Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pembantu juruselam ditahan cabul pelancong

    Pembantu juruselam ditahan cabul pelancong

    SEORANG pembantu jurulatih selam skuba ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang pelancong wanita warga China ketika melakukan aktiviti selaman di perairan Semporna.

    Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada jam 12.50 tengah malam Ahad di sebuah tempat penginapan selepas laporan polis diterima daripada mangsa pada Sabtu.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna Asisten Superintenden Arif Abdul Razak berkata, kejadian berlaku pada Jumaat ketika mangsa berusia 25 tahun melakukan aktiviti selam skuba.

    “Laporan diterima oleh seorang pelancong wanita warga China yang mengatakan bahawa pada kira-kira jam 1 petang Jumaat dia telah dicium oleh seorang pembantu jurulatih selam skuba semasa melakukan aktiviti selam skuba di perairan sebuah pulau peranginan di daerah ini.

    “Pengadu kemudian membuat laporan polis pada keesokan harinya sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Tawau untuk berlepas ke Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung penerbangan balik ke negara asalnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

    Susulan daripada laporan itu, Arif berkata, tangkapan segera dilakukan terhadap suspek dalam kes ini.

    “Suspek adalah warga tempatan yang bekerja separuh masa sebagai pembantu jurulatih selam skuba dengan sebuah pusat selaman skuba.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan reman telah dimohon di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut,” katanya lapor Sinar Harian.

  • PN tampil anak jati Selangor jadi MB jika menang – Sanusi

    PN tampil anak jati Selangor jadi MB jika menang – Sanusi

    PENGARAH pilihan raya PAS Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi jaminan akan menampilkan calon anak jati negeri sebagai menteri besar Selangor sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka tidak lama lagi.

    Bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Selangor di Shah Alam, malam tadi, katanya, hanya calon berasal dari negeri itu lebih memahami latar belakang dan budaya di Selangor berbanding calon dari negeri lain.

    Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Sanusi, yang juga menteri besar Kedah, memberi bayangan bahawa Dr Halimah Ali adalah antara calon berkenaan.

    “Bukanlah saya kata orang Sarawak tidak boleh, mungkin (pemimpin diketengah) sudah lama menetap di Selangor mungkin boleh dipertimbangkan dan tidaklah menghalang.

    “Tetapi alangkah baiknya jika Selangor ini sendiri diterajui oleh anak negeri ini yang lebih faham cita rasa, cara hidup dan bahasa,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

    Halimah, 62, adalah ahli jawatankuasa pusat PAS yang dilantik. Dia dilahirkan di Marudi, Sarawak tetapi telah lama bertapak di Selangor melalui amalan perubatan dan aktivismenya.

    Dia adalah ahli parlimen negeri empat penggal yang mewakili Selat Klang dan kemudiannya Seri Setia. Pada November 2022, dia merampas kerusi parlimen Kapar daripada Pakatan Harapan.

    Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi berkata beberapa nama toloh politik telah memohon untuk menjadi ahli.

    Bagaimanapun, dia enggan mengesahkan sama ada pemohon berkenaan hadir pada majlis itu atau sebaliknya.

    “Kita tunggu pengumuman yang akan dibuat nanti selepas kita menerima arahan daripada PAS Pusat,” katanya.

    Majlis rumah terbuka itu turut dihadiri bekas pemimpin Umno antaranya Presiden Pertubuhan Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar serta ahli Parlimen Arau, Datuk Sri Shahidan Kassim.

    Noh sebelum ini berjanji untuk menyokong PN di kawasan Tanjong Karang manakala Shahidan pula dilaporkan sering berada di sekitar Semenyih.

  • Orang muflis boleh mohon, dapat pinjaman bercagar KWSP – Wan Saiful

    Orang muflis boleh mohon, dapat pinjaman bercagar KWSP – Wan Saiful

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan meminta kerajaan menjelaskan  bagaimana individu yang berstatus muflis dibenarkan membuat pinjaman di bawah skim cagaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau i-Cagar FSA2 KWSP.

    Wan Saiful berkata, beliau telah bertemu individu dalam kategori tersebut baru-baru ini.

    Berdasarkan tangkap layar aplikasi perbankan yang ditunjukkan Wan Saiful, beberapa peminjam yang menggunakan skim kemudahan sokongan Akaun 2 KWSP (FSA2) meminjam melebihi had maksimum yang dibenarkan.

    Wan Saiful mendakwa peminjam terbabit juga tidak dibenarkan mengakses pinjaman mereka sehingga mereka mengemukakan dokumen pelepasan daripada Jabatan Insolvensi.

    Kata beliau, Kegagalan itu akan menyebabkan pinjaman dibatalkan walaupun dana telah didepositkan.

    “Bagaimana boleh berlaku situasi yang pinjaman diluluskan dan dana disimpan dalam akaun peribadi mereka, tetapi peminjam tidak dibenarkan mengakses dana itu? Jika mereka tidak layak (buat pinjaman) kerana bankrap, kenapa pinjaman itu diluluskan? Bukan sahaja pinjaman itu diluluskan, dana telah dimasukkan ke dalam akaun mereka,” dakwa bekas ketua penerangan Bersatu itu.

    Putrajaya memperkenalkan FSA2 untuk membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan. Hanya dua bank yang menyediakan FSA2 iaitu MBSB dan Bank Simpanan Nasional.

    Peminjam boleh membuat pinjaman sehingga RM50,000 berdasarkan baki Akaun 2 KWSP mereka dan memanjangkan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

    wan saiful PH kluster mahkamah UMNO
    WAN SAIFUL WAN JAN

    Faedah akan dikenakan antara 4 peratus hingga 5 peratus, jauh lebih rendah daripada kadar konvensional (antara 8 peratus hingga 15 peratus).

    Wan Saiful mendakwa kebenaran kepada individu muflis meminjam wang menggunakan KWSP sebagai cagaran hanya akan menambah masalah kewangan mereka.

    Memetik contoh individu yang meminjam RM18,000 pada kadar faedah 4.5 peratus dan tempoh bayaran balik selama sembilan tahun, Wan Saiful berkata individu terbabit perlu membayar hampir dua kali ganda menjelang akhir tempoh bayaran balik.

    “Saya menggesa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim menjelaskan mengapa kerajaannya memperkenalkan dasar huru-hara yang akan menyebabkan orang ramai menderita.

    “Tidak pernah ada perdana menteri di muka bumi ini yang mencadangkan bahawa penyelesaian bagi mereka yang bankrap sebab berhutang ialah dengan menambah lagi hutang,” kata Wan Saiful.

    Justeru, dia menggesa kerajaan memansuhkan skim FSA2 dan menerima pakai saranannya supaya pengeluaran KWSP yang disasarkan dibenarkan oleh mereka yang memerlukan.

    Kerajaan sebelum ini menolak cadangan agar pengeluaran KWSP sekali lagi dibenarkan selepas diperkenalkan oleh pentadbiran terdahulu sebagai cara menangani kemerosotan pendapatan semasa kemuncak pandemik Covid-19.

  • Bekas CEO MARii didakwa terima rasuah RM5 juta

    Bekas CEO MARii didakwa terima rasuah RM5 juta

    SEORANG bekas Ketua Pegawai Eksekutif institut automotif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di KUALA LUMPUR hari ini atas pertuduhan meminta suapan RM5 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan program latihan dan penempatan pekerja.

    Datuk Mohamad Madani Sahari, 56, didakwa meminta suapan itu daripada seorang lelaki berumur 37 tahun untuk membantu individu berkenaan mendapatkan program berkenaan berjumlah RM24 juta daripada Syarikat A2Z Technology Sdn Bhd iaitu syarikat subsidiari kepada The Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii).

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat A2Z Technology Sdn Bhd di Solaris Dutamas di sini,  antara 11 pagi hingga 3 petang, sekitar Mei 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM300,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini, lapor BERNAMA.

    “Tertuduh sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan akan didakwa lagi di mahkamah sama atas pertuduhan pengubahan wang haram pada 10 Mei dan di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 24 Mei. Pihak kami akan memohon untuk kes-kes berkenaan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di sini,” katanya.

    Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Mohamad Madani berkata pihaknya bersetuju untuk mengguna pakai jaminan tersebut.

    Hakim Suzana Hussin membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes.

    Pada 14 April lepas, Mohamad Madani didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta daripada seorang individu menerusi akaun bank sebagai upah kerana telah membantu sebuah syarikat mendapat surat penganugerahan berjumlah RM12 juta.

  • Siti Zailah nafi dakwaan curi air pili bomba, sebenarnya dapat kebenaran

    Siti Zailah nafi dakwaan curi air pili bomba, sebenarnya dapat kebenaran

    AHLI Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff menafikan dakwaan beliau mencuri air daripada pili bomba sebagaimana tular sejak semalam.

    Beliau menjelaskan, bekalan itu merupakan saliran daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan sudah mendapat kebenaran syarikat terbabit.

    “Kerja-kerja menyediakan bekalan air itu mendapat kerjasama daripada Balai Bomba Rantau Panjang bagi memenuhi keperluan rakyat dengan segera.

    “Penggunaan pili bomba adalah dengan kebenaran dan pengetahuan daripada Balai Bomba Rantau Panjang malah mereka banyak membantu kami menghantar bantuan air ke premis seperti surau dan sekolah yang kecemasan memerlukan air.

    “Tiada berbangkit isu curi air, kami membantu rakyat yang kecemasan memerlukan bekalan air,” kata Siti Zailah melalui kenyataan dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Pada masa sama, Siti Zailah memberitahu, kerja-kerja menggali telaga tiub untuk penduduk di Taman Rantau Mas juga sedang diusahakan.

    Kami juga berusaha membantu penduduk yang memerlukan air dengan kebenaran pihak AKSB bagi mendapatkan bekalan air untuk dihantar ke kampung-kampung yang memerlukan.

    “Jutaan terima kasih diucapkan atas kerjasama agensi kerajaan yang terlibat membantu rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini tular di media sosial mengenai dakwaan seorang ahli Parlimen menyalahgunakan pili bomba bagi mendapatkan bekalan air kepada penduduk.

    Tindakan murni Siti Zailah membekalkan sumber air dari pili bomba itu mengundang masalah sebelum ini apabila disangka menggunakan air dari pili bomba tanpa kebenaran.

    Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini memaklumkan akan menyiasat dakwaan penggunaan air daripada pili bomba tersebut.

  • PM Anwar rasmi X90, keluaran SUV ketiga Proton

    PM Anwar rasmi X90, keluaran SUV ketiga Proton

    PROTON Holdings Bhd (Proton) terus mengorak langkah ke hadapan apabila melancarkan sebuah lagi kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dijenamakan sebagai model X90.

    Pelancaran rasmi kenderaan SUV ketiga keluaran syarikat kereta nasional itu dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur hari ini, lapor Astro Awani.

    Kemunculan X90 juga menjadikan kereta tersebut model pertama yang menggunakan teknologi hibrid sekali gus membawa jenama Proton untuk turut serta dalam Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).

    Sebelum ini, Proton telah memperkenalkan model SUV jenis X50 dan X70 yang mencatatkan jumlah jualan agak tinggi berikutan sambutan yang memberangsangkan.

    Proton X90 dipasang di Tanjung Malim, Perak lokasi sama bagi model X50 dan X70 keluaran syarikat itu sebelum ini.

    Ia tampil dengan empat varian yang bermula dengan harga RM123,800 sehingga RM152,800.

    Kerjasama Proton dan Geely itu juga merupakan usaha dalam memastikan produk keluaran nasional turut setanding dengan pengeluaran negara luar terutamanya dari aspek kualiti.

    Pengerusinya, Datuk Seri Syed Faisal Albar sebelum ini menyatakan, pelancaran X90 sepatutnya diperkenalkan tahun lalu namun situasi COVID-19 menyebabkan perkara itu tertangguh selain pandemik juga memberi impak kepada industri automatif.

    Turut hadir pada majlis perasmian hari ini merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

  • Anwar hargai jasa Tun Mahathir terhadap Proton

    Anwar hargai jasa Tun Mahathir terhadap Proton

    TUN Dr. Mahathir Mohamad sememangnya mempunyai jasa menerusi sumbangan beliau dalam syarikat pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Kerajaan Perpaduan menzahirkan penghargaan terhadap Tun Dr. Mahathir atas sumbangannya itu.

    “Wajar dalam mengenang perjalanan Proton 40 tahun, di pihak pentadbiran Kerajaan Perpaduan sekarang kita ucap terima kasih kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai sumbangan dalam Proton,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap sempena ulang tahun Proton ke-40 hari ini dan Majlis Perasmian Proton X90 di Auditorium Dewan Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu turut meletakkan harapan terhadap Proton agar syarikat pengeluar kereta nasional itu mampu untuk menghasilkan kenderaan elektrik.

    Menurut Dr. Mahathir, kebanyakan pembeli kereta elektrik memperoleh insentif daripada kerajaan berikutan faktor kurangnya kesan terhadap pencemaran.

    Dr. Mahathir juga telah memperkenalkan kereta nasional pertama itu pada 1983 dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian.

    Tindakan itu, katanya dilihat mampu meneroka bidang automatif dengan lebih meluas selain turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan ketika itu.

  • Kenaikan OPR:Rafizi minta Hassan jangan serang kerajaan

    Kenaikan OPR:Rafizi minta Hassan jangan serang kerajaan

    MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli menasihatkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim untuk tidak menyerang kerajaan berhubung kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3 peratus, baru-baru ini.

    Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, sebelum ini beliau ada bertemu Hassan dan bercakap mengenai perkara tersebut.

    “Saya menasihatkan beliau untuk terus berhubung dengannya atau pun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya mempunyai sebarang kekeliruan berhubung isu tersebut.

    “Kami dah berikan penjelasan kepada dia. Saya ingat lepas berikan penjelasan dia tak buat kenyataan lagi tapi dia buat juga.

    “Jadi, saya dah maklumkan kat dia bahawa jangan hanya terikut-ikut dengan rentak yang kadang-kadang dimainkan oleh pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Rumah Terbuka Parlimen Pandan, Kuala Lumpur hari ini.

    Rafizi mengulas gesaan Hassan supaya beliau dan Anwar menjelaskan kenaikan OPR kepada 3 peratus serta tidak mahu rakyat yang tidak berpuas hati, ‘menempelak’ kerajaan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Kata Hassan, penjelasan itu penting terutama tidak lama lagi Kerajaan Perpaduan akan berdepan PRN di enam negeri.

    Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dikritik pengguna media sosial selepas meluahkan kemarahan dengan laporan Berita Harian yang memetik penganalisis sebagai menjangkakan OPR akan naik dalam beberapa bulan ini.

    Laporan itu antara lain melaporkan penganalisis menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR sebanyak 25 mata peratusan seawal Julai ini.

    Fahmi menyifatkan laporan tersebut sebagai fitnah dan mahu Berita Harian Online membetul dan menjelaskan selain beliau sendiri mengumumkan akan berjumpa dengan pengurusan akhbar itu.

    Mengulas lanjut berhubung PRN, Rafizi berkata, keputusan undian tidak sepenuhnya bergantung kepada isu kenaikan OPR mahupun pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebaliknya terdapat isu lain juga.

    “Jadi, setakat ini penerimaan rakyat terhadap pengurusan ekonomi oleh kerajaan perpaduan nampak baik, sebab itu walaupun tidak diumumkan tapi saya mengikuti dengan dekat,” katanya lapor FMT.

    Rafizi turut menolak andaian Hassan yang juga veteran PKR akan berdepan tindakan kerana menegur kerajaan.

  • Banyak usaha sedang dibuat untuk dapatkan semula aset 1MDB – Johari

    Banyak usaha sedang dibuat untuk dapatkan semula aset 1MDB – Johari

    PENGERUSI Pasukan Petugas 1MDB, Johari Abdul Ghani berkata, pelbagai usaha sedang diambil untuk mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB, termasuk daripada Goldman Sachs.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, keutamaan pasukan petugas itu adalah untuk mendapatkan semula aset berkenaan, manakala kes melibatkan jenayah dan tangkapan pula akan dilakukan oleh pihak berkuasa.

    “Ini kena bezakan, saya lebih menumpukan kepada mendapatkan kembali aset (1MDB). Mana-mana melibatkan kes-kes jenayah dan juga melibatkan penangkapan, akan dibuat oleh pihak berkuasa.

    “Jadi insya-Allah, saya fikir lebih banyak yang kita tengah buat khususnya dengan Goldman Sachs,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Kampung Baru, hari ini, lapor Malaysiakini.

  • ‘Proklamasi Orang Melayu satukan semua tanpa mengira parti’

    ‘Proklamasi Orang Melayu satukan semua tanpa mengira parti’

    PAS optimis Proklamasi Orang Melayu yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh mencapai matlamat tanpa melihat ia sebagai saingan atau gerakan politik bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

    Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, berbanding gerakan politik, proklamasi itu dibuat untuk menyatukan semua orang dan ia lebih bersifat individu berbanding gabungan politik.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai percaya gerakan tersebut boleh berjaya kerana itu bukan suatu gerakan politik.

    “Sebaliknya lebih kepada usaha menyatukan semua membabitkan individu termasuk mereka yang berbeza parti politik.

    “Kita melihat bagaimana kerajaan dipimpin majoriti Melayu di Kelantan dan Terengganu yang tidak pernah berlaku penindasan atau diskriminasi kepada minoriti orang bukan Melayu.

    “Perkara yang dicakapkan ini bukan retorik kerana ia ini berlaku di Kelantan walaupun sudah hampir 30 tahun, namun tidak timbul isu soal rasis atau penindasan terhadap bukan Melayu di negara kita,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut di Dewan Astaka Batu Kurau, di Larut, hari ini.

    Idris mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan Kerajaan Perpaduan ketika ini mempunyai makna lebih besar berbanding Proklamasi Orang Melayu.

    Pada 3 Mei lalu, media melaporkan beberapa pemimpin Pas termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’ diterajui Dr Mahathir.

    Proklamasi itu menimbulkan beberapa spekulasi termasuk dakwaan kononnya Perikatan Nasional (PN) bakal berpecah susulan pembabitan ahli Parlimen parti itu dengan proklamasi terbabit, selain didakwa usaha memancing undi Melayu untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

    Ditanya dakwaan sama ada proklamasi terbabit bakal membawa perpecahan antara Pas dan BERSATU memandangkan pemimpin Bersatu tidak diajak dalam pertemuan antara pemimpin Pas dengan Dr. Mahathir ketika menandatangani proklamasi itu 3 Mei lalu, Idris menafikannya.

    Katanya, perkara itu boleh dilihat sendiri dengan kehadiran ramai pemimpin Bersatu ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut Alor Setar, kelmarin, yang dihadiri hampir 50,000 pengunjung.

    “Sebenarnya perkara itu sudah terjawab semalam dalam jamuan raya Pas Pusat yang dihadiri pimpinan tertinggi Bersatu, hanya Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

    “Jadi persepsi yang dimainkan mengatakan seolah-olah Pas meninggalkan Bersatu sebab tak bawa sekali berjumpa Dr Mahathir tidak betul sama sekali,” katanya, lapor Berita Harian.

    Idris turut memberikan jawapan sama ketika ditanya tanggapan sesetengah pihak yang mencetuskan persepsi bahawa pertemuan Abdul Hadi dengan Dr Mahathir akan menyebabkan penyokong PAS peringkat akar umbi terluka dengan sejarah yang pernah tercatat antara dua pemimpin berkenaan termasuk kejadian berdarah Peristiwa Memali 1985.

    “Semalam dianggarkan hampir 50,000 pengunjung datang majlis raya kita walaupun peristiwa itu (Memali) berlaku di Kedah,” katanya.