Author: Wartawan WartaRakyat

  • Peniaga nasi lemak didenda RM8,000 terima, jual pelekat gigi palsu

    Peniaga nasi lemak didenda RM8,000 terima, jual pelekat gigi palsu

    SEORANG peniaga nasi lemak didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku salah atas kesalahan menerima harta curi berupa pelbagai barangan milik pasar raya dan kedai pada 2021.

    Hukuman itu dijatuhkan Hakim Darmafikri Abu Adam selepas tertuduh, Wan Azrul Affendy Yunos, 48, membuat pengakuan itu dengan pertuduhan pilihan serta menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

    Darmafikri turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda itu.

    Mengikut pertuduhan pilihan, Wan Azrul Affendy didapati dengan niat curang menerima harta curi keseluruhan berjumlah RM8,000 milik kedai Watson Taman Paya Rumput Utama, Pasaraya Econsave Lebuh Ayer Keroh, Pasaraya 99 Speedmart Batu Berendam dan Pasaraya Econsavce Sungai Udang.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di No S1 118, Jalan Ayer Molek Perdana 5, Taman Ayer Molek Perdana pada 29 Julai 2021, pukul 1.20 tengah hari.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin menjalankan pendakwaan manakala tertuduh diwakili Peguam Lailawati Husain.

    Mengikut fakta kes, tertuduh ditangkap di sebuah chalet di Pengkalan Balak, hasil siasatan polis berhubung kecurian di beberapa pasar raya.

    Pelbagai jenis barangan termasuk mentega kacang, pencuci muka, ubat gigi, pelekat gigi palsu, pewangi badan, minyak wangi, coklat dan minyak rambut bernilai keseluruhan RM8,000 turut dirampas daripada tertuduh.

    Hasil siasatan, tertuduh mengaku membeli semua barangan curi itu daripada dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia sebelum menjualnya secara dalam talian.

    Terdahulu, Lailawati memohon tertuduh yang juga bapa kepada dua anak dikenakan denda minimum kerana sudah insaf selama direman 11 hari ketika siasatan kes itu bermula 25 Julai 2021 selain itu kesalahan pertamanya.

    Aliff Asraf bagaimanapun berhujah supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat untuk tidak mengulangi kesalahan sama.

    “Berdasarkan fakta kes dan eksibit diakui tertuduh jelas menunjukkan dia menerima dan membeli barangan curi daripada dua individu dan menyimpannya di rumah sewa.

    “Tertuduh juga menjual barang curi itu secara dalam talian di Shopee dan secara curang mengaut keuntungan untuk dirinya,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Lelaki maut digilis komuter selepas baring atas landasan

    Lelaki maut digilis komuter selepas baring atas landasan

    SEORANG lelaki maut digilis komuter selepas baring atas landasan kereta api dekat Seputeh Kuala Lumpur, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian pada pukul 1.08 petang.

    Siasatan awal polis mendapati mangsa telah bertindak baring di atas landasan kereta api sebelum dirempuh sebuah komuter yang menghala dari stesen Salak Selatan ke Seputeh.

    “Mangsa merupakan seorang lelaki dengan bangsa tidak pasti, berambut pendek, berbaju dan seluar berwarna hitam.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi polis Brickfields di talian 03-22979222 bagi membantu pengecaman mayat ini.

  • Polis tahan Jurulatih bola ugut adik ipar

    Polis tahan Jurulatih bola ugut adik ipar

    POLIS menahan seorang jurulatih bola sepak kerana mengugut adik ipar lelaki berkaitan perselisihan faham di kediaman keluarganya di Taman Cheras Indah, Ampang Jaya, kelmarin.

    Mangsa berusia 31 tahun itu pada mulanya datang ke kediaman keluarga mentuanya pada pukul 2 pagi Selasa lalu namun berlaku perselisihan dengan abang iparnya berusia 41 tahun itu.

    Suspek turut bertindak mengugut mangsa dengan pisau menyebabkan dia yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian tampil membuat laporan polis.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bertindak atas maklumat kes ugutan jenayah di sebuah rumah di Taman Cheras Indah, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya membuat tangkapan ke atas suspek di kediaman terbabit.

    “Punca kejadian adalah perselisihan faham dalam keluarga. Pihak polis juga sudah merampas beberapa barang kes disyaki digunakan dalam kes ini.

    “Semakan rekod jenayah lampau dapati suspek mempunyai satu rekod jenayah tidak dikehendaki.

    “Ujian saringan awal air kencing juga dapati negatif di mana suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

  • Tagline #PenangTryyyKalih Pas Pulau Pinang dapat sambutan rakyat

    Tagline #PenangTryyyKalih Pas Pulau Pinang dapat sambutan rakyat

    TAGLINE #PenangTryyyKalih yang diperkenalkan Pas Pulau Pinang minggu lalu kini mula tular di dalam media sosial khususnya dalam kalangan penduduk negeri itu.

    Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yussof berkata, pihaknya bersyukur tagline hasil cetusan idea sayap Pemuda Pas negeri itu berjaya menarik perhatian penduduk Pulau Pinang dengan pantas.

    Ujarnya, tagline itu diperkenalkan Pas Pulau Pinang dalam berdepan gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi sekali gus berharap dapat membantu Perikatan Nasional (PN) menawan negeri itu yang sebelum ini dikuasai DAP.

    “Kami sangat bersyukur dengan perkembangan positif ini dan Pas bersama gabungan PN Pulau Pinang juga telah bersedia sepenuhnya untuk memastikan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini dimenangi calon PN pada PRN nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Muhammad Fauzi berkata, pihaknya yakin gelombang perubahan sokongan terhadap PN di Pulau Pinang serta serta di negeri lain pada PRN kelak akan berlaku berdasarkan situasi politik semasa.

    Malah, beliau turut menyifatkan bukan sesuatu yang mustahil untuk PN menawan Pulau Pinang sekiranya perubahan sokongan pengundi seperti ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berterusan pada PRN kelak.

    Dalam masa sama, ujar beliau, Pas Pulau Pinang juga sudah mempunyai calon-calon yang sesuai untuk bertanding mewakili parti itu pada PRN nanti.

    “Pengumuman mengenainya akan dibuat bersama parti-parti komponen PN yang lain tidak lama lagi,” katanya.

  • Wanita Vietnam didakwa serang polis guna gunting

    Wanita Vietnam didakwa serang polis guna gunting

    SEORANG wanita warga Vietnam yang mengacu gunting kepada pegawai polis yang cuba meleraikan pertengkarannya bersama teman lelaki bulan lalu, membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.

    Tertuduh, Nguyen Thi Cam Nhung, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan mengacukan gunting terhadap Inspektor Mohd. Shahrol Firrdaus Senawi, lapor Astro Awani.

    Kesalahan itu dilakukan di Silverscape Resident, Element Mall, Melaka Tengah, kira-kira pukul 9.30 malam 16 April lalu.

    Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh mengaku bersalah menghalang tugas penjawat awam yang dilakukan di tempat, tarikh dan masa yang sama di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

    Jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
    Bagaimanapun, mahkamah menolak pengakuannya itu susulan tertuduh tidak konsisten dengan keputusan itu.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh yang diwakili peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah.

    Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga Malaysia bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat pasport diserah kepada mahkamah.

    Mahkamah turut menetapkan kes disebut semula pada 13 Jun ini untuk serahan dokumen dan mengunakan khidmat jurubahasa Vietnam.

  • Komunikasi palsu:Pengerusi MyWatch dilepas dan dibebaskan

    Komunikasi palsu:Pengerusi MyWatch dilepas dan dibebaskan

    PENGERUSI Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R. Sri Sanjeevan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berkaitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Twitter, tiga tahun lalu.

    Hakim, Datuk M. M. Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sanjeevan, 39, selaku Orang Kena Saman (OKS), di akhir kes pendakwaan.

    “OKS dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri dan wang jaminan dikembalikan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam kes ini, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal manakala peguam, S Preakas dan Miguel Sequerah mewakili Sanjeevan.

    Perbicaraan kes itu yang bermula Jun 2020 lalu, telah memanggil lapan saksi pendakwaan.

    Pada 5 Jun 2020, Sanjeevan didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berkaitan PDRM.

    Tertuduh didakwa dengan niat menganiayai orang lain melalui aplikasi Twitter @SanjeevanSS dan dibaca di Pejabat Komunikasi, Aras 2, Menara 1, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada 7 April 2020, pada jam 3.15 petang.

    Ahli perniagaan itu juga dituduh melakukan perbuatan sama melalui aplikasi Twitter @My_CrimeWatch yang dibaca pada 17 Mei 2020, 8.15 pagi di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di Kuala Lumpur.

    Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu, pada 18 Mac, 4.20 petang dan 16 Mei 2020, pada 9.07 malam mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika disabitkan kesalahan boleh boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

    Sanjeevan ketika ditemui pemberita bersyukur dengan keputusan hari ini dan berterima kasih kepada pasukan peguam sepanjang mengendalikan kes tersebut.

  • Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia meninggal dunia

    Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia meninggal dunia

    BEKAS Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid meninggal dunia di kediamannya di Desa Pinggiran Putra pada pukul 12.30 tengah hari ini.

    Sumber dari kerajaan mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa beliau sebelum ini bergelut dengan kanser.

    Bagaimanapun, tiada butiran tambahan berkaitan penyakitnya diberikan. Allahyarham berusia 66 tahun.

    Menurut sumber itu, allahyarham akan disolatkan di Surau Al Ikhwan Desa Pinggiran Putra, Kajang pada jam 3 petang ini dan kemudiannya akan dikebumikan di Pusara Taman Raudhatul Jannah KLM pada jam 4 petang nanti.

    Hasanah sebelum ini dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia empat tahun lalu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, antara 30 April dan 9 Mei 2018.

    Pertuduhan itu, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

  • Kami nak satukan Melayu, bangsa lain tak perlu ‘iri hati’

    Kami nak satukan Melayu, bangsa lain tak perlu ‘iri hati’

    MASYARAKAT bukan Melayu tidak perlu risau dengan langkah beberapa pemimpin Bersatu menyokong Proklamasi Orang Melayu yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Menurut Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, ini kerana usaha tersebut cubaan untuk menyatukan komuniti yang berpecah.

    “Masyarakat Melayu kini dalam keadaan berpecah dari segi politik, termasuk dalam kalangan badan bukan kerajaan yang mewakili kepentingan komuniti itu.

    “Ada orang nak cuba satukan Melayu, jadi bangsa lain tak perlu iri hati. Ini bukan isu politik,” tegasnya kepada FMT, menjawab teguran seorang pemimpin parti sekutu.

    Semalam, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong, secara peribadi kecewa dengan langkah Razali serta pemimpin Bersatu lain seperti Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menandatangani proklamasi itu.

    Difahamkan ia ditandangan atas kapasiti peribadi. Turut menyokong proklamasi itu Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang.

    Beliau menyifatkan langkah mengaktifkan gerakan berasaskan kaum sebagai tidak wajar, ketika pembangkang seharusnya bersatu membangunkan ekonomi rakyat yang semakin tertekan.

    Razali menjelaskan, mereka menyokong proklamasi kontroversi itu ‘untuk kepentingan orang Melayu’, sesuatu yang mungkin tidak difahami oleh Oh.

    “Bangsa lain jangan risau. Jangan politikkan Proklamasi Orang Melayu,” katanya.

    Razali menambah partinya tetap komited kepada perjuangan Perikatan Nasional, yang dibuktikan menerusi aktiviti-aktiviti gabungan yang disertai Bersatu.

    “Kita dah tandatangan sertai PN, dan kita turun untuk PN,” katanya, lapor FMT.

    Proklamasi tersebut belum diumumkan secara rasmi setakat hari ini.

  • Tembak mati rakan disangka kijang, lelaki dipenjara 1 tahun

    Tembak mati rakan disangka kijang, lelaki dipenjara 1 tahun

    SEORANG lelaki yang menembak rakannya disangkakan kijang di kawasan hutan Muka Sauk, Jelebu, minggu lalu dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol.

    Hukuman itu dijatuhkan Majistret Norshazwani Ishak selepas Amran Abd Razak, 51, mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

    Tertuduh turut didenda RM2,000 dan boleh dipenjara dua bulan, jika gagal membayar denda itu, menurut Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, Amran didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian lelaki berusia 62 tahun di kawasan hutan Muka Sauk, Jelebu, 3 pagi 24 April lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Di mahkamah sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dan 13 butir peluru hidup serta tiga butir kelongsong jenis 12 bore pelbagai warna.

    Kesalahan itu dilakukan di kawasan semak di tepi Jalan Muka Sauk, Kuala Klawang, pada 6.30 petang 26 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

    Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • SPRM bawa pulang individu terlibat kes 1MDB, SRC

    SPRM bawa pulang individu terlibat kes 1MDB, SRC

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membawa pulang seorang individu yang terlibat dalam siasatan kes 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

    Menurut sumber, individu itu yang disiasat kerana disyaki menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB dan SRC, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada pada 3.30 pagi, 3 Mei lepas.

    Sebaik tiba di KLIA2, beliau yang menghilangkan diri sejak 2018 diserahkan notis untuk hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 10 pagi kelmarin.

    Pegawai SPRM merakamkan keterangan beliau dan penggeledahan rumah dilakukan pada hari sama.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

    Menurut sumber, adalah dipercayai siasatan SPRM mendapati individu itu menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB dan SRC melalui akaun bank sebuah syarikat, yang dikenali sebagai Wright Shaw Limited.

    SPRM sebelum ini menyita akaun bank milik Wright Shaw Limited berjumlah kira-kira USD5.2 juta, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura (CAD Singapura).

    Siasatan juga mendapati individu itu menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

    Dalam perkembangan berasingan, SPRM pada 26 April berjaya membawa pulang wang dianggarkan berjumlah RM16 juta daripada sebuah syarikat, Totality Limited, milik bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan 1MDB, Tang Keng Chee.

    Menurut sumber, Tang terlibat dengan 1MDB ketika ia dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) sehingga 2021.

    “Konspirasinya adalah untuk mengelirukan bank dan menyembunyikan fakta tertentu daripada lembaga pengarah 1MDB untuk memindahkan USD700 juta kepada Good Star Ltd, yang didakwa dimiliki oleh Low Taek Jho,” kata sumber itu lagi, lapor FMT.

    SPRM dipercayai telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Tang pada 29 Jun 2018, yang masih tidak dapat dikesan.

    Setakat ini, SPRM berjaya mendapatkan kembali kira-kira 70% daripada aset 1MDB, membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 billion.