaduan dan parti dalam kerajaan berkait isu pengampunan Najib.
“Jadi, mana-mana kenyataan, sama ada dari UMNO Kelantan, AMANAH dan (Datuk Dr. Mohd.) Puad Zarkashi, saya lihat lebih kepada komen sampingan, setakat masing-masing mahu menyuarakan pandangan saja.
“Ia juga dijangka tak beri kesan kepada PRN sebab isu pengampunan tidaklah sangat berkait dengan isu yang dekat dengan masyarakat,” katanya menambah, Lembaga Pengampunan juga mengeluarkan kenyataan yang sangat jelas, iaitu kes Najib masih belum dibawa kepadanya.
“Ini kerana di pihak Lembaga Pengampunan sendiri, mereka membawa dan membincangkan sesuatu isu berdasarkan aturan permohonan. Sudah tentulah permohonan terdahulu akan diberi keutamaan berbanding permohonan yang kemudian,” katanya, lapor Berita Harian.
Jumaat lalu, petisyen pengampunan terhadap Najib tidak dibentang oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia Lembaga Pengampunan yang bersidang pada hari berkenaan.
DUA rakyat Malaysia yang didakwa melakukan keganasan berkait pengeboman Bali pada 2002 memfailkan usul untuk membatalkan tuduhan itu atas alasan kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyediakan jurubahasa tidak cekap dan berat sebelah.
Brian Bouffard, peguam mewakili dua rakyat Malaysia itu berkata, anak guamnya diberikan tiga jurubahasa sama, walaupun terdapat bantahan jurubahasa itu tidak cekap dan berat sebelah.
Bouffard mewakili Nazir Lep dan Farik Amin dari Malaysia, bersama seorang warga Indonesia, Hambali.
“Beberapa usul lain turut difailkan berkaitan tindakan kerajaan terus melengahkan kes itu.
“Kami sedang menunggu keputusan mengenai usul kami untuk menolak kes itu kerana salah laku kerajaan berhubung jurubahasa. Kami berharap dapat mendengar sesuatu dalam masa beberapa minggu.
“Jika bukan kerana keputusan AS untuk menyeksa banduan dan mengklasifikasikan semua bukti menunjukkan penderaan tidak terkata yang dilakukan terhadap mereka di Guantanamo, kes-kes ini sepatutnya selesai bertahun-tahun lalu,” katanya memetik laporan FMT.
Nazir, Farik dan Hambali yang nama sebenarnya Encep Nurjaman, berdepan lapan pertuduhan bersama, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar yang meragut 202 nyawa di Bali pada Oktober 2002 serta pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta pada Ogos 2003.
Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke kurungan bersendirian di tapak rahsia yang dikendalikan CIA sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.
Dalam perbicaraan sebelum ini, mereka membantah jurubahasa yang disediakan atas alasan seorang daripadanya adalah bekas jurubahasa dengan hak kerahsiaan peguam-klien yang menimbulkan konflik kepentingan.
Seorang lagi bekas penterjemah sulit untuk ketiga-tiganya, dan yang ketiga menyatakan dia mahu ketiga-tiga tertuduh dibunuh dalam tahanan kerana kerajaan membuang masa serta wang dengan membicarakan mereka.
Dalam perbicaraan yang bermula Isnin lalu dan ditangguhkan pada Rabu di Mahkamah Tentera AS di Guantanamo, Brian berkata, pihak pembelaan menghabiskan kebanyakan masa menjelaskan bagaimana kelewatan tidak perlu itu merugikan anak guam dan ahli keluarga mereka.
“Beberapa ahli keluarga mangsa pengeboman Bali hadir untuk memerhati dan mereka turut kecewa dengan kelewatan tidak berkesudahan itu. Nampaknya, kerajaan AS satu-satunya pihak yang mahu mengheret dan menangguhkan penyelesaian kes ini.
“Bagi perbicaraan seterusnya, kami meminta tarikh pada Disember, tetapi kerajaan mahu ia diadakan pada 2025. Kami sedang menunggu keputusan mengenai perkara ini juga,” katanya.
Ahli keluarga empat mangsa terbang dari United Kingdom untuk menghadiri perbicaraan itu buat kali pertama.
Menurut penyiar Australia 7 News, seorang saudaranya kecewa selepas Hambali, yang dilaporkan dalang pengeboman itu, dilihat ketawa terbahak-bahak di mahkamah sambil berbual dengan tertuduh lain.
BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mahu memastikan Parlimen Tanjong Karang sebagai kubu kuat Perikatan Nasional (PN) sekali gus membantu kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Noh berkata, perjuangannya ketika ini untuk memastikan rakyat menyokong PN sama seperti usaha yang pernah dilakukan beliau lebih 30 tahun lalu dalam membangunkan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Tanjong Karang.
“UMNO Tanjong Karang semakin lemah akibat campur tangan daripada pihak luar yang ingin menghancurkan parti itu sendiri.
“Maka saya akan berusaha pula menjadikan (Parlimen) Tanjong Karang kubu kuat PN dan ini adalah perjuangan saya sebagai seorang ahli politik,” katanya menerusi satu rakaman video di Facebook beliau hari ini.
Noh reda apabila dipecat daripada UMNO tetapi tidak perlu menghancurkan UMNO bahagian itu hanya untuk kepentingan politik.
“Kalau tidak suka saya tak apa, saya boleh terima kerana saya ada prinsip dan janganlah jadikan UMNO Tanjong Karang sebagai mangsa.
“Kalau hendak bunuh (karier politik) saya seorang cukuplah, jangan hendak lenyapkan UMNO Tanjong Karang,” luah beliau.
Pada masa ini beliau yakin rakyat di Parlimen Tanjong Karang bersama-sama menyokong PN dan menewaskan BN pada PRN Selangor.
“Pengundi di Parlimen Tanjong Karang menyambut baik untuk memastikan kemenangan PN ibarat kata pepatah kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan,” jelas beliau, lapor Sinar Harian.
Pada Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan menggantung keahlian Noh selama enam tahun, namun bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu meminta untuk dipecat.
Permintaan untuk dipecat dipersetujui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
SEORANG ahli Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoalkan komitmen Pakatan Harapan (PH) menentang Perikatan Nasional (PN) di Terengganu yang diterajui Pas.
Ahli parti yang enggan dinamakan itu berkata, akar umbi Amanah Terengganu kecewa dengan kurangnya sokongan kewangan diterima daripada kepimpinan pusat menjelang PRN akan datang.
“Amanah akan berada di barisan depan untuk menghentikan ‘gelombang hijau’ PN di kubu kuat mereka.
“Kita sekurang-kurangnya perlu diberikan sokongan dan kewangan mencukupi untuk bersaing secara munasabah di Terengganu, walaupun Kedah menjadi tumpuan,” kata sumber berkenaan memetik laporan FMT, hari ini.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung PKR, DatuK Seri Saifuddin Nasution Ismail menggesa PH menumpukan usahanya untuk memenangi kuasa di Kedah, bukannya di Kelantan dan Terengganu, di mana PN mempunyai pengaruh lebih kuat.
Pada PRU lalu, Amanah tewas di semua tiga kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya di Terengganu.
Sumber itu mendakwa Amanah Terengganu menerima ‘bantuan logistik dan kewangan sangat sedikit’ pada PRU, walaupun parti itu dilihat sebagai alternatif PH kepada Pas.
“Adakah Amanah Terengganu akan menghadapi senario sama sekali lagi, dibiarkan bersendirian, yang boleh menyebabkan ia disembelih Pas pada PRN akan datang,” sosal sumber itu.
Sumber itu percaya keputusan pilihan raya Terengganu adalah ‘kesimpulan tidak dijangka’.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad ketika dihubungi menafikan kurang sokongan untuk Terengganu.
“Jelas sekali kami tidak mempunyai dana yang diminta sesetengah pihak, jadi kami beri apa yang kami mampu. (Ini) tidak bermakna kami tidak sediakan sebarang sokongan,” katanya.
Katanya, jika sokongan diukur melalui pembiayaan, maka parti itu akan gagal memenuhinya, tetapi komitmen itu ada.
Khalid memetik pelantikannya pada Februari lalu sebagai pengerusi sementara Amanah Kelantan selama enam bulan, manakala Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu pula ditugaskan mengetuai Terengganu serta Kedah dalam PRN.
Sumber itu mendakwa kepimpinan tertinggi Amanah Kelantan belum mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Husam Musa susulan peletakan jawatannya sebagai naib presiden parti dan pengerusi PH Kelantan pada 2020.
PENYANYI terkenal, Datuk Siti Nurhaliza menafikan membuat kenyataan berkenaan acara sambutan Aidilfitri di Kedah ‘seperti majlis politik’ seperti yang dilaporkan sebuah portal hiburan dua hari lalu.
Menerusi hantaran dalam Instagram miliknya semalam, penyanyi tersohor itu juga meminta portal tersebut agar tidak menyebarkan kenyataan tersebut.
“Saya tak pernah buat kenyataan ini,” katanya sambil menandakan laman Instagram portal tersebut dalam hantarannya.
Tindakan itu dipercayai merujuk kepada acara Himpunan Madani Kedah 2023 anjuran kerajaan persekutuan yang diadakan pada 28 April lalu, sehari sebelum Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani yang juga di negeri itu.
“Siapalah yang pandai-pandai edit berita palsu ini, gunakan nama Facebook saya (yang verified) dan forward merata-rata dan buat orang yakin ia hantaran sebenar.
“Ini palsu. Cukup-cukuplah semua perkara nak dibuat macam ini (berita palsu). Saya ini penyanyi, hiburkan semua orang,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.
Laporan itu antara lain memetik Siti sebagai berkata, beliau menerima undangan untuk memeriahkan majlis tetapi tidak menyangka ‘ia seperti majlis politik’.
Semakan mendapati laporan tersebut telah dipadam oleh portal hiburan itu.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, laporan palsu itu telah tersebar dan menjadi bahan fitnah dalam pelbagai kelompok masyarakat.
“Malah ada yang percaya atau dijadikan bahan politik.
“Saya pohon rakan-rakan media untuk sentiasa mengesahkan maklumat dan sumber sebelum menerbitkan berita agar tidak timbul isu seperti ini,” katanya di Twitter, sambil turut berkongsi tangkap layar penafian yang dibuat Siti.
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan penghargaan kepada semua golongan pekerja di negara ini yang banyak memberi sumbangan kepada negara.
Berikut adalah ucapan Bekas Perdana Menteri itu sempena sambutan Hari Pekerja pada hari ini.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sempena sambutan Hari Pekerja 2023, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua golongan pekerja sama ada di sektor awam atau swasta mahupun yang bekerja sendiri di atas sumbangan besar anda kepada pembangunan negara.
Walaupun berhadapan dengan situasi ekonomi global yang masih tidak menentu dan penuh cabaran, anda tetap cekal menjalankan tanggungjawab sebagai pekerja tidak kira di sektor mana sekalipun demi Malaysia yang tercinta ini.
Saya percaya sumbangan besar ini akan dapat membantu negara keluar daripada apa sahaja kemelut ekonomi sekali gus dapat memacu Malaysia menjadi negara yang aman, maju dan makmur, insya-Allah.
Pada masa yang sama kerajaan harus bertindak secara lebih proaktif untuk memulihkan semua sektor ekonomi negara agar nasib semua pekerja akan lebih terbela.
Saya berdoa semoga anda semua cekal dan kuat dalam berhadapan dengan apa sahaja cabaran dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pekerja. Selamat Hari Pekerja 2023.