Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bau busuk disangka dari tandas rupanya disebabkan mayat belakang rumah

    Bau busuk disangka dari tandas rupanya disebabkan mayat belakang rumah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SANGKAAN seorang individu bahawa bau busuk di rumahnya datang dari tandas, meleset apabila dia kemudiannya menemukan pula mayat seorang wanita di belakang kediaman tersebut di Taman Perpaduan, Sungai Petani , Kedah, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 5.47 petang.

    Katanya, saksi mendakwa pada mulanya dia menyangka bau busuk di rumahnya berpunca daripada tandas.

    “Individu berkenaan lalu membasuh tandas rumahnya namun bau busuk itu tidak hilang.

    “Dia kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut dengan membuka pintu belakang. Sebaik membuka pintu belakang, dia ternampak mayat seseorang dalam longkang,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan dijalankan pihak polis mendapati mayat wanita itu hanya berpakaian baju kelawar tanpa pakaian dalam.

    Zaidy berkata, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah melakukan pemeriksaan di tempat kejadian dan mayat wanita terbabit trlah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

    Katanya, sesiapa yang memiliki maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga, diminta tampil bagi menyalurkan maklumat ke balai polis terdekat.

    “Buat masa ini polis mengklasifikasikan sebagai mati mengejut sebelum mendapat keputusan hasil bedah siasat,” katanya.

  • Tiada agenda pancing undi Melayu melalui Proklamasi Melayu

    Tiada agenda pancing undi Melayu melalui Proklamasi Melayu

    Oleh BADLISHAH MAT

    PROKLAMASI Melayu yang ditandatangani pimpinan Pas baru-baru ini bukan platform untuk parti itu meraih sokongan orang Melayu agar memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, gagasan berkenaan juga tidak melibatkan isu parti politik, sebaliknya di luar daripada kerangka politik.

    Malah, proklamasi itu turut tidak menjurus kepada komplot untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    “Kita rangka lebih awal sebelum ada apa-apa berita akan berlaku PRN lagi. Sepatutnya dilancar pada Mac, oleh itu ia tidak ada kaitan dengan PRN.

    “Tetapi disebabkan ketika itu semua premis yang dimohon dibatalkan di saat akhir sebanyak empat kali, ia menimbulkan keadaan untuk kita putuskan operasi gagasan ini dilakukan melalui pertubuhan atau individu yang menandatangani dan menyokong proklamasi tersebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar hari ini.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim juga menolak dakwaan yang mengaitkan kerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui proklamasi tersebut ada kaitan dengan pembekuan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Tak ada kena mengena dengan pembekuan akaun Bersatu. Kita terbuka menerima semua pihak yang mahu bersama dengan PN,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau menegaskan Pas tiada kaitan dengan dakwaan wujud usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan termasuk memiliki akuan sumpah berkanun (SD).

    Namun, pihaknya bersedia terhadap sebarang kemungkinan, selagi perkara itu berada dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan dan dibenarkan secara demokrasi.

    “Selagi dibenarkan undang-undang dalam sistem negara kita, kita anggap sebagai sah daripada aspek Perlembagaan. Kalau sekiranya ada gerakan, tak ada masalah dan tak wajar ada isu.

    “Saya pun tidak tahu siapa yang mulakan dengan mainan nombor (SD). Kami tiada kaitan. Lagipun isu SD ini tidak melibatkan ia perlu dibawa kepada Perdana Menteri,” katanya.

  • Rumah terbuka Pas di Kedah tak guna dana kerajaan negeri

    Rumah terbuka Pas di Kedah tak guna dana kerajaan negeri

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGANJURAN Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Alor Setar, hari ini sama sekali tidak menggunakan dana kerajaan negeri, malah bukan untuk menyaingi Rumah Terbuka Malaysia Madani yang diadakan Kerajaan Persekutuan di Kedah, minggu lalu.

    Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan serentak oleh Pas pusat dan negeri itu berbeza kerana dianjurkan sepenuhnya oleh parti politik.

    “Saya nampak sambutan kepada rumah terbuka anjuran parti-parti politik sangat meriah di Kedah. Mungkin kerana menjelang pilihan raya. Menu pun sedap-sedap. Tapi menu kita dibuat oleh kawasan-kawasan (Pas) dan negeri-negeri, tak pakai kementerian-kementerian,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka tersebut yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan kepimpinan-kepimpinan lain.

    Terdahulu, Muhammad Sanusi ketika menyampaikan ucapan berkata, majlis rumah terbuka Pas itu juga dilakukan di premis parti yang membantu mereka lebih berjimat berbanding diadakan di lokasi lain.

    “Saya nak maklum sehingga ke peringkat majlis sambutan raya pun kita cukup cermat untuk guna dana kerajaan. Rumah terbuka Menteri Besar Kedah buat atas nama kerajaan negeri 100 peratus, sepatah pun tidak ada perkataan untuk undi Perikatan Nasional (PN),” katanya.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mengajak ahli gabungan itu untuk mengekalkan istiqamah berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Marilah kita bekerja hanya 60 hari lagi nak hadapi PRN. Apa yang kita lakukan dalam kerajaan negeri setakat ini adalah paling baik yang kita mampu buat. Jom kita gandakan apa yang kita sudah lakukan.

    “Kita bertanding semua kerusi DUN Kedah, saya percaya paling banyak Pakatan Harapan (PH) boleh menang pun tiga kerusi. Kalau boleh nak ambil semua tapi depa kata taruh beda (simpan) untuk berubat sama,” katanya.

    Tambah beliau, Kerajaan Perpaduan sudah menampakkan tanda-tanda ketidak sepakatan biarpun baru lima bulan mentadbir.

    Sementara itu , beliau memberitahu telah menyerahkan wang kepada peguamnya untuk membayar saman fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar minggu lalu.

    “Peguam saya sedang urus dengan peguam dia. Itu saya kata hal ini peguam dengan peguam sebab kita dah lantik peguam masing-masing. Tak payah guna Facebook, TikTok apa semua tu. Tak ada isu bankrap tak bayar, semua diurus peguam. Dia nak tumpang populariti saya. Dia telah tenggelam, kalau 31,000 (majoriti undi kalah) apa jalan lagi nak naikkan nama dia balik.

    “Saya dengar dia nak bertanding di Derga atau Pengkalan Kundur. Jadi siapa yang tengah top sekarang ni, dia tumpang orang itulah. Tak dak kes pun dia cerita kes supaya nama dia boleh naik. Itu politik Mahfuz, sejak muda sampai tua, Kita kenal dia,” katanya.

  • ”Saya tak pernah mimpi setiap minggu..yang hang mengigau pasai apa” – Hamzah

    ”Saya tak pernah mimpi setiap minggu..yang hang mengigau pasai apa” – Hamzah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan beliau tidak pernah memiliki hasrat seperti dinyatakan Perdana Menteri bahawa pembangkang yang didakwa memiliki akuan sumpah berkanun (SD) cukup untuk membentuk kerajaan.

    Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, adalah lebih penting untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri berbanding menyatakan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan ketika sudah menjadi kerajaan.

    Tambahnya, berkemungkinan Anwar sebenarnya kini yang mengigau kerana takut dengan kedudukannya yang mungkin akan diambil alih.

    “Semalam saya dengar ada seorang bagitau bahawa saya mimpi tiap-tiap minggu, saya nak maklum kepada beliau saya tak pernah mimpi pun tiap-tiap minggu. Saya nak bagitau yang hang mengigau tu pasai apa, saya tak cakap apa pun.

    “Sejak dia jadi Perdana Menteri, saya cakap hanya dalam Parlimen bagitau dia hang la ni bukan lagi ketua pembangkang, yang jadi ketua pembangkang saya dan yang nak buat cerita bukan-bukan pasai apa,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar hari ini.

    Anwar menggesa pembangkang supaya membawa akuan SD menyatakan sokongan Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu selepas terdapat cakap-cakap ada gerakan dicetus PN yang didakwa sudah cukup menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

    Sebelum menyifatkan Hamzah sebagai ‘mengigau’, Anwar terlebih dahulu melabel Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengigau dan tidak mengendahkan ramalan Ahli Parlimen Marang itu bahawa kerajaan pimpinannya akan tumbang tidak lama lagi.

    Menjelas lanjut, Hamzah berkata, disebabkan Anwar yang memintanya untuk bermimpi dan mengigau membentuk kerajaan, maka beliau mengajak semua pihak untuk berdoa agar perkara itu menjadi kenyataan.

    “Saya selama ini rilek sahaja, tak pikiaq apa pun tapi la ni dia suruh saya mimpi, cita-cita. Kita semua berdoa semoga apa yang dia katakan bahawa kita ada nombor, angka atau jumlah itu akan tercapai untuk kita ambil alih (kerajaan) daripada dia, padan muka dia.

    “Kita doa lah sama-sama perjuangan kita dirahmati Allah kerana kita tahu hari ini rakyat tertunggu-tunggu masa depan lebih baik. Kalau dulu depa kata kerajaan yang kurang baik, hari ini nak maklum kerajaan yang ada lebih teruk daripada mana-mana kerajaan yang sebelum ini,” katanya.

  • PN   istiqamah jadi pembangkang, tak kumpul akuan bersumpah jatuhkan kerajaan – Ahmad Faizal

    PN   istiqamah jadi pembangkang, tak kumpul akuan bersumpah jatuhkan kerajaan – Ahmad Faizal

    PERIKATAN Nasional tidak melakukan sebarang gerakan mengumpul  akuan bersumpah untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

    Ketika menegaskan prekära itu, Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi berkata, PN memiliki Hanya 74 kerusi dan akan terus istiqamah menjadi pembangkang.

    ‘’Kita sedar perlu menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang yang berwibawa dan ia akan diteruskan,’’ katanya kepada wartawan di Majlis Aidilfitri DUN Gombak Setia, hari ini.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, fokus PN kini tertumpu kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dijangka Jun.

    “Fokus PN ke arah untuk kekalkan kerajaan di Terengganu, Kelantan dan Kedah serta cuba mencari jalan ambil alih Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    “Dalam semangat Syawal ini, kita tak perlu fikir berkenaan perkara itu (ambil alih kerajaan), biar fokus khidmat kepada rakyat dan eratkan silaturrahim. Itu yang perlu dibuat,” katanya. 

    Sementara itu bekas Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata,  Perlembagaan membenarkan pertukaran kerajaan dilakukan.

    “Pertukaran kerajaan bukan perkara luar biasa atau perkara tidak boleh dilakukan kerana perlembagaan membenarkan untuk sesebuah kerajaan dirombak apabila gagal memenuhi aspirasi rakyat.

    “Inilah keluhan rakyat ketika ini, apabila kerajaan yang dibentuk selepas PRU (pilihan raya umum) tidak mampu menyelesaikan isu ekonomi, kos sara hidup dan lebih banyak bercakap daripada bertindak.

    “Selagi ia terikat dengan peruntukan perlembagaan dan peruntukan undang2, ia boleh dilakukan,” katanya. 

  • B40,M40 paling terjejas, Hassan gesa Anwar, Rafizi jelas kenaikan OPR

    B40,M40 paling terjejas, Hassan gesa Anwar, Rafizi jelas kenaikan OPR

    AHLI Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim minta Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjelaskan kenaikan kadar faedah terbaharu oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

    Katanya, langkah bank pusat berkenaan tidak selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi dan menangani kos sara hidup yang

    Hassan juga berkata Presiden PKR Anwar dan timbalannya Rafizi akan bersetuju bahawa golongan B40 dan M40 akan paling terjejas oleh kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3%.

    “B40 dan M40 merupakan 80% rakyat Malaysia. Mereka menghadapi masalah kewangan dan ekonomi sekarang. Saya berharap Rafizi dan Anwar, yang juga menteri kewangan perlu jelaskan kepada rakyat tentang kenaikan kadar OPR ini.Jadi saya tidak mahu rakyat di enam negeri yang akan berdepan dengan pilihan raya negeri menempelak kerajaan dengan pertanyaan mengenai kenaikan OPR,” katanya lapor FMT.

    Kritikannya itu susulan kenyataan Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin semalam yang mempersoalkan sama ada Anwar, sebagai menteri kewangan, adalah “menteri untuk pemilik bank atau untuk rakyat?”.

    Hantaran Ahli Parlimen GPS itu dilampirkan pada satu laporan berita mengenai Anwar yang mengkritik pendahulunya Tengku Zafrul Aziz untuk kenaikan OPR pada 2022, di mana beliau telah mengemukakan perkara sama kepada Zafrul semasa berkempen pada PRU15 November lalu.

  • Inspektor antara enam anggota polis Jerantut ditahan minta rasuah RM5,000

    Inspektor antara enam anggota polis Jerantut ditahan minta rasuah RM5,000

    ENAM anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut direman sehingga 11 Mei ini, bagi membantu siasatan berhubung kes meminta rasuah berjumlah RM5,000.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini berkata perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Temerloh, Mohamed Shah Reza Noor Azman.

    Menurut kenyataan itu kesemua mereka ditahan petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Temerloh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

     Mereka didakwa melakukan perbuatan itu Rabu lepas, apabila dikatakan meminta suapan daripada seorang lelaki bagi menyelesaikan kes serbuan serta penemuan air ketum di rumah lelaki berkenaan.

    Selain inspektor yang berumur 36 tahun, lain-lain anggota polis yang ditahan adalah mereka yang berpangkat Lans Koperal, Koperal dan Sarjan Mejar, yang berumur antara 28 dan 46 tahun, semuanya bertugas di Bahagian Narkotik IPD berkenaan.

  • Kemalangan libat 7 motosikal : Remaja maut,6 cedera 

    Kemalangan libat 7 motosikal : Remaja maut,6 cedera 

    SEORANG remaja lelaki maut, manakala enam lagi cedera selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara- Selatan arah utara di Seremban pada 2.40 pagi tadi.

    Ketua Polis Seremban, Nanda Maarof, berkata berkata kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135 LC milik remaja berusia 19 tahun tersebut hilang kawalan lalu terbabas di lorong tengah lebuh raya itu.

    Katanya, ia menyebabkan enam penunggang motosikal lain berusia antara 17 hingga 21 tahun termasuk seorang wanita berusia 21 tahun, yang cuba mengelak berlanggar sesama sendiri.

    “Akibat pelanggaran, remaja itu yang dalam perjalanan dari Senawang ke Ampang, Selangor cedera parah di hampir keseluruhan bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata dua lagi mangsa lelaki masing-masing berumur 21 tahun dan 18 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan kaki, manakala empat lagi luka ringan di tangan dan kaki.

    Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk dibedah siasat, manakala mereka yang cedera menerima rawatan di zon merah dan zon kuning hospital berkenaan.

    Nanda berkata mana-mana individu yang menyaksikan kemalangan atau mempunyai rakaman video berkaitan kes itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • PRN: Noh lebih minat sokong calon muda

    PRN: Noh lebih minat sokong calon muda

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar lebih berminat untuk menyokong calon muda yang diketengahkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini.

    “Negara memerlukan pemimpin pelapis yang berketrampilan sekali gus mampu mencorak dan menentukan masa depan negara.

    “Ketika ini saya lebih berminat untuk melihat pemimpin muda ke hadapan dan saya akan memberi sokongan kepada mereka,” katanya.

    Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Mangsa Ribut di Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor hari ini.

    Ditanya mengenai perancangan beliau dalam politik, Noh memberitahu, ketika ini beliau mahu menumpukan perhatian kepada kerja-kerja kebajikan dengan mendekati penduduk di Tanjong Karang.

    “Saya akan meneruskan program kebajikan lebih-lebih lagi melibatkan penduduk di Parlimen Tanjong Karang,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Syed Hamadah dilantik CEO Tabung Haji yang baharu

    Syed Hamadah dilantik CEO Tabung Haji yang baharu

    SYED Hamadah Syed Othman dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu menggantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin.

    Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan TH, pelantikan berkenaan berkuat kuasa 6 Mei ini dan dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

    Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar melahirkan keyakinan dengan kemahiran dan pengalaman luas dimiliki Syed Hamadah akan dapat membawa TH ke tahap lebih cemerlang dan membanggakan.

    “Saya yakin dengan kemahiran dan pengalaman luas yang dimiliki oleh Tuan Syed Hamadah akan dapat meneruskan usaha memperkukuhkan TH dari segi tadbir urus dan operasi ke tahap yang lebih cemerlang dan membanggakan di masa hadapan,” katanya memetik laposan Astro Awani.

    Berkelulusan Ijazah Kepujian dalam Matematik Aktuari dan Statistik dari Heriot Watt University, Edinburgh, Syed Hamadah mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat dan beliau merupakan pengarah serta rakan kongsi di Actuarial Partners Consulting Sdn. Bhd.

    Beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 25 tahun dan pakar dalam perundingan multinasional dan organisasi tempatan mengenai reka bentuk pencen, pembiayaan, perakaunan pencen, penggabungan dan pengambilalihan.

    Syed Hamadah juga pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan dari 2018 hingga 2020, dan kini merupakan Felo di Fakulti Aktuari dan Felo di Persatuan Aktuari Malaysia.