Author: Wartawan WartaRakyat

  • 5 bomoh palsu halau hantu ditahan cuba lari ke China

    5 bomoh palsu halau hantu ditahan cuba lari ke China

    MENGAKU bomoh yang mampu ubati penyakit kronik dan halau hantu untuk perdaya mangsa warga emas.

    Itu taktik yang dilakukan lima warga asing masing-masing empat wanita dan seorang lelaki dalam menjerat mangsa di sekitar Pulau Pinang sebelum kesemua mereka berjaya ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.

    Kesemua suspek berusia 40 hingga 50 tahun itu ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang ketika dipercayai cuba melarikan diri ke China.

    Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua ahli sindiket itu bergerak aktif sejak Januari lalu dalam menjalankan aktiviti memperdaya mangsa yang merupakan warga emas.

    Menurutnya, suspek berkenaan memasuki negara ini secara sah menggunakan pas lawatan sosial dan mengikut rekod mereka pernah berada di Johor Bharu pada Februari lalu.

    Jelas beliau, pihaknya menerima lima laporan daripada mangsa yang merupakan wanita warga emas berusia lingkungan 60-an dan sindiket itu bergerak awal pagi ke pasar antaranya di Jelutong, Chowrasta dan Bukit Mertajam untuk mencari mangsa.

    “Ahli sindiket ini akan menghampiri mangsa dan menawarkan ubat merawat penyakit kronik dan memberikan nombor telefon untuk urusan rawatan tersebut.

    ”Malah, mereka turut menyatakan terdapat hantu di rumah mangsa dan menawarkan untuk menghalau hantu tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen polis (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

    Menurut Fisol, mangsa diyakinkan oleh sindiket itu untuk menyerahkan wang dan barang kemas di dalam bungkusan sebagai syarat untuk menjalankan upacara menghalau hantu.

    Ujarnya, bungkusan wang dan barang kemas itu dilakukan di lokasi seperti di kawasan berhampiran pasar dan mangsa akan diberikan bungkusan lain oleh ahli sindiket terbabit.

    ”Mangsa diberitahu mereka tidak boleh membuka bungkusan yang diberikan oleh sindiket kecuali selepas sampai ke rumah, malah ada mangsa diberitahu jangan membuka bungkusan sehingga seminggu atau sebulan.

    ”Apabila mangsa membuka bungkusan yang diberikan oleh sindiket, mereka mendapati bungkusan tersebut hanya mengandungi batu-bata dan air mineral,” katanya.

    Fisol menambah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek ditahan reman sehingga esok.

    Jelasnya, kerugian yang dialami kesemua mangsa kira-kira RM124,400 dan polis turut merampas sembilan buah telefon bimbit, lima beg bagasi serta pelbagai jenis barang kemas.

    Turut dirampas, tambah beliau, sebanyak 11 utas jam tangan pelbagai jenama, 943 keping wang tunai matawang China Yuan Renminbi berjumlah RM60,853.

  • Semangat reformasi dalam PH sudah lenyap – Wan Saiful

    Semangat reformasi dalam PH sudah lenyap – Wan Saiful

    AHLI Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa semangat reformasi sudah lenyap dalam  Pakatan Harapan (PH)-UMNO selepas parti-parti di bawah gabungan tersebut menggunakan kuasa demi kepentingan politik.

    Wan Saiful berkata, ucapan yang disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution di Himpunan Madani Kedah 2023 memberi gambaran bahawa beliau akan menggunakan kuasa sebagai menteri untuk kelebihan program politik PH-UMNO.

    “Ini adalah satu lagi contoh betapa semangat reformasi sudah lenyap daripada  PH-UMNO. Dulu mereka menjerit melaungkan pentingnya membebaskan institusi daripada campur tangan politik.

    “Tapi PH-UMNO kini langsung tidak malu-malu memperalatkan institusi penguat kuasa untuk kepentingan politik mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, lapor Utusan Malaysia.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut mempersoal tindakan PH-UMNO yang dilihat seperti mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sesuka hati.

    “Apa jaminan yang boleh diberi kepada rakyat bahawa institusi penguat kuasa lain tidak diarah secara terpilih untuk tujuan yang sama,” soalnya.

    Tambahnya, PH-UMNO kini sudah tiada iltizam untuk menjaga dan melindungi kebebasan institusi penguat kuasa tetapi sebaliknya sedang rakus mempergunakan apa saja kuasa serta agensi terpilih demi kepentingan politik.

    “PH-UMNO sudah hilang halatuju dan mereka bulan lagi pengibar reformasi,” katanya.

  • KJ patut masuk DAP, parti perlu calon PM – Kian Ming

    KJ patut masuk DAP, parti perlu calon PM – Kian Ming

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dipecat dan Shahril Hamdan patut menyertai DAP, kata Ong Kian Ming.

    Bekas Ahli Parlimen Bangi itu berkata, parti mereka memerlukan calon Perdana Menteri.

    “Kamu berdua sesuai,” kata Ong semasa sesi soal jawab yang disiarkan melalui Youtube tengah hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khairy sama ada bekas Ahli Parlimen Rembau itu patut menyertai DAP.

    Jawapan itu kemudian disambut dengan ketawa oleh Shahril, lapor Malaysiakini.

    Katanya kepada Khairy: “Lakukan.”

  • Rayuan saman Dusuki terhadap Mujahid ditolak

    Rayuan saman Dusuki terhadap Mujahid ditolak

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menolak rayuan Ahmad Dusuki Abd. Rani berhubung keputusan mahkamah sesyen yang tidak menerima saman fitnah difailkannya terhadap bekas Datuk Mujahid Yusof.

    Peguam Noorazmir Zakaria berkata, mahkamah turut menetapkan kos RM7,000 kepada bekas calon Pas dalam PRU ke-14 itu susulan penolakan rayuan saman fitnah berkenaan.

    Katanya, saman tersebut difailkan Ahmad Dusuki berhubung ciapan dalam Twitter oleh Mujahid pada 22 November 2020.

    Sebelum ini saman penasihat Kompleks Darul Thibbunnabawi itu sudah ditolak oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan kos RM11,000.

    “Semasa menolak rayuan Ahmad Dusuki hari ini, hakim Khadijah Idris memberikan alasan ringkas.

    “Antaranya mahkamah mendapati defendan (Mujahid) telah atas imbangan kebarangkalian membuktikan bahawa kenyataan yang dipertikaikan tersebut mempunyai justifikasi.

    “Keterangan menunjukkan kenyataan yang dipertikai itu merupakan satu tindak balas terhadap kenyataan plaintif (Ahmad Dusuki) yang disiarkan di YouYube pada 20 Februari 2020 bahawa Tabung Haji telah menjual aset yang terdiri daripada hotel TH yang merupakan harta orang Islam kepada bukan Islam dan adalah dosa yang kena ditanggung sampai akhirat.

    “Keterangan juga menunjukkan terdapat penjelasan yang dibuat di parlimen oleh bekas perdana menteri bahawa aset TH yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada sebuah sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan, dan TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

    Menurut Noorazmir lagi, hakim turut berpendapat pemindahan tersebut adalah sebahagian daripada pelaksanaan pelan pemulihan dan penstrukturan TH yang diluluskan oleh kabinet sewaktu Mujahid menjadi menteri agama.

    Terdahulu, Ahmad Dusuki mengemukakan saman ke atas Mujahid ekoran ciapan berbunyi: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

    Susulan itu, Ahmad Dusuki menuntut Mujahid membuat permohonan maaf melalui siaran akhbar serta ganti rugi yang tidak dinyata jumlahnya.

    Selain itu tambah Noorazmir mahkamah juga mendapati terdapat keterangan bahawa plaintif sendiri setuju bahawa hotel TH tidak dijual kepada orang bukan Islam.

    “Mahkamah tinggi hari ini seterusnya memerintahkan Ahmad Dusuki membayar kos RM7,000 kepada Mujahid,” katanya.

  • Tak bayar, pelacur tikam alat sulit pelanggan

    Tak bayar, pelacur tikam alat sulit pelanggan

    MENGERIKAN apabila seorang pelacur di Malawi menikam salah seorang pelanggannya pada bahagian alat sulit kerana mendakwa mangsa berhutang 1000 kwacha (kira-kira RM250) dengannya.

    Daily Star melaporkan, jurucakap polis berkata, pekerja seks itu ditangkap dan kini berdepan tuduhan yang serius.

    Laman berita Malawi 24 berkata, kejadian mengerikan itu berlaku di Monkey Bay dekat daerah Mangochi, dan suspek dikenali sebagai Patricia Wyson.

    Dia didakwa menikam alat sulit pelanggannya dengan pisau.

    Jurucakap balai polis Monkey Bay, Sarjan Alice Sichali berkata, kejadian berlaku di Kampung Chembe di kawasan Penguasa Tradisi Nankumba, Cape Maclear, pada malam 28 April lalu.

    Polis berkata, suspek berusia 29 tahun bertemu mangsa dan kedua-duanya membuat perjanjian untuk melakukan hubungan seks dengan bayaran.

    Harga yang dipersetujui hanyalah 1,000 Kwacha.

    Selepas bersetuju, suspek menuju ke rumah pelanggan.

    “Ketika di sana, pertengkaran berlaku…. dalam proses itu suspek mengambil pisau tajam dan mencederakan alat sulit pelanggan,” kata Sersan Sichali.

    Lelaki itu dikejarkan ke pusat kesihatan Cape Maclear dan dirujuk ke hospital komuniti Monkey Bay untuk rawatan dan pemeriksaan.

    Suspek pula kemudian ditangkap dan dijangka berdepan pertuduhan termasuk berniat menyebabkan kecederaan teruk, lapor Malawi 24.

  • BN diizin cabar kemenangan PN di Masjid Tanah, Kemaman

    BN diizin cabar kemenangan PN di Masjid Tanah, Kemaman

    MAHKAMAH Persekutuan hari ini membenarkan Barisan Nasional (BN) mencabar dua keputusan yang memihak kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

    Panel tiga hakim yang bersidang sebulat suara membenarkan rayuan dua calon BN masing-masing untuk kerusi Parlimen Masjid Tanah di Melaka dan Parlimen Kemaman di Terengganu.

    Panel itu dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, lapor Malaysiakini.

    Dalam permohonan yang dikemukakan itu calon BN membangkitkan isu rasuah yang didakwa terlibat dalam PRU di dua kawasan berkenaan.

    Untuk rekod kerusi Masjid Tanah dimenangi Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mengalahkan tiga calon lain dengan kelebihan 4,411 undi, manakala Che Alias Hamid mengekalkan kerusi Kemaman dengan majoriti 27,179 undi.

    Mas Ermieyati merupakan calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan Che Alias dari Pas.

    Dengan ketetapan dibuat Mahkamah Persekutuan hari ini, isu kesahihan keputusan PRU ke-15 bagi kerusi Masjid Tanah dan Kemaman akan dikembalikan kepada mahkamah pilihan raya untuk perbicaraan penuh.

    Pada 7 Februari, mahkamah pilihan raya di Melaka membenarkan bantahan daripada Mas Ermieyati untuk membatalkan petisyen dikemukakan calon BN di situ, Abdul Hakim Abdul Wahid.

    Enam hari kemudian, mahkamah pilihan raya di Terengganu pula membenarkan bantahan awal Che Alias untuk membatalkan petisyen calon BN Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

  • Dong Zong mahu kerajaan bertindak selepas Pemuda UMNO persoal dana sekolah Cina

    Dong Zong mahu kerajaan bertindak selepas Pemuda UMNO persoal dana sekolah Cina

    KUMPULAN pendidikan Cina Dong Zong mempertahankan peruntukan RM15.7 juta yang diberikan kepada sekolah persendirian Cina di seluruh negara susulan perbandingan yang dibuat Pemuda UMNO dengan dana diperuntukkan untuk sekolah agama. 

    Bercakap kepada MalaysiaNow, Timbalan Presiden Dong Zong Tan Yew Sing berkata, jumlah itu hampir sama dengan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan terdahulu. 

    Beliau juga berkata jumlah perbelanjaan bagi 63 sekolah persendirian Cina itu berjumlah kira-kira RM400 juta. 

    “Jumlah yuran yang kami kutip ialah RM360 juta.”

    “Dengan subsidi kerajaan sebanyak RM15 juta, komuniti masih perlu mencari RM25 juta dalam perbelanjaan operasi. Tambahan pula, perbelanjaan pembangunan berjumlah RM100 juta setahun,” katanya.

    Peruntukan RM15.7 juta itu dipersoalkan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, yang berkata jumlah yang diterima setiap sekolah adalah dua kali ganda berbanding yang diperuntukkan untuk sekolah agama.

    Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut menggesa kerajaan supaya menyerap sekolah persendirian Cina ke dalam sistem pendidikan negara sekiranya mereka menghadapi masalah kewangan. 

    Peruntukan itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke selepas permohonan oleh Dong Zong untuk pembiayaan khas.

    Presiden Dong Zong Selangor dan Kuala Lumpur, Chua Kim Boon menuduh Akmal menggunakan isu itu untuk kelangsungan politiknya.

    “Membangkitkan isu perkauman dalam persaingan oleh pelbagai parti politik tidak akan mendatangkan faedah kepada rakyat kita amnya dan negara kita khususnya.

    “Kerajaan hari ini atau pihak berkuasa yang berkenaan harus mengambil tindakan tegas untuk membendung atau menghentikan semua kenyataan ini, sama ada untuk meraih sokongan atau untuk menghasut sentimen perkauman demi kelangsungan politik,” katanya. 

    Tan dalam pada itu berkata, adalah adil bagi kerajaan untuk memberi subsidi sepenuhnya kepada perbelanjaan operasi pendidikan kerana komuniti itu menyediakan pendidikan asas kepada masyarakat bagi pihak kerajaan.

    “Kami tidak menentang kerajaan memberikan lebih banyak subsidi kepada sekolah agama.”

    “Kerajaan mesti mempunyai asas sendiri dalam memberikan subsidi,” katanya.

  • Seorang lagi budak maut disyaki akibat strok haba

    Seorang lagi budak maut disyaki akibat strok haba

    SEORANG lagi kanak-kanak lelaki meninggal dunia di Kluang kira-kira 7 pagi semalam, dipercayai akibat strok haba.

    Bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata anak keduanya Airiel Syahren, 12, disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis’ di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

    Menurutnya, pada mulanya Airiel dan adik lelaki berusia sembilan tahun serta ibu mereka mengalami demam biasa dan hanya memakan ubat.

    “Saya meminta mereka tidur di ruang tamu kerana bilik itu sejuk sebelum terdengar seperti ada benda jatuh. Saya kemudian mendapati anak kekejangan.

    “Saya terus menghubungi talian kecemasan untuk bantuan ambulans. Pada masa itu keadaan anak meronta-ronta dan adiknya juga begitu tetapi sekejap sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bentong, Kluang, hari ini.

    Syahrol Azmi berkata, anaknya juga sebelum itu mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, serta muntah, kira-kira 10 malam kelmarin.

    Katanya, doktor turut menjelaskan simptom strok haba dialami anaknya menyebabkan buah pinggangnya terjejas serta keradangan otak.

    “Anak saya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong. Manakala anak ketiga, Aidil Syahren, 9, pula disahkan stabil dan masih berada di wad,” katanya, memetik laporan Berita Harian.

  • Kerajaan BN didakwa gagal selesai isu air di Pahang

    Kerajaan BN didakwa gagal selesai isu air di Pahang

    KETUA Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar mempersoalkan komitmen kerajaan Pahang di bawah Barisan Nasional (BN) yang didakwa masih gagal menyelesaikan isu air di negeri itu walaupun sudah mentadbir lebih 60 tahun.

    “Timbul sedikit kemusykilan mengenai isu air sedangkan pemerintahan UMNO sudah lama.

    “Kenapa UMNO parti yang telah memerintah Pahang lebih 60 tahun ini tidak dapat menyelesaikan lagi masalah air?

    “Di mana janji-janji manis pilihan raya? Di mana peruntukan RM2.3 juta untuk perihal air di Pahang?” soalnya dalam satu kenyataan menerusi Facebook miliknya hari ini.

    Beliau berkata, rakyat Pahang sudah menderita mengenai masalah air.

    “Buka pili air yang keluar hanyalah angin! Paip (Pengurusan Air Pahang Berhad) di bawah portfolio siapa” soalnya lagi.

    Ahmad Azlan berkata, pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15), kerajaan Pahang terbentuk hasil perkahwinan di antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

    “Kenapa begitu, kerana di Pahang yang menguasai BN di DUN (Dewan Undangan Negeri) adalah UMNO manakala PH adalah DAP.

    “Kita pergi kepada siapa yang bertanggungjawab terhadap isu atau perihal air di Pahang. Insan yang bertuah yang menjaga perihal air negeri Pahang adalah MB (Menteri Besar) Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) sendiri,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pelajar parah akibat terjatuh dari tingkat enam bangunan asrama

    Pelajar parah akibat terjatuh dari tingkat enam bangunan asrama

    HANYA kerana mahu mendapatkan kunci yang tertinggal dalam unit kediamannya, seorang pelajar lelaki universiti tempatan parah selepas terjatuh dari tingkat enam blok kediaman universiti berkenaan di Sungai Chuchuh, di Padang Besar semalam.

    Mangsa, Ubaidul Aqied Bustamam, 24, yang berasal dari Kulim, Kedah dipercayai terjatuh selepas tergelincir ketika cuba memanjat masuk ke dalam kediamannya untuk mengambil kunci rumah yang tertinggal dalam unit berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3 petang yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan

    “Siasatan awal pihak polis mendapati, mangsa adalah pelajar lelaki tempatan berusia 24 tahun yang tinggal di kediaman lokasi kejadian dan berdasarkan maklumat awal, dia dipercayai cuba mengambil kunci kediamannya itu.

    “Menurut saksi yang berada di sekitar tempat kejadian, mereka terdengar bunyi seperti sesuatu jatuh sebelum melihat mangsa terbaring serta berlumuran darah di lantai aras bawah bangunan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Katanya, ketika ditemui orang ramai, mangsa masih berada dalam keadaan sedar namun tidak dapat bergerak akibat kecederaan serius yang dialami mangsa.

    “Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil. Kita sudah mengambil keterangan beberapa orang saksi bagi membantu siasatan,” katanya, lapor BH Online.

    Pada masa sama, Mohd Shokri turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kejadian berkenaan bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

    Punca kejadian masih disiasat dan polis turut memohon kerjasama saksi lain yang berada di tempat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan pihak polis.

    Sebarang maklumat boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Mohd Izham Aziz di talian 017-5387986.