Author: Wartawan WartaRakyat

  • Umno ganti Amanah dalam pembahagian kerusi PRN Selangor?

    Umno ganti Amanah dalam pembahagian kerusi PRN Selangor?

    PERGOLAKAN berlaku dalam rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan sekutu baharunya Barisan Nasional (BN) berikutan tekanan yang semakin meningkat terhadap Amanah untuk menyerahkan kerusinya kepada calon UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, MalaysiaNow difahamkan melalui sumber daripada parti komponen PH. 

    Sekurang-kurangnya dua individu yang rapat dengan kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) berkata langkah itu mengesahkan kebimbangan terhadap cubaan untuk menggantikan parti itu – dilihat sebagai komponen ‘Melayu’ dan ‘Islam’ PH dengan UMNO, musuh yang menjadi sekutu selepas memberi sokongannya dalam pelantikan Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tahun lalu.

    Walaupun tekanan yang sama turut dirasai di sekurang-kurangnya empat negeri lain – Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Pulau Pinang namun di Selangor, di mana PH sehingga kini berada dalam keadaan selesa, Amanah mungkin paling terjejas disebabkan penjajaran semula politik itu.

    Keselesaan itu berakhir pada pilihan raya lalu apabila kerusi majoriti Melayu menyaksikan peralihan kepada Perikatan Nasional (PN), malah kubu kuat UMNO yang lama dipegang akan menuju ke arah gabungan baru itu.

    Pemerhati berkata Selangor, negeri terkaya di Malaysia dengan perwakilan kaum yang berkadar mencerminkan penduduk negara, akan menjadi perhatian dalam kalangan enam negeri yang akan menjalankan PRN.

    Ini terutamanya disebabkan UMNO kini hanya perlu memberi tumpuan kepada calon Bersatu dan Pas, berikutan keputusan untuk bergabung dengan PH. 

    Pada asasnya ia bermakna PH tidak akan bertanding di kerusi di mana UMNO akan bertanding, terutamanya di kerusi majoriti Melayu. 

    “Jadi kepimpinan PH mesti memutuskan antara dua: rakan setianya Amanah atau rakan barunya UMNO. 

    “Dengan Amanah masih gagal meraih sokongan daripada orang Melayu yang berfikiran pembangkang, terdapat petanda ia akan diketepikan untuk memberi laluan kepada UMNO,” kata seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor. 

    Pada pilihan raya umum lalu, kecuali Hulu Kelang, Amanah banyak menang di kawasan pilihan raya di mana pengundi Cina membentuk lebih daripada 20%, jumlah yang cukup untuk mempengaruhi keputusan yang memihak kepada PH. 

    Tetapi di Hulu Bernam, di mana orang Melayu yang membentuk 70% pengundi, Amanah tewas kepada UMNO.

    Barisan Nasional (BN) masih berjaya merebut empat kerusi di Selangor pada 2018, tahun gabungan itu ditumbangkan daripada kuasa Persekutuan.

    Kemenangan BN berkemungkinan disebabkan perpecahan undi pembangkang antara PH dan Pas. 

    Pas kemudiannya enggan bergabung dengan PH, termasuk Bersatu yang muncul sebagai alternatif kepada penyokong UMNO yang tidak berpuas hati dengan Datuk Seri Najib Razak dan skandal 1MDB. 

    “Kini dengan penggabungan Bersatu dan Pas, dengan asas sokongan Melayu yang kukuh, mungkin akan berlaku lagi rampasan kerusi daripada BN dan PH seperti yang dilihat pada pilihan raya November lalu,” kata seorang bekas calon Amanah di Selangor. 

    Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata, hampir semua kerusi ini kini dituntut oleh Umno sewaktu rundingan, meninggalkan Amanah dengan kerusi di mana terdapat margin selesa pengundi Cina. 

    “Ini pada asasnya bermakna Amanah tidak lagi dianggap sebagai penarik undi Melayu untuk PH, yang merupakan salah satu sebab utama parti itu ditubuhkan untuk menghentikan penghijrahan sokongan Melayu selepas Pas tidak lagi menjadi sebahagian daripada PH.” 

    Amanah ditubuhkan pada 2015 oleh kumpulan yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamad Sabu, tidak lama selepas beliau ditewaskan oleh Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan Pas tahun itu.

    Pengkritik sentiasa menganggap Amanah sebagai ‘boneka’ DAP, memetik hubungan rapat Mohamad dan pemimpin parti lain dengan Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng. 

    Ramai juga menunjukkan bagaimana DAP membenarkan Amanah bertanding di ‘kerusi selamat’ bukan Melayu, termasuk Mohamad sendiri yang diberikan Kota Raja, kubu kuat DAP dengan hanya kira-kira 43% pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum 2018.

    “Hakikatnya secara kosmetik, kemelayuan Amanah kini dipersoalkan, dan menggantikannya dengan UMNO adalah bijak dan wajar dari segi politik jika PH mengekalkan apa jua bentuk sokongan Melayu,” kata seorang ahli politik UMNO Selangor yang berpangkalan di Petaling Jaya. 

    Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri mencadangkan perkara ini secara samar-samar apabila ditanya mengenai perkembangan rundingan kerusi dengan PH. 

    “Soal yang kami utamakan ialah bagaimana pembahagian kerusi itu bukan sahaja dibuat atas rasa kesaksamaan tetapi juga tentang kebolehmenangan.

    “Kita merasakan bahawa bukan sahaja soal kemenangan, tetapi (juga) soal penerimaan pengundi dan ‘likeable’ seseorang calon, iaitu yang disukai dan sesuai dengan cita rasa pengundi di kawasan berkenaan,” katanya.

  • Guan Eng tiada peluang jadi KM Pulau Pinang semula

    Guan Eng tiada peluang jadi KM Pulau Pinang semula

    PINDAAN Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang diluluskan pada 2018 dengan jelas menghalang Pengerusi DAP, Lim Guan Eng daripada kembali menjadi Ketua Menteri semula.

    Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pindaah Perlembagaan Negeri Pulau Pinang itu mula berkuat kuasa mulai 1 Februari 2019.

    “Cadangan untuk meminda Perlembagan Negeri Pulau Pinang itu telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara melalui Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang pada 11 Jun 2018 selain telah dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan pada Julai dan Ogos tahun sama.

    “Akhirnya Perkara 7 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dipinda bagi memperuntukkan kriteria tambahan berhubung dengan kelayakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk dilantik sebagai Ketua Menteri.

    “Melalui pindaan ini, seseorang ADUN tidak boleh dilantik menjadi Ketua Menteri jika ahli (ADUN) berkenaan pernah memegang jawatan Ketua Menteri selama dua penggal,” katanya dalam sidang akhbar di Georgetown hari ini.

    Ini merujuk kepada peruntukan Perkara 7 Fasal 2 (a) (ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang memperuntukkan Ketua Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan orang yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan Ketua Menteri bagi dua penggal.

    Guan Eng yang juga ADUN Air Putih selama tiga penggal pernah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama dua penggal iaitu antara 2008 hingga 2018.

    Kelmarin, sebuah portal berita melaporkan terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat Kon Yeow daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.

    Malah, laporan itu mendakwa, gerakan tersebut dikatakan mahu Guan Eng kembali menerajui kerajaan negeri dengan alasan Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.

    Laporan portal berita itu yang kemudiannya ditarik balik turut menyebut pertemuan dengan tiga ADUN yang tidak berpuas hati berkenaan diadakan Selasa lalu.

    Bagaimanapun, Guan Eng serta sembilan ADUN DAP lain dalam kenyataan bersama kemudiannya menafikan terlibat dalam mana-mana gerakan untuk menyingkirkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri pada PRN akan datang.

    Sementara itu, ditanya sama ada isu penyingkiran beliau sebagai Ketua Menteri tersebut sengaja dimainkan musuh politik DAP memandangkan 10 ADUN DAP menafikan terlibat, Kon Yeow bagaimanapun berkata, beliau tidak pasti pihak mana yang membangkitkan isu tersebut.

    Bagaimanapun, ujar beliau, isu itu turut memberi kesempatan kepada kerajaan negeri untuk menjelaskan mengenai pindaan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang berkaitan lantikan Ketua Menteri berkenaan.

    “Sebelum ini, pihak yang cuba memainkan isu lantikan Ketua Menteri ini tidak begitu faham dengan isu ini, jadi dengan penerangan hari ini mungkin pihak yang cuba memainkan isu ini juga dapat menerima `pendidikan politik’ yang sewajarnya,” katanya.

  • Anwar ikrar heret Jho Low pulang segera, walau berdepan proses sukar

    Anwar ikrar heret Jho Low pulang segera, walau berdepan proses sukar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan tetap membawa pulang ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho ke Malaysia secepat mungkin walaupun proses tersebut sukar.

    Pendirian itu dibuat kata Anwar, selepas kerajaan berunding dengan beberapa negara untuk mempercepatkan proses membawa pulang ahli perniagaan yang terlibat dengan skandal 1MDB itu.

    “Sudah tentu (ingin bawa pulang secepat mungkin). Ia merupakan pendirian (kerajaan) dan kita amat tegas sejak hari pertama lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah di Kuala Lumpur, hari ini.

    Ahli Parlimen Port Dickson itu ditanya jika kerajaan mahu mengheret Jho Low ke negara ini secepat mungkin untuk dibicarakan.

    Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, perundingan secara diplomatik berhubung perkara itu memang telah dijalankan .

    “Namun, kita tidak pernah mendedahkan ia dengan negara mana. Kita tahu kedudukan di mana dia (Jho Low) berada, dan kita berunding bagi mempercepatkan proses,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

    Sebelum ini, penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale’ Bradley Hope mendakwa kerajaan dipercayai berunding dengan China untuk mengekstradisi Jho Low.

    Memetik sumber, Hope yang menulis perkara tersebut dalam satu laman web untuk mengesan Low, turut berkata bahawa rundingan tersebut diadakan semasa kunjungan rasmi Anwar ke republik itu pada Mac lalu.

    Anwar juga enggan mendedahkan sama ada China merupakan antara negara yang terlibat dalam rundingan tersebut.

    “Ia melibatkan banyak negara, perkhidmatan perisikan, Interpol dan lain-lain. Negara-negara (tersebut) bekerjasama. Negara yang saya berhubung memberikan sokongan,” katanya.

    Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan notis merah yang dikeluarkan oleh Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap Low masih aktif.

    Notis tersebut turut membabitkan lima individu lain yang terbabit dalam skandal 1MDB. Antaranya merupakan Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Jasmine Loo, Eric Tan Kim Loong dan Nik Faisal Ariff Kamil.

    Sharnaaz Ahmad kemuka representasi gugur tuduhan cedera pengawal keselamatan.

  • Kerani didakwa cederakan pembantu rumah guna seterika, air panas

    Kerani didakwa cederakan pembantu rumah guna seterika, air panas

    SEORANG kerani wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap pembantu rumahnya.

    Tertuduh, Loke Chee Hui, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistert Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, pagi ini.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah mendatangkan kecederaan menggunakan seterika dan air panas terhadap mangsa yang merupakan warganegara Indonesia.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Brickfields, Kuala Lumpur antara 3 Mac 2022 sehingga 23 April lalu.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Elena Jamaluddin Akbal tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin.

    Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Varghese Onny memohon tertuduh dibenarkan jaminan minima, lapor UtusanTV.

    Majistret Atiqah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin warganegara.

    Sementara itu di Mahkamah Sesyen di sini, tertuduh bersama suaminya, Lum Kah Wai, 44, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeksploitasi pengabdian terhadap pembantu rumah mereka bermula Mac tahun lalu yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama melakukan kesalahan itu terhadap perempuan warga Indonesia yang bukan kanak-kanak dengan menggunakan kekerasan.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama dan antara tarikh yang sama.

    Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 15 tahun serta denda.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah juga tidak mencadangkan jumlah jaminan memandangkan pertuduhan itu dalam kes tidak dijamin.

    Varghese kemudian memohon kedua-dua anak guamnya itu dibenarkan jaminan dengan kadar munasabah.

    Mendengar rayuan itu, hakim Azura membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai selain melaporkan diri di balai polis setiap dua bulan.

    Kedua-dua mahkamah menetapkan 6 Jun depan bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes.

    Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai mendera pembantu rumah sehingga melecur di badan.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, mangsa bekerja di lokasi kejadian selama satu tahun enam bulan dan mendakwa sering dipukul, ditampar dan dicederakan majikan di tangan dengan menggunakan seterika.

  • Pekerja kilang didakwa bunuh pesara

    Pekerja kilang didakwa bunuh pesara

    SEORANG pekerja kilang didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka hari ini terhadap pertuduhan membunuh seorang pesara, Februari lepas.

    Syafiq Raj Kalai Selvan, 27, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Syafiq bersama seorang lagi didakwa menyebabkan kematian Sa’adon Sahat, 57, di belakang bangunan premis tiga tingkat, Jalan PPM 4, Plaza Pandan Malim antara pukul 2.44 pagi hingga 3.10 pagi pada 27 Februari lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha manakala tertuduh diwakili peguam R. Ryshinah.

    Mahkamah menetapkan 22 Jun depan untuk sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan mangsa dilanggar dengan kereta dan diseret kira-kira 20 meter oleh dua pemuda selepas mangsa menegur mereka memasang lagu terlalu kuat di dalam kereta sehingga mengganggu keamanan setempat.

  • Tukar syif atasi kesesakan di pintu masuk Johor-Singapura

    Tukar syif atasi kesesakan di pintu masuk Johor-Singapura

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    FORMULA baharu pertukaran syif akan diguna pakai bagi memastikan semua kaunter imigresen di pintu keluar masuk di Tambak Johor dan SecondLink dibuka pada waktu puncak.

    Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Ruslin Jusoh berkata, pelaksanaan formula baharu itu amat penting dalam memastikan tiada kesesakan pada waktu puncak kerana tiada kakitangan di kaunter akibat pertukaran syif pekerja.

    “Isu berbangkit di dua pintu masuk laluan darat membabitkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah, adalah isu pertukaran syif kakitangan imigresen pada 7 pagi.

    “Waktu puncak di dua pintu masuk laluan darat itu bermula 5 hingga 8 pagi dan pertukaran syif pada 7 pagi mampu merencatkan operasi kaunter, sekali gus menyebabkan kesesakan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan meninjau operasi kaunter JIM di BSI, Johor Bahru pada pagi tadi.

    Sehubunga itu katanya, JIM sedang meneliti formula baharu pertukaran syif 7 pagi termasuk memperkenalkan formula baharu syif ditukar di luar waktu puncak.

    “Insya Allah, formula baharu ini akan diumumkan minggu depan,” katanya dan menambah, isu kesesakan itu dibangkitkan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menerusi beberapa tinjauan bersama JIM minggu ini.

    Sementara itu, Ruslin berkata, CIQ BSI kekurangan hampir 300 kakitangan bagi membolehkan JIM melaksanakan pembukaan semua 284 kaunter secara maksimum pada waktu puncak.

    Ketika ini katanya, CIQ BSI mempunyai 1,074 kakitangan imigresen berbanding 1,347 orang yang diperlukan.

    “JIM akan menempatkan 100 lagi kakitangan baharu di CIQ BSI akhir bulan ini, selepas 231 rekrut tamat latihan pada 20 Mei ini,” ujarnya.

  • Ketidakseragaman negeri sukarkan PRN serentak

    Ketidakseragaman negeri sukarkan PRN serentak

    BEKAS Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar berpendapat, pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri sukar diadakan serentak kerana ketidakseragaman negeri dalam isu politik dan wang.

    “Saya melihat ada masalah di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) untuk mengadakan PRN serentak.

    “Tetapi di Kelantan, Terengganu dan Kedah pimpinan PAS dilihat cenderung tidak mengadakan PRN serentak kerana perancangan mereka sukar dijangka.

    “Negeri kerajaan akan bersepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak, tetapi bagaimana pula bagi negeri di bawah Perikatan Nasional? Mungkin mereka ada perkiraan lain,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Wan Ahmad berkata, jika PRN di enam negeri tidak diadakan serentak, jarak masa terlalu besar antara DUN selepas pembubaran akan menyebabkan SPR terpaksa bekerja dua kali atau lebih.

    Katanya, PRN wajar diadakan serentak dan waktu paling ideal ialah hujung Jun atau Julai ini.

    Beliau berkata, tiada halangan untuk SPR mengadakan PRN ketika itu, sebaliknya cadangan mengadakan PRN pada Ogos kurang sesuai memandangkan ada DUN yang tempoh hayatnya tamat lebih awal.

    “Kalau pembubaran berlaku (untuk semua negeri), yang terbaiknya dalam tempoh satu atau dua minggu dari pembubaran DUN pertama, maka semua DUN mempunyai masa dan memberi ruang untuk SPR menetapkan satu tarikh selari.

    “Saya sentiasa menggesa dan berharap PRN akan berlaku serentak. Kalau ada negeri yang meletakkan kepentingan politik mengatasi perkara lebih mustahak, maka akan berlaku penjarakan agak luas antara satu DUN dengan yang lain.

    “Sebab itu, kalau tidak hujung Jun, maka Julai adalah (masa) terbaik kerana masuk bulan Ogos, kerajaan perlu menumpukan sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.

    Bulan lalu, Wan Ahmad dilaporkan berkata, kerajaan boleh jimat sehingga RM100 juta jika enam negeri mengadakan PRN serentak, di mana kos itu hanya RM400 juta berbanding RM500 juta jika diadakan berasingan.

    Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, PRN di enam negeri perlu diadakan sebelum cuti sekolah bermula 25 Ogos ini, jika mahu diadakan serentak.

    Februari lalu, menteri besar dan ketua menteri enam negeri itu dilaporkan mencapai persetujuan membubarkan DUN masing-masing dalam tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

    Penggal DUN Selangor akan tamat 26 Jun ini, Kelantan (28 Jun), Terengganu (1 Julai), Negeri Sembilan (2 Julai), Kedah (4 Julai) dan Pulau Pinang (2 Ogos).

  • Tun M fail saman RM150 juta terhadap Anwar

    Tun M fail saman RM150 juta terhadap Anwar

    TUN Dr. Mahathir Mohamad memfailkan saman fitnah RM150 juta terhadap Dartk Seri Anwar Ibrahim kerana mendakwa beliau memperkayakan dirinya, keluarganya dan rasis, antara lain.

    Bekas perdana menteri berusia 97 tahun itu menuntut ganti rugi am RM50 juta dan teladan sebanyak RM100 juta.

    Katanya, dakwaan itu mencalar imejnya sebagai negarawan dan bekas perdana menteri, lapor FMT.

    Terdahulu Warta Rakyat melaporkan, Dr. Mahathir meneruskan saman terhadap Anwar berhubung tuduhan beliau mengumpulkan kekayaan untuk diri dan keluarga beliau yang disifatkannya sebagai fitnah yang teruk.

    Pada 28 Mac, Dr. Mahathir memberi tempoh tujuh hari kepada Anwar untuk menarik balik tuduhannya terhadap beliau yang dibuat semasa Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 18 Mac lalu.

    Difahamkan, tempoh itu kemudiannya dilanjutkan kepada dua minggu.

    Anwar dalam ucapannya antara lain berkata ‘ada orang’ yang memimpin negara ‘selama 22 tahun ditambah 22 bulan’ kini bercakap mengenai nasib orang Melayu.

    “Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu.

    “Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat,” kata Anwar.

    Mahathir berkata perdana menteri tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian tanpa bukti yang jelas.

  • Rasuah, penguatkuasaan lemah jadi halangan perdagangan di Malaysia, Asia Tenggara

    Rasuah, penguatkuasaan lemah jadi halangan perdagangan di Malaysia, Asia Tenggara

    PENGUATKUASAAN yang lemah dan rasuah di sempadan dan hab logistik kekal menjadi cabaran bagi aktiviti perdagangan di Malaysia dan Asia Tenggara.

    Sebuah badan pemikir berpangkalan di Amerika Syarikat berpendapat Malaysia dikaitkan sebagai sumber untuk perdagangan haram bagi segala-galanya.

    “Daripada rokok kepada minyak sawit, produk perhutanan, hidupan liar dan banyak lagi,” katanya memetik laporan FMT.

    Sebelum ini dilaporkan kerajaan kehilangan lebih RM15 bilion hasil antara 2018 dan 2020 akibat kegiatan penyeludupan rokok.

    Menurut Kajian Rokok Haram oleh firma analisis Nielsen, rokok haram menyumbang 56.6 peratus daripada rokok yang dijual di negara ini tahun lalu.

    Sementara itu, jabatan kastam merampas barangan terlarang berkaitan hidupan liar dianggarkan bernilai kira-kira RM73.4 juta tahun lalu.

    Philip Thompson daripada Tholos Foundation berkata, kerajaan boleh melaksanakan rejim penguatkuasaan perdagangan lebih ketat, dan memuktamadkan rundingan perdagangan dengan rakan kongsi mengenai penguatkuasaan bersama atau perkongsian maklumat dan penyelarasan bagi membendung aktiviti perdagangan haram.

    “Langkah ini akan membantu meningkatkan kemudahan perdagangan Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata, pada masa akan datang, Malaysia mempunyai pilihan sama ada meneruskan liberalisasi pendekatannya terhadap perdagangan global atau mencontohi negara jiran serantau dalam melaksanakan halangan perdagangan digital dan strategi perindustrian bersifat populis.

    Jika Malaysia memilih untuk terus meliberalisasikan pendekatannya terhadap perdagangan, katanya, beberapa pembaharuan kepada sekatan perkhidmatan diperlukan bagi menunjukkan bahawa negara terbuka kepada perniagaan asing yang bersaing dalam sektor utama seperti perbankan dan telekomunikasi.

  • Gantung tugas menteri di bawah peraturan sama ke atas pegawai kerajaan

    Gantung tugas menteri di bawah peraturan sama ke atas pegawai kerajaan

    JEMAAH menteri dan ahli Parlimen yang terlibat dengan kes rasuah dan salah guna kuasa perlu digantung tugas di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

    Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan berkata, ini kerana peraturan tersebut hanya terpakai kepada pegawai kerajaan.

    Jelasnya, mereka yang sedang disiasat atau didakwa di mahkamah boleh digantung kerja sekiranya terlibat dengan kes tatatertib.

    “Sepatutnya peraturan yang sama terpakai buat menteri, tetapi jika dilihat senario pada hari ini seakan tidak terjadi kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik individu terlibat kes rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya lapor Sinar Harian.

    Pada 13 April lalu, Ketua Pesuruhjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan setiausaha sulit dan pegawai tugas-tugas khas kepada Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar Sivakumar ditahan.

    Pegawai tugas-tugas khas beliau ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pengambilan pekerja asing.

    Wan Azliana berkata, tindakan menggantung beberapa pegawai tersebut merupakan langkah yang tepat kerana bersesuaian dengan peraturan tersebut.

    Menurut beliau, sekiranya perbuatan itu didapati benar maka ia tidak boleh dipandang mudah memandangkan segala urusan yang melibatkan kerajaan tidak boleh mengambil sebarang ‘upah’ atau habuan.

    “Isu membanteras rasuah tidak seharusnya dijadikan retorik tetapi apabila melihat ada jemaah menteri dalam kalangan kluster mahkamah keadaan akan bertambah parah lebih-lebih lagi ia melibatkan integriti negara,” katanya.