Author: Wartawan WartaRakyat

  • Budak enam tahun pandu kereta bawa adik, terbabas langgar tiang elektrik

    Budak enam tahun pandu kereta bawa adik, terbabas langgar tiang elektrik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA kanak-kanak lelaki berusia enam dan tiga tahun terlibat dalam kemalangan setelah mereka mengambil kesempatan memandu kereta tanpa disedari ahli keluarga di Langkawi, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.15 malam setelah menerima panggilan kecemasan dari orang awam.

    Menurutnya, kanak-kanak berusia enam tahun yang memandu kereta jenis Toyota Vios berwarna putih itu luka di dagu manakala adiknya pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Siasatan awal mendapati bapa kanak-kanak itu sedang tidur manakala ibu mereka ke bilik air. Selepas keluar dari bilik air, wanita tersebut mendapati kedua-dua anaknya sudah tiada di rumah.

    “Dianggarkan kereta itu dipandu sejauh kira-kira 2.5 kilometer dari rumah mereka sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga. Kes itu hingga kini masih disiasat,” katanya.

    Melalui video berdurasi seminit 36 saat yang tular di media sosial, orang ramai dilihat terkejut apabila mendapati kereta yang terbabas dipandu oleh kanak-kanak.

    Kanak-kanak itu kemudiannya mendakwa dia memandu kereta itu untuk ke kedai.

    Mengulas lanjut Shariman berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

  • Lelaki Singapura ditahan kencing di tempat wuduk

    Lelaki Singapura ditahan kencing di tempat wuduk

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas dipercayai warganegara Singapura mengundang kemarahan orang ramai apabila membuang air kecil di tempat mengambil wuduk di Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, hari ini.

    Kejadian tersebut berjaya dirakam seorang lelaki yang menegur lelaki berkenaan sebelum video perbuatan tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan perbuatan jelik berkenaan pada pukul 4.36 petang.

    “Pihak polis telah membuat tangkapan terhadap lelaki warga asing berusia 69 tahun itu. Hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan saringan air kencing didapati negatif.

    “Permohonan reman akan dibuat pada esok di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan suasana yang tidak baik dan mengganggu ketenteraman awam,” ujar beliau.

  • ‘’Kamu ni dah jadi PM, kenapa nak cabar orang macam tu’’ – KJ

    ‘’Kamu ni dah jadi PM, kenapa nak cabar orang macam tu’’ – KJ

    DATUK Seri Anwar Ibrahim diingatkan bahawa rakyat akan melupakan segala usaha baik beliau membantu orang Melayu jika Presiden PKR itu terus mencabar bekas pemimpin dan pembesar negara.

    Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan Anwar itu hanya akan mengundang reaksi negatif sekali gus menenggelamkan segala usaha sedang beliau laksanakan..

    “Bagi saya beliau ada kemahuan untuk ‘tenyeh’ pemimpin dan pembesar berkenaan tetapi saya rasa beliau kena kawal.

    “Kalau tidak semua benda bagus yang beliau lakukan seperti bantu maahad tahfiz, peruntukan SME, Bumiputera dan sebagainya semua itu akan tenggelam,” katanya dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan, lapor FMT.

    Anwar pada satu majlis rumah terbuka Aidilfitri Sabtu lalu, menyelar bekas pemimpin dan taikun Melayu yang kononnya membela nasib orang Melayu sebaliknya memperkayakan diri sendiri dan keluarga mereka.

    Tanpa menamakan sesiapa, Anwar mencabar bekas pemimpin itu untuk menyumbang sebahagian harta jika mereka benar-benar mahu membantu orang Melayu.

    Menurut Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau itu, kenyataan Anwar juga dilihat sebagai tidak matang dan tidak sesuai diucapkan oleh seorang perdana menteri.

    “Bagi saya bukan sahaja dari segi strategi komunikasi beliau (Anwar) gagal, sebab orang akan nampak dan mempersoalkan: Kamu ini dah jadi perdana menteri kenapa nak cabar orang macam itu?

    “Anwar sepatutnya bukan mencabar tetapi sebalik bertindak selari dengan statusnya iaitu dengan mengikut polisi dan prosedur siasatan jika beliau berpendapat ada keperluan untuk menyiasat individu yang disyaki terlibat penyelewengan,” katanya.

  • Pemandu van sekolah maut serangan jantung

    Pemandu van sekolah maut serangan jantung

    SEORANG warga emas meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum kenderaan dipandunya terbabas di Jalan Selasih 5, Taman Selasih, Kulim pada pukul 5.55 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, pemandu van sekolah tersebut yang berusia 70 tahun itu terbabit dalam perjalanan menghantar murid Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) pulang ke rumah masing-masing.

    “Siasatan mendapati ketika kejadian ada empat murid KAFA dalam van sekolah berkenaan.

    “Bagaimanapun semua kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan diambil keluarga masing-masing sejurus kejadian.

    “Hasil siasatan juga mendapati mangsa gagal mengawal kenderaan dengan baik sebelum ia terbabas ke kanan jalan dan melanggar papan tanda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

    Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan ischaemic heart disease (penyakit jantung iskemik), katanya.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lapor Harian Metro.

  • Kastam Terengganu rampas 4.7 juta batang rokok seludup

    Kastam Terengganu rampas 4.7 juta batang rokok seludup

    SEJUMLAH 4.7 juta batang rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai hampir RM4 juta termasuk cukai dirampas dalam serbuan di Kampung Pengkalan Gelap di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

    Rampasan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu itu adalah hasil maklumat awam kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

    Pengarah JKDM Terengganu, Mohd. Nadzri Ariffin berkata, risikan dijalankan pihaknya selama empat hari membawa kepada aktiviti penyeludupan di lokasi berkenaan.

    “Pihak kastam membuat serbuan di lokasi berkenaan dan berjaya merampas rokok tak berkastam dan kenderaan-kenderaan yang digunakan untuk mengangkut rokok seludup.

    “Namun, ketika pasukan tiba, suspek berjaya melarikan diri ke kawasan belukar nipah berpaya menghala ke sungai dengan meninggalkan semua kenderaan yang digunakan untuk mengangkut barang berkenaan,” katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Terengganu hari ini.

    Katanya, pihak kastam turut menyita dua buah lori dan sebuah bot fiber serta dua buah enjin bernilai RM260,000 dengan rampasan keseluruhan termasuk bernilai RM3.982 juta.

    Mohd. Nadzri berkata, siasatan awal mendapati aktiviti berkenaan didalangi orang tempatan yang membawa masuk rokok-rokok berkenaan dari negara jiran menggunakan bot fiber sebelum dipindahkan ke dalam lori.

    Beliau berkata, rokok berkenaan dipercayai diedarkan untuk pasaran tempatan khususnya pasaran Pantai Timur dan Lembah Klang.

    “Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik-pemilik kenderaan yang digunakan untuk mengangkut rokok tak berkastam dan pembabitan mereka dalam aktiviti ini.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM10,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Anggota APM maut dipatuk ular bakal bertunang Aidiladha ini

    Anggota APM maut dipatuk ular bakal bertunang Aidiladha ini

    ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang meninggal dunia selepas dipatuk ular tedung ketika bertugas bakal mengikat tali pertunangan pada Aidiladha ini.

    Lans Koperal Mohd Idris Abdul Samad, 33, meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi tadi ketika menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

    Ibunya, Noriah Awang, 67, memberitahu, anak lelaki daripada lima beradik itu akan bertunang dengan gadis pilihan hatinya yang berasal dari Pasir Tumboh, Kota Bharu.

    “Arwah minat dengan haiwan reptilia ini sejak kecil dan dia mempunyai kemahiran mengendalikan haiwan berbisa itu.

    “Dia pernah kehilangan jari tengah pada 2017 akibat dipatuk ular.

    “Saya sentiasa menasihati arwah supaya berhati-hati ketika bertugas dan tidak menyangka perkara yang dibimbangkan selama ini terjadi,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kemasin, Bachok.

    Katanya, Mohd. Idris dipatuk ular pada pukul 8 pagi kelmarin ketika memindahkan ular dari guni ke sangkar.

    “Pada Isnin malam sekitar pukul 11 pagi, dia beritahu merasa tidak selesa di bahagian dada.

    “Pada pukul 3 pagi, anak saya sudah kritikal kerana bisa ular telah menyerang bahagian buang pinggangnya,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Pengarah APM Kelantan, Mohd. Adzhar Mujab menberitahu, Mohd. Idris sudah berkhidmat selama 14 tahun sebagai anggota APM di Kota Bharu.

    Menurut beliau, Allahyarham merupakan seorang anggota yang komited dan terlatih dalam menangkap haiwan berbisa.

    Jenazah lans koperal itu dikebumikan selepas solat Zohor diiringi keluarga, rakan serta anggota APM Kelantan.

  • Pemuda Pas Pahang serah memorandum isu air

    Pemuda Pas Pahang serah memorandum isu air

    PEMUDA Pas Negeri Pahang menyerahkan memorandum isu air yang berlaku di negeri itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) untuk dibawa pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 yang berlangsung semalam hingga Jumaat ini.

    Ketua Pemuda Pas Pahang, Mohd. Zarimi Abu Zih berkata, kerajaan negeri diminta mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu air yang berlaku hampir di semua daerah di Pahang.

    Tegasnya, penjelasan juga perlu diberikan tentang kerugian yang dialami Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

    “Kita minta ADUN PN membawa isu itu pada Sidang DUN yang berlangsung untuk perhatian dan tindakan daripada kerajaan negeri agar masalah air yang berlaku dapat diselesaikan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum ini kepada ADUN PN yang diketuai ADUN Cheka yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, memorandum isu air yang diserahkan Pemuda Pas Pahang merupakan aduan-aduan dikumpul berkaitan masalah air yang diterima daripada rakyat di seluruh negeri.

    Menurutnya, masalah itu akan dibawa untuk perhatian kerajaan negeri berdasarkan masalah-masalah yang disenaraikan termasuk loji-loji rawatan air lama yang perlu dinaik taraf, isu gangguan bekalan air, kes-kes paip pecah dan sebagainya.

    “Perkara ini perlukan perhatian dan tindakan kerajaan negeri supaya masalah gangguan bekalan air yang berlaku dapat diselesaikan.

    “Kita juga minta kerajaan negeri mewartakan kawasan tadahan air sebagai hutan simpan kekal bagi memastikan sumber bekalan air tidak terjejas disebabkan aktiviti penerokaan untuk tujuan pembalakan, perlombongan dan sebagainya,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Nurul Shuhada gugur, Hafidz Roshdi buat laporan polis

    Nurul Shuhada gugur, Hafidz Roshdi buat laporan polis

    PELAKON Hafidz Roshdi membuat dua laporan polis selepas mendakwa isterinya, Shuhada menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp menyatakan hasrat untuk mengugurkan kandungan beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu.

    Hafidz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi berkata, laporan polis pertama dibuat untuk melindungi dirinya sementara laporan kedua selepas mendakwa Shuhada atau nama sebenarnya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, meminta wang untuk kos keguguran.

    Sedangkan pelakon berusia 29 tahun itu berkata, dia tidak pernah bersetuju malah menghalang Shuhada mengambil tindakan tersebut.

    “Sebelum ini, saya sudah cakap, jangan gugurkan, jaga baik-baik, saya akan bertanggungjawab.

    “Bagaimanapun, pada 5 Mei lalu, saya dapat berita yang amat meruntun jiwa, menyatakan Shuhada mengalami keguguran pada hari raya kedua, 23 April lalu,” katanya.

    Hafidz berkata, isu kononnya Shuhada telah mengalami keguguran ini dapat dirungkai sebaik-baiknya.

    Katanya, selaku seorang bapa, dia mempunyai hak mengikut undang-undang untuk mendapatkan penjelasan sebaiknya daripada Shuhada berkenaan hal itu.

    Ketika ditanya mengenai perkara berkenaan, Shuhada berkata, memandangkan kes berkenaan masih dalam siasatan polis, dia tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

    “Saya akan beri kenyataan selepas tamat prosiding ini, di Balai Polis Kangar, Perlis,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Cirit-birit: Najib dapat dua hari MC, bicara 1MDB ditangguhkan

    Cirit-birit: Najib dapat dua hari MC, bicara 1MDB ditangguhkan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Razak yang membabitkan RM2.28 bilion kerana bekas perdana menteri itu mengalami cirit-birit.

    Perbicaraan dijadualkan hari ini dan esok.

    Pegawai perubatan Penjara Kajang, Dr. Mohd. Hafiz Mohd. Hoshni memberitahu mahkamah petang ini bahawa Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah mengeluarkan cuti sakit (MC) dua hari untuk Najib.

    Hafiz yang dipanggil untuk memberi penjelasan kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, berkata seorang penolong pegawai perubatan di penjara itu memaklumkan bahawa Najib mengalami sakit perut dan cirit birit sejak semalam.

    “Sekitar pukul 7.30 pagi, saya memeriksanya. Saya tanya dia apa masalah dan dia cakap dia sakit perut dan loya serta terpaksa ke tandas untuk buang air besar sebanyak empat kali.

    “Kemudian saya berinya pil arang dan selepas 10 minit, dia kata keadaannya tak berubah. Saya periksa lebih lanjut dan dapati dia kekurangan air dan ada sedikit demam dengan suhu 37.8 darjah,” tambahnya.

    Hafiz berkata dia kemudian merujuk Najib supaya ke HKL dan tertuduh dibawa ke hospital itu antara pukul 9.30 pagi dan 10 pagi tadi.

    Menjawab soalan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib, pegawai perubatan itu berkata Najib kelihatan “penat, lesu dan kekurangan air.”

    “Dia (Najib) tidak cergas untuk hadiri perbicaraan kerana perlu diberi ‘drip’ yang dimasukkan dalam saliran darah dan tidak mampu berdiri sebab duduk terlalu lama,” kata Hafiz, lapor Malaysiakini.

    Pegawai perubatan itu, ketika menjawab soalan peguambela utama, Muhammad Shafee Abdullah, berkata dia perlu merujuk Najib ke HKL supaya tertuduh mendapat akses kepada rawatan lebih rapi daripada pakar di sana.

    Sequerah kemudian menangguhkan perbicaraan dan mengarahkan prosiding disambung semula pada Khamis.

    Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

    Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas menteri kewangan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

    Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

    1MDB adalah dana pelaburan negara Malaysia yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

    Najib juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

  • Dua rakan dipenjara lima tahun sebabkan kematian seorang lelaki

    Dua rakan dipenjara lima tahun sebabkan kematian seorang lelaki

    MAHKAMAH Tinggi Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas dua rakan atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki tiga tahun lepas.

    Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menjatuhkan hukuman itu dari tarikh mereka ditangkap iaitu 8 Mac 2020 selepas Muhammad Iman Divaharan Abdullah, 44, dan G. Suria Sekaran, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

    Mereka didakwa menyebabkan kematian Ling Hua Chai, 47, dengan mengetahui bahawa perbuatan mereka mungkin menyebabkan kematiannya di hadapan Huang Cheng KTV, Persiaran PM 2/5, Pusat Bandar Manjung pada kira-kira 11.30 malam 7 Mac, hingga 12.20 tengah malam 8 Mac 2020.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil dan Nasrul Hadi Abdul Ghani, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Tun Mohamad Ammar Aziz dan Charan Singh Kartar Singh

    Terdahulu, Tun Mohamad Ammar yang mewakili Suria Sekaran merayu hukuman ringan atas alasan ia merupakan kes pertama dihadapi anak guamnya yang bekerja sebagai penjaga parkir dan anak guamnya memohon maaf kepada mahkamah serta keluarga mangsa, selain insaf.

    Charan Singh yang mewakili Muhammad Iman Divaharan pula memberi alasan anak guamnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan perlu menanggung ibu yang uzur dan isteri serta empat anak yang sedang belajar, selain pengakuan oleh tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah.

    Bagaimanapun Khazrin Haffiz berkata pengakuan salah dua rakan itu tidak melayakkan mereka mendapat hukuman ringan dan kes melibatkan kepentingan awam.

    Mengikut fakta kes, kejadian berlaku dalam pertengkaran antara kedua-dua tertuduh dan mangsa serta beberapa individu lain apabila Muhammad Iman Divaharan meletakkan kenderaan di laluan keluar masuk parkir di hadapan Huang Cheng KTV.

    Dalam pertengkaran itu juga, Suria Sekaran telah menyebabkan si mati cedera dengan menggunakan pisau hingga kritikal, lalu meninggal dunia di Hospital Seri Manjung pada 12.43 tengah hari 9 Mac 2020.