Author: Wartawan WartaRakyat

  • Perbicaraan Najib ditangguh, mash dirawat di wad akibat cirit-birit

    Perbicaraan Najib ditangguh, mash dirawat di wad akibat cirit-birit

    PERBICARAAN Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan hari ini setelah bekas perdana menteri itu masih menerima rawatan di wad kerana masalah cirit-birit.

    Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, membuat keputusan itu selepas Pakar Perubatan Klinikal Hospital Kuala Lumpur Dr Mohd Fadhli Zil Ikram Karim memberi penjelasan mengenai keadaan kesihatan Najib semasa prosiding hari ini.

    Mohd Fadhli ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata beliau telah memeriksa Najib semasa menjalankan tugas pada 7.20 pagi tadi. Najib dimasukkan ke hospital pada Selasa.

    “Apabila saya memeriksa Datuk Seri Najib, beliau mengadu masih mengalami cirit-birit dan hasil pemeriksaan mendapati beliau masih mengalami cirit-birit.

    “Kami meneruskan pemantauan dan tekanan darahnya stabil. Bagaimanapun, disebabkan cirit-birit, beliau menunjukkan tanda-tanda berisiko tinggi mengalami dehidrasi. Kami perlu menahannya di wad untuk infusi garam intravena (IV) bagi menghidrat semula dan memantaunya,” kata beliau.

    Menjawab soalan Ahmad Akram, Mohd Fadhli berkata selepas berunding dengan pegawai atasannya, mereka membuat kesimpulan bahawa Najib tidak sihat untuk hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes 1MDB kerana perlu dipantau dan diwadkan untuk infusi IV secara berterusan.

    Najib telah diberi cuti sakit selama sehari. Perbicaraan dijadualkan bersambung pada 21 Jun.

    Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    — BERNAMA

  • Projek tambak laut selatan Pulau Pinang kini dikecilkan 

    Projek tambak laut selatan Pulau Pinang kini dikecilkan 

    KERAJAAN Pulau Pinang akur dengan permintaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mereka mengkaji semula dan memperkecilkan skop  projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI).

    Berikutan itu ia kini dikurangkan daripada tiga pulau kepada hanya satu pulau  iaitu pengurangan dari 1,821 hektar (4500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).

    Ketika mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata,  keputusan itu juga mengambil kira komitmen yang diberikan Kerajaan Pusat untuk menyediakan dana dan menyegerakan projek pembinaan transit aliran ringat (LRT) di negeri itu.

    “Projek ini akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja-kerja tambakan.

    “Pulau B membabitkan keluasan 1,400 ekar (566.6 hektar) dan 800 ekar (323.7 hektar) tidak akan diteruskan,” katanya pada  sidang akhbar di Georgetown hari ini.

    Beliau juga memaklumkan  Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek PSI yang diluluskkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui surat bertarikh 11 April lalu meliputi ketiga-ketiga pulau seluas 1,821 hektar sekali gus tidak memerlukan kerajaan negeri untuk memohon EIA baharu untuk meneruskan projek tersebut.

    “Pengurangan saiz tambakan laut menerusi projek itu juga tidak akan memberi sebarang impak kepada kerajaan negeri dari sudut bayaran pampasan atau ganti rugi kepada pihak pelaksana projek, SRS Consortium Sdn. Bhd. (SRS) memandangkan perjanjian pelaksanaan projek dibuat secara berasingan bagi ketiga-tiga projek tambakan laut,’’ katanya.

    Beliau menjelaskan, dengan pengurangan saiz tambakan laut menerusi projek itu juga, jumlah nelayan yang terlibat secara langsung kini hanya seramai 115 orang iaitu dari unit Permatang Tepi Laut iaitu yang berhadapan dengan tapak tambakan `Silicon Island’ berbanding 496 orang dari empat unit nelayan sebelum ini yang membabitkan ketiga-tiga pembangunan pulau.

    “Dengan perkembangan terbaharu ini, skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk golongan nelayan terlibat akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jawatankuasa Taskforce Nelayan yang akan dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri I dalam masa terdekat,” katanya.

    Mengulas mengenai LRT, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan memberikan laporan terkini tentang cadangan projek tersebut iaitu kerja-kerja yang telah dicapai sehingga kini kepada Kerajaan Pusat khususnya kementerian berkaitan iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan.

    Ujarnya, ia supaya Kerajaan Pusat dapat mengambil maklum apa yang sudah dilakukan oleh kerajaan negeri bersama SRS Consortium berhubung cadangan projek LRT yang menghubungkan Bayan Lepas ke pusat bandar (George Town) tersebut.

    “Ini disebabkan kita sudah mencapai ke peringkat request for proposal (RFP) untuk pembinaan dan kita juga sudah melalui beberapa tahun perancangan untuk projek ini dan sekarang sudah bersedia untuk proses tender.

    “Kita serahkan kepada Kerajaan Pusat untuk memuktamadkan perkara ini dan difahamkan mesyuarat antara kementerian terlibat sudah diadakan, kita juga menunggu untuk dipanggil ke mesyuarat itu dan berharap kerajaan negeri juga dilibatkan dalam perbincangan teknikal supaya kita dapat membentangkan laporan yang kita ada,” katanya.

  • Lanjut tempoh perkhidmatan Azam tolak persepsi buruk – Takiyuddin

    Lanjut tempoh perkhidmatan Azam tolak persepsi buruk – Takiyuddin

    PAS menyifatkan pelanjutan tempoh perkhidmatan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM menolak persepsi buruk yang cuba dilontarkan terhadap beliau dan agensi tersebut.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bagi Pas, Azam yang mencapai umur bersara wajib 60 tahun pada tarikh sama setelah berkhidmat dengan suruhanjaya berkenaan selama 36 tahun dan dilantik untuk mengetuainya pada tahun 2020 telah terbukti dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang dan berkesan di institusi utama pencegahan rasuah negara ini.

    ”Walaupun pernah berdepan dengan beberapa dakwaan yang lebih berbentuk tohmahan salah laku termasuk berkaitan pemilikan saham dalam beberapa syarikat sebelum ini, Pas secara konsisten percaya malah menerima kenyataan penafian beliau berhubung perkara itu, sekali gus menghalang percubaan pihak-pihak berkepentingan untuk menimbulkan keraguan terhadap maruah dan integritinya secara peribadi dan SPRM sebagai institusi penting negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, Pas percaya pelanjutan tempoh perkhidmatan beliau ini turut mengesahkan kepercayaan tersebut dan menolak persepsi buruk yang cuba dilontarkan terhadap beliau dan SPRM oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu.

    ”Sekali lagi PAS mengucapkan tahniah dan berharap Tan Sri Azam akan terus memberi khidmat cemerlang beliau kepada negara, sekali gus memimpin SPRM ke tahap-tahap yang lebih membanggakan dalam usaha membebaskan rakyat dan masyarakat daripada budaya dan amalan rasuah yang merosakkan,” katanya.

  • Pertuduhan mahu rosakkan nama baik saya – Hamzah

    Pertuduhan mahu rosakkan nama baik saya – Hamzah

    BEKAS Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaitkan nama beliau dalam  pendakwaan ke atas seorang ahli perniagaan.

    Sambil memaklumkan beliau telah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM petang ini bermula pukul 4.30 petang hingga 7 malam, Hamzah menyifatkan apa yang dilakukan bertujuan memburukkan nama beliau, Bersatu dan Perikatan Nasional.

    Berikut kenyataan penuh beliau:

    HARI ini Ketua Setiausaha Negara mengumumkan perlanjutan kontrak khidmat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, untuk tempoh setahun lagi. 

    Tahniah saya ucapkan kepada Tan Sri Azam Baki atas pengiktirafan kerajaan bahawa khidmat beliau amat diperlukan pada waktu ini. Saya percaya perlanjutan ini tiada muslihat tertentu.

    Hari ini juga SPRM telah mengenakan empat pertuduhan rasuah terhadap individu bernama Sim Choo Thiam. Pertuduhan tersebut menyebutkan bahawa ia membabitkan projek-projek di bawah Kementerian Dalam Negeri semasa saya menjadi Menteri Dalam Negeri. Malah pertuduhan tersebut juga menyebutkan nama saya.

    Itulah yang janggal dan menghairankan saya kenapa nama saya disebut sedangkan saya tiada pembabitan langsung. Bila diperhalusi keempat-empat pertuduhan tersebut ia menyebut bahawa suapan adalah untuk “mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri”. Jadi apakah projek yang menjadi hal perkara rasuah yang dimaksudkan?.

    Jelas pertuduhan sebegitu sengaja diada-adakan dan dibuat sebegitu rupa untuk mengheret nama saya dalam perkara yang tidak langsung membabitkan saya. Ini siri fitnah untuk menekan orang- orang serta ahli perniagaan tertentu supaya memalitkan dan menuding jari terhadap saya demi mencemarkan nama saya.

    Lebih janggal apabila saya hanya dirakam keterangan pada petang ini bermula kira-kira pukul 4.30 petang hingga pukul 7 malam oleh pegawai SPRM selepas pertuduhan ke atas Sim Choo Thiam telah dibawa ke mahkamah.

    Pertuduhan yang mengheret nama saya ini jelas bertujuan untuk merosakkan nama baik saya, BERSATU dan Perikatan Nasional. Lebih-lebih lagi Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO sendiri sebelum ini secara terbuka menyebut rancangan untuk mewujudkan kluster mahkamah dari kalangan pemimpin BERSATU dan Perikatan Nasional.

    Saya percaya, ini adalah kerana mereka bimbang dengan kekuatan Perikatan Nasional, yang mana sokongan rakyat akan diterjemahkan sekali lagi dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

    Saya juga faham ada pihak tertentu yang panik dengan kedudukannya yang sedang goyah ketika ini tetapi janganlah bertindak sehingga menyebabkan rakyat merasakan SPRM boleh diperalat oleh pemimpin tertentu.

  • Dakwaan kononnya Kedah memiliki lokasi perlombongan haram terbanyak sengaja dibuat – Sanusi

    Dakwaan kononnya Kedah memiliki lokasi perlombongan haram terbanyak sengaja dibuat – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DAWAAN kononnya Kedah merupakan negeri yang mempunyai lokasi perlombongan haram terbanyak di negara ini merupakan satu bentuk kesalahan fakta yang disengajakan.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, kementerian terlibat sengaja berbuat demikian dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadillah Yusof dipergunakan untuk membuat kenyataan sedemikian.

    “Ini disengajakan oleh kementerian, cuma digunakan TPM. Saya tahu TPM baik.

    “Dalam mesyuarat itu saya bangkitkan mengenai 60 tapak lombong haram bagi memberi gambaran di seluruh negara dan bukan di Kedah saja kerana di negeri ini, cuma ada satu tapak lombong haram.

    “Tetapi selepas TPM buat kenyataan itu, semua pakat ‘tibai’ kita balik,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

    Dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN) kelmarin, TPM mendakwa terdapat 60 tapak perlombongan haram di negara ini dengan kebanyakannya berada di Kedah.

    Fadillah mendakwa, Muhammad Sanusi sendiri mengakui perkara itu dalam mesyuarat tersebut namun Menteri Besar memuat naik status di laman Facebooknya tidak lama selepas itu dengan menafikan dakwaan berkenaan.

    Ditanya, sama ada mereka yang terlibat dalam membuat dakwaan tersebut perlu membuat permohonan maaf, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu terpulang pada mereka.

    “Sama ada mereka nak minta maaf atau tidak, terpulanglah. Tetapi ‘depa’ ni tahukah nak minta maaf?

    “Saya rasa mereka tak reti (minta maaf) tapi buatlah kerja bagi betul. Jangan ‘tibai’ orang dengan buat kerja tak ketahuan hala,” katanya.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi turut mempersoalkan tindakan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menghantar surat kepada pejabatnya untuk meminta menyenaraikan lombong haram di Kedah.

    “Saya kata 60 tapak perlombongan haram itu di seluruh negara dan bukan di Kedah saja. Di Kedah cuma ada satu saja iaitu di Bukit Enggang, Sik dan tapak perlombongan itu sudah ditutup manakala pelakunya ditahan serta diambil tindakan.

    “Untuk tapak lain di seluruh negara, tugas kementerianlah untuk cari di mana lokasinya. Bukankah banyak agensi di bawah kementerian itu, kenapa nak suruh saya cari pula?” katanya.

  • Peruntukan : Anwar perlu ambil semangat titah Pemangku Raja Pahang

    Peruntukan : Anwar perlu ambil semangat titah Pemangku Raja Pahang

    Oleh KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

    KERAJAAN  PH-BN pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengambil panduan dan semangat daripada titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah agar wakil rakyat pembangkang juga diberi peruntukan yang adil.

    Ini merujuk kepada titah baginda dalam Sidang Dewan Negeri Pahang bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua yang berlangsung baru-baru ini.

    Tengku Hassanal dalam titah baginda menyatakan bahawa dalam tempoh 66 tahun ini sepatutnya semua pihak telah matang dan menjadi kerajaan yang meraikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat.

    Tindakan mengenepikan peruntukan buat wakil rakyat pembangkang oleh kerajaan PMX selama ini hanya mengulangi skrip politik dendam kesumat dan ia amat bertentangan dengan agenda yang pernah PMX perjuangkan semasa menjadi Ketua Pembangkang.

    Kami mengulangi gesaan ini kerana kepentingan rakyat perlu diutamakan, bukan hanya survival politik yang menafikan hak wakil rakyat pembangkang yang sah dipilih oleh rakyat. Peruntukan juga perlulah diberikan tanpa syarat. Hormatilah pilihan rakyat.

    *YB Ir. Ts. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN adalah Ketua Penerangan PAS Pusat dan Ahli Parlimen Jerantut

  • PDRM sedang teliti laporan salah laku polis oleh SPRM

    PDRM sedang teliti laporan salah laku polis oleh SPRM

    JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM sedang menyediakan laporan lengkap susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa polis mengabaikan laporan salah laku anggota pasukan itu.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya juga sedang meneliti laporan salah laku dikatakan tidak diambil tindakan.

    “Dalam masa sama, kita juga sedang meneliti mana laporan yang dikatakan kita tidak maklumkan kepada SPRM untuk tindakan yang patut diambil kepada mereka terlibat.

    “Saya ingin memberi jaminan bahawa PDRM tidak pernah berkompromi atau leka malah sentiasa bekerjasama erat dengan setiap agensi untuk memastikan integriti dalam PDRM sentiasa ditegakkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuantan, Pahang hari ini.

    Terdahulu, beliau menyaksikan majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas ketua polis Pahang dan pengerusi persatuan keluarga polis (Perkep) Pahang.

    Bekas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Yahaya Othman menerima tugas sebagai Ketua Polis Pahang yang baru, menggantikan Ramli Mohamed Yoosuf yang akan bertukar ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

    Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam temubual dengan New Straits Times mendedahkan beberapa agensi kerajaan mengabaikan lebih 500 laporan salah laku kakitangan mereka, walaupun pihaknya mengesyorkan diambil tindakan.

    Berdasarkan statistik, daripada 533 laporan, sebahagian besar (125) membabitkan jabatan-jabatan polis manakala di tempat kedua adalah Jabatan Pengangkutan Jalan.

    Bagaimanapun, Azam berkata, jumlah besar laporan berhubung polis boleh difahami memandangkan jumlah anggota penguatkuasanya yang besar.

    Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Acryl Sani menegaskan pihaknya tidak pernah mengambil ringan isu berkaitan tindakan terhadap mana-mana pegawai dan angota yang didapati melakukan kesalahan tata tertib.

    “Kita akan sentiasa berikan kerjasama kepada bukan sahaja SPRM tetapi juga kepada SIAP (Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa) untuk memaklumkan kepada mereka tindakan yang sepatutnya dan sewajarnya diambil.

    “Mungkin ada dalam proses, ada yang lambat dihantar tetapi tidak ada laporan yang kita ketepikan atau kita tidak susuli dengan tindakan kerana kita memandang serius apa juga pelanggaran tata tertib oleh mana-mana pihak.

    “Seperti yang saya katakan tadi, kita sentiasa berpegang teguh dengan integriti dalam apa juga yang kita lakukan,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Bekas MP fail rayuan kes saman bekas bendahari cabang PKR

    Bekas MP fail rayuan kes saman bekas bendahari cabang PKR

    BEKAS Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan merujuk ke Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan mahkamah yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas bendahari PKR Cabang Sungai Siput dan suaminya.

    Peguamnya, Muhamad Samsul Nizam Sohhimi mengesahkan dengan Malaysiakini petang ini mengenai pemfailan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam saman fitnah terhadap bekas ahli Parlimen itu oleh R. Indrani dan S. Selvakumar.

    Menurut salinan notis rayuan yang difailkan pada 15 Mac, perayu Gobalakrishnan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sebelum ini pada 23 Februari, lapor Malaysiakini.

    Pada 23 Februari, pesuruhjaya kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memerintahkan bekas ahli Parlimen itu membayar RM150,000 kepada Indrani dan Selvakumar, yang juga juruterbang sebuah syarikat penerbangan komersial.

    Pasangan itu memfailkan tindakan fitnah terhadap defendan kerana didakwa menerbitkan tiga penerbitan berunsur fitnah pada 4 Jun 2019. Plaintif memfailkan tindakan sivil pada 7 November tahun yang sama.

    Penerbitan itu didakwa terdiri daripada dua mesej gambar WhatsApp dan mesej suara WhatsApp, menuduh pasangan itu telah menipu ramai ahli perniagaan.

    Mahkamah Tinggi telah memberikan ganti rugi kepada Selvakumar dan Indrani masing-masing RM50,000 dan RM100,000, dan juga memerintahkan Gobalakrishnan membayar kos RM40,000 kepada kedua-dua plaintif.

    Pasangan itu diwakili peguam dari firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners.

  • Mat Sabu tak payahlah jadi ‘ahli Nujum- Tuan Ibrahim

    Mat Sabu tak payahlah jadi ‘ahli Nujum- Tuan Ibrahim

    PRESIDEN AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, tidak perlu menjadi ‘ahli nujum’ dengan meramal bahawa PAS akan kembali bekerjasama dengan DAP dalam masa terdekat, tegas Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau berkata, sebelum ini mungkin Mohamad Sabu mahu merasionalkan hubungan mereka dengan UMNO dan kini dia mahu mengata parti lain pula.

    “Saya fikir, itu hanya sekadar mahu memujuk hatinya sahaja. Sebelum ini dia juga yang selalu menghentam UMNO dengan mengatakan UMNO sebagai parti penyamun, namun tiba-tiba hari ini dia bersekongkol dengan UMNO.

    “Jadi mungkin kenyataan beliau itu adalah untuk menenangkan jiwa dia yang kini diserang dan ditempelak oleh penyokong dia sendiri dan orang ramai di luar sana,” katanya lapor BH Online hari ini.

    Tuan Ibrahim menjelaskan, kerjasama politik bagi PAS adalah kerjasama dalam perkara yang berlandaskan prinsip parti sahaja.

    “Sebelum ini PAS juga pernah bekerjasama dengan DAP dan PAS sudah tahu apa yang berlaku atau gerak kerja yang diamalkan oleh DAP.

    “PAS tetap menolak kerjasama dengan DAP sebagaimana yang menjadi pendirian parti sebelum ini dan itu juga adalah pendirian PAS dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga sekarang,” katanya.

    Kelmarin, Mohamad Sabu ketika berucap pada Ceramah Jelajah Madani Kedah 2023 di Kubur Panjang, Pendang, berkata tidak mustahil jika PAS akan kembali bekerjasama dengan DAP pada waktu terdekat.

    Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PAS sebelum keluar menubuhkan AMANAH, berkata ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika ia berlaku kerana PAS kini ‘berkawan’ dengan musuh politiknya iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

    “PAS tidak berhak mengkritik mana-mana pakatan politik lain kerana parti itu juga mempunyai rekod bersekutu dengan parti politik lain demi kelangsungan politiknya sebelum ini.

    “Jangan jatuh kerana ketakutan terhadap DAP yang ditimbulkan PAS dalam pilihan raya akan datang. Jangan takut mengundi Pakatan Harapan (PH). Percayalah, tidak mustahil Presiden PAS akan laungkan pula ‘DAP kawan kita’ dalam tempoh dua tiga tahun nanti,” katanya lagi.

  • Mangsa diheret buaya ke dalam sungai, kata saksi

    Mangsa diheret buaya ke dalam sungai, kata saksi

    SEORANG pekerja ladang hilang selepas dibaham buaya dalam kejadian di Sungai Rawog, Ladang Linbar 2, di Beluran semalam.

    Mangsa, Rudi Amiruddin, 28, dilaporkan hilang pada pukul 12.30 tengah hari ketika membersihkan diri di sungai berkenaan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu daripada polis pada pukul 3.51 petang.

    “Menurut laporan, saksi yang memaklumkan sebelum kejadian mangsa sedang membersihkan kawasan pagar elektrik di dalam kawasan estet yang bersempadan dengan sungai terbabit.

    “Ketika berehat, mangsa pergi ke tepi sungai untuk mencuci tangan dan kakinya namun tiba-tiba seekor buaya muncul dan mengheret mangsa ke dalam sungai.

    “Mangsa sempat menjerit meminta tolong namun tidak dapat dibantu oleh rakannya yang berada di lokasi,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Susulan kejadian itu, sebaik laporan diterima seramai empat anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 70 kilometer dari BBP Beluran.

    Edoen berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pasukan keselamatan lain segera dilakukan namun mangsa gagal ditemui semalam.

    “SAR hari kedua disambung semula dengan jarak radius satu kilometer di sekitar lokasi, namun sehingga kini pihak kami belum menemui mangsa,” katanya.