Author: Wartawan WartaRakyat

  • Sembilan individu didakwa guna gelaran Dato, Datuk, Tan Sri palsu

    Sembilan individu didakwa guna gelaran Dato, Datuk, Tan Sri palsu

    MAJLIS Datuk Dato’ Malaysia (MDDM) membuat laporan polis terhadap sembilan individu yang didapati menggunakan gelaran Dato, Datuk dan Tan Sri palsu.

    Setiausaha Agung MDDM, Datuk Samson David Maman berkata, tindakan itu dibuat susulan pihaknya menerima beberapa aduan berhubung penggunaan gelaran palsu oleh sembilan individu berkenaan, baru-baru ini.

    “Kami menerima banyak aduan berkaitan penggunaan gelaran palsu sejak Mei 2021 lagi selepas persatuan ini didaftarkan pada 4 Mei tahun sama.

    “Namun, hari ini kami hanya fokus untuk membuat laporan polis terhadap aduan diterima berkaitan sembilan individu berkenaan kebelakangan ini.

    “Saya tidak boleh dedahkan identiti sembilan individu ini. Apa yang saya boleh katakan adalah mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang,” katanya ditemui di Balai Polis Puchong Jaya, Serdang, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong.

    Samson berkata, individu yang menggunakan gelaran palsu itu tidak terhad dalam bidang perniagaan, malah membabitkan industri hiburan, sektor korporat dan personaliti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Katanya, mereka menggunakan gelaran palsu kerana itu adalah satu kebanggaan untuk dimiliki selain meningkatkan status dalam kalangan komuniti dan menjadikan golongan itu seolah-olah penting dalam masyarakat.

    “Malah, kami ada mengenal pasti sebuah keluarga yang semuanya menggunakan gelaran Dato palsu serta wakil konsulat yang memiliki gelaran Dato mendakwa ditipu untuk mendapatkan gelaran Dato Sri,” katanya.

    Sementara itu, Chong berkata, gelaran Dato, Datuk mahupun Tan Sri sah tidak boleh dibeli kerana ia hanya boleh dikurniakan oleh Sultan dan Tuan Yang Terutama negeri.

    Orang ramai katanya, harus ingat bahawa jika mereka ditawarkan untuk membeli gelaran Dato, Datuk atau Tan Sri, adalah satu penipuan.

    “Jika ada sebarang keraguan mengenai status gelaran seseorang, orang ramai boleh membuat semakan di laman rasmi, www.istiadat.gov.my,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Umpan vape, sebelum rogol tiga gadis berusia 13 tahun

    Umpan vape, sebelum rogol tiga gadis berusia 13 tahun

    TIGA remaja perempuan termasuk seorang pelajar masing-masing berusia 13 tahun dirogol empat lelaki di sebuah rumah tumpangan di kawasan Kampung Air, Kota Kinabalu pada 26 April lalu.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, taktik suspek berkenaan adalah dengan memberi umpan vape perisa baharu sebelum merogol tiga gadis tersebut.

    “Pihak polis menerima laporan daripada seorang mangsa pada 27 April lalu, mendakwa menjadi mangsa rogol berkumpulan di sebuah rumah tumpangan.

    “Hasil siasatan mendapati kejadian rogol berkumpulan itu turut membabitkan dua rakannya dan empat lelaki yang tidak dikenali serta seorang perempuan berusia 17 tahun,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

    Katanya, dalam kejadian itu, suspek empat lelaki dan seorang perempuan terbabit menegur ketiga-tiga mangsa ketika berada di sebuah pusat beli belah di bandar raya tersebut dan memujuk mereka melepak di rumah tumpangan mereka di Kampung Air.

    “Ketika berada di rumah tumpangan berkenaan, mereka diumpan menghisap vape berperisa baharu,” katanya.

    Mohd. Zaidi berkata, semua mangsa menuruti pelawaan suspek, sebelum mereka tidak sedarkan diri dan mangsa dipercayai dirogol.

    “Ketika semua mangsa tersedar pada tengah malam, mereka dalam keadaan tidak berpakaian manakala empat lelaki dan seorang perempuan terbabit menghilangkan diri.

    “Ketiga-tiga mangsa mengesyaki mereka dirogol dan membuat laporan polis,” katanya.

    Menurutnya, bertindak atas laporan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya mengesan dan menangkap kelima-lima suspek termasuk remaja perempuan, pada 27 April lalu.

    Tambahnya, semua suspek berusia 13 hingga 17 tahun ditahan di sekitar bandar raya ini dan Telipok Ria, Tuaran.

    “Mereka direman sehingga 5 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372(1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Sementara itu, Mohd. Zaidi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati remaja perempuan supaya tidak mudah terpedaya atau terpengaruh dengan kenalan lelaki yang baharu dikenali.

  • Buruh maut terjatuh semasa buat kerja pengubahsuaian rumah kedai

    Buruh maut terjatuh semasa buat kerja pengubahsuaian rumah kedai

    SEORANG buruh kontrak warga Vietnam maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga ketika melakukan kerja pengubahsuaian rumah kedai di Jalan Bunga Raya, di Melaka, tengah hari semalam.

    Kejadian tersebut dimaklumkan kepada pihak polis daripada orang awam pada pukul 12.41 tengah hari berkenaan seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri di lantai rumah kedai tiga tingkat.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, anggota dari Balai Polis Melaka Tengah diketuai Asisten Superintendan Azizi Abdul Rahman bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan.

    “Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan mendapati lelaki Vietnam tidak sedarkan diri terbaring di atas lantai tingkat bawah dengan memakai seluar jeans hitam serta tidak berbaju.

    “Pegawai perubatan dari Hospital Melaka yang melakukan pemeriksaan kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dihubungi di Melaka.

    Christopher berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa, Nguyen Van Ty, 52, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga berikutan kesan pecah pada bumbung sengkuap.

    Beliau berkata, hasil pemerhatian oleh Ketua Balai Polis Melaka Tengah bersama pegawai penyiasat ke atas tubuh mangsa tidak mengesan sebarang perbuatan jenayah.

    “Soal siasat awal terhadap saksi yang juga sub kontraktor memaklumkan dia datang ke tempat kejadian untuk meninjau kerja-kerja pengubahsuaian dibuat mangsa membabitkan tingkat tiga saja sekitar pukul 10.30 pagi.

    “Setibanya di tempat kejadian saksi mendapati mangsa terbaring di lantai tingkat bawah sebelum menghubungi pihak ambulans dan polis untuk bantuan.

    “Saksi juga mengatakan baru mengenali mangsa sejak tiga hari lalu,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui sebab kematiannya.

  • Kanak-kanak mati lemas dalam kolam renang semasa beraya

    Kanak-kanak mati lemas dalam kolam renang semasa beraya

    KEGEMBIRAAN sebuah keluarga menziarahi saudara mara di rumah datuk bertukar tragedi apabila kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun ditemukan lemas oleh abangnya dalam kolam renang di tepi kediaman jiran di Tambun, Ipoh, petang semalam.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kejadian itu adalah kes keempat kematian akibat lemas membabitkan kanak-kanak di bandar raya ini pada tahun ini yang berpunca akibat ditinggalkan ibu bapa atau penjaga tanpa pengawasan sepatutnya.

    “Kematian kanak-kanak terbabit disahkan pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas dibawa oleh warisnya sejurus dijumpai oleh abang mangsa dalam keadaan terapung dalam kolam renang pukul 6.30 petang semalam.

    “Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa bersama ibunya berada di dalam rumah lot berkenaan kerana menziarahi ahli keluarga, manakala bapa mangsa keluar menghantar saudara balik ke tempat penginapan lain.

    “Mangsa dijumpai abangnya dalam keadaan terapung di dalam kolam renang kanak-kanak sebelum dihantar oleh warisnya ke HRPB untuk rawatan.

    “Pada pukul 9.25 malam tadi, polis menerima maklumat daripada pihak HRPB kematian kanak-kanak itu akibat lemas. Bedah siasat oleh Jabatan Forensik pada hari ini turut mendapati punca kematian mangsa adalah lemas,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohd. Yusri berkata, sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 33(1) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) iaitu kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

    Polis katanya, amat memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap ibu bapa atau penjaga yang membiarkan kanak-kanak bawah jagaan masing-masing tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan sehingga menyebabkan kemalangan jiwa.

    Pada 26 April lalu, media melaporkan seorang perempuan berusia 21 bulan ditemui lemas dalam kolam renang kanak-kanak ketika datang menziarahi bersama ibu dan bapanya ke kediaman datuk mangsa di Tambun.

  • Tak wujud isu enggan terima laporan, pengadu hanya minta nasihat-polis

    Tak wujud isu enggan terima laporan, pengadu hanya minta nasihat-polis

    POLIS membuka kertas siasatan terhadap seorang lelaki yang mendakwa pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh enggan menerima laporan berhubung ancaman ceti haram.

    Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

    “Siasatan awal menunjukkan lelaki itu mengaku salah faham berhubung nasihat diberikan pegawai polis dan melakukan kesilapan dengan memuat naik video mengenainya di TikTok,” katanya menurut Harian Metro.

    Dalam kejadian 3.50 petang 28 April lalu, katanya, lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai wakil sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ketika ke Balai Polis Sentral bagi mendapatkan nasihat polis berhubung tindakan menurunkan pelbagai poster iklan peminjam wang di sekitar Ipoh.

    Yahaya berkata, lelaki itu tidak berjumpa pegawai kanan polis seperti didakwa, sebaliknya hanya mendapatkan nasihat pegawai polis sedang bertugas di Balai Polis Sentral.

    “Selepas memperolehi nasihat pegawai polis itu, pengadu terus beredar tanpa memberitahu hendak membuat sebarang laporan. Justeru, dalam perkara ini, isu polis enggan menerima laporan lelaki itu tidak wujud sama sekali.

    “Lelaki itu juga sudah memadamkan video berkenaannya daripada TikTok semalam, selepas menyedari kesilapan itu,” katanya.

    Beliau menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan kemudahan rangkaian dan media sosial sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan kredibiliti polis mahupun menimbulkan kegusaran masyarakat kerana tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

    Malam tadi, Yahaya dilaporkan berkata, dakwaan polis enggan menerima laporan untuk tujuan keselamatan pengadu dirujuk kepada Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard IPD Ipoh untuk siasatan dalaman.

    Katanya, polis tidak pernah dan tidak akan menghalang pengadu membuat laporan di mana-mana balai polis di seluruh negara.

    Siasatan itu menyusul video 35 saat dimuat naik ke media sosial yang memaparkan seorang pengguna TikTok mendakwa polis di IPD Ipoh enggan menerima laporan hendak dibuatnya bagi tujuan keselamatan, selepas dia dipercayai menerima ancaman daripada ceti haram.

  • Pengampunan Najib tidak dibincang pada mesyuarat Jumaat lepas

    Pengampunan Najib tidak dibincang pada mesyuarat Jumaat lepas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LEMBAGA Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bersidang pada Jumaat lalu di Istana Negara tidak membincangan kertas rayuan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

    Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri merangkap setiausaha lembaga pengampuan itu, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud memaklumkan, kertas rayuan pengampunan Mohd. Najib tidak dapat dibawa pada mesyuarat tersebut.

    “Kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai.

    “Semasa persidangan tersebut hanya mempertimbangkan sebanyak 10 kes rayuan pengampunan di bawah Peraturan 54 dan Peraturan 113 Akta Penjara 2000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelasnya, mengikut Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

    “Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu negeri pula berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam negeri-negeri tersebut,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

    Susulan itu, beliau pada September tahun lalu telah memfailkan permohonan pengampunan diraja setelah Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta setelah didapati bersalah menyeleweng dana tersebut.

    Pada 31 Mac lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal dalam permohonannya untuk menyemak sabitan dan hukuman tersebut.

  • Polis bongkar kegiatan proses ketum dalam ladang kelapa sawit

    Polis bongkar kegiatan proses ketum dalam ladang kelapa sawit

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN licik dua lelaki memproses ketum pondok kecil di ladang kelapa sawit gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila mereka ditahan dalam serbuan di Kampung Balik Bukit, Lunas dekat Kulim, Kedah, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Supritenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, dua lelaki itu yang berusia 39 dan 27 tahun ditahan dalam serbuan Op Tapis khas dijalankan kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

    Katanya, sebanyak 165,000 mililiter (Ml) air rebusan ketum bernilai kira-kira RM1,650 dirampas dalam serbuan itu.

    “Selain itu pihak kami turut merampas 38 guni berisi daun ketum seberat kira-kira 190 kilogram bernilai RM1,900.

    “Beberapa barangan lain turut dirampas antaranya dua periuk besar, dua tong gas, satu jag besar, senduk besi, dua dapur memasak dan satu penapis air,” katanya dala. Satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya, kedua-dua lelaki yang ditahan memiliki rekod lampau berkaitan akta racun dan akta dadah berbahaya (ADB).

    “Mereka direman selama empat hari bermula hari ini.

    “Siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • ‘Itulah orang tak bagi kahwin paksa, inilah jadinya’-Tuan Ibrahim

    ‘Itulah orang tak bagi kahwin paksa, inilah jadinya’-Tuan Ibrahim

    “ITULAH orang tak bagi kahwin paksa, inilah jadinya. Berselerak habis,” kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dipercayai menyindir Parti Amanah Negara (Amanah) susulan tindakan parti berkenaan meminta maaf kepada UMNO.

    Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, permohonan maaf yang dibuat Amanah menunjukkan kelemahan parti itu selain menggambarkan prinsip yang dipegang mereka semakin longgar.

    “Kalau tak buat salah, tak perlulah minta maaf. Takkan lemah begitu sekali. Nampak semakin longgar dengan prinsip yang selama ini kononnya dipertahankan,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Semalam Amanah dilaporkan memohon maaf kepada UMNO di atas keterlanjuran kenyataan yang dikeluarkan seorang pemimpinnya berhubung isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berharap isu terbabit dapat diselesaikan dan beliau sendiri sudah berjumpa dengan Presiden UMNO serta Timbalannya.

    Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut memerli sekiranya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) juga mahu meminta maaf kepada UMNO.

    Ini kerana badan bukan kerajaan (NGO) tersebut pada 7 April lalu melancarkan petisyen berhubung ketidakwajaran pengampunan diraja untuk membebas dan melepaskan Najib, lapor Sinar Harian.

    Amanah adalah parti serpihan Pas setelah bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohammad Sabu bersama-sama sejumlah lagi tokoh lain keluar parti dan menubuhkan Amanah.

    Parti itu kemudian menyertai gabungan pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akhirnya pertama kali menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

  • PN jumpa PM bincang isu agihan peruntukan ahli Parlimen

    PN jumpa PM bincang isu agihan peruntukan ahli Parlimen

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu agihan peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang yang masih belum selesai ketika ini.

    Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu diambil selepas PN kecewa dengan kenyataan Anwar yang mengatakan masih menunggu permohonan.

    Jelas Ahli Parlimen Kota Bharu itu, situasi tersebut sama sekali bercanggah dengan apa yang berlaku.

    “Kami (PN) sudah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 8 April lalu bagi membincangkan perkara tersebut.

    “Oleh itu, selepas ini saya bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai isu agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

    Sebelum itu, beliau merasmikan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan Pas Kawasan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Badaraya Islam (MPKB-BRI) di Kota Bharu hari ini.

    Sementara itu, Takiyuddin berkata, peruntukan tersebut sepatutnya disalurkan tanpa mengenakan sebarang syarat kerana wang terbabit akan disalurkan kepada rakyat dan bukannya ahli Parlimen.

    Katanya, perkara yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen itu ada asasnya kerana kerajaan hari ini telah berjanji dalam manifesto mereka sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

    Tambah beliau, alasan supaya mengemukakan permohonan itu dilihat tidak relevan kerana peruntukan sudah ada dan ia cuma perlu disalurkan sahaja.

    “Saya nampak tidak perlu kerajaan menyulitkan proses kerana ahli Parlimen PN berdepan dengan permohonan daripada rakyat melibatkan sumbangan, pembangunan,kebajikan dan lain-lain yang mana kita tidak dapat menyalurkan peruntukan ini kerana tidak dapat dana daripada kerajaan pusat

    “Kita harapkan kerajaan prihatin dan ambil tindakan secepat mungkin kerana bulan Oktober ini sudah ada bajet baharu yang akan dibentangkan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Anwar enggan layan khabar angin, sifatkan usaha jatuhkan kerajaan berasas

    Anwar enggan layan khabar angin, sifatkan usaha jatuhkan kerajaan berasas

    DATUK Seri Anwar Ibrahim enggan melayan khabar angin berhubung gerakan menjatuhkan kerajaan perpaduan pimpinannya.

    Perdana Menteri menyifatkan usaha tersebut sebagai tidak berasas kukuh.

    “Komplot itu memang ada, tapi tak ada asas. Kita tumpu pada kerja. Kalau tak ada komplot dia kerja apa?

    Sebaliknya, beliau mahu semua jentera kerajaan memberi tumpuan penuh kepada tugas utama untuk membangunkan negara dan rakyat.

    “Kalau dia tak ada komplot, dia kerja apa? Dia jalankan tugas dia, tiap bulan dia ada strategi dia. Insya Allah, setakat yang kita pantau keadaan (kerajaan perpaduan) cukup kuat.

    “Apa yang penting, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta lain-lain cukup kuat dan jelas, jadi kita tumpu kerja.

    “Jangan layan pengingau-pengingau ini,” katanya selepas menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Pekerja 2023 di Putrajaya hari ini, lapor Malaysiakini.

    Desas-desus itu muncul di kala semua parti sedang merangka pelbagai strategi bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang dijadual pada Julai nanti.