Author: Wartawan WartaRakyat

  • Mahkamah arah dedah laporan kehilangan paksa Amri kepada isteri

    Mahkamah arah dedah laporan kehilangan paksa Amri kepada isteri

    ISTERI Amri Che Mat hari ini berjaya mendapat perintah mahkamah untuk mengakses laporan pasukan petugas khas sulit mengenai kehilangan paksa aktivis itu pada 2016.

    Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Norhayati Mohd. Ariffin mengakses laporan itu bagi mengukuhkan tindakan sivil berkaitannya terhadap polis dan kerajaan persekutuan berhubung kehilangan suaminya sejak enam tahun lalu.

    Peguamnya, Larissa Ann-Louis, mengesahkan keputusan oleh Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh itu, sambil menambah bahawa mahkamah sivil memerintahkan pihak berkuasa mendedahkan laporan itu kepada pemohon dalam tempoh sebulan daripada hari ini.

    Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, juga mengesahkan keputusan itu, sambil menambah bahawa perintah mahkamah itu hanya laporan terperingkat Akta Rahsia Rasmi 1972 digunakan Norhayati untuk tindakan undang-undang dan tidak boleh didedahkan kepada pihak ketiga.

    Pada 26 Jun 2019, dua bulan selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) membuat kesimpulan bahawa Amri adalah mangsa kehilangan paksa polis, Kementerian Dalam Negeri membentuk satu pasukan petugas khas untuk menyiasat semula perkara itu.

    Bagaimanapun, terdapat kekurangan maklumat terkini mengenai laporan itu, menyebabkan kumpulan masyarakat sivil The Citizens Against Enforced Disappearances (Caged) pada 2021 menggesa kerajaan mendedahkan penemuan pasukan petugas itu, lapor Malaysiakini.

    Pasukan petugas itu dibentuk semasa pentadbiran Pakatan Harapan yang diketuai oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad pada 2019.

    Pada 3 April 2019, siasatan awam Suhakam membuat kesimpulan bahawa Amri dan paderi Raymond Koh, yang masing-masing hilang pada 2016 dan 2017, adalah mangsa kehilangan paksa.

    Panel tiga anggota sebulat suara membuat kesimpulan bahawa pelaku adalah anggota Cawangan Khas dari ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur.

    Saman keluarga Koh di mahkamah sivil ke atas polis dan kerajaan berhubung kehilangan paksa paderi itu masih berlangsung.

  • Siti Zailah ambil air dari pili bomba untuk elak jalan sesak, berbahaya

    Siti Zailah ambil air dari pili bomba untuk elak jalan sesak, berbahaya

    AHLI Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd. Yusoff mahu orang ramai mendapatkan bekalan air dengan lebih mudah serta selamat tanpa perlu berdepan kesesakan jalan raya sekali gus membahayakan pengguna lain.

    Itu antara punca beliau mengambil air dari pili bomba diberikan untuk kegunaan orang ramai semasa sambutan Aidilfitri sebelum ini sebagaimana tular sejak Sabtu lalu.

    Katanya, penduduk di kawasan Rantau Panjang sudah mengalami masalah air berhari-hari sehingga mendorong dia tampil membantuk syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menghantar bekalan kepada mereka.

    “Jadi apabila kita nak hantar air kepada penduduk baru-baru ni, dekat dengan musim perayaan dalam seminggu nak raya lori nak angkat air ni bersusun dalam jalan ‘jammed’ dan bahaya, sebab lori besar, berat.

    “Sebab itulah Kak Lah berbincang dengan pihak AKSB, dengan pihak bomba lagu mana kita nak (buat) supaya tidak mengganggu laluan jalan, melintas orang ramai.

    “Pihak AKSB cadangkan supaya manfaatkan pili bomba sebab di Kelantan ni berbeza dengan negeri lain,” katanya dalam penjelasan melalui TikTok hari ini.

    Ia dikeluarkan oleh Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri (UPKN) Kelantan.

    Menjelaskan situasi itu Siti Zailah berkata, di negeri lain saluran paip untuk kegunaan bomba berbeza daripada saluran bagi membekalkan air kepada orang awam.

    Di Kelantan, katanya, bekalan air yang disediakan untuk masyarakat dan kegunaan Jababatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah sama.

    “Paip bomba dan air AKSB aksesnya sama, jadi sebenarnya paip bomba tidak ada bekalan air sendiri.

    “Apa yang ada melalui paip bomba yang digunakan untuk (memadam) kebakaran (atau) kecemasan adalah air AKSB,” katanya.

    Siti Zailah ini berdepan dengan siasatan selepas didapati mengambil air melalui pili bomba untuk diedarkan kepada penduduk yang berdepan masalah bekalan di Rantau Panjang.

    Ia mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan selepas Siti Zailah sendiri memuat naik gambar-gambar berkenaan pengambilan air tersebut di media sosial.

    Siti Zailah yang juga bekas timbalan menteri itu mendakwa sudah mendapat kebenaran daripada AKSB untuk menghantar bekalan air bersih kepada penduduk setempat dengan kerjasama anggota JBPM Kelantan.

    Bagaimanapun, JBPM Kelantan menafikan ada memberi kebenaran kepada Siti Zailah.

    Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kemudian meminta mana-mana pihak yang menggunakan pili bomba tanpa kebenaran agar meminta maaf.

    Kata Siti Zailah, sebelum mengambil air di pili bomba tersebut pihaknya sudah bermesyuarat dengan Exco Kelantan dan AKSB.

    “Alhamdulillah air itu kita dapat dari sumber air AKSB tetapi untuk menjimatkan masa dengan cepat maka ambil air itu diambil melalui pili bomba yang berdekatan,” katanya.

    Anggota bomba pula, tambah Siti Zailah, tampil untuk membantu memudahkan proses tersebut kerana tidak mudah untuk membuka pili berkaitan.

    Menegaskan ‘tidak ada isu’ dalam proses tersebut, ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu turut menekankan bahawa semua penduduk setempat tahu tidak timbul soal mencuri air.

    “Kalau Kak Lah nak curi pun, bukan Kak Lah curi untuk Kak Lah tetapi air tu kita (mendapatkannya) untuk rakyat yang memerlukan,” katanya.

  • Wanita cedera, tujuh kenderaan rosak dirempuh pemandu sawan

    Wanita cedera, tujuh kenderaan rosak dirempuh pemandu sawan

    Oleh ABU UBAIDLLAH RAHMAN

    SEORANG wanita merempuh tujuh kenderaan dan mengakibatkan seorang pejalan kaki patah kaki di Pekan Nanas, Pontian hari ini.

    Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, wanita berkenaan yang memandu kereta Toyota Vios, Siti Faraisyah Mahfoz, 25, diserang sawan sebelum melanggar kenderaan dan pejalan kaki terbabit.

    “Siti Faraisyah bagaimanapun terselamat walaupun kenderaannya terbalik dalam kejadian pada pukul 7.10 pagi itu.

    “Kejadian berkenaan melibatkan lima motosikal dan dua kereta yang diletakkan di bahu jalan berhampiran dua kedai makan.

    “Siasatan mendapati kejadian berlaku semasa Siti Faraisyah yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya mengalami sawan dan hilang kawalan lalu melanggar seorang pejalan kaki yang dikenali sebagai Zahara sebelum merempuh kenderaan lain.

    “Zahara yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di kawasan tersebut mengalami di bahagian leher dan dihantar ke Hospital Pontian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Shofee berkata, dua motosikal yang dirempuh itu mengalami kerosakan di seluruh bahagian manakala yang lain pada bahagian belakang dan sisi kanan, sementara sebuah kereta rosak seluruh bahagian.

    Jelasnya, ketika kejadian semua pemilik kereta dan motosikal terlibat sedang atau selesai menikmati sarapan.

    Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas, Penguasa Bomba Kanan II Mohd. Asnawi Jumaat berkata,
    lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Siasatan mendapati pejalan kaki yang dilanggar merupakan seorang wanita warga asing. Pihak bomba menggunakan ‘streacher’ untuk memindahkan mangsa pejalan kaki yang mengalami patah kaki,” katanya.

    Mohd. Asnawi berkata, oeprasi tersebut selesai kira-kira pada pukul 8 pagi.

  • PRN: Masing-masing ada kerusi idaman sendiri – Ahmad Samsuri

    PRN: Masing-masing ada kerusi idaman sendiri – Ahmad Samsuri

    PERIKATAN Nasional (PN) Terengganu belum memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di antara parti komponen dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan perkara tersebut sekali gus menafikan dakwaan kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding di empat kerusi DUN pada PRN.

    “Perbincangan mengenai pembahagian 32 kerusi DUN di dalam komponen PN masih lagi berjalan.

    “Semua parti komponen mempunyai senarai kerusi idaman masing-masing namun keputusan akhir hanya dibuat selepas mendapat persetujuan semua kepimpinan tertinggi yang ada,” kata Naib Presiden Pas itu.

    Jelasnya lagi, pihaknya belum mengesahkan apa-apa lagi mengenai perundingan kerusi, masing-masing ada kerusi idaman sendiri.

    “Saya sudah sebut sebelum ini sama ada Bersatu, Pas atau Gerakan, mereka mempunyai ‘wish list’ (kerusi idaman) masing-masing bukan sahaja di negeri Terengganu bahkan di tempat lain yang akan terbabit dengan PRN.

    “Jadi, tentulah dalam ‘wish list’ ini ada yang perlu dibincang, dirunding, dilihat keseluruhan kedudukan kerusi ini (dan) yang paling penting, yang telah dipersetujui dalam kalangan seluruh kepimpinan Pas, Bersatu dan Gerakan adalah untuk memastikan kemenangan yang maksimum kepada Perikatan Nasional di seluruh negara,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di Marang hari ini.

    Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, perbincangan mengenai pengagihan kerusi akan diadakan dalam masa terdekat.

    “(Pengagihan kerusi) belum lagi sebab kita libat urus bersama negeri sudah dilakukan dan tinggal lagi ialah semua kepimpinan tertinggi parti daripada Bersatu, Pas dan Gerakan ini akan berbincang balik.

    “Buat masa ini, oleh kerana kita baharu menyambut hari raya, kita bagi ruang kepada semua kepimpinan untuk terbabit dalam aktiviti raya dahulu.

    “Kita akan cari dalam waktu yang sesuai dan terdekat ini untuk kita duduk dan bincang keseluruhan kerusi,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Cuaca panas, penggunaan tinggi, air Empangan Air Itam cukup untuk 40 hari saja lagi

    Cuaca panas, penggunaan tinggi, air Empangan Air Itam cukup untuk 40 hari saja lagi

    SIMPANAN air di Empangan Air Itam di Pulau Pinang hanya mampu bertahan untuk tempoh 40 hari sahaja lagi susulan cuaca panas serta kekurangan taburan hujan di kawasan tersebut ketika ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, simpanan air di empangan itu dijangka boleh kehabisan menjelang Jun ini sekiranya taburan hujan tidak mencukupi atau tiada hujan langsung di kawasan tadahan itu dalam masa terdekat.

    Menurut beliau, selain kekurangan taburan hujan, penurunan ketara kapasiti air di Empangan Air Itam itu turut disebabkan penggunaan air yang tinggi iaitu dalam kalangan pengguna terutama di kawasan pasar dan medan selera di situ.

    “Kita bimbang jika pengguna tidak menjimatkan penggunaan air sekarang, mereka akan menghadapi masalah air yang kritikal pada masa depan,” katanya dalam sidang akhbar di Georgetown hari ini.

    Empangan Air Itam membekalkan air kepada pengguna di bandar Air Itam, Paya Terubong dan kawasan sekitarnya membabitkan 30,000 orang dengan 6,000 akaun.

    Setakat 7 Mei lalu, Empangan Air Itam merekodkan kapasiti pada paras 41.5 peratus manakala empangan Teluk Bahang pada paras 48.4 peratus.

    Menurut Zairil, PBAPP telah menjalankan tindakan kejuruteraan iaitu mengurangkan jumlah pengeluaran dan penyaluran air daripada Empangan Air Itam kepada pengguna.

    Selain itu, jelas beliau, terdapat akaun pengguna di kawasan Air Itam yang disalurkan dengan menggunakan bekalan air daripada Lori Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

    “Sekiranya langkah ini tidak diambil mungkin air di Empangan Air Itam akan habis dalam tempoh 10 hari, sekarang dengan langkah ini ia dapat bertahan selama 40 hari lagi,” katanya.

    Dalam pada itu, tambah beliau, Empangan Teluk Bahang yang membekalkan air kepada 500,000 pengguna di sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut juga mengalami penurunan kapasiti efektif yang ketara dan mampu bertahan kira-kira 146 hari sahaja lagi tanpa hujan.

    Katanya, operasi pembenihan awan yang dijalankan di kawasan-kawasan tadahan air itu sebelum ini perlu dijalankan secara berterusan bagi memastikan taburan hujan yang optimum untuk memenuhi empangan.

    “Selain itu, orang ramai juga diminta menjimatkan air bagi memastikan tidak berlaku krisis air yang kritikal pada masa depan,” katanya.

  • Suami pelakon nafi abai nafkah isteri pertama, beri RM15,000 sehingga RM20,000 sebulan

    Suami pelakon nafi abai nafkah isteri pertama, beri RM15,000 sehingga RM20,000 sebulan

    SUAMI pelakon Miera Leyana, Rosland Othman memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Lumpur, hari ini, bahawa dia tidak pernah mengabaikan nafkah terhadap isteri pertama dan anaknya meskipun sedang melalui perbicaraan kes nusyuz.

    Rosland, 50, berkata demikian apabila ditanya peguamnya, Nurul Balqis Nordin semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Abdul Fattah Datuk Kamarudin.

    Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Consolidated Industries Bhd milik syarikat Serba Dinamik itu mendakwa memberi nafkah antara RM15,000 sehingga RM20,000 sebulan.

    “Sehingga semalam pesanan membeli barang dapur saya tunaikan. InsyaAllah semuanya lengkap seperti ansuran rumah, bil elektrik, perbelanjaan persekolahan dan kad kredit juga diberi, tapi masih keluarkan kenyataan saya tidak bertanggungjawab.

    “Saya boleh tunjukkan apa bayaran dia dapat, saya ada beri tunai tidak termasuk perbelanjaan sekolah dan kenderaan sekolah anak. Tapi masih mengatakan saya tidak bertanggungjawab dan tidak memberikan nafkah kepada anak-anak sedangkan saya masih beri walaupun saya tidak keluar kenyataan di media, saya suka simpan fakta ini di mahkamah.

    “Secara keseluruhan jumlah saya beri lebih RM15,000 hingga RM20,000. Walaupun dalam keadaan ekonomi meleset dan bisnes (perniagaan) tidak menentu, saya beri (nafkah) tapi masih ada tohmahan tidak berasas,” katanya semasa prosiding perbicaraan hari ini.

    Plaintif iaitu Rosland memfailkan nusyuz terhadap Adibah Abdul Mutalib, 50, selepas dikatakan keluar rumah tanpa keizinan pada 24 September 2021.

    Dalam prosiding itu, Rosland memberitahu pulang awal ke rumah pada pukul 6.30 petang hari kejadian, untuk membawa anak mereka keluar namun Adibah tiada di rumah.

    Beliau mendakwa sudah beberapa kali berpesan kepada defendan supaya tidak keluar rumah sebelum beliau sampai tetapi defendan ingkar menyebabkan beliau menyekat nombor Adibah sehingga kini.

    Diminta peguam untuk menjelaskan lagi mengenai nafkah diberikannya, Rosland mengakui tidak lagi memberikan nafkah batin kerana mereka sudah tidak sefahaman.

    “Seperti saya katakan tadi, saya dan defendan sedang melalui kes nusyuz kerana dia tidak lagi mengendahkan kata-kata saya sebagai suami.

    “Selagi kes ini tidak selesai, sudah tentu daripada segi nafkah batin tidak dapat saya tunaikan. Saya dengan dia tidak ada persefahaman dan tidak ada persetujuan lagi bagaimana untuk teruskan, adalah agak sukar,” katanya, lapor Harian Metro.

    Dalam prosiding sama, ibu mentua Rosland yang juga ibu Miera Leyana, Aisah Abdullah turut memberi keterangan saksi.

    Perbicaraan kes bersambung pada 8, 14 dan 22 Jun depan dengan Adibah akan mengemukakan tiga saksi perbicaraan.

    Terdahulu, peguam Rosland memohon injunksi iaitu perintah perlindungan kehakiman untuk kes itu tidak dihadiri pihak media.

    Bagaimanapun, hakim menolak permohonan itu kerana tiada permohonan bertulis diterima setakat ini, malah kes itu juga dibicarakan di mahkamah terbuka.

    Rosland sebelum ini memfailkan cerai terhadap Adibah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 7 April lalu mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

    Adibah menolak permohonan cerai yang difailkan Rosland dan mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian itu.

    Kisah rumah tangga pasangan terbabit menjadi perhatian sebaik Rosland memfailkan cerai terhadap isteri pertamanya itu.

    Namun, madu kepada Miera Leyana itu dilaporkan mahu terus mempertahankan rumah tangga bersama suami walaupun perkahwinan dilanda badai sejak dua tahun lalu.

  • ‘Titah Tuanku adalah arahan kembalikan peruntukan Adun PN’ – Tuan Ibrahim

    ‘Titah Tuanku adalah arahan kembalikan peruntukan Adun PN’ – Tuan Ibrahim

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Pahang menyambut baik Titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan peruntukan turut diberikan kepada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat mereka berhak menerima peruntukan daripada kerajaan negeri untuk membantu rakyat.

    “Kita merakam penghargaan yang tinggi kepada Tuanku. Secara tak langsung, satu arahan dikeluarkan kepada pihak kerajaan supaya menyalurkan peruntukan kepada semua ADUN.

    “Tuanku sebut, kami (ADUN pembangkang) dipilih oleh rakyat dan hormati pilihan rakyat,” katanya seperti dilaporkan lidah rasmi Pas, HarakahDaily hari ini.

    Justeru kata Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas, penyaluran semula peruntukan yang sebelum ini dinafikan perlu dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

    Katanya, semua ADUN pembangkang bersetuju dan menyokong peruntukan kerana mereka juga berhak menerima peruntukan sama seperti wakil rakyat lain.

    Pada 3 Jan lalu, pembangkang mendakwa yang dianaktirikan kerajaan negeri Pahang selepas tidak menerima sebarang peruntukan.

    Semalam Tengku Hassanal Ibrahim bertitah mengingatkan kerajaan negeri supaya memberikan peruntukan yang adil kepada wakil pembangkang di negeri itu.

    Baginda menitahkan supaya landskap politik negeri perlu diubah selari dengan 66 tahun negara mencapai kemerdekaan.

    Baginda bertitah, 66 tahun tempoh kemerdekaan ini sepatutnya politik negeri sudah matang dan yang menjadi kerajaan negeri harus meraikan pembangkang kerana mereka juga dipilih oleh rakyat.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata titah Tuanku merupakan satu arahan kepada kerajaan negeri Pahang.

    Tambahnya, peruntukan itu sangat penting kepada wakil rakyat terutamanya bagi menyelesaikan pelbagai isu dalam kawasan seperti bencana dan sebagainya.

    “Kita katakanlah, jika berlaku ribut di suatu kawasan, mangsa akan datang ke pusat khidmat, jadi dana perlu disalurkan segera.

    “Bukan salur secara terus kepada ADUN, ia disalurkan kepada pejabat daerah, cuma geran sahaja kita minta diserahkan kepada kita. Bukan dalam bentuk wang tunai.

    “Tapi semua projek segera itu akan diaudit termasuk peruntukan RM5,000 bagi sumbangan hari raya sebelum ini, kami sediakan laporan lengkap supaya tidak timbul berlakunya penyelewengan,” kata Tuan Ibrahim.

  • Tolak mereka yang serang tokoh Melayu secara peribadi-Hadi

    Tolak mereka yang serang tokoh Melayu secara peribadi-Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu menyokong Proklamasi Orang Melayu yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Kata Ahli Parlimen Marang itu, usaha Mahathir dengan mempertemukan pemimpin politik, ilmuwan dan pertubuhan bukan kerajaan penting dalam memperkasa bangsa itu kembali.

    “Ketepikan mereka yang tenggelam dalam mengejar apa sahaja cita-citanya sehingga matlamat menghalalkan segala cara dan menyerang tokoh-tokoh Melayu secara peribadi yang berjaya dalam politik, ekonomi, akademik dengan berbagai-bagai ungkit-mengungkit dan sindiran.

    “Pada masa yang sama, mereka itu bersekongkol dengan kalangan yang nyata bukan Islam dan bukan Melayu yang paling besar dan banyak penyakaunya, paling ramai kaya-raya menjadi penyumbang dan penerima rasuah,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook milinya, hari ini.

    Abdul Hadi menambah, masyarakat Melayu kini berada dalam masalah kerana berpecah-belah dan pada masa yang sama mengalami keruntuhan moral.

    Justeru, beliau menyatakan bahawa usaha penyatuan berkenaan penting supaya kuasa politik bangsa tersebut tidak terlucut.

    “Selamatkan keadaan hari ini dengan perpaduan bangsa Melayu Islam, sepertimana Rasulullah SAW memulakan dengan perpaduan bangsa Arab,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Baru-baru ini, beberapa pemimpin Pas termasuk beliau sendiri dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menandatangani proklamasi tersebut.

    Perkara tersebut bagaimanapun mengundang reaksi negatif daripada beberapa pihak termasuk Pemimpin Kanan DAP, Dr P Ramasamy.

    Ujar beliau, proklamasi tersebut hanya propaganda politik untuk meraih sokongan orang Melayu bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

  • Laporan salah laku JPJ ‘tak diendah’, Loke akan jumpa Azam

    Laporan salah laku JPJ ‘tak diendah’, Loke akan jumpa Azam

    MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akan menemui Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung laporan salah laku yang dikatakan tidak diendahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Saya perlu berlaku adil terhadap individu dinyatakan dalam pelbagai laporan salah laku difailkan SPRM.

    “Saya tiada banyak maklumat mengenainya, tetapi disebabkan agensi di bawah kementerian saya disebut, saya mahu berjumpa dengan (Azam) dahulu,” katanya dalam majlis rumah terbuka AIdilfitri kementeriannya, hari ini.

    Beliau berkata, dirinya dan kementeriannya akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

    Jika ada bukti kukuh berhubung salah laku itu, beliau ingin tahu butiran setiap kes dan pegawai mana terlibat, lapor FMT.

    Terdahulu, Azam dilaporkan berkata, SPRM masih menunggu tindakan susulan agensi kerajaan berhubung lebih 500 laporan salah laku, yang sebahagiannya dikemukakan 12 tahun lalu.

  • Sivakumar sahkan 5 pegawai dipecat

    Sivakumar sahkan 5 pegawai dipecat

    MENTERI Sumber Manusia, V. Sivakumar mengesahkan lima pegawainya ditamatkan perkhidmatan, sambil menegaskan langkah itu bagi memastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar dan baik.

    “Itu memang berlaku, kita nak pastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar dan baik,” katanya, lapor FMT.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan kemuncak bagi keselamatan dan kesihatan pekerjaan (PKP) bersama syarikat berkaitan kerajaan 2023, hari ini.

    Pada 4 Mei lalu, sumber kementerian memberitahu FMT, kontrak lima pegawainya diberhentikan.

    Sementara itu, seorang lagi pegawai dipindahkan dari Kementerian Sumber Manusia ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

    Bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pembantu Sivakumar, namun membebaskan mereka selepas perintah reman empat hari tamat 17 April lalu.

    Penahanan mereka dipercayai berhubung siasatan kelulusan kuota pekerja asing.

    Beberapa pihak sebelum ini mendesak Sivakumar bercuti atau meletakkan jawatan selepas beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.

    Bagaimanapun, Sivakumar bertegas tidak akan meletak jawatan, sambil menyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berpandangan tiada keperluan baginya berbuat demikian.

    Ditanya mengapa mereka dipecat ketika kes itu masih dalam siasatan, Sivakumar enggan menjawab dan terus beredar.