Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tiga kru dipercayai terperangkap dalam kapal tangki yang masih terbakar

    Tiga kru dipercayai terperangkap dalam kapal tangki yang masih terbakar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA kru kapal yang hilang dalam kebakaran kapal tangki MT Pablo pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili, Kota Tinggi semalam masih lagi tidak dapat dikesan sehingga kini.

    Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, ini termasuk selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluaskan kawasan pencarian kepada empat sektor di perairan berkenaan.

    “Tiga kru kapal berkenaan dikenali sebagai Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, merupakan warganegara India manakala seorang lagi, warganegara Ukraine, Sabit Shenderovsky, 37.

    “Kita tidak menolak kemungkinan, tiga kru kapal ini berada di dalam kapal. Bagaimanapun anggota operasi SAR masih tidak dapat masuk ke dalam kapal kerana asap kebakaran masih tebal.

    “Setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan. Kebakaran melibatkan 50 peratus daripada keseluruhan kapal di mana bahagian tengah kapal paling teruk terjejas.

    “Kapal tangki berkenaan dilaporkan masih dalam keadaan terapung. Ketika kejadian kapal tangki berkenaan kosong kerana dalam perjalanan ke Singapura untuk mengambil minyak mentah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor di Johor Bahru hari ini.

    Saiful Lizan berkata, seramai 136 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi SAR sejak Isnin membabitkan sebuah pesawat udara AW139 milik Maritim Malaysia, sembilan aset laut termasuk dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Laut Malaysia dan Pelabuhan Johor.

    “Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan tiba pada pagi Rabu bagi membantu operasi SAR. Kawasan pencarian oleh pasukan SAR telah dibahagikan kepada empat sektor dan diperluaskan sehingga 71 batu nautika persegi,” ujar beliau.

    Setakat ini tiada tumpahan minyak berlaku katanya, namun pemantauan rapi giat dilakukan sebagai persiapan sekiranya berlaku tumpahan minyak kapal.

    Kapal tangki yang berdaftar dari Gabon, Afrika dilaporkan dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura bersama 28 kru kapal sebelum dilaporkan terbakar pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili sekitar pukul 3 petang semalam.

    Seramai 25 kru berjaya diselamatkan di mana empat daripada mereka mengalami kecederaan serius di tangan, pinggang dan kaki kini dirawat di Hospital Kota Tinggi.

    Sementara itu, kapten kapal berkenaan Lepyoshkin Oleksandr dari Russia memberitahu, kejadian kebakaran kapal tangki itu berlaku secara tiba-tiba ketika dalam perjalanan ke Singapura bagi mengambil muatan minyak mentah di republik berkenaan.

    “Berlaku letupan kuat seperti bom jatuh atas kapal sehingga tingkap kaca atas kapal pecah sebelum ia terbakar. Saya cuba membuat panggilan kecemasan namun peralatan di atas kapal semuanya sudah rosak dan terbakar.

    “Kami bernasib baik kerana ada dua kapal berada berhampiran yang memberikan bantuan kecemasan segera termasuk membantu menyelamatkan kru kami yang sedang panik dan ketakutan,” jelasnya.

  • Cuaca panas melampau:Guru, pelajar dibenar pakai t-shirt sukan ke sekolah

    Cuaca panas melampau:Guru, pelajar dibenar pakai t-shirt sukan ke sekolah

    SESI Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak akan dilaksanakan sekiranya ada sekolah yang memohon penutupan sekolah untuk sementara waktu berikutan cuaca panas melampau.

    Bagaimanapun, hari persekolahan mungkin diganti mengikut tarikh yang akan ditentukan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing.

    Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Kementerian Pendidikan (KPM), Dr Ahmad Rafee Che Kassim berkata, perkara itu terkandung dalam garis panduan yang sudah dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini.

    “Apabila sekolah ditutup, kita akan lihat sejauh mana (situasinya). Kalau tempohnya panjang, kita akan lihat mekanisme (dilaksanakan) sebelum ini.

    “Dalam garis panduan KPM juga dinyatakan, kalau sekolah tutup ia mungkin perlu diganti.

    “Jadi pihak Pengarah Pendidikan Negeri akan maklumkan bila tarikh sesuai untuk ganti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP). Disebabkan itu tidak ada PdPR,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 dan Sambutan Aidilfitri Industri Perbukuan di Kuala Lumpur, hari ini.

    Hadir sama, Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd. Khair Ngadiron.

    Ahmad Rafee berkata, hari pertama persekolahan kembali dibuka hari ini, pihaknya belum menerima laporan daripada mana-mana sekolah mengenai masalah berkaitan cuaca panas.

    Katanya, KPM juga tidak menetapkan jangka masa tertentu sekiranya sesebuah sekolah ditutup berikutan isu berkenaan.

    Sebaliknya, beliau berkata, keputusan semasa dibuat mengikut keadaan cuaca semasa sebagaimana laporan harian dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

    Katanya, KPM turut memberikan kelonggaran kepada warga sekolah termasuk pelajar dan guru untuk memakai t-shirt sukan setiap hari semasa sesi persekolahan.

    “Bukan hanya pelajar yang boleh mengenakan t-shirt Pendidikan Jasmani (sukan), guru pun dibenarkan memakai t-shirt.

    “Sebagai solidariti kepada warga pendidik, warga KPM akan turut memakai t-shirt esok,” katanya, lapor Harian Metro.

    Berhubung mekanisme bagi penutupan sekolah, menurutnya, ia tertakluk kepada garis panduan yang telah dikeluarkan KPM iaitu suhu melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

    “Pihak sekolah boleh memohon untuk penutupan sekolah kepada pihak pendaftar atau Pengarah Negeri (masing-masing). Pengarah Negeri akan keluarkan kelulusan serta merta berhubung perkara ini.

    “Mekanismenya sudah ada, cuma syor KPM supaya semua pihak khususnya di sekolah untuk pantau kesihatan murid dan guru pastikan aktiviti di luar, dalam keadaan cuaca panas sebegini dielakkan. Buatlah aktiviti di dalam kelas.

    “Selain itu, ibu bapa juga dinasihatkan supaya membekalkan air kepada anak-anak dan beri ingatan kepada mereka supaya minum air secukupnya,” katanya.

    Sabtu lalu, satu garis panduan dikeluarkan KPM susulan situasi semasa cuaca panas di beberapa lokasi di seluruh negara ketika ini.

    Menurut pekeliling itu, semua aktiviti luar perlu dihentikan jika status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran pertama dengan suhu tertinggi melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut, manakala sekolah dibenar untuk ditutup sekiranya keadaan cuaca panas berada pada tahap amaran 2 dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius.

  • Bekas Exco Pemuda Bersatu dipecat daripada jawatan CEO Yayasan Peneraju?

    Bekas Exco Pemuda Bersatu dipecat daripada jawatan CEO Yayasan Peneraju?

    KETUA Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Dr. Mohd. Muzzammil Ismail bertindak ‘kunci mulut’ mengenai desas-desus pemecatannya daripada jawatan itu.

    bekas Exco Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu ketika dihubungi hanya menjelaskan mengenai status kontrak yang sepatutnya berakhir Oktober 2024.

    “Maafkan saya kerana tidak dapat memberi sebarang komen berkenaan kontrak. Kontrak sepatutnya habis pada Oktober tahun hadapan (2024).

    “Sekarang banyak khabar angin (pemecatan) bukan sahaja (melibatkan) Yayasan Peneraju, Teraju (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) dan agensi lain juga begitu,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini beliau dilantik ke jawatan berkenaan pada Oktober 2020.

    Sementara itu semakan di laman web Yayasan Peneraju pada bahagian pihak pengurusan gagal menemui sebarang maklumat mengenai kedudukan Mohd. Muzzammil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

  • Kerajaan ada majoriti dua pertiga, susah ditumbangkan – Tok Mat Hasan

    Kerajaan ada majoriti dua pertiga, susah ditumbangkan – Tok Mat Hasan

    TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, bukan perkara mudah untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Katanya,  Kerajaan Perpaduan yang sedang mentadbir kerajaan telah dibentuk dengan sokongan majoriti dua pertiga selain Akta Anti Lompat Parti 2023 juga telah berkuat kuasa.

    Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, Barisan Nasional tidak mengetahui mengenai adanya usaha atau pembabitan Ahli Parlimen mereka untuk memporak-perandakan kerajaan sedia ada.

    “Itu laporan yang dibuat pada setakat hari ini setahu saya bagi pihak BN kami tidak ada apa-apa usaha atau apa-apa ura-ura dilakukan untuk memporak-perandakan kerajaan sedia ada kerana itulah janji yang telah kita berikan semasa menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU). Bukan saja PRU tapi di Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor bahawa kita memerlukan kestabilan demi kemakmuran bersama.

    “Lagipun itu terpulang kepada ahli Parlimen masing-masing namun sekarang Akta Anti Lompat Parti 2023 sudah berkuat kuasa selepas diluluskan di Parlimen, Mac lalu dan kamu tak boleh simply walk away’ (keluar) dan tak menyokong kerajaan serta mahu menyokong parti lain (usaha jatuhkan kerajaan sedia ada) kerana ia bertentangan dengan undang-undang,” katanya lapor Beritah Harian.

    Beliau berkata demikian kepada wartawan pada  Majlis Rumah Terbuka Kementerian Pertahanan, di Kuala Lumpur hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui pelaksanaan Akta Anti Lompat, seseorang Ahli Parlimen perlu meletak jawatan jika mahu keluar dan menyokong parti lain serta perlu diadakan PRK namun bukan mudah untuk menang kembali kerusi berkenaan.

    “Lagipun, kerajaan kini sudah ada 148 majoriti dua pertiga sokongan dan untuk ditumbangkan adalah satu perkara yang saya rasakan agak susah,” katanya.

    Ahli Parlimen Rembau itu berkata, buat masa ini BN terus memberikan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan.

    “Kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk memporak-perandakan kerajaan Perpaduan sedia ada kerana itulah janji kami kepada rakyat dalam beberapa pilihan raya negeri lalu dan juga PRU bahawa kita memerlukan satu kerajaan yang stabil malah parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan hari ini, telah pun bersetuju dan ada perjanjian untuk bekerjasama bagi memastikan pentadbiran kerajaan diberikan keutamaan.

    “Kita sudah ketinggalan hampir lima tahun selepas PRU14. Negara kita dalam keadaan terumbang ambing disebabkan oleh kerajaan ditubuhkan tidak ada majoriti yang baik. Sekarang ini kerajaan kita usahakan duduk bersama untuk menguruskan negara. Sekarang BN dengan semua parti gabungan lain ada perjanjian dan bersetuju untuk memastikan manifesto yang kita janji PRU lepas ditunaikan kepada rakyat dan itu fokus utama kami ketika ini,” katanya.

  • SPRM tahan guru besar minta, terima rasuah

    SPRM tahan guru besar minta, terima rasuah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG guru besar sebuah sekolah di Kluang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM10,000.

    Menurut sumber, suspek lelaki berusia 56 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Kluang kira-kira pada pukul 10.30 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, suspek telah meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang pengusaha kantin dari sekolah sama sebagai dorongan untuk memudahkan urusan tuntutan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Suspek kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

  • ‘’Tak betul saya akan jadi calon PN tetapi…’’ – Noh

    ‘’Tak betul saya akan jadi calon PN tetapi…’’ – Noh

    TAN Sri Noh Omar hari ini menafikan, beliau akan menjadi calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, tidak lama lagi.

    Bekas  Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu berkata,   menjadi calon mana-mana parti hanya pimpinan parti tersebut sahaja akan tentukan siapa yang layak.

    ‘’Oleh kerana saya belum lagi menjadi ahli-ahli mana parti maka adalah tidak betul (untuk mengatakan) saya akan jadi calon, namun demikian semangat juang demi kepentingan orang Melayu dan kaum lain di Selangor yang diwarisi sejak jadi pemimpin UMNO suatu ketika dulu tak pernah padam,’’ katanya dalam kenyataan melalui klip video hari ini.

    Pada 30 April lalu, Berita Harian melaporkan Noh berkata, sebagai individu yang “sebati” dengan politik, beliau enggan sekadar menjadi penonton.

    Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menggambarkan dirinya seperti “pemain bola sepak” yang akan berpindah ke pasukan lain selepas disingkir pasukan asal.

    Terdahulu, dilaporkan anak Noh, Nurul Syazwani akan bertanding merebut salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tanjong Karang atas tiket Bersatu.

    Nurul menyertai Bersatu selepas bapanya dipecat awal tahun ini.

  • 13 suspek kes pecah rumah diberkas

    13 suspek kes pecah rumah diberkas

    POLIS menahan 13 lelaki kerana disyaki terlibat dengan geng pecah rumah di Selangor sejak Januari hingga April lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, modus operandi kumpulan penjenayah itu adalah memakai topeng dan bersenjatakan parang ketika memecah masuk rumah mangsa.

    Beliau memberitahu, semua suspek ditahan dalam serbuan di Selangor, Melaka dan Johor.

    “Polis turut merampas 14 telefon bimbit, wang tunai RM3,000, sebuah komputer riba dan dua kenderaan milik mangsa.

    “Polis juga merampas dua kereta yang digunakan oleh suspek untuk melakukan jenayah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di Shah Alam hari ini.

    Hussein berkata, kes terbaharu, seramai tiga lelaki disyaki terlibat dalam kes pecah masuk dan melarikan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier di sebuah rumah di Kajang, pada 30 April lalu.

    “Kesemua suspek itu melarikan diri setelah mendapati mangsa berada di rumah tersebut,” katanya.

    Beliau berkata, sebanyak 34 kes pecah rumah dilaporkan di Selangor sejak Januari hingga April lalu.

    “Dengan tertangkapnya 13 suspek ini, kita percaya enam kes pecah rumah berjaya diselesaikan, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Enam disyaki terbabit kes bunuh pemilik klinik ditahan

    Enam disyaki terbabit kes bunuh pemilik klinik ditahan

    POLIS menahan enam individu termasuk dua wanita kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang ahli perniagaan di Kajang.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan daripada rakan serumah mangsa, mengenai kehilangan lelaki berusia 41 tahun itu pada 26 April lalu.

    “Sepasukan polis memberkas tiga lelaki, dua wanita tempatan sekitar Kajang dan Ampang serta rakan serumah mangsa pada 27 April lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di Shah Alam hari ini.

    Hussein berkata, hasil siasatan, seorang daripada suspek yang juga seorang kontraktor berusia lewat 30-an mengaku membunuh ahli perniagaan dan mayat tersebut disumbat dalam bagasi sebelum dibuang di cerun bukit di Hulu Langat.

    “Mangsa ditemukan lengkap berpakaian dengan keadaan tangan terikat serta kesan leher dijerut dengan kabel wayar,” katanya.

    Beliau berkata, polis turut merampas lima telefon bimbit termasuk satu daripadanya milik mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Axia milik salah seorang suspek.

    “Motif kejadian adalah bagi mendapatkan harta milik mangsa. Ini kerana suspek ada masalah kewangan bagi membiayai peguam bagi kes berkaitan dadahnya sebelum mendapat idea bagi menculik, memeras dan membunuh rakannya itu,” katanya.

    Hussein berkata, siasatan awal turut mendapati pemilik rangkaian klinik swasta itu telah menaiki kenderaan sendiri bertemu dengan suspek di sebuah restoran di Semenyih kira-kira pukul 11 pagi pada 26 April lalu.

    Bagaimanapun katanya, mangsa telah diperdaya dan menaiki kereta suspek ke sebuah lokasi atas alasan perniagaan.

    Menurutnya, mangsa ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi telefon bimbitnya kepada rakan serumahnya dan meminta dimasukkan wang syarikat berjumlah RM228,000 ke dalam akaun tidak dikenali.

    “Turut menerima SMS sama adalah akauntan syarikat mangsa yang juga diarah membuat pemindahan wang namun tidak dilakukan kerana curiga terhadap SMS itu sebelum telefon bimbit mangsa gagal dihubungi,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan turut mendapati tiga daripada suspek terlibat secara langsung dalam kes tersebut.

    “Kita percaya suspek memang berniat membunuh disebabkan persiapan telah dibuat suspek termasuk tali wayar. Suspek juga telah berjaya mendapatkan RM20,000 daripada mangsa tersebut,” katanya.

    Hussein berkata, hasil pemeriksaan bedah siasat pakar patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan jerutan pada leher yang menyebabkan saluran pernafasan tersekat.

    “Siasatan lanjut mendapati mangsa dan suspek utama yang merupakan kontraktor telah berkenalan sejak setahun lalu selepas membaik pulih klinik dan rumah mangsa,” katanya.

    Menurutnya, mangsa adalah seorang yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) berkaitan perkhidmatan kesihatan dengan memiliki aplikasi pengurusan kesihatan.

    “Kes yang pada awalnya disiasat mengikut 385 Kanun Keseksaan kini berubah kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Status tuntutan harta RM2 bilion Jamaludin Jarjis diketahui esok

    Status tuntutan harta RM2 bilion Jamaludin Jarjis diketahui esok

    STATUS penyelesaian kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion milik Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur membabitkan balu Allahyarham, Puan Sri Kalsom Ismail, empat anak dan ibu mentuanya diketahui esok.

    Ini selepas peguam syarie, Nor Husniah Husin yang mewakili Kalsom, 67, selaku plaintif berkata, peguam syarie utama, Datuk Sulaiman Abdullah tidak hadir ke mahkamah kerana menghadiri mesyuarat di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di Putrajaya.

    Semasa prosiding di hadapan Hakim Syarie, Abdul Shukor Abd. Hamid, Nor Husniah berkata, pihak plaintif telah menulis surat kepada mahkamah pada 18 April lalu bagi menangguh kes itu.

    “Kami percaya beliau (Sulaiman) ialah peguam yang terbaik bagi pengesahan mengenai status penyelesaian kes tuntutan harta sepencarian ini.

    “Dalam pada itu, saya ingin maklumkan, mahkamah telah membenarkan kes ini dibuat secara tertutup, jadi saya mohon arahan sama bagi prosiding hari ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, peguam syarie, Nur Hidayah A. Bakar yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah, 89, selaku defendan kelima berkata, pihaknya membantah penangguhan kes dan memohon prosiding bersambung dalam masa terdekat.
    Abdul Shukor kemudiannya membenarkan permohonan peguam plaintif dan meminta kesemua pihak hadir pada pukul 2.30 petang untuk maklumkan perkembangan status berkenaan.

    Ketika ditemui selepas prosiding, Nur Hidayah berkata, status itu sepatutnya diketahui dalam prosiding kali ini, namun ditangguhkan susulan peguam utama Kalsom tidak dapat hadir ke mahkamah.

    Beliau berkata, plaintif memohon untuk peguam utamanya memaklumkan mengenai status penyelesaian berkenaan.

    “Peguam terbabit tidak dapat hadir dan mahkamah minta pihak-pihak hadir pukul 2.30 petang esok untuk maklumkan status berkenaan,” katanya selepas sebutan kes.

    Kalsom memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi serta beberapa saham syarikat tempatan pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan Aminah sebagai defendan pertama hingga kelima.

    Pada 28 Ogos tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang daripada pernyataan tuntutan.

    Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada pukul 4.55 petang.

    Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita dikenali sebagai Aidana Baizieva.

  • Amanah mohon maaf sebab mahu ‘move forward’ – Khalid

    Amanah mohon maaf sebab mahu ‘move forward’ – Khalid

    AMANAH  membuat permohonan maaf kepada UMNO berhubung bantahan terhadap permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak supaya “tidak ada parti tersinggung dan semua pihak boleh move forward”.

    Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, “Mohon maaf sekiranya kenyataan itu menyinggung atau melukakan UMNO. Wajar dipohon kemaafan kerana bukan niat kenyataan tersebut untuk melukakan mana-mana pihak.”

     “Yang penting tujuan permohonan maaf adalah supaya kita boleh ‘move forward’ kerana Lembaga Pengampunan telah bersidang dan isu ini telah berlalu,” katanya lapor FMT.

    Ahad lalu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, membuat permohonan maaf itu kepada Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Satria, Putrajaya.

    Ia susulan kenyataan Khalid bahawa pihaknya merayu agar permohonan pengampunan terhadap bekas Presiden UMNO itu ditolak.

    Sementara itu, Khalid berkata isu bantahan terhadap permohonan pengampunan kepada Najib tidak lagi berbangkit dan semua pihak perlu kembali perkukuh hubungan dalam kerajaan perpaduan bagi menghadapi PRN di enam negeri.

    “Yang penting kita bersatu untuk hadapi PRN bakal mendatang. Zahid sudah sebut sekarang kita tumpu pada yang dipersetujui bersama, jasi pada masa ini ia bukan lagi isu,” katanya.