Author: Wartawan WartaRakyat

  • PASRelief bangunkan semula bangunan pejabat Kementerian Buruh Palestin

    PASRelief bangunkan semula bangunan pejabat Kementerian Buruh Palestin

    PUSAT Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) membangunkan semula Pejabat Kementerian Buruh yang musnah akibat peperangan dua tahun lalu.

    Bangunan Pejabat Kementerian Buruh itu telah dimusnahkan dalam peperangan pada tahun 2021.

    Menurut satu kenyataan daripada PASRelief, projek kerjasama dengan Kementerian Buruh, Palestin ini menyasarkan sumbangan bernilai RM1.1

    juta bagi menyiapkan bangunan setinggi tiga tingkat dengan keluasan 270 meter persegi.

    “Kami yakin bahawa bangunan ini akan menjadi tempat permulaan baru untuk bekerja dan harapan untuk anak muda dan rakyat Palestin.

    “PASRelief menyeru dan mengajak orang ramai untuk sama-sama membantu dalam menyiapkan sepenuhnya pembangunan Pejabat Kementerian Buruh

    yang masih dalam fasa pembinaan sekarang.

    “Buat masa sekarang, fasa pembinaan telah berada di tingkat kedua. Tingkat pertama pula sudah bermula fasa pemasangan elektrik,” menurut

    kenyataan itu, lapor Sinar Harian.

    Sebanyak RM 250,000 masih diperlukan bagi merealisasikan hasrat dan harapan rakyat Palestin bagi masa depan yang lebih baik.

    Sehubungan itu, untuk maklumat lanjut dan sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui https://infaqpay.my/plus/tabung-bantuan-palestine-

    pasrelief.

  • Polis selamatkan pembantu rumah didera pasangan suami isteri

    Polis selamatkan pembantu rumah didera pasangan suami isteri

    POLIS menyelamatkan seorang wanita warga asing yang disyaki menjadi mangsa penderaan pasangan suami isteri di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur  minggu lalu.

    Mangsa berusia 39 tahun itu diselamatkan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, selepas menerima maklumat daripada jiran suspek.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata jiran mangsa memaklumkan kepada polis pada 23 April lalu, selepas mendakwa pasangan berkenaan mendera pembantu rumah mereka.

    “Siasatan polis mendapati mangsa mengalami kecederaan serius melecur hampir seluruh badan dan lebam pada kedua-dua belah mata dan muka.

    Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan dan ditempatkan di rumah perlindungan,” katanya lapor Berita Harian.

    Katanya, mangsa menjadi pembantu rumah pasangan itu selama hampir setahun setengah dan mendakwa kerap dipukul, ditampar serta pernah dicederakan di tangan dengan seterika.

    Amihizam berkata, polis turut merampas barang kes yang dipercayai digunakan suspek untuk mencederakan mangsa untuk membantu siasatan.

    “Suspek akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

  • Lima pegawai Sivakumar ditamat kontrak, satu ditukar jabatan – sumber

    Lima pegawai Sivakumar ditamat kontrak, satu ditukar jabatan – sumber

    LIMA pegawai Menteri Sumber Manusia V Sivakumar ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa serta-merta.

    Memetik sumber di Jabatan Perdana Meter, Malaysiakini melaporkan  tindakan itu sebahagian usaha kerajaan membersihkan kementerian tersebut yang baru-baru ini dicemari dakwaan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pegawai pejabat menteri.

    “Sebanyak lima pegawai ditamatkan kontrak. Manakala, satu lagi ditukar ke JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam). Ini termasuk dua pegawai yang baru-baru ini ditahan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Setahu saya, dua pegawai telah pun menerima surat pemberitahuan penamatan kontrak dan ditukar jabatan. Yang lain, saya tak beberapa pasti (dah terima surat atau belum),” katanya.

    Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, bukan semua pegawai yang ditamatkan kontrak berkaitan siasatan SPRM.

    “Ada yang ditamatkan kontrak kerana terkait siasatan SPRM. Sementara ada juga kerana prestasi kerja,” katanya.

    SPRM sebelum ini menyerbu pejabat kementerian itu di Putrajaya dan menahan seorang pegawai kanan Sivakumar.

    SPRM turut menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan rasuah itu. Dia ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

    Selain itu, seorang ahli perniagaan dari Ipoh turut ditahan dalam siasatan yang dikatakan melibatkan rasuah bernilai RM97 juta.

    Difahamkan siasatan SPRM turut  tertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

    Susulan itu, Sivakumar telah menggantung tugas tiga pegawai kanannya, termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan SPRM.

    Namun, selepas tamat reman, tempoh penggantungan seorang pegawai dikekalkan. Sementara dua lagi mengambil cuti sehingga tamat siasatan tersebut.

  • Ridzuan Hashim meninggal dunia

    Ridzuan Hashim meninggal dunia

    PELAKON Ridzuan Hashim, meninggal dunia di kediamannya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

    Ridzuan, 62, yang terkenal dengan watak “King” dalam filem KL Gangster dikatakan meninggal dunia secara mengejut ketika bersarapan di rumahnya.

    “Arwah meninggal sekitar 11 pagi hingga 12 tengah hari tadi di rumahnya di Bandar Tun Razak. Ketika itu, anaknya ada di rumah dan dia sedang bersarapan.

    “Dia ‘keras’ dan jatuh dari kerusi, seterusnya anaknya bergegas membawanya ke hospital. Bila diperiksa, pihak hospital sahkan dia dah tak ada (meninggal dunia),” kata anak saudaranya yang juga pelakon, Iman Zulkarnain, lapor Harian Metro.

    Iman memaklumkan jenazah Ridzuan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat.

    Sementara itu, bekas isterinya yang juga pelakon, Didie Alias berkongsi berita duka tersebut menerusi video di Instagramnya.

    “Saya nak beritahu kepada semua sahabat dan saudara mara yang mengenali bekas suami saya, Mohd Ridzuan Hashim, dia sudah kembali ke Rahmatullah tadi.

    “Kepada sesiapa yang ingin melawat, arwah masih di Hospital Kuala Lumpur. Saya mohon kepada sesiapa yang ada hutang kepada arwah, boleh terus hubungi saya. Ampun dan maafkannya,” katanya.

    Ridzuan memulakan kerjaya seninya sebagai model pada 1981 sebelum terjun ke bidang lakonan.

  • ADUN Belantik kritikal akibat jangkitan kuman

    ADUN Belantik kritikal akibat jangkitan kuman

    ADUN Belantik Isa Shafie dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

    Timbalan Ketua Pas Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata Isa, 69, yang juga ahli Jawatankuasa Pas  Kedah itu dimasukkan ke Hospital Sik kira-kira 7 malam tadi sebelum dibawa ke HSAH pada 4 pagi kerana mengalami jangkitan kuman pada jantung, paru-paru, dan buah pinggang.

    “Menurut anak beliau, Ustaz Mohd Isa kelihatan lemah dan rebah di dalam bilik air di rumahnya di Kampung Jelutong, Sik lebih kurang pukul 1.30 tengah hari semalam sebelum dibawa ke Hospital Sik dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim.

    “Keadaan kesihatannya lemah dan menurun sebelum doktor menidurkannya, saya memohon orang ramai mendoakan beliau agar sembuh dan dapat terus berkhidmat kepada rakyat Belantik,” katanya menurut Bernama.

    Tarmizi yang juga Ahli Parlimen Sik, berkata pada masa ini, orang ramai tidak dibenarkan melawat ADUN itu dan mengharapkan semua ahli keluarganya bersabar menghadapi ujian berkenaan.

    Beliau berkata, Isa menjadi ADUN Belantik selama tiga penggal dan sebelum ini menghidap penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi serta jantung.

  • Hassan dakwa dasar penswastaan Mahathir punca orang Melayu miskin

    Hassan dakwa dasar penswastaan Mahathir punca orang Melayu miskin

    DASAR penswastaan Tun Dr Mahathir Mohamad punca utama ramai orang Melayu ketika ini berada dalam kelompok miskin.

    Ketika membuat dakwaan itu dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, berkata kemunduran orang Melayu dan Bumiputera dalam sektor ekonomi sehingga kini perlu dipikul bekas Perdana Menteri itu.

    “Dasar penswastaan Mahathir yang mengutamakan pembentukan kelas kapitalis kroni di kalangan segelintir orang Melayu adalah punca terbesar jutaan umat Melayu/Bumiputera menjadi rakyat miskin di bandar dan desa seluruh negara terutama di negeri majoriti Melayu dan Bumiputera,” katanya.

    Beliau merujuk negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak yang mencatatkan jumlah kemiskinan tegar yang tinggi.

    Hassan berkata, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu, dilaksanakan dengan pendekatan pembangunan ekonomi secara kapitalis bawah pentadbiran Mahathir.

    “Jika dasar ini dilaksanakan secara pendekatan kelas mirip pendekatan sosialis yang mengutamakan kelas orang Melayu bawahan, sudah lama orang Melayu dapat dibebaskan daripada kemiskinan dan kemunduran,” katanya.

    Beliau berkata, pentadbiran Dr.Mahathir selama 22 tahun mengutamakan dasar penswastaan yang begitu meluas dengan syarikat milik kerajaan seperti Tenaga Nasional Bhd dan Telekom Malaysia Bhd diswastakan.

    Hassan berkata, masalah kemiskinan tegar orang Melayu boleh “diubati” oleh Kerajaan Perpaduan dengan melihat semula Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan kedudukan hak istimewa orang Melayu.

    “Dasar bersifat kartel dan monopoli seperti keistimewaan AP yang selama ini hanya menguntungkan segelintir elit Melayu perlu dinoktahkan.

    “Keutamaan sekarang perlu berpindah kepada menjaga kepentingan jutaan rakyat Melayu miskin dan mundur. Jika ini kita laksanakan, barulah kita boleh panggil kerajaan Anwar Ibrahim ini Kerajaan Madani,” katanya.

  • Kerajaan, rakyat perlu bersedia awal hadapi fenomena El Nino kuat Jun ini

    Kerajaan, rakyat perlu bersedia awal hadapi fenomena El Nino kuat Jun ini

    PERSEDIAAN awal bagi menghadapi fenomena El Nino kuat yang diramal berlaku Jun ini perlu dilaksanakan segera dengan melibatkan dua pemegang taruh utama negara iaitu kerajaan dan rakyat untuk meminimumkan impak fenomena itu.

    Pakar alam sekitar Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata walaupun Malaysia pernah beberapa kali mengalami fenomena tersebut, persiapan awal meliputi semua aspek adalah perlu bagi mengelakkan kepanikan melampau.

    Beliau berkata berdasarkan rekod setakat 2015, El Nino pernah melanda negara sebanyak 12 kali iaitu sejak 1951 hingga 1952 dan kejadian yang paling teruk ialah pada 1997 hingga 1998 apabila catatan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

    “Justeru, persediaan kerajaan adalah memantau semua aras air sungai dan empangan, mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan, meneroka sumber air alternatif, menggalakkan orang ramai dan industri menjimatkan penggunaan air, serta melakukan penghasilan awan dan menyediakan sokongan logistik.

    “Seterusnya mempertingkatkan segala bentuk bantuan perubatan dan kecemasan seperti ubat-ubatan untuk mangsa selain alat bantuan memadam kebakaran sekiranya berlaku kebakaran,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

    Untuk rakyat pula, Haliza berkata persediaan perlu dibuat dari sudut mental dan fizikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti krisis air yang menyebabkan langkah seperti catuan air di sesetengah kawasan mungkin terpaksa dibuat sekali gus memberi impak terhadap aktiviti manusia. 

    “Setiap dari kita harus mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran. Bahan-bahan mudah terbakar perlu disimpan dengan baik manakala aktiviti pembakaran terbuka seperti membakar sampah, sisa pertanian dan sisa pembinaan perlu dielakkan.

    “Ini bagi menghindarkan berlakunya pencemaran udara yang boleh menyebabkan jerebu. Sekiranya berlaku kebakaran terbuka, ia perlu dilaporkan segera kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut,” katanya.

    Semalam, media melaporkan fenomena El Nino kuat dijangka bermula Jun apabila keadaan cuaca akan berubah disebabkan kehadiran monsun barat daya yang cuacanya dicirikan dengan keadaan kering dan panas.

    Berdasarkan laporan tinjauan cuaca bagi tempoh Mei hingga Oktober yang dipaparkan di portal Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan kitaran atmosfera di kawasan tropika konsisten dengan keadaan El Nino Southern Oscillation (ENSO) adalah neutral.

    Bagaimanapun, laporan itu memaklumkan keadaan neutral yang sedang berlaku itu dijangka akan memasuki fasa El Nino pada Mei hingga Julai ini dengan kebarangkalian 62 peratus.

    Sementara itu, Pakar Kesihatan Persekitaran Prof Dr Juliana Jalaludin berkata bagi mengelakkan berlakunya strok haba ketika fenomena ini, selain banyak minum air, rakyat dinasihatkan untuk memakai pakaian berwarna terang dan ringan serta mengelakkan aktiviti fizikal.

    “Selain itu, sentiasa menggunakan pelindung matahari seperti memakai pelindung matahari spektrum luas dengan SPF (Faktor Perlindungan Matahari) 15 atau lebih jika berada di luar rumah kerana selaran matahari menjejaskan keupayaan badan untuk menyejukkan diri,” katanya.

    Beliau juga berkata rakyat tidak digalakkan meninggalkan sesiapapun di dalam kenderaan yang tidak bergerak kerana suhu dalaman boleh meningkat lebih daripada 11 darjah Celsius dalam masa 10 minit apabila berada di bawah matahari.

    Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berkata fenomena El Nino akan meningkatkan risiko penyakit berkaitan dengan bawaan vektor seperti denggi dan malaria, serta penyakit bawaan air dan makanan seperti tifoid dan penyakit saluran pernafasan.

    Katanya antara persiapan yang boleh dilakukan rakyat bagi menjaga kesihatan masing-masing adalah menyimpan air serta makanan yang sihat dan mencukupi selain memperbanyakkan berteduh di kawasan seperti pokok dan bumbung jika keluar dari rumah.

    Dr Zainal Ariffin turut menyarankan kerajaan untuk memastikan perkhidmatan bekalan air awam yang cukup dan cekap, bekalan makanan segar dan murah mudah didapati dan memberi amaran awal kepada rakyat semasa melalui fenomena tersebut.

  • Pengawal keselamatan maut tertimbus runtuhan penahan tebing di Wisma YPR

    Pengawal keselamatan maut tertimbus runtuhan penahan tebing di Wisma YPR

    SEORANG Pengawal Keselamatan maut selepas tertimbus tanah akibat runtuhan penahan tebing di Wisma YPR, Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur awal pagi tadi.

    Penguasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohd Rizuan Razali berkata lelaki berusia 73 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

    Beliau berkata ketika kejadian mangsa sedang bertugas dan berada di dalam pondok pengawal.

    Menurutnya, sebelum kejadian berlaku, terdapat bongkah batu yang jatuh berhampiran pondok pengawal keselamatan itu, pada 8 malam, semalam.

    “Difahamkan, pengawal keselamatan berkenaan hendak membuat laporan berhubung bongkah batu yang jatuh itu namun tidak sempat.

    “Bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.53 tengah malam tadi dan tiba di lokasi kejadian pada 1.05 pagi,“ katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini, labor BERNAMA.

    Mohd Rizuan berkata seramai 41 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Seputeh bagi operasi mencari dan menyelamat.

    Beliau berkata mangsa berjaya dikeluarkan pada kira-kira 6.30 pagi ini dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

    “Setakat ini hanya seorang mangsa yang terlibat manakala lokasi runtuhan diserahkan kepada pihak pengurusan (Wisma YPR),” katanya.

    — BERNAMA

  • ”Sudan-sudahlah..’- Sultan Ibrahim bimbang kestabilan politik tergugat lagi

    ”Sudan-sudahlah..’- Sultan Ibrahim bimbang kestabilan politik tergugat lagi

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim menitahkan supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya perlu diutamakan.

    Sehubungan itu baginda melahirkan kebimbangan berikutan desas-desus berkaitan kestabilan kerajaan yang terus kedengaran biarpun sudah enam bukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berlalu.

    “Rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU15 lalu dan telah memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara.

    “Namun sehingga kini, 222 Ahli Parlimen ini masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina.

    “Keadaan sebegini adalah tidak sihat untuk semua lapisan negara kita baik dari segi sosial, ekonomi mahupun kedudukan kita di peringkat antarabangsa.

    “Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini. Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan,” titah baginda melalui Facebook, hari ini.

    Kestabilan politik negara kembali diperkatakan apabila hari iniAhli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, dilaporkan memberi bayangan gerakan bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan bukan satu spekulasi, malah ia diketahui pimpinan tertinggi dalam kerajaan.

    Berita Harian melaporBeliau dilaporkan turut menyifatkan angka ‘126’ yang dimuat naik dalam satu hantarannya di Facebook kelmarin sebagai signifikan sehingga mencetuskan kemarahan penyokong Kerajaan Perpaduan.

    “Saya kira, angka ini signifikan hingga ramai ‘çyber troopers’ prokerajaan meroyan di laman Facebook saya.

    “Saya fikir pihak sebelah sana (Kerajaan Perpaduan) pun tahu kebenarannya,” katanya .

    Kelmarin, Dr Muhammad Faiz memuat naik catatan di Facebooknya dengan menulis “126 dah…jika benar Alhamdulillah”.

    Hantaran itu menimbulkan persoalan dengan ada yang mengaitkan angka itu sebagai bilangan ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada parti pembangkang.

    Beliau bagaimanapun terus mengunci mulut sama ada angka berkenaan merujuk kepada jumlah kerusi membabitkan ahli Parlimen atau sebaliknya.

  • Dua lelaki pembekal harang kemas dirompak, rugi RM1 juta

    Dua lelaki pembekal harang kemas dirompak, rugi RM1 juta

    DUA lelaki dipercayai pembekal barang kemas berdepan detik cemas apabila barangan bernilai lebih RM1 juta yang dibawa mereka dirompak di belakang sebuah kedai emas, di Kuala Pilah  hari ini.

    Pengurus kedai emas itu Noorhasliza Abd Rahman berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premisnya, kejadian yang berlaku kira-kira 11 pagi tadi menunjukkan kedua-dua mangsa yang membawa dua beg telah diserang dua lelaki memakai topeng hitam.

    “Kejadian berlaku di luar premis ini, dua individu itu adalah pembekal barang kemas, memang keadaan panik dan ia merupakan kejadian pertama berlaku di sini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kedainya.

    Noorhasliza berkata laporan polis telah dibuat dan rakaman CCTV itu telah diserahkan untuk siasatan lanjut.

    Katanya, ketika insiden itu semua pekerja berada di dalam kedai melayan beberapa pelanggan.

    Tinjauan pemberita di kawasan itu mendapati kedai emas berkenaan beroperasi seperti biasa dan pihak polis melakukan sekatan jalan raya di beberapa laluan.

    Berdasarkan rakaman berdurasi 34 saat itu, sebuah kereta berwarna perak dilihat berhenti berhampiran mangsa yang baru keluar daripada kereta, sebelum suspek yang memegang senjata kelihatan seperti parang turun lalu menyerang mereka.

    Mangsa dilihat cuba menyelamatkan diri, namun dikejar dan diserang serta suspek merampas beg yang dibawa mereka, sebelum melarikan diri.

    Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof mengesahkan perkara itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

    “Maklumat lanjut belum diperoleh daripada Ketua Polis Daerah Kuala Pilah. Kami akan maklumkan (perkembangan) dari semasa ke semasa,” katanya.

    — BERNAMA